Cuti


Bismillah...


Khamis 21 Jun 2012.

Saya tekad dengan keputusan untuk bercuti. Mogok saya dengan bos di pejabat belum terlaksana. Ini baru cuti sehari. Harap bos mengerti yang setiap pekerja punya fungsi dan kepentingan masing-masing. 
Saya sedar akan tanggungjawab dan tugas saya, sedang orang lain pun punya bebanan kerja yang menggunung. Tetapi memegang jawatan tertinggi bukan bermakna anak buah di bawah boleh ditengking dan diherdik sesuka hati.
Ya, puncanya saya ditengking malah diherdik di depan semua pekerja lain pada sesuatu yang bukan salah saya. Saya yakin ia bukan salah saya. Adilkah begitu?

Tidak. Tidak adil.

Dia bukan lagi seorang ketua dan pemimpin yang perlu dihormati.

********************
Bersendirian di rumah.

Alhamdulillah saya berpeluang ke pasaraya dan membeli beberapa barang keperluan peribadi yang kelihatan luak.
Saat berjalan sambil menarik bakul beroda sendirian di pasaraya yang lengang itu, saya menyedari sesuatu yang dari dulu sudah saya perhalusi, tetapi seringkali saya menafikannya berkali-kali.

Benar.

Saya tidak rasa bekerja makan gaji adalah kehidupan saya. Pernah saya merungut apabila diminta bekerja lebih masa (pernah hingga 9 malam) atas sebab mesyuarat atau seminar walaupun bayaran lebih masa akan direkodkan ke dalam gaji bulanan. 
Pada saya, masa yang berkualiti tidak boleh dibeli dengan nilaian wang ringgit. 

Sambil memilih barang di pasaraya itu, saya terfikir untuk membangunkan sebuah perniagaan kecil yang bermodalkan hobi dan kebolehan saya sendiri. Mujurlah manusia 'hati batu' seperti saya ini masih ada hobi sebagai teman. :p. Kalau tidak, entah apa lah yang hendak dijual...
Diam-diam saya merangka strategi pemasaran mudah. Iyalah...sekecil-kecil barang yang hendak dijual, perlu ada jalan promosinya. Sudahlah kecil, tak dilihat orang. Kurang pula promosi...Alamatnya ke laut lah~

Semakin jauh berjalan, semakin jauh otak saya menerawang.
Terdetik di dalam hati kalau saya berkahwin nanti. Keluarga saya mungkin terabai dek kesibukan saya di pejabat! Tidak!
Saya melihat emak sebagai seorang guru rumahtangga yang paling hebat dalam hidup saya. Emak tidak bekerja. Dia membesarkan saya dan memenuhi segala keperluan saya seadanya dengan rezeki yang dikerjakan oleh abah sendirian. Saya tidak pernah rasa kurang apa-apa walau sepicing biarpun abah bukan seorang pegawai tinggi atau sesiapa yang bergaji besar ketika itu.
Mungkin saya kurang dari segi kemewahan fizikal- Saya tidak pernah ada permainan mahal-mahal ataupun kemudahan yang cukup malah sempurna untuk belajar, tetapi emak dan abah tidak penah kurang dalam memberikan perhatian dan kasih sayang terhadap saya dan adik beradik yang lain.

Pendapat Peribadi

Kalau diberi pilihan, idealnya saya tidak ingin keluar bekerja. Saya rela memilih untuk menjadi suri rumah tangga sepenuh masa asalkan suami (unanimously) saya dan anak-anak saya berada di depan mata. 

Lantas apa gunanya Ijazah dan Sarjana Kejuruteraan yang dikejar itu?

Saya punya seorang rakan sewaktu di KISAS dulu. Ibunya lulusan Usuluddin tetapi memilih karier sebagai pengurus rumah tangga dengan alasan untuk membesarkan anak-anak. Alhamdulillah saya lihat anak-anaknya (adik-beradik rakan saya itu) semuanya 'menjadi'. Apabila ayahnya meninggal dunia, barulah si ibu tadi keluar bekerja dan itulah pekerjaan pertamanya selepas memperolehi ijazah. Anak-anak pula semuanya sudah dewasa. Lalu barulah sang ibu 'berani' untuk bekerja.

Saya tahu itu bukan suatu yang mudah untuk diimplementasikan. Banyak perkara perlu dikorbankan. Banyak kepentingan yang harus dilepaskan. Asam garam rumah tangga bukan seperti bermain pondok-pondok; boleh dirombak bila-bila masa. Tapi itulah pendapat peribadi saya. Saya lebih rela memilih berada di rumah daripada mereka yang tersayang yang ternanti-nantikan saya di rumah.
-My one cent idea-

Jauhnya fikiran saya melayang. Adalah beberapa barang di dalam bakul saya. Perut sudah berkeroncong. Perlu balik cepat. Seronoknya dapat memasak sendiri di dapur bujang yang kecil itu.
Kaki terus melangkah ke kaunter bayaran. 
Selamat tinggal, masa untuk pulang makan tengahari di rumah!

Dan cerita ini akan bersambung...

Salam sayang,
Dhiya

No comments