Sungai Ayer Tawar, Selangor


Bismillah

Hujung Disember lepas, kami bawa emak dan abah ke Sungai Ayer Tawar, di Sabak Bernam Selangor. Pakcik saya (abang sulung kepada emak saya) tinggal di sini. Emak saya, zaman kanak-kanak dan remajanya juga memang di sini. Cuma saya yang jarang balik ke Selangor sebab saya banyak membesar di kampung abah, di Perak.
Tapi sejak berkahwin, panjang pula langkah kami siap boleh bawa emak dan abah ke sini :)

Kami sempat singgah di rumah seorang lagi bapa saudara saya dan kami dijamu masakan berasaskan landak. (Lokasi terpaksa dirahsiakan sebab takut kena ambush dengan Perhilitan~). Ini adalah pengalaman pertama saya makan daging eksotik ni. Rasanya macam daging lembu je, tapi lebih lembut.
Landak masak 3 rasa (kut)
Kami sampai di Sungai Ayer Tawar sedang elok waktu makan tengahari. Maklong saya jamu dengan ketam masak lemak cili api. Rumah Maklong dan Paklong saya ni rumah kampung saja, Tapi suasanya sangat segar sebab berada di kawasan kampung. Rumah emak dan abah saya pun kampung juga, tapi entah kenapa rumah mereka ni lebih seronok!
Seronoknyaa lahai. Pokok pandan tepi dapur je. Kami di KL ni jenuh nak tanam pandan dalam rumah. Sobs!
Bekas dengan jaring hijau tu adalah tempat menjemur ikan masin. Oh ya, Maklong saya ni memang pengusaha ikan masin secara kecil-kecilan. Ikannya bersih (tengok sajalah cara dia menjemur), dan tak masin sangat. 
Maklong dan Paklong saya ni keluarga nelayan sebenarnya. Tapi Paklong saya sudah tidak lagi turun ke laut. Hanya anak mereka, (sepupu saya) yang masih turun ke laut. Hasilnya pun Alhamdulillah agak lumayan. Kalau dapat ikan besar-besar macam siakap, selalunya sudah ada pembeli yang menunggu. Selalunya pembeli Cina.

Selain itu juga, sepupu saya ni mengusahakan ternakan madu kelulut pada skala yang agak besar di belakang rumah Maklong dan Paklong saya. Sesiapa yang berminat, bolehlah hubungi saya. 
Ladang kelulut
Paling mengujakan, Maklong saya tunjukkan sebekas udang galah yang besar-besar dan segar kepada kami. Katanya memang untuk kami. Suami saya apa lagi~ Bersemangatlah dia nak memasak. Macam yang saya kongsikan dulu, menu udang galah masak telur masin tu adalah hasil air tangan dia. Selain itu kami masak udang masak lemak cili api juga sebab udangnya banyak sangat!
Udang!
Udang telur masin! Ya Allah sedap juga rupanya!
Di sebelah petangnya, kami naik motor menuju ke kawasan pinggir laut untuk melihat suasana petang. Kami dapat tengok bot-bot nelayan yang mula turun ke laut untuk menangkap hasil. Seronok sangat dapat hidup dalam suasana macam ni. Hidup mungkin tak kaya, tapi tenang.
Sebelah kiri laut, sebelah kanan kawasan padi
Hari berikutnya, kami ke Bagan Nakhoda Omar iaitu kawasan pantai yang sangat popular di sini. Masa kami sampai, air sedang surut. Jadi kami dapat turun ke bawah sambil mengutip kulit kerang. Kami juga sempat 'bergaduh' dengan seekor ketam yang ada di kawasan air cetek pantai tu. Semuanya suami saya punya pasallah~
Kalau petang-petang, Pantai Bagan Nakhoda Omar ni ada gerai-gerai makanan macam mee udang, ABC dan banyak lagi. Makanannya pun sedap-sedap juga :)
Ketam yang digaduhkan
Satu pengajaran yang saya dapat sewaktu berada di rumah Maklong dan Paklong saya;

Jadi orang kampung tak salah. Mungkin hidup kita tak mewah, tapi Allah imbangkan dengan rezeki yang cukup, hati yang bersih dan tenang dan tidak banyak celaru dengan masalah. 
Jadi tak guna juga kalau kita punya pangkat, harta dan semuanya- Kalau hati kita busuk dan selalu tidak senang melihat akan kehidupan orang lain.

Sewaktu kami nak balik pun, sepupu saya sempat lagi menghulurkan buah tangan iaitu nanas hibrid yang sangat manis, di saat kereta kami sudah penuh diisi dengan macam-macam buah tangan. Maklong saya tu, agaknya kalau kami bawa 4x4- Sudah lama dia suruh kami bawa balik tebu, ubi kayu dan buah kelapa~
Insya Allah kami akan ke sini sekali lagi sebelum bulan puasa nanti. Saja nak berziarah sebelum Ramadhan. Banyak lagi yang kami nak explore di Sungai Ayer Tawar ni!

Dhiya

Jadi Apa Sebenarnya yang Kau Cari Dalam Dunia Ini?


