Resepi Ikan Pais Kukus Berkuah Warisan Emak


Bismillah

Ini kes rindu mak. Salah satu kehebatan mak adalah masakannya yang lazat. Hey siapa tak puji mak sendiri wei~
Kadang-kadang rasa macam magik, apa pun yang mak masak waima sayur air- Seakan ada sentuhan ajaib. Semuanya sedap-sedap belaka. Sesungguhnya benarlah- Air tangan seorang ibu sangat misteri. Dan saya sangat bangga kerana membesar dengan air tangan emak :)

Apabila sudah berkahwin, saya tidak boleh kekal dengan perangai manja tu. Kalau dulu, emak akan tanya apa yang saya teringin nak makan dan kami akan memasak bersama. Tapi hari ini, saya kena fikir sendiri apa yang hendak dimasak sebab setiap kali saya tanya suami, dia akan jawab:
"Masaklah pape"
Cis

Minggu lepas saya macam teringat-ingat ikan pais yang macam mak selalu buat tu. Malamnya saya masuk dapur untuk tengok bahan. Semua ada kecuali ikan (kena beli) dan serai. Kalau mak selalu guna daun pisang, nampaknya saya kena derhaka sedikit sebab di sini susah nak berdaun pisang bagai. Aluminum foil ada dalam stor. Kita utilize apa yang ada je. Kata engineer~ Haruslah fikir kreatif sikit.

Nah,
Resepi ikan pais paling mudah, tak payah daun pisang, dan modal tak sampai RM 5 sebab saya beli ikan dan serai je. Bahan lain dah ada dalam rumah.

Bahan-bahan- Rujuk gambar di bawah ikut arah jam

1. Ikan (Selar/ kembung/ pelalin) 
2. 2 batang serai + 1/2 inci kunyit + 5 tangkai cili padi + 2 biji bawang merah + sedikit garam - Ditumbuk sehingga macam dalam gambar tu
3. Pati asam jawa
4. Hirisan tomato/ belimbing besi pun boleh
5. Jus limau nipis
6. Daun serai/ daun kesum

* Rasa bolehlah adjust sendiri. Ikan tu dah diperap garam, bahan tumbuk pun dah ada garam, asam jawa tu manis sikit, limau tu masam.
Bahan-bahan asas
Bahan untuk dimasukkan semasa membungkus
Bahan tumbuk
Cara-cara (Rujuk gambar di bawah)

Ini budak sekolah pun boleh buat. Percayalah. Saya yang tak cekap memasak pun perasan jadi pro masa buat ni.

1. Bentangkan aluminum foil di atas pinggan berlekuk sedikit. (sebab jangan bagi air asam jawa tu terkeluar)
2. Letak bahan tumbuk atas permukaan foil. Agak-agak cukup untuk baringkan ikan saja
3. Ratakan bahan tumbuk di atas badan ikan. Masukkan juga di bahagian dalam ikan.
4. Susun tomato/ belimbing buluh/ daun serai/ daun kesum
5. Bungkuskan ikan dengan cermat. Tak perlu pakai stapler atau lidi sebab foil ni kemas. Lipat salah satu hujung bungkusan kemas-kemas.
6. Di satu hujung foil yang masih terbuka, masukkan air asam jawa dan jus limau nipis. Nak letak awal pun boleh, tapi takut nanti tertumpah-tumpah pula sewaktu nak melipat kemasan hujung foil tu.
7. Lipat dan kemaskan hujung foil yang kedua.
8. Masukkan ke dalam periuk kukus.
9. Masak dalam 20 minit atau sehingga masak.
Campurkan je semua sebelum dikafankan
Siap dibungkus
Satu untuk dia, satu untuk saya
Kukus!
Ikan pais ni sedap dimakan sebaik diangkat. Masa panas-panas tu memang terangkat! Kami berdua memang jenis yang suka menghirup kuahnya, jadi sebab itu saya buat pais berkuah dan saya memilih untuk kukus. Kalau dibakar nanti takut airnya kering.

Punyalah syiok makan, masa saya nak tulis entri ni baru saya sedar yang saya lupa nak ambil gambar ikan pais ni sebaik dimasak. Ya Rabbi menyesalnya! Tapi bagus juga. Siapa yang nak tahu bagaimana rupanya ikan pais kukus yang telah siap dimasak, kenalah cuba sendiri ya. Hahahahah!


Seronok rupanya memasak
Dhiya

1 comment