23 Julai 2015


Nota untuk diri.

Satu.
Hati-hati dengan lidah. Jangan jadi putar belit yang boleh mendorong kepada penyebaran fitnah. Ingatlah bahawa dosa fitnah lebih teruk dari membunuh.

Dua.
Doa orang yang teraniaya tidak ada hijab. Apa yang perlu adalah bertahan. Apa juga tomahan- Terima dengan kuat dan berdoalah kerana doa itu paling 'laju' sampai ke sisi Tuhan.

Tiga
Sabar. Hina keji orang, tuduh maki orang- Sabar. Ironinya sabar itu ringan pada pengucapan. Tapi cukup sukar untuk ditunaikan. Di saat diri tersepit dek macam-macam ujian, kadang-kadang boleh jadi putus asa dan pendek akal juga.
Tapi itulah- Sabar ini, kalau tertunai- Ganjarannya indah manis lagi nikmat.

Hari ini agak memberi tekanan. Entahlah. Dugaan menjelang hari perkahwinan, kata orang. Makin dekat dengan majlis, makin hebat ujian yang datang. Itulah dia tanda Allah sayang. Sebenarnya.
Tapi sebagai manusia biasa, saya berhak untuk bersedih apatah lagi kalau melibatkan hak dan maruah.

Doakan saya kuat. 

Sukar
Payah
Susah

Saya manusia biasa.

Walimatul 'Urus


Bismillah

Rasminya mengumumkan:
Moga Allah redha

Sungguh
Allah jualah sebaik-baik tempat berpaut
Pautan yang erat

Dhiya Dahlia

Untuk Pencinta Ikan Patin Temerloh


Bismillah

Dah nama pun orang Pahang, Temerloh pula tu, kan~ Wajarlah ikan patin menjadi buruan wajib. Kalau bukan asal Pahang pun, kebanyakan tetamu emak dan abah selalunya akan 'minta' dihidang dengan patin terutamanya patin masak tempoyak. Slurrrp!

Hari ini saya nak kongsikan gerai menjual patin yang selalu kami pergi dan beli ikan patin. Kami sekeluarga bertuah sebab ada akses ke Temerloh melalui jalan lama (Jalan KL- Kuantan-Kuantan-KL) yang bukan melalui LPT tu. Di situlah terletaknya banyak gerai menjual ikan air tawar terutamanya patin yang menjadi identiti penduduk Temerloh.
Bagi yang tak pasti, anda boleh mencari lokasi Hospital Temerloh dan di sepanjang jalan tu memang banyaklah gerai ikan ini di tepi-tepi jalan.

Salah satu gerai kegemaran emak adalah gerai ini. Terletak betul-betul di tepi jalan besar KL- Kuantan (menghala ke Kuantan) dan betul-betul sebaik melewati simpang Hospital Temerloh, dari jauh sudah boleh nampak papan tanda gerai ni. Papan tanda pun bukan yang canggih-manggih; conteng pakai cat saja, tapi jelas lagi nyata. Kalau tak nampak juga, mungkin kedai tu tutup, atau kalau masih tak nampak juga walau papan tanda tu jelas terpampang- Itu namanya pendek usia.
Papan tanda yang wajib saya peka kalau balik dari bandar Temerloh atau KL :P
Kebanyakan peniaga patin akan buat kolam kaca macam ini. Dari jauh lagi sudah boleh nampak ikan-ikan patin melambai. Itu yang kadang-kadang boleh jadi punca kemalangan. Mata tengok ikan, tangan, kaki dan anggota badan tengah fokus memandu.
Fatin. Kata Kak Budi Ibu Mertuaku~
Yang bagusnya gerai ni, siap ada disediakan nombor telefon kalau nak minta reserve. Nak tempah dua ekor boleh, nak tempah untuk kenduri pun boleh katanya. Tapi kalau nak banyak tu, janganlah tempah hari ini, esok mau ambil ya. Itu tak patut. Boleh simpan nombor yang ditulis dengan dakwat biru tu ok~
Waktu operasi: Waktu pejabat
Gerai ni juga ada menjual bahan-bahan lain untuk masakan patin. Serai, lengkuas, dan kadang-kadang ada juga daun kesum. Jadi tak payah nak patah balik pergi pasaraya semata-mata untuk dapatkan sekuntum bunga kantan tu
Selamat berpatinlah ye.

