Resepi Sambal Tempe Signature Orang Jawa


Bismillah

Hari ini saya kembali setelah berehat di hujung minggu. Rutin biasa telah bermula. Mari kita fikir nak masak apa untuk hari ni :)

Idea hari ini: Sambal tempe

Siapa anak jawa, mesti kenal sangat dengan menu ini :)
Bahan-bahan

1. Tempe
2. Kacang tanah
3. Kentang dipotong nipis
4. Ikan bilis dibuang perut
5. Cili kisar (8-10 tangkai cili kering + 1 bawang merah + 1 bawang putih)
6. Sos cili
7. Asam keping
8. Garam + gula
9. Bawang merah 1 + bawang putih 1 + minyak untuk menumis

Cara-cara

1. Goreng tempe, kacang tanah, kentang yang dipotong nipis dan ikan bilis masing-masing sehingga garing
2. Sementara tu, simpanlah dalam bekas kedap udara supaya tak masuk angin
Kacang tanah digoreng dengan minyak sedikit, kentang dan bilis digoreng rangup
Tempe dipotong nipis dan digoreng rangup juga
3. Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau
4. Masukkan cili kisar dan biarkan sehingga sedikit garing
Cili kisar yang ditumis
5. Masukkan sedikit sos cili dan asam keping
6. Masukkan sedikit air (jika kering/ jika perlu)
7. Perisakan dengan garam dan gula
8. Akhir sekali, masukkanlah bahan yang telah digoreng terlebih dahulu tadi.
9. Gaulkan sehingga rata
10. Taburkan gula supaya rasa manis sedikit seperti disira
Siap! Sambal tempe Jawa (Hasil tangan anak Jawa kacukan~)
Maaf kalau versi saya ni tak sama dengan cara orang lama. Saya ni newbie :p

Salam sayang
Dhiya

Engineer @ Kitchen


Assalamualaikum

Selamat hari Sabtu!

Hujung minggu saya selalunya memang diberi cuti oleh suami sebab dia yang akan ambil alih misi memasak.
Sotong goreng tepung by Mr. Engineer. Tengoklah jarak tangan dia dengan kuali. 
Minggu lepas dia bersilat dengan udang galah masak lemak cili api.
Terbaharu, dua malam lepas dia bertembak dengan sotong goreng tepung yang meletup-letup dalam kuali.

Suami saya pun berbakat juga dalam hal masak memasak ni terutamanya masakan Barat. Stik, salmon, spageti...Ha tu semua kepakaran dia lah tu. Saya memang surrender. Sejak kahwin inilah baru saya tahu yang dia berbakat besar di dapur dan sangat minat menonton Asian Food Chanel dan beberapa program masakan lain. Katanya boleh beri inspirasi. 

Tercabar, saya.

Suami anda kaki memasak? Kita geng~

Tapi minggu ini kami berdua gantung kuali sebab kami balik ke Pahang. Patin masak tempoyak air tangan mak memang kegemaran suami saya. Tengoklah nanti. Mesti ada punyaaa!

Dhiya

Resepi Potato Wedges Untuk Minum Petang


Bismillah

Minum petang sekejap lagi nak masak apa, ya?

Kawan-kawan, ni ha...Resepi potato wedges yang senang dan menjadi kegemaran saya dan suami. Bahan pun tak banyak.

Bahan-bahan:

1. Kentang kupas dan dibelah 6
2. Serbuk lada hitam
3. Garam
4. Tepung gandum (saya guna tepung goreng serbaguna beli di AEON. Senang cerita)
5. Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

1. Rebus kentang yang sudah dibelah dengan sedikit garam
2. Sebaik empuk, angkat dan toskan
3. Jangan tunggu tos sangat, cepat-cepat taburkan serbuk lada hitam
4. Perap atau biarkan beberapa ketika supaya serbuk lada hitam tu melekat dengan kentang
5. Lumurkan dengan tepung, dan goreng dalam minyak betul-betul panas
6. Boleh dimakan dengan sos cili, mayonis atau sos keju :)


* Tak ada penggunaan telur :)

Saya harap perkongsian saya ni dapatlah memberi sedikit idea. Dah jadi 'mak-mak' ni memanglah kena kerja kuat sikit bab-bab rumah dan tangga. Dulu waktu bujang, semuanya bergantung pada emak dan abah, tapi sekarang kitalah sendiri kena uruskan keluarga kita.

Saya pun masih struggle menggali ilmu rumahtangga ni. Malu sebenarnya nak bercerita lagak macam orang sudah punya pengalaman. Tapi blog ini sajalah ruang untuk saya menulis, apa yang dikira patut dan wajar.

Harapnya DDD boleh menjadi inspirasi. 
Selamat mencuba!
Dhiya Dahlia

Resepi Sambal Sotong Kembang Sedap


Bismillah

(Ketuk kuali)

Masa untuk resepi! DDD dah jadi blog masakan dah. Nasiblah...This is one of the transition phase. Esok lusa kalau dah cerita pasal baby-baby, lagi orang pening kepala nak baca DDD.

To cut it short, terimalah....Sambal Sotong (Boleh makan dengan nasi lemak)

Bahan-bahan

1. Sotong kembang- Potong sedang-sedang
Tak ingat laa harga seekor ni berapa..Tapi rasanya dalam RM4 lebih je. Boleh la tahan murah. Portion pun dapat banyak
2. Cili kering 7-8 biji*
3. Sos cili
4. Bawang merah 1 biji*
5. Bawang putih 2 biji*
6. Asam keping 2 keping
7. Perasa: Garam, gula dan ajinomoto (jika perlu)
8. Bawang merah + bawang putih untuk menumis
9. Minyak untuk menumis
10. Bawang besar 1 biji dipotong kasar

Cara-cara:

1. Kisar bahan *
2. Tumis bawang merah + bawang putih
3. Sebaik naik bau, masukkan bahan kisar
4. Masukkan sos cili dan asam keping
5. Maukkan sedikit air 
5. Perasakan sebaik mungkin. Kalau makan dengan nasi lemak, saya suka sambal ni manis sikit :)
6. Masukkan sotong
7. Kacau sehingga masak atau sehingga sedikit kering. Kalau nak berkuah, banyakkan air dan perasakan ikut kesesuaian
8. Masukkan bawang besar untuk rasa manis dari bawang

Sambal sotong kembang

Haaaaa siap!

