29-02-2012


Hari terakhir dalam bulan Februari 2012. Tambah istimewa, 29 Februari ini hanya menyapa empat tahun sekali sebagai tahun lompat.

Setelah empat hari bercuti, hari ini adalah hari pertama saya kembali ke pejabat. Sungguh momentum bekerja saya hilang entah ke mana. Malas itu seperti dijampi-jampi dalam diri saya!
Sudahlah tiada semangat, ada pula mesyuarat menanti di hujung waktu bekerja. Argh!

Saya tekad. Tepat waktu pulang, saya terus bersiap untuk angkat kaki. Kalau saya memilih untuk berada dalam mesyuarat tu, sekarang pun belum tentu saya boleh berada di rumah.
Mereka semuanya masih muda seperti saya dan terlalu energetic. Idea mereka melimpah ruah hingga dua jam yang diperuntukkan boleh jadi melarat hingga tiga-empat jam ke masa tambahan. Itulah mereka. Itulah saya yang bekerja dengan mereka!
Malangnya gaya hidup saya tidak selari dengan mereka. Saya seorang gadis yang terlalu mementingkan masa sendiri, sedang mereka profesional yang tidak kisah berkorban diri. Sebab itu saya selalu 'bergaduh' dengan mereka. (Lantaklah!)

Malamnya, saya sangat gembira untuk berehat di rumah. Saya 'terpaksa' memilih untuk mengunci diri di bilik sahaja sambil melayan hobi membaca yang sudah lama ditinggalkan ini. Saya betul-betul tak mahu diganggu oleh hingar-bingar rakan serumah. Mereka semuanya baik-baik belaka, cuma saya perlukan sedikit ruang privasi untuk diri sendiri. Maaf ya, Ahlilbeit!

Tapi sempat juga bersembang dengan rakan karib saya, Nurul yang jauh di Kuantan sana. Saya senang bercerita dengannya soal yang satu itu. Saya tahu dia tahu, kerana dia terlebih dahulu sudah melaluinya. :)
Terima kasih atas nasihat. Saya akan cuba menjadi kuat!

Mata saya sudah penat untuk menangis. Sudah banyak rintik air mata yang tumpah menjadi bah yang deras. Hanya saya yang tahu apa yang sedang bergolak di dalam hati. Hanya Allah yang mampu membelai dan memujuk hati saya, kerana hanya Dia yang tahu sejauh mana kekuatan saya melalui semua ini.

Atas ruang dan peluang yang diberikan, saya akan berusaha sedaya upaya menjadi seorang yang lebih baik dari hari semalam, dan lebih baik dari hari ini... Insya Allah...

p/s: Selamat tinggal Februari!

Cuti dan Emosi


Bismillah...

Saya masih bercuti. Selalunya petang Ahad saya sudah ribut-ribut bersiap untuk kembali ke Kota Mega. Sebaliknya hari ini sedikit berbeza. Saya masih berehat-rehat dengan amannya. Huu!

Petang tadi saya berpeluang ke bandar dengan memandu kereta abah.
Seperti biasa, mulut saya mengomel panjang dengan keadaan jalanraya di sini. Bukan sedikit jalan yang berlubang, bukan tiada suara yang mengadu. Tapi semua itu dipandang sepi oleh pihak berwajib tanpa apa-apa tindakan.
Hati-hati, ya Pak ADUN. Saya ulang sekali lagi: HATI-HATI!

Cuti kali ini masih seperti biasa. Tiada apa yang istimewa melainkan keluarga tercinta. Semangat saya bagai dicaj semula saat berada di desa permai ini. Melihat wajah emak dan abah sangat memberi ketenangan hingga tak ingin rasanya untuk saya kembali pulang ke kota penggoda itu. Kalau di sana bukan sebuah perjuangan, tidak ingin rasanya saya bersesak-sesak dan berebut-rebut meneruskan survival yang sukar.

Huh. Terlalu emosi melayah perasaan, matlamat utama saya ke bandar tadi telah jauh tersasar. Sebelum keluar dari rumah, saya paling ingat untuk membeli tiket untuk pulang ke KL. Alih-alih, itulah yang paling saya lupa. Sudah separuh jalan barulah teringat. Malas benar untuk berpatah balik. Tak mengapalah. Akak boleh tolong belikan untuk saya esok.