This is Temerloh, wehhhhh~!


Ramadhan 1436H


Bismillah

Entri ini sepatutnya saya nukilkan pada 1 Ramadhan yang lalu. Tapi entah bagaimana, sibuk yang macamana- Saya tangguh-tangguhkan entri ini sehinggalah menjadi entri akhir Ramadhan.

Alhamdulillah. Ramadhan sungguh didamba. Walaupun abah sudah tidak kuat macam dulu, tapi dia masih seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab. Dia masih mampu ke kedai membeli ikan dan sayur untuk emak masakkan sebagai juadah berbuka. Emak pula- Masih setia sebagai permaisuri di dapurnya. Dia tidak pernah mungkir akan tugasnya. Dan masakannya yang nampak biasa-biasa; boleh jadi istimewa. Ini ajaibnya mereka berdua. Emak dan abah saya. Saya yakin emak dan abah anda juga hebat. :)

Saya meletak jawatan tanggal seminggu Ramadhan. Saya pulang dengan kereta yang sarat dengan barang-barang dari asrama UKM. Bilik single itu saya tinggalkan penuh sayu. Teringat lagi dua tahun dulu, kolej di belakang DECTAR itulah yang sudi menerima saya menghuni biliknya saat saya datang kepada mereka dengan barang yang penuh di dalam kereta. Selepas dua tahun, perjuangan sarjana saya tamat, cuma masih belum kembali bekerja. Belum rezeki saya. Atau mungkin juga Allah sedang memberi saya masa yang cukup untuk bermanja dengan emak dan abah serta mempersiapkan emosi sebelum bernikah. Rezeki kerjaya akan datang selepas itu. Amin...

Maka berpuasalah saya di kampung sambil mengimbau kembali kenangan berpuasa sewaktu kecil dahulu. Menjadi anak kampung, saya tidak pernah merasa makanan mahal-mahal. Apa yang abah beli, apa yang emak masak- Itulah yang paling sedap bagi saya. 
Kini setiap hari saya membantu emak memasak di dapur. Selalu jugalah emak menurunkan petua yang macam-macam buat bekalan saya di hari depan. Jauh di sudut hati, saya hiba. Saya terlalu cepat dewasa hingga emak sudah ajar saya perkara-perkara yang 'berat' dan serius. Kurang dari sebulan saya akan 'dibawa' pergi oleh orang yang sebelum ini asing dan wataknya tidak pernah ada dalam hidup saya. Ramadhan depan, entah di manalah saya? Masih hidup atau telah meninggal? Di rumah emak abah atau di kampung mertua? Mesti emak dan abah teringatkan saya jika saya tiada. Maklumlah. Saya anak bongsu yang paling lama duduk dengan mereka :(

No
I am not taken
We share the love
We spread the love
Promise

Saya memujuk diri.

Dua minggu berpuasa, saya sudah mula mendengar lagu raya dimainkan di corong radio. Jujur, saya tidak lagi suka mendengar lagu raya kerana saya tahu Ramadhan sudah tiba ke penghujungnya. Kalau boleh saya tak mahu dengar lagu raya dan kalau boleh saya mahu Ramadhan itu selama-lamanya. 
Ramadhan adalah waktu saya dapat melihat kebaikan di mana-mana- mencemburui sedekah, menyantuni orang yang memerlukan, dan bermacam-macam jenis amalan lagi yang dibuat seperti dalam satu perlumbaan.
Namun sejak tahun 2009, Aidilfitri sudah menjadi sesuatu yang tidak lagi istimewa bagi saya. Hanya biasa-biasa sahaja. Cukuplah melihat kegembiraan orang dan membuatkan orang lain gembira- Itulah Aidilfitri saya. Saya tidak lagi teruja membeli baju raya, saya tidak lagi teruja dengan jualan murah raya. Kerana itu, setiap kami kedengaran lagu raya, 'Alahai...Ramadhan dah nak habis. Rasa baru je semalam mula berpuasa. Tahun depan- Entah jumpa lagi ke tidak~' Itu yang terdetik dalam hati saya :(

Ramadhan
Tolonglah jangan pergi
Banyak lagi yang tak terbaiki
Iman masih nipis lagi
Ego masih tinggi
Madrasah sebulan ini
Terlalu singkat untuk dinikmati
Ramadhan
Jangan mungkir janji
Kalau pergi
Jangan lupa untuk kembali

Dhiya Dahlia
12.22 am

Wordless Wednesday


Happy celebrating Wordless Wednesday!


