Apa Kata Anda?


Jurutera-Jurutera kita?

sumber
Rumah mahal-mahal, kami tak mampu beli. Yang juta-juta, ini pula jadinya. Nyawa kami tiada tempat berlindung!

Pak menteri, bantulah!

Salam
Dhiya

Lindungi Diri Dari Sihir


.Bismillah.

Rasa perlu untuk dikongsikan

Bacaan yang biasa. Insya Allah biasa didengar dan dibaca. Jom amalkan. 

Moga kita terlindung dari Syaitan yang direjam!







Maksudnya:

''Rasul telah beriman kepada Al-quran yang diturunkan kepadanya dari TuhanNya, Demikian pula orang-orang yang beriman.Semuanya beriman kepada Allah,Malaikat-malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya dan Rasul-rasul-Nya (Mereka mengatakan): " kami tidak membeda-bedakan antara seseorang pun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan:" kami dengar dan kami taat", (mereka berdoa): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada engkaulah tempat kami kembali'' (285)
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): " Ya Tuhan kami, janganlah engkau hukum kami jika kami lupa atau tersalah. Ya Tuhan kami janganlah engkau bebankan kami beban yang berat sebagaimana engkau bebankan orang-rang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah engkau pikulkan kepada kami apa yangkami tak sanggup memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kamiterhadap kaum yang kafir" (286)

 Hanya padaMu aku bergantung harap.

Yang Menulis, 
Dhiya

Minggu yang Panjang


Bismillah dan  Alhamdulillah

Hari ini hari Jumaat!

Secara psikologinya, hari Jumaat memang hari yang ditunggu-tunggu oleh saya (dan anda juga). Entah, mungkin pada fikiran saya esoknya adalah Sabtu walaupun hakikatnya esok adalah SSB saya. Hee~
Istimewanya setiap Jumaat, kami akan pulang dari pejabat seawal 5 petang! Eh. Kira awallah tu kan. :p
Seminggu ini tidak ada sekali pun saya stay back selepas waktu pejabat. Tepat 5.30 petang, saya angkat kaki- Seperti kebiasaannya. Saya tak kisah kalau orang kata saya berkira atau apa. Saya ada method saya sendiri dan saya yakin dengannya.

Tipsnya?

Setiap pagi, sebelum mula waktu kerja, saya akan mengambil beberapa minit untuk merancang kerja yang hendak dilakukan untuk satu hari. Saya rasa semua orang pun begitu. Tips ini pun dicedok dari rakan-rakan dan teman sepejabat.
Checklist saya tidak pernah pendek, itu belum lagi ditambah dengan tugas yang tak disangka-sangka. Tapi saya percaya apabila kita ada guideline apa yang perlu dibuat, kita akan sentiasa on track ,mengikut perancangan dan keutamaan. Saya gembira menggunakan software dalam talian yang membantu saya menyenaraikan kerja-kerja yang perlu dilakukan. :)

Lagipun jika kerja saya sudah disiapkan, untuk apa saya tunggu lagi? Sejak menggunakan kaedah ini, saya dapati kerja saya lebih efisyen dan teratur. Ini terbukti apabila saya berjaya pulang tepat jam 5.30 petang hampir setiap hari tanpa meninggalkan tunggakan kerja dalam checklist saya. Secara peribadi saya gembira dengan pencapaian itu. Malam saya lebih tenang dan tidur saya lebih nyenyak. 
Ini bukan iklan. Ini adalah hakikat. Kalau dulu saya tolak tepi artikel-artikel tentang pengurusan stres dan bebanan kerja di pejabat. Tapi kini saya kembali belajar bagaimana untuk menangani semua itu. Ini bukan soal remeh. Kegagalan mengurus stres dan bebanan kerja di pejabat mungkin menjadikan kita tidak gembira apabila pulang ke rumah dek terkenang-kenang tugas yang tertunggak. Kesihatan juga boleh terjejas kalau selalu tertekan!

Kalau saya claim OT pun, belum tentu lagi kewajarannya di sisi Allah sebab duit yang saya dapat tu adalah duit-goyang-kaki-tak-buat-kerja. Saya masih ingat pesan emak dan abah- Jujur dalam setiap perlakuan. 
Tapi iyalah. Sempurna manalah manusia biasa seperti saya ni. Lebih kurang, mesti ada juga tirisnya di mana-mana. Orang lain mungkin tidak kisah dengan claim OT dan segala tuntutan wang lain yang kita buat. Mereka boleh ikut apa yang tertulis di atas kertas. Tapi telus atau tidak, semuanya terserah kepada diri sendiri. Bak kata bos BEMS saya dahulu: Kita mahu makan wang (nasi) atau api (neraka)? Ya Allah!

Balik awal

Saya betul-betul tak kisah kalau orang mahu mempertikaikan mengapa saya selalu balik on time. Sifirnya mudah:
Saya datang untuk bekerja dan kerja saya siap.
Insya Allah setakat ini saya masih boleh mengawal lambakan tugas ini walaupun kadangkala tertekan juga. Tapi saya sedar dan maklum: Tugas-tugas ini kalau dilakukan secara paksa rela maka paksa dan relalah hati tanpa ikhlas. Tapi kalau semunya dimulakan dengan niat yang ikhlas (Insya Allah), semoga Dia memberi sebaik-baik ganjaran untuk kita!

Dan sejak seminggu ini juga, saya sudah tidak lagi berdepan dengan kesesakan lalulintas di Lebuhraya Persekutuan. :) Saya akhirnya memberanikan juga diri melalui 'jalan belakang' itu. Ternyata masa pulang saya semakin dapat dijimatkan. Kalau dulu ia boleh mencecah 30 minit, kini saya bersyukur kerana hanya mengambil masa 15 minit tanpa perlu marah-marah separuh gila di Lebuhraya Persekutuan tu

90-10

Konklusinya, tidak semua perkara dalam dunia ini adalah ideal untuk kita. Pasti ada complimentary set untuk sesuatu yang kita ada. Kita mungkin hebat di lapangan kita, tapi belum tentu lagi jika kita terjun ke bidang orang lain.
Saya gembira berada di sini. 90% nature of work saya adalah memberikan perkhidmatan dan berjumpa dengan eksekutif mahupun profesional dalam bidang kejuruteraan. Saya gembira dengan apa yang saya lakukan sekarang. Saya belajar meningkatkan nilai diri di samping menghargai network atau bonding yang tercipta antara saya dengan orang di sekeliling. Saya belajar berurusan dengan banyak orang- Bermula dari orang bawahan syarikat hinggalah ke top management mereka. Ini satu cabaran dan pengalaman yang sangat berharga. Ia tak boleh dibeli kecuali hanya untuk dihadapi. :)
10% baki inilah pula yang dipanggil mehnah dan tribulasi dan hampir keseluruhannya berkaitan dengan kerenah dan sikap. Nilai profesionalisme yang rendah akan memberi kesan kepada produktiviti. Terbukti. Memang terbukti. Dan inilah yang sedang menjadi cabaran saya. 10% pun, tapi ia tetap mengganggu performance saya!

