Resepi Masak Lemak Cili Api Daging dengan Rebung


Bismillah

Lama tak cerita pasal resepi. Minggu lepas saya ambil cuti hari Isnin sebab Sabtu sebelumnya saya kerana bekerja. Jadi banyaklah yang bermain dalam kepala. Rasa nak buat semua benda dalam satu hari tu.

Tapi yang pasti- Kalau bercuti, saya akan memasak menu makan malam istimewa untuk kami berdua. Jadi saya telah masak:

1. Masak lemak cili api daging dengan rebung
2. Sambal kentang, tempe dan ikan bilis
3. Ikan talapia goreng rangup
4. Sambal kicap dengan jus limau

Tapi menu yang saya nak kongsikan ni adalah menu masak lemak cili api tu je sebab yang lain-lain tu macam senang je. Huhuhu

Bahan-bahan:
1. Serai- dua batang
2. Kunyit- 1 inci
3. Cili api- 5 biji
5. Bawang besar- 1 biji
6. Daun/ pucuk selasih
7. Daging dihiris nipis
8. Rebung segar atau dijeruk
9. Pucuk paku dibuang batang tua
10. Santan
11. Asam keping
12. Perasa
Cara-Cara:
1. Tumbuk: Serai (yang dihiris), bawang merah, cili kecil dan kunyit hingga lumat
2. Masukkan bahan tumbuk ke dalam periuk, masukkan sedikit air dan daging dan asam keping- buka api
3. Apabila sudah empuk, masukkan rebung , pucuk paku dan pucuk selasih (opsyenal)
4. Masukkan santan
5. Perasakan
6. Tunggu hingga mendidih dan boleh dihidang

Alhamdulillah siap!

Lauk mudah-mudah je. Tak mampu nak buat lasagne bagai~

Dhiya

Ramadhan 1438H


Bismillah

Alhamdulillah it's Ramadhan!

Dah hari ketiga pun. Tapi baru hari ni dapat menulis sebab kebetulan puasa pertama yang jatuh pada hari minggu tu buat kami sangat sibuk.

Kami tak balik ke kampung pun sebab memang kami menjangkakan jalan akan sesak. Jadi kami di KL saja. Berbuka berdua saja di KL sambil berjalan-jalan sekitar KL (tapi tak boleh makan~)
Everything is okay here, Insya Allah!

Selamat berpuasa kepada semua dan semoga kita semua dapat menjalani madrasah Ramadhan dengan penuh keazaman.

Dhiya

Cara Saya Mudahkan Hidup sebagai Wanita Bekerjaya


Pakaian

1. Sebagaimana baju dibasuh hari-hari (setiap kali sampai rumah dari pejabat, saya akan on mesin basuh dulu), begitulah juga melipatnya. Saya tak akan tangguh bab ini sebab ia akan menjadi bukit atau kubu kalau dah masuk 3-4 hari.

2. Baju kerja kami tak dilipat, sebaliknya digantung kemas. Jadi jimatlah masa melipat di situ. Kami hanya melipat baju harian saja. Kalau dah siap lipat, selalunya kami akan susun masing-masing baju kami. Suami saya akan angkut baju dia dan susun ikut baju malam, tshirt harian, baju pagoda dan begitulah saya. Sebab tu jangan bertangguh, nak menyusun pun senang.

3. Gosok baju sekali banyak. Tak semestinya setiap Ahad kena ada 5 pasang baju dah tersedia untuk seminggu. Saya gosok baju 2 kali seminggu iaitu setiap Isnin dan Khamis. Jadi tak adalah ganggu hujung minggu sangat. Kadang-kadang hujung minggu naklah buat benda lain kan.

Dapur

1. Sebelum balik kerja, selalunya dalam kepala dah tahu nak masak apa. Kalau kata makan luar, kira rehat lah sikit Alhamdulillah. Masak lauk makan malam tak perlulah kari, masak lemak cili api, nasi beriani bagai~ Cukuplah dengan sejenis lauk ringkas dan ulam timun. Kalau nak bersambal jugak, buat sekali banyak dan simpan dalam balang. Kadang-kadang saya goreng bihun atau spageti saja.

2. Oh sejak kebelakangan  ni saya dah jumpa rentak untuk bawa bekal ke pejabat. Selalunya semua menu termasuk nasi saya dah siapkan malamnya lagi. Bangun pagi tinggal panaskan (kalau perlu) dan letak dalam lunch box saja. Lauk pun mudah-mudah je macam sardin, sayur campur, ayam rempah, udang berlada.

3. Cepatkan aktiviti di dapur dengan buat stok. Cili kisar dan penumis selalunya memang dah tersedia dalam peti ais saya. Ikan atau ayam yang beku, selalunya saya akan keluarkan dari peti siap-siap sebaik sampai ke rumah dari pejabat. Kadang-kadang kalau lambat nak cair, saya defrost saja guna microwave.

Bilik air

1. Kami berdua bahagi tugas di bilik air. Saya tak kisah untuk jaga tandas sebab suami saya dah menyanggup nak jaga bilik air. Maka kami banyak 'bertanding' untuk pastikan kawasan jajahan masing-masing berada dalam keadaan bersih.

