Showing posts with label Korea. Show all posts

Korea: Ayam Halal di Daejeon


Bismillah

Lama saya tak cerita tentang kenangan di Korea kan?  Siri kembara saya selama 8 minggu ke Daejeon sudah saya tulis dengan panjang lebarnya dalam entri yang lepas-lepas. Cuma macam yang saya cakap dulu, saya mungkin akan terus menulis tentang pengalaman saya secara tidak langsung termasuklah gaya hidup, pengalaman dan rutin selama di sana.

Jadi entri ini akan bercakap tentang ayam. Ayam halal.
Korea bukanlah negara Islam, jauh sekali dapat menyediakan 100% keperluan saya sebagai seorang Muslim terutamanya dalam bab makanan. Dua minggu pertama merupakan tempoh yang agak sukar untuk saya dan rakan-rakan cuba menyesuaikan diri dengan makanan yang sederhana. Pernah kami hanya jamah nasi kosong dengan kimchi kerana lauk-lauk lain ada yang tidak halal dan tidak kena dengan tekak kami. Itu pun kami terpaksa tolak tepi isu bekas makanan sebab makanan kami hanya ditaja di cafe Wellstory.

Saya berjaya mendapatkan jaringan pelajar Malaysia di KAIST dan Alhamdulillah mereka telah bantu kami untuk ke Islamic Center dan beritahu kami tips dan trick kehidupan sebagai seorang Muslim di sana terutamanya dalam mengurus bab makanan. Masa tulah baru saya tahu yang Islamic Center ada menjual daging halal serta rempah-rempah masakan yang kebanyakannya datang dari Pakistan. Syukur.

Kaunter jualan tidak dibuka setiap hari. Ada hari--hari tertentu sahaja. Pernah sekali kami pergi, stok ayam halal yang tinggal sangat sedikit. Itu pun macam kena berebut dengan Muslim lain termasuk yang datang dari Pakistan dan Iran. Saya dan Kak Ammar dapat berkongsi seekor ayam. Jadilah.
Merasa juga makan ayam di Korea. Melepaskan kepingin.
Disebabkan stok ayam halal ni agak susah nak dapat, kami memang agak berjimat cermat. Sementara nak tunggu lagi seminggu stok ayam baru sampai, nak redah 1 jam cuaca sejuk berjalan kaki ke Islamic Center dan keadaan yang jam 5.30 petang je dah gelap dan Masuk waktu Maghrib (walhal kadang-kadang 5.30 petang kami baru habis kelas), memang agak mencabar juga. Tapi itu je lah usaha kami yang sepicing dalam pencarian makanan halal.
Kalau tak ada makanan sedap macamni, bagi saya telur goreng (telur sangat mudah didapati di sana), makan dengan serunding yang saya bawa dari Malaysia pun dah cukup sorga sebenarnya.

Insya Allah apabila saya kembali ke sini satu hari nanti, saya akan datang balik ke Islamic Center ni. Walaupun hanya untuk 8 minggu, banyak pengalaman dan pengajaran yang saya perolehi di rantau orang ini. Tak ada wang ringgit yang dapat membeli pengalaman ini.

Cerita ayam je pun. Tapi sebab isunya adalah ayam halal di Korea, jadi memang seriuslah skit kan~
Nanti saya cerita hal lain pula :)

Salam sayang,
Dhiya

Sushi King: Tempat Berlatih Guna Chop Stick


Bismillah

Teringat lagi dulu--
Sebelum terbang ke Korea, saya berlatih makan pakai chop stick di Sushi Kinglah!

Kalau dikenangkan balik, memang kesian sangat. Saya memang tak reti langsung pegang chop stick ni dari dulu lagi. Bukan setakat tak reti, malah tak minat pun nak belajar sebab tengok pun dah tahu susah bukan main nak makan guna benda alah tu!