Random thought

Lewat kebelakangan ini aku dengar dan jumpa benda pelik-pelik tentang manusia di sekeliling hidup aku. Mereka ni bukan dari planet asing pun. Orang kampung, orang Melayu macam aku juga. Tapi actingnya bukan main lagi. Puiii~

Kisah mak cik yang jaga standard

Anak makcik ni baru dapat jadi HO di salah sebuah hospital di Selangor. Sebagai anak bujang yang sado, haruslah anak ni teringin nak duduk sendiri dekat dengan tempat kerja. Tapi sayang, makcik ni masuk campur urusan mencari bilik sewa anak bujangnya sampai sekecil-kecil hal macam cat terkopak pun jadi isu yang besar.
Itu belum lagi isu environment rumah, housemate kerja apa- Semua makcik tu consider. Mungkin dia rasa yang anak dia doktor, tak layak kut duduk serumah dengan orang yang tak kerja doktor.
Tapi Alhamdulillah, Insya Allah kami suami isteri dah buktikan yang engineer boleh hidup serumah dengan aku, bukan seorang engineer. Dan makcik tu kena belajar dari kami~ Hhahahahah!

Jadi apa sebenarnya yang kau cari dalam dunia ini, makcik?

Harta? Kedudukan?

Kisah mulut

Perkahwinan kami dah masuk tahun kedua.

Dan kami masih berdua.

Sekarang ni- Bila balik kampung, adalah makcik-makcik (makcik lagi?) yang sangat concern dengan keadaan aku yang masih tak mengandung. Ada yang aku hulur tangan nak salam, tapi tangan dia pergi ke perut aku dulu. Ada yang tanya tu, aku bolehlah jawab 'belum lagi' ke whatsoever. Tapi kalau dah pegang-pegang perut ni, aku sensitif lah jugak. Kau nak cakap apa sebenarnya, makcik? Kau nak cari baby ke atau nak kata aku gemuk?

Marah ni
Marah ni

Ada yang kurang akal, boleh tanya mak aku bila aku nak mengandung. Siap bandingkan dengan anak dia yang sebulan nikah terus mengandung. Mak aku sendiri pun tak tanya aku, kenapa mak aku yang kena? Bukan dia yang nak mengandung! Esok kalau aku ada baby pun, bukan makcik-makcik ni yang nak mengasuh pun. Haih...

Jadi apa sebenarnya yang kau cari dalam dunia ini, makcik?

Pertandingan? Perbandingan?

Kereta baru

"F, kau tak ada cita-cita nak beli kereta baru ke? Dah dekat 10 tahun kerja dok pakai kereta ni jugak"

Tanya SE suami aku suatu masa dulu.

Bab kereta ni, bak sini aku nak cerita.
Sekarang ni kami dah ada dua kereta. Tu pun satu je yang bergerak sebab aku pergi balik kerja naik tren. Yang tak bergerak tu macam lembu tambat je. Kesian sangat sebab tu kereta aku. Jadi dapatlah aku simpulkan bahawa tak ada keperluan lagi untuk kami beli kereta baru walaupun aku dah aim satu kereta ni sejak 3 bulan bekerja. Kereta lawa, suami aku pun suka sebab dia boleh bawak drift katanya.
See, kami pun ada cita-cita. Teringin nak itu ini macam manusia lain juga. Tapi aku yakin Allah akan datangkan apa yang aku minta tu tepat pada masa dan keadaannya, ikut timing Allah. Bukan ikut timing aku. Apa yang perlu kami buat sekarang adalah terus berusaha supaya Allah recognize ikhtiar kami.
Kalau selamanya nak ikut cakap orang, hidup kami akan jadi robot dan kerja nak memuaskan hati orang lain je. Habis perasaan kami nak campak mana?

Jadi apa sebenarnya yang kau cari dalam dunia ini, Dhiya?

Sanjungan? Pujian?

Dunia ini bulat.

Aku jumpa banyak orang macam ni di luar sana.

Ada orang yang tak suka pilihan anaknya hanya kerana bakal menantu tu orang kampung, bukan siapa-siapa. Siap keluarga bakal menantu tu pun dilekehkannya.

Aku jumpa sejenis mertua yang tak suka menantu sampai menantu hulur tangan pun dia boleh berlalu sepi macam tu je.

Aku jumpa pemandu kereta besar yang dengan berlagaknya tukar lane tak bagi signal dan siap angkat jari tengah lagi pada kami kononnya sebab tak bagi ruang pada kereta dia.

Aku jumpa orang yang di dalam lif, di saat lif sudah hampir nak tertutup tapi dia nampak ada orang sedang berkejar nak masuk- Dia boleh tekan close button tu selamba.

Apa yang mereka cari dan dapat dengan berbuat macam tu? Puas je? Puas tu dapat time tu je. Selebihnya- Kita tak tahu kut esok-esok, orang yang dibenci tulah yang akan bantu kau balik di saat kau dah tak mampu makan waima duduk sendiri.

Sebab dunia ini bulatlah, jangan selalu ingat kita sentiasa akan berada di atas. Esok lusa, kau di bawah- Barangkali kau dilenyek teruk sampai jadi lepat.

Jadi tanya balik diri
Apa sebenarnya yang kau cari dalam dunia ni?

So called tazkirah Jumaat
Untuk betulkan diri aku yang gelong juga

Dhiya

Februari 2017


Bismillah

Pejam celik
Pejam celik

2017 sudah masuk ke bulan yang kedua. Macam baru semalam set azam tahun baru, tup-tup dah sebulan berlalu. Jadi apa khabar azam tahun 2017 anda? Semoga masih segar dan terus bersemangat!