Nak Sangat Menulis Walau Kerja Sangat Banyak


Bismillah

Hampir seminggu saya berada di rumah. Walaupun tidak lagi bekerja, jangan anggap saya boleh goyang kaki sahaja. Banyak perkara yang perlu dibuat. Persiapan yang kecil-kecil tidak boleh dilepas pandang. Setiap hari sejak pulang minggu lepas, saya memandu ke sana ke mari untuk memenuhkan keperluan persiapan. Penat memang penat, ditambah lagi bekerja dalam bulan Ramadhan. Tengok air paip pun dah macam air laici sejuk!

Mari semak senarai tugas:

1. Borang nikah- Dah sedia
2. Bunga stokin- 40 pcs dah siap
3. Thank you tag- 1000 pcs dah siap cetak dan gunting
4. Sticker bottle jar- 120 pcs dah siap tampal
5. Goodie bag kanak-kanak- 200 pcs tengah isi dengan mak
6. Kad jemputan- Bersedia untuk diedarkan!
7. DIY kasut- Kena letak brooch je pun
8. Tudung nikah- Kena jahit tepi. Mak iolls kan taylor (muka berlagak~)
9. Bunga tisu kuning- 50 pcs dah siap. Tinggal lagi 50 pcs
10. Bunga tisu pink- 100 pcs kena siapkan oi!
11. DIY hantaran-Baru dapat buat sikit

Sebenarnya panjang lagi senarai ni. Tapi setakat entri ini ditulis, ini sahaja item yang boleh saya ingat. DIY dan persiapan perkahwinan sangat menyeronokkan, tapi saya telah mengorbankan kerjaya saya demi untuk berada di sisi emak dan abah yang sebelum ini melakukan persiapan kenduri sendirian tanpa saya. Insya Allah semoga Allah reward dengan sesuatu yang lebih baik kelak :)

Untuk masa sekarang, saya memang tak berminat nak jawab panggilan atau balas mesej FB, Whatapps, Telegram atau sebagainya. Kalau dah duduk berteleku menyiapkan bunga tisu tu (contohnya), saya memang tak akan tengok telefon. Lagipun, saya tak mahu banyak cakap tentang hal remeh atau apa-apa yang boleh mengganggu fikiran. Saya betul-betul mahu tenang dan bersendirian dengan emak dan abah. Menulis di sini mungkin jalan terbaik untuk anda melihat saya berbicara dalam diam.

Dengan itu, saya akan terus menulis. Untuk aktifkan kembali DDD dan demi kepuasan dan kemandirian hobi dan passion saya. More to come, semuanya tentang perkahwinan. Ya, perkahwinan saya. Bagaimana hampir semuanya DIY, dan bagaimana saya lakukannya dengan gembira tetapi sederhana tanpa perlu berperang dengan isu kewangan ditambah lagi dengan GST yang erghhhh tu! Tunggu~!

Letak


Letak Jawatan

Secara rasminya saya telah meninggalkan kerusi selesa yang dipinjamkan di pejabat itu.
 Alhamdulillah.
Sekali lagi.
Tiada kesal.

Izinkan saya pulang ke kampung
Dapat ada di depan mata emak dan abah
Rebut pahala
Sebaki masa yang ada
Sebelum dua minggu selepas raya

Banyak sangat yang saya belajar selama empat bulan di situ. Ada yang baik, molek benar untuk dibuat ikutan. Ada juga yang tidak elok, tapi cukuplah dibuat sempadan pengajaran. 

Memandangkan ini adalah pengalaman saya berada dalam sektor kerajaan (atau mungkin syarikat yang berorientasikan sistem kerajaan), saya sangat teruja. (Nanti saya ceritakan pengalamannya, ya). Tapi apa boleh buat. Allah beri izin rezeki saya hanya setakat empat bulan ini sahaja. 

Saya berhenti bukan sebab apa-apa faktor yang tidak elok. Perletakan jawatan ini adalah sukarela, bagi memenuhi tanggungjawab saya sebagai seorang anak tambah-tambah lagi di saat kesihatan abah yang tidak menentu dan ditambah lagi 'mengejar' dua minggu selepas raya tu.

