23 Julai 2015


Nota untuk diri.

Satu.
Hati-hati dengan lidah. Jangan jadi putar belit yang boleh mendorong kepada penyebaran fitnah. Ingatlah bahawa dosa fitnah lebih teruk dari membunuh.

Dua.
Doa orang yang teraniaya tidak ada hijab. Apa yang perlu adalah bertahan. Apa juga tomahan- Terima dengan kuat dan berdoalah kerana doa itu paling 'laju' sampai ke sisi Tuhan.

Tiga
Sabar. Hina keji orang, tuduh maki orang- Sabar. Ironinya sabar itu ringan pada pengucapan. Tapi cukup sukar untuk ditunaikan. Di saat diri tersepit dek macam-macam ujian, kadang-kadang boleh jadi putus asa dan pendek akal juga.
Tapi itulah- Sabar ini, kalau tertunai- Ganjarannya indah manis lagi nikmat.

Hari ini agak memberi tekanan. Entahlah. Dugaan menjelang hari perkahwinan, kata orang. Makin dekat dengan majlis, makin hebat ujian yang datang. Itulah dia tanda Allah sayang. Sebenarnya.
Tapi sebagai manusia biasa, saya berhak untuk bersedih apatah lagi kalau melibatkan hak dan maruah.

Doakan saya kuat. 

Sukar
Payah
Susah

Saya manusia biasa.

Walimatul 'Urus


Bismillah

Rasminya mengumumkan:
Moga Allah redha

Sungguh
Allah jualah sebaik-baik tempat berpaut
Pautan yang erat

Dhiya Dahlia

Untuk Pencinta Ikan Patin Temerloh


Bismillah

Dah nama pun orang Pahang, Temerloh pula tu, kan~ Wajarlah ikan patin menjadi buruan wajib. Kalau bukan asal Pahang pun, kebanyakan tetamu emak dan abah selalunya akan 'minta' dihidang dengan patin terutamanya patin masak tempoyak. Slurrrp!

Hari ini saya nak kongsikan gerai menjual patin yang selalu kami pergi dan beli ikan patin. Kami sekeluarga bertuah sebab ada akses ke Temerloh melalui jalan lama (Jalan KL- Kuantan-Kuantan-KL) yang bukan melalui LPT tu. Di situlah terletaknya banyak gerai menjual ikan air tawar terutamanya patin yang menjadi identiti penduduk Temerloh.
Bagi yang tak pasti, anda boleh mencari lokasi Hospital Temerloh dan di sepanjang jalan tu memang banyaklah gerai ikan ini di tepi-tepi jalan.

Salah satu gerai kegemaran emak adalah gerai ini. Terletak betul-betul di tepi jalan besar KL- Kuantan (menghala ke Kuantan) dan betul-betul sebaik melewati simpang Hospital Temerloh, dari jauh sudah boleh nampak papan tanda gerai ni. Papan tanda pun bukan yang canggih-manggih; conteng pakai cat saja, tapi jelas lagi nyata. Kalau tak nampak juga, mungkin kedai tu tutup, atau kalau masih tak nampak juga walau papan tanda tu jelas terpampang- Itu namanya pendek usia.
Papan tanda yang wajib saya peka kalau balik dari bandar Temerloh atau KL :P
Kebanyakan peniaga patin akan buat kolam kaca macam ini. Dari jauh lagi sudah boleh nampak ikan-ikan patin melambai. Itu yang kadang-kadang boleh jadi punca kemalangan. Mata tengok ikan, tangan, kaki dan anggota badan tengah fokus memandu.
Fatin. Kata Kak Budi Ibu Mertuaku~
Yang bagusnya gerai ni, siap ada disediakan nombor telefon kalau nak minta reserve. Nak tempah dua ekor boleh, nak tempah untuk kenduri pun boleh katanya. Tapi kalau nak banyak tu, janganlah tempah hari ini, esok mau ambil ya. Itu tak patut. Boleh simpan nombor yang ditulis dengan dakwat biru tu ok~
Waktu operasi: Waktu pejabat
Gerai ni juga ada menjual bahan-bahan lain untuk masakan patin. Serai, lengkuas, dan kadang-kadang ada juga daun kesum. Jadi tak payah nak patah balik pergi pasaraya semata-mata untuk dapatkan sekuntum bunga kantan tu
Selamat berpatinlah ye.

This is Temerloh, wehhhhh~!