Saya bercuti hari ni bersempena Hari Wilayah. Tak signifikan sangat pun pada saya, tapi seronoklah juga sebab saya dapat cuti panjang sejak Jumaat lepas sempena CNY. Huhuhu! Kami balik ke Pahang dan balik semula ke KL Isnin lepas sebab suami saya kerja (He's working in Selangor). Jadi dua hari saya di rumah ni, sakanlah mengemas dan dalam masa yang sama dapatlah sedikit me time (mostly doing house chores~)

Kami memang tak ada rancangan untuk melancong pun sempena CNY ni sebab
1. Musim cuti memang tak ada hotel murah, lagipun ramai orang~
2. Musim hujan, musim banjir
3. Minggu depan kami akan travel (February allocation) kononnya...

Kehidupan 2017 kami setakat ni OK. Cuma suami saya masih sibuk dengan projek dan tender. Kadang-kadang balik lambat. Tapi mujurlah dia pandai bahagikan masa kalau ada waktu terluang. 

Kadang-kadang saya rasa apa yang saya tengok dalam drama TV3 tu betul-betul wujud dalam dunia sebenar.
- Kerja dunia tak pernah habis
- Orang tak suka kalau kita senang atau bahagia
- Mulut orang boleh kata apa saja
- Orang sabar selalu kena buli, in the end baru dapat kegembiraan
- Orang jahat akan dapat balasan

For real

Untuk bulan Februari ni, saya akan sibuk sikit dengan training dan pembentangan. Bulan yang agak mencabar sebenarnya. Doakan saya.
Momentum untuk menulis tu ada, tapi terasa macam terumbang ambing sikit :(
DDD dah tak happening macam dulu kan~ Itu saya kena mengaku. Dulu, sibuk belajar dan dalam pada siapkan tesis pun, saya sempat curi masa kemaskini blog. Sekarang? Krik krik krik sangat.

Nak dapatkan seseorang untuk bantu saya buat re-branding DDD pun, masih buntu. Saya nak tukar layout dan standardize kan blog ni je. Nak tunggu tuan tanah yang buat? Entah bila. Bahan cerita banyak sangat menunggu. 

Doakan saya diberi keberkatan masa 24 jam tu supaya boleh terus dengan hobi saya yang satu ini.

Salam sayang, 
Dhiya

Mr. Chef


By Mr. husband the greatest chef.
Memang.

Suami saya lebih pandai memasak daripada saya. And he enjoys cooking! I thank Allah for this blessing. Sekurang-kurangnya dia boleh dan sudi ambil bahagian dalam satu bab rumahtangga.

Dia suka mencuba dan jangan terkejut, dia lebih teliti dalam pemilihan bahan dan cara memasak. Kadang-kadang saya malu juga dengan dia, tapi apa-apa jelah.

Ni saya kongsikan video suami saya memasak di rumah paklong saya di Kuala Selangor Disember dulu. Paklong saya ni ni keluarga nelayan. Anaknya (sepupu saya) yang aktif sangat turun ke laut sekarang ni. Asal kami datang je, ikan-ikan segar akan naik ke rumah ni dulu baru dijual. Itu yang suami saya seronok sangat kalau ke sini. Dia dapat masak dan makan lauk 'orang kaya' katanya~

Happy CNY, selamat bercuti. Saya akan menulis lagi nanti!

Wordless Wednesday


Birthday Retreat Melaka January 2017


Bismillah!

Alhamdulillah saya telah dianugerahkan dengan usia baru minggu lepas. Asalnya kami tak ada rancangan apa-apa. Tapi pagi Sabtu tu, suami saya suruh kemas beg untuk short getaway katanya. 

Kami bertolak dari KL ke Melaka jam 10 pagi. Kami keluar di Exit Rembau untuk makan tengahari di satu kedai makan yang menyajikan masakan lauk salai. Ayam salai, daging salai, itik salai semua ada. Masya Allah sedap sangat. Nanti saya buat review lain untuk tempat makan ni.
Selamat datang ke Rembau most wanted yawww!
Sampai je Melaka, kami tak terus daftar masuk. Suami saya kepingin Mango Float Royale Melaka. Yang saya pelik dengan dia ni, apa yang orang review di blog atau FB- Kalau dia minat, dia akan cari dan akan jumpa. Kagum ohhh!

Kalau teringin, Google saja MANGO FLOAT ROYALE MELAKA dan anda akan dapat lokasi tepat gerai ni. Hmmmm!
Harga:
Normal RM4.50
Special RM5.00 (ada aiskrim dan mangga dadu) Ya Allah sangat sedap!
Special Mango Float Royale
Sampai di hotel, kami terus daftar masuk dan zzzzzzzzzzzz. Masa tu dalam pukul 3 petang. Kami tidur sekejap, buat tenaga nak berjalan petangnya nanti. Kami bangun jam 5 petang dan bersiap untuk berjalan keliling bandar dengan berjalan kaki saja.

