Tanpa Henti


Bismillah...

Apa pun yang terjadi, berjalanlah tanpa henti.


Jalan juang ini memang payah. Mujahadah tak pernah mudah.

Sabarlah.

Allah Maha Tahu apa yang terbaik. Pasti!

-Dhiya-

Bukit Warna Merah


Bismillah...

Saya kini berada di kampung nenek sebelah abah.

Esok adalah hari besar sepupu saya, Kema.

Malam ini kami bermalam di rumah Along di Bukit Merah.

Ini perbualan saya dengan Nabiha:

Saya: Adik, kita nak pergi mana ni?
Adik: Balik rumah Mak Long
Saya: Rumah Mak Long kat mana?
Adik: Bukit
Saya: Bukit tu warna apa?
Adik: Merah la. Kan nama tempat tu Bukit Merah
Saya: Ok.

Penat. Tapi meenggembirakan.
Cuma sedih sebab saya tiada di sisi sahabat baik saya pada hari pernikahannya.

Masa untuk tidur. Esok lebih penat.

Dhiya-


Tribute Untuk Wani & Aliff


Assalamualaikum...

Buat teman baik yang akan melangsungkan pernikahan Sabtu ini, diucapkan Selamat Pengantin Baru.

Maaf, kerana terlalu emosi.


Kalian berdua memang TERBAIK! Terima kasih atas persahabatan yang indah ini. 

Sekali lagi, maaf kerana tak berpeluang berada di hari yang sangat ditunggu-tunggu ini. (TT)

Ikhlas dari jauh, 
Dhiya

Trafik dan Hati


Bismillah.

Rabu sudah!

Setakat hari ini, saya pulang dari pejabat tepat 5.30 petang tanpa gagal. Pantang betul saya diberi tugas last minute sejak akhir-akhir ini. Entah mengapa...

Selasa (22 Mei 2012)

  • Keluar saja dari pintu pagar pejabat, kereta dari kanan bertali arus. Agak sukar untuk saya mengambil lorong paling kanan untuk terus ke Lebuhraya Persekutuan. Seketika agak lengang. Ketika saya menekan pedal minyak untuk ke lorong kanan, sebuah kereta melaju dari kanan dan membunyikan hon sekuat-kuatnya. 'Salahkah saya diberi ruang? Bukan saya mahu potong lane anda pun.Sakit hati sangat agaknya kereta kecil ini berada lebih hadapan dari kereta mewahnya. Chet~!' Saya panas hati. Penghawa dingin dalam kereta dibuka sekuat yang boleh. (-.-)
  • Trafik di Lebuhraya Persekutuan seperti biasa- sesak dan perlahan. Saya yakin saya berada di lorong yang betul- Ya, itulah lorong saya setiap hari menuju pulang ke rumah.Ada bas RapiKL di depan. Saya perlu menukar lorong. Saya lihat cermin belakang. Laluan kanan saya tidaklah sesak mana. Sebaik memberi isyarat untuk menukar lorong tengah, kereta dari belakang melaju dan terus rapat dengan kereta di sebelah saya. Saya berjaya menukar lorong juga akhirnya dan berada di belakang kereta tadi. Tak sampai seminit, dia terus bertukar ke lorong paling kanan.'Oh, sekarang saya tahu apa itu busuk hati'.
  •  Sudah hampir sampai ke rumah. Ada lampu isyarat di depan sana. Sedang elok saya di depan lampu itu, ia bertukar merah. Ada empat ke lima orang gadis seperti saya-pulang dari kerja menaiki tren (mungkin sekali) sedang melintas jalan. Cantik baju kurung mereka. Haih. Sempat lagi. Tiba-tiba di sebelah kanan saya berhenti sebuah motosikal yang ditunggang seorang wanita berbaju kurung, bertudung litup. Sesaat berhenti, dia terus menunggang laju meninggalkan saya dengan baki asap motornya. Lampu masih merah. Dan saya menilai si penunggang wanita itu sebagai seorang yang 'sampai hati'. Saya sendiri pun kadang-kadang melintas jalan yang sama sebagai pejalan kaki. Ada ketakutan dan kebimbangan tatkala melintas. Lampu isyarat merah bukan bermakna kita sebagai pejalan kaki selamat dari kenderaan yang berhenti. Kadangkala mereka tiada hati untuk berhenti memberi laluan pun~ 'Kepada saudari penunggang motor berkenaan, cuba fikir kalau saudari berada dalam kasut mereka. Cubalah!'
Rabu (23 Mei 2012)