Sampai di depan rumah, tiba-tiba rasa sebak. Entahlah...
Saya mendongak dan memandang segenap inci rumah abah ini. Rasa baru semalam bentuknya begitu. Seperti tiba-tiba sahaja sudah jadi begini, seperti apa yang tegak berdiri kini.
Rumah ini sudah jauuuh berbeza. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam yang memberikan ruang dan peluang untuk abah meningkatkan kualiti hidup kami sekeluarga. Memanglah harta ini semuanya sementara, tapi Insya Allah inilah ganjaran untuk abah dan emak yang sabar dan bersusah payah demi keluarga. Allah sedang mengganjari pengorbanan abah dan emak!

Esok masih ada sehari untuk saya bercuti. Emosi yang macam-macam ini perlu 'dilayan'. Selepas ini mungkin saya tak berpeluang lagi bercuti panjang hingga Mei (Insya Allah). Cuti-cuti saya perlu dikumpul untuk beberapa tarikh penting.
Saya sudah mula perlu menyusun jadual nikah kahwin sahabat handai yang mengundang. Apabila saya ditanya soalan ini, saya pasti menangis sendiri. Ah, emosi lagi!

p/s: Allah!

Syukur: Suatu Peringatan


Ini adalah entri republished. Saya sayangkan entri ini kerana nilai pengajarannya. Pengajaran yang mendidik dan menginsafkan diri saya sendiri. Saya kongsikannya sekali lagi di saat saya rasa terlalu lemah dan lelah untuk kembali bekerja.

***************
Sekitar dua minggu lepas, ketika itu hujan rintik-rintik dan rentaknya semakin lebat. Sejak pulang dari kerja, saya masih belum makan. Begitulah selalunya.
Malam itu saya berpeluang ke Domino's Pizza di TTDI. Dalam hujan renyai yang berpanjangan itu, saya gagahkan juga untuk menapak keluar demi perut yang minta diisi.

Selepas membuat pesanan, saya duduk di tempat duduk yang disediakan. Mata saya asyik memerhatikan pekerja-pekerja Domino's Pizza yang keluar dan masuk membuat delivery yang dipesan melalui telefon. Mereka menggalas beg sandang khas yang menyimpan pizza tersebut sebelum sampai ke tangan si pemesan di rumah mereka.

Ketika itu hujan agak lebat di luar. Saya lihat makin ramai pekerja-pekerja Domino's Pizza yang keluar dan menunggang motosikal untuk membuat penghantaran ke destinasi yang ditetapkan.
Allah. Di saat hujan dan semua orang selesa untuk hanya berada di rumah, ada orang yang bekerja dan mencari rezeki dengan memenuhi permintaan orang lain. Ketika orang lain bermalas-malasan untuk keluar dan meranduk hujan, ada insan yang memilih untuk melakukannya demi sebuah tugas dan tanggungjawab!

Tiba-tiba saya menginsafi diri sendiri.
Saya punya cuti Sabtu dan Ahad (walaupun ada kalanya saya perlu hadir bekerja pada hari Sabtu tetapi itupun hanya separuh hari).
Saya hanya bekerja bermula jam 9 pagi dan pulang pada jam 5.30 petang setiap hari (walaupun ada sekali sekala perlu stay back untuk mesyuarat tetapi itupun dibayar!)
Sebaliknya, mereka ada yang perlu bekerja tanpa mengira hari dan waktu demi memenuhi keperluan orang lain. Tidak cukup bernasib baikkah saya ini?

Saya pernah merungut kepada emak dan abah serta Elis dan Nurul yang saya sedih kerana perlu bekerja pada hari Sabtu. Kini saya sangat kesal. Rungutan saya benar-benar menafikan rasa bersyukur saya kepada Allah atas apa yang Dia berikan ini.