Hotel kami ok. Bilik selesa, bilik air ok. Paling penting hotel kami sangat dekat dengan Dataran Pahlawan dan semua tempat-tempat menarik di bandar Melaka tu. Sebab itulah kami hanya berjalan kaki saja :p
Jarak dari hotel ke Dataran Pahlawan dalam 10 minit berjalan kaki. Jalan pun bukan serius sangat. Jalan kaki sambil main-main je pun. Bandar ni banyak jalan sehala. Sebab tu jalan kaki lebih efisyen dari pandu kereta. Tempat letak kereta pun susah nak cari dan kalau memandu juga, anda tak akan sampai ke ceruk-ceruk tempat menarik. Percayalah!
A Famosa. Dekat A Famosa ni ada Memorial Kemerdekaan dan muzium. Jalan ke depan sikit anda akan sampai ke tempat menarik lain.
Jalan punya jalan, kami sampai di bulatan jam dan kawasan bangunan merah. Kalau dah sampai di situ, memang rasa dah boleh pergi ke semua tempat.
Pertama sekali kami menghala ke Jonker Walk dan turun ke tepi sungai melalui Hard Rock Melaka. Kami jalan kaki di tepian sungai tu sambil menikmati suasana petang yang redup. Di tepi-tepi sungai tu biasanya ada hotel atau motel dan kebanyakan yang menginap di situ adalah orang asing. Hotel yang terletak di tepi sungai akan sediakan tempat duduk sambil mereka minum beer. Kami lalu je lah. Tak ada niat pun nak duduk di situ.
Kemudian kami masuk ke lorong-lorong kecil di sebalik bangunan-bangunan kedai tu dan kami nampak pemandangan yang sangat cantik. Kami boleh lihat kehidupan sebenar orang tempatan di sini dan dalam masa yang sama bagaimana mereka seiring membangunkan ekonomi dan mengekalkan nilai budaya yang unik.

Hari dah mula gelap. Jadi nak berjalan pun dah tak seronok. Tapi ada satu tempat yang seronok untuk berjalan waktu malam. Apa dia?

JONKER STREET!
Jonker Street ni boleh saya katakan macam Petang Street tapi lebih unik dan pelbagai. Macam-macam barang dan cenderamata unik, comel dan menarik dijual. Makanan pun banyak tapi kebanyakannya adalah peniaga Cina. Ada satu kawasan peniaga Melayu yang menjual makanan Melayu, dekat dengan Makan Hang Kasturi. Tapi kami tak makan pun di Jonker Street ni sebab kami bantai berjalan dan belek setiap inci tempat ni sampai lupa nak makan.
Terompah
Sebelum pergi saya sempat tanya mak, apa yang dia nak dari Melaka. Katanya terompah. Alhamdulillah lepas hajat mak. Suami saya pula yang seronok memilihkan terompah untuk mak saya. Huhuhu!
Saya sempat bersembang dengan makcik berbangsa Cina yang menjual terompah ini. Katanya walaupun golongan sekarang sudah jarang memakai terompah, tapi bagi kaum Cina, mereka masih percaya gadis yang memakai terompah menjelang majlis perkahwinan mereka boleh menghindarkan mereka dari dibuli mertua.
Menarik, kan?
Hah jom pakat beli ramai-ramai buat pertahanan diri!
Persembahan sempena Tahun Baru Cina
Selesai berjalan di sepanjang Jonker St, kami bersedia untuk makan malam. Sekali lagi destinasi makan malam kami dirancang oleh suami saya. Dia memang pakar bab mencari tempat best di mana-mana tempat dia berada.
Makan malam kami: Hajjah Mona Asam Pedas. Kalau tengok pada review, tempat ni makanannya memang sedap. Bukan hanya ada asam pedas, makanan lain pun ada. Dibuka 5 petang sehingga 5 pagi.
Dan terbukti, asam pedas pari dan ikan kembong di sini sangatlah sedap!
Selesai makan malam, kami sambung berjalan lagi. Kali ni di sekitar Menara Taming Sari. Kebetulan di situ ada pasar malam, jadi kami sambung pula berjalan ke situ.
Pemandangan sekitar Menara Taming Sari, penuh dengan beca berhias.
Sebaik habis berjalan di sekitar pasar malam, kami terus je berjalan di tepi-tepi mall yang sudah mula tutup untuk balik ke hotel. Jalan pun sudah mula sesak sebab ramai orang sudah mahu balik. Macam saya cakap tadi, memang berjalan kaki jauh lebih efisyen berbanding memandu kenderaan sebab kita boleh elakkan kesesakan lalulintas :)

Sampai di hotel, masing-masing sakit kaki. Mana tidaknya. Kami berjalan hampir ke seluruh pelusuk kawasan. Tapi masih gigih nak cuba pakai terompah yang saya belikan untuk emak ni:
Hari kedua.

Sarapan disediakan. Yeay! Lepastu kami naik ke rooftop untuk tengok kolam renang. Tapi masing-masing macam tak ada mood nak berenang ditambah dengan saya yang malas nak uruskankan kain baju yang basah nanti.
Balik ke bilik semula, kami bantai tidur sampai pukul 12 tengahari.
Hanya selepas daftar keluar barulah kami sambung penjelajahan kami, itupun sekejap saja sebelum balik ke KL semula. 

Kami singgah di Morten Village iaitu perkampungan tradisional di tepi sungai. Rumah-rumah di sini sangat cantik dan sangat menjaga nilai tradisi. Ada sebuah rumah di sini yang dinamakan Villa Sentosa. Villa Sentosa adalah rumah tradisi milik individu tetapi dibuka untuk kunjungan orang awam. Masuk percuma. Tapi pemilik ada sediakan tabung sumbangan ikhlas kerana mereka tidak ditaja oleh dari mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri. Dermalah dengan ikhlas. Di dalam rumah ini anda boleh lihat banyak nilai seni dan sejarah yang dikekalkan. Paling seronok, kehadiran kami disambut ramah oleh salah seorang ahli keluarga kepada pemilik rumah ini. Tapi maafkan saya, tiada gambar di dalam rumah kerana saya lupa untuk ambil gambar kosong. Tapi rumah ini betul-betul menggamit rindu saya pada rumah tok di kampung. Klasik dan nostalgik. 
Pusingan terakhir sebelum balik.
Destinasi seterusnya:

Makan tengahari: Nasi beriani (lupa nama tempat)
Coconut Shake Klebang: Sesak
Kuih keria antarabangsa: Sesak

Akhirnya kami ke Batu Berendam sebab kat sana pun ada coconut shake terbaikkkk! Harga untuk coconut shake special pun baru RM3.90. Oklah tu kan!
Demikianlah berakhirnya percutian pendek kami ke Melaka sempena ulangtahun kelahiran saya. Alhamdulillah.
Trip Februari dan Mac pun sudah disusun. Berjalan sakan lagi nampaknya kita ni. Doakan dapat baby supaya kami boleh bawa berjalan sekali! Amin!

Terima kasih abang sebab bawa D jalan-jalan surprise macam ni. 

Dhiya

PAC Pegawai Tadbir dan Diplomatik 2017 Hari Kedua


PAC Pegawai Tadbir dan Diplomatik hari kedua.

Datang awal macam semalamnya. Siapa-siapa yang dapat PAC di kota metropolitan (macam INTENGAH atau INTAN BUKIT KIARA), silalah rancang perjalanan anda. Pusat PAC anda terletak di tempat yang sangat sesak!

Anda sepatutnya tahu ahli kumpulan anda dan di mana lokasi bilik untuk pengucapan BM, pengucapan BI, perbincangan kumpulan BM dan perbincangan kumpulan BI. Hari kedua hanya ada 4 slot ini sahaja.

Pengucapan awam BM dan BI

Masih ingat dengan pegawai penilai yang sentiasa memerhatikan anda dalam LDK semalam tu? Pegawai tu masih ada untuk menilai gerak langkah anda dalam semua slot hari kedua ini. Jangan bimbang, dia bukan polis ataupun pengawas. Dia takkan cakap apa-apa. Dia cuma tengok anda dan nilai sahaja. Behave. Tu je
Dalam masa yang sama, akan ada seorang panel yang menilai pengucapan anda. Jangan takut. Panel ni semua baik-baik. Ada je yang kelakar mungkin nak kurangkan gemuruh kita.
Tips: Masa yang diberikan adalah 5 minit. Pastikan anda berlatih bercakap depan cermin 2-3 kali jika tidak berapa yakin. Insya Allah anda akan ok :)
Boleh bawa teks ke? Pada saya, bawa jelah. Tapi JANGAN baca. Kalau anda yakin dan ingat isi penting, lebih baik janganlah bawa. Panel tak akan marah atau tegur pun jika anda bawa teks. Yang jejaskan markah anda apabila anda tergagap-gagap dan tercungap-cungap di depan tu.

*Tips di atas adalah untuk pengucapan BM dan BI

Perbincangan kumpulan BM dan BI

Pegawai penilai masih memerhatikan anda. Untuk perbincangan kumpulan ni, anda akan duduk atas kerusi, dalam bentuk separa bulatan. Panel akan berada di hadapan anda dan dia akan buka tajuk perbincangan kumpulan dari dalam sampul surat pada waktu itu juga.
Maka terkulat-kulatlah anda sebaik mendapat tahu tajuk berkenaan. Ada panel yang baik hati membenarkan anda Google maklumat untuk beberapa minit sebelum perbincangan kumpulan dimulakan. 
Tips: Harus ada kerjasama dalam kumpulan. Sebab tu sangat penting untuk kenal ahli kumpulan, make friend with them and built rapport. Sebelum mulakan perbincangan, ambil masa lagi 2-3 minit untuk rancang dan strukturkan perbincangan anda. Capai kata sepakat dengan ahli kumpulan. Panel perbincangan BM saya bagi tips: Gunakan struktur What Who When Why How untuk berbincang. Perbincangan adalah selama satu jam. Pada pendapat saya, orang pertama yang memulakan perbincangan kena ignite definisi tajuk tu dulu. Selepas itu, saya yakin idea akan datang mencurah-curah. Cuma, jangan berebut sewaktu ingin bercakap dan jangan menyampuk secara kasar. Gunakan ayat-ayat manis seperti "Boleh saya tambah sedikit idea saudara tadi?" atau "Bercakap tentang idea saudari tadi, saya nak kongsikan pula tentang...." Ha kan bunyi macam sopan.
Paling penting, jangan tamak nak bercakap sorang je. Encourage each other and make everyone have a chance to talk. Kau cakap banyak tak semestinya kau dapat markah banyak dan tak semestinya juga kau pandai dan hebat. Bagaimana anda menangani counter idea, memberi peluang, menerima pendapat orang serta kemahiran komunikasi lain seperti gerak badan dan eye contact adalah jauh lebih penting dalam penilaian panel.

*Tips di atas adalah untuk perbincangan BM dan BI

Tamat PAC hari kedua! Yep. Hari kedua jauh lebih pendek berbanding hari pertama. Tapi tekanannya sama saja. PAC saya tamat seawal jam 12.30 tengahari. Tiada makan tengahari disediakan. Sebaik tamat, anda perlu pulangkan nombor badan dan bolehlah pulang dan bersedia untuk ujian psikometrik secara atas talian yang boleh diakses dari mana sahaja, melalui sebarang peranti bermula lebih kurang jam 3 petang. Pautan ujian tu selalunya akan diberi oleh pegawai SPA dan anda ada tempoh selama 24 jam (sehingga 3 petang keesokan harinya) untuk jawab soalan tu. Jangan bimbang sangat tentang ujian psikometrik tu. Walaupun ada hampir 400 soalan, tapi jawab sajalah dengan santai.