Padanan yang sempurna adalah nasi lemak. Tapi resepi nasi lemak saya tak sertakan di sini kerana saya fokus pada resepi sambal sotong ni saja. Hihihi

Selamat mencuba!

Dahlia

Wedding Review: Andaman Bertandang by Juliana Rahman (Kuala Lumpur)


Bismillah

Hari ini hari Khamis. Insya Allah ini bukan entri resepi. Saya masih berhutang beberapa cerita tentang perkahwinan saya.
Dalam entri ini, saya akan ceritakan tentang andaman / MUA yang saya hire untuk majlis bertandang sebelah lelaki.

Macam yang saya cerita dulu, persiapan pengantin di majlis sebelah lelaki banyak yang kami ambil secara ala carte. Suami saya hanya pilih pelamin sahaja memandangkan baju pengantin sudah termasuk dalam pakej Galeri Fitrah (Pahang). Justeru saya pun kenalah cari MUA secara ala carte juga sebab tak ambil pakej.

Bajet saya tak banyak. Puas juga mencari dan bertanya, tapi kebanyakan kadar upah yang dikenakan lebih dari RM300, kadang-kadang ada caj pengangkutan RM50 ke RM100 bergantung kepada lokasi. Saya akhirnya terjumpa Group FB 'All About Majlis Perkahwinan' dan saya cuba-cuba nasib bertanya di situ. Ramai juga vendor yang memberi maklum balas dengan menghantar mesej terus ke inbox saya termasuklah yang tak kena mengena pun~ Ada yang tumpang jual door gift, kanopi dan macam-macam lagi.

Dalam ramai-ramai yang perkenalkan diri dan letak quotation tu, saya tertarik dengan seorang yang tawarkan perkhidmatan andaman ni pada harga yang saya fikir dalam bajet saya. Saya terus mesej dia dan kami pun mulalah berkomunikasi. Dia memperkenalkan diri sebagai Ju, tapi memandangkan saya rasa saya muda (hahaha!) saya panggil dia Kak Ju~
Sepanjang kami berkomunikasi, saya tak kenal dia dan saya memang tak tahu siapa dia. Saya hanya tahu siapa dia berdasarkan sosok tubuh dan hasil kerja yang dia post di FB dan IG sahaja (kebanyakannya di IG lah).

Dipendekkan cerita, kami pun mencapai persetujuan dan saya pun masukkan 25% wang deposit ke akaunnya. Selepas bayaran deposit, saya diam agak lama. Sibuk dengan banyak perkara. Dah dekat-dekat dengan tarikh kenduri bertandang tu barulah saya mesej Kak Ju ni balik. Betapa tak serius dan tak friendly nyaaa saya :( My bad...Sebab masa tu memang otak serabut dengan banyak benda sangat.
Mujurlah Kak Ju ni pun cool je orangnya. Menjelang kenduri, dia cuma tanya perkara-perkara penting; Tempat majlis, tempat make up, waktu bersanding dan arah jalan. Everything is confirmed easily.

Di hari kenduri, Kak Ju hadir tepat pada masanya. Sesi andaman kami berjalan dengan penuh ceria. Masa menyolek tulah baru kami saling mengenali antara satu sama lain. We ourselves create the friendly environment. Kak Ju datang dengan suami dan seorang anak. Nabil pengapit saya pun boleh jadi kamcing dengan anak Kak Ju ni. See, macam mana satu relationship yang bermula dari ZERO tiba-tiba menjadi seperti macam saudara dan kawan sendiri. Kak Ju bukan sekadar menyolek, tapi dia juga sanggup bantu saya mengenakan tudung, veil dan crown. Paling mengharukan saya, Kak Ju sanggup bantu saya betulkan solekan mata yang sedikit 'rosak' semasa saya sedang makan beradap.

*******************
Ada yang tanya saya;

Bagaimana saya sebegitu mudah close deal dengan MUA yang saya tak kenal dan 'tak terkenal'?

Jawapan saya;

Saya akui yang saya tak kenal Kak Ju sewaktu saya berkomunikasi dengan dia. Tapi dengan instinct saya yang sentiasa saya percaya, saya tak ada sikit pun fikir yang tak elok tentang urusan saya dengan Kak Ju. Senang cakap, saya tak ada langsung nak fikir yang saya ni akan kena tipu.
Satu lagi, kalau kita tak kenal orang tu- Macam mana kita boleh cakap dia tak terkenal? Tak kanlah kerana kau kenal Siti Nurhaliza, then simply kau cakap dia terkenal? Eh kena kut analogi aku ni. Seingat saya, Kak Ju ada beritahu yang dia berguru dengan MUA hebat juga di Malaysia ni. Hasil kerja Kak Ju bukan takat untuk pengantin, tapi banyak dalam bidang modelling juga. Ha, nak kata apa lagi tu? MUA ni terkenal bukan sebab mereka tampil di kaca TV atau apa. Kadang-kadang kita memang tak kenal mereka, tapi kita suka hasil kerja mereka. Get my point?
Soal percaya ni memanglah sensitif sikit. Banyak je kes tipu sana sini. Tapi satu perkara yang saya percaya adalah; Allah tahu hati kita. Kita dulu yang kena mula bersihkan hati dan luruskan niat. Allah akan temukan dengan orang yang betul di saat kita betul-betul berkehendak sesuatu perkara. Letak jauh-jauh soal buruk sangka. Berkomunikasilah dengan baik. Jangan mula-mula communicate lagi dah act dan demand like a diva.

Tengok.
Dah terceramah macam ustazah pulak.

Memandangkan polisi DDD tidak menampal wajah sendiri, jadi eloklah kiranya jika ada bakal pengantin sekitar Kuala Lumpur yang berminat dengan perkhidmatan Kak Ju ni dapat terus ke FB atau IG beliau.
Saya dengan penuh yakin memuji perkhidmatan Kak Ju ni sedari awal kami berkomunikasi melalu FB hinggalah ke Whatsapp dan hingga selesainya tugas. Kak Ju seorang yang sangat lemah lembut, friendly dan senang dibawa berbincang. Kita yang customer ni pun janganlah macam-macam pula, ye~

Hubungi:
Facebook: Juliana Ruzanna Rahman
Instagram: Juliana_rahman/ #makeupbyjujueiman

Kepada Kak Ju,
Million thanks!
Suami saya sampai hari ni pun masih puji hasil tangan Kak Ju :)

Tahniah dan selamat maju jaya!