Ya. Dunia ini tak semuanya sempurna. Ideal condition is never exist!

Salam sayang,
Dhiya

Rabu dan Kerja


Bismillah.

Rabu. Rabu. Hari ini hari Rabu.

Kenapa minggu ni berlalu dengan sangat perlahan, ya?

Terlalu banyak yang berlaku. Terlalu jauh jalan yang saya pilih untuk seminggu ini. Manusia memang bermacam-macam perangainya. Kadang-kadang saya jatuh putus asa berurusan dengan mereka. Sampai suatu tahap, rasa ingin berhenti kerja dan pulang ke kampung menjadi staf emak dan abah sahaja!

Semalam saya berpeluang menghadiri mesyuarat dengan CES IET di pejabat. Kehadirannya boleh dikatakan penting. Mr. Fine mungkin sama pangkat macam ED saya sahaja. Tapi datangnya dari UK, membuatkan kami di pejabat meraikannya dengan bersungguh-sungguh :p.
Sekali sekala bertemu orang luar, saya terasa sungguh kerdil. Rasa terlalu banyak kekurangan dan kelemahan dalam diri. Ilmu masih cetek, akal masih kurang matang dalam menilai.
Di saat orang lain sibuk bertegang urat memperjuangkan hak sejagat, ilmu, teknologi dan kemajuan, kita yang masih kolot ini tak sudah-sudah mempertikaikan masalah kecil dan remeh. Selepas menyantuni nilai baik dalam mesyuarat tersebut, saya sedar yang saya perlu lebih banyak usaha dan belajar. Bukan duduk setempat dan buat satu-dua kerja sahaja. Saya mesti keluar dari kotak sempit saya sendiri.

Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya berhenti merungut tentang kerja. Selagi saya aman dan gembira melakukan tugas yang diamanahkan, selagi itu tiada sebab untuk saya berdukacita tentangnya. Saya akan buat sehabis baik bahagian saya, selebihnya biarlah Allah yang menilai. Biarlah saya dibayar wang pada nilai yang boleh dihitung, semoga Allah memberikan bayaran pahala yang infiniti. Allah sedang mendidik saya supaya sabar dan ikhlas.
Sekurang-kurangnya saya telah melangsaikan hutang dan tanggungjawab yang diberikan.
Orang lain dengan cara mereka- Masuk pukul 9 pagi, letak beg dan terus turun ke mamak untuk bersarapan. Itu tanggungjawab mereka kepada diri sendiri. Semoga saya tidak berbuat demikian juga.

Setahun ini sangat banyak mengajar saya. Hanya saya tahu di mana saya bermula dan di mana saya sekarang. Permulaan yang sukar, tetapi laba yang diperoleh berlipat kali ganda. Alhamdulillah.

Pun begitu, saya sedar. Kadangkala saya jauh dengan Tuhan. Sibuk saya hingga terlupa destinasi akhir kehidupan. Sekali sekala bersendirian, saya terfikir betapa cantiknya aturan Tuhan yang mengajar kita erti dan nilai keseimbangan dan kesederhanaan.Terlalu mengejar dunia boleh membawa kepada gelinciran sedang mengejar akhirat dan mengabaikan dunia adalah satu pengkhianatan.
Allah, jadikan aku hambaMu yang kuat iman dalam memilih jalan yang terbentang luas di depan!

Khamis

Jumaat

Sabtu SSB

Jauh lagi perjalanan.Semoga kita semua beroleh hikmah dan pengajaran dari setiap langkah perjalanan. :)

Yang Menulis,
Dhiya

Automated Enforcement System Camera



Pasanglah banyak-banyak lagi. Supaya kami dapat belajar lebih sabar dan berhati-hati :p

P/s: Lepas ni mungkin pergi kerja naik tren je. Dating pun begitu. Ups!

Dhiya

Di Kampung


Di sinilah tempat yang menjadikan saya kuat untuk terus menghadapi cabaran hidup :)

Enjoy life to the fullest! 

Dapat salam emak, abah, akak dan bergaduh sambil berkejar dari depan rumah hingga ke dapur dengan anak-anak saudara. Ia memang sangat membahagiakan. Percayalah!

Tertanya-tanya juga apabila melihat emak membeli banyak set jug dan gelas kaca yang cantik-cantik tu. Takkanlah nak dibuat hadiah pula~
Tapi kata emak: 
" Senang kalau ada kenduri nanti. Kalau makan beradap, mana cukup satu dua set. Kena banyak! "
" Tapi ni semua kena sorok. Nanti orang datang, cepat je nak menyewa percuma... "

Kenduri? Makan beradap? Sorok untuk orang lain? Habis untuk siapa? Saya??? Muahaha
Tapi mak, Dhiya tak punya calon lagi. Uh!

Ok. Lupakan.

Petang tadi saya asyik menolong Nabiha dan Haziq membuat rumah mini hadiah dari Chicky Meal yang dibeli. Seronok juga, ya~ Zaman kanak-kanak memang tak dinafikan keindahannya. Setiap kali saya melihat anak-anak saudara saya, kenangan saya pasti kembali. Tak terucap, hanya kekal dalam memori. 
Insya Allah, ada masa nanti saya akan kongsikannya. Tapi percayalah. Saya pasti akan menangis. :(

Ok. Hentikan.

Hari dah malam. Masa untuk tidur. Oh, esok Ahad akan muncul. Tandanya saya perlu kembali ke KL. Aduh!
Bos, boleh tak saya nak bekerja tanpa perlu hadir di pejabat? (-.-)

Salam sayang, 
Dhiya :)

Tujuh Ratus Langkah



Bismillah. Mari mula melangkah...

Seratus Langkah Pertama

Tak betah rasanya berjalan menuju ke stesen LRT. Itulah, manja sangat. Hari-hati pulas kunci, tekan pedal clutch dan minyak, tarik hand brake. Macam mana nak kurus? Oh lupa. Semalam sempat jogging di Tasik Perdana. Mungkin sudah kurus~

Seratus Langkah Kedua

Seronok juga menyusur jalan selepas turun dari tren ni sambil mengejek-ejek (dalam hati) kereta yang sedang beratur panjang dalam kesesakan tu. Eleh. Tak sedar diri. Kau pun hampir setiap hari begitu, Dhiya!
Bunyi siren kuat. Oh ya. Di atas sana gah salah sebuah Mahkamah Sesyen yang paling masyhur di Malaysia. Masyhur dan sibuk dengan keluar masuk majestret dan penjenayah yang bakal didakwa. Dunia ini bulat. Keadilan berputar bersamanya. Yang salah perlu dihukum. Moga yang benar mendapat pembelaan.
Berselisih dengan seorang tukang sapu. Kedengaran lagu Tamil rancak dari dalam poket seluarnya. Ah, mungkin itu sahaja sumber hiburannya sedang saya begitu mewah dengan pelbagai lagi jenis hiburan.