Saya yakin, Allah telah, sedang dan akan mengaturkan sesuatu yang fit dengan keperluan dan kemampuan saya. Emak dan abah juga sudah redha. Mereka gembira dengan keputusan saya ini yang sekurang-kurangnya memudahkan urusan mereka yang banyak terkandas kerana ketiadaan kudrat orang muda. Teman saya juga ikhlas menerima keputusan saya yang memilih jalan sukar dalam melalui hari-hari yang akan datang. Mereka mendoakan agar Allah memberikan sesuatu yang lebih baik dari apa yang telah saya tinggalkan. Allahumma Amin.

Insya Allah dengan perletakan jawatan ini, saya kini blogger sepenuh masa (buat sementara waktu sahaja). Saya akan kembali bekerja dan pulang ke kota sebaik teman saya menjemput saya ke sana.

Letak.
Ego.
Tinggal.
Jauh.

Moga Allah redha.

Bismillah. Selamat Datang Ramadhan!


Bismillah

Alhamdulillah
Sungguh Allah sangat sayang pada kita
Masih diberi izin untuk bertemu dengan Ramadhan sekali lagi.

Insya Allah ada azam dan janji yang saya mahu penuhi.
Bukan untuk siapa-siapa.
Ini saham saya dengan Tuhan.
Moga Allah terima--
Iltizam
Janji
Semangat
Amal
Ibadat
Yang akan dipersembahkan.
Moga juga terus kekal lagi istiqamah
Sampai bila-bila
Selagi hayat dalam badan.

Ahlan Ramadhan
Sungguh kami rindu pada didikanmu
Bantu kami Ya Rahman
Moga ini bukan Ramadhan terakhir.

Salam Sayang
Dhiya Dahlia

DIY: Partition Fail Pun Kena Buat Sendiri


Bismillah

Inilah hakikat bekerja di sektor kerajaan. Bajet kena potong sana sini. Kalau ada pun, minta satu barang hari ni, nanti 3 bulan baru dapat. Padahal nak minta gam je pun~ (End up, aku rela spend duit sendiri dan beli jelah. Bantu organisasi yang sengkek ini kononnya)

Saka DIY ni memang menurun sampai ke tempat kerja. Mana tidaknya. Sudah sebulan saya isi borang untuk minta alat tulis dan beberapa set folder separator sebab kerja saya banyak membaca dan menyusun fail. Tapi, sampai ke hari ini saya masih belum dapat apa yang diminta. Jauh sangat bezanya dengan syarikat swasta tempat saya bekerja dulu. Isi borang pagi, petangnya akan terus dapat. Kalau hantar borang selepas pukul tiga petang barulah barang akan dapat pada keesokan harinya. Efisyen gituh~
Konon nak jadi proaktif, saya buatlah folder separator ni sendiri sebab bosan sungguh menunggu. Lagi pula, fail-fail saya makin bertambah. Kalau ditunggu-tunggu, kalau disimpan-simpan...Alamatnya bertimbunlah kerja saya.

Atas pengalaman DIY yang ada sebelum ini, saya terus menaip printable folder label di laman Google. Dalam sekelip mata, masalah saya hampir selesai. Sungguh Allah telah mengurniakan akal untuk berfikir, bukan untuk bash-bash orang dengan hujah yang tak mantik tu :p (ok itu sindiran~). Sebaik dah jumpa label yang sesuai, print saja. Kemudian, guntingkan dan gamkan di hujung kertas separator folder anda.

Sebenanrnya banyak sangat jenis printable folder label. Dari jenis yang dry boring tak cantik sampai la yang funky sakan. Tinggal lagi nak pilih yang mana yang sesuai dengan keperluan. Kalau dah tahu nak buat fail untuk audit, tak perlulah nak design macam buat scrapbook~

Memang entri ini entri menyindir je. Mana tidaknya. Barang lambat dapat. Bila kerja tertangguh, kita pula yang disalahkan. Dia buat kita ni macam orang tak pernah kerja. You, I pernah kerja, you. Exec lagi kat company swasta. You jangan buat I macam kerani cabuk lulusan SPM je, tau~! I pun ada pride.

Bila filing dah siap, meja dah lapang dan fail-fail pun dah kemas disusun di dalam bilik fail:
"Wah efisyennya you, Dhiya!"
Blah~

Dhiya

DIY Bunga Telur Stokin dah siap~!


