Birthday Retreat Melaka January 2017


Bismillah!

Alhamdulillah saya telah dianugerahkan dengan usia baru minggu lepas. Asalnya kami tak ada rancangan apa-apa. Tapi pagi Sabtu tu, suami saya suruh kemas beg untuk short getaway katanya. 

Kami bertolak dari KL ke Melaka jam 10 pagi. Kami keluar di Exit Rembau untuk makan tengahari di satu kedai makan yang menyajikan masakan lauk salai. Ayam salai, daging salai, itik salai semua ada. Masya Allah sedap sangat. Nanti saya buat review lain untuk tempat makan ni.
Selamat datang ke Rembau most wanted yawww!
Sampai je Melaka, kami tak terus daftar masuk. Suami saya kepingin Mango Float Royale Melaka. Yang saya pelik dengan dia ni, apa yang orang review di blog atau FB- Kalau dia minat, dia akan cari dan akan jumpa. Kagum ohhh!

Kalau teringin, Google saja MANGO FLOAT ROYALE MELAKA dan anda akan dapat lokasi tepat gerai ni. Hmmmm!
Harga:
Normal RM4.50
Special RM5.00 (ada aiskrim dan mangga dadu) Ya Allah sangat sedap!
Special Mango Float Royale
Sampai di hotel, kami terus daftar masuk dan zzzzzzzzzzzz. Masa tu dalam pukul 3 petang. Kami tidur sekejap, buat tenaga nak berjalan petangnya nanti. Kami bangun jam 5 petang dan bersiap untuk berjalan keliling bandar dengan berjalan kaki saja.

Hotel kami ok. Bilik selesa, bilik air ok. Paling penting hotel kami sangat dekat dengan Dataran Pahlawan dan semua tempat-tempat menarik di bandar Melaka tu. Sebab itulah kami hanya berjalan kaki saja :p
Jarak dari hotel ke Dataran Pahlawan dalam 10 minit berjalan kaki. Jalan pun bukan serius sangat. Jalan kaki sambil main-main je pun. Bandar ni banyak jalan sehala. Sebab tu jalan kaki lebih efisyen dari pandu kereta. Tempat letak kereta pun susah nak cari dan kalau memandu juga, anda tak akan sampai ke ceruk-ceruk tempat menarik. Percayalah!
A Famosa. Dekat A Famosa ni ada Memorial Kemerdekaan dan muzium. Jalan ke depan sikit anda akan sampai ke tempat menarik lain.
Jalan punya jalan, kami sampai di bulatan jam dan kawasan bangunan merah. Kalau dah sampai di situ, memang rasa dah boleh pergi ke semua tempat.
Pertama sekali kami menghala ke Jonker Walk dan turun ke tepi sungai melalui Hard Rock Melaka. Kami jalan kaki di tepian sungai tu sambil menikmati suasana petang yang redup. Di tepi-tepi sungai tu biasanya ada hotel atau motel dan kebanyakan yang menginap di situ adalah orang asing. Hotel yang terletak di tepi sungai akan sediakan tempat duduk sambil mereka minum beer. Kami lalu je lah. Tak ada niat pun nak duduk di situ.
Kemudian kami masuk ke lorong-lorong kecil di sebalik bangunan-bangunan kedai tu dan kami nampak pemandangan yang sangat cantik. Kami boleh lihat kehidupan sebenar orang tempatan di sini dan dalam masa yang sama bagaimana mereka seiring membangunkan ekonomi dan mengekalkan nilai budaya yang unik.

Hari dah mula gelap. Jadi nak berjalan pun dah tak seronok. Tapi ada satu tempat yang seronok untuk berjalan waktu malam. Apa dia?