Ikhlas,
Dhiya

Resepi Nasi Daging Simple tapi Sedap


Bismillah

Entri resepi lagi. Mood isteri-isteri dah menyerap dan menimbus mood pengantin di saat masih ada beberapa entri review tentang majlis perkahwinan saya. Sila gelakkan saya :P 

Tidak dapat dinafikan, inilah passion terbaharu saya. Di samping masih struggle menempatkan diri dalam dunia industri yang sangat mencabar, saya juga struggle mencuba pelbagai resepi untuk meraikan kami suami isteri. Setiap hari saya akan fikir apa yang hendak dimasak dan dijamu sebaik suami saya pulang dari pejabat.

Kali ini saya kongsikan resepi nasi daging. Resepi ni merupakan signature orang Kedah. Pernah di kampung saya dulu, ada orang Kedah buat menu ini sewaktu kenduri kahwin. Sedap tau! Walaupun mudah, tapi ramai tetamu yang memuji.

Bahan-bahan untuk buat air rebusan daging & sup:

1. Daging batang pinang (saya beli 1/2 kg saja), potong sedang.
2. Sup bunjut Adabi (tak jatuh syirik guna benda alah ni, tahu!)
3. Kiub pati ayam Knorr & garam untuk perasa
4. Rempah menumis 4 beradik
5. Bawang besar 1 biji *
6. Bawang putih 2-3 ulas *
7. Halia 1 inci *
8. Minyak untuk menumis
9. Serbuk kari
10. Air

Cara-cara:

1. Tumbuk bahan bertanda *. Nak kisar pun boleh, tapi saya tak suka. Tumbuk lebih ada perasaan.
2. Tumis bahan tumbuk tadi dalam periuk besar (sebab nak dapatkan air rebusan daging yang banyak).
3. Masukkan rempah 4 beradik
4. Masukkan bunjut sup
5. Masukkan daging
6. Masukkan air
7. Masukkan sedikit garam dan perasa
8. Reneh sehingga daging empuk
9. Toskan daging
10. Sebahagian dari air rebusan daging nanti bolehlah diolah supaya menjadi sup untuk dibuat kuah. Kalau tak suka pun tak apa. Boleh guna semuanya semasa memasak nasi.

Resepi nasi:

1. Basuh beras, toskan (ikut keperluan makan anda)
2. Tumis bawang merah + bawang putih dengan  planta
3. Masukkan beras yang telah ditoskan tadi dan kacaukan sebentar
4. Pindahkan ke dalam periuk nasi
5. Saya tambah sedikit garam, serbuk kari dan letak simpulan daun pandan
6. Masukkan air rebusan daging ikut sukatan yang biasa, macam masak nasi biasa
7. Masukkan daging dan benamkan sikit dalam beras
8. Masak seperti biasa
Hasilnya- Nasi daging!
Resepi air asam:

1. Bawang besar 1 biji - dimayang halus
2. Cili besar merah & hijau 1 biji masing-masing- dihiris halus
3. Cili kecil 3-4 biji- dihiris halus
4. Tomato 1 biji- dicincang dadu atau halus
5. Sedikit belacan
6. Pati asam jawa
7. Sedikit perasa

* Campurkan semua bahan ke dalam mangkuk dan bancuhkan dengan pati asam jawa. Gaulkan sebati dan boleh tambah perahan limau nipis jika suka
Ayaq asam
That's it! Siap!

Nasi daging versi Dhiya Dahlia. Kalau orang Utara terbaca blog ni dan rasa step saya ni salah, maafkan saya ye. Saya ni kaki gamble saja, asalkan suami saya makan dengan penuh selera :p

Selamat mencuba!

Resepi Sambal Ketuk Versi Sukahati tapi Sedap


Bismillah

Menjadi pengurus rumahtangga ni- Perkara yang paling susah adalah nak fikir apa yang hendak dimasak. Susah ok. Susah dalam dunia!
Mujurlah suami saya seorang yang mudah makannya. Dia jarang minta menu berkuah-kuah ni, melainkan kalau dia nak sangat. Kadang-kadang tempe cicah sambal kicap dan ikan masin goreng bawang pun dia boleh tambah banyak kali.
Eh alahai terpuji pula. Tarik balik

Resepi kali ini saya dapat dari ibu saudara suami saya dari Johor. Kerabatnya memang ramai di Johor. Sewaktu kami bertandang ke sana sempena Raya Haji lepas, kami dihidangkan sambal ni yang buat saya buka mulut tanya resepi sebab sedap :)
 
Bahan-bahan:

1. 5 tangkai cili kering
2. 2 tangkai cili besar
3. 2 biji tomato
4. 1 biji bawang besar atau 3 biji bawang merah
5. 3-4 ulas bawang putih
6. Ikan bilis (saya kehabisan ikan bilis halus. Itu pasal saya guna ikan ni)
7. Sedikit belacan
8. Perasa (Gula/ garam)
Pastikan cili yang diguna segar. Kalau dah kecut, nanti akan ada rasa semacam.
Cara-Cara:

1. Gorengkan semua bahan di atas dalam minyak panas. Minyak tu cukup sekadar tenggelam saja. Sedikit pun tak apa.
2. Goreng cukup sekadar hingga layu. Jangan sampai masak sangat.
3. Tumbuk semua bahan yang telah digoreng tadi. Jangan lumat sangat.
4. Masukkan belacan dan perasa.
5. Perasakan dengan jus lemon atau air perahan limau.

meleleh tak ayaq lioq hangpa?
Bahan yang digoreng
Hasil. Sebenarnya saya rasa sambal ni macam oily sikit. Jadi penyelesaiannya adalah, kurangkan minyak sewaktu menggoreng :)
Selamat mencuba.
Cubalah~

Dhiya

Apa Memori Anda dengan TV Zaman Dulu-Dulu?


Bismillah

Saya yakin kawan-kawan blogger saya ramai yang lahir dalam era 80-an. Masa itu, internet memang tak ada. Medium informasi kita hanyalah televisyen sahaja.

 Teringat saya dulu, saya suka sangat menonton TV1. Setiap hari jam 5.30 petang akan ada rancangan kartun. Paling saya ingat, setiap hari Selasa akan ada kartun yang seronok dari Disney. Lepas habis tengok kartun, barulah pijak tanah bermain-main di luar.

