Kerana Seorang Staf di KTSN...


18 November 2013

Bangun pagi, badan saya sakit-sakit. Masa tu baru saya sedar yang saya tidak ada rehat sejak semalamnya sewaktu masih di Daejeon lagi hinggalah saya tida di KLIA malam tadinya.

Pagi itu pun saya tak banyak pilihan. Saya keluar seawal jam 9 pagi untuk urusan yang macam-macam termasuklah urusan bank, membeli tiket bas pulang ke Pahang dan beberapa hal lagi.

Jam 11.30 pagi, saya menerima panggilan telefon dari pihak KTSN, seorang staf lelaki yang perbualannya lebih kurang seperti berikut.

Beliau: Helo. Ini Dhiya ye?
Saya: Ye saya bercakap.
Beliau: Awak ada letak barang di rumah tamu? (sudah ada bunyi tak sedap di situ)
Saya: Ye, saya sewa untuk satu malam. (Maksudnya bukan letak barang percuma lah kan. Tapi masih cuba bercakap dengan penuh budi bahasa)
Beliau: Awak sepatutnya dah kena check-out ni. Awak hanya menyewa untuk satu malam je..Malam tadi.
Saya: Ye saya faham. Memang saya akan check-out tengahari ni. Tapi tidaklah seawal pukul 11.30 pagi ni. Lagipun saya di luar, ada urusan dengan penaja dan urusan bank sikit.
Beliau: Tapi awak tak boleh buat macamni. Awak menyewa untuk malam tadi je. Ni dah ada orang nak masuk ni. Dia dah ambil kunci. Bila dia masuk tadi, dia cakap ada barang orang lain dalam rumah tu.
Saya: Ok lah encik..Macamni. Bagi saya masa sikit. Saya akan balik dan keluarkan barang saya secepat mungkin. Er...boleh saya tahu yang nak masuk rumah tamu tu lelaki ke perempuan? (Sebab saya terfikir kain batik dan telekung saya ada di atas katil)
Beliau: Dia doktor!

Masa tu saya jadi panas hati yang amat sangat.
Saya tanya dia lelaki ke perempuan; bukan doktor atau sampah masyarakat!
Takkanlah hanya kerana dia seorang doktor, saya tidak...Maka saya dilayan macamtu? Tinggi sangat ke kedudukan doktor tu? Kalau tinggi hebat pun, rendah sangat ke kedudukan saya yang bukan doktor ni?

Saya masih cuba kawal diri. Pulang dari Korea Selatan, bumi yang penuh budi bahasa sangat mengajar saya pentingnya sifat itu. Kalau saya membuta tuli macam beliau (staf tu), sama je...Tak ada beza pun.

Saya: Encik, tolong bagi saya masa. Saya pun bukan saja-saja buat macamni. Saya tak tahu ada orang lain nak masuk selepas saya seawal 11 pagi, dan tak ada pula undang-undang kena check-out pada waktu tertentu. Boleh tak bertimbang rasa sikit pada saya? Lagipun luggage saya banyak sebab saya baru turun flight malam tadi.
Beliau: Habis awak nak sampai pukul berapa? Bagitahu saya. Saya nak tahu juga sebab nak kena beritahu doktor tu.
Saya: I'll be there and return the key before lunch hour.

Perbualan tamat di situ. Badan saya menggigil. Tangan saya sejuk. Terasa telinga saya panas. Saya tahu saya sedang marah.

Sebaik sampai di rumah tamu, saya masuk dan terus kemas barang-barang saya. Kurang dari 15 minit, barang saya dah siap dikeluarkan dan telefon saya berdering sekali lagi. Panggilan dari pihak yang sama, tapi orang yang berlainan- seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Puan I.

Puan I: Dhiya, saya dari KTSN nak tanya macamana ye dengan kunci bilik tu?
Saya: Ye puan, saya ada di bawah sekarang. Dah keluarkan barang cuma tinggal nak pulang kunci je ni ha.
Puan I. Kita terpaksa charge awak untuk satu malam lagi la sebab awak dah keluar lambat ni.

Masa ni memang sakit hati.