JONKER STREET!
Jonker Street ni boleh saya katakan macam Petang Street tapi lebih unik dan pelbagai. Macam-macam barang dan cenderamata unik, comel dan menarik dijual. Makanan pun banyak tapi kebanyakannya adalah peniaga Cina. Ada satu kawasan peniaga Melayu yang menjual makanan Melayu, dekat dengan Makan Hang Kasturi. Tapi kami tak makan pun di Jonker Street ni sebab kami bantai berjalan dan belek setiap inci tempat ni sampai lupa nak makan.
Terompah
Sebelum pergi saya sempat tanya mak, apa yang dia nak dari Melaka. Katanya terompah. Alhamdulillah lepas hajat mak. Suami saya pula yang seronok memilihkan terompah untuk mak saya. Huhuhu!
Saya sempat bersembang dengan makcik berbangsa Cina yang menjual terompah ini. Katanya walaupun golongan sekarang sudah jarang memakai terompah, tapi bagi kaum Cina, mereka masih percaya gadis yang memakai terompah menjelang majlis perkahwinan mereka boleh menghindarkan mereka dari dibuli mertua.
Menarik, kan?
Hah jom pakat beli ramai-ramai buat pertahanan diri!
Persembahan sempena Tahun Baru Cina
Selesai berjalan di sepanjang Jonker St, kami bersedia untuk makan malam. Sekali lagi destinasi makan malam kami dirancang oleh suami saya. Dia memang pakar bab mencari tempat best di mana-mana tempat dia berada.
Makan malam kami: Hajjah Mona Asam Pedas. Kalau tengok pada review, tempat ni makanannya memang sedap. Bukan hanya ada asam pedas, makanan lain pun ada. Dibuka 5 petang sehingga 5 pagi.
Dan terbukti, asam pedas pari dan ikan kembong di sini sangatlah sedap!
Selesai makan malam, kami sambung berjalan lagi. Kali ni di sekitar Menara Taming Sari. Kebetulan di situ ada pasar malam, jadi kami sambung pula berjalan ke situ.
Pemandangan sekitar Menara Taming Sari, penuh dengan beca berhias.
Sebaik habis berjalan di sekitar pasar malam, kami terus je berjalan di tepi-tepi mall yang sudah mula tutup untuk balik ke hotel. Jalan pun sudah mula sesak sebab ramai orang sudah mahu balik. Macam saya cakap tadi, memang berjalan kaki jauh lebih efisyen berbanding memandu kenderaan sebab kita boleh elakkan kesesakan lalulintas :)

Sampai di hotel, masing-masing sakit kaki. Mana tidaknya. Kami berjalan hampir ke seluruh pelusuk kawasan. Tapi masih gigih nak cuba pakai terompah yang saya belikan untuk emak ni:
Hari kedua.

Sarapan disediakan. Yeay! Lepastu kami naik ke rooftop untuk tengok kolam renang. Tapi masing-masing macam tak ada mood nak berenang ditambah dengan saya yang malas nak uruskankan kain baju yang basah nanti.
Balik ke bilik semula, kami bantai tidur sampai pukul 12 tengahari.
Hanya selepas daftar keluar barulah kami sambung penjelajahan kami, itupun sekejap saja sebelum balik ke KL semula. 

Kami singgah di Morten Village iaitu perkampungan tradisional di tepi sungai. Rumah-rumah di sini sangat cantik dan sangat menjaga nilai tradisi. Ada sebuah rumah di sini yang dinamakan Villa Sentosa. Villa Sentosa adalah rumah tradisi milik individu tetapi dibuka untuk kunjungan orang awam. Masuk percuma. Tapi pemilik ada sediakan tabung sumbangan ikhlas kerana mereka tidak ditaja oleh dari mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri. Dermalah dengan ikhlas. Di dalam rumah ini anda boleh lihat banyak nilai seni dan sejarah yang dikekalkan. Paling seronok, kehadiran kami disambut ramah oleh salah seorang ahli keluarga kepada pemilik rumah ini. Tapi maafkan saya, tiada gambar di dalam rumah kerana saya lupa untuk ambil gambar kosong. Tapi rumah ini betul-betul menggamit rindu saya pada rumah tok di kampung. Klasik dan nostalgik. 
Pusingan terakhir sebelum balik.
Destinasi seterusnya:

Makan tengahari: Nasi beriani (lupa nama tempat)
Coconut Shake Klebang: Sesak
Kuih keria antarabangsa: Sesak

Akhirnya kami ke Batu Berendam sebab kat sana pun ada coconut shake terbaikkkk! Harga untuk coconut shake special pun baru RM3.90. Oklah tu kan!
Demikianlah berakhirnya percutian pendek kami ke Melaka sempena ulangtahun kelahiran saya. Alhamdulillah.
Trip Februari dan Mac pun sudah disusun. Berjalan sakan lagi nampaknya kita ni. Doakan dapat baby supaya kami boleh bawa berjalan sekali! Amin!

Terima kasih abang sebab bawa D jalan-jalan surprise macam ni. 

Dhiya

No comments