29-02-2012


Hari terakhir dalam bulan Februari 2012. Tambah istimewa, 29 Februari ini hanya menyapa empat tahun sekali sebagai tahun lompat.

Setelah empat hari bercuti, hari ini adalah hari pertama saya kembali ke pejabat. Sungguh momentum bekerja saya hilang entah ke mana. Malas itu seperti dijampi-jampi dalam diri saya!
Sudahlah tiada semangat, ada pula mesyuarat menanti di hujung waktu bekerja. Argh!

Saya tekad. Tepat waktu pulang, saya terus bersiap untuk angkat kaki. Kalau saya memilih untuk berada dalam mesyuarat tu, sekarang pun belum tentu saya boleh berada di rumah.
Mereka semuanya masih muda seperti saya dan terlalu energetic. Idea mereka melimpah ruah hingga dua jam yang diperuntukkan boleh jadi melarat hingga tiga-empat jam ke masa tambahan. Itulah mereka. Itulah saya yang bekerja dengan mereka!
Malangnya gaya hidup saya tidak selari dengan mereka. Saya seorang gadis yang terlalu mementingkan masa sendiri, sedang mereka profesional yang tidak kisah berkorban diri. Sebab itu saya selalu 'bergaduh' dengan mereka. (Lantaklah!)

Malamnya, saya sangat gembira untuk berehat di rumah. Saya 'terpaksa' memilih untuk mengunci diri di bilik sahaja sambil melayan hobi membaca yang sudah lama ditinggalkan ini. Saya betul-betul tak mahu diganggu oleh hingar-bingar rakan serumah. Mereka semuanya baik-baik belaka, cuma saya perlukan sedikit ruang privasi untuk diri sendiri. Maaf ya, Ahlilbeit!

Tapi sempat juga bersembang dengan rakan karib saya, Nurul yang jauh di Kuantan sana. Saya senang bercerita dengannya soal yang satu itu. Saya tahu dia tahu, kerana dia terlebih dahulu sudah melaluinya. :)
Terima kasih atas nasihat. Saya akan cuba menjadi kuat!

Mata saya sudah penat untuk menangis. Sudah banyak rintik air mata yang tumpah menjadi bah yang deras. Hanya saya yang tahu apa yang sedang bergolak di dalam hati. Hanya Allah yang mampu membelai dan memujuk hati saya, kerana hanya Dia yang tahu sejauh mana kekuatan saya melalui semua ini.

Atas ruang dan peluang yang diberikan, saya akan berusaha sedaya upaya menjadi seorang yang lebih baik dari hari semalam, dan lebih baik dari hari ini... Insya Allah...

p/s: Selamat tinggal Februari!

No comments