Seratus Langkah Ketiga

Selamat sampai ke pejabat. PC di on. Waktu pejabat masih belum bermula. Ada masa untuk membaca akhbar dalam talian. Perlu. Sangat perlu. 
Kalau tidak martabat saya sama sepeti katak bawah tempurung. Tiada ilmu, sifar pengetahuan. Dipandang rendah, bodoh dan dangkal.
Mungkin tiada yang menarik sangat. Isi perut akhbar hari ini tiada kisah meletup. Tak apalah. Baca sahaja.
Tapi kes culik guna van putih rasanya sudah banyak kali terpampang. Kali ini terjadi lagi. Moga mereka akan ke Mahkamah Sesyen masyhur itu untuk diberi pengadilan.

Seratus Langkah Keempat

Awal-awal pagi. Saya dipanggil masuk ke bilik GM. 'Oh, apa lagi agaknya~?' Takutlah. Kadang-kadang ada terlawan, ada terkutuk...eh?
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
Alhamdullah. Tiada yang cedera. Semuanya baik saja. Kadang-kadang cantik juga GM senyum begitu. Hahaha!
Jadi saya pun keluar dengan senyuman. Apa yang terjadi, biarlah Allah yang tau :)
Yang penting, Alhamdulillah.
Selebihnya, bekerja seperti biasa. Tiada pula panggilan dari Imam Muda semalam. Aish~ Sudahlah Dhiya. Dia sudah menikah!

Seratus Langkah Kelima

Waktu pulang sudah tiba. Terima kasih Kak Imah kerana tumpangkan saya hingga ke tren Bangsar. Ok lah tu.Jimat juga seringgit dua :p Selebihnya memang kena melangkah. Biasalah...Kalau hidup semua nak disuap, lebih baik jangan keluar berjuang. Itu pengecut namanya. Oh ramai juga orang sepanjang jalan ini, dan saya belajar jadi gagah- Gagah menyelit-nyelit di celah lautan manusia itu untuk sampai ke destinasi. Mana ada jalan juang mudah~
Tiket bas saya sudah dibeli tiga hari lepas. 6.30 petang. Uh. Selamat. Masih ada masa untuk bernafas.

Seratus Langkah Keenam

Tipu. Saya tidak melangkah ke mana-mana. Sebaik mendapat tempat di dalam bas, saya terus bersiap sedia. Perjalanan tiga jam ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan tidur yang cukup. Kalau tak cukup tidur, parah! Saya banyak misi untuk dilakukan di rumah. Huu!
z
zz
zzz
zzzz
Entah apa yang dimimpikan
Hantaran dah cukup 7 dulang. Eh ups~
zzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzz

Seratus Langkah Ketujuh

Alhamdulillah. Selamat sampai ke kampung! Inilah kebahagiaan saya. Berapa jauh pun saya melangkah, di sinilah tempat saya bermula. Di sinilah saya mula menilai hidup dengan melihat jerih payah emak dan abah. Mereka bukan orang senang. Kalau saya ceritakan nanti (Insya Allah), saya pasti itulah tangisan kelukaan dan kesakitan sebenar saya. Saya membesar sebagai orang susah. Kerana itu sejauh mana pun saya melangkah, saya pasti kembali kepada mereka.

Tujuh Ratus Langkah ke hadapan,semoga Jumaat saya diberkati, dan dipayungi dengan Rahmat dan kasih sayang Illahi.

Saya pulang ke kampung ni pun memang ada niat dan hajat yang besar. Tak sangka pula Allah dah beri ganjaran terlebih awal. Benarlah...Niat yang ikhlas, ada labanya.
Salam Sayang, 
Dhiya

Busy Body



Sejak bekerja di sini, saya tidak pernah mengalami masalah besar di tempat kerja. Setakat kena maki dan kena buli tu, pernahlah. Itu pun bila difikir-fikirkan semula, bukan salah saya pun. Kawan-kawan semua memahami dan saling membantu. Setakat yang saya ingat, saya tiada masalah dengan rakan-rakan sekerja.

Tapi berang saya sampai ke tahap tertinggi semalam. Salah seorang colleague saya telah bertanya hal 1 Oktober kepada saya.
"Mana you tahu?" Saya menduganya
"I can't remember I know from who ~" Jawabnya Manglish
Ah, sampah!
"Siapalah yang suka bawak mulut dalam pejabat ni. I tak pernah kecoh pun pasal hal tu. Only certain people especially my superior know about that." Jawab saya berani sebelum terus melangkah pulang. Saya panas!

Sambil memandu pulang, saya tak berhenti berfikir, menduga dan berhujah dengan diri sendiri. 'Atau aku ke yang cerita sendiri pada dia?' Tak mungkin! Saya bukan jenis yang begitu. Saya ingat dan sangat pasti. Hal yang belum diyakini dan disahkan betul duduknya, saya tak akan bercerita dengan orang.
Geram saya dibuatnya. Sungguh tak profesional kalau benar dia tahu hal ini dari superior saya. Grr!

Nampaknya ulang tahun pertama saya di sini, saya dihadiahi ilmu untuk mengenal manusia busy body dan tidak hormat privasi orang lain. Tiada guna pada sampul surat tu tertulis Private and Confidential kalau semuanya masih menjadi tatapan dan buah mulut orang. Kan? 

Sungguh, saya sangat kecewa dengan mereka ini. Tidak professional, tidak menghormati kerahsiaan orang lain dan sangat menyibuk! Audit diri sendiri dulu. Jangan kalut-kalut nak audit orang lain :p

Hari ini, semua orang saya bambukan saja. Lantak. Jangan ingat saya muda, saya baru...Saya mudah dipijak-pijak. Saya orang ada pendirian. Bukan hanya seperti lembu dicucuk hidung. Soal ini bukan hal kecil. Hak P&C adalah hak mutlak individu dan orang lain tidak berhak untuk mencerobohnya. Tapi di sini dah beberapa kali terbukti. Kalau cerita begini pun orang boleh ceroboh, inikan pula PC dan fail-fail kerja saya. Bukan sekali PC saya ditukar kata laluan. Bukan sekali fail dan laci saya ada kesan geledah. :( Memang itu hak syarikat, tapi bukan maknanya sesiapa sahaja boleh berbuat apa saja. Tidak.


Saya mula ada rasa tidak puas hati. Saya sedar perasaan ini tidak bagus samada dari segi prestasi kerja mahupun pendirian peribadi saya. Tapi inilah cabaran dalam dunia kerjaya. Sikap- sikap buruk di tempat kerja ini malah boleh 'menutup periuk nasi' orang lain. Profesionalisme memang tidak diajar  ketika dalam pengajian di universiti dahulu. Tapi itu sebahagian daripada common sense seorang yang berkerjaya. Hal peribadi jangan digaul sekali dengan soal kerja. Sifirnya mudah.

Saya tidak faham mengapa mereka ini sibuk sangat hendak menggali kisah orang lain. Pelik.
Sang Busy Body, hentikanlah tabiat itu. Kita masih banyak tugas lain yang perlu diutamakan. Syarikat kita memerlukan kita untuk terus maju ke depan, bukan mundur dan jatuh tersungkur ketinggalan. 

Salam Sayang, 
Dhiya

Bengkak!


