Terkini


Bismillah

Sudah 11 hari saya berada di rumah. 
Daejeon masih dalam bayang-bayang. Bukan mudah untuk melupakan setiap jalan hidup saya di sana. Ada susah, ada senang, ada suka, ada duka. Semuanya memberi sejuta pengajaran yang sedikit sebanyak mematangkan saya. Duduk di negara orang bererti kita berada di luar zon selesa. Apa pun yang terjadi, semuanya dihadapi sendiri. Itu yang paling mahal buat saya.

Setiap kali saya membelek gambar-gambar di tab, pasti saya akan terpandang gambar-gambar di sana. Setiap gambar ada ceritanya, dan hanya saya yang tahu memori di sebaliknya.
Setiap penjuru langkah, saya masih dibayangi rutin hidup di sana. 
Rutin harian saya di sana adalah menyemak suhu dan ramalan cuaca. Apatah lagi hujung minggu saya sering penuh dengan pelbagai program. Saya sempat menempuh musim sejuk lebih kurang seminggu sebelum pulang, tapi masih belum bersalji. Salji hanya turun sehari selepas saya pulang. Itulah namanya bukan rezeki.
Setiap kali rindu menebal, saya akan pejam mata dan berdiam sejenak. Saya berazam untuk menyambung pengajian ke luar negara. Nampak seperti kabur dan tidak pasti. Tapi saya benar-benar teringin. Mungkin sudah terlewat jika dibandingkan dengan rakan-rakan saya yang dapat ke luar negara seawal tamat SPM. Tapi saya tak ambil pusing semua itu. Saya ingin mencari pengalaman.

Berada di luar juga membolehkan saya menilai Malaysia dari luar 'balang kacanya'. Saya menilai banyak perkara selama 8 minggu di sana. Maka saya tidak pelik jika ramai rakan-rakan saya yang menuntut di luar akan pulang bukan sahaja dengan pengetahuan akademik dan segulung ijazah, tetapi dengan ilmu kehidupan, kematangan dan kelantangan bersuara. Sekarang saya sangat faham.

11 hari di Malaysia, kehidupan saya kembali seperti dahulu. Bezanya dalam diri saya ada sedikit ruang pengalaman yang harapnya boleh dikongsikan. Insya Allah semoga perkongsian mendatang saya boleh memberi manfaat dan dibuat saham akhirat.

Salam sayang, 
Dhiya

Ephyra Serlahkan Kejelitaan Sebenar Anda

Ephyra Serlahkan Kejelitaan Sebenar Anda
Kulit Lebih Gebu Dan Flawless Dalam 14 Hari

Sana sini orang ramai heboh perkatakan kehebatan Ephyra. Ramai blogger yang sudah mencuba Ephyra dan rasa sangat berpuas hati dengan hasil bagus produk ini. Ephyra semakin dikenali dan diyakini oleh ribuan pengguna.

Tetapi apakah itu Ephyra? Ada yang bertanya, krim ke? Pil ke? Ephyra adalah produk minuman supplemen tambahan yang sangat sedap untuk kecantikan dan kesihatan tubuh badan yang bermula dari dalam. Ephyra didatangkan dalam bentuk serbuk sachet yang dihasilkan daripada gabungan mantap rumusan terunggul alam semulajadi di seluruh dunia, kolagen terhidrolisis ikan laut dalam, L-Glutathione, Astaxanthin, Acai Berri, Acerolla Ceri, Marigold Flower Extract, Acacia Gum, Superberi dan Serbuk Tomato yang merawat, memperbaharui dan seterusnya menyerlahkan lagi keserian dan kesihatan dalaman dan luaran.

Dengan ribuan testimoni yang meyakinkan, telah menambat hati ramai pengguna Ephyra. Mengapa Ephyra sangat berkesan? Sudah tentu kerana formula hebatnya yang mengandungi 9 bahan alam semulajadi berkualiti tinggi bergred super AAA. Ephyra bukan hanya produk kolagen semata-mata, tetapi Ephyra adalah formulasi rumusan minuman antioksida yang terbaik untuk kecantikan dan kesihatan anda. Sesuai untuk semua peringkat umur, untuk lelaki juga wanita semestinya. Ephyra disahkan selamat dan berkesan serta mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia beserta disahkan Halal oleh JAKIM.

