Balik Kampung!


Sabtu, 5.30 pagi.

Di saat semua orang masih lena diulit mimpi, saya sudah bersiap-siap untuk memandu ke desa. Kali ini betul-betul tak boleh lambat. Banyak risiko.
Usai solat Subuh seawal 6.15 pagi, saya sudah mula menggalas beg untuk turun ke bawah. Tepat 6.30 pagi, perjalanan bermula.

Pulang dalam musim perayaan, begitulah...Kena merancang perjalanan. Kebetulan saya pulang seorang diri, jadi tak ada masalah untuk bergerak mengikut masa saya sendiri. Tambahan pula, cukai jalan Baby K saya sudah tamat pada hari Jumaat. Isk! Jadi terpaksalah saya bertolak awal pagi supaya tak bertembung dengan pak-pak polis yang dibimbangi berkelah di tepi-tepi jalan mencari salah para pemandu. (-.-)

Sesak juga- di Tol Gombak dan sebelum terowong. Tapi Alhamdulillah semuanya lancar selepas itu. Kali ini saya tidak melalui jalan lama. Lebuh Raya Pantai Timur yang bosan tu terpaksa menjadi pilihan. Tak mengapalah, saya sanggup bayar tol berbanding menempuh risiko ditahan polis di jalan lama!

Lima minit sebelum jam 10 pagi, saya selamat sampai di halaman rumah emak dan abah. Syukur!
Malangnya emak tiada di rumah- sibuk di majlis perkahwinan Awin. Abah juga sepatutnya berada di sana, tetapi pulang sekejap kerana instinct hatinya mengatakan saya akan sampai tak lama lagi.

Selepas abah pergi semula ke majlis kenduri tu, saya berseorangan di rumah. Tak mampu berfikir panjang, saya melantak tidur sampai tengahari. Maaflah. Penat mata, penat badan, penat semua.

Siapa cakap balik kampung tak seronok? Hu. Bagi saya, inilah momen yang paling mahal dan berharga. Dapat meluangkan masa bersama keluarga adalah detik yang paling indah dalam hidup saya. Inilah pengubat kelelahan saya bekerja di Kota Mega. Saya sangat menghargai dan mengutamakan mereka. Sungguh, saya sanggup kehilangan apa sahaja asalkan bukan keluarga.

Insya Allah saya akan bercuti panjang sehingga Rabu. Banyak yang hendak dibuat. Banyak yang hendak dikongsi. Paling penting, saya mahu belajar memasak dari emak. Huhu!

Yang di kejauhan dan merindui, saya juga begitu. Tapi biarlah ini mengajar kita erti menghargai antara satu sama lain. Jauh itu mendekatkan. Kita pasti perlukan masa untuk diri sendiri. Semoga Allah memelihara kalian semua walau di mana berada.

p/s: Rumahku Syurgaku!

No comments