Malam pula, tak banyak hiburan sangat. Sedar-sedar sudah tamat siaran. Saya pun abah sudah angkat masuk ke bilik :p
Hidup saya pada zaman kanak-kanak di era 80-an dulu sangat indah. Bila saya jumpa cerita ini, >>>>>Anda Mesti Rindu TV Channel Zaman Dulu<<<<<  saya terus klik dan baca. Betul-betul menggamit memori!

Bacalah sendiri!

Dhiya

 

IKEA Buat Hal!


Assalamualaikum...

Hari ini adalah hari pembukaan IKEA Cheras. Siapa yang pergi? Cuba angkat tangan sikit. Hahahaha! Hebat korang ni tau~

Apa yang best sangat IKEA ni? Tak Paham sungguh! <<<<<<<<<<KLIK SINI UNTUK BACA

Saya tanya suami:
"IKEA Damansara dengan IKEA Cheras, mana yang lebih dekat dengan rumah kita?"
"Damansara"
.
.
.
.
"Eh...Ada IKEA Cheras???"
"Baru buka, bang. Esok (Khamis) pembukaannya"
"So...?"
Saya sengih-sengih
"Tak payah la D...Tak ada faedahnya D berebut-rebut tarik-tarik baju orang semata-mata nak beli opening promotion dia tu"
Kena sebijik
"IKEA Damansara? Pleaseee....."
"Bulan depan"

Hohohohoray!

IKEA berjaya buat hal dengan saya. Pembukaannya pun dah cukup buat hal dengan ramai orang. Tapi memandangkan rumah kami ni comel je, jadi temptation nak ke IKEA tu tidaklah menebal sangat. Tunggulah nanti dapat rumah sendiri. Nescaya!

IKEA oh IKEA

Dhiya

5 Perkara yang Perlu Dinikmati Masa Bujang dan Dihargai Masa Berpasangan!


Assalamualaikum.
Hai!

1. Me time
Me time ini tak kisahlah untuk apa pun. Kadang-kadang kita orang perempuan ni memang perlukan me time yang sebenarnya bukan nak buat apa sangat. Masuk bilik tidur, just baring dan being lazy. Masuk tandas just belek muka depan cermin. Duduk diam-diam baca buku atau majalah; tak bercakap dengan sesiapa. Itu me time.
Tapi kalau dah berkahwin pun, masih ada ruang untuk diri kita sendiri. Percayalah, pasangan kita juga perlukan perkara yang sama. :) Jadi jangan bimbang. Nikmati me time sewaktu bujang dan hargailah ia apabila sudah berpasangan :)

2. Ruang / bilik sendiri
Bujang- memanglah ada bilik sendiri. Nak bersepah, nak melingkup- Tak nak basuh cawan bekas air Milo, tak nak lipat baju----Kau punya suka. Betul tak? Betul kan? Tapi apabila sudah berkahwin, sudah pastinya kita sama-sama ada semangat untuk mengubah sikap, kan? Bilik tidur mestilah kena kemas, baru ada feel. Dapur kenalah bersih supaya tak dikatakan selekeh. Tapi saya rasa, sekali sekala kalau ada longgokan baju tak berlipat tu mungkin boleh dimaafkan sebab pasangan pasti faham yang kita tak menang tangan :)

3. Hobi 
This is soooo me. Banyak hobi saya sewaktu bujang kini hanya berhabuk di sisi. Sebagai contoh, masa saya untuk membaca sudah terhad. Banyak ruang masa saya terarah kepada urusan rumahtangga. Tapi to make it positif, saya kini gemar membaca tentang relationship, parenting, health and deco. Bukankah hobi masih boleh dinikmati malah dihargai apabila sudah berpasangan?

4. Balik kampung
Dulu sewaktu bujang, saya akan balik ke kampung dua kali dalam sebulan. Jenuh duit, jenuh masa, kadang-kadang jenuh tenaga. Sebab apa kerap sangat? Walaupun rasa penat, tapi bila dah sampai ke kempung tu, terasanya semua kepenatan hilang. Tapi apabila sudah berkahwin, semuanya perlu digilir-gilirkan. Adatlah. Walaupun tidak sekerap dulu, (sekali sebulan dah sekarang ni) tapi kami masih boleh saling menikmati moment balik kampung :)

5. Traveling alone
Satu benda yang seronok berjalan sendirian ni adalah kita 'pegang' masa kita sendiri. Nak berjalan sepanjang hari di Masjid Jamek tengok tudung pun tak siapa kisah. Makan atau tidak, itu bukan hal besar. Dulu sewaktu saya di Korea, saya memang 'hebat' bab traveling alone ni. Sekarang- terasa sungguh pelik kalau keluar sendiri. Rasa 'tak selamat' pun ada. Rasa dah kurang keyakinan pun ada. Sedikit tak bagus di situ. :(

Lain-lain yang anda boleh buat walaupun dah kahwin: >>>>>SINI<<<<<
 
Kongsikan idea anda!

Salam sayang
Dhiya

Wordless Wednesday: Jeruk Campur dari Pasar Chowrasta Penang


Ya Rabbi sedapnya!
Masalahnya dah habis stok di rumah ni :(
Dulu banyak stok sebab kebetulan ke Pulau Penang dan beli banyak. Nak tunggu next trip ke sana, entah bila...

Teringin?
Saya pun!

Wedding Review: Busana Bertandang oleh Galeri Fitrah (Pahang)


Bismillah...

Dalam entri kali ini, saya akan ceritakan sedikit lagi bahagian Galeri Fitrah dalam menyediakan busana bertandang saya.

Seperti yang saya ceritakan dalam entri lepas, saya ambil pakej all in one dengan Kak Long yang merangkumi pakej pelamin dan andaman lengkap di majlis sebelah saya serta dua pasang baju pengantin sebagai compliment sebab saya ambil pakej ni semasa mereka sedang buat promosi.
Maksudnya, saya macam dapat sepasang baju percuma yang boleh dibuat pakai sewaktu majlis bertandang nanti. Kira macam pihak lelaki boleh jimatlah sebab tak perlu sewa baju, hanya ala carte pelamin saja :p. Suami saya pun setuju untuk mengenakan lounge suit milik peribadinya sebagai padanan kepada busana saya tu walaupun Galeri Fitrah ada sediakan buasana lelaki siap sampin dan tanjak songket. Tapi suami saya kata, dia mahu yang berbeza. Dia sudah pakai ala panglima di majlis persandingan di Pahang. Jadi dia mahu lounge suit pada majlis bertandang.