  • Alhamdulillah, Lebuhraya Persekutuan lapang dari arah Shah Alam.Sempat juga speedometer saya mencecah 80km/j. Tersekat di jam besar. Tak mengapalah. kurang lima belas minit, pasti sudah siap keluar dari kereta.
  • Ada kereta melaju dari kanan saya sambil memberi isyarat ke lorong kiri. Lelaki kacak bercermin mata hitam, sayang sekali buta hati. Sia-sia saja undang-undang trafik melarang penggunaan telefon bimbit sedang dia kelihatan ketawa berdekah-dekah bersembang melalui telefon bimbit. 'Saudara, tinted lah sikit kereta tu. Kalau mampu beli kereta semahal itu, mustahil cermin kereta tak mampu disalut.'
  • Saya sampai di lampu isyarat semalam. Kali ini saya tidak perlu berhenti. Kelihatan beberapa orang sedang menanti lampu isyarat bertukar merah supaya kenderaan berhenti dan mereka boleh melintas. Mereka cuma merenung kenderaan yang bertali arus. Mungkin ada hati untuk membeli kereta juga. Sekurang-kurangnya terlindung dari hujan dan panas yang tak dijangka.
Inilah rutin saya setiap kali pulang dari kerja. Banyak hal hati yang berlegar. Ketawa gembira, duka air mata, amarah gelisah semuanya adalah refleksi dari hati. Trafik yang sesak ini boleh jadi ladang pahala atau lubang dosa untuk kita kumpul hasilnya. Saya akui saya tidaklah sesempurna mana. Kadangkala sikap pemandu lain buat saya pusing kepala juga. Tapi memetik kata nasihat seorang sahabat, carilah pahala sebanyak mungkin semasa duduk 'tak buat apa' dalam kereta. Zikir dan muhasabah mungkin jalan terbaik untuk membina sabar dalam menghadapi kerenah orang lain. Dalam masa yang sama, pahala dapat diraih. Wah. Optimis sungguh dia!

Insya Allah. Hari esok semoga ada peningkatan diri. :)

Kota Mega


Bismillah

Baru pulang dari desa setelah cuti yang agak panjang. Tidaklah lama mana pun, tapi panggilan bertali arus dari pejabat membuatkan saya rasa seperti sudah bercuti dua minggu. :( Sungguh mereka tidak hormat privasi cuti saya.

Seperti biasa, mood saya tidak berapa bagus sebaik pulang ke Kota Mega. Bercuti di kampung memang membuatkan saya tidak mahu kembali ke kota semula. Saya jadi hilang semangat dan putus asa. Wajah emak dan abah dan seluruh isi rumah di desa masih bermain di mata. Saya tidak ada jiwa untuk ke pejabat esok. (TT)

Ada isu besar dalam dunia kerjaya saya sekarang ini. Antara keperluan dan kehendak. Dilema itu datang silih berganti. Saya mungkin menggadaikan kepentingan sendiri demi keperluan orang lain, tetapi dalam masa yang saya ia juga merupakan sebahagian dari keperluan saya. Dilema. Dilemaaaaaa!

Saya perlukan rehat dan istikharah yang sempurna. Semoga Allah membelai saya dengan petunjuk yang menggembirakan hati.

Ya Tuhan, hambaMu ini terlalu lemah. Bantulah!

p/s: Mood kerja, hadirlah!

Faktor Utama Tidak Berkahwin: Komen Anda?


Mengumpul pendapat.

Faktor Utama Tidak Berkahwin
Media cetak minggu lepas melaporkan statistik di atas sebagai yang agak membimbangkan. Saya banyak mendengar komen-komen 'atas angin' yang pelbagai isinya. Ada yang pro, ada yang kontra. Ada yang positif, ada yang sebaliknya.

Saya berhasrat untuk mengumpul pendapat rakan-rakan blogger yang berusia 25 tahun dan ke atas yang masih belum berkahwin untuk berkongsi rasa tentang isu ini.
Rakan-rakan blogger, Dhiya sangat perlukan pandangan kalian dalam hal ini. Mohon kongsikan pendapat kalian ya!

Kita kongsi, kita cuba simpulkan sambil mencari solusi. :)

-Dhiya Dahlia-

Kenduri


Bismillah...
Bunga Telur? Hmmm~
Malam berinai~? Hmmm
Baju Pengantin?
Pelamin~!?
Semua ini adalah bersempena dengan majlis khatam Al Quran anak saudara saya, Nadhirah. :)
Pulut kuning memnag menjadi kemestian dalam majlis khatam Al Quran. Ada sesiapa tahu akan signifikannya?

