Travelog Dhiya: Langkawi 3D2N- Day 1


Bismillah

Biar saya jadikan entri travelog Langkawi ini ringkas dan padat. Percutian ini tak mengambil masa yang panjang untuk dirancang. Semuanya macam sekelip mata saja gara-gara kami 'terjumpa' tiket AA murah.

Pada hari yang dijanjikan, kami bangun seawal 4 pagi dan memandu ke Putrajaya Sentral. Letak kereta di sana dan kami ambil KLIA Transit jam 5 pagi untuk ke KLIA. Kadar letak kereta di Putrajaya Sentral +- RM18 untuk 3 hari 2 malam percutian kami. Murah kalau nak dibandingkan di tempat lain yang kami dah survey. Kadar KLIA Transit pula dalam RM9.00 +- untuk seorang, sehala.
Kami sampai di KLIA2 dalam pukul 5.30 pagi. Selepas solat Subuh, kami terus bersarapan dan tanpa berlengah terus masuk ke gate penerbangan kami. Flight kami jam 8.00 pagi tapi sengaja kami masuk awal sebab gate kami jauh nun di hujung sana (J22). Daripada berkejaran nanti, baiklah masuk je awal. Boleh caj telefon. Tempat duduk pun selesa.
Subuh di J22 KLIA2

Penerbangan mengambil masa 1 jam saja. Itu pun 45 minit sudah sampai. Alhamdulillah cuaca cantik sangat sedangkan masa kami pergi ni, amaran air pasang  besar sedang dikeluarkan oleh Met Malaysia.
Sampai je- Terus ambil kereta. Untuk pengetahuan, kami 'jumpa' pakej super murah semasa di Matta Fair dulu. RM 280 termasuk hotel 2 malam (hotel bajet je, cukup untuk tidur tapi selesa siap ada wifi~!), kereta dari pagi Sabtu sampai malam Isnin, dan Island Hopping untuk dua orang. Makan tak payah risau. Tolak tepi dulu. Ada tips penting tentang makan di Langkawi ni. Makan tengahari kami di gerai Siti Fatimah. Merasalah makan kerabu beronok!
Destinasi pertama kami adalah ke kawasan Kuah. Kuah ni boleh dikatakan bandar la. Banyak pejabat-pejabat kerajaan di situ dan paling penting, jeti feri pun ada di situ. Kami duduk-duduk sekejap di tepi Dataran Lang tu sambil menikmati angin laut. Bila dah hilang penat, kami mula  berjalan ke Dataran Lang tu.
Cuaca baik, angin pun kuat. Nak bergambar pun rasa boleh terbang melayang. Dekat depan Dataran Lang ni ada juga gerai jualan cenderamata Langkawi seperti baju dan fridge magnet. Kalau nak beli boleh je sebab rasanya harga dia logic dan tak mahal pun.
Sebelah kanan dataran ni adalah jeti Langkawii, dan sebelah kiri dataran ni adalah Taman Lagenda
Kami rancang nak ke Taman Lagenda, tapi memandangkan cuaca sangat panas, kami keluar balik dan terus ke Cenang untuk daftar masuk hotel. Hotel kami sangat dekat dengan Pantai Cenang. Alhamdulillah kami ok dengan penginapan kami sebab kami banyak keluar berjalan. Nak enjoy Langkawi tak boleh ambil hotel mahal. Rugi! Hahahah!
Pintu masuk Taman Lagenda.
Taman Lagenda ni, kami masuk di kawasan pintu luar saja. Panas sangat sampai tak boleh tahan.
Sampai saja di hotel, suami saya ketiduran. Bukan main sedap lagi dia mengeruh. Dengki punya pasal, saya pun join sekali membuta sampai lebih kurang jam 5 petang. Kemudian kami bersiap-siap untuk sambung itinerary kami untuk memburu minum petang berupa Laksa Ikan Sekoq di tepi Lapangan Terbang Langkawi.
Malang sedikit apabila menu yang dihajatkan tu sudah tiada sebab ikan sekoq sudah habis. Yang tinggal laksa biasa saja, pun kita sebat sajalah!
Di tepi Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi tu memang banyak food truck yang jual menu minum petang. Cakap saja, semua ada. Laksa..rojak..char kuay tiaw! Huh! Makan pula tepi pantai dengan pakwe (jangan cuba-cuba!). Memang romantik! (Peliknya aku cakap macam ni~!)
Jam sudah menunjukkan jam 6 petang. Kami terus ke Telaga Harbour untuk  menjamu mata di sana. Telaga ni, nama je huduh (telaga). Tapi ia merupakan kawasan kapal-kapal mewah berlabuh untuk berehat dan mengisi minyak. Di sini memang ada hub Petronas yang membekalkan minyak untuk kapal-kapal mewah ini, siap ada pejabat Imegresen bagi memudahkan pelayar-pelayar ni. Kebanyakan mereka memang tidur dalam kapal tu, dan cuma naik jika perlu saja. Di kawasan situ memang ada khidmat sewa motor untuk mereka. Nampak ekslusif sikit di sini. Tapi yang penting pemandangan cantik~!
Gambar sama? Saya tak pernah bosan~
Pejabat Imegresen
Berjalan-jalan di tepi jeti sambil menikmati angin petang di sini memang sangat seronok. Sekali lagi, apa yang mahal bagi saya di sini adalah pemandangannya yang cantik!
                           
