Bismillah
Hari kedua di Langkawi diteruskan. Program kami pada pagi tu adalah island hopping. Pagi tu ada seorang runner telefon dan beritahu di mana untuk kami tunggu mereka. Tepat jam 9 pagi, kami dibawa menaiki van ke tempat menunggu. Masa tu dah ramai orang dari macam-macam hotel dan macam-macam pakej. Macam kami yang gamble berdua je ni, kami dimasukkan dengan satu keluarga dari Pakistan dan dua orang perempuan sekawan.
Pemandangan di pick-up point island hopping |
Gambar-gambar pemandangan sepanjang menaiki bot:
Destinasi pertama kami adalah Tasik Dayang Bunting. Nak masuk ke TDB ni kena bayar RM3 seorang. Kemudian apa-apa aktiviti di TDB tu semua berbayar. Life jacket (wajib pakai semasa berenang) pun kena bayar RM10 seorang.
Tapi pendapat saya, tak rugi pun untuk spend sikit di sini untuk merasa. Bukan mudah dan bukan selalu dapat datang ke TDB ni.
Oh ya, masa yang diberikan oleh pemandu bot adalah selama sejam saja. Nak berenang, nak naik itik kayuh, nak bergambar- Semua dalam sejam tu saja. Lambat, jadilah kau penghuni pulau!
Jeti untuk ke pintu masuk TDB
|
Tasik Dayang Bunting ini adalah tasik air tawar yang merupakan kawasan tadahan air di balik bukit. Nampak sangat jelas kekuasaan Allah, di saat kau di tengah-tengah laut- Boleh jumpa air tawar. Tazkirah sikit~
Nak mendaki ke atas tu satu hal lain pula. Boleh tahan penat dibuatnya. Tapi sebab fikir dah alang-alang sampai, maka gagahkan juga. Sila berhati-hati sebab ada monyet yang kelaparan di TDB ni. Jangan pegang plastik makanan. Simpan kemas-kemas dalam beg sandang. Kalau tak, jadilah drama 'Aku berebut dengan monyet'.
Pemandangan TDB dari atas. Masya Allah cantik sangat-sangat! Cuma saya yang rasa 'ngeri' sikit sebab tasik ni sangat luas macam laut. |
Jadi inilah dia Tasik Dayang Bunting, yang dikatakan menjadi tumpuan bukan saja kerana pemandangannya yang cantik, tetapi juga menjadi tempat pengunjung yang berhajatkan anak untuk mandi dan minum air TDB. Kelakar pun ada juga. Tak apalah, kita tak akan cakap bab tu di sini. Yang penting TDB ini sangat cantik dan indah!
Ramai pengunjung yang mandi. |
Tempat mandi cetek ada disediakan terutamanya untuk pengujung yang bawa anak. |
Saya difahamkan tasik ini berkedalaman 15 meter. Dalam juga. Tempat berenang pun sudah disediakan dan ditandakan dengan jaring dan pelampung. Maksudnya kita tak boleh berenang sesuka hati dalam TDB ni. Ikut saja arahan keselamatan. Lagipun sejam masa yang diberi bukan boleh berenang ke seluruh pelusuk tasik tu.
Setengah jam pertama, kami sewa kereta kayuh berkuasa solar tu pada harga RM20 dan berkayuhlah kami ke tengah tasik. Boleh tahan cuak juga dibuatnya. Tapi nak merasa punya pasal, beranikan sajalah diri. Selepas puas bergambar bagai, kami balik ke tebing dan baki lagi setengah jam kami guna untuk berenang.
Cukup sejam, kami baru gerak ke jeti untuk dapatkan bot kami. Itu pun dah dikira orang terakhir. Ouh!
Destinasi seterusnya adalah Pulau Singa Besar. Di situ tak ada aktiviti apa sangat melainkan melihat burung helang yang banyak terdapat di situ. Kadang-kadang pemandu bot akan bawa kulit ayam dan campak ke dalam air untuk beri helang makan dan penumpang dapatlah tengok dengan lebih dekat. Malangnya sewaktu kami sampai di sini, hari mulai hujan dan helang sudah mula mencari tempat teduh. Tapi dapatlah tengok sekejap sebelum hujan tu.