Testimoni boleh dicipta, pengalaman boleh direka, gambar boleh diubah dan pelbagai lagi. Tetapi testimoni dari pengguna setia Ephyra memang tidak boleh disangkal lagi. Kalau anda google "testimoni ephyra" atau "review ephyra", anda akan lihat banyak review hebat perkongsian dari ribuan pengguna Ephyra.

Jika anda ada masalah kulit kusam, kedutan, jerawat, jeragat, sakit sendi, tumit merekah, kulit kering, rambut gugur dan sebagainya, jangan ketinggalan untuk dapatkan penyelesaian anda dengan Ephyra. Jom lihat apakah kelebihannya...
  1. Membantu menjadikan kulit kita lebih anjal, halus dan cerah berseri.
  2. Merangsang penghasilan kolagen yang diperlukan oleh tubuh badan kita.
  3. Membantu memulihkan wajah yang bermasalah seperti jerawat dan jeragat.
  4. Membantu memulihkan masalah kulit ekzema (kegatalan dan kemerahan).
  5. Mengurangkan kedutan dan garis-garis halus di wajah.
  6. Menghindari kita daripada penyakit barah, tekanan darah tinggi, diabetes dan masalah kulit kerana ianya mengandungi supplemen anti oksidan Astaxanthin.
  7. Menguatkan rambut dan melambatkan uban.
  8. Menjadikan rambut lebih sihat, lembut dan bersinar.
  9. Melancarkan sistem pencernaan dalam badan, menurunkan berat badan dan mengawal nafsu makan.
  10. Mengurangkan kadar kolesterol dan menjauhkan kita daripada risiko mendapat sakit jantung.
  11. Membantu seimbangkan tekanan darah.
  12. Meningkatkan tenaga dan daya ingatan.
  13. Meningkatkan sistem ketahanan badan.
  14. Melindungi retina dan mencegah penyakit mata akibat kerosakan termasuk faktor usia.
  15. Melegakan kesakitan sendi dan arthritis.
  16. Melegakan kesakitan pedih ulu hati dan gastrik.
Untuk maklumat yang lebih lanjut, sila klik Flyer, Website dan Fanpage.

Bagi memudahkan anda semua, jom kita klik link di bawah, antara testimoni Ephyra yang dipilih dari kalangan blogger.
  1. Masalah kulit muka dan jerawat - klik SINI, SINI, SINI, SINI, SINI, SINI, SINI, SINI dan SINI
  2. Masalah period / haid - klik SINI dan SINI
  3. Masalah tumit / tapak kaki - klik SINI dan SINI
  4. Testimoni kuku dan rambut - klik SINI, SINI dan SINI
  5. Testimoni lelaki - klik SINI
  6. Testimoni menyusukan anak - klik SINI
  7. Pelbagai masalah lain - klik SINI
Kulit yang sempurna. Wajah yang jelita. Keyakinan tiada tandingan. Hasil yang nyata. Semuanya lengkap dalam satu produk kecantikan dan kesihatan. Ephyra terbukti berkesan.


Jom dapatkannya sekarang...

Official Website : www.oceanlife2u.com
Instagram : ephyra2u
Telefon : 03 4141 7889
SMS : 019 3999 238
Emel : info@oceanlife2u.com


Giveaway ini dianjurkan oleh mialiana.com dan ditaja sepenuhnya oleh OceanLife2u.com dengan hadiah berupa wang tunai dan produk Ephyra bernilai RM 2,387.00. Sila klik SINI untuk join Giveaway ini.

Siri Gongju: Hanok Village


Bismillah...

Sambungan Siri Gongju.

