Bismillah...
2-3 bulan terakhir tahun ini, DDD terbiar sepi. Saya akui, itu memang kelemahan saya. Insya Allah tahun baharu yang akan tiba akan dimanfaatkan dengan lebih baik dari segi penulisan dan pengisian.
Sebenarnya saya tak rasa pun hari ini adalah hari terakhir dalam tahun 2014. Dalam ayat lain yang maksudnya sama: Saya tak rasa pun esok dah nak masuk tahun 2015! Apa tidaknya. Seawal jam 9 pagi hari ini, saya sudah bertungkus lumus untuk peperiksaan pertama semester akhir saya. Hari- hari semalam hanyalah dipenuhi dengan ulangkaji dan beberapa tugasan akademik yang lain tanpa sempat memikirkan hari dan tarikh!
Saya mengambil keputusan untuk mengehadkan aktiviti DDD sejurus peristiwa abah diserang sakit jantung pada bulan Oktober yang lalu. Waktu itu, bukan setakat internet dan laptop yang saya tolak ke tepi, malah pengajian dan kelas serta projek pengijazahan juga saya lupakan demi memberi fokus kepada abah dan emak sedangkan saya kini berada dalam semester akhir pengajian.
Sekembalinya ke kampus sebulan selepas itu, emosi dan motivasi saya robek. Tak tahu di mana dan bagaimana untuk mencari momentum. Tapi syukurlah Allah berikan emak dan abah yang doa mereka sangat ajaib. Dalam pada hilang punca, saya masih boleh mengejar rakan-rakan yang telah jauh ke hadapan. Cumanya projek pengijazahan saya sehingga kini agak perlahan hingga terpaksa memohon untuk dipanjangkan tempoh. Itupun, penulisan saya sudah menjangkau 80% dan hanya perlu fokus terhadap keputusan kajian dan perbincangan.
Banyak yang berlaku tahun ini. Banyak juga yang saya capai dan kecapi dan makin banyak pula azam dan matlamat di masa hadapan yang saya sudah rencanakan. Tapi yang paling penting, saya ingin memulakan tahun hadapan dengan kerjaya yang baik. Pengajian sarjana ini akan tamat sedekatnya bulan hadapan, dan Insya Allah selepas itu saya ingin kembali dan menyumbang kepada masyarakat :)
Selebihnya adalah azam peribadi. Banyak. Tapi cukuplah saya nukilkan dalam diari peribadi supaya saya benar-benar gembira dan fokus untuk mencapainya.
2015 juga bakal menyajikan berita baik kepada keluarga. Diharapkan semuanya kekal baik dan dipelihara Allah. Semoga juga berita ini akan menjadi titik perubahan kepada semua yang terlibat khusunya diri saya sendiri.
Tidak dilupakan, salam takziah kepada semua mangsa banjir di seluruh Malaysia. Keluarga saya di Temerloh pun sebenarnya terkena kesan banjir ini. Saya sendiri pun tidak dapat balik ke kampung kerana kedua-dua jalan lebuhraya (LPT) dan juga jalan lama kampung dinaiki air dengan teruknya. Bandar Temerloh juga teruk terkesan hingga sebak juga saya melihat Esplanade hampir luput dari pandangan mata. Bencana ini membawa 'pesan' Tuhan. Berbuat baiklah sesama insan waima terhadap alam sekitar yang kita tumpangi.
Buat saudara-saudara kita di Indonesia. Takziah. Kemalangan besar ini benar-benar merobek jiwa saya sebagaimana pernah berlakunya terhadap MH370 dan MH17. Kita perlu terima bahawa ini adalah 'keputusan' Tuhan. Tetapi sebarang tangan-tangan jahat yang terlibat adalah sangat tidak boleh dimaafkan dan mesti dihukum. Teruskan berdoa agar keadilan dan kebenaran itu akan terserlah juga.
Selamat tahun baru 2015.
Dhiya Dahlia