Alhamdulillah PAC saya selesai. Sekarang tunggu keputusan saja. Saya tak letak harapan tinggi pun untuk temuduga. Saya dah hadir 5 kali temuduga PTD jadi dah tak rasa excited atau hebat pun sebab saya dah tahu apa yang ada dalam sesi temuduga tu. Hahahahah! Apa yang saya harapkan adalah saya dapat buat yang terbaik dan gunakan pengalaman lalu sebagai guidline jika terpilih untuk temuduga kelak.

Selamat maju jaya untuk calon PAC yang akan datang!

Dahlia

PAC Pegawai Tadbir dan Diplomatik 2017 Hari Pertama


Sedikit perkongsian untuk rakan-rakan yang akan menghadiri PAC 2017.

PAC akan dibahagikan kepada 2 hari.

Hari pertama

PAGI

Datang awal. Pukul 7 macamtu ok lah. Jangan lupa makan sedikit. Nak PAC memang tak lalu makan. Tapi sekurang-kurangnya makan sikit atau bawalah makanan dan air.
Selepas daftar, anda akan dapat nombor badan. Nombor badan ni adalah ID anda.
Tips berguna: Kalau ada kawan, datanglah sekali supaya boleh daftar sekali dan dapat nombor badan dekat-dekat. Sebab apa? Sebab nanti apa-apa aktiviti, pegawai akan bahagi ikut nombor badan. Contoh nombor 001 sampai 015 pergi buat aktiviti ni. Nombor 016 sampai 030 buat aktiviti ni. Jadi kebarangkalian untuk anda sekumpulan dengan kawan tu amatlah besar. Bukan apa...Nak dapat peer support!

Slot pagi secara umumnya adalah fitness test lah. Ada stesen tekanan darah, BMI, duduk dan jangkau. dan ujian genggaman tangan. Empat stesen ni akan anda buat secara bergilir-gilir ikut kumpulan macam yang saya cakap tadi. Jangan ambil enteng bab tekanan darah tu. Anda berdebar atau penat sikit pun boleh beri kesan pada nadi dan tekanan darah. Memanglah jururawat di situ akan bantu anda suruh rehatlah, tidurlah. Tapi bila dah tengok kawan-kawan dah lepas, kita je yang masih tersangkut kat stesen tu- Tak ke rasa tertekan?!
Tips: Bertenang, rehat cukup malam sebelumnya dan sewaktu ambil tekanan darah tu, pejam mata macam nak tidur tu. Kosongkan minda. Relaks tu akan bantu tekanan darah dan nadi anda jadi ok.

Bila dah habis, fitness test intensity meningkat kepada level yang lebih berat iaitu curl up dan bleep test. Curl up ni macam bangun tubi, tapi rasanya lebih lenient bab tak perlu lay flat kat lantai untuk setiap kali baring dan bangun, tapi agak strict bab tangan kena cecah garisan di sisi badan dan tak boleh angkat kaki.
Tips: Silalah berlatih.selepas tengok kaedahnya di YouTube. Yang perempuan, buatlah bagi lepas 21 kali. But don't too focus on that. Sebab nanti anda akan hanya aim untuk yang minimum saja. Buat lebih sebab nak yang terbaik.

Bila semua dah buat curl up test, be ready for bleep test. Untuk perempuan, buat paling kurang level 2, shuttle 6. Kalau lelaki, level 3 shuttle 5. Kalau lebih lagi baguslah sebab boleh top up skor pada penilaian lain yang mungkin kurang.
Tips: Please have stamina. Sebelum PAC tu, rajin-rajinkanlah diri pergi ke trek atau taman untuk berjoging. Tak payah buat bleep test pun takpe. Lari je pun dah ok untuk membina stamina.

Untuk pengetahun anda, BMI, duduk jangkau, genggaman tangan, curl up dan bleep test ni ada skor piawai tertentu. Semuanya bergantung kepada usia dan kemampuan anda. Siapa yang anggap BMI tak lepas je terus kena halau balik tu- It's a big WRONG. Anda akan go through semua dulu aktiviti pagi tu dan pegawai akan kumpul semua skor anda untuk dijumlahkan. Jumlah besar tu nanti yang akan menjadi mata anda dan menentukan samada anda lulus ujian kesihatan jasmani tu atau tidak. Jadi jangan bimbang dan cepat putus asa, OK!

Sebaik selesai ujian, anda akan makan tengahari. Alhamdulillah kan. Hati pun dah lega sebab dah lepas semua ujian (cuma tak berapa nak lega sangat sebab keputusan belum tahu lagi yaaaa!). Makanlah dengan senang hati. Rugi tau. Lauk sedap!
Selalunya keputusan akan diumumkan dalam pukul 2 petang. Jadi lepas makan tu, bolehlah rehat sekejap atau ke surau untuk solat Zuhur. Nak study tajuk tajuk esei pun nampak macam over confident dan show off kan. Hahahaha!