Selepas menghabiskan satu pusingan kubu, kami pun bergerak ke Hanok Village yang terletak berhampiran dengan kubu. Hanok Village ni macam kampung kebudayaan. Kalau pergi ke Korea, memang tak sah kalau tak pergi ke Hanok Village sebab di situlah kita boleh kenal kebudayaan dan cara hidup mereka. Hanok Village ni bukan satu-dua. Kalau ada kawasan pelancongan, mereka akan bina atau isytihar satu Hanok Village di kawasan tersebut. Macam yang saya pergi ni, Hanok Village tu mereka jadikan hotel supaya pengunjung boleh rasa kehidupan dan tradisi sebenar orang Korea dan kalau di Buckchon Hanok Village di Seoul (nanti saya cerita), ia merupakan rumah sebenar yang didiami golongan elit tradisional Korea dan dibuka kepada pelancong.
Antara pintu gerbang di bandar Gongju yang menerapkan nilai sejarah setempat.
Stesen bas tempat kami menunggu teksi. Unik sangat. Memang layaklah Gongju ni menerima kehadiran pelancong.
Teksi yang membawa kami ke Hanok Village. Terkejut saya apabila tengok teksi mereka menggunakan kereta Hyundai Sonata. Kalau di Malaysia, siapa yang pandu Hyundai Sonata ni kira dah cukup kaya dah ni. Sekali masuk, caj yang dikenakan adalah KWN3000. Pada kami, kadar tu dikira berpatutan. Macam di Malaysia lah kan...Letak punggung je dah kena caj RM3~
Ini antara rumah kebudayaan yang ada di Hanok Village.
Art & Craft Village ni menempatkan beberapa rumah kebudayaan yang mempamerkan pelbagai aktiviti kebudayaan Korea.
Mungkin nasib kami tak berapa baik, ada beberapa rumah kebudayaan ditutup. Jadi kami tak boleh nak meneroka semua tempat. Tapi kami tak ralat sangat sebab tempat ni masuk pun percuma dan kawasan ini sangat besar. Mungkin ada banyak lagi ruang lain yang boleh dilawati.
Rumah ini mempamerkan hasil seni tanah liat buatan tangan. Tiada demonstarsi berlangsung, tetapi banyak hasil kraf tempatan ditayangkan. Semuanya comel-comel belaka!
Cuba teka apa ni? Haa.. Ini adalah mata cincin yang dibuat dari tanah liat. Comel sangat. Nanti mata ni akan dilekatkan kepada cincin dan dipaketkan untuk jualan.
Cawan ni pun comel.
Banyak lagi produk buatan tangan yang dihasilkan. Yang dalam gambar ni adalah pin.
Yang ni pula miniature comel. Ada banyak lagi rekaan menarik yang bertemakan kebudayaan Korea.
Dinding salah satu bangunan Hanok Village. Halus sangat senireka yang mereka hasilkan!
Kami mula memasuki kawasan rumah kebudayaan. Rumahnya tak mewah, tapi cantik dek hiasan dan senibina tradisional yang dipamerkan. Masa ni terasa macam berada dalam zaman lampau pulak.
Unik sangat. Memang terasa macam dalam dunia lain apabila berada di sini.
Mesin jahit mini yang dipamerkan dalam kawasan rumah tradisional.
Saya rasa laluan yang saya lewati ini adalah bahagian dapur rumah tradisi Korea. Mereka mengeringkan bahan makanan mereka di belakang rumah dan menghadap matahari.
Jagung. Dan-dan masa tu terus teringin jagung bakar Malaysia!
Laluan kecil di rumah tradisi.
Ini pula adalah bilik hotel. Troli kuning tu adalah sayur-sayuran dan selimut yang ditukar selepas setiap kali pelawat mendaftar keluar dari rumah tersebut. Jangan terkejut kalau saya beritahu yang saya dengan mudahnya boleh mengakses wifi dari luar rumah tradisi ini.
Di kawasan berhampiran juga, pihak pengurusan menananm sayur-sayuran yang boleh dituai dan dalam masa yang sama menampakkan lagi tradisi mereka :)
Hotel

Kami menghabiskan masa lebih kurang satu jam di sini. Tempat menarik, tak boleh gopoh gapah. Kena nikmati setiap sudutnya dengan penuh nilai. Jalan-jalan ni bukan saja-saja. Kena cedok sebanyak mungkin hikmah supaya boleh dibuat pengajaran diri.

