Masih


Bismillah...

Ya, masih sama, biarpun saya tidak menulis panjang untuk bercerita apa halnya.

Masih, 
Saya sangat sibuk berperang dengan masa di tempat kerja. Melayan kerenah manusia yang pelbagai wajah, gembira, sakit hati, tekanan, gelak ketawa- Semuanya ada di sana.
Kecewa masih ada. Apa yang saya buat, masih berbaki luka sesama manusia yang belum puas hati dengan saya. Ada saja salahnya di mana-mana. Biarlah. Sekarang masih boleh berdiam diri lagi. Tunggu esok lusa, kita akan bermain poker bersama!
Terbaru, OT saya dipersoalkan dan tidak mahu ditandatangani. Demi Allah, saya masih waras untuk menilai halal haram wang gaji saya. Kepada yang menabur fitnah tersebut, terima kasih. Anda berhutang dengan saya.

Masih, 
Saya sangat rindukan keluarga di kampung. Peluang bercuti panjang minggu lepas masih belum cukup untuk mengubati rindu dendam ini. Wajah emak dan abah adalah mimpi saya. Mereka sangat penting dalam hidup saya. Jatuh bangun saya, merekalah yang menjadi tulang belakang yang menyokong.
Mereka bukan orang yang punya ijazah atau latar belakang pengajian tinggi jauh sekali orang besar dalam masyarakat,tetapi pandangan dan perancangan mereka jauh ke hadapan.
Emak dan abah tidak pernah berhenti memberi semangat sedari kecil. Saya membesar dalam dunia kecil yang sukar. Emak dan abah tidak pernah memewahkan saya dengan material. Tetapi saya dimanjakan dengan kasih sayang. Benar. Hari ini, walaupun kasih itu tak terucap, tetapi saya tahu emak dan abah dapat merasainya dari dalam mereka- Kerana pada mereka ada saya!

Masih, 
Cita-cita yang satu itu masih memuncak di jiwa. 1 Oktober lepas saya biarkan ianya berlalu dengan hati yang redha. Insya Allah, kali ini saya tidak akan pandang ke belakang lagi. Atas sakit hati dan kekecewaan orang lain memandang lekeh atas potensi saya, saya mula fikir yang hanya ilmu akan mampu menambah nilai diri ini. Saya berjanji pada diri- Saya takkan di sini selamanya.

Masih, 
Cinta itu masih ada. Tapi biarlah untuk beberapa bulan sebelum 2013 ini, rasa itu dipelihara Allah. Saya mahukan ruang dan peluang untuk memperbaiki diri. Memang agak susah untuk mujahadah. Semuanya menguji iman dan prinsip. Banyak yang berlaku dalam seminggu selepas saya pulang dari kampung ini, tetapi saya cuba manikmatinya sendiri. Insya Allah. Saya mahu manjadi diri saya.
Cinta itu bukan wang atau apa. Kalau kita mahukan yang baik, kita perlu memperbaiki diri sendiri terlebih dahulu. Ya, saya menulis untuk diri saya. Kerana saya mahukan yang terbaik dari kamu, berilah masa untuk saya memperbaiki diri. Demi Allah, saya sangat takutkan bencana yang mungkin Allah turunkan atas kesalahan saya!

Masih, 
31 Disember masih berbaki 40 hari. Ya, 40 hari. Semuanya saya serahkan kepada Allah- Tuhan yang berkuasa membolak-balikkan hati manusia. Saya sudah berusaha sebaik mungkin. Selepas tarikh itu, saya mahu menjadi saya yang bersemangat baru tetapi masih berjiwa yang dulu- emak dan abah tetap yang utama. Saya tidak mahu jadi Tanggang wanita derhaka.


Untuk kamu, 
Saya masih menunggu...

Salam sayang, 
Dhiya
22 November 2012
9.15 malam
Kota Mega

No comments