PETANG

Selepas solat, bolehlah bersiap sedia untuk tunggu keputusan UKJK. Macam di tempat saya, semua calon perlu berbaris ikut nombor badan dan mereka akan tampal pelekat 'BERJAYA' dan terus ke kanan menuju ke bilik seminar untuk jawab soalan esei. Yang gagal pula akan ke kiri dan...Haih~ very dramatic. Tapi menurut pegawai di situ, it was not too dramatic compared to previous PAC sebab PAC sekarang balik macam tu je. PAC dulu-dulu- Kalau kena balik, memang balik macam tersingkir AF. Maknanya kena sorong beg sekali sebab calon bermalam di pusat PAC. Ohh!

Golongan yang ke kanan tu, terus ambil tempat dan keluarkanlah alat tulis dan kad pengenalan. Esei BM akan berlangsung selama 30 minit, rehat dalam 10 minit dan akan terus jawab esei BI. Disebabkan dah lama tak menulis, pasti tangan anda akan lenguh dan terasa sakit. Sangat! Tapi apakan daya. Perjuangan satu jam tu adalah demi masa depan yang lebih cerah. Maka buatlah yang terbaik.
Tips: Banyakkan membaca sekurang-kurangnya akhbar perdana. Peka dengan isu semasa dan sebarang isu yang 'panas' dan kerap menjadi bualan. Banyakkan juga menonton rancangan tv yang berinformatif seperti berita semasa supaya kita dapat 'tangkap' cerita-cerita penting. Dalam esei tu, gunakan kerangka berikut:
Pendahuluan:
Isi 1:
Isi 2:
Isi 3:
Penutup:
Jangan panjang sangat sampai macam esei SPM tu. Dengan tempoh 30 minit yang ada, saya yakin kerangka di atas sudah mencukupi.

Dalam pukul 4 petang (lebih kurang), anda akan memasuki sesi LDK pula. Dalam LDK ni akan ada lebih kurang dua modul. Tujuan LDK ini adalah untuk menilai anda secara individu. Setiap kumpulan akan ada seorang penilai yang tugasnya hanya akan memerhatikan anda, setiap gerak geri anda dan sikap anda.
Tips: Jangan main telefon bimbit. Jangan selfie. Jangan korek hidung. Bekerja dalam kumpulan dan bertolak ansurlah. Tapi kadang-kadang sikap ni bukan boleh dibuat-buat atau dibangunkan dalam tempoh sehari. Kalau sebelum ni kita memang jenis yang kasar dengan colleague di pejabat, jadi tak mustahil kita juga akan bersikap begitu dalam LDK PAC. Apa yang saya boleh nasihatkan adalah behave yourselves.

Selesai LDK, anda akan mencabut undi tajuk pengucapan awam Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris yang akan diadakan pada hari kedua PAC.
Tak ada tips sebab tajuk yang diberikan sangat rawak dan umum. Tapi memandangkan pihak SPA beri anda masa satu malam untuk duduk dan fikir, saya yakin anda dapat buat dengan baik.
Oh ada tips!:
Dalam pengucapan awam tu, gunakan kerangka yang sama seperti anda menulis esei:
Pendahuluan:
Isi 1:
Isi 2:
Isi 3:
Penutup:
Berlatih bercakap dan kawal masa kerana anda hanya ada 5 minit tempoh untuk bercakap.

Selesai hari pertama. Balik untuk makan malam dan bersedialah untuk duduk dan menelaah tajuk pengucapan awam anda.
* PAC Januari 2017 dijalankan selama dua hari dan penginapan tidak disediakan.
* Tunggu entri seterusnya untuk cerita PAC hari kedua.
* Saya tak akan letak sebarang gambar PAC kerana ia dianggap sulit. Saya cuma kongsi tips dan pengalaman peribadi saja.

Dahlia

Wedding Review: Kasut Pengantin


Bismillah

Secara tak rasminya, tahun 2017 adalah tahun kedua perkahwinan kami. Walaupun belum sampai 2 tahun sebab masih belum sampai pada bulannya, tapi saya tetap emphasize suami saya yang ini adalah tahun kedua. Kita kena tengok balik ke belakang (throwback) atas apa saja pencapaian dan perkara positif yang kita dah buat pada diri sendiri dan juga pada keluarga kecil kita.

Alhamdulillah banyak benda yang berubah pada diri kami terutamanya gaya hidup, sikap, dan motivasi. Matlamat kami lebih centered dan berpandu. Pengalaman lepas banyak buat kami masing-masing jadi matang dan bijak dalam membuat keputusan.

Haih. Nak review kasut pengantin je pun. Tapi intro dah nampak serius. Well well well...Cerita kali ini adalah berkenaan dengan kasut kahwin.
Sebelum kahwin lagi, saya sudah jatuh cinta dengan kasut jenis peep toe. Kasut ni memang sesuai dibuat kasut pengantin sebab cantik. Saya sudah pasang azam, kahwin nanti saya mahu peep toe. Beria sungguh sampai ada azam!

Suatu hari, saya berjalan di sebuah kedai di Bangi- Saya terjumpa peep toe warna sedondon dengan baju kahwin saya. Tapi peep toe ni polos tak ada sebarang bunga atau hiasan. Harga dah tersangat murah. Rm 40 saja. Cuba-cuba pakai pun~ Eh selesa lah juga! Tanpa berfikir panjang, saya terus beli. Kemahiran DIY sudah ada. Apa lagi~

Lama juga saya study idea nak hias kasut kahwin ni demi mencapai kepuasan peribadi. Tapi disebabkan banyak hal lain yang perlu difikirkan selain kasut, saya tak fikir panjang sangat. Beli sepasang kerongsang besar, terus lekat di bahagian depan kasut tu. 
Kerongsang yang dibeli
Saya lekatkan di bahagian depan kasut
Taraaaaa! Siaplah kasut kahwin, sama macam Christy Ng~
Nampak tak center sikit kerongsang tu. Tapi saya rasa ok sangat kalau nak dibandingkan sepasang kasut berharga RM249. Hahahah!
Saya guna hot glue gun saja untuk lekatkan kerongsang tu. Ok lah. Lekat elok dan tampak sempurna di hari bahagia. Tak payah beli kasut beratus.