Sekali Allah 'uji' dengan peluang hidup di negara yang memang makan guna chop stick. Masa tu tepuk dahi jugalah.
Tapi Elis ni punya la nak tengok saya ni survive, dia bawa saya ke Sushi King dan di situlah tabir kelemahan saya dalam menggunakan chop stick tersingkap. Sungguh, nak suap satu ketul sushi pun terasa payah sangat. Ada sekali tu saya dah macam putus asa, saya cucuk sushi tu dengan batang buluh yang dijadikan chop stick dan saya terus suap dalam mulut.
Orang tengok ke, nak gelak ke- Lantak!
Itu baru makan benda berketul- Kalau makan mee nampaknya saya terpaksa berlaparlah~

Memang
Sebelum saya ke Korea, saya ada beli chop stick khas untuk saya sendiri dan satu set sudu dan garfu (sebagai back-up). Chop stick yang saya beli tu, hari-hari saya pegang dan belajar kepit barang. Kadang-kadang dalam kereta pun saya berlatih.  Sedih kan? Nak gelak pun tak apa. Saya tak kisah.

Tapi apabila saya sampai di Korea, baru saya tahu yang chop stick mereka sebenarnya totally berbeza dengan chop stick yang biasa ada di Malaysia dan digunakan oleh kaum Cina. Tak percaya? Sila Google sekarang atau boleh tengok gambar di bawah.
Chop stick di sini agak ringan dan lebih licin. Di hujungnya sedikit leper dan ada beberapa urat alur untuk 'memegang' makanan supaya tidak jatuh. Uniknya lagi, chop stick di sini mesti dipasangkan dengan sudu. Mula-mula sampai, memang susah nak makan. Saya dengan muka tak malu akan keluarkan set sudu dan garfu saya. Tapi lama-lama pandai juga. Itu pun masih terkial-kial dan selalu jadi orang terakhir siap makan.

<Tak nak ingat dah~>

Pengalaman indah sangat,
Dhiya Dahlia

Rindu Korea


Rindunya...

Entah.
I just miss the environment. Nice view and good peoples are everywhere~
Saya memang sedang berusaha keras untuk kembali ke sana untuk membina langkah seterusnya. Kalau bukan untuk saya, saya mahu untuk si dia- Yang bakal hidup dengan saya (Random, ya~)
Samada saya atau dia akan terus menyambung pengajian.

Janji
Insya Allah

Doakan.
Dhiya

My Rapid Vs. T-Money


Bismillah

Hari ini saya nak menyingkap memori menaiki pengangkutan awam semasa di Korea. Saya boleh dikira sangat bertuah semasa di Malaysia. Dari sejak tahun 3 pengajian di UM, saya dipinjamkan sebuah kereta. Apabila bekerja, saya dapat memandu ke pejabat kerana jarak yang sangat dekat. Apabila kembali belajar, saya masih berkereta. Balik kampung cuti semester, balik raya- Memang tak payah cakap. Zaman beratur beli tiket ni macam dah berlalu. Saya bergerak dengan Baby K kesayangan saya.

Ketika saya di Korea, saya tahu saya perlu berdikari. Pengangkutan awam akan menjadi medium utama untuk saya bergerak. Nak pandu dan menaiki kereta memang mustahil di sana, ditambah dengan lorong pemanduan yang berbeza dengan Malaysia.