Adik. Bukana main lagi ye~
Abang. Satu-satunya hero selepas abah!
Orang penting majlis. Orang penting dalam hidup saya.
Abah
Here-hero saya!
Lepas ni majlis 'potong' angah pulak~! Huuu!
Ustazah Zaleha. Ustazah saya sepuluh tahun yang lalu. Kini ustazah kepada Nadhirah pula. Masih cantik, masih jelita :)
Majlis ini juga bersempena dengan keberangkatan akak ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah. Banyak sebab mengapa dia terlalu emosi. Atas segala ujian demi ujian yang payah, dia akhirnya menemui hikmah. Lantas dia berhajat untuk tunduk dan menyerah diri di Sana. Semoga saya juga berpeluang ke sana kelak. Selamat pergi, selamat pulang akak!
Inilah adat kenduri di kampung. Budaya rewang masih menjadi amalan. Kata emak, inilah yang memberi kepuasan dalam kenduri kendara. Walaupun penat terpaksa melayan tetamu dan mengemas, tetapi rasa gembira kerana semuanya dilakukan atas semangat persaudaraan dan kejiranan yang kuat. Terima kasih buat jiran-jiran, makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang membantu. Tanpa kalian, majlis ini pasti tidak terlaksana. :)

Alhamdulillah selesai.

Jumpa lagi di majlis yang seterusnya~

-Dhiya-

Terkini


Sabtu, 12 May 2012

Hari ini bukan SSB saya. Tapi dek tuntutan tugas , saya dengan paksa redha hadir ke pejabat. Gigih sungguh menapak keluar dari rumah seawal 7.30 pagi dengan beg yang banyak macam orang lari dari rumah. Apa boleh buat. Inilah namanya rencah hidup. Perlu banyak rasa, banyak warna.

Di pejabat, rasanya hampir semua orang tahu yang saya lemah benar dengan satu kelompok manusia yang fikir mereka super-profesional ini. Semua nak bagus, tapi mereka sendiri pun hanyalah tin kosong yang bergendang kuat tanpa isi apa-apa.
AGM mereka hari ini betul-betul buat saya sakit kepala. Tapi bagus juga- Semakin banyak kerenah manusia yang saya hadapi; semakin saya belajar untuk mengawal diri. Mereka fikir yang mereka cukup bijak, tetapi malangnya mereka hanya bijak dari segi ilmu, bukan dari segi emosi. Perasaan mereka dangkal dengan nilai tolak ansur dan sopan santun. Betul!

Tepat pukul 1, saya tidak berlengah lagi. Kereta dipandu ke stesen minyak untuk bekalan petrol jarak jauh. Ya, saya akan pulang ke kampung hari ini dengan memandu Baby K. Asalnya itu bukan pelan pertama. Saya fikir pulang dengan menaiki bas lebih relaks dan jimat.Tapi dek tuntutan tugas yang menggunung, saya selalu pulang lewat dan tidak sempat untuk ke perhentian bas untuk membeli tiket.Nah, pilihan terbaik setelah meminta nasihat emak abah- Saya nekad memandu kereta kecil yang baru dua minggu sihat dari ragamnya tempoh hari. 
Permulaan perjalanan saya diiringi hujan lebat. Tapi syukurlah cuaca selepas itu baik-baik saja hingga sampai ke laman rumah emak abah. Tiga jam bukan satu perjalanan yang singkat. Entah berapa kali saya menguap besar, entah berapa lama saya bercakap seorang diri untuk melawan mata dan badan yang kelesuan ini. 

Esok adalah hari penting untuk kami sekeluarga. Alhamdulillah.
Sebab itu saya sanggup pulang walaupun banyak ujiannya. :)
Insya Allah cerita esok yang istimewa akan saya nukilkan sebaik majlis selesai.Momen penting ini tidak boleh dibiar lama. Basi!

Jam sudah menunjukkan pukul dua belas malam. Masa untuk berehat barang empat ke lima jam. Esok aktiviti saya akan bermula awal pagi. Tunggu!

-Dhiya-

Dua Bulan Dari Sekarang


Bismillah...

Segala usaha dan keringat telah dikerah.

Kini masa untuk bertawakkal.

Hanya Allah yang tahu...

Doakan saya beroleh peluang ini. Keputusan akan diketahui dua bulan dari sekarang. Ya, saya amat memerlukannya.

-Dhiya-

Kena Tahu


Bismillah...

Berkongsi sepicing ilmu. Semoga berkat perjalanan hidup. :)


Secara peribadi, saya sendiri pun masih kabur tentang isu yang satu ini. Syukurlah teknologi hari ini menjadi medium terbaik untuk menambah ilmu.

Kongsikan!

Dhiya-

7 Mei 2012


Bismillah.

Baru pulang ke rumah.

Kerja menggunung tinggi.

Kalau difikirkan, memang takkan sudah.

Saya penat jadi begini.

Menangis bukan sekali.

Saya rindu untuk jadi saya yang dulu.

