Hanya Allah yang Tahu


Bismillah...

Terima kasih Allah yang masih meminjamkan saya nyawa untuk terus berjuang.

Benar, hanya Allah yang tahu betapa perjuangan yang saya lalui ini sungguh mencabar. Bukan sedikit mehnah dan tribulasi yang datang. Saya cukup penat dan hampir putus asa dengan semua yang menyesakkan dada ini.

Tekanan di tempat kerja agak teruk sepanjang April ini. Setiap Sabtu adalah Sabtu Saya Bekerja (SSB). 
  1. 7 April: Bekerja atas arahan. Sibuk mengira kertas-kertas undi yang pelbagai ragam tu.
  2. 14 April: Sepatutnya minggu saya bercuti, tetapi saya ke Miri atas urusan kerja.Collapse!
  3. 21 April: Sekali lagi hadir bekerja atas arahan sempena Mesyuarat Agung Tahunan dan Majlis Makan Malam Tahunan. Masya Allah, ini memang paling penat. Sepanjang minggu tersebut, kami tidak boleh pulang selagi tidak mendapat 'lampu hijau'. Di hari kejadian pula, semuanya menjadi kelam kabut. Baby K saya buat hal di saat saya perlu berada di pejabat seawal 7 pagi. Memang sanat menekan.Tetapi saya mengambil iktibar dan telah mempelajari sesuatu- Rancang kerja dan bersedia. Benarlah! Malamnya pula, terpaksalah saya menumpang rakan sepejabat untuk pulang. Apa boleh buat, hidup ini bukan hanya ada satu penyelesaian. Perlu bijak demi survival.
  4. 28 April: Giliran SSB saya kembali lagi. Ya Allah. Rasa hendak menangis dibuatnya.Saya hampir tersungkur tadi. Mesyuarat hari ini hanya tamat sekitar jam 8.30 malam. Esok perlu bekerja pula. :( Kasihan diri saya sendiri...Terabai teruk demi memastikan hak orang lain dipenuhi. Sungguh kejamnya saya!
Hanya Allah yang Tahu: Esok

Saya tidak bercadang untuk hadir bekerja esok. 

Pertamanya, Baby K saya memerlukan perhatian saya agar dia dibawa ke bengkel untuk sesi 'rawatan'.

Keduanya, BERSIH yang KOTOR ini hanya menyusahkan saya dan seluruh warga kota lain yang perlu bekerja pada hari Sabtu. Seperti tahun lepas, saya benci mendengar semua laluan keluar masuk ke Kuala Lumpur menjadi sesak dek penangan sekatan polis yang merata-rata. Kasihan orang awam yang tak terlibat. Kalian BERSIH yang KOTOR lagi meyusahkan. Saya tidak akan mengambil risiko untuk semua itu di waktu puncak mereka sedang menggila.(Maaf, ini luahan peribadi yang tidak ada kena mengena dengan mana-mana pendirian politik negara.)

Ketiganya, saya perlu bersedia untuk ke Kuala Kubu Bharu untuk majlis resepsi Ijoi si sepupu saya. Emak dan abah serta akak akan bertolak dari Pahang sekitar jam 2 petang. Harapnya Kuala Lumpur tenang-tenang sahaja kerana saya akan menunggu mereka dan menyusur pinggir kota untuk masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan. Semoga Allah permudahkan. Amin...

Hanya Allah yang Tahu: Dalam Hati

Banyak isu yang sedang dalam pertimbangan peribadi saya sekarang ini.

Dr. Azuan sudah menyatakan kesanggupannya untuk menyokong permohonan saya. Begitu juga dengan salah seorang bos di tempat kerja saya. Alhamdulillah. Apa yang ditunggu lagi, Dhiya. Teruskan melangkah tanpa ragu!
(Bolehkah saya?)
Allah takkan menguji kamu selain ianya dalam kemampuan kamu.

Kak Aziah juga demikian baik hatinya untuk menyokong beberapa dokumen penting saya. Peluang sudah di depan mata, Dhiya. Teruskan merebut ruang yang ada!
(Saya takut!)
Simpanlah ketakutanmu. Semoga faedah mencabar diri sendiri akan membuahkan hasil mahsul yang mendamaikan hati.

Soal meletak cincin di jari bukan lagi soalan sembunyi-sembunyi di kalangan keluarga terhadap saya. Dalam usia 'sedang elok' ini, saya tertekan apabila hampir setiap orang yang mengenali saya bertanya soal jodoh.
Cukuplah menyoal, kerana saya tidak pernah mempersoalkan ketentuan Tuhan yang satu itu dengan rasa terpaksa dan mendesak. Hanya Allah yang Tahu.

***************************

Dan malam pun makin larut. Di luar sana masih kedengaran suara muda-mudi yang bermain gitar sambil menyanyi-nyanyi lagu terkini. Saya kurang minat mendengar. Ada misi yang lebih penting untuk saya hadapi esok khusunya.
Tolak ke tepi sebentar soal kerja yang menysakkan dada. Saya perlu bersama keluarga. Mereka adalah aset berharga saya.

Selamat malam.

Dhiya.

1 comment

  1. Teruskan langkah wahai sahabat!! Aku sokong dari jauh n aku yakin sahabat aku sorg nie mampu jd yg terbaik!! Soal jodoh jgn runsing..semuanya aturan Allah..lumrah hidup bermasyarakat..mungkin itu juga tnda kasih mereka pd kamu..nk tgk anak gadis pak cik Jaini naik pelamin..hehehe..(juz a joke dear..). Take care ye Datin Gojes! hahaha

    ReplyDelete