Kembali!


Bismillah...

Cuti saya sudah berakhir. :(

Pagi-pagi tadi saya telah ke bandar untuk proses mendapatkan semula kad bank dan memperbaharui lesen memandu.
Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Tidak ada barisan panjang dan tidak ada waktu menunggu yang lama.

Selesai membeli beberapa barang keperluan, saya terus pulang ke rumah- Emak dan akak menyediakan juadah makan tengahari. Kebetulan akak masuk bekerja jam 2 petang dan saya juga akan bergerak pulang ke KL selepas Zuhur, maka kami perlu makan tengahari bersama sebelum masing-masing keluar.

Usai Zuhur, saya bersiap-siap. Ini memang adegan yang paling tak seronok kalau saya pulang ke desa. Culas benar untuk saya pulang kembali ke Kota Mega. Banyak isu yang bergolak dalam jiwa yang menjadi rahsia dan tak dikongsi dengan siapa-siapa.
Saat mencium emak dan abah, air mata saya tak mampu ditahan-tahan lagi. Banyak sebab kenapa saya menangis. Banyak...

Alhamdulillah, pemanduan saya semuanya ok. Cuma kadang-kadang menguap juga dek jalan sepanjang lebuh raya yang terlalu lurus dan kurang mencabar. (Hu...bukan main lagi, Dhiya~!)
Saya memang 'pantang' betul dengan LPT- Bosan dan mengantuk. Tapi demi untuk memendekkan masa perjalanan, saya tabahkan juga.
Saya cuma 'bertenaga' apabila sampai di Lebuhraya Karak kerana jalannya memang mencabar. Paling saya ingat adalah jalan sebelum dan selepas terowong tu. Memang tak akan ada peluang mengantuk~

Saya tiba di Tol Gombak tepat jam 4 petang dan 30 minit lagi diperlukan untuk tiba di rumah sewa.
Saya: "Helo, abah. Dhiya dah sampai ni"
Abah: " Sampai mana?"
Saya: "Sampai rumah sewa lah, abah~"
Abah: "Lajunya kamu pandu kereta!"
Saya: (-.-)

Hm...Untuk makluman, abah memang tidak berapa setuju dengan cara pemanduan saya. Katanya laju benar.
Abah, ini belum cukup laju. Cuba tengok akak pandu kereta. :p

'Ala Kulli Hal, saya sudah selamat kembali ke Kota Mega untuk meneruskan perjuangan.
Berapa banyak pun masalah yang menanti di sini, ia bukan untuk dielak, tetapi untuk dihadapi dan diselesaikan.
Isu rumah sewa saya sekarang ini paling memberat. Susah juga tinggal bersama dengan orang yang tidak sefikrah. Bukan saya mahu mereka sealiran idea dengan saya, sebaliknya saya cuma mohon agar kita saling menghormati hak orang lain. Saya percaya itu tidak sukar, tetapi saya pelik mengapa mereka gagal untuk melakukannya sedang ada ahli lain yang mampu membuktikannya. Penat otak!
Hal kerja memang tidak boleh dinafikan lagi. Itu memang apa yang ditaklifkan ke atas saya. Kalau tidak dilaksanakan, maka tidak tertunailah tanggungjawab yang diamanahkan. Bilamana tidak tertunai tanggungjawab, ertinya saya telah gagal- Gagal pada diri sendiri, pada orang lain dan gagal pada Allah!
Itu belum termasuk lagi hal peribadi dan emosi saya- Manusia biasa yang ada perasaan, dan perlukan nasihat serta sokongan. Kadangkala saya terlalu leka dan seronok melakukan sesuatu hingga menolak untuk melakukan suatu yang lain.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

Allah. JanjiMu benar. Semoga hambaMu ini tidak tergolong dalam golongan yang zalim!

Apa pun mehnah dan tribulasi yang mendatang, saya akan cuba untuk hadapinya sebaik mungkin. Orang yang lari dari masalah adalah orang yang pengecut dan gagal. Kerana itu, saya kembali ke Kota Mega!

p/s: Semangat!

No comments