Punya masa untuk diri sendiri.

Punya masa untuk famili.

p/s: Maaf.  Saya memang sibuk! :(


Baby K Sudah Pulang


1 Mei 2012

"Jam 9 pagi tau! Jangan lambat!"

Saya mengingatkan Elis akan janji kami.

Pagi itu, tepat jam 9 pagi, kami ke rumah Kak Safi untuk mengambil kereta saya yang sudah siap dibaiki setelah hampir dua hari tersadai di sana.
Kuala Lumpur-Klang bukanlah jauh sangat. Lain kali boleh datang lagi (kut).

Sampai sahaja, kami dijamu dengan roti canai kuah dal. Kak Safi dan Abang Bakar melayan kami dengan baik. Sangat baik.
Saya selalu terfikir. Anak saudara mak yang seorang ini terlalu humble. Dia berada di puncak hidup, tetapi tidak pernah rasa besar dan megah.Hidupnya sangat sederhana. Melihat gayanya, siapa sangka dia punya nama.

Setelah bersarapan dan bersembang lebih kurang, kami berhajat untuk pulang. Tak habis di situ, kami dibekalkan dengan dua sikat pisang berangan dan teh bunga yang dibawa khas dari China.
Terima kasih!

Baby K kembali sihat. Apabila ditanya apa sakitnya, Abang Bakar bercerita dengan penuh teknikalnya. Hanya dua perkataan yang saya ingat: Belting dan Alternator.Tapi itu pun saya tak tahu di mana letaknya mereka di dalam kereta saya. Nantilah. Google pasti menjawab soalan saya.(-.-)

Pulang ke KL dengan dua buah kereta. Elis memang suka membuli saya. Memandu tak pernah kurang 100km/j. Mentang-mentanglah kereta dia bagus~

Ops. Saya sempat menyinggah di gudang Sayangku yang menjual alat kelengkapan perkahwinan pukal di sana. Dapatlah mencukupkan goodie bag sebanyak 100 lagi. Lengkap bahagian saya, barang-barang tu semua akan saya kurier dalam minggu ini juga.

Sampai di rumah, saya keletihan. Jangan tanya apa yang saya buat. Cuti hari pekerja mesti dimanfaatkan sebaik mungkin. Rehat sepuas-puasnya. Minggu depan entah apa ujian yang tiba.

2 Mei 2012

Bersemangat sungguh ke tempat kerja hari ini sebab Baby K ada menemani. (^^)

Alhamdulillah, semuanya sudah kembali ok. Baby, jangan buat Dhiya susah hati lagi ok~

Cuma...Erm...Dhiya rasa kamu perlu mandi hujung minggu ini. Itu sahaja.

p/s: Hujan lebat hari ni. Berehat di rumah. Tak ada keperluan untuk keluar.

Mei 2012


Bismillah...

Mei sudah menjengah.Selamat tinggal April yang sangat memenatkan. Uh, siapa kata Mei merehatkan? Masih seperti biasa- Banyak isu-isu yang perlu diselesaikan. 

Jadual hujung minggu untuk Mei sudah penuh malah bertindih-tindih acaranya. Apa boleh buat. Saya cuma ada satu. Tak boleh dikerat-kerat~

Tengok...Sabtu saya sudah penuh terisi!
Kesimpulannya: Jangan buat majlis nikah dalam cuti sekolah. Ingat tu Dhiya~ (Eh....~?)

p/s: Hujan rintik di luar. Enaknya kalau terus berhibernasi. :)

Seputar Majlis Resepsi Ijoi


Bismillah...

Malas sungguh menulis panjang. Nah, gambar dulu.

Muka kepenatan. Baru sampai rumah nenek.
Budak merah
Budak merah lagi
Lagi
Lagi-lagi budak merah ni. Er...sebab dia comel
Kesian. Kepenatan~
Sesi 'Masihkah kau Ingat?'
Merah lagi
Huh. Senyum pengantin.
Oh lupa. Pengantin lelaki tu memang suka senyum
Merah, Kakak dan Angah
Kak Safiyah (tudung kuning). Baby K sedang dirawat di rumah beliau.
Pink. Awak sangat comel!
Saya tak boleh tengok gambar ni. Macam nak menangis. Ada pautan emosi yang mendalam. :(
Angah Hamid
Sebelum pulang
Mana Dhiya? Yang dok ambil gambar ni Dhiya lah~


p/s: Ijoi adalah salah seorang sepupu yang rapat dengan saya sejak kecil lagi. Emo juga bila lihat dia sudah 'separuh jalan' melengkapkan hidup. Selamat Pengantin Baru, Ijoi. Semoga bahagia hingga ke syurga. Lepas ni jemput ke Pahang pula :)