Tapi adat orang berkahwin, tak semua perancangan kita smooth je. Nak dijadikan cerita, ada satu makhluk Allah dari pihak pengantin lelaki ni macam tak suka dengan arrangement kami. Macam-macam alasan diberi untuk cuba pengaruhi kami agar ubah rancangan dan ikut arahannya.
Mula-mula dia dapat tahu yang baju majlis lelaki akan diambil dari butik majlis saya, dia kelihatan sangat skeptikal. Butik kampung mungkin selekeh dan tak vouge. Dia pernah cakap baju majlis bertandang yang warna maroon tu seperti baju raya. Rentetan dari itu, dia pernah menyanggup untuk ke Galeri Fitrah dan melihat sendiri koleksi Kak Long dan pilih sendiri mana-mana yang dia berkenan. 
Saya dah agak memang akan ada spesies yang suka buat kacau ni. Pada mulanya memang saya sangat tertekan. Tapi lama-lama saya faham game dia dan saya cuba overcome sehabis baik walaupun sangat sukar. Saya dan suami bersetuju untuk terus stick to the plan. Baju dah free...Bukan tak lawa...Lawa kot! Nak apa lagi kan~
Apabila kami terus dengan pendirian kami, banyak lagilah isu yang dia cuba timbulkan. Susah nak urus pelamin sebab tak ambil baju sekali dengan pelaminlah. baju tak matching dengan background pelaminlah, nanti dalam gambar nampak dull lah...Tapi suami saya ajar; "D abaikan aje. Percayalah, Nanti dia akan diam". And I tell you, it works. Jangan ingkar cakap suami. Hahahah! Anggap saja orang macam tu hanya kacau daun dan mencari perhatian.

So here's my outfit. Masa datang ke Galeri Fitrah untuk ambil baju maroon ni, rasa macam ohohoho syioknya kawin. Kalau boleh tiap-tiap bulan nak bersanding ulang-ulang dengan suami. Gila ke hape kan.
Untuk bertandang ni, saya dapat set baju lelaki dan perempuan lengkap dengan aksesori termasuklah veil, crown, tudung + inner, kerongsang / dokoh dan payung. Lengkap untuk persiapan diri sendiri sebab pelamin pihak pengantin lelaki ambil dari bridal pilihan keluarga mereka sendiri. Senang, kan?

Krim untuk majlis persandingan sebelah perempuan. Maroon untuk majlis bertandang sebelah lelaki :) Macam ni kau kata baju raya, hah?! Mata hati, mana?
Tudung tu saya derhaka sedikit apabila saya ambil keputusan untuk guna tudung bidang 60" milik peribadi. Masa di Pahang dulu, saya dah pakai shawl, jadi kali ini saya nak pakai bawal pula. Saya suka sangat busana ni sebab hiasan lace dan songket di bahagian pinggul tu. Hiasan lebat di bahagian dada tak memberi makna sangat buat saya sebab saya pakai tudung labuh.
Lounge suit milik peribadi. Cuff link pun beli segera, 2 hari sebelum majlis di Mid Valley. Harga bawah RM50, tapi dapat jenama Arrow. Berbaloi kan?

All in all, Alhamdulillah sangat sebab baju ni memberi keyakinan untuk saya tampil senyum walaupun ada la sedikit sebanyak hiccup yang melukakan jiwa. Akhirnya terbukti yang baju ni tak dull, tak selekeh malah setanding je dengan busana dari butik-butik ternama di Kuala Lumpur. Baju lounge suit suami saya nampak hebat. Saya masih nampak sebagai seorang pengantin dan masih boleh dibezakan dengan tetamu yang hadir dengan baju-baju raya mereka. Jadi bolehlah saya simpulkan mulut orang yang banyak komen tu tak lebih dari anjing menyalak bukit.

Tips tambahan berkenaan dengan bridal

1. Kalau dapat compliment outfit set macam saya, utilize it well. Maksudnya bawa dan pakai ke majlis bertandang. Tak payah susah-susah dah ambil pakej ribu-ribu di pihak pengantin lelaki.
2. Mulut orang- Abaikan. Kalau nak dengar komen orang dan puaskan hati semua pihak, memang tak terlayan. Silap-silap hati dan perasaan sendiri pula yang akan terluka.
3. Kalau majlis bertandang tu jauh, pastikan jaga elok-elok aset bridal. Tambahan pula bersiap di tempat orang. Kalau tertinggal ke, terhilang ke...Susah sangat nanti.

Itu sajalah kut. Emo pula tulisan saya dalam entri ni. Hahahahah. Tapi yang pasti, Kak Long dan Galeri Fitrah dah buat dan sediakan yang terbaik untuk outfit saya di kedua-dua belah majlis. Terima kasih. Infiniti!

Dhiya

Tolong Doakan Saya #ProjekPhD


Bismillah

Kawan-kawan, tolong doakan kejayaan saya dalam proses permohonan eTPM ini. Saya sedar saya sungguh tidak layak memohon, tetapi atas rasa usaha itu penting dan yakin dengan ketentuan Allah- Saya teruskan juga niat ini. 
Saya sudah jatuh cinta dengan bidang ini dan momentum saya untuk ke arah ini adalah sangat maksimum. Saya sangat terinspirasi dengan orang-orang hebat yang pernah dan sedang berada di sisi saya. Tambah pula saya benar-benar minat dengan cabaran yang satu ini.

Kepada sesiapa yang berminat dengan skim Tenaga Pengajar Muda ini, UiTM sedang membuka permohonan secara dalam talian dan akan ditutup pada 16 November ini. Jadi cepat! Belilah nombor pin eTPM di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional dan lengkapkan borang dalam talian ni cepat-cepat.

Saya sudah siapkan secara dalam talian. Sekarang tengah bertungkus lumus untuk menyediakan dokumen hard copy.

Saya yakin dengan ketentuan Allah. Kalau di mata manusia nampak macam tak layak, siapa tahu pada pandangan Allah kitalah orang yang dikehendaki.
Tak guna saya asyik cemburu melihat orang lain pergi jauh, sedangkan saya masih di takuk lama dan tiada usaha untuk memulakan langkah. Insya Allah semoga ini langkahnya. Semoga ada rezeki dan semoga Allah pelihara.