Bismillah

2 Oktober 2012

Bangun pagi, mata saya bengkak. Hebat juga penangan menangis malam tadi. Biarlah... Mungkin itu terapi terbaik untuk saya buat masa ini. Lagipun saya bukan tak biasa disakiti macamni. Dah selalu, dah puas!

Hari ini mood bekerja saya memang ke laut. Tapi tetap, kerja-kerja dalam check list saya semua dapat disiapkan mengikut urutan. Remuk redam macamana pun hati, hutang saya dengan manusia-manusia 'tak berdosa' ini tidak boleh dilengahkan. Saya tidak ada masalah dengan mereka. Jadi mereka tidak boleh jadi mangsa saya :)


Hujung minggu ini saya akan pulang ke kampung. Banyak benar perkara yang berlaku di KL ni hingga hampir-hampir saja saya sakit jiwa. Manusia-manusia di sekeliling saya memang pelbagai rupa dan warna. Saya perlukan keluarga sebagai penguat semangat. Dua minggu lepas saya hanya sempat pulang sehari semalam. Tapi bak kata nenek saya, better late than never~ Lantaklah sehari semalam pun, asalkan dapat melihat wajah emak dan abah cukuplah!
Tapi...Tapi tiket bas belum dibeli lagi. Hee~ Tengoklah...Esok saya akan keluar pagi-pagi memandu ke stesen bas dan terus ke tempat kerja. Begitulah selalunya. Nama kata nak balik ke kampung memandu, hanya untuk dua hari yang singkat tu..Memang taklah!

Mata masih bengkak. Sudah-sudahlah, Dhiya. Melayan perasaan tidak semestinya dengan cara begitu. Pulang ke desa mungkin antara pilihan terbaik selepas mengadu dan merintih nasib kepadaNya. Hati yang lembut, jangan dikasari. Hargai kehadirannya, raikan keistimewaannya. Semoga ada yang sedar akan kehadiran raja diri yang tunduk pada Illahi itu. :)

Salam sayang, 
Dhiya

Selamat Tinggal September


Hari ini, 30 September 2012.
Esok Oktober akan menjengah. 

Bercakap soal tarikh, masa dan detik, saya kecut perut. Betapa waktu sangat berputar laju. Banyak perkara yang saya kejarkan dalam hidup yang saya tidak tahu bila matinya ini. Antara keperluan rohani, tuntutan peribadi, dan harapan famili, hidup saya terserak dalam biasan warna pelangi dan memutar atas dan bawah tanpa henti.

Di sebalik entri-entri happy go lucky dan entri kesibukan kerja yang saya tulis, saya banyak mengalami konflik diri. Dilema dan jiwa sering berbelah bahagi. Kadangkala saya hanya menangis. Menjadi dewasa menuntut saya belajar membuat keputusan sendiri. Namun sejauh mana tepatnya keputusan yang dibuat, hanya kepada Allah saya serahkan segalanya. Alhamdulillah saya punya emak dan abah yang amat menyokong. Biarpun tanpa pendidikan tinggi, tapi emak dan abahlah yang banyak membuka lorong untuk saya maju ke hadapan.

1 Oktober 2012.
Nampaknya saya terpaksa melupakan tarikh ini buat selama-lamanya. Walaupun sudah berjanji, tapi saya tiada pilihan. Atas nasihat Olin dan Nurul dan setelah difikirkan baik-baik, saya tekad untuk melepaskan peluang ini dengan redha dan lapang hati. Ramai yang kata saya bodoh, dangkal dan rugi hingga sanggup melihat peluang berlalu pergi. Biar.
Saya mungkin tersilap langkah atau terlalu gopoh. Ya. Benar. Cita-cita ini saya gagal seimbangkannya dengan kemampuan diri.Namum saya yakin Allah Maha Memberi. Selagi kita berkehendak dan berusaha, pasti Allah akan memberi.Insya Allah.

31 Disember 2012
Masih berbaki 92 hari. Ada sempadan dan beza sebelum dan selepas tarikh ini. Semuanya atas keputusan dan pilihan saya sendiri dengan nama Allah. Saya sudah tidak sanggup menanggung himpitan jiwa dan rasa bersalah terhadapNya. Saya kasihan kepada diri sendiri dan orang-orang di sekeliling saya. 92 hari mungkin satu tempoh yang lama. Mengapa tidak digesakan? Tidak. Saya tidak mampu. Izinkan saya merubahnya dengan kudrat dan upaya saya sendiri biarpun bertatih dan perlahan. Mujahadah itu hanya datang dari orang yang betul-betul menginginkannya. Biarlah saya merangkak pada awalnya. Moga sampai ke puncak dengan rasa menang.
Ya Allah, bantulah insan kerdil ini. Amin.

Untuk yang jauh, kerinduan ini walaupun sudah lama tak terucap, itu bukan maknanya saya kaku dan kelu. Terlalu banyak taklifan yang tertanggung. Antara hutang saya dengan Tuhan, dan hutang saya sesama manusia. Terasa sayalah manusia paling lemah, kerana gagal menginmbangi kedua-duanya dengan baik.

Ya, saya manusia lemah yang selalu mendambakan kekuatan. Moga esok, setiap langkah saya adalah langkah seorang pejuang dan beroleh pahala setimpal dengan daya.

Hadirlah Oktober. Semoga esok lebih baik dari semalam. :)

Salam Sayang, 
Dhiya

D' Santai Station


Ini  kes semalam. 

Tujuan utama kami adalah untuk menjejak Sup Tulang Janda Baik di Sungai Besi. Tapi...Tapi setelah dua hingga tiga kali berpusing-pusing di tempat yang sama dan tulang apa pun masih tak jumpa, saya jatuh kecewa.

Akhirnya, saya hanya 'tersantai' di D' Santai Station. Sebenarnya tempat ini adalah tempat kegemaran saya sewaktu berkursus selama enam bulan di Bukit Jalil setahun yang lalu. Berdiam di Kolej TPM yang jauh dari dunia luar itu membuatkan saya belajar untuk survive. Nak harapkan kantin kolej, memang kebulurlah jawabnya. Mujur saya ditemani Baby-K waktu itu. Gagah jugalah keluar memandu dari pagar TPM mencari sesuap nasi- Dan di sinilah tempatnya :)

Dua meja kosong tu bukan maknanya gerai ni sunyi. Ramai orang sebenarnya. Cuma meja tu membelakangi tv yang sedang menayang perlawanan bola sepak. Jadi kalian boleh agak orang ramai duduk di mana. Dhiya je yang duduk jauh dari tv sebab bukan kaki bola~
Ini alamatnya. Siapa- siapa yang dapat bayangkan di mana Stesen LRT Bukit Jalil dan Stesen Bas Bukit Jalil sementara (yang sekarang dah jadi Bukit Jalil Night Walk), boleh pandu terus hingga satu lampu isyarat. Belok ke kanan dan D' Santai Station berada di sebelah kanan. Boleh U-turn di depan, selepas lampu isyarat. Jelas? (Selebihnya, selamat berjaya~) Dhiya memang lemah sikit dalam memberi arahan. Huu!
Tempat- 7/10 Open air,  tapi banyak tempat. Jadi boleh lari-lari dari perokok tegar :)
Layanan- 8/10 Cepat, mesra dan ok!
Menu- 9/10 Banyak pilihan. Sup, tomyam, ikan bakar, kerang bakar, burger, Western, jus, hampir semualah~!
Harga- 7/10 Kenapa macam dah mahal sikit ye? Hehe. Nasi putih, Sup tulang: RM9.xx, keropok lekor cheese: RM4.90, Bakso: RM5.00, air durian belanda: RM4.xx, lai chee kang: RM3.00. Er...Total semua +- RM27.00. Uwaaa! Tapi rasanya memang berbaloi. Tengok la apa yang saya makan. Burp~


Rasanya tak rugi mencuba. Dan taklah kecewa sangat sebab tak jumpa Sup Tulang Janda Baik. Tapi, saya dan dapat alamatnya. Tunggu saya pergi sana, dan saya akan tulis tentangnya pula! Wohho!