Sebab tu, sebaik sampai di Korea- Sasi telah bantu kami untuk beli T-Money pada harga KWN12500 kalau tak silap. Di dalamnya siap ada kredit lebih kurang KWN10000 (Maaf lupa sangat) bagi memudahkan kami bergerak menggunakan pengangkutan awam di Daejeon.
Fungsi yang sama- Dari negara yang berbeza :) T-Money Korea ni best sebab kadang-kadang mereka akan jual kad yang berbeza rekaan dan corak. Saya punya ni biasa je. Tak memilih sangat pun sebab masa beli tu hanya fikir untuk 3 bulan punya survival.
T-Money ini sangat istimewa, berguna lagi membantu. Setiap bas awam di bandar Daejeon ada satu panel yang hanya memerlukan penumpang mengimbas T-Money ini dan tambang KWN1100 (kadar rata) akan ditolak dari kredit kita. Jika kita perlu menukar bas, kita perlu mengimbas kad sekali lagi sebelum keluar dan mengimbas masuk pula ketika memasuki bas baru. Kalau pertukaran bas ini berlaku dalam tempoh kurang 15 minit, kita tak akan dicaj KWN1100 lagi. Paling bagus, kekerapan bas mereka memang tidak pernah lebih dari 15 minit. Jadi sesiapa sahaja yang menaiki bas, 10 kali tukar pun- Kalau kurang dari tempoh 15 minit, tambangnya adalah malar iaitu KWN1100. Bagus kan?
Lebih bagus, kad ini juga boleh digunakan ketika melalui panel Subway bawah tanah di seluruh bandar Daejeon!
Maknanya- Kalau kita nak tukar BAS-BAS atau BAS-SUBWAY atau SUBWAY-BAS atau SUBWAY-SUBWAY- kalau dalam tempoh 15 minit, tambang kita sampai ke sudah hanyalah KWN1100.
Nak lagi? T-Money juga boleh digunakan untuk membeli barang-barang di GS25 terutamanya di dalam stesen Subway. Tak payah terkial-kial nak buka dompet sambil barang dan beg digalas kiri kanan tangan.
Senang.
Pengsan.

Bukan hanya di Daejeon. Di Seoul juga begitu. Seluruh laluan Subway Seoul yang berselirat tu saya dah habis jelajah dengan menggunakan T-Money.

Kalau tak ada T-Money?
Terserah.
Boleh guna syiling. Tapi kalau kena tukar 3-4 kali bas, setiap naik bas tu kita perlu masukkan duit ke dalam tabung automatiknya. Maknanya kita tak dapat menikmati perjalanan percuma walaupun kita tukar bas lain dalam tempoh kurang dari 15 minit.
Rugi!
Kalau di Subway pula, kita perlu beratur untuk beli token macam yang Malaysia sedang laksanakan sekarang ni. Leceh untuk traveler macam kita.

Jadi saranan saya kepada pelancong Malaysia yang akan ke Korea, belilah T-Money ni supaya perjalanan anda mudah dan cepat. Letak dalam card casing yang ada lanyard- Gantung kat leher.

Kad ni ada dijual dan boleh ditambah nilai di GS25 (macam Seven-Eleven) Mereka pun ada Seven-Eleven. Selalunya kedai-kedai macamtu akan ada jual T-Money.

Ada sesiapa yang akan ke Korea dalam masa terdekat? Selamat mengembara. Jangan lupa untuk ambil sebanyak mungkin pengalaman dan pengajaran baik dari sana. Saya pun sangat merindui Korea terutamanya bandar kecil Yuseong dan Daejeon. Amat. Rindu.

Salam sayang, 
Dhiya

Welstory Cafe & Rakan Korea


Bismillah

Rindunya cafe ni.

Walaupun makan kami memang hari-hari di sini, dan tak semua benda kami boleh makan- Tapi ada satu ruang lain di cafe ni yang kami semua suka.

Lepas habis kerja-kerja makmal, kadang-kadang ada trainer yang baik akan bawa kami ke cafe dan belanja kopi yang sedap-sedap  ni. Di Korea, memang budaya kopi sangat signifikan. Di sudut-sudut makmal, ada je mesin kopi untuk semua sementara menunggu kerja-kerja makmal dan ianya percuma! Itu yang seronok.

Cafe ni menyediakan kopi dan minuman jus kepada sesiapa yang memerlukan refreshment berbayar. Sedap pun sedap.

Saya memang tak pernahlah pergi semata-mata nak beli kopi dan minuman di sini. Secawan  ni saja dah cecah KWN3500 bersamaan lebih kurang RM10. Dah macam Starbucks!
Strawberry Smoothie. Kalau tak silap. Hehehe
Selalunya kami ke sini kalau ada tutor kami yang cool nak belanja. Mereka juga selalunya jenis yang nak bersembang dan suka tanya macam-macam. Masa ni lah kami akan push aside perbezaan kami dan kami bersembang like friends. Kami akan tanya tentang bahasa, budaya dan cara hidup mereka. Begitu juga mereka. Paling tak boleh elak, kami akan ditanya tentang agama. Isu tudung yang saya pakai juga selalunya termasuk dalam topik perbincangan. Jadi saya selalu bersedia dengan jawapan yang rasional dan tepat untuk mereka.

