Seminar Baitul Muslim 3.0 (2014)


Bismillah

Alhamdulillah, inisiatif mendaftarkan diri untuk bengkel ini telah dibuat seawal bulan Februari lagi. Syukur juga usaha melobi saya kepada insan-insan tertentu telah berjaya dan kami telah mendaftar bersama pada harga early bird.
Sebaik terbaca tentang iklan seminar ini, terasa seperti ada magnet yang menarik-narik saya untuk mendaftarkan diri. Wallahi, saya tidak kecewa untuk berada dalam majlis ilmu sebegini- Yang membawa banyak manfaat dan ruang untuk berfikir dan mengislahkan diri. :)

Malam sebelum seminar, saya diuji dengan demam, selesema dan batuk yang sudah lama Allah tidak bagi kepada saya. Masa tu saya hampir-hampir putus asa kerana saya tak mampu memandu waima dari Bangi ke Shah Alam (tempat seminar dijalankan).
Tapi syukurlah Allah kirimkan the right person at the right time untuk bantu saya- Agar saya dapat menyertai SBM 3.0 ini.
Ya, saya merupakan salah seorang peserta SBM 3.0 2014 di Shah Alam!
Masa dapat buku nota ni, saya dah berjanji untuk penuhkan semua lembaran kertas di dalamnya dengan info berguna- Mudah-mudahan boleh menjadi rujukan kelak.
Antara penceramah yang dijemput dengan slot masing-masing yang istimewa dan kena pada tempatnya.
Tentatif program agak penuh, ditambah pula dengan keadaan saya tak kurang sihat- Memang ada je yang tak kena walhal bagi saya secara keseluruhan program ini adalah sempurna.

Memang-
Datang ke seminar ini, saya awal-awal lagi sudah setkan minda, saya mahukan isi kandungan dan ilmunya.
Mungkin ramai yang kurang cakna- Hari ini, semua orang boleh berumahtangga-Tapi sejauh mana rumahtangga yang dibina itu adalah berteraskan agama.
Biarpun saya masih bujang (ketika entri ini ditaip), saya dapat rasakan betapa besarnya harapan semua orang (termasuklah saya) untuk bahagia dalam rumahtangga- Punya suami yang hebat, isteri yang solehah, anak-anak yang bijak dan baik, harta yang cukup- Bahagia semuanya. Tapi kita lupa bahawa dunia ini tidak pernah mencapai tahap ideal condition kerana tiada siapa di antara kita yang dilahirkan sempurna kecuali Nabi Muhammad SAW.

Atas dasar itulah, saya gagahkan juga hadir ke seminar ini dengan tujuan untuk memperbaiki diri dan memahami erti sebenar pernikahan dan rumahtangga berlandaskan Islam ini. Bohong kalau saya katakan saya tidak tersentap dengan banyak bahan yang dibincangkan. Tipu kalau saya kata saya tidak menangis saat rasa terpukul dan menyedari betapa tak layaknya saya nak mencapai rumahtangga ideal kerana saya sendiri pun tidak sempurna.
Hari Pertama

Ustaz Salim A. Fillah
Sebelum Aku Bernikah

Slot pertama pada hari pertama. Masya Allah.
Banyak isinya menjentik hati saya. Ada juga beberapa bahagian dalam penyampaiannya ini- Saya memilih untuk terpaksa menangis. Tajamnya sampai menusuk jantung.
Antara isi penting yang sempat saya 'tangkap':-

[1] Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu a) Kecantikan, b) Keturunan, c) Kekayaan, dan d) Agama. Sedikit yang menikahi wanita kerana agamanya, tetapi berpegang kepada yang sedikit inilah banyak kemuliannya.
Maksud beragama bukanlah dinilai pada jubah dan tudung labuhnya- Tetapi ia dipandang pada kekuatan amalnya dan terus menerus mempunyai iltizam untuk terus mengamalkan ajaran agama dan mempelajarinya.
[2] Cara menjemput jodoh datang kepada kita adalah antara ujian yang Allah datangkan kepada kita- Jika ia dijemput dengan baik (yakni dengan cara beragama, tidak melanggar syariat), maka baiklah jodoh yang hadir dan begitulah sebaliknya.
[3] Pernikahan adalah proses perkenalan yang berterusan antara pasangan. Ia juga merupakan proses pembelajaran sepanjang hayat.
[4] Menikahlah kerana Allah Taala- Jangan meminta yang sempurna, kerana Allah sedang menyiapkan pasangan yang tepat untuk kita. Kena yakin.
[5] Jangan pernah menyesal dengan pasangan (Astaghfirullah, Nauzubillah). Isteri-isteri Baginda Nabi Muhammad juga tidak sempurna. Aisyah contohnya- Tetap punya perasaan cemburu seperti wanita lain dan bersabarlah menghadapinya sebagaimana Nabi Muhammad menyantuni kerenah isteri-isteri Baginda.
[6] Perlunya pasangan suami isteri berada dalam diri pasangan masing-masing (konsep another half)- Hingga satu tahap, lama-kelamaan mereka masing-masing boleh saling mamahami walaupun tanpa berbicara.- Cerita mee rebus sangat mengusik hati saya :)