Salam sayang,
Dhiya

Restoran Intai Intai


Ini adalah entri backdated :p

Dah lama kami teringin nak ke sini. Bukan sekali dua melalui MRR2  (dari arah KL-Ampang tu) dan melihat papan tanda restoran yang dipacak selepas sebuah kedai kereta. Tapi tiap kali kami cuba nak mencari, mesti gagal. Apatah lagi untuk naik ke atas nun~ Bila ternampak anjing yang semacam di depan kedai kereta tu, kami selalu akan berpatah balik :( (Jangan gelak ok)

Suatu hari tu, kami tekad. Walau Google Map tidak membantu, bloggers punya instruction pun kami tak faham-faham- Tapi kami redah juga. Showroom Ford di sebelah kiri (selepas Zoo) kami daki juga. Anjing yang menjaga kawasan tu hanya memandang sahaja. Kalau dia kejar, kami akan patah balik dan lari.

Terus ke belakang, kami terdiam. Restoran Intai-Intai sekarang di depan mata. Kenapa susah sangat nak cari kau, ha??? Memang padanlah dengan nama! Grr!

Horay, dah sampai. Pintu kereta kami buka. Makan Makan Makan. Itu matlamat kami. Banyak juga komen dari bloggers yang pernah ke sini. Ada yang kata OK, ada juga yang sebaliknya. Tapi kami tak kisah. Kami perlu laluinya sendiri.

The scene. Tak jelas sangat sebab guna BB sahaja. Tapi suasananya romantik dan sangat tenang. (Buat apa romantik-romantik, Dhiya)
Menu- Betullah komen rakan-rakan blogger. Semuanya hanya average. Tiada apa yang istimewa sebagai identiti ekslusif mereka. Tapi servis mereka cepat. Pelayan pun baik je :) Pinggan kecil: RM 8.++. Pinggan besar: RM 13.++
Dik, kak tak mintak pun kau buat bentuk ni. Tau la hujan renyai-renyai, bunyi unggas romantik segala. Tapi balik-balik akhirnya masuk perut juga. (^^) Harga: ~RM 5. ++
Senarai menu. Ada banyak lagi sebenarnya. Tapi saya tertarik dengan nama-nama jus ni.Harga: Mula dari ~RM 3.++. Maaflah. Entri back dated ni..Banyak benda yang dah lupa.
Restoran Intai-Intai.


Tempat- 8/10 Ekslusif dan tenang. Pemandangan cantik.
Layanan- 7/10 Cepat  (mungkin sebab tak ramai orang)
Menu- 6/10 Kami cuma makan ala carte. Rasa biasa sahaja. Tidak ada keistimewaan sangat. Tapi lain kali kami cuba pula menu lain dan akan update di sini.
Harga- 6/10 Average sahaja. Harga standard dengan kedai-kedai makan yang pernah kami lawat sebelum ni. Mahal sedikit pun mungkin disebabkan kos lokasi restoran mereka.

 All in all, lepaslah hajat kami nak makan di Restoran Intai-Intai. :)

Salam Sayang,
Dhiya

SSB

Bismillah...

SSB:
Sabtu Saya Bekerja
Sehari Selepas Bajet

Hari ini adalah SSB saya. Saya gembira kerana Sabtu kali ini sungguh tenang. Saya sempat memasak untuk sarapan pagi dan makan di rumah. Turun ke tempat letak kereta, saya sempat singgah ke kedai runcit berdekatan- Membeli akhbar tempatan. Tengok-tengok apa yang istimewa tentang Bajet 2013 yang dibentangkan semalam (walaupun saya sudah tahu isi perut kisahnya).

Lantaklah Pak Menteri. Biarlah kalian terjun dengan labu-labunya. Saya tahu di mana saya. 1.5 bulan bonus memang bukan untuk saya. Apatah lagi BR1M orang bujang (walaupun saya bujang). Rebat RM 200 pembelian telefon pintar tidak langsung menarik perhatian. Saya selesa menggunakan Nokia basic. Tidak perlu ralat untuk menyemak email yang masuk, tidak perlu susah hati jika tidak login Facebook. Hujung minggu saya jauh dari hal kerja. :)

https://fbcdn-sphotos-a-a.akamaihd.net/hphotos-ak-snc6/282277_10152148826130252_847234772_n.jpg
Diskaun 50% untuk satu Dinner Plate Ala Carte
Kebetulan, hari ini pun tiada kerja sangat untuk saya kejarkan. Cuma adalah beberapa kerat yang 'tersalah landing' tugas kepada saya. Hey~ mestilah saya pulang balik. Saya tak mahu apa yang bukan tanggungjawab berada di bawah kapisiti saya. Esok lusa kalau terjadi apa-apa, bukan ke kes naya?

Banyak rencana saya untuk Sabtu kali ini. Tapi tak tahulah samada saya boleh lakukannya semua atau tidak. Bila sudah berkerjaya, beginilah. Banyak yang ingin dibuat, tapi tak semua terbuat. Kadangkala semuanya berakhir dengan 'tersadai' di atas tilam empuk- Melayan dendam tidur untuk seminggu. Ruginya!
Tapi yang pasti, sebaik tamat waktu kerja nanti, saya mahu ke Watson. Banyak barang keperluan peribadi yang sudah habis sejak Syawal yang lalu. :p
Tak lupa, saya berhajat benar untuk membawa Baby-K untuk mandi. Sejak Sayawal (juga), kereta kecil saya itu tidak berbasuh setelah sakan meredah lopak dan lecah desa mencari duit raya. Kesian!
Tak apalah, Baby, hari ini Dhiya bawa kamu ke tempat mandi biasa, ya :)

Berbaki 2 jam lagi sebelum pulang. Allah, lekaslah waktu berputar. Inilah kali pertama saya rasa agak free hingga boleh menulis dan boleh menunggu! Kalau tidak, jam sudah 1 petang pun tak sedar. Sibuk punya pasal :p Alhamdulillah, hadiah rehat untuk hari ini. Mari menghadiahi diri sendiri dengan rasa tenang dan syukur!

Terima kasih, Allah!