Masa saya beli kerongsang besar tu, saya dapat sepasang kerongsang kecil percuma. Jadi saya lekatkan di setiap sisi luar kasut tu. Bila dua-tiga kali belek, saya rasa saya dah tak perlu hiasan lain sebab takut nanti sarat sangat. All good. Kasut kahwin saya nampak sempurna.
Untuk kenduri bertandang pula, saya pilih untuk beli kasut yang lebih decent. Tak larat dah nak DIY. Saya jumpa kasut Polo warna sedondon dengan baju kahwin. Dah. Habis cerita. 

Kita tak akan jumpa semuanya sesempurna yang kita impikan. Ideal condition never exist. Bab kasut ni satu dari beribu hal lain yang kita nak fikir masa nak kahwin. Jadi nasihat akak kepada adik-adik yang nak kahwin:

1. Pilihlah kasut yang selesa
2. Pertimbangkan juga bajet anda. Jangan sampai membazir sangat
3. Fikir dan cuba sebelum beli
4. Jangan excited sangat walaupun kau percaya yang kahwin tu sekali seumur hidup
5. Bersederhanalah dalam semua perkara

Selamat Tinggal 2016


Bismillah

2016 berbaki kurang dari 2 hari. Terlalu banyak rangkuman cerita yang saya ingin coretkan. Tapi kekangan masa selalu menjadi alasan. Hari ini saya sempatkan juga untuk menulis supaya ada bingkisan kenangan untuk sepanjang tahun 2016.

Kalau tahun lepas saya menulis mengikut bulan, kali ini saya ingin menulis secara umum saja. Bukan tidak mahu mengenang , tapi rasanya tak semua boleh dicanang.

Awal tahun 2016 saya bermula dengan agak mendatar. Saya masih struggle dengan kehidupan post-graduate yang sangat mencabar. Saya sepertinya terpaksa membina semula kerjaya saya dari bawah walaupun pernah bekerja tetap sebelum ini kerana keadaan ekonomi sebaik saya tamat pengajian sangatlah tidak memberangsangkan.
Ada kalanya saya menangis kerana kurang motivasi. Saya pernah rasa sangat useless sebab tak boleh menyumbang kepada keluarga. I feel so bad :(

Tapi Allah tu kan Maha Mendengar. Saya mendapat kerja secara kontrak di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya menjelang Ramadhan. Tetapi malang sekali apabila saya dibuli teruk apabila saya tidak dibayar gaji walaupun menjelang Aidilfitri. Sudahlah pengalaman pertama beraya dengan suami, gaji pula tidak dibayar tepat pada waktu. Atas rasa kecewa, saya tekad untuk mencari kerja lain.
Alhamdulillah temuduga sehari sebelum Nuzul Quran, saya menerima jawapan menggembirakan sehari selepas Nuzul Quran. Dan di sinilah saya bekerja sekarang.

Kehidupan saya berubah 100% selepas bekerja. Memegang jawatan isteri berkerjaya bukanlah suatu yang mudah pada mulanya. Mujurlah suami saya sangat memahami. Dia tak expect ada makan malam tersedia sebaliknya kami akan memasak bersama. Dia tak letak penanda aras rumah kena siap bersapu dan kain baju mesti siap bersusun kemas sebab sama-sama baru balik kerja dan penat.
Tapi lama-lama kami sudah boleh imbangkan kehidupan kami. Masing-masing sudah faham akan tugas masing-masing.

Kehidupan kami ok, Alhamdulillah. Kami masih berdua, Alhamdulillah. Saya tak ambil hati pun kalau ada makcik-makcik yang bertanya bila nak mengandung. Hanya Allah tahu apa yang kami putuskan untuk hidup kami. Saya ok.
Tapi doakanlah kalau-kalau ada rezeki kami di tahun 2017 untuk menimang anak.

Hakikat kehidupan, kita tak boleh nak gembirakan semua orang. Kami sedar yang kami bukanlah yang terbaik. Saya pun bukanlah orang yang sempurna. Macam mana orang buat buruk pada kita, emak dan suami sayalah yang selalu ada di belakang saya memberi semangat dan nasihat. Tipulah kalau saya tak ada sekelumit pun rasa sakit hati. Tapi saya pendam diam-diam saja dengan harapan semuanya akan berubah nanti.

2017 ends very soon. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada keluarga yang menjadi tunjang kekuatan saya, serta rakan-rakan yang setia di waktu susah dan senang saya. Mereka ini, saya doakan agar Allah mudahkan urusan mereka setiap hari sebagaimana mereka selalu memudahkan hidup saya waima hanya dengan sepotong doa.

Semoga kita semua dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik dan ditemukan dengan orang yang baik-baik di sepanjang perjalanan 2017 nanti. Lebih matang, lebih bijak, lebih sabar dan semuanya lebih. Cuma satu saja yang saya harap akan kurang:

Berat badan~

Selamat tinggal 2016!

Dhiya Dahlia