Sangaaat Sibuk


Bismillah

Ini bukan yang pertama. Entah alasan yang kali ke barapa, saya sendiri pun tak tahu.

Tapi kali ini memang benar-benar sibuk. Sejak pulang dari bercuti 14 dan 15 Febuari lepas, saya didatangi bebanan tugas yang luar biasa beratnya. Seminar saya mencecah 100 orang. Setiap hari menerima panggilan yang macam-macam perangainya. Kalau yang elok, eloklah. Kalau yang sebaliknya, saya pun jadi tunggang terbalik!

Alhamdulillah saya dah berjaya mendaftar diri sebagai pelajar di UKM pada tarikh yang disebutkan di atas. Dugaan memang banyak. Moga saya tabah dan berlapang dada atas semua ujian dan belaian dari Illahi ini. Insha Allah kalau ada masa terluang, saya akan tulis satu entri tentang ini :)

Cumanya sekarang saya rasa terkurung dengan tugas yang berlambak-lambak. Sehingga satu tahap, saya rasa tekad untuk berhenti. Setiap hari saya melihat sikap jelik yang tidak boleh diterima akal. Datang lewat ke pejabat sudah jadi seperti kebiasaan dan bukan lagi kesalahan. Entah. Mungkin sebab sudah menjadi kepantangan saya melihat sesuatu yang bukan pada tempatnya. Sebab itu saya jadi menyampah.
Lantak.

Banyak juga cerita yang ingin saya kongsikan di sini. Sangaaaat banyak. Tapi saya sangaaaat sibuk!

Oh apa lagi alasan saya. Semua orang diberi 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Adakah hanya saya seorang yang merungut kerana sibuk dan tidak cukup masa?
Anyone, Please?

Salam sayang
Dhiya

Rabu, 13 Febuari 2013


Bismillah...

Hari pertama bekerja selepas cuti panjang. Jenuh juga menyeru semangat ini. Syukurlah masih berbaki walau sedikit. 
Memang sedikit saja semangat yang tinggal. Setiap hari saya melihat manusia yang masuk lambat ke pejabat tanpa rasa bersalah. Setiap hari saya lihat ada manusia yang cuti kecemasan sedangkan memo telah dikeluarkan bahawa tiada istilah cuti kecemasan tanpa bukti.

Saya fikir tempat ini bukan atmosfera yang sesuai untuk saya. Melihat orang berbuat demikian menjadikan saya punya pemikiran sebegini:- "Kalau kau boleh buat, aku pun boleh!"- pada sisi negatif.
Kalau tak kerana sikap yang telah lama tertanam menjadi tabiat dan kebiasaan, saya pasti saya juga gelong mengikut jejak mereka. Nauzubillah!

Hari ini agak tenang. Masih ramai yang bercuti malah ada dua tempat kosong yang stafnya sudah berhenti. Bagus untuk bekerja. Telefon pun tidaklah memekak sangat.
Seminar saya pada 25, 26 dan 27 Febuari ini masih banyak perkara yang tertangguh. Mana yang saya boleh usaikan, saya akan usahakan. Tapi kalau yang tersangkut di leher orang lain, itu bukan tanggungjawab saya. 

Tengahari sedikit, saya ke Bank Islam berhampiran untuk membayar yuran pengajian. Seperti yang saya katakan, dua hingga tiga bulan ini akan banyak perubahan bakal berlaku. Saya sendiri pun tak tahu apa yang menunggu di depan. Yang pasti semua yang datang akan menjadi cabaran. Semoga Allah memberikan apa yang termampu oleh saya, oleh Iman saya.

Pulang dari bank, saya masih menyiapkan kerja yang berbaki. Kerja saya diselang seli dengan gangguan telefon. Aha. Biasalah tu. Esok dan lusa saya akan bercuti untuk menghadirkan diri ke pendaftaran pelajar pascasiswazah baru di UKM. Sekali lagi, ini adalah antara titik tolak yang bakal merubah keseluruhan hidup saya. Saya mulakan langkah mengajian pascasiswazah ini dengan restu emak dan abah. Berkali-kali saya beritahu mereka, saya mungkin kurang dalam banyak perkara sementara berada dalam jalan juang ini. Redha mereka telah membuatkan saya kuat. Biarlah tiada siapa yang menjaga saya di sini, tapi saya ada Allah dan doa mereka berdua :)