Masa ni lah kami semua memperbaiki kemahiran komunikasi kami termasuklah penguasaan Bahasa Inggeris kami. Kalau nak tahu, mereka pun bukanlah perfect sangat dalam berbahasa Inggeris. Mereka menggunakan Hangul dan berbahasa Korea sebagai bahasa rutin. Jadi kami secara tak langsung berusaha keras untuk menggunakan Bahasa Inggeris yang mudah dan tepat agar dapat difahami.

Saya juga gemar menunjukkan gambar-gambar tempat-tempat dan makanan tempatan Malaysia. Apabila mereka melihat, mereka gemar bertanya dan di situlah kami boleh membuka topik perbualan. Mereka ni sangat peramah sebenarnya, cuma saya faham yang mereka kurang yakin dengan bahasa. Alah, macam kita jugalah kan. Ada masa yang kita sangat tak yakin nak berkomunikasi dengan orang lain apatah lagi kalau melibatkan Bahasa Inggeris.

Jadi kepada adik-adik yang masih belajar, pastikan anda menguasai Bahasa Inggeris sekurang-kurangnya pada tahap sederhana. Teruskan berusaha hingga anda yakin untuk menggunakannya di peringkat universiti. Sungguh, bahasa pengantar ini sangat penting.
Manglish yang kita guna berslang sampai berbelit lidah tu bukanlah yang terbaik. Kalau bawa ke luar negara, tak ada siapa akan faham. Ingat tu.

Sungguh, saya sangat rindu cafe ni. Tempat melepaskan tekanan selepas berhempas pulas dalam kelas dan makmal. Ouh!

Rindu Daejeon,
Dhiya

Kedai Roti Sung Sim Dang @ Daejeon


Bismillah

Kali ini saya nak kongsikan tempat 'lepak' kegemaran saya dan rakan-rakan Malaysia semasa di Daejeon. 
Skyroad ni terletak atas sikit dari bandar yang ada Emart yang selalu kami pergi tu. Kiranya kalau nak have fun lebih sikit, selalunya kami akan naik bas 604 terus ke Skyroad. Pada kami, have fun lebih sikit tu bukannya boleh makan beria atau tengok wayang pun. Saja jalan-jalan je~ Di sini banyak kedai-kedai pakaian, kosmetik dan restoran yang menjadi tumpuan penduduk setempat. Paling istimewa bumbung LED di satu lorong yang digelar Skyroad itulah merupakan tarikan utama tempat itu.
Pemandangan jalan Skyroad pada waktu malam. Memang 'hidup' sebab kebanyakan mereka menghabiskan waktu selepas bekerja di sini untuk makan malam dan meluangkan masa dengan teman-teman.
Bagi kami, tempat terbaik adalah kedai roti Sung Sim Dang ni ha. Setiap kali ke Skyroad, saya memang tak akan melepaskan peluang masuk ke kedai ni sebab ianya sangat istimewa. Dr. Jung pun- setiap kali bawa kami untuk program luar, dia selalu belikan roti dari kedai ni sebagai bekalan sarapan kami semasa dalam bas. Comel kan? Ya, dia memang ayah yang baik dan prihatin.
Sung Sim Dang merupakan kedai roti tertua di Daejeon dan sangat terkenal! Cubalah Google nama ni, anda akan faham betapa signifikannya Sung Sim Dang dengan bandar Daejeon. :)

Kenapa saya kata kedai roti ni istimewa? 

Pertama kali saya masuk ke Sung Sim Dang, saya dibawa oleh Angel. Saya lihat banyak sangat roti dan ada pekerja yang sibuk memotong roti-roti tersebut dan diletakkan ke dalam bekas tester. Rupanya salah satu keistimewaan Sung Sim Dang adalah ada free tester- which is very goooooood for us!
Angel bawa saya keliling longgokan roti tu dan dia suruh saya rasa semua roti yang saya boleh makan. Not too worry sebab setiap roti ada nama dalam Bahasa Inggeris, jadi saya boleh tahu bahan-bahannya supaya boleh elak roti yang berasaskan daging.