Salam Jumaat
Dhiya Dahlia

Wedding Review: Bridal Galeri Fitrah (Pahang)


Bismillah

Entri kali ini saya akan cerita tentang bridal yang saya pilih bagi merealisasikan pelamin dan outfit saya.
Kata orang, berkahwin ni hanya sekali seumur hidup. Jadi kenalah pilih baju yang betul-betul cantik dan meletup. Pelamin harus grand, ada konsep, ikut tema dan nampak gah. Pendek kata semua kena cantik lagi sempurnalah! Itu memang impian semua bakal pengantin. Saya pun ada cita-cita begitu. Biasalah~
Di saat saya tahu yang saya akan berkahwin, saya tanya emak dan abah;
"Ini kenduri bongsu emak dan abah, D nak tanya- Abah dan mak nak kenduri yang macam mana?"
"Macam mana yang macam mana tu?" Mereka tanya saya balik
"Yang paling simple- means buat kenduri doa selamat saja, tak ada pelamin, baju pun beli siap ala kadar, dan seangkatan dengannya; atau kenduri arus perdana- means mak abah nak tumbangkan lembu, ada rewang, ada khemah, ada pelamin, ada bunga telur dan seangkatan dengannya?
"Mak abah nak rasa macam kenduri orang lain. Rumah ni sudah 15 tahun tak ada kenduri pengantin sejak kakak kamu berkahwin (kerana jarak saya dengan kakak di atas saya agak jauh). 
"Mak nak ada pelamin juga ke?" Soal saya naif
"Buatlah. Jangan sampai kita ni menolak adat sangat. Tapi jangan sampai melebih-lebih pula. Syaratnya banyak." Emak abah mula menyenaraikan kehendak mereka

Buat kenduri, ada pelamin, ada baju pengantin, TAPI....
1. Pelamin jangan sampai macam kereta berhias. Yang simple saja.
2. Baju pengantin ambillah sekali dengan pakej pelamin. Tapi jangan malukan diri sendiri. Jangan ketat, jangan menjolok mata, jangan pelik-pelik. Jangan macam-macam. Cukup untuk bezakan kamu dengan tetamu. Yang simple saja.
3. Solekan dan andaman pun rangkum sekali dalam pakej tu. Abah benarkan. Tapi jangan sampai malukan diri dengan solekan yang macam opera cina. Cukup untuk nampak segar dan berseri. Yang simple saja.

Kesimpulannya, emak abah mahu berkenduri macam orang lain- Tapi tak mahu nampak berlebihan. Tagline nya  
Yang simple saja. 
Yang simple saja.
Yang simple saja.  

 Wah panjangnyaaaaa intro!

Saya memulakan pencarian pakej pelamin sebaik majlis pertunangan saya pada Januari 2015. Masa itu saya masih di UKM berperang dengan tesis saya. Tapi memandangkan majlis pernikahan yang ditetapkan adalah lebih kurang enam bulan saja selepas bertunang, saya perlu bersiap awal apatah lagi dalam hal mencari bridal ni. Lagi pula kenduri saya akan berlangsung dua minggu selepas Aidilfitri. Saya expect semua benda-benda besar sudah sedia sebaik Ramadhan menjelma. Emak dan abah tak larat nak bersiap dalam bulan puasa.
Mencari bridal bukanlah semudah mencari kedai mamak. Banyak benda yang perlu dipertimbangkan terutamanya bajet. Dalam pencarian saya, saya bersyukur kerana hajat emak dan abah seiring dengan citarasa saya. Jadi saya tidaklah kalut sangat mencari yang super perfect hingga ke Kuala Lumpur. Kalau anda nak tahu, saya sebenarnya sudah aim satu bridal ni sejak dua tahun lepas lagi. Masa itu saya tak tahu pun bila saya akan berkahwin. Huhuuuu
Kebetulan, pada bulan Februari, bridal tu jadi penganjur kepada Pameran Pengantin Mini di bandar berhampiran. Saya pun ke sana untuk melihat-lihat pakej dari bridal tersebut dan juga bridal yang lain. Tapi nampaknya bridal yang sama juga menjadi pilihan.

Flyer yang GF keluarkan bersempena dengan penganjuran Pameran Pengantin Mini di Bandar Jengka. Saya tak pasti samada harga yang dipaparkan masih valid atau sebaliknya. Kena tanya GF sendiri sebab cerita ni dah lama. Bulan Februari 2015.
Berbekalkan RM100, saya dahulukan sebagai bayaran deposit dan lock tarikh. Maka tekad dan kemaslah janji saya dengan bridal tersebut- Galeri Fitrah (GF)
Galeri Fitrah ni milik Kak Long (Saya panggil tauke nya Kak Long kerana beliau sendiri membahasakan dirinya begitu). Orangnya ramah. Ramah sangat dan suka bercanda hingga waktu pertama kali kami berjumpa, saya tak ada rasa kekok pun. Kak Long dibantu Tiha. Butiknya terletak di Bandar Jengka, Pahang dalam deretan taman perumahan di belakang Balora Mastika.