Jam 5.20 petang, usai solat Asar, saya menerima mesej - 
"Can you come to my place?"
Ada tugasan last minute :p
Ok. Sifirnya mudah sahaja. Jangan ingat saya tak boleh buat semua tu dalam masa 10 minit sebelum waktu pulang. Ada lagi manusia yang dah diminta buat kerja tu sejak jam 1 petang, boleh keluar mesej notification mengatakan tak boleh buat sebab ada kerja lain. Hebat. Hebat!
Jadi usai kerja yang diminta, saya bolayankan semua alasan lain dan terus angkat kaki. Saya loya tengok orang banyak alasan. Isu saya dah selesai. Saya bakal bercuti dua hari dan tidak meninggalkan satu pun sisa kerja.(Tepuk bahu sendiri lah~)

Di rumah, saya mula sibuk itu dan ini. Gosok baju, susun dokumen. Rasa gementar pula nak kembali menjadi pelajar. Jadi pelajar maknanya perlu lebih berhati-hati soal masa dan tanggungjawab. Niat kena jelas Lillahitaala dan hati mau bersih, barulah dapat challenge pointer Ijazah Sarjana Muda~ Amin. Doakan!

Salam sayang, 
Dhiya Dahlia

Trifle- Ini Semua Salah Wani!


Betul.

Ini semua Wani punya salah. Dia yang bertanggungjawab menimbulkan keinginan saya untuk men-trifle.
Sudahlah dapur di rumah sewa ini semuanya tak patut. Nampak gayanya kena tunggu rumah barulah~ (ups)

Ini resepi yang saya dapat dari Myresipi.com. Esok lusa boleh cuba. :p

Bahan-bahan ( 10 org )

  • - Swiss roll
  • - 1 tin fruit cocktail
  • - 1 kotak Kristal Jelly - saya guna cap NONA
  • - 1 tin susu cair + 1 tin air + 7 sudu gula pasir
  • - 4 sudu besar tepung kastad - sukatan membukit
  • - Yogurt atau whipping cream

Cara-cara

  1. Lapisan 1 = Potong Swiss roll anggaran 1.5cm tebal, susunkan dalam acuan (bekas pyrex baru nampak lapisan nanti). Tuangkan air fruit coktail keatas swiss roll hingga lembab, ketepikan dulu.
  2. Lapisan 2 = 1 tin susu cair + 1 tin air + 7 sudu gula dimasak atas api (sesambil tu bancuhkan 4 sudu tepung kastad dengan 1/2 tin air - tepikan dulu). Bila susu mendidih, kecilkan sedikit api kemudian masukkan bancuhan tepung kastad tadi, kacau hingga menjadi likat. Tuang diatas lapisan 1 tadi.
  3. Lapisan 3 = Buahan koktail tadi ditabur atas lapisan 2 (kastad). Ketepikan sekejap.
  4. Lapisan 4 = Masak air panas (ikut sukatan pada kotak jelly), hingga mendidih. Masukkan jelly tersebut dalam air panas, tunggu sejuk sedikit tapi masih dalam keadaan cair baru tuang keatas lapisan 3 (buah buahan).
  5. Lapisan 5 = Bila jelly dah beku sapukan yogurt ataupun whipping cream (dipukul dulu hingga gebu) keatasnya... taburkan dengan buah strawberry (atau buah2 lain ikut suka) keatasnya......
  6. Nota: = -Untuk adunan diatas sesuai dan muat dalam bekas/acuan saiz 7/8 x 10". -whipping cream dipukul hingga gebu dan sapu keatas lapisan jelly tadi (Untuk memudahkan lagi kerja sapuan tu saya masukkan whipping cream dlm "pipping bag" dan pipe keatas lapisan jelly tadi... kalau takda "pipping bag" gunalah plastik, lubangkan sikit depannya jadilah... hehehe pipe guna nozzle star pun cantik juga.... selamat mencuba :) 
p/s: Kalian suami isteri terlalu baik dengan saya. Doa dari hati, semoga Allah terus-terusan melimpahkan rezeki dan rahmat yang tidak putus-putus. Terima kasih atas pertolongan yang bukan sedikit ini. Memang tak terbalas dengan ringgit dan sen!

Salam Sayang,
Dhiya

Tahniah, Kembar!


Bismillah...

