Pejam celik, saya akan melangkah ke fasa usia baru dalam masa terdekat.
Tatkala saya menoleh ke masa silam, saya sedar yang saya sudah cukup tua untuk menerima kematian tetapi belum cukup amalan untuk dibuat bekalan. Itu kelemahan saya.
Saya terlalu sibuk mengejar dunia hingga kadangkala tanggungjawab kepadaNya hanya dibuat seadanya sahaja. Cinta dunia mengatasi segalanya. Saya selalu gagal menjadi hambaNya yang adil.
Saya masih belum cukup berbakti kepada kedua emak dan abah tersayang. Saya tahu bukan ringgit dan sen yang mereka inginkan. Saya tahu mereka tak mahu apa-apa melainkan saya menjadi yang terbaik di mata mereka.
Saya bukan adik yang baik kepada Along dan Akak. Kalaulah mereka terbaca enti ini, ketahuilah Dhiya sangat sayangkan Along dan Akak. Rindu dan kasih ini memang tak terlihat. Jarak selalu memisahkan kita. Tapi kalian mesti tahu yang Dhiya sanggup kehilangan semua, kecuali darah daging yang sejati!
Untuk seribu penyesalan semalam, saya berazam agar semua ini akan tertebus secepat mungkin. Sehari usia saya meningkat, saya tak tahu bila ajal saya akan tiba. 'Hutang-hutang' ini harus diselesaikan sesegera yang boleh.
Selamat tinggal usia semalam. Semoga dianugerahkan kematangan berganda seiring dengan peningkatan usia. Terus bersemangat, dan sentiasa sabar dan kuat untuk menempuh segala mehnah dan tribulasi yang mendatang.
Dunia ini tak layak untuk ditangisi, kerana padanya hanya ada sebuah jalan menuju ke Akhirat. Tak ada yang menggembirakan kecuali nikmat kurniaan Allah.
Dhiya
No comments