24 Haribulan


Bismillah...

Cepatnya masa berlalu. Bulan Februari sudah habis mengambang penuh. Minggu depan sudah masuk bulan Mac!
Memang. Memang DDD terabai teruk sepanjang bulan ini. Saya hanya berpeluang menulis di awal bulan yang lalu dan hari ini hujung bulan sudah menjengah. Nampak sangatlah saya sibuk.
Dua minggu SSB saya terisi dengan tugas dan tanggungjawab di pejabat. Bulan ini paling memenatkan!

Atas alasan itu, saya menghadiahi diri sendiri dengan mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Apa pun keadaan saya- gembira, sedih atau apa saja- pulang ke tanah keramat emak dan abah ini adalah keputusan yang paling tepat. Rindu ini bukan rahsia lagi.

Tepat jam 5 petang tadi, saya sudah bersiap-siap untuk pulang. Semua terkejut kerana cuti saya yang agak panjang dan diluluskan oleh pihak atasan. Ehem.
Ada yang menduga dengan soalan-soalan lucu:
"Siapa yang luluskan cuti Dhiya?"
"Dhiya, ada masalah ke?"
"Dhiya balik bertunang ye?"
Apa-apalah. Semua telahan mereka salah. Saya cuma menggunakan hak cuti saya untuk merehatkan diri sementara tiada hal penting di pejabat. Itu sahaja.

Sekali lagi saya memilih untuk pulang menaiki bas. Baby K terlalu banyak berkorban tenaga untuk saya bulan ini. Biarlah dia berehat.
Bersendirian di dalam bas memberi saya banyak ruang masa untuk berfikir. Dari seindah angan-angan untuk menjadi permaisuri putera raja hinggalah sesebak hiba memikirkan kedudukan saya di sisi Allah. Benarlah bersendirian itu indah. Apa yang difikirkan waktu itu hampir semuanya rasional dan menginsafkan diri. Saya perlukan lebih masa untuk bersendirian kerana itu yang terbaik untuk saya menilai hal-hal kehidupan saya.

Menjejak kaki ke rumah adalah satu momen yang penuh nikmat dalam hidup saya. Di rumah ini saya dilahirkan, di rumah ini saya dibesarkan. Emak dan abah adalah orang yang bertanggungjawab membina baiti jannati dalam rumah ini. Biarpun tidak semewah mahligai diraja, tetapi ia kaya dengan nilai sentimental yang menjadikan siapa saya hari ini.
Nilai keluarga kecil saya tidak boleh diterjemah dengan tukaran matawang yang berlipat kali ganda. Cukuplah sekadar rasa syukur menjadi perhiasan budi, kerana kelak akan ditambah nikmat dimurahkan rezeki.

Malam makin lewat. Desa ini semakin sunyi. Bunyi cengkerik bagaikan ada rentak dan melodinya yang tersendiri. Inilah yang saya dambakan, yang tidak pernah ada di Kota Mega sana. Maka pasti sudah terjawab soalah mengapa saya rindu untuk pulang ke desa- Saya menemui ketenangan di sini. Titik.

p/s: Jumpa esok! Selamat malam~

1 comment

  1. syoknye dpt blik kmpung..berehat2 di rumah.. manfaatkan cuti dgn baik..hehe=)

    ReplyDelete