10 Febuari 2013- Ahad. Itu hari majlisnya.

5 Febuari 2013, saya menerima panggilan telefon untuk jemputan majlis ini. Sekali lagi, air mata saya menitis. Tumpang gembira sebenarnya (walaupun dusta). Seorang demi seorang teman baik saya sudah ada yang sudi menjaga mereka. :)

Tak apalah D, Allah ada untuk jaga kamu.

Tapi memetik kata-kata abah apabila saya sampaikan berita kembar saya ini:-
"Sorang-sorang kawan kamu 'pergi', D. Ikhtiarkanlah sesuatu. Rumah ni dah lama tak ada kenduri makan beradap selepas akak D."
Saya tahu abah bukan terpaksa atau terdesak. Tapi naluri kebapaannya terlalu tebal untuk melihat saya disayangi. Bukan abah tak mampu menyayangi. Tidak. Abah mahu lihat anaknya hidup lengkap ditemani seorang lelaki selepasnya.

"Sabarlah abah. D pun terasa juga. Cuma banyak sebab Allah belum izinkan lagi. D ni memasak pun tak pandai, abah." Saya cuba bercanda walau ada rintik di birai mata.

Seperti yang dijanjikan, undangan kembar saya ini sangat penting untuk dihadiri. Kawan sama-sama baik, sama-sama nakal, sama-sama berhempas pulas belajar. Mana mungkin mudah dilupakan!
Sampai saja di rumahnya, adegan pertama adalah adegan menangis. Kamu sungguh perosak majlis orang la, Dhiya!


Saya tak ada ulasan untuk gambar-gambar di atas. Tapi yang pasti, saya masih tiada keinginan untuk menempel gambar sendiri di blog ini. Mungkin terlalu emosi kut~

Tahniah untuk kembar saya, Hidayah Abu Talib yang selamat ditunangkan dengan jejaka pilihan hati. 

Betullah. Lelaki gentleman bukan hanya sekadar bakti yang membukit, tapi berani untuk membuka langkah dan pergi lebih jauh dari tapak berdirinya sekarang.
Meminang anak dara orang pun dikira langkah berani lah kan~

Speechless.

Salam sayang,
Dhiya Dahlia

Nabiha's Birthday Celebration


Bismillah...

It was 25th January 2013 when I went home town. My sister decided to have a celebration for her daughter- Nabiha. It was all-of us-in one celebration actually. Nabiha's was on 12 January, mine was on 13 January and Akak herself was on 15 January! Since we did not have enough time to do it at home, then we went and 'attacked' Nabiha's kindergarten teachers! And yes, we did it at dining hall of the kindergarten.

The cake. Nabiha is 5 years old.
Sorry I have to hide the other two ages :p
The dining hall. It is a new dining hall. Built up around 5 years ago (kut)
Alamak, the watermark had covered all their faces. Sorry, kids!
Nabiha
One of the Indian student in the class. The teachers said they have difficulties to communicate as they can't understan and speak  in Malay. But after few weeks of school session,  the kids managed to at least understand what teachers said. At least- Shut up!
And this is the young lady who is very independent :)
Intan. She's so cute. See how she wore the mask!
The happy faces waiting for the cakes
Oh la!
Again, the happy faces. Kakak, (they called me kakak- Lantak~) cepatla. Kita nak makan kek! (o-0)
The one who we celebrate
Caught in action.
Let's put the candle first
Get ready
And now!
Nyummy!
This is the 'MUST' session after eating. See the boy beside Nabiha. He is another one Indian student in the class.
It's a 1 Malaysia school.
Happy belated birthday, Nabiha. May Allah shower you with His bless. We love you to the max!
With love,
Dhiya Dahlia

Buat. Jangan Cakap je!


Bismillah

Walk the talk, Dhiya!

Crepe paper dah banyak yang dipotong. Cuma masih belum ada masa untuk meluruskannya apatah lagi untuk dilipat-lipat menjadi bunga.

Come on, Dhiya! 1000 pieces to achieve!!!
Banyak ooooi!
Memang rasa nak berhenti kerja dan sudahkan apa yang saya dah mulakan ni :p
Dhiya boleh!

Berhenti kerja?
Hm~

Salam Sayang,
Dhiya

Pemeriksaan Perubatan di Pusrawi


Bismillah...

Hari ini saya buat banyak perkara. Bukan dua dalam satu, tiga dalam satu- Tapi semuanya dalam satu!

