Keputusan Peperiksaan Semester 1 2014/ 2015


Jumaat, 13 Februari 2015.

Perasaan yang bercampur baur. Sedih atas pemergian tokoh agama, susah hati dengan perkembangan submission Projek 2 saya yang penuh dengan kerenah. Itu belum lagi mengenangkan borang pink saya yang 'ditendang' macam bola hanya kerana 3 tandatangan. Paling saya gusar, hari ini keputusan peperiksaan akan diumumkan.

Seawal jam 9 pagi, saya cuba masuk ke dalam sistem pelajar tapi keputusan masih belum boleh diakses. Dalam masa yang sama, saya masih 'berperang' untuk mendapatkan beberapa tandatangan yang diperlukan untuk proses menghantar Projek 2 saya. Ya Allah, memang menuntut kesabaran yang sangat tinggi!
Dalam pada kalut tu, seorang rakan sekelas saya telah menghantar mesej mengatakan yang keputusan telah boleh disemak. Tak sempat  nak cuak pun. Saya masih perlu ke SERI dan kedai fotokopi untuk urusan Projek 2.

Apabila selesai semuanya, barulah saya dapat duduk itupun kerana terlalu lapar dan dahaga :(. Sambil-sambil itulah saya telah semak keputusan peperiksaan saya.
Alhamdulillah. Apa yang saya boleh katakan, keputusan peperiksaan saya OK. Masih dalam julat kecemerlangan paras gwiyomi dan masih boleh tepuk bahu sendiri :) Namun keputusan yang diumumkan masih belum rasmi kerana Projek 2 saya masih dalam status TL (Tidak Lengkap) dan apabila saya ke pejabat untuk bertanya tentang hal ini, pihak pentadbiran menyatakan markah saya akan dimasukkan ke dalam sistem pada minggu hadapan kerana slot pembentangan saya tempoh hari pun memang sedikit lewat dan di luar jadual yang ditetapkan oleh jabatan.
Jadi Insya Allah, minggu hadapan akan ada satu lagi keputusan yang boleh dikatakan rasmi dengan mengambil kira markah dan gred Projek Penyelidikan 2 saya. Harapnya PNGK saya masih boleh berubah dan meningkat dengan penuh bergaya. Bab-bab PNGK ni, saya memanglah tamak sikit~ Huhuhu!

Terima kasih kepada semua yang ada di sisi saya selama dalam jalan juang ini. Walaupun belum rasmi, tapi keputusan ini adalah penanda aras kepada perjuangan saya selama dua tahun ini. Insya Allah, masih banyak hal yang menanti di depan. Saya akan terus berada pada momentum dan motivasi aras tinggi untuk menghadapinya.

Tahniah, diri sendiri. Tahniah, rakan-rakan seperjuangan!

Salam sayang,
Dhiya
PPFG, UKM Bangi

2 comments