Destinasi terakhir adalah Pulau Beras Basah. Nasib tak berapa menyebelahi kami sebab hari masih hujan. Nak turun mandi atau bergambar pun macam dah tak semangat. Akhirnya kami sepakat je untuk balik ke tempat pick up tadi dan menamatkan aktiviti island hopping ini.
Tapi aktiviti air kami tak berakhir di situ. Selepas dihantar balik ke hotel, kami merayap ke Pantai Cenang dan bergambar sakan pula di situ. Ombak sangat kuat, walaupun hujan dah berhenti. Agak tak sesuai untuk mandi. Sebab itu kami hanya main di gigi air saja.
Bila dah puas, barulah kami balik ke hotel. Masa tu dalam pukul 12.30 tengahari. Kami bersiap-siap untuk itinerari seterusnya:
Kilang gamat Nusantara.
Rasanya bukan nama ke Langkawi kalau tak ke tempat signature ni. Langkawi memang sinonim dengan gamat. Sebab itulah kami cuba cari masa dan peluang untuk tengok dari dekat kisah gamat ni dan beli sedikit untuk mak dan abah sebab semua pun tahu khasiat gamat ni.
Inilah dia kawah untuk merebus gamat. Jakun la juga sebab inilah kali pertama tengok. |
Antara herba lain yang digunakan dalam proses pembuatan minyak gamat. |
Emak gamat. Kalau kecut, beginilah rupanya. Tapi menurut orang tempatan, kalau direbus balik, emak gamat ni boleh mengembang balik kepada bentuk asalnya dan boleh dibuat sup. |
Siap membeli gamat, kami terus ke Beras Terbakar. Tapak Beras Terbakar je lagi yang tinggal. Tapak tu terletak di halaman rumah persendirian yang sangat cantik. Sebelum ke tapak tu, kita akan lalu gerai-gerai jualan pakaian yang sangatlah menggoda jiwa. Kain, baju, pelikat, semua cantik-cantik!
Rumah persendirian. Jangan pula buka kasut dan masuk. |
Beras terbakar yang tinggal diletakkan di dalam kotak kaca, untuk tontonan pelawat. |
Destinasi seterusnya adalah Tanjung Rhu. Tapi nasib sekali lagi tak menyebelahi kami sebab cuaca gelap dan hari mulai hujan. Kami berkurung dalam kereta saja menunggu hujan teduh.
Sebaik hujan berhenti, kami ke Pantai Pasir Hitam. Pantai ni tak boleh dibuat mandi. Tak ada orang mandi pun. Jangan jadi pelik dari orang ya. Gambar di bawah mungkin boleh menjawab kenapa pantai ini pasirnya hitam:
Pemandangan Pantai Pasir Hitam. |
Bila hari dah malam, kami balik ke Cenang. Kami makan malam di kawasan Cenang saja. Serius tak perlu susah hati sebab di Cenang sangatlah banyak tempat makan. Insya Allah tak mati kelaparan. Kami pilih untuk makan street food saja sebab Old Town ke, KFC ke was too mainstream for us. Kat KL pun boleh jumpa.
Lepas makan, kami berjalan kaki sambil melihat telatah orang di Cenang. Nak balik hotel pun, awal lagi.
Bila dah malam sikit, kami ke Secret Recipe sebab macam lapar. Beli kek, kemudian kami berjalan kaki melepak di Pantai Cenang. Aktiviti malam ni sangat santai. Tak ada membeli belah sangat.
Walkaway ke Pantai Cenang. |
Malam kedua di Langkawi Selesai. Secara keseluruhannya, kami puas hati la walaupun ada hujan sikit-sikit. Hujan tu pun bukan bawah kawalan kita.
Entri seterusnya adalah entri terakhir. Hari ketiga di Langkawi sebelum terbang balik ke KL~!
Salam sayang,
Dhiya
Best kan pergi Langkawi...tak puas. Saya dah pergi tahun lepas 3 hari 2 malam juga. Macam nak pergi lagi je. Aman dan tenang je kat sana.
ReplyDelete