Salam Sayang, 
Dhiya

Kerja dan Racun Semut


Bismillah

Isnin yang indah. Semuanya bermula dengan baik. Semua kerja dapat dilakukan mengikut perancangan. Kalau dah namanya Isnin, begitulah...Mood harus dipelihara sedari mula menjejakkan kaki keluar dari rumah. Kalau bergaduh dalam kesesakan jalanraya pun, raikan saja dengan senyuman. Sekali kalau dah semangat hilang, seluruh hari Isnin kita akan ke laut!

Pernah sekali saya terkena: Bos yang satu itu mengamuk-ngamuk macam ayam hilang kepala. Habis semua orang digali salahnya. Satu-satu silap yang entah zaman bila dibentang kembali. Tak terkecuali saya pun terkena tempiasnya. Alhasil, saya hanya 'duduk saja' tanpa satu kerja pun siap sempurna gara-gara diamuk orang atas!
Bos-bos sekalian, awas dengan emosi anak buah kalian di pejabat,ya :) Mereka juga manusia yang punya hati dan perasaan untuk dihormati.

Lebih kurang jam 10.30 pagi tadi, datang seorang pemuda memperkenalkan diri sebagai wakil pest control yang menjalankan kerja-kerja semburan racun serangga di ruang pejabat. Kami hanya membiarkan dia masuk dan menyembur cecair racun itu di tepi-tepi rak dalam pejabat. 
" Lantaklah. Yang nak disemburnya semut, bukan aku" Detik saya dalam hati.

Tidak sampai 5 minit, saya mula tersentak. Bau ini! Saya seperti cacing kepanasan apabila mula mengenali bau racun yang disembur itu adalah bau yang paling tak boleh saya hidu. Saya terus berlari keluar. Kepala sudah pening dan tekak sudah mula loya. Omaaak!

Dua tiga kali saya keluar menghirup udara segar di luar. Tak betah sungguh berada di dalam sana. Sah...Kepala saya mula pening tak kebah-kebah! Jam 1 petang, saya turun ke surau. Tidur qailulah sebentar sambil melayan sakit kepala angkara racun semut.

Petangnya, sakit kepala masih terasa. Satu kerja pun tak menjadi gayanya. Walaupun bau racun tu dah meresap dan hilang dari ruang pejabat, tapi tidak pada kesannya ke atas saya. Wei, Dhiya ni manusia, bukan semut! Korang sembur semut ke sembur Dhiya~?

Jam 5.30 petang, saya cabut pulang. Sandal Asadi yang dipakai dalam pejabat lupa nak ditukar dengan Sembonia tumit tinggi yang menggoda tu. Lantak! Yang penting, saya berjaya keluar dari pejabat bau racun semut tepat pada waktunya. Siapa kesah saya nak pakai sandal ke...barefoot ke~ Saya memandu, bukan menapak. Manusia-manusia di Lebuhraya Persekutuan tu tiada masa untuk tanya samada saya berkasut atau tidak. Huuu!

Alhamdulillah. Nikmatnya berada di rumah. Usai solat Maghrib, saya berbuka puasa. Selepas solat Isyak ni, saya nak berhibernasi! Racun semut telah merosakkan reputasi kerja saya hari ini. Tahniah!

Salam,
Dhiya

Dua Hari @ One Utama


Bismillah.

EINIX 2012 Hari pertama-15 September 2012

Sampai seawal jam 7.30 pagi di depan pintu masuk One World Hotel. Orang pun tak bangun tidur lagi, Dhiya!
Ini semua gara-gara SMS tergempar mengatakan lori yang membawa barang untuk setup tapak pameran yang sepatutnya dilakukan malam sebelumnya dikatan hilang.
Sampai sahaja, saya lihat tapak masih kosong sedangkan peserta sudah ramai yang datang! Saya pula yang susah hati. Setup perlu siap sebelum mall dibuka. Itulah polisi yang dikenakan. Iyalah, kalau tidak, malulah mereka. Orang sudah sibuk datang untuk membeli belah, tapi ruang masih bersepah dan segala kerja-kerja belakang tabir masih berjalan.

Saya membantu di bahagian pendaftaran. Tak kuasa saya hendak mengangkat karpet, meja dan kerusi yang baru datang. Hew~!
Alhamdulillah dan dipendekkan cerita, plan B berjaya dan semuanya ok sebaik sahaja mall dibuka. Rancangan yang hampir punah tapi akhirnya kembali seperti yang dirangka. Dalam hati saya berbisik, susah juga mahu buat program besar-besar ni. Kalau tak ada pengorbanan, memang ke laut semuanya.
Saya kagum dengan mereka yang bekerja keras untuk ini. Saya juga gembira kerana saya adalah sebahagian kecil dari mereka. Saya bangga kerana saya belajar banyak perkara.

Hari pertama memang meletihkan. Saya hanya pulang ke rumah jam 7 malam. Mamandu pun dalam keadaan yang sangat penat dan mata yang berat.
Tiada gambar hari pertama kerana Nikon saya tertinggal di rumah, kerana kelam kabut dek SMS lori hilang :p

EINIX 2012 Hari Kedua- 16 September 2012

Selamat hari Malaysia!
Saya bekerja di hari cuti umum :)
Tak kisahlah...Asalkan janji bos untuk bayar triple bukan hanya pada anggukan kepala. Huu!
Ini Yati. Maaflah. Saya tak mahu letak gambar saya, jadi saya gantikan dengan gambar dia. Kami sempat melarikan diri ke MPH yang hanya di belakang tapak pameran. Bagus juga dapat membaca dan menghilangkan tekanan.
Lepas tu berangan sampai ke tengah laut. Cantik juga bunga tangan pengantin tu. Hurm~
Minat baru saya sekarang. Tapi rasanya tak mampu lagi nak beli buku ni. Mahal. Siapa- siapa yang nak sponsor, silakan!
Mereka-mereka yang gigih bekerja (?)
Makan tengahari saya bersama Yati.
Orang kuat majlis
Peserta dari UCSI, memberikan penerangan kepada salah seorang juri
Vermi Battery dari UTP. Saya secara peribadi sangat mengkagumi hasil mereka!
Dan mereka telah dinobatkan sebagai johan. Dengan menggunakan bahan buangan yang di-dicompose, mereka berjaya menghasilkan bateri yang boleh menghidupkan jam dan menggerakkan kereta mainan.
Mereka memang berhak bergelar juara :) Tahniah!

Sekali lagi saya pulang ke rumah pada jam 7 malam. :( Bayaran tempat letak kereta sahaja mencecah 10 ringgit. Uwa!

Malamnya saya kepenatan dan hanya tidur dan tidur tanpa mengendahkan orang lain. Apa saya kisah~?

Salam sayang,
Dhiya

22 September 2012


Bismillah.