Saya tidak mengambil masa yang panjang untuk mengambil keputusan menjalani pemeriksaan perubatan di Pusrawi. Hanya semalam saya tergerak hati menelefon Pusrawi bertanyakan apa yang patut dan pagi ini ringan saja kaki menekan pedal minyak memandu ke sana.

Seminar saya kali ini agak fleksibel. Jadi saya awal-awal lagi sudah memberitahu Mr. Lim yang saya perlu ke Pusrawi untuk pemeriksaan kesihatan. Dia pun bukan orang yang banyak tanya sangat. Jadi berdesuplah saya hilang sebaik minum pagi.
Saya memang berhajat untuk 'berpuasa' dari mengambil makanan dan minuman manis sebelum membuat pemeriksaan. Sengaja mahu lihat apa kesannya kepada keputusan pemeriksaan. :)

Lebih kurang 11 pagi, saya sudah sampai di depan Pusrawi. Doa saya semoga urusan ini diberikan laluan paling mudah olehNya. Risau juga saya dibuatnya kalau-kalau orang ramai dan terpaksa menunggu lama. Iyalah, saya pun 'curi-curi' waktu pejabat. Kalau mencuri sampai tiga empat jam, masak juga saya kena makan api!

Ok ini saya kongsikan prosedur umtuk pemeriksaan kesihatan di sini (tertakluk kepada borang pemeriksaan kesihatan masing-masing). Borang saya dikira paling mudah dan asas- Basic medical examinations (i.e. weight/ height/ vision test/ blood pressure test), urine test, single chest x-ray dan tiada ujian darah

Tingkat 7
Bawa borang pemeriksaan kesihatan terus ke tingkat 7 iaitu Pusat Pemeriksaan Kesihatan Eksekutif. Serahkan borang berkenaan kepada jururawat bertugas dan kemudian akan ke bilik nombor 13 untuk pemeriksaan tekanan darah dan vision test. BP saya rendah. Ouch! 
"Adik tak makan lagi ke?" Tanya kakak jururawat tersebut.
"Macamana akak tahu?"
"Saya kan misi~" Betul juga (-.-)

Tingkat 2
Makmal. Ini part yang saya tak berapa gemar. Urine test. Bukan sebab apa pun, tapi macam malu dan tak selesa. 
Di sini juga ada bahagian untuk mengambil darah. Tapi disebabkan dalam borang saya tiada ujian darah diperlukan, maka saya tidak perlu melakukannya. Saya hanya lihat ada seorang perempuan India mengerut kesakitan ketika tangannya dicucuk jarum. O0O0OO0O0!

Tingkat 1
X-ray. Oh. Ramai juga orang. Tapi Alhamdulillah giliran saya boleh tahan juga cepatnya. Juru X-Ray pun Alhamdulillah perempuan. Jadi saya tak banyak isu di sini. Selesai presedur, saya keluar untuk menunggu keputusan saya. 
Saya terdengar perbualan dan keluhan seorang wanita yang duduk di sisi saya. Gilirannya lambat meleret. Rupanya dia perlu buat ultrasound dan beberapa prosedur pengimejan lain. Seorang lagi wanita menunggu giliran MRI. Sekarang saya faham, yang ramai-ramai ni bukan semuanya menunggu giliran chest X-Ray, mungkin prosedur lain. :) Sebab tu giliran saya cepat. Alhamdulillah.


Tingkat 2
Kaunter 8. Semua prosedur saya hampir siap. Jadi saya diarahkan untuk kembali ke Tingkat 2, Kaunter 8 untuk membuat bayaran. Nak tahu berapa kos pemeriksaan perubatan saya?
Nah, RM66. Alhamdulillah. Ini semua dengan izin Allah. Dia yang menemukan saya dengan Pusrawi yang menyediakan pakej pemeriksaan kesihatan untuk pelajar (yang akan menyambung pengajian).