Bermula detik itu apabila saya rasa penat dan tertekan dengan kerja, saya pasti akan teringatkan pekerja-pekerja Domino's yang meredah hujan untuk menghantar pesanan dari pelanggan tempoh hari.
Sungguh, dalam diam mereka telah mengajarkan saya erti syukur. Dalam senyum ramah, mereka telah membawa saya menyantuni nilai sebuah kehidupan. Bekerja untuk hidup dan bukan sebaliknya. Allah Maha Mengetahui bahawa rezeki yang dikurniakannNya itu adalah cukup (malah mungkin lebih) untuk kehidupan hambaNya. Kalau kurang pun, itulah bentuk ujian terhadap kita. Tetapi kita perlu yakin yang Dia takkan menguji apa yang kita tak mampu lalui.

Firman Allah bermaksud:

"Kami tidak membebani seseorang melainkan munurut kesanggupannya, dan pada sisi Kami ada suatu Kitab yang membicarakan kebenaran, dan mereka tidak dianiaya."
(Surah Al Mukminun, ayat 62)

Si penghantar pizza telah memberi pengajaran penting dalam hidup saya:
Syukur apa adanya.
Kerana janji Allah sentiasa benar.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya. Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."
(Surah Ibrahim, ayat 7)

Sungguh orang yang bersyukur adalah golongan yang sedikit. Semoga kita dimasukkan ke dalam golongan yang sedikit itu!

p/s: Saya bercuti hingga hari Selasa. Cukuplah minggu-minggu lepas yang menyesakkan dada!

24 Haribulan


Bismillah...

Cepatnya masa berlalu. Bulan Februari sudah habis mengambang penuh. Minggu depan sudah masuk bulan Mac!
Memang. Memang DDD terabai teruk sepanjang bulan ini. Saya hanya berpeluang menulis di awal bulan yang lalu dan hari ini hujung bulan sudah menjengah. Nampak sangatlah saya sibuk.
Dua minggu SSB saya terisi dengan tugas dan tanggungjawab di pejabat. Bulan ini paling memenatkan!

Atas alasan itu, saya menghadiahi diri sendiri dengan mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Apa pun keadaan saya- gembira, sedih atau apa saja- pulang ke tanah keramat emak dan abah ini adalah keputusan yang paling tepat. Rindu ini bukan rahsia lagi.

Tepat jam 5 petang tadi, saya sudah bersiap-siap untuk pulang. Semua terkejut kerana cuti saya yang agak panjang dan diluluskan oleh pihak atasan. Ehem.
Ada yang menduga dengan soalan-soalan lucu:
"Siapa yang luluskan cuti Dhiya?"
"Dhiya, ada masalah ke?"
"Dhiya balik bertunang ye?"
Apa-apalah. Semua telahan mereka salah. Saya cuma menggunakan hak cuti saya untuk merehatkan diri sementara tiada hal penting di pejabat. Itu sahaja.

Sekali lagi saya memilih untuk pulang menaiki bas. Baby K terlalu banyak berkorban tenaga untuk saya bulan ini. Biarlah dia berehat.
Bersendirian di dalam bas memberi saya banyak ruang masa untuk berfikir. Dari seindah angan-angan untuk menjadi permaisuri putera raja hinggalah sesebak hiba memikirkan kedudukan saya di sisi Allah. Benarlah bersendirian itu indah. Apa yang difikirkan waktu itu hampir semuanya rasional dan menginsafkan diri. Saya perlukan lebih masa untuk bersendirian kerana itu yang terbaik untuk saya menilai hal-hal kehidupan saya.

Menjejak kaki ke rumah adalah satu momen yang penuh nikmat dalam hidup saya. Di rumah ini saya dilahirkan, di rumah ini saya dibesarkan. Emak dan abah adalah orang yang bertanggungjawab membina baiti jannati dalam rumah ini. Biarpun tidak semewah mahligai diraja, tetapi ia kaya dengan nilai sentimental yang menjadikan siapa saya hari ini.
Nilai keluarga kecil saya tidak boleh diterjemah dengan tukaran matawang yang berlipat kali ganda. Cukuplah sekadar rasa syukur menjadi perhiasan budi, kerana kelak akan ditambah nikmat dimurahkan rezeki.

Malam makin lewat. Desa ini semakin sunyi. Bunyi cengkerik bagaikan ada rentak dan melodinya yang tersendiri. Inilah yang saya dambakan, yang tidak pernah ada di Kota Mega sana. Maka pasti sudah terjawab soalah mengapa saya rindu untuk pulang ke desa- Saya menemui ketenangan di sini. Titik.

p/s: Jumpa esok! Selamat malam~

Pujuklah hati

Di saat terasa sedih dan sukar, carilah sesuatu. Semoga hati terpujuk.
Carilah Dia sebagai pembelai hati. Jangan merajuk!

kredit: Facebook

Lama sungguh tak menulis...