Saya bersiaran dari kampung halaman! :)

Walaupun hanya pulang ke kampung pagi tadi (Sabtu) dan akan kembali ke KL esok (Ahad) petang, tetapi saya tetap bersyukur. Emak dan abah serta seluruh isi rumah itu sangat dirindui.Selalunya saya tidak ada masalah untuk pulang pada hari Jumaat petang, tetapi memandangkan Jumaat lepas saya perlu berada di dalam mesyuarat hingga ke malam, maka saya pasrah untuk pulang pagi Sabtu walaupun saya tahu waktu yang ada ketika saya di kampung sangat singkat (TT)

Sabtu saya habiskan masa bersama keluarga. Lama benar rasanya tak menjejakkan kaki ke pasar malam yang biasa saya pergi tu. Alhamdulillah lepas juga hajat walaupun hanya sekejap. :)
Tapi yang 'tak best' nya ke sini, kita banyak bertembung dengan orang yang kita kenal dan banyak berhenti bersembang daripada berjalan sambil membeli barang. ~ Bukan nak menyombong, cuma kalau boleh seronok juga fokus pada satu perkara sahaja.

Tadi ada satu insiden yang berlaku di depan mata saya: Ketika saya dan akak berada di sebuah gerai makanan, (gerai ini agak familiar di situ. Mereka anak beranak akan mengenakan pakaian seragam dan menjual makanan-makanan tempatan seperti lepat pisang, donat, dan banyak lagi) datang seorang makcik dan bertanya:
"Bila awak buat lepat ni?"
Si anak peniaga menjawab jujur sambil tersenyum: "Kami buat tengahari tadi"
Tanpa disangka-sangka, makcik tadi membaling bungkusan lepat ke atas meja jualan (yang saya rasa dibeli sebelumnya dari gerai itu)
"Lepat basi! Apa la jual lepat basi!" dan makcik tu terus berlalu.
Saya yang melihat kejadian itu pula yang rasa marah.
Bungkusan yang dikatakan lepat basi itu diserahkan kepada si ayah. Saya melihat si peniaga itu merasa lepat yang dipulangkan kembali itu.
Saya cuma melihat dari jauh sambil akak memilih makanan untuk anak-anaknya.
" Ini bukan basi...Ini kan gula. Memanglah nampak likat sikit..." tiba-tiba terdengar peniaga itu bersuara. Haih... Macam-macamlah manusia. Kalau makcik tu ada lagi di situ, mesti dia malu, dan teringin juga saya untuk 'sekolahkan' dia- Supaya menjadi manusia yang lebih bersopan supaya tuanya tidak sia-sia~

Ahad yang indah. Sebentar lagi saya akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Memang tak seronok! Kalau boleh saya tak mahu pun keluar dari rumah emak dan abah ini memandangkan saya sudah belajar jauh dari keluarga sejak berusia 13 tahun lagi. Tapi apa boleh buat, rezeki saya (buat masa ini) masih di sana. Insya Allah akan ada sesuatu yang lebih baik menanti kelak :)

Saya telah mencongak kerja-kerja saya minggu hadapan. Rasanya macam tak berapa sibuk sangat, kecuali ada yang menyibuk. Semuanya adalah kerja-kerja saya sendiri- menyiapkan minit mesyuarat, mengemaskini fail dan mengemas tempat saya yang macam tongkang pecah tu. Semoga seminggu akan datang baik-baik sahaja untuk saya. 

Oh ya, Selamat Ulangtahun Kelahiran yang ke 2* untuk sahabat baik saya, Dr. Nabila Md. Yusof. Maaf sebab tak ada hadiah untuk kamu, dan memang tak nak kasi hadiah pun! Huhuhu

Salam sayang,
Dhiya

Entri Pantas


Bismillah

Saya baru pulang dari EINIX2012 di Pusat Membeli Belah One Utama.
Ini bukan datang melawat. Tapi saya di sana atas tuntutan tugas.
Ia bukan sehari sekejap. Tapi memakan masa dua hari!

Di saat semua orang gembira dengan cuti Hari Malaysia yang akan berterusan hingga Isnin, saya terpaksa melupakan hasrat untuk berehat apatah lagi untuk pulang ke kampung! (TT)

Benar.

Inilah antara pengorbanan yang dilakukan atas nama tugas.

Memandu pulang pun hampir-hampir saja terlelap dan melelong-lelong. Allah.

Sungguh saya terlalu ghairah dengan dunia! :(

Banyak lagi yang ingin saya ceritakan, tapi bukan malam ini dek kerana keletihan yang amat. Saya perlu menghargai diri sendiri dengan sedikit rehat dan privasi.

Nanti, ya!

Dhiya

Untuk Peminat Setem: Jom!

Setem Jubli Intan Ratu Elizabeth II

11/09/2012 5:21pm

KUALA LUMPUR - Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan siri setem dan filateli khas sempena Jubli Intan Ratu Elizabeth II dan lawatan Diraja Duke dan Duchess of Cambridge ke Malaysia yang akan mula dijual kepada umum Khamis ini di semua cawangan pejabat pos seluruh Malaysia.

Ketua Bahagian Setem dan Filateli Pos Malaysia, Yasmin Ramli berkata, siri setem khas itu dikeluarkan dalam dua reka bentuk, mempamerkan gambar Ratu Elizabeth II dan gambar Putera William dan Kate Middleton dijual pada denominasi RM1.50 setiap satu.

"Setem kenangan ini begitu istimewa kerana menampilkan cetakan setem di dalam setem (gambar Ratu Elizabeth II) iaitu kami mencetak semula setem ketika awal pertabalannya yang dikeluarkan Pos Malaysia pada 1953 di atas setem yang baharu," katanya kepada pemberita di sini.

Tahun ini merupakan Jubli Intan Pemerintahan Ratu Elizabeth II yang merupakan ratu paling lama memerintah dalam Monarki British iaitu selama 60 tahun.

Yasmin berkata, Pos Malaysia juga akan mengeluarkan siri Setemku dengan reka bentuk animasi Upin dan Ipin pada minggu hadapan.

"Siri ini mempunyai lima tema yang dikeluarkan secara berperingkat-peringkat di mana pelanggan berpeluang mencetak gambar sendiri di atas setem yang berlatarbelakangkan Upin dan Ipin," katanya. - BERNAMA

p/s: Sukaaa!

September


Bismillah

11 September 2012

Agak lama DDD terbiar sepi. Sejak pulang dari cuti raya tempoh hari, saya masih belum berpeluang menulis sangat. Hampir keseluruhan masa saya digunakan untuk bekerja. :(

Malam ini saya hanya berada di rumah. Sungguh, inilah satu nikmat yang paling berharga buat saya. Saya tidak sedih dan kecewa kalau tidak ke mana-mana selepas waktu bekerja. Apa yang saya mahu hanyalah berehat di rumah!Saya gembira mendobi, memasak dan mengemas walaupun hanya untuk diri saya sendiri.

Hari ini ada satu seminar yang perlu dikendalikan. Jadi pagi-pagi lagi saya sudah berada di pejabat. Berkejar ke sana ke mari bukan satu perkara yang mudah bagi saya yang selesa berbaju kurung ketika waktu bekerja. Penat tu memang sudah tentu. Belum lagi dikira kerenah manusia manusia di tempat seminar dan di pejabat yang 'bukan-bukan' ragamnya.
Kalau diikutkan emosi sahaja, sudah tentu kepala-kepala mereka hilang masuk ke dalam cengkerang seperti kura-kura. Jangan tak tahu, saya juga ada sisi tegas dan garang dalam membela hak peribadi.

