Bismillah
Sudah 11 hari saya berada di rumah.
Daejeon masih dalam bayang-bayang. Bukan mudah untuk melupakan setiap jalan hidup saya di sana. Ada susah, ada senang, ada suka, ada duka. Semuanya memberi sejuta pengajaran yang sedikit sebanyak mematangkan saya. Duduk di negara orang bererti kita berada di luar zon selesa. Apa pun yang terjadi, semuanya dihadapi sendiri. Itu yang paling mahal buat saya.
Setiap kali saya membelek gambar-gambar di tab, pasti saya akan terpandang gambar-gambar di sana. Setiap gambar ada ceritanya, dan hanya saya yang tahu memori di sebaliknya.
Setiap penjuru langkah, saya masih dibayangi rutin hidup di sana.
Setiap kali rindu menebal, saya akan pejam mata dan berdiam sejenak. Saya berazam untuk menyambung pengajian ke luar negara. Nampak seperti kabur dan tidak pasti. Tapi saya benar-benar teringin. Mungkin sudah terlewat jika dibandingkan dengan rakan-rakan saya yang dapat ke luar negara seawal tamat SPM. Tapi saya tak ambil pusing semua itu. Saya ingin mencari pengalaman.
Berada di luar juga membolehkan saya menilai Malaysia dari luar 'balang kacanya'. Saya menilai banyak perkara selama 8 minggu di sana. Maka saya tidak pelik jika ramai rakan-rakan saya yang menuntut di luar akan pulang bukan sahaja dengan pengetahuan akademik dan segulung ijazah, tetapi dengan ilmu kehidupan, kematangan dan kelantangan bersuara. Sekarang saya sangat faham.
11 hari di Malaysia, kehidupan saya kembali seperti dahulu. Bezanya dalam diri saya ada sedikit ruang pengalaman yang harapnya boleh dikongsikan. Insya Allah semoga perkongsian mendatang saya boleh memberi manfaat dan dibuat saham akhirat.
Salam sayang,
Dhiya
bestnyaaaa dddd
ReplyDelete