Ustaz Mohamad Ridhauddin Mohd Salleh
Anakku Bukan Anakku

Ustaz Ridha banyak menekankan bagaimana pembentukan anak bermula daripada sifat ibu-bapa sendiri.
[1] Pilih calon pasangan yang beragama
[2] Tujuan pernikahan biarlah untuk mengutip pahala. 
[3] Perlu diingat bahawa hanya 3 perkara yang bakal dibawa selepas kematian- a) Sedekah dan amal jariah, b) Ilmu yang bermanfaat, dan c) Doa anak-anak yang soleh. Sedekah dan ilmu ini antara 2 perkara yang fragile pahalanya dek kerana riak. Namun kehadiran anak solah yang boleh mendoakan kita akan menjadi penyelamat ketika berada di alam kubur.
[4] Memang secara fitrahnya perkahwinan adalah untuk mendapatkan anak. Tapi jauh lebih itu, orang yang untung adalah orang yang menjadikan anak sebagai 'modal' untuk kita ditempatkan di syurga.
[5] Sikap anak-anak adalah cermin kepada sikap kita. Perilaku anak-anak diteladani dari perilaku ibu bapa yang diperhatikan oleh mereka. Jadi penting bagi ibubapa  untuk berakhlak baik setiap masa.
[6] Kurangkan sikap diktator di rumah samada kita sebagai ibu atau ayah. Banyak beza antara menyuruh dan mengajak. Gunakanlah seni mengajak/ mengajar/ menunjuk ajar dalam keluarga.

Fulu$ oh Fulu$ (Slot petang)
Sebelum aku Bernikah Lagi (Slot malam)

Untuk dua slot di atas, saya dah tak terdaya untuk mendengar. Saya terpaksa ke mothers' room untuk berehat. Hanya dapat mendengar di hujung telinga sahaja (kebetulan ada life feed terus ke dalam bilik tu)

 Hari kedua

Allahu, demam saya masih berterusan. Tapi saya gagahkan juga untuk terus hadir jasad dan emosi di sini.

Ustaz Ebit Lew
Cinta di Rumah Rasulullah

Ustaz banyak bercerita tentang pengalaman sendiri dan telah berjaya 'membawa' saya masuk ke dalam suasana rumahtangga Rasulullah dengan baik sekali. Terasa macam dekat dengan kehidupan Baginda.

[1] Banyak tauladan yang boleh diambil dari kisah rumahtangga Baginda Nabi Muhammad. (Saya tak bincangkan di sini- Boleh cari dari banyak sumber). Ini menunjukkan Baginda telah mengeluarkan garis panduan dalam menyantuni pasangan walaupun dalam keadaan sibuk berdakwah.
[2] Sayangilah keluarga kita. Ketika itu juga Allah akan dan sedang menyayangi kita.
[3] Hidupkan amalan Nabi dalam rumahtangga: a) Kasih sayang (bersalaman atau bersentuhan), b) Solat berjemaah di awal waktu, c) Mendoakan ahli keluarga dan jangan cepat membenci orang lain, d) Merutinkan sifat mengalah, mengaku kesilapan diri dan meminta maaf, e) Keluar rumah kaki kiri dan pulang memasuki rumah dengan kaki kanan, f) Hidupkan suasana ta'lim / motivasi, g) Melazimi Al Quran, h) Membangunkan keluarga dengan kasih sayang sejak dari mula lagi.

Ustazah Isfadiah & Ustaz Muhidin
Suami, Isteri: Hak dan Tanggungjawab

Ada satu, paling best dan paling mantap:- Ustazah Isfadiah dan suami. Khusyu' sangat mendengar sampai tak ingat langsung nak ambil gambar.