Menikmati pemandangan matahari terbenam :)
Kami berada di sini sampai dekat Maghrib. Tak sedar pun dah malam sebab masih cerah. Itinerari hari pertama kami berjalan lancar dan semuanya baik-baik saja. Alhamdulillah.
Malamnya, kami ke pasar malam di Kuah, beli bungkus dan makan di kawasan belakang hotel kami di Cenang. Makan malam sambil mengadap Pantai Cenang gituuu~! Untuk pengetahuan, kami memang pilih untuk tidak membelanjakan peruntukan yang besar untuk makan di Langkawi ni. Street food pun dah cukup untuk kenyangkan tembolok backpacking travelers macam kami berdua ni Insya Allah...Air laut memang 'garang' dan ombak memang tinggi. Angin pun kuat, sikit lagi nak terbangkan nasi kerabu kami. Hahahah!
Malam agak sejuk. Mahu hujan mungkin. Kami bercadang nak berjalan-jalan di sepanjang kedai di Cenang tu, tapi disebabkan dah penat sangat, kami terus naik ke bilik dan tidur. Esok masih ada dan kami sepakat untuk habiskan masa di Cenang saja esok malamnya.

Selamat  malam Langkawi!

Dhiya,
Day 1 memories

Travelog Dhiya: Cathayana Hotel, Kuantan (Sept 2016)


Bismillah

Dua hari selepas balik dari Cameron Highland, suami saya ditugaskan ke Kuantan pula. Kebetulan minggu itu ada cuti Hari Malaysia, jadi peluang jugalah untuk kami makan angin sebenarnya. Kalau dikenangkan penat, memang penat. Baju dalam luggage balik dari Cameron Highland pun masih belum habis unpack, sudah kena cari beg lain untuk pack ke Kuantan pula. Tapi memandangkan peluang macam tu tak selalu ada, saya tekad dan ikut saja.

Malam Rabu itu juga kami terus bertolak dan tidur di rumah mak dulu. Esok paginya (Khamis) kami sudah bertolak ke Kuantan dan bawa anak saudara saya yang bongsu ini bersama supaya saya tak sunyi kata suami.
Kami berdua 'ditinggalkan" di ECM di saat kedai-kedai di situ masih belum dibuka. Nak buat macam mana. Mesyuarat suami saya pukul 10 pagi, jadi melangutlah kami di ECM tu sementara menunggu kedai-kedai menarik dibuka.

Macam biasa, tempahan hotel dibuat melalui Booking.com, tapi kali ini atas urusan kerja. Saya hanya follow up pagi sewaktu dalam perjalanan ke Kuantan. Semuanya ok dan kami mendaftar masuk pada pukul 1 petang sebaik selesai mesyuarat suami saya.