Saya tak ingat berapa kali saya buat lawatan tapak ke butik Kak Long ni. Kenapa tak ingat? Sebab banyak kali sangat saya ke sana. Yang jadi banyak kali tu bukan sebab apa pun- Sebab saya tak puas masuk ke bilik baju pengantin untuk pilih yang mana yang sesuai. Kadang-kadang singgah sebab kebetulan ke bandar atas urusan lain. Tak ada pun satu kali yang saya datang untuk betul-betul menghadap butik Kak Long ni. Jadi semestinya masa sekejap-sekejap itu saja yang saya gunakan untuk ke butik. Sebab itulah jadi banyak kali lawatan. Hehehehe
Antara baju-baju yang ada dalam wardrobe GF
Baju-baju dan pelamin Kak Long ni memang cantik-cantik belaka. Tak salah saya katakan semuanya memenuhi citarasa saya, cuma tinggal lagi untuk saya pilih warna yang saya suka. 
Sesungguhnya saya sangat pening kepala nak cari baju pengantin yang memenuhi citarasa saya dan dalam masa yang sama patuh syariah. Tapi mujurlah GF menyediakan variasi. Kak Long juga boleh buatkan baju baru (dengan bayaran tambahan tertentu) kalau itu memang hajat bakal pengantin. Pelamin pun semuanya up-to-date dan cantik. Sebab tu setiap kali saya ke GF dan belek album-album di sana, saya selalu pening kepala. End up tak boleh buat keputusan.
Pelamin-pelamin hasil kerja tangan GF yang saya ambil dari album dan katalog mereka.
Sumber: FB Galeri Fitrah
FB: Galeri Fitrah
Apabila saya mula bekerja di UPM, saya sudah jarang dapat ke GF. Tapi dalam masa yang sama saya sangat sibuk study design pelamin. Saya dah tak cerewet sangat dengan baju sebab rasa macam dah confirm tertarik dengan dua pasang baju yang saya tengok dalam banyak-banyak hari tu. 
Taip saja pelamin/ inspirasi pelamin atau kata kunci yang sama waktu dengannya di Google, pasti saya akan rambang mata sebab tak tahu nak pelamin yang macam mana. Lama-lama, setelah sekian lama tak ada keputusan sedangkan masa semakin suntuk, saya tekad untuk fokus dan narrow down kan citarasa saya. 
Saya bersyukur emak tidak secerewet saya. Memang dia yang tetapkan garis panduan untuk pelamin dan baju pengantin, tetapi dia tak masuk campur sangat sampai belek kerusi pelamin atau bunga yang diguna.
End up, saya pilih konsep yang paling sederhana. Kadang-kadang rasa nak gelakkan diri sendiri sebab punyalah lama nak buat keputusan, tapi akhirnya pelamin yang saya minta sangat-sangat simple. Saya cuma bagi satu gambar pelamin pada Kak Long, beritahu dia yang saya nak style macam tu. Kemudian saya bagi satu lagi gambar warna kombinasi bunga, beritahu dia yang saya nak gabungan warna bunga exactly macam tu. Semua tu saya finalise lebih kurang sebulan sebelum kenduri. Memang kesian Kak Long melayan saya yang undecisive ni :(
Gambar yang saya hantar kepada Kak Long. Saya nak warna soft pastel gabungan warna-warna macam tu.
Idea pelamin yang saya inginkan. Saya memang sengaja tak mahu bunga-bungaan yang padat. Latar belakang yang saya pilih adalah warna krim. Saya memang sangat berkenan dengan warna tu sebab kesannya dalam gambar adalah sangat ohsem!
Dua hari sebelum majlis, datanglah Tiha dengan suami Kak Long untuk memasang pelamin. Saya speechless. Tak tahu nak cakap apa. Everything met my expectation. Kak Long dan GF berjaya buat hati saya gembira sebab mereka buat apa yang saya mahu ditambah dengan nasihat, idea dan bakat Kak Long dan Tiha. Walaupun pada mata orang lain nampak biasa je, tapi pada saya itulah yang terbaik. Mak dan abah pun senyum saja tanda tak ada protes dengan pelamin yang tersergam dan busana yang tergantung di bilik pengantin.
Saya bekerja keras untuk memenuhi kehendak mereka- Yang simple saja.
Pelamin saya, hasil kerja tangan Galeri Fitrah
Ok cerita sikit tentang baju- Saya sengaja pilih baju potongan dres kembang, bukan potongan duyung sebab saya tak mahu nampak seksi pada bahagian punggung. Kalau seksi pun, aku tak mau tunjuk kat orang~ Banyak kali saya pesan pada Tiha dan Kak Long (sampai mereka pun pedih telinga agaknya) yang saya tak mahu baju saya ikut bentuk badan sangat. Saya minta mereka loose kan sedikit baju tu pertamanya supaya tak ketat dan keduanya untuk keselesaan. Di hari persandingan, semuanya nampak sempurna. Busana lelaki pun nampak fit elok dengan si pemakainya. Suami saya cakap baju tu sedap macam memang dia punya. Maknanya Kak Long dan Tiha memang dah lakukan yang terbaik untuk kami :)
Baju by Galeri Fitrah. :) Warna krim lagi. Jangan tanya kenapa :P
Solekan-
Pagi kenduri, Kak Long sampai seawal jam 9 pagi. Saya yang sepatutnya ada majlis khatam Al-Quran pagi tu pun terpaksa lepaskan majlis tu kepada Ihsan dan Ain (anak saudara saya) sebab bagi menghormati kekangan masa Kak Long yang ada job di tempat lain pula pada hari yang sama. Cuba bayangkan kalau majlis nikah pagi kenduri tu...Mesti kelam kabut dibuatnya. 
Ha mana manusia yang kerasukan iblis yang beria sangat nak suruh mak ayah saya aturkan nikah pagi kenduri tu hanya sebab dia pentingkan diri sendiri? Macamlah kenduri dia. Tak maluuuu! Wekkss! Hahahah!   
Serius. Kalau buat juga nikah di pagi kenduri, memang banyak benda akan jadi caca merba. Jadi sila boo kan manusia yang pentingkan diri seperti sindiran di atas.
Overall,  saya sangat gembira dengan sentuhan Kak Long tambahan pula wajah saya ada sedikit alahan seminggu menjelang majlis. Memang agak tertekan, tapi Alhamdulillah Kak Long telah buat yang terbaik untuk saya. Macam yang dijangka, saya dan Kak Long jenuh 'bersilat' sebab saya tak pernah dan tak biasa disolek. Segalanya rasa pelik dan aneh hinggalah saya perlahan-lahan bertenang dan percaya akan kemahiran Kak Long! Huhuhu~

*******************

Ya Tuhan. Panjangnya cerita pasal bridal perkahwinan saya ni. GF deserves a long story sebab mereka adalah antara pihak yang penting dalam menjayakan perkahwinan idaman saya. GF buat saya rasa yakin untuk melangkah sebagai seorang pengantin yang pastinya akan meninggalkan memori yang indah selamanya, walaupun hanya untuk sehari.

Kepada Kak Long, Tiha dan GF- Saya dengan rendah hati ingin mengucapkan jutaan penghargaan kepada GF kerana berjaya merealisasikan hasrat perkahwinan saya. Saya juga ingin memohon kemaafan andai selama saya berurusan dengan Kak Long dan Tiha, banyak kerenah dan sikap yang tidak disenangi datang dari saya. Saya memang sangat macam-macam!

Kepada bakal pengantin sekitar Temerloh, Jengka, Maran, Jerantut dan sekitar dengannya, saya tanpa berbelah bahagi mencadangkan agar anda mempertimbangkan Galeri Fitrah sebagai perunding perkahwinan anda. Antara perkhidmatan lain yang mereka sediakan: Pelamin, busana pengantin, andaman, hiasan bilik tidur pengantin, hiasan meja makan beradap, fotografi dan buaian berendoi. 