Mula-mula saya takut dan rasa macam tak patut je nak rasa tester tu beria. Tapi saya tengok ada je orang yang sekali dia rasa roti tu sedap, dia akan ulang banyak-banyak kali dan even kalau tester roti tu habis, dia akan minta dan tunggu sampai mangkuk tester tu diisi semula. Paling unik, tak ada langsung kes ambik roti jualan dan semua orang setia meminta dan menunggu roti tester- Padahal pekerja tu ambil roti yang nak dijadikan tester tu dari roti yang nak dijual juga. Can you see their attitude?

Sebaik saya faham bagaimana Sung Sim Dang meraikan pengunjung, saya pun memang dengan muka tak malu merasa semua jenis roti berasaskan tumbuhan di situ. Ada satu roti kentang tu sangatlah sedap dan saya memang ulang banyak kali sampai kenyang!
Cuma iyalah...Kita orang Melayu ni kan (paling nipis iman pun) ada lagi rasa bersalah dan lembut hati. Saya selalu terfikir: ' Aku makan banyak ni, pekerja dia mesti perasan sebab aku kan pakai tudung- Senang dia nak cam (TT)' 
Hahah!

Eh
Apadehal~
Saya dengan Angel pernah makan roti Sung Sim Dang sampai kenyang dan kami jimat duit tak beli makan malam hari tu.
Tester diletak dalam mangkuk putih tu. Kebanyakan pizza saya tak boleh makan sebab ada campuran meat floss dan sosej.
Tapi kalau roti kentang, bijan dan kacang merah- Saya sanggup berdiri depan mangkuk tu dan makan sampai kenyaaaaang! Modalnya kecil je. Bawalah air siap-siap...Sung Sim Dang tak sediakan air (banyak cantik la kan~) kalau tercekik kat situ.
Tengok la adik baju merah kat sebelah kiri gambar ni. Bukan main lagi dia menikmati roti tester Sung Sim Dang
Semua delegate kami pun tahu taktik ni dan saya yakin semua pun pernah buat. Nak jimat bajet kononnya~ Hahah! 
Tapi saya percaya ini adalah sebahagian dari strategi pemasaran mereka. Mereka mahu buat sesiapa sahaja yang datang dan masuk ke kedai Sung Sim Dang mereka keluar dengan membawa viral positif tentang Sung Sim Dang seperti yang saya sedang lakukan sekarang.
Saya boleh faham ucapan yang tertulis dalam Bahasa Arab tu.
Tengok saja ucapan pelbagai bahasa yang tertulis pada cawan mug ini. It means that Sung Sim Dang memang menerima ramai pengunjung dan mengambil kesempatan itu untuk membuktikan kepada pengunjung sekarang akan kekuatan mereka. Mug ni tersusun elok dalam satu almari kaca di satu sudut kedai mereka.
See the pink fluffy girl? Itu An yang menjadi pemangkin saya untuk tidak rasa malu masuk ke Sung Sim Dang dan menikmati roti kacang merah mereka. Hahah!
Daejeon ni tak ramai orang Malaysia. Kalau ada rasanya di KAIST sahaja. Itupun mesti dah ada keluarga, rumah sewa dan asrama yang sempurna bersama strong community dan tak perlu nak makan free di Sung Sim Dang sangat. (buat muka sedih~).
Kami yang musafir ni memanglah kena belajar survive sikit.

Tapi kami enjoy melakukannya.

I miss Daejeon, Korea!

Dhiya

Korea: Sky Road @ Daejeon :)


Bismillah...

Ini
Sky Road
Konon paling jauhlah kalau nak have fun...
Feeling-feeling macam ada kat Seoul~
Padahal Daejeon juga pun.

Alamak ada scene yang terpusing-pusinglah.
Maaf saya tak pandai nak edit video ni. Jadi kalau nak selesa, pusinglah skrin anda ikut kedudukan video ni ye :p

Salam sayang,
Dhiya

B-Boy Dance @ Korean Folk Village


Bismillah...