Ramadhan 1436H


Bismillah

Entri ini sepatutnya saya nukilkan pada 1 Ramadhan yang lalu. Tapi entah bagaimana, sibuk yang macamana- Saya tangguh-tangguhkan entri ini sehinggalah menjadi entri akhir Ramadhan.

Alhamdulillah. Ramadhan sungguh didamba. Walaupun abah sudah tidak kuat macam dulu, tapi dia masih seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab. Dia masih mampu ke kedai membeli ikan dan sayur untuk emak masakkan sebagai juadah berbuka. Emak pula- Masih setia sebagai permaisuri di dapurnya. Dia tidak pernah mungkir akan tugasnya. Dan masakannya yang nampak biasa-biasa; boleh jadi istimewa. Ini ajaibnya mereka berdua. Emak dan abah saya. Saya yakin emak dan abah anda juga hebat. :)

Saya meletak jawatan tanggal seminggu Ramadhan. Saya pulang dengan kereta yang sarat dengan barang-barang dari asrama UKM. Bilik single itu saya tinggalkan penuh sayu. Teringat lagi dua tahun dulu, kolej di belakang DECTAR itulah yang sudi menerima saya menghuni biliknya saat saya datang kepada mereka dengan barang yang penuh di dalam kereta. Selepas dua tahun, perjuangan sarjana saya tamat, cuma masih belum kembali bekerja. Belum rezeki saya. Atau mungkin juga Allah sedang memberi saya masa yang cukup untuk bermanja dengan emak dan abah serta mempersiapkan emosi sebelum bernikah. Rezeki kerjaya akan datang selepas itu. Amin...

Maka berpuasalah saya di kampung sambil mengimbau kembali kenangan berpuasa sewaktu kecil dahulu. Menjadi anak kampung, saya tidak pernah merasa makanan mahal-mahal. Apa yang abah beli, apa yang emak masak- Itulah yang paling sedap bagi saya. 
Kini setiap hari saya membantu emak memasak di dapur. Selalu jugalah emak menurunkan petua yang macam-macam buat bekalan saya di hari depan. Jauh di sudut hati, saya hiba. Saya terlalu cepat dewasa hingga emak sudah ajar saya perkara-perkara yang 'berat' dan serius. Kurang dari sebulan saya akan 'dibawa' pergi oleh orang yang sebelum ini asing dan wataknya tidak pernah ada dalam hidup saya. Ramadhan depan, entah di manalah saya? Masih hidup atau telah meninggal? Di rumah emak abah atau di kampung mertua? Mesti emak dan abah teringatkan saya jika saya tiada. Maklumlah. Saya anak bongsu yang paling lama duduk dengan mereka :(

No
I am not taken
We share the love
We spread the love
Promise

Saya memujuk diri.

Dua minggu berpuasa, saya sudah mula mendengar lagu raya dimainkan di corong radio. Jujur, saya tidak lagi suka mendengar lagu raya kerana saya tahu Ramadhan sudah tiba ke penghujungnya. Kalau boleh saya tak mahu dengar lagu raya dan kalau boleh saya mahu Ramadhan itu selama-lamanya. 
Ramadhan adalah waktu saya dapat melihat kebaikan di mana-mana- mencemburui sedekah, menyantuni orang yang memerlukan, dan bermacam-macam jenis amalan lagi yang dibuat seperti dalam satu perlumbaan.
Namun sejak tahun 2009, Aidilfitri sudah menjadi sesuatu yang tidak lagi istimewa bagi saya. Hanya biasa-biasa sahaja. Cukuplah melihat kegembiraan orang dan membuatkan orang lain gembira- Itulah Aidilfitri saya. Saya tidak lagi teruja membeli baju raya, saya tidak lagi teruja dengan jualan murah raya. Kerana itu, setiap kami kedengaran lagu raya, 'Alahai...Ramadhan dah nak habis. Rasa baru je semalam mula berpuasa. Tahun depan- Entah jumpa lagi ke tidak~' Itu yang terdetik dalam hati saya :(

Ramadhan
Tolonglah jangan pergi
Banyak lagi yang tak terbaiki
Iman masih nipis lagi
Ego masih tinggi
Madrasah sebulan ini
Terlalu singkat untuk dinikmati
Ramadhan
Jangan mungkir janji
Kalau pergi
Jangan lupa untuk kembali

Dhiya Dahlia
12.22 am

Wordless Wednesday


Happy celebrating Wordless Wednesday!