Tunggu nanti,
Dhiya

Dalam Hujan


baru keluar dari pejabat. oh...
hujan lebat di luar. saya sedang bersiaran dari dalam kereta, di masjid bulat kesukaan saya. baru usai solat fardhu maghrib.

hujan-hujan begini, mulalah rindu kampung halaman. rindu masakan emak dan rindu semuanya!

baby-k terpaksa saya tinggalkan di pusat jagaannya di pejabat. saya tak betah memandu malam. hujan lebat pula tu.

masa untuk makan malam. sementara bujang ni bolehlah makan ikut dan (kut).nanti dah ada suami, saya akan naik pangkat jadi domestic engineer. bukan lagi medical engineer. waktu makan pasti lebih teratur.hu!

ok, masa untuk memburu makanan dalam hujan!

Kerja dan Kerja


Bismillah...

Lama benar saya tak menjengah DDD. Rindu memanglah rindu, tapi apa apa boleh buat- Tuntutan kerja ini sentiasa menghambat.
Sudah agak jarang saya membina optimis dan motivasi dalam blog ini lantaran kesibukan hal dunia. Secara peribadi, saya kecewa dan benci dengan gaya hidup yang sedang saya lalui kini. Saya suka dengan kerjaya saya, cuma saya tak betah dengan tatacara hidup di kota.

Walaupun minggu ini hanya bekerja tiga hari, tapi tekanan yang saya terima amatlah hebat. Rabu, sudah ada yang request supaya saya bekerja Sabtu ini sedangkan minggu ini bukan SSB saya. Dengan sedikit 'paksa rela', saya iyakan sahaja.
Saya tersepit di tengah kondisi-
Kalau saya katakan tidak, pasti mereka bertanya serba serbi sebab mengapa saya menolak. Tugas saya sendiri pun melambak di atas meja. Minggu depan sahaja saya ada tiga program penting yang memerlukan persediaan awal minggu ini. Tetapi mereka request bantuan saya dengan soalan tertutup- Antara memilih 'ya' atau 'tidak'!
Akhirnya saya berlembut dengan diri sendiri- Ikhlaskan sahaja hati. Allah sedang menilai sejauh mana 'permata' itu bersinar dalam diri.

Kak Ru berpesan agar saya menjadi lebih berani untuk mengatakan 'tidak' dalam beberapa hal. Hm...Bunyi macam senang, tetapi saya yang melaluinya yang akan terasa payah untuk menyimpulkan kesimpulan.
Memang tidak dinafikan, saya selalu gagal bertegas beberapa bab. Itu mungkin kelemahan yang saya perlu segera perbaiki, bukan untuk dielak dan dihindari. Semoga Allah mudahkan urusan membina kekuatan diri ini. Allah...

Bayaran yang dibayar

Hari ini saya pulang dengan seribu satu rencana untuk esok. Di saat semua orang meraikan Jumaat selepas bekerja teruk, saya masih menyusun prioriti tugas yang perlu diselesaikan. Inilah harga sebuah perjuangan. Saya dibayar gaji kerana menyudahkan tugas ini. Tetapi saya tidak boleh lupa yang saya juga dibayar pahala jika keikhlasan dan kejujuran menjadi paksi dalam melunaskan tanggungjawab ini.
Apabila terlalu tertekan, kita selalu lupa bayaran yang dibayar ini. Bayaran yang tidak terlihat, tapi selalu ada sebagai pengubat kesedihan dan keringat yang tumpah dalam ikhlas mencari rezeki.

***********************

Sudah 12 malam, 11 Febuari 2012. Cepatnya masa berlalu. Saya masih gagal mengurus masa (baca= nyawa) dengan baik sedangkan saya tahu mati sedang menanti di hadapan.

Ya Allah, lemahnya hambaMu ini. Bantulah...Bantulah!

Selamat Malam,
Dhiya

Balada Selawat

Dengarkan...