Dear all,
I would like to share this video clip. I hope you enjoy watching this!

(sambil geleng-geleng kepala ikut rentak~)
I miss you, Korea
Dhiya Dahlia

Korea: Melawat Korean Folk Village


Bismillah...

Lamaaaa sangat tak sambung cerita Korea ni. Tapi jangan binbang, siri pengalaman saya ini akan habis dalam masa terdekat sebab hanya tinggal beberapa folder sahaja lagi yang belum saya buat review.
Selebihnya Insya Allah saya akan kongsikan secara sambilan- Termasuklah gaya hidup saya di sana dan review beberapa produk istimewa seperti Produk Skinfood dan cenderamata yang menarik.
------------------------------------
Ini adalah lawatan pertama dalam bulan November. Berbaki 2 minggu sebelum pulang ke Malaysia, aktiviti kami penuh samada memang dirancang oleh pihak kolej mahupun kami yang memenuhkannya sendiri.

Korea memang sebuah negara yang unik. Saya sangat bangga kerana terpilih menjadi duta kecil yang membawa nama negara dan dalam masa yang sama diberi peluang meneliti budaya dan ketamadunan negara ginseng ini.
Kali ini kami dibawa ke Korean Folk Village yang terletak lebih kurang tiga jam perjalanan dari Daejeon. Walaupun perjalanannya agak panjang, tapi saya tidak pernah bosan kerana musim luruh ketika itu sangat memberikan pemandangan yang cantik :)
Kawasan letak kenderaan di Korean Folk Village. Agak lengang sebab kami datang pada hari bekerja.
Sangat seronok dengan warna daun yang bertukar kuning ni. Maha Suci Allah yang menciptakannya!
Kawasan luar Korean Folk Village. Nampak macam sebuah perkampungan tradisional dahulukala kan?
Memang. Memang Korean Folk Village berkonsepkan begitu. Ini baru nampak di luar. Kalau di dalam lagilah uniknya. Terasa macam betul-betul berada dalam zaman yang lain! Korean Folk Village ini juga terkenal kerana banyak penggambaran filem mereka dilakukan di sini. Tapi disebabkan saya bukan orang yang 'gila' cerita Korea sangat, jadi saya tak tahu banyak.
Ini antara jadual persembahan yang diletakkan di bahagian pintu masuk untuk rujukan pengunjung. Banyak tapak-tapak persembahan di dalam sana. Jadi amatlah penting untuk kita semak jadual supaya kita boleh catch the show
Memandangkan persembahan seterusnya macam lambat lagi. Jadi kami ada masa untuk bersiar-siar di kawasan sekitar. Masya Allah, memang cantik! Kebetulan pula masa tu musim luruh- Jadi daun-daun yang bertukar warna tu sangat memberi keindahan! Tak ada kat Malaysia~
Dr. Jung ajak kami semua makan tengahari dulu. Macam biasa, kami tak boleh expect makanan yang sedap-sedap dan ikut citarasa kami. Tapi disebabkan dah biasa, kami boleh juga sesuaikan diri dengan makanan tempatan yang berasaskan sayur dan ikan.
Bimbimbap- Nasi + Sayur + Telur ikan. Alhamdulillah :)
Tengok. Betapa tak ramainya orang! Kami boleh main keja-kejar lagi.
Suasananya memang tak boleh diungkapkan. Cantik, damai dan indah. Maha Suci Allah yang menciptakan dunia ini cukup sempurna- Tapi masih kita terus-terusan membuat kerosakan :(
Ini antara tempat menarik dan unik yang sempat saya lihat. Korean Folk Village seperti ada kehidupannya yang sendiri. Saya dapat lihat ada orang-orang tua yang mengembala haiwan ternakan, membuat anyaman tradisional dan mengemas kawasan kampung ini. Unik!
Kampung tradisi. Mungkin itu boleh menerangkan Korean Folk Village dengan tepat. Huuu. Kalah hanok village dan Nami Island.
Di sini, daun-daun sedang galak bertukar warna. Sebab tu dapat tengok daunnya masih ada hijau-hijau dan sedang bertukar menjadi kuning keemasan. Kalau di Daejeon, masa ni banyak daun dah mula gugur dan bersedia untuk musim salji. 
Kalau siapa yang tak tahu, inilah pokok Ginkgo. Cantik kan? Tapi pokok ni 'busuk'. Kalau terpijak buahnya yang jatuh, tapak kasut kita akan berbau busuknya. Hihi. Tapi Dr. Jung cakap mereka tetap anggap pokok Ginkgo sebagai 'baik' sebab baunya yang busuk itu telah dapat menghalang serangan serangga seperti nyamuk dan lalat. Sebab tulah pokok ini banyak terdapat di kawasan kediaman dan juga sekolah. Hm..~