[1] Life is an opened secret.  Rumahtangga adalah sebahagian dari kehidupan dan ia tak akan terjadi jika tidak saling melengkapi. Tiada manusia yang sempurna.
[2] Jangan ubah manusia, tapi ubahlah akhlak. Mulakan dengan akhlak diri sendiri. Semua orang mahukan kesempurnaan, tapi kita perlu ingat bahawa kita bukan robot!
[3] Suami rendahkan sedikit ego dan bersedialah menerima nasihat dan pendapat pasangan.
[4] Ingat dan amalkan bahasa cinta: a) Bahasa dan kata-kata manis, b) Hadiah tanda ingatan, c) Sentuhan, d) Masa yang berkualiti, e) Khidmat dan bantuan kepada pasangan.
[5] Selalu ingat bahawa kita adalah pelengkap kepada pasangan. Bukan semata-mata menuai hasil dari pasangan.
[6] Jadikan asas kepada tanggungjawab ini datangnya dari cinta kepada Allah dan pasangan.
[7] Jangan fikir hak kita dulu! Bersungguh-sungguhlah dalam memberi khidmat dan tanggungjawab terbaik kepada pasangan. Insya Allah imbal balik itu akan datang balik kepada kita secara semulajadi. Percaya kepada sifir what you give, you get back.
[8] Matlamat perkahwinan bukan semata-mata untuk melayan nafsu. Bersama bantu membantu dalam kerja khalifah- Sebab tu kena tsabatkan niat yang jelas sebelum berumahtangga. Semuanya mesti kerana Allah.
[9] Isteri perlu faham gaya suami dan bahasa suami dalam menunaikan tanggungjawabnya. Jangan expect gaya pemikiran dan tindakan yang sama seperti wanita.
[10] Jangan kecam atau pandang rendah kekurangan pasangan. Anggaplah ia sebagai peluang untuk kita berbakti kepadanya dengan melengkapi pasangan.

Prof. Dr. Harlina Halizah Siraj
Kesihatan Suami, Isteri dan Keluarga

To be brief, penyampaian Dr. Harlina sangatlah tepat dengan kedudukannya sebagai seorang pengamal perubatan. Saya memang suka dengan slot Dr. Harlina kerana info yang disampaikan snagat berguna dan mudah difahami.

Perbincangan merangkumi kesihatan fizikal, emosi, mental, spiritual, reproduktif dan sosial. Penekanan lebih diberikan kepada kesihatan reproduktif yang melibatkan kedua-dua pasangan suami isteri dalam melayari rumahtangga terutama dalam usaha melahirkan zuriat yang sihat dan sempurna.

[1] Banyakkan membaca terutamanya tentang penyakit kanser termasuklah punca, simptom, rawatan dan pencegahan.
[2] Banyakkan ilmu tentang perancangan keluarga
[3] Kesihatan dan kesejahteraan ahli keluarga adalah tanggungjawab bersama- Jangan salahkan satu pihak sahaja.
Ustaz Pahrol Md Juoi
Rumahtangga Tapak Perjuangan

Inilah kolumnis kegemaran saya dalam majalan Solusi. Penanya tak pernah mengecewakan saya. Slot terakhir ini pastinya 'disimpan' untuk yang terbaik.

[1] Jika kita mendapat nikmat, belum tentu lagi di situ ada rahmat. Sama juga konsepnya dengan perkahwinan. Kita semua mungkin boleh berkahwin, tapi belum tentu mendapat kebahagiaan dan redha Allah.
[2] Aggaplah setiap usaha yang dilakukan dalam rumahtangga walaupun kecil, adalah demi mencari keredhaan Allah. Berpenatlah di dunia, semoga ada kerehatan di akhirat kelak.
[3] Tegakkan hukum terlebih dahulu dalam rumahtangga. Insya Allah kebahagiaan rumahtangga akan datang dengan izin Allah selepas itu.
[4] Jaga hak Allah, Allah akan jaga hak dan kepentingan kita dalam keluarga dan rumahtangga.
[5] Jagan hubungan dengan Allah dan juga hubungan sesama manusia.
[6] Solat adalah indikator pertama dalam perjuangan seorang Muslim. Solat akan melahirkan akhlak yang baik dengan sendirinya. Oleh itu jangan tinggal solat dan sentiasa perbaiki solat.
[7] Masyarakat yang baik lahir dari keluarga yang baik.
[8] Perjuangkan hak Allah semampunya, Allah akan bantu apa-apa yang kita tak mampu.
[9] Perkahwinan adalah alat untuk mencapai cinta Allah (matlamat).

Alhamdulillah
Buku nota ni akhirnya penuh dengan info yang harapnya bermanfaat. Semoga- sebaik saya menikah kelak, saya dapat buka balik nota ini dan membaca kembali seluruh isi hati dan harapan yang tertulis. :)

Terima kasih, penganjur.

Maaf jika perkongsian saya tidak tepat. Saya menulis atas kefahaman saya.

Salam sayang,
Dhiya

No comments