Semoga masuk ke dalam hati, menjadi inspirasi perjuangan kita hari ini, esok dan selamanya.

Rindu Baginda,
Dhiya

Baby K


Sebelum saya pulang bercuti Sabtu lepas, saya telah serahkan kunci kereta Baby K kepada Elis.

Saya: Buatlah apa yang patut dengan kereta tu. Jangan dijual ke kedai besi buruk sudahlah~
Elis: Saya servis lah.
Saya: Ok, tapi jangan mahal-mahal sangat. Takut lari bajet. (Kedekut sungguh!)

Semalam saya menerima panggilan dari Elis.

Elis: Dhiya, saya dah servis kereta awak.
Saya: Ha! Awak betul-betul pergi servis ke?
Elis: Iyalah. Awak ingat saya main-main ke? Daripada awak membebel itu ini tentang kereta awak, baik saya tolong servis.
Saya: Mahal tak? Berapa ratus kena bayar? (berkiranya!)
Elis: RM1** je.
Saya: Aaaaa!(baca: Mahalnya!) Baiklah. Nanti saya bayar~
Elis: Meter digital tu pun saya dah betulkan. Semua dah ok sekarang ni.
Saya: Apa? Itu saya tak suruh pun! Berapa puluh pula kena bayar tu? (dalam hati marah menggila. Pandia-pandai je buat. Nanti saya yang kena bayar!)
Elis: Saya buat sendiri je. Baca forum pasal kereta dan cedok idea mereka. Free of charge je.
Saya: Err...Ok terima kasih. Nanti saya belanja awak spageti lah. (-.-)

***********************

Tak sabarnya nak balik ke KL esok untuk melihat brand-new Baby K. Apa yang istimewa sangat selepas diservis. Hahaha!
Kasihan juga Baby K saya tu. Sejak saya mula memandu ke tempat kerja, dia memang bekerja setiap hari kecuali hari cuti. Itu belum dikira lagi pulang ke desa dengannya. Minyak, kos serba serbi dan macam-macam lagi. Pendek kata: Sakit dia, sakitlah saya!

Elis: Dhiya, lupa nak bagitau.
Saya: Apa?
Elis: Awak selalu kutuk kereta saya bersawang la...berdebu la...bersepah la...Tapi hari ni rahsia awak dah terbongkar. Saya jumpa sarang labah-labah dalam kereta awak. (-.-)
Bila saya calit jari saya pada badan kereta, Masya Allah...Hitam berdebu!
Saya buka boot kereta, bersepah macam gudang tinggal.
Bla bla bla...
Saya: Sudah! Sudah! Saya tak dengar dan tak faham apa yang awak cakapkan tadi.
Elis: Ok, saya menang. Awak kalah.
Saya: ...(suka hati awaklah!)

Heh...Ini bukan kereta mainan!
Gambar diambil dari koridor asrama sewaktu zaman pengajian di UM dulu. Tapak bernombor 130 tu memang Baby K yang punya. RM 50 per semester. Siapa berani masuk, memang cari nahas! :p

********************

Tiba-tiba rasa malas sangat nak balik KL esok.
Malas nak bergaduh dengan mereka-mereka yang memang kuat cari gaduh. Hari-hari pun bergadung dengan Elis. Di pejabat pun ada seorang 'mamat' yang suka sangat cari fasal dengan saya. Grrr!

Untuk Baby K, Dhiya tak akan benarkan awak diselongkar oleh Elis lagi. Untuk hari ini, kalau dia buat apa-apa pada awak, bagitau Dhiya ye! Dhiya akan selongkar kereta dia balik!
Nampaknya Dhiya tak boleh shopping la bulan ni. (-.-) OoOoOoOo!

p/s: Bila boleh dapat Myvi ni?~ Eh, silap cakap. Nanti Baby K merajuk! Alamak! Alamak!

Berangan,
Dhiya


Bercuti Lagi!


Jumaat


Waktu pejabat berakhir jam 5 petang. Tapi saya ada berjanji dengan rakan sekerja untuk menghadiri majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baru Cina. Jadi saya mengambil keputusan untuk menunggu saja di pejabat sementara ada rakan yang datang menjemput.