Saya: Lewat sangat ke? Tadi saya cakap by lunch hour. Ni saya dah nak pulang pun. Kalau puan nak charge lagi satu malam...Kalau macam tu saya tak nak keluarlah! Baik saya tinggal lagi satu malam, kan~
Puan I: Eh tak boleh. Awak dah tinggal lebih had ni. Awak cakap awak nak sewa untuk Ahad malam je kan. Ini awak dah tinggal dari hari Sabtu. Kunci pun kawan awak dah ambilkan hari Jumaat. Tak boleh la macamtu.
Saya: Puan, saya baru sampai KL malam tadi. Macamana pula puan boleh cakap saya dah tidur sini sejak Sabtu malam? Memang kawan saya ada datang Jumaat untuk ambil kunci, tapi staf puan cakap tak boleh ambil sebab ada orang lain yang nak masuk. Malam tadi pun saya ambil kunci ni dari laci luar tu je. Boleh puan semak tak perkara ni?
Puan I: Oh ye. Saya dah semak ni. Sabtu tu memang ada orang lain yang sewa, tapi rumah tamu lain. Saya ingatkan awak. (Sikit pun tak ada 'maaf'. Tapi saya boleh terima sebab dia cakap elok dengan saya)
Saya: Ok lah puan. Saya minta maaf. (Pulaaak~) Kita ni macam dah salah faham. Tapi saya memang tinggal satu malam je. Sekarang pun dah nak pulang kunci ni ha. Oh ye puan, tadi ada seorang staf lelaki dah telefon saya berkenaan dengan hal ni. Boleh saya tahu nama dia? Tadi dia ada sebut, tapi saya tak ingat (Padahal tak ada pun dia sebut. Saja nak pancing sebab nak tahu siapa manusia yang merendahkan martabat saya yang bukan doktor tadi ha~)
Puan I: Oh nama dia En. Nazri.

Perbualan ditamatkan. Saya berlari naik ke pejabat untuk memulangkan kunci.
Di kaunter, ada seorang lelaki. Saya dapat agak dialah En. Nazri, dan saya pasti dia pun boleh agak, sayalah manusia yang bukan doktor tu. Saya terus bertanya kepadanya, mencari Puan I. Tak lama kemudian Puan I datang dan kami berbincang tentang salah faham kami tadi. Ok selesai.
En. Nazri hanya memandang saya dari tepi. Dia saya tak masukkan dalam perbualan dengan Puan I tu. Saya kecewa dengan dia.

Kepada En. Nazri,

Anda harus belajar sesuatu dari insiden ini. 
Kalau anda berada di tempat saya dan menerima panggilan telefon sekasar itu untuk meminta anda keluar dari tempat tidur yang anda tumpang dan bayar secara sah, pasti anda akan rasa susah hati, sedih dan marah.
Saya paling kecewa dengan jawapan anda dari soalan saya yang berikut:
Saya: Er...boleh saya tahu yang nak masuk rumah tamu tu lelaki ke perempuan? (Sebab saya terfikir kain batik dan telekung saya ada di atas katil)
Beliau: Dia doktor!
Mengapa anda mesti menjawab soalan saya dengan jawapan yang SALAH dan tiada kaitan?
Adakah kerana dia doktor, saya bukan doktor...Saya dilayan double standard sebegini? 
Saya sangat kecewa. Kalau ikutkan marah saya, saya boleh komen semasa saya pulangkan kunci tu. Tapi saya sedaya upaya tidak meletakkan diri saya masa aras dengan anda sebab nilai itu yang membezakan saya dan anda. 

Saya hampir menangis di dalam kereta Elis dengan sikap anda. Kalau emak dan abah saya mampu untuk menjemput saya pulang terus dari KLIA ke Pahang semalam, saya tak akan susahkan orang lain termasuklah rumah tamu anda. Tapi pilihan untuk pulang sendiri dengan luggage saya yang lebih 40kg itu sebenarnya banyak meringankan beban emak dan abah di kampung.

Mungkin salah saya juga, melengahkan check-out hingga jam 11.30 pagi. Tapi saya yakin kalau anda susun ayat anda dengan lebih berbudi bahasa, saya tak akan sampai menulis nama anda di blog ini atas nama kecewa.

Rumah tamu anda sempurna. Saya sukakannya, malah saya telah menempahnya untuk satu tarikh baru pada bulan Disember. Puan Siti dan Puan I juga melayan saya dengan profesional. Masalahnya cuma anda seorang. ANDA yang memberi layanan buruk terhadap saya dan saya tak boleh elak untuk memberi persepsi yang tidak baik kepada anda.

Kerana seorang staf di KTSN, tengahari itu saya keluar dengan membawa semua beg saya dengan jiwa yang kosong. Masa tu saya betul-betul kagum dengan ketamadunan Korea yang baru saya tinggalkan semalamnya. Mereka mungkin nampak 'kecil' di mata dunia, tapi sikap positif dan nilai baik yang mereka tonjolkan telah berjaya membawa negara ginseng itu maju jauh meninggalkan bumi yang saya pijak kini.
Benar, tinggi mana pun kedudukan kita-Belum tentu lagi budi dan nilai boleh setinggi kedudukan itu.

Saya belajar sesuatu.

Salam koreksi,
Dhiya Dahlia

No comments