Bismillah
(Sambil lepas nafas panjang)

DIY bunga telur stokin saya akhirnya berjaya disiapkan. 
Dulu, saya sangat kurang sabar. Walaupun masih belum siap, saya tetap tulis juga entri tentang bunga stokin ni di sini. Tapi ok jugalah. Sekurang-kurangnya saya dah tak perlu tulis balik cerita yang sama. Saya akan tambah mana yang kurang saja :)

Pastinya, entri kali ini saya akan kongsikan dengan pembaca hasil kerja tangan saya yang paling grand setakat ini (Siapa lagi nak puji diri sendiri haaa~)
Proses menyiapkan bunga stokin ni mengambil masa sebulan lebih juga, bermula dari penyediaan bahan, kerja-kerja penyediaan dan kerja-kerja mencantum. Itu belum lagi saya kira 'cuti' menjaga abah di hospital tempoh hari dan urusan-urusan lain.
Itu pun, saya tak dapat siapkan 50 kuntum sebab rasa dah terlampau banyak sangat. Akhirnya saya siapkan 40 kuntum saja dengan harapan 40 kuntum rasanya dah cukup untuk dicucuk penuh menjadi bunga pahar.

Berikut saya kongsikan gambar-gambar persiapan bunga stokin saya hinggalah ianya menjadi sekuntum pokok bunga telur. Insya Allah, kalau saya boleh buat, anda juga boleh buat!
Manik yang saya simpulkan pada dawai untuk dibuat hiasan.
Lilitkan pada batang buluh untuk menghasilkan kesan spiral
Inilah hasilnya. Ini baru satu bahagian dari keseluruhan bunga tu ok :p
Buatlah sebanyak mana yang diperlukan. Memang nak tak nak, kita kena siapkan semua benda-benda kecil ni terlebih dahulu sebelum seronok nak mencantum.
Reben jenis 1
Reben jenis 2. Saya buat dua warna supaya tonanya sekata
Reben jenis 3. Sama je macam reben jenis 2, tetapi saiz rebennya besar sedikit
Organza. Saya lipat macam kipas dan kemudian ikat dengan dawai di tengahnya.
Manik kristal ini saya beli siap di kedai bunga di Nilai 3.
Saya lilitkan siap-siap di hujung batang buluh sebagai 'pucuk' bunga telur saya
Inilah dia sekuntum bunga telur saya yang dah disiapkan. Percayalah, kerja-kerja mencantum sangat cepat apabila kita dah siapkan semua bahan-bahan yang kecil tu.
Kita tenung lama sikit ok~
Saya tiada video tutorial untuk mencantum bunga ini. Tapi insya Allah semua ni mudah dan cepat je kalau semua bahan dah siap sedia.
Bukan untuk dijual :)
 
Tapi apa punnnn, pengalaman menyiapkan bunga telur stokin ini adalah pengalaman yang paling manis. Bukan sedikit sabar yang saya kena ada. Tangan luka-luka pun dibuat tak tahu saja. Passion tu mengatasi segala-galanya. 

Sekali lagi, kepada B2B pencinta DIY- Kemahiran sahaja tidak cukup untuk menjadikan impian DIY anda satu realiti. Apa yang lebih penting adalah semangat yang tak boleh luntur, sabar dan minat yang tinggi. Kalau rasa nak DIY tu pada tahap hangat-hangat tahi ayam saja, keluarkanlah wang dan berbelanjalah. Takut juga kalau nanti DIY tak siap, masa semakin suntuk dan apa pun tak menjadi.

Banyak lagi yang akan saya tulis. Mungkin sampai selepas majlis besar pun. Jangan bosan ye :)

Salam sayang, 
Dhiya Dahlia

Undur Masa


Bismillah

Hari ini sedikit senang.

Abah dan emak di kampung sihat
Insiden 24 Mei 2015 saya sudah tenang
Semalam saya kemalangan, tapi sudah selesai cara baik
Apa lagi nikmat yang saya mahu dustakan.

Nikmat ini
Bukan pada wang ringgit, pangkat dan harta semata-mata
Badan sihat
Hati tenang
Bukankah itu juga sebahagian dari nikmat?

Disebabkan sedikit lapang hari ini, saya berjaya menghabiskan bacaan artikel yang saya jumpa di FB. Memanglah info di FB ni kadang-kