Ujian dan Pengajaran


Bismillah.

Sudah 29 Januari 2012.
Terasa seperti baru semalam Kota Mega meraikan malam tahun baru dengan gah dan meriahnya. Hari ini Januari sudah meniti hujung harinya. Sungguh...Pepatah Arab ini akan selalu saya ungkapkan ...:

اَلْوَقْتُ كَالسّيُوفْ فِي القَطْعِ

...Hingga saya pasti kalian sudah hafal akan maknanya.

Baru sebulan berlalu, 2012 saya sudah banyak pelajaran dan pengajaran. Ada yang membina, malah tak kurang ada juga yang memunahkan semangat. Tapi saya kutip semuanya sebagai hikmah. Hidup ini bukan semuanya indah. Apa yang hadir, menyuruh kita berfikir.

Awal Januari lalu (tepatnya 4 Jan 2012), dompet duit saya telah hilang. Asalnya saya menyedari yang saya tidak membawanya ke tempat kerja. Apabila pulang, saya terus mencarinya kerana saya yakin dompet tersebut hanya tertinggal di rumah. Kebetulan malam sebelumnya saya ada mengeluarkan wang untuk membayar duit sewa rumah di dalam bilik. Jadi saya yakin dompet itu hanya berada di dalam bilik sahaja.
Malangnya, setelah beberapa ketika mencari, saya gagal menemukannya. Hati sudah mula gusar, tetapi instinct saya kuat menyatakan dompet itu hanya ada di dalam rumah, bukan tercicir di mana-mana!

Tiga hari tidak berhenti mencari, sampai satu tahap saya mula putus asa. Bayangkanlah, baru tiga hari saya menerima gaji bulan Disember, saya sibuk membayar hutang itu ini dan malam terakhir sebelum kehilangannya, saya telah membayar bil internet iaitu hutang terakhir saya. Baki di dalam dompet itu (peruntukan untuk belanja sebulan), kad-kad bank dan paling penting, kad pengenalan saya hilang dalam sekelip mata. Malah saya terpaksa redha apabila rantai emas pemberian emak yang saya pakai selama ini hilang sebelum sempat saya hantar ke kedai selepas putus beberapa minggu sebelumnya. Itu yang paling saya terkilan.
Apabila saya mengadu kepada emak, emak dengan tenang memujuk saya supaya bersabar. Katanya akan ada yang lebih baik dan berganda akan datang. Amin. Terima kasih, emak!

Seminggu lebih jugalah saya hidup tanpa kad pengenalan. Penat 'dibuli' rakan sekerja. Ada yang panggil saya PATI dan macam-macam lagi. Semuanya saya tak ambil hati sangat. Saya cuma sibuk untuk fokus terhadap kerja dan dalam masa yang sama mengimbangi emosi saya yang sangat tertekan pada waktu itu. Hilang wang itu sudah pasti sangat menekan. Bank-bank juga perlu dihubungi supaya akaun saya disekat atas faktor keselamatan. Apa-apa proses mesti perlu ada kad pengenalan. Kad pengenalan hilang itu yang menjadikan saya tertekan sebenarnya. (-.-)

8 Januari, saya dan seorang rakan telah ke JPN Putrajaya untuk memohon kad pengenalan baru. Alasan hilang tanpa laporan polis mendesak saya untuk membayar RM110 sebagai bayaran denda. Memang haru. Di saat semua akaun bank saya dibekukan, saya terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk memenuhi tuntutan yang paling penting demi tuntutan-tuntutan lain.
Tak mengapalah. Inilah dia pengajaran. Ada iktibar di sisinya.

Selepas seminggu memegang kad pengenalan sementara, saya sekali lagi ke Putrajaya untuk mengambil kad pengenalan baru. Sebenarnya kad tersebut sudah siap dan sedia diambil sehari selepas permohonan tempoh hari. Tapi atas tuntutan tugas di pejabat, saya hanya boleh ke sana hujung minggu. Mujurlah JPN Putrajaya dibuka hujung minggu, terhiburlah orang-orang sedih seperti saya ni.
Terima kasih seinfinitinya kepada yang membawakan saya ke sana. Nama kata untuk saya bersendirian memandu, oh memang tidak. Semoga Allah membalasnya dengan sebaik-baik balasan. Saya sangat menghargainya!

Alhamdulillah setakat minggu lepas, semua kad saya telah diperolehi semula. Terima kasih buat sahabat sejati yang sudi meminjamkan wang untuk dibuat belanja harian dan keperluan lain yang bukan sedikit jumlahnya. Hanya kejujuran dan kesetiaan mengikat kita. Semoga Allah terus memberi dan memberkati rezeki kamu.

الله يبارك عليكما

Apa yang berlaku ini memang agak menyakitkan. Tapi saya yakin ada hikmah mengapa saya diuji sebegini. Memetik kata seorang teman: Harta dunia boleh dicari ganti. Tapi harta akhirat bukan datang dengan nilaian wang ringgit. Ianya dibina dari dalam diri sendiri. Sabar dan redha itu harta akhirat. Nilaiannya lebih tinggi dari wang ringgit kerana kelak ia akan dibalas dengan Syurga.
Allah tidak akan menguji saya jika saya tidak mampu menghadapinya. Benar.

p/s: Semoga terus positif dalam hidup, Dhiya!


No comments