2. Jangan tunggu kotor atau berlumut baru nak cuci. Sambil mandi pun boleh buat. Lagipun kalau dicuci selalu, barulah nampak sentiasa bersih

Ruang tamu

1. Sapu selang sehari. Rumah kami tak berdebu teruk pun. Jadi menyapu selang sehari tu kira ok

2. Mengemas: Selalu! Tapi memandangkan rumah kami tak sepah mana (belum sepah sebab belum ada baby yang pandai 'mengemas'), saya rasa tak beban sangat pun. Hanya susun-susun bantal di sofa dan betulkan langsir saja.

3. Jangan bertangguh dalam mengemas. Kalau sambal lalu tu nampak ada getah gelang makan satay semalam di lantai, ambil terus. Bukan buat-buat tak nampak. Kalau ada nampak sampah atas meja makan atau sofa, terus ambil waktu bangun nak ke tandas atau dapur. Kata orang, kena pandai menyambil.

Setakat ini, itulah yang saya buat dalam keluarga kecil kami. Esok ada anak kecil, kita bincang lain ya.

Puasa dah dekat. Tips di dapur tu mungkin membantu anda. Saya pun cedok dari perkongsian orang lain di kalangan kawan-kawan dan dari alam maya.

Hope it helps.

Counting for Ramadhan!

Dhiya

Birthday Retreat for Le Husband- Eco Tree Hotel Melaka, Premier Suite


Bismillah

Alhamdulillah

Mac lepas suami saya dapat umur baru. Tapi saya tak tahu nak buat apa untuk dia. Kebetulan pula waktu itu cuti sekolah dan dapat banyak jemputan kenduri kahwin, kami setuju untuk berjalan-jalan (makan percuma di rumah kenduri) je. Tapi masih rasa tak ada yang istimewanya untuk dia. Kesian pula~

Kenduri yang kami nak pergi tu kebetulan di Jelai sana, jadi saya rasa destinasi terbaik untuk percutian kali ni adalah Melaka (again~)
Tapi kali ni saya ambil hotel yang lebih istimewa memandangkan hotel Melaka sewaktu birthday saya dulu biasa-biasa saja sampai tak ada review pun. Huhuhu!

Maka kami pun mendaftar masuk di Eco Tree Hotel Melaka, Premier Suite!

Masuk-masuk je, saya sendiri pun terdiam. Suami saya lagilah tak cakap apa-apa sebab saya memang sorok bilik ni dari awal lagi.
Bilik Premier Suite ni sangat besar untuk kami berdua. Lengkap dengan meja kerja, sofa menghadap pemandangan Melaka dan bilik air yang super luas!
Yang cerah di belakang katil tu adalah tingkap kaca luas dan boleh nampak pemandangan luar. Ada sofa untuk duduk-duduk.
Inilah sofa yang saya maksudkan tu. Seronok je duduk sambil tengok pemandangan luar
Inilah dia pemandangan penuh ruang bilik. Memang cukup luas dan selesa untuk kami.
Bilik air bukan main daring lagi. Semua kaca. Cuma ada shade sikit saja untuk pisahkan bilik air dengan ruang bilik.
Keadaan memang luas dan bersih.
Dan iniiiiiiii memang terbaik!
Selain duduk (mereput) di dalam bilik, tak ada aktiviti lain kecuali makan. Seingat saya, selama beberapa kali ke Melaka, kami dah banyak sangat cuba asam pedas. Merata kedai dah~
Tapi tak apa. Kami suka!
Kali ini kami ke Claypot Asam Pedas  Kota Laksamana. Kebetulan pula di luar sedang hujan...Memang nikmat sungguh!
Tempat menunggu di foyer
Selain bilik hotel yang cantik, kemas dan menarik, banyak lagi kemudahan lain yang saya rasa sangat ok. Kami ke restoran Teak Coffee House untuk sarapan pagi. Makanan tak banyak pilihan sangat tapi acceptable. Tempat cantik dan romantik~
Selain itu, ada juga kolam renang di tingkat atas dipanggil Sky Pool. Tapi kami tak berenang pun sebab kolamnya agak kecil. Di tepi kolam tu juga ada bar yang agak meriah kalau malam. Atas Sky Pool ni ada satu lagi deck pemerhati untuk tengok Melaka, tapi saya tak naik sebab gayat~
Gimnasium pun ada! Tapi malangnya kami lupa bawa kasut. Nampaknya lepas ni kalau masuk ke mana-mana hotel, kena bawa pakaian sukanlah sebab nak fully utilize semua kemudahan yang disediakan.
Keseluruhannya Eco Tree Hotel ni memang terbaik. Saya sangat puas hati dengan layanan dan kemudahan yang disediakan. Bilik kami pula sangatlah cantik dan saya sangat sangat berpuas hati.

Terima kasih Eco Tree sebab buat saya happy di hari jadi suami saya!

Mesti dating lagi. Nak cuba studio pula :)

Dhiya