Tepat jam 5.30 petang, seperti biasa- Masa pulang saya tak boleh ditangguh-tangguh. Kalau orang nak berkira sangat, nah... Saya pun boleh buat~ Lalalala
Kalau ada yang berani menahan saya pulang awal, tak mengapa. Saya sudah ada skrip untuk mereka.

-Mari lupakan hal kerja-

Oh ya...

Tempoh hari Nabila merajuk dengan saya dek namanya tidak di'tag' dalam status FB saya.
Untuk Nabila dan rakan-rakan yang lain (tak tersebut semuanya), kamu juga amat dirindui. Lidah tak menyebut, tapi hati selalu terdetik.

Benarlah, kawan bak awan...Redup memberi teduh, hujan memberi tenang.

Berapa jauh pun kita terpisah, tapi kita tetap berada pada garis masa yang sama. :)

Salam Rindu, 
Dhiya

Cheese Tart


Penangan puasa, semua yang dilihat sedap dan menyelerakan.

Tiba-tiba saya teringat akan cheese tart yang ditempah akak untuk Aidilfitri yang lalu. Haih!

Tidak berlengah, saya terus mencari-cari resepi di internet. Dan.....Dan ini adalah yang paling membantu- mudah difahami malah lengkap dengan penerangan dan gambar yang jelas dan menarik. Memberi inspirasi gitu~

Terima kasih, Kak Azlita Aziz
 

BLUBERRY CHEESE TART dan step by step

Assalamualaikum....

Bertemu sekali lagi kita di hujung minggu...  Sekali lagi kita bertemu dalam ruangan step by step. Kali ni ita nak tunjukkan cara2 tuk buat cheese tart. Atas permintaan adik2 kita kat luar sana akak ambil kesempatan tuk tunjukkan step by step membuat cheese tart. Sebenarnya bukan mudah nak buat step by step ni sebab ita sesorang kan mana nak buat adunan dan mana pula tangan yg nak pegang camera.. hihi tapi kerana adik akak kat luar sana minta tunjukkan cara2nya  akak buatkan juga lah cara2 macam mana akak buat cheese tart ni.. semoga apa yg akak tunjukkan ini sedikit sebanyak dapat membantu adik2 kita yg gemarkan cheese tart ni... sama macam akak juga.. >^<


Kali ni ita gunakan resepi dari Azita. Nama hampir sama tapi orang tak sama... hehe.. :) Resepi dari Azita ni sangat sedap dan cukup simple cara buatnya.. ok tampa buang masa kita kedapur dan lihat bahan2 yg diperlukan.


Sebelum kita buat Cheese tart kita sediakan dulu bahan2 tu buat Shell atau crust dia dulu

170gm marjerin atau butter
50gm gula aising
1 biji telur Gred C
290gm tepung gandum
1 sudu kecil esen vanilla
acuan tart


Pukul marjerin dan gula dengan menggunakan senduk kayu atau spatula. Jangan putar lama sangat.
Masukkan telur dan esen vanilla. Putar lagi dengan senduk kayu.
Masukkan tepung sedikit demi sedikit.
Uli hingga menjadi doh yang lembut. Kuantiti tepung bergantung kepada kelembutan doh.
Untuk mendapatkan doh yang baik masukkan doh dalam plastik bag dan simpan dalam peti ais semalaman.


Ambil sedikit adunan dan tekan ke dalam acuan tat. Cucuk dengan garfu sebelum dibakar.Bakar pada suhu 170C selama 20 - 25 minit atau sehingga masak.
Crust atau shell ni kita boleh sediakan awal. Simpan dalam bekas kedap udara dan ia tahan lama. Tunggu Crust atau shell benar2 sejuk sebelum kita letakkan filling dan cheese.

 Nota : Jika guna telur Gred B, buang sedikit putih telurnya untuk mengelakkan crust menjadi keras sangat.


Sediakan filling yg kita suka. Biasa kita boleh gunakan blueberry, strawberry, coklat, kiwi, oren atau jam nenas tuk buat filling cheese tart ni. Bahan2an untuk filing ni boleh kita dapatkan dari kedai2 menjual bahan2an tuk buat kuih dan kek. Kalau rajin boleh juga di buat sendiri.
Masukkan filling tu dalam piping bag utk memudahkan proses kita meletakkan ia dalam shell tadi.


Lebih banyak filling kita letak bertambah sedap lah Cheese tat kita. Bila dah siap, ketepikan dan kita sediakan  pula bahan2 tuk membuat cheese dia pula.


250gm cream cheese
50gm gula kastor / gula halus
1 biji telur Saiz B
½ sudu teh esen vanilla / esen lemon

Keluarkan cream cheese 20 ~ 30 minit sebelum digunakan. JANGAN biarkan cream cheese mencapai ke suhu bilik.
Putar cream cheese dan gula hingga berkrim.
Masukkan telur dan esen vanilla. Putar lagi.


Masukkan filling ke dalam kulit tat. Untuk memudahkan kita gunakan kaedah yg sama untuk letakkan filing tadi. Dimana kita masukkan dalam piping bag dan picitkan di atas filing dalam shell tadi. Letak penuh supaya ia cantik membuncit.

Kemudian boleh lah kita mulakan proses tuk melorek atas cheese tat tadi.


Ambil sedikit cream cheese tadi dan titikkan sedikit pewarna yg kita suka. Kacau rata sehingga warna bergaul sempurna. Proses untuk melorek dilakukan ketika cheese tadi masih lembut. jangan biarkan cheese terlalu lama nanti dia dah mula mengering dan proses melorek tidah secantik yg kita inginkan.


  1. Dengan menggunakan pencungkil gigi, buat garis kecil2 di bahagian tepi.
  2. Bilangan garis2 kecil tersebut mengikut citarasa sendiri lebih banyak lebih cantik!
  3. Kemudian dengan menggunakan bahagian yang tajam, tarik daripada atas ke bawah  dalam bentuk bulatan untuk mendapatkan bentuk tersebut.

Bakar selama 5 minit pada suhu 170C. Sentuh cream dengan hujung jari. Jika tidak melekat, maknanya telah masak. Jika tidak, bakar dalam seminit lagi.
tambahan : ita bakar api atas bawah tapi ita letak dekat rak bawah.

Untuk resepi ni, 1 adunan shell ita dapat buat dalam  40 biji shell itu pon bergantung kepada besar acuan dan ketebalan shell.
Bagi adunan cheese pula dapat dalam 70 - 80 shell.
Untuk stabilkan adunan buat 2 adunan crust atau shell dan 1 adunan cheese

Cheese tart yang telah siap di simpan dalam bekas kedap udara dan letakkan dalam peti ais untuk ketahanan yg lebih lama... Selamat Mencuba! dan selamat berpuasa! :)

Lagi resepi menarik dari blog Masam Manis

P/s: Dan dan bersemangat nak beli oven sagala. Macam best je kan~?

Salam sayang,
Dhiya