Jadi kepada sesiapa yang berhajat untuk membuat pemeriksaan kesihatan (syarat kemasukan ke universiti/ atau sambung belajar), saya secara peribadi mencadangkan supaya ke Pusrawi. Walaupun kadar setiap pemeriksaan kesihatan itu mungkin berbeza, tetapi mereka masih menawarkan harga yang rasional untuk pelajar atau bakal pelajar. Untuk penjelasan atau penerangan lanjut, boleh telefon Pusrawi dan mereka sangat helpful. Ini yang saya buat terlebih dahulu untuk pastikan kadar pemeriksaan kesihatan saya. :)

Tingkat 7
Kembali ke tingkat 7. Saya serahkan keputusan X-Ray dan saya disuruh menunggu giliran untuk berjumpa doktor.
Tak sampai setengah jam menunggu, nama saya dipanggil. Doktor lelaki. Tapi nampak pun dah macam ayah-ayah. Jadi dia tak ambil masa yang panjang untuk periksa itu ini. 
"Saya sihat, normal semua ye, doktor" Saya mengecek.
"Insya Allah, nak berjihad kena sihat. Kalau sakit-sakit tugas khalifah akan tergendala"
Oh. Sangat terkesan di hati saya.
"Selamat menyambung pelajaran. Dhiya" Doktor menyambung.
Saya tersenyum sambil berdoa semoga doktor ini dipeliharaNya. :)

Pulang.
Alhamdulillah. Semuanya hanya mengambil masa kurang dari dua jam! Memang benar-benar mudah dan dipermudahkan. Allah Maha Kaya. :)
Saya kembali ke seminar saya tepat jam 1 petang di saat semuanya sedang menikmati makan tengahari. "Puasa" sudah selesai. Mari makan! (Tolong jaga makan lepas ni, Dhiya)

Alhamdulillah. 70% persediaan selesai. Moga Allah mudahkan lagi yang lainnya.

Salam sayang, 
Dhiya

Bukan Telefon Aku


Bismillah...

Saya tahu. Lama sapi. Saya sibuk.

Tapi saya suka berkongsi artikel dari salah sebuah tabloid yang saya suka baca setiap pagi.

Perlu tingkatkan kemahiran menjawab telefon

05/02/2013 6:30pm

KUALA LUMPUR — Kerajaan dan juga sektor swasta perlu meningkatkan kemahiran menjawab telefon di kalangan kakitangan masing-masing, kata Pengerusi Institut Etika Perniagaan Malaysia (BEIM), Dr Zainal Abidin Abdul Majid.
"Berdasarkan rungutan yang diterima oleh BEIM, rasa tidak puas hati mengenai panggilan telefon kepada perniagaan dan agensi kerajaan melalui talian tetap semakin meningkat,” katanya kepada pemberita pada satu taklimat media di sini hari ini.
Beliau berkata, menurut tinjauan rawak BEIM terhadap beberapa sektor perkhidmatan terpilih, mengenai kepantasan dan kesopanan dalam menjawab panggilan telefon, hanya 32 peratus daripada 11 kumpulan sasaran, menjawab selepas kurang daripada lima deringan.
Kumpulan-kumpulan sasaran itu ialah jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, universiti awam dan swasta, hospital kerajaan dan swasta, kedutaan asing di Kuala Lumpur, syarikat telekomunikasi, media dan parti politik.
“Tinjauan itu dijalankan dari 7 Julai 2011 hingga 30 Disember 2012, dan zon sasaran terhad kepada Lembah Klang, kerana ia adalah hab pentadbiran, komersial dan politik negara,” kata Zainal Abidin.

BEIM menggunakan lapan kriteria dalam mengendalikan tinjauan itu, iaitu panggilan dijawab sebelum dan selepas lima deringan, nada ”engaged”, telefon rosak, tiada jawapan, Jawapan oleh penerima, jawapan oleh suara rakaman, dan bahasa responden. - BERNAMA
Saya pernah lihat situasi yang lebih hodoh dari apa yang diceritakan di atas. Samada orang yang membuat panggilan atau orang yang menerima panngilan, kedua-duanya ada betul dan salah masing-masing.
Tapi saya tak berminat untuk menceritakan dengan lebih dalam lagi apa yang terjadi. Cukuplah saya katakan bahawa apabila berbicara melalui telefon, tidak ada penilaian lain melainkan melalui cara dan bahasa percakapan kita.

"First Impression starts at your first Hello~ "

Apa pun, trillion ucapan maaf atas ketidak upayaan saya untuk menulis dengan konsisten di blog ini. Alasan yang sangat biasa dan sangat cliche. Saya sendiri pun kadang-kadang menyampah dengan alasan yang macam-macam ini. :(

Insya Allah, sebulan dua akan datang mungkin akan banyak perubahan. Doakan saya dapat  menghadapinya dengan baik dan semoga Allah mudahkan rezeki saya.
Jalan juang ini sungguh jauh ke hadapan. Saya tak mampu menebak apa yang ada di depan.

Salam Sayang,
Dhiya