Bilik Cathayana ni luas juga boleh tahan. Elevated parking disediakan dan lokasi tak payah cakaplah. Memang super strategic! Sudahlah memang dalam bandar Kuantan, dekat dengan UTC, dekat dengan Mydin dan Pusat Pakaian Hari-Hari dan hanya 10 minit ke Teluk Chempedak.
Sukalah tu dapat menyelit ikut Maksu dan Paksu dia~
Tandas super ok. Tak macam Copthorne, tandas Cathayana ada paip hos. Hahha! Mentang-mengtanglah baru balik dari bercuti, bukan main kuat saya membanding-bandingkan hotel ini dengan hotel 2-3 hari lepas~
Yang ini Copthorne memang patut malu dengan Cathayana. Mereka boleh dan mampu sediakan seterika dan papan menggosok di dalam bilik!
Bilik Cathayana ni nampak kemas sebab tandas dia berkembar dengan satu ruang yang menempatkan papan menggosok, almari dan minibar.
Pemandangan hotel tak la impressive sangat. Nama pun duduk hotel tengah bandar. Takkanlah pemandangan kau ladang teh lagi kan. Hadap sajalah pemandangan UTC Kuantan.
Selepas daftar masuk, kami bantai tidur sampai pukul 4 macam tu. Bangun je terus bersiap nak ke Pantai Teluk Cempedak. Biha nak mandi pantai kononnya.
Pantai yang depan tu memang ramai orang. Kami meniti jambatan kecil di tepi tu dan merempuh gerombolan monyet. Kagum sekejap sebab dapat tengok spesies ni jinak dan tak takut dengan manusia. Kita lagi yang takut dengan dia adalah~!
Hajat Biha nak mandi pantai tak kesampaian sebab kami sudah nampak awan gelap di tengah pantai. Hari hendak hujan. Tapi Biha masih tuntut janji supaya bawa dia mandi. Budak itu memang suka dengan air, sama macam paksunya.
Kami tinggalkan Teluk Chempedak dan terus ke Tanjung Lumpur untuk makan malam. Destinasi wajib untuk makan malam di Kuantan ni mestilah Tanjung Lumpur! Di situ ada Ana Ikan Bakar Petai dan beberapa lagi kedai yang pastinya menyediakan menu makanan laut yang super awesome!
Tapi maafkan saya sebab tak ada gambar makan ya!

Selepas makan malam, kami melepak di tepi Sungai Pahang sambil melayan Biha bermain rollerblade nya. Agak lama juga kami di situ. Pukul 10 malam baru balik ke bilik untuk zzzzz~
Keesokan harinya (Jumaat), kami bangun pagi untuk bersarapan. Tambahan RM 8 untuk si Biha sebab kami tak include dia sebelumnya. Tak apalah. Budak bukan makan banyak mana pun kan~
Menu sarapan is moderate saja, tapi not bad! Tapi sekurang-kurangnya ada juga sesuatu untuk dimakan. Kami sukaaaaa!
Selepas sarapan, kami ke Teluk Chempedak sekali lagi untuk melayan Biha mandi Pantai. Datang pagi-pagi, tak ramai orang. Jadi satu pantai tu memang dia je yang punya!
Bila dah puas, kami balik ke hotel. Sempatlah membuta sekejap sebelum bersiap-siap untuk daftar keluar dan balik semula ke rumah emak.
Lepas solat Jumaat, dalam perjalanan balik tu kami singgah ke Air Terjun Sungai Pandan di Felda Pancing. Boleh tahan sunyi dan jauh masuk ke dalam kebun sawit tu ha. Tapi Masya Allah air terjun ni cantik sangat. Saya ingat berhenti singgah untuk makan-makan saja, tapi rupanya tidak. Dua beranak tu semangat menukar pakaian dan terjun ke dalam air!
Batu air terjun ni macam dibuat guna simen. Tapi hakikatnya, batu itu adalah batu semulajadi. Saya bukanlah sejenis manusia yang gemar sangat dengan aiktiviti air ni. Jadi saya hanya duduk di tepi jadi tukang jerit saja kalau agak-agak dua beranak tu beria sangat.
Kami bersiap untuk pulang dalam pukul 4.30 petang. Semua pun kepenatan. Sampai je rumah terus pengsan!

Oh ya. Air Terjun Sungai Pandan ni terletak dalam Felda Gugusan Pancing. Kalau dari Gambang menghala ke Kuantan, ada satu simpang di sebelah kiri menghala ke Felda Pancing. Di kiri kanannya ada kuarters dan pusat operasi tentera udara dan kemudian ikut sajalah tanda arah yang ada. Jangan takut, jalan dia memang spooky begitu~ Hahahah!

Seminggu dua kali vacation.

Lantakkan!

Dhiya

7 Oktober 2016


Bismillah
Alhamdulillah

Ada berita baik yang saya terima hari ini.

Tapi saya masih belum boleh umumkan kerana saya menunggu availability suami saya dulu. Sejak dari pagi dia full dengan meeting. Jumaat pula. Lagilah sibuk~ 

Mungkin sebelum pukul 5 nanti baru boleh dapatkan telinga dia. :p

Terima kasih Allah atas anugerah dan peluang ini!

Dhiya
7 Oktober 2016