Salah satu rumah tradisi yang ada dalam Korean Folk Village. Ini memang rumah betul tau. Bukan replika atau miniature.
Nilai tradisinya masih tinggi. Tengoklah atap yang digunakan. Kalau di Malaysia macam penggunaan atap nipah atau rumbialah~ Tapi boleh nampak kan berapa banyak ke lagi rumah yang mengekalkan tradisi macamtu.
B-Boy Dance. Saya tak tahu kenapa namanya begitu. Tapi tarian ni unik sebab pergerakan mereka lebih kepada pergerakan kepala.
Masa untuk persembahan! Persembahan pertama yang kami tonton adalah B-Boy Dance. Menarik sangat! Mereka bermain alat muzik dan menari dengan rentak dan pergerakan kepala yang seragam.
Antara penonton yang duduk dan melihat persembahan. Kanak-kanak sekolah pun ramai. Saya rasalah...Sekolah di Korea ni sangat menitik beratkan pendidikan luar kelas. Mana-mana kami pergi, kami pasti akan berjumpa dengan kanak-kanak sekolah yang comel-comel ni.
Bagi saya, duduk menonton sampai habis tu satu yang merugikan. Kawasan ini sangatlah besar. Jadi saya cuma tengok sekejap sebelum angkat kaki untuk terus explore lagi.
Saya dan Angel cuba untuk ambil feel di tempat flogging ni. Hew! Penyebatnya pula bukan main besar!
Ini macam...erm... kawasan atau bangunan pentadbiran. Di kawasan lapang tu adalah tempat untuk menjalani hukuman sebat (flogging) atas kesalahan-kesalahan tertentu.
Selain itu, kami juga melihat tempat tahanan (penjara) yang diperbuat daripada kayu kukuh. Saya berpeluang masuk ke dalam kurungan tu. Huhu. Bentuknya memang macam dalam cerita lama-lama tu. Mereka sangat menjaga keaslian bentuk barang-barang dalam Korean Folk Village ni :)
Antara sudut menarik dalam Korean Folk Village. Bangunan lama, tapi sangat klasik dan terpelihara.
Cuaca sangat baik. Selama kami di Korea, jarang sekali hujan. Tapi ada juga sekali sekala. Hujan di sini tidak lebat, tetapi selalunya berlarutan. Masa tulah feeling-feeling romantik macam dalam drama Korea yang romantik-romantik tu. Muaha!
Traditional Market Place juga terdapat dalam Korean Folk Village ni. Ia menjual barang-barang tradisional dan juga cenderamata. :)
Golden leaves of Ginkgo!
Acrobatic on a tightrope
Seterusnya kami sempat menonton persembahan acrobatic on a tightrope. Pakcik ni bukan main hebat lagi berjalan atas tali dan hanya mengimbangkan diri dengan menggunakan kipas. Haha.
Adik-adik sekolah tadika yang comel-comel. Yang seorang tu caught in action pulak~!
Antara watak-watak pelakon yang menjalani penggambaran di sini.
Salah satu pemandangan yang sangat cantik di Korean Folk Village.
Dalam kawasan ni juga ada kawasan-kawan ritual mereka. Dan pastinya saya tak ke sana untuk buat sebarang catatan. Kawasan ini terlalu 'sempurna' untuk tidak berbuat apa-apa kecuali merehatkan minda.
Secara peribadi, inilah tempat yang kami tak jumpa orang Malaysia langsung! (Mungkin kebetulan)- Which make us very special and free to shout our own language. Haha
Public Market
Ada satu kawasan tu, ia merupakan tapak penggambaran sebuah drama yang agak terkenal saya fikir- Sebab ramai yang masuk ke situ. Saya dan Angel tidak melepaskan peluang masuk dan kami mencuba pakaian tradisi orang Korea (Hanbok) secara percuma!
Macam saya ceritakan sebelum ni, kita kena pandai cari tempat untuk pakai Hanbok ni. Kalau yang kena bayar tu, baik tak payah. Ada banyak tempat yang menyediakan pemakaian Hanbok secara percuma. Untuk bergambar je pun.
Tapi dalam kes kami ni, sebab tak ramai orang- Saya dan Angel siap boleh berlakon dan berlari-lari dalam kawasan tu dengan memakai Hanbok.
Terasa sangat comel dan tak malu. Haha! Gambarnya ada, tapi macam biasa- Saya berpendirian untuk tidak meletak gambar sendiri dalam blog ini :)
Paling-paling pun, gambar ini je yang boleh diletak. :p
Kucing Korea.
Ini Angel. Ada seorang kakak pelancong Korea ni agaknya kesian tengok kami. Pakai Hanbok pun tak betul...Jadi dia panggil kami dan tolong kami pakai Hanbok dengan cara yang betul. Ya, mereka sangat peramah dan baik hati. Mungkin pada lisannya tak terbukti, tapi nampak jelas dari perbuatan mereka. Dan ini adalah salah satu buktinya.
Seterusnya kami menyeberangi jambatan dan ke muzium tradisi mereka. Banyak benda yang saya belajar dari lawatan ke muzium ini. Sekurang-kurangnya- Tahu budaya dan cara hidup mereka.
Pintu masuk muzium.
Makanan tradisi orang Korea.
Antara makanan istimewa mereka bersempena dengan perayaan tertentu.
Pakaian sewaktu musim sejuk.
Makanan pada waktu musim sejuk.
Selesai berjalan di dalam muzium, kami keluar semula untuk menonton majlis perkahwinan tradisi orang Korea. 
Tapi sementara tu, kami masih sempat menikmati pemandangan indah yang terbentang di depan mata.
Scholar's House
Memang saya dapat rasakan feel kalau buat penggambaran di sini.  Nampak real dan cantik!