Ha Dhiya Jr. nanti confirm saya ambil buai dengan Kak Long lagi. Upssss

Galeri Fitrah boleh dihubungi melalui:

Kak Long: 0199411977/ 0192828573
FB/ Instagram: Galeri Fitrah/ Galeri Fitrah
Alamat: No 2, Jalan Cekal, Taman Rantau Perintis, 26400 Bandar Jengka Pahang
(Perumahan di belakang Balora Mastika, Bandar Jengka)

Tips kepada bride-to-be berkaitan dengan bridal:

1. Tengok bajet sendiri. Jangan tanya berapa ribu bakal suami anda atau emak ayah anda ada. Sedar akan kemampuan diri sendiri. Jangan work beyond budget!
2. Set atau ala-carte?--- Kalau rasa bridal tu dah ada semua yang diperlukan, ambil sajalah dengan bridal tu. Trend sekarang (yang saya perasan laa):
B2B akan tanya; Butik mana yang ada baju sebijik macam ni? Butik mana yang boleh buat pelamin konsep ni?
Percayalah, kaedah ala-carte sebegitu akan lebih menambah kos anda. Be realistic. Orang yang ambil ala-carte ni selalunya orang yang betul-betul aim perkhidmatan tertentu sahaja. Contohnya pengantin tu betul-betul nak pelamin sahaja sebab baju dan aksesori semua dia dah ada sendiri.
Bridal boleh je buat apa yang pelanggan mahu. Tapi tak boleh la expect mereka buat 100% sama dengan apa yang kita mahu. Kita pinjam gambar dari internet dan milik entah siapa-siapa. Mungkin rekaan tu milik designer ternama. Jadi sangatlah tak beretika kalau mereka tiru idea orang. Kalau setakat inspired tu boleh la kan.
3. Photobooth dan candy buffet. Perlu ke?
Pada pendapat pengantin konvensional macam saya ni- Semua tu TAK PERLU. Tapi saya tak cakap pula TAK BOLEH. Bagi yang rasa ada peruntukan untuk itu, buatlah. Macam saya dulu, sepupu saya yang buat perniagaan perancang perkahwinan macam GF ni ada menyatakan kesanggupan untuk sponsor photobooth dan candy buffet. Saya cakap; kalau ditaja, saya terima saja. Tapi kalau kena bayar, saya tak mahu sebab itu tak masuk dalam rancangan saya. Pada hari kenduri, dia tak boleh nak set up photobooth dan candy buffet tu sebab ada masalah dan saya tak kecil hati pun kerana benda tu bukan dalam expectation saya :)
4. Pilih pelamin dan tentukan warna yang anda mahu awal-awal. Soalan pertama bridal nanti adalah: "Apa tema awak nanti?" Percayalah itu merupakan soalan yang paling susah. Tapi saya buat terbalik. Saya pergi ke butik terlebih dahulu dan tengok katalog, kemudian baru saya beritahu saya nak warna apa. Warna tema tidak semestinya warna kegemaran anda. Buatlah sedikit kajian tentang warna dan pencahayaan. Pertimbangkan juga kesan warna pada gambar-gambar anda yang diambil oleh jurugambar nanti.
5. Pilih baju yang sesuai. Sesuai bukan sekadar cantik semata-mata. Pastikan baju itu juga selesa. Baju pengantin tu anda akan pakai dari pagi hingga ke petang. Kalau ketat, berbulu-bulu yang boleh jadi gatal- Bukankah itu akan menjadikan persandingan anda terganggu? Ya, bridal akan alter baju tu ikut ukuran badan pengantin. Tapi pastikan juga selepas alter, cuba lagi ok :)
6. Jangan cari gaduh dengan bridal. Jangan berlagak dengan mereka. Jangan ingat kita bayar mereka, kita boleh suruh mereka sesuka hati tanpa memikirkan hati dan perasaan mereka. Letakkan kepercayaan pada kemahiran yang mereka ada dan biarlah mereka buat kerja mereka. Make friend dengan mereka sebab Insya Allah kalau kita mudahkan urusan orang, orang akan mudahkan urusan kita kembali.
7. Tidak dinafikan ada juga bridal yang bermasalah kan. Banyak juga saya baca di media sosial ada pengantin yang jadi mangsa bridal yang tidak jujur. Jadi as a precaution, simpan segala rekod transaksi dan apa-apa rekod persetujuan. Kalau bayar ansuran, pastikan simpan semua resit bayaran atau pastikan bridal update bayaran dan tengok baki terkini. Tapi berbalik kepada kita semula, jadilah bakal pengantin yang sederhana, bertimbang rasa dan baik dengan bridal kita. Sebab bukan apa- Kadang-kadang, bridal jadi macam tu sebab sikap pelanggan juga.
8. Jaga barang-barang milik bridal dengan baik. Macam Kak Long, segala aksesori kecil seperti crown, kerongsang, anak tudung dan lain-lainnya diletak dalam kotak khas. Barang-barang seperti bunga tangan, payung, tanjak tu pun perlu dijaga dengan baik. Seeloknya sediakan satu beg besar dan beritahu rakan baik anda yang semua di dalam beg itu adalah aset bridal. Ini sangatlah penting bagi mengelakkan anda pening kepala mencari barang-barang bridal sewaktu proses pemulangan nanti.

Rasanya itu sahaja perkongsian saya tentang bridal. Panjang. Memang panjang sebab saya boleh kata bridal lah bahagian yang paling kritikal.
Apa-apa pun, bersederhanalah. Banyak lagi keperluan lain yang menuntut kewangan. Kalau semuanya nak dibazirkan ke pelamin dan baju semata, tak berbaloi juga. Murah, tak semestinya tak cantik dan tak istimewa. Saya dah buktikan. Pakej yang berpatutan, tetapi sangat memenuhi citarasa dan kehendak saya.

Kesimpulannya, jadilah pengguna yang bijak dan berhati-hati ya. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada bakal pengantin di luar sana. Percayalah, momen persiapan perkahwinan sangat indah dan anda pasti akan merinduinya. Jadi jangan datangkan masalah, jangan buat masalah dan jangan jadi masalah :)

Salam sayang
Dahlia