Dipendekkan cerita, majlis berakhir agak lewat. Cuak juga saya hendak pulang ke rumah. Maklumlah, semua rakan serumah sudah pulang bercuti. Rumah pula ditinggalkan awal pagi dan saya hanya balik lewat malam. Gelaplah~ Memang rasa hendak menangis.

Selesai solat Isyak, saya terus kurung diri di dalam bilik. Cepatlah mata pejam. Semoga esok segera menjengah...

Sabtu

Penat sangat malam tadi, saya terlewat bangun. Tergesa-gesa jugalah saya dibuatnya. Beg belum dikemas, sampah belum dibuang. Uhu! Lain kali berlengah lagi, Dhiya!
Kali ini saya memilih untuk pulang menaiki bas. Tak sanggup lagi rasanya hendak memandu sendirian dan berperang dengan ketakutan, mengantuk mata dan bosan jiwa...Biarlah kali ini saya hanya berehat dan tidur di sepanjang perjalanan.

Saya keluar dari rumah seawal jam 7 pagi. Alhamdulillah sempat bersarapan. :)
Tiba di stesen bas, saya lihat ramai sangat orang beratur di kaunter untuk membeli tiket bas. Terdetik dalam hati: Syukurlah saya sudah membeli tiket lebih awal. Kalau tak, entah pukul berapa saya boleh naik bas~
Lima belas minit sebelum pukul 9 pagi, saya melangkah masuk ke dalam bas dengan penuh bangga. Orang lain yang masih beratur hanya melihat sambil gigit jari. :p (Nakalnya kamu, Dhiya!)

Kota Mega saya tinggalkan.
Selamat tinggal kota yang menggoda. Emak dan abah sedang menunggu di desa dengan doa. Saya perlu pulang ke desa kerana mereka adalah sumber kekuatan saya. Semangat yang hilang di sini perlu dicas semula di desa tercinta. Tiada siapa boleh menghalang saya untuk terus terikat hati dengan kehidupan saya yang begini. Moga kelak saya bersuami nanti, dia tidak akan menghalang saya untuk terus pulang dan mendakap batang tubuh emak dan abah yang tercinta. Mereka sangat penting dalam hidup saya. Sangat penting...

Jam 12 tengahari, saya tiba di desa. Alhamdulillah. Jangan tanya apa perasaan saya. :)
Berhenti membebel, Dhiya~

Salam sayang,
Dhiya

01.02.2012


Selamat datang hari pertama bulan baru!

Boleh dikatakan hampir semua rakan serumah saya bercuti sempena Hari Wilayah, sedang saya yang bekerja di dalam negeri Selangor gigih bangun di pagi hari untuk memulakan tugas. Tak mengapa. Hari ini hari kalian. Esok lusa hari saya pula.

Rabu seperti biasa. Kerja seperti biasa. Isu ini tak akan selesai selagi ada.

*************************

Banyak isu peribadi yang bergolak dalam jiwa. Sudah lama saya tak menangis atas semua ujian yang hadir ini. Entah dari mana datang kental jiwa itu, atau mungkin kesibukan yang menyebabkan saya lupa semua permasalahan yang memberat.

Ah. Sudahlah Dhiya. jangan dilayan sangat lara jiwa. Sehari usia meningkat, sehari mati mendekat. Dunia tak layak untuk ditangisi...

Dhiya

Terima Kasih


Terima kasih bos kerana sudi luluskan cuti SSB saya minggu ini. Maka sekali lagi saya akan bercuti agak panjang, iaitu bermula Sabtu ini hingga Selasa depan.

Kali ini saya memilih untuk pulang menaiki bas. Baru tadi ke hentian bas membeli tiket. Tak larat rasanya untuk memandu sendirian lagi. Biarlah kali ini saya tidur nyenyak saja di dalam bas. Lagipun Baby K perlukan rehat. Dia terlalu banyak berkorban untuk saya sejak kebelakangan ini.

Terima kasih sekali lagi. Untuk yang bekerja (SSB) minggu ini, selemat bekerja. Saya dah 'ganti' SSB saya minggu lepas. Jadi minggu ini saya berhak bercuti. Weehu!

Ok, dah malam. Masa untuk rehat. Esok ada tugas yang menuntut saya hadir seawal 7.30 pagi. Adoi!

Dhiya Dahlia