Sempat ambil gambar telatah kembar Korea ni.
Ok bergegas kembali menyeberangi jambatan dan menunggu upacara perkahwinan tradisi orang Korea!
Saya tak boleh nak terangkan sangat upacara mereka ni sebab setiap satu upacara ada signifikannya yang tersendiri. Unik dan satu pengalaman baru bagi saya :)
Pengantin lelaki (konon-konon je ni tau~)
Pengantin perempuan (konon-konon juga)
Siap ada 'tok kadi' dan pengapitnya sekali.
Tapi saya teringat cerita Torres semasa saya di Seoul dulu, perkahwinan tradisi ni macam dah dilupakan. Ramai orang memilih untuk melangsungkan perkahwinan secara moden dan dibuat di hotel-hotel. Semasa saya ke Seoul dulu pun, saya sempat melihat perkahwinan moden di hotel tempat Torres letak kereta dia. 
Samalah juga di Malaysia kan...Ramai yang dah mula memilih untuk memodenkan majlis perkahwinan seiring dengan arus masa.

Masa untuk berkumpul. Masa dah tamat dan kami akan menaiki bas untuk balik ke Daejeon!
Bengkel seni kayu tradisional.
Alhamdulillah banyak sangat pengalaman yang dapat dikutip semasa lawatan ke Korean Folk Village ni. Terima kasih Allah sebab bagi saya peluang sebegini luas.
Terima kasih juga kepada yang sudi membaca satu daripada entri yang panjang ini. Maaf kalau anda bosan. Huhu.

Ada sedikit-sedikit lagi cerita Korea yang saya teringin nak kongsikan di sini. Insya Allah. Nanti :)

Salam sayang, 
Dhiya