Ada satu lagi siri Gongju sebelum saya cerita tentang banyak lagi tempat menarik yang saya lawati selama berada di Korea Selatan.

Salam sayang,
Dhiya

Kerana Seorang Staf di KTSN...


18 November 2013

Bangun pagi, badan saya sakit-sakit. Masa tu baru saya sedar yang saya tidak ada rehat sejak semalamnya sewaktu masih di Daejeon lagi hinggalah saya tida di KLIA malam tadinya.

Pagi itu pun saya tak banyak pilihan. Saya keluar seawal jam 9 pagi untuk urusan yang macam-macam termasuklah urusan bank, membeli tiket bas pulang ke Pahang dan beberapa hal lagi.

Jam 11.30 pagi, saya menerima panggilan telefon dari pihak KTSN, seorang staf lelaki yang perbualannya lebih kurang seperti berikut.

Beliau: Helo. Ini Dhiya ye?
Saya: Ye saya bercakap.
Beliau: Awak ada letak barang di rumah tamu? (sudah ada bunyi tak sedap di situ)
Saya: Ye, saya sewa untuk satu malam. (Maksudnya bukan letak barang percuma lah kan. Tapi masih cuba bercakap dengan penuh budi bahasa)
Beliau: Awak sepatutnya dah kena check-out ni. Awak hanya menyewa untuk satu malam je..Malam tadi.
Saya: Ye saya faham. Memang saya akan check-out tengahari ni. Tapi tidaklah seawal pukul 11.30 pagi ni. Lagipun saya di luar, ada urusan dengan penaja dan urusan bank sikit.
Beliau: Tapi awak tak boleh buat macamni. Awak menyewa untuk malam tadi je. Ni dah ada orang nak masuk ni. Dia dah ambil kunci. Bila dia masuk tadi, dia cakap ada barang orang lain dalam rumah tu.
Saya: Ok lah encik..Macamni. Bagi saya masa sikit. Saya akan balik dan keluarkan barang saya secepat mungkin. Er...boleh saya tahu yang nak masuk rumah tamu tu lelaki ke perempuan? (Sebab saya terfikir kain batik dan telekung saya ada di atas katil)
Beliau: Dia doktor!

Masa tu saya jadi panas hati yang amat sangat.
Saya tanya dia lelaki ke perempuan; bukan doktor atau sampah masyarakat!
Takkanlah hanya kerana dia seorang doktor, saya tidak...Maka saya dilayan macamtu? Tinggi sangat ke kedudukan doktor tu? Kalau tinggi hebat pun, rendah sangat ke kedudukan saya yang bukan doktor ni?

Saya masih cuba kawal diri. Pulang dari Korea Selatan, bumi yang penuh budi bahasa sangat mengajar saya pentingnya sifat itu. Kalau saya membuta tuli macam beliau (staf tu), sama je...Tak ada beza pun.

Saya: Encik, tolong bagi saya masa. Saya pun bukan saja-saja buat macamni. Saya tak tahu ada orang lain nak masuk selepas saya seawal 11 pagi, dan tak ada pula undang-undang kena check-out pada waktu tertentu. Boleh tak bertimbang rasa sikit pada saya? Lagipun luggage saya banyak sebab saya baru turun flight malam tadi.
Beliau: Habis awak nak sampai pukul berapa? Bagitahu saya. Saya nak tahu juga sebab nak kena beritahu doktor tu.
Saya: I'll be there and return the key before lunch hour.

Perbualan tamat di situ. Badan saya menggigil. Tangan saya sejuk. Terasa telinga saya panas. Saya tahu saya sedang marah.

Sebaik sampai di rumah tamu, saya masuk dan terus kemas barang-barang saya. Kurang dari 15 minit, barang saya dah siap dikeluarkan dan telefon saya berdering sekali lagi. Panggilan dari pihak yang sama, tapi orang yang berlainan- seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Puan I.

Puan I: Dhiya, saya dari KTSN nak tanya macamana ye dengan kunci bilik tu?
Saya: Ye puan, saya ada di bawah sekarang. Dah keluarkan barang cuma tinggal nak pulang kunci je ni ha.
Puan I. Kita terpaksa charge awak untuk satu malam lagi la sebab awak dah keluar lambat ni.

Masa ni memang sakit hati.

Saya: Lewat sangat ke? Tadi saya cakap by lunch hour. Ni saya dah nak pulang pun. Kalau puan nak charge lagi satu malam...Kalau macam tu saya tak nak keluarlah! Baik saya tinggal lagi satu malam, kan~
Puan I: Eh tak boleh. Awak dah tinggal lebih had ni. Awak cakap awak nak sewa untuk Ahad malam je kan. Ini awak dah tinggal dari hari Sabtu. Kunci pun kawan awak dah ambilkan hari Jumaat. Tak boleh la macamtu.
Saya: Puan, saya baru sampai KL malam tadi. Macamana pula puan boleh cakap saya dah tidur sini sejak Sabtu malam? Memang kawan saya ada datang Jumaat untuk ambil kunci, tapi staf puan cakap tak boleh ambil sebab ada orang lain yang nak masuk. Malam tadi pun saya ambil kunci ni dari laci luar tu je. Boleh puan semak tak perkara ni?
Puan I: Oh ye. Saya dah semak ni. Sabtu tu memang ada orang lain yang sewa, tapi rumah tamu lain. Saya ingatkan awak. (Sikit pun tak ada 'maaf'. Tapi saya boleh terima sebab dia cakap elok dengan saya)
Saya: Ok lah puan. Saya minta maaf. (Pulaaak~) Kita ni macam dah salah faham. Tapi saya memang tinggal satu malam je. Sekarang pun dah nak pulang kunci ni ha. Oh ye puan, tadi ada seorang staf lelaki dah telefon saya berkenaan dengan hal ni. Boleh saya tahu nama dia? Tadi dia ada sebut, tapi saya tak ingat (Padahal tak ada pun dia sebut. Saja nak pancing sebab nak tahu siapa manusia yang merendahkan martabat saya yang bukan doktor tadi ha~)
Puan I: Oh nama dia En. Nazri.

Perbualan ditamatkan. Saya berlari naik ke pejabat untuk memulangkan kunci.
Di kaunter, ada seorang lelaki. Saya dapat agak dialah En. Nazri, dan saya pasti dia pun boleh agak, sayalah manusia yang bukan doktor tu. Saya terus bertanya kepadanya, mencari Puan I. Tak lama kemudian Puan I datang dan kami berbincang tentang salah faham kami tadi. Ok selesai.
En. Nazri hanya memandang saya dari tepi. Dia saya tak masukkan dalam perbualan dengan Puan I tu. Saya kecewa dengan dia.

Kepada En. Nazri,

Anda harus belajar sesuatu dari insiden ini. 
Kalau anda berada di tempat saya dan menerima panggilan telefon sekasar itu untuk meminta anda keluar dari tempat tidur yang anda tumpang dan bayar secara sah, pasti anda akan rasa susah hati, sedih dan marah.
Saya paling kecewa dengan jawapan anda dari soalan saya yang berikut:
Saya: Er...boleh saya tahu yang nak masuk rumah tamu tu lelaki ke perempuan? (Sebab saya terfikir kain batik dan telekung saya ada di atas katil)
Beliau: Dia doktor!
Mengapa anda mesti menjawab soalan saya dengan jawapan yang SALAH dan tiada kaitan?
Adakah kerana dia doktor, saya bukan doktor...Saya dilayan double standard sebegini? 
Saya sangat kecewa. Kalau ikutkan marah saya, saya boleh komen semasa saya pulangkan kunci tu. Tapi saya sedaya upaya tidak meletakkan diri saya masa aras dengan anda sebab nilai itu yang membezakan saya dan anda. 

Saya hampir menangis di dalam kereta Elis dengan sikap anda. Kalau emak dan abah saya mampu untuk menjemput saya pulang terus dari KLIA ke Pahang semalam, saya tak akan susahkan orang lain termasuklah rumah tamu anda. Tapi pilihan untuk pulang sendiri dengan luggage saya yang lebih 40kg itu sebenarnya banyak meringankan beban emak dan abah di kampung.

Mungkin salah saya juga, melengahkan check-out hingga jam 11.30 pagi. Tapi saya yakin kalau anda susun ayat anda dengan lebih berbudi bahasa, saya tak akan sampai menulis nama anda di blog ini atas nama kecewa.

Rumah tamu anda sempurna. Saya sukakannya, malah saya telah menempahnya untuk satu tarikh baru pada bulan Disember. Puan Siti dan Puan I juga melayan saya dengan profesional. Masalahnya cuma anda seorang. ANDA yang memberi layanan buruk terhadap saya dan saya tak boleh elak untuk memberi persepsi yang tidak baik kepada anda.

Kerana seorang staf di KTSN, tengahari itu saya keluar dengan membawa semua beg saya dengan jiwa yang kosong. Masa tu saya betul-betul kagum dengan ketamadunan Korea yang baru saya tinggalkan semalamnya. Mereka mungkin nampak 'kecil' di mata dunia, tapi sikap positif dan nilai baik yang mereka tonjolkan telah berjaya membawa negara ginseng itu maju jauh meninggalkan bumi yang saya pijak kini.
Benar, tinggi mana pun kedudukan kita-Belum tentu lagi budi dan nilai boleh setinggi kedudukan itu.

Saya belajar sesuatu.

Salam koreksi,
Dhiya Dahlia

17 Nov 2013: Kembali Ke Malaysia


Bismillah...

4.30 pagi @ Daejeon Korea Selatan

Rumah tamu mewah tu sudah mula riuh rendah. Kami bertiga dah mula bangun dan bersiap-siap. Bas akan sampai jam 6 pagi untuk membawa kami ke Lapangan Terbang Incheon bagi menaiki penerbangan MAS ke Malaysia jam 11 pagi.
Macam-macam perasaan dalam hati. Lapan minggu yang penuh kenangan pahit dan manis akan mula tersimpan dalam kotak kenangan. Entah bilalah lagi saya akan jejak negara luar. Peluang ini pun orang yang beri. Kalau nak harapkan duit sendiri, memang tak mampu.

Perjalanan mengambil masa dua jam setengah. Sebaik sampai, kami tak ada masa untuk berjalan-jalan sebab perlu terus check-in luggage. Tak mengejutkan kalau beg saya terlebih berat. Memang dah jangka dan saya dah bersedia dengan RM195 sebagai 'denda'. Lantaklah. Janji barang-barang saya, dan saya semuanya lepas balik ke Malaysia!

Wajah gembira nak balik Malaysia. (Padahal dalam hati sayu gilaaaaa)
Ini semua drama je ni. Yep, kami bersepuluh. Dalam lapan minggu tu, kami hidup macam adik beradik. Masa dah nak berpisah ni, memang sayu jugalah.
Ini beg-beg saya yang terlebih berat tu.

Kami tak menunggu lama. Jalan-jalan tak sampai sejam di free-duty shops, dah terus menunggu untuk masuk ke dalam perut kapal. Masa ni dah mula nampak ramai orang Malaysia. Terasa macam jakun sekejap sebab dah lapan minggu hidup dikelilingi oleh orang Korea.

11 pagi @ Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan

Macam mimpi, jam 11 pagi waktu Korea, kami pun berlepas pulang ke Malaysia. 
Saya cuma mampu bisikkan dalam hati; Selamat tinggal bumi Korea! Semoga saya berpeluang untuk datang lagi dan mengambil segala yang baik dari negara ini.

Menu makan tengahari. Nikmatnya dapat makan daging setelah lapan minggu. Terasa Malaysia sangat membahagiakan! Haha~
Penerbangan mengambil masa lebih kurang 7 jam. Semuanya lancar. Tak ada turbulence yang teruk sangat walaupun kami dikatakan 'berselisih' dengan Taufan Haiyan di Filipina. Saya sempat menonton filem Despicable Me 2. Selebihnya, masih tak boleh tidur pun sebab masih teringat turbulence dalam penerbangan datang ke Korea 2 bulan lepas semasa menaiki Korean Air. Dasyat sangat sampai masuk dalam mimpi.
Selebihnya melayan perasaan sambil sekejap-sekejap melihat maklumat penerbangan. Terasa lambat sangat nak sampai!
Half-way home!
Akan merindui Seoul dan seluruh isinya sebagai kenangan terindah yang mematangkan.
 Selepas 7 jam penerbangan, kami akhirnya sampai. Ya Allah...
Tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya saya. Bumi ini terlalu bertuah untuk saya tinggalkan sebegitu lama. 8 minggu, cukuplah!
5 petang @ Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur

Selesai semua urusan, saya hanya tiba di balai ketibaan dalam lebih kurang 5.30 petang. Terima kasih Elis yang sudi jemput saya betul-betul depan arrival. Rasa bersalah pula sebab tak dapat belikan minyak wangi kirimannya. Ya Allah, maaf sangat sebab memang saya tersilap.

Kami terus ke gerai ikan bakar di Bagan Lalang untuk makan malam. Memang surprise sangat. Katanya untuk meraikan manusia yang dah dua bulan tak makan lauk Malaysia. Cisss!

10 malam, KTSN Kuala Lumpur

Terussss...saya kemudiannya mendaftar masuk ke rumah tamu KTSN di Kuala Lumpur untuk satu malam sebelum pulang ke Pahang. Kalau terus balik lepas arrival tadi, memang tak sempat sebab bas terakhir saya di Kuala Lumpur pada jam 8 malam. Kelam kabut pun tak bagus juga.

Maka bermalamlah saya ala-ala pelajar universiti di kampus KTSN dan saya mula merindui KTHO di Bangi....
Demikianlah cerita 17 November saya yang hampir memakan masa 24 jam. Penat, sakit badan dan rasa nak tercabut segala sendi. All in all, saya dah selamat sampai ke tanah air dan berazam untuk merencana hidup saya dengan lebih kemas lagi. Pengalaman bermastautin di negara yang sangat maju dan bertamadun buat saya ingin mencontohi sifat baik mereka.

Tunggu cerita yang akan datang, ya!

Salam sayang, 
Dhiya

Siri Gongju: Gongsanseong Fortress


Bismillah...

Entri permulaan ini, saya akan kongsikan macamana saya ke Gongju, dan destinasi pertama saya. 
Gongju ni terletak di luar daerah kediaman saya, tapi masih boleh dijejaki dengan intercity bus selama lebih kurang satu jam sahaja.

Bas 604 menghala ke KINS, menyeberang jalan dan tunggu bas 911 menghala ke Yuseong. Di Yuseong, kami ke stesen intercity bus dan membeli tiket terus ke Gongju berharga KWN3100.
Sebelum kita pergi lebih jauh, saya bagitahu awal-awal kos saya ke Gongju ni.

Bas 604, transit 911: KWN1100 x 2 = KWN2200
Intercity bus ke Gongju: KWN3100 x 2= KWN6200
Teksi untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat: KWN3500 (seorang)
Jumlah: KWN11900 = RM36

Makan? Tak ada. Kami bawa bekal dan berkelah.

Nampak tak tanda arah Yuseong tu? Ha. Betul lah tu~
Ini rupa intercity bus mereka. Alah...macam bas ekspress kita di Malaysia. Bezanya mereka lebih berdisiplin , teratur dan bersih dari kita. Terasa? Nasiblah~
Stesen bas mereka. Kecil je :)
Antara pemandangan indah semasa dalam perjalanan.
Perjalanan dengan intercity bus dari Yuseong ke Gongju mengambil masa lebih kurang satu jam. Perjalanan pun sangat selesa. Rasanya ini pertama kali saya tak tidur dalam bas ekspres. Kalau kat Malaysia, 3 jam perjalanan, 3 jam lah saya tidur. Hahah~
Sebaik sampai di stesen bas Gongju, kami dibantu oleh pekerja kaunter. Stesen bas mereka memang dah bersedia untuk menerima pelancong sebab mereka tahu Gongju adalah salah satu tarikan utama. Staf mereka agak lemah dalam bahasa Inggeris, tetapi masih berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu kami :)
Peta kawasan. Kalau nak ikutkan hati, memang nak habiskan semua...Tapi apakan daya~ Satu hari memang tak cukup!
Gongsanseong Fortress.
Tempatnya sangat mendamaikan. Gambar ini saya ambil sebaik kami mendaki kubu. Di situ ada tempat duduk dan kami mengambil keputusan...
...untuk menjamu selera makanan tengahari kami di situ. Ini menu yang Kak Ammar masak. Pandai sungguh kakak saya nan seorang ni memasak. Cukup untuk perut empat orang dan Kai (Thailand) dan Tenten (Filipina) pun gembira. Alhamdulillah kenyang!
Sebaik makan, kami menjamu mata pula.
Ok masa ni rasa nak terjun je dalam flower bushes ni. Cantik sangat!
Antara pemandangan bandar kecil Gongju dari atas kubu
Seperti biasa, gambar orang gayat memang selalu mengecewakan. Maaf
Masa ni saya ambil gambar Tenten dan Kak Ammar sambil pegang tangan Kai. Gayat punya pasal.
Mendaki lagi. Memang sepanjang mendaki, saya ditertawakan oleh mereka. Mana tak gayat...sebelah kanan jalan mendaki tu gaung.
Tak percaya? Ha. Bahaya :p
Tangganya pun bukan tangga batu. Hanya batang kayu yang dipasak dengan kayu kecil. Fuh. memang mencabar!
Tapi selepas setiap kali berperang dengan diri sendiri, saya akan dihadiahi dengan pemandangan indah macam ni. Subhanallah. Cantiknya!
Kai. Banyak benda yang positif tentang beliau. Kalau anda nak tahu, beliau merupakan seorang pensyarah berpangkat Dr. di negaranya. Yep, Dr. Kai. Malah, umur beliau lebih kurang dengan umur emak. Tapi apabila kami bersama, beliau tak pernah izinkan saya panggil dia Dr. malah kami tak ubah seperti rakan. Beliau sangat baik dan penuh dengan sifat keibuan. Dalam diam, saya kagum. Humanity sometimes overpass the boundaries.
Rasanya ini puncak paling tinggi di kubu ni. Kami boleh nampak kesemua empat jambatan di Gongju. Memang rasa nak tepuk bahu sendiri. Kalau kat Malaysia, memang tak akan terbuat semua benda ni.
Menuruni kubu. Masih dijamu dengan pemandangan cantik.
Penamat kembara kubu kami berakhir di sini. Haha. Maaflah. Tapi saya suka idea tandas mereka ni. Kreatif dan convenient. Kat Malaysia ada? Kalau ada pun, tak semua tempat kan. Mereka di sini sangat mesra wanita (yang beranak kecil), OKU dan warga tua.

Alhamdulillah selesai cerita Gongsanseong Firtress yang menuntut kesabaran untuk saya mendaki sekali lagi selepas Gyeryong Mountain.

Antara pengajaran yang diperolehi:

Satu: Jangan mudah putus asa sebelum mencuba
Dua: Syukur dengan nikmat kesihatan, kesempurnaan pancaindera dan ilmu pengetahuan yang dipinjamkanNya untuk kita menilai setiap apa yang terjadi
Tiga: Iman dan Islam adalah nikmat yang perlu disyukuri
Empat: Perlu berusaha menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim walau dalam apa juga keadaan
Lima: Berbuat baik dengan semua orang, Insya Allah akan dibalas dengan kebaikan juga

Tunggu cerita saya untuk siri Gongju yang lain.

Salam sayang,
Dhiya