Bismillah...
Saya masih bercuti. Selalunya petang Ahad saya sudah ribut-ribut bersiap untuk kembali ke Kota Mega. Sebaliknya hari ini sedikit berbeza. Saya masih berehat-rehat dengan amannya. Huu!
Petang tadi saya berpeluang ke bandar dengan memandu kereta abah.
Seperti biasa, mulut saya mengomel panjang dengan keadaan jalanraya di sini. Bukan sedikit jalan yang berlubang, bukan tiada suara yang mengadu. Tapi semua itu dipandang sepi oleh pihak berwajib tanpa apa-apa tindakan.
Hati-hati, ya Pak ADUN. Saya ulang sekali lagi: HATI-HATI!
Cuti kali ini masih seperti biasa. Tiada apa yang istimewa melainkan keluarga tercinta. Semangat saya bagai dicaj semula saat berada di desa permai ini. Melihat wajah emak dan abah sangat memberi ketenangan hingga tak ingin rasanya untuk saya kembali pulang ke kota penggoda itu. Kalau di sana bukan sebuah perjuangan, tidak ingin rasanya saya bersesak-sesak dan berebut-rebut meneruskan survival yang sukar.
Huh. Terlalu emosi melayah perasaan, matlamat utama saya ke bandar tadi telah jauh tersasar. Sebelum keluar dari rumah, saya paling ingat untuk membeli tiket untuk pulang ke KL. Alih-alih, itulah yang paling saya lupa. Sudah separuh jalan barulah teringat. Malas benar untuk berpatah balik. Tak mengapalah. Akak boleh tolong belikan untuk saya esok.
Sampai di depan rumah, tiba-tiba rasa sebak. Entahlah...
Saya mendongak dan memandang segenap inci rumah abah ini. Rasa baru semalam bentuknya begitu. Seperti tiba-tiba sahaja sudah jadi begini, seperti apa yang tegak berdiri kini.
Rumah ini sudah jauuuh berbeza. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam yang memberikan ruang dan peluang untuk abah meningkatkan kualiti hidup kami sekeluarga. Memanglah harta ini semuanya sementara, tapi Insya Allah inilah ganjaran untuk abah dan emak yang sabar dan bersusah payah demi keluarga. Allah sedang mengganjari pengorbanan abah dan emak!
Esok masih ada sehari untuk saya bercuti. Emosi yang macam-macam ini perlu 'dilayan'. Selepas ini mungkin saya tak berpeluang lagi bercuti panjang hingga Mei (Insya Allah). Cuti-cuti saya perlu dikumpul untuk beberapa tarikh penting.
Saya sudah mula perlu menyusun jadual nikah kahwin sahabat handai yang mengundang. Apabila saya ditanya soalan ini, saya pasti menangis sendiri. Ah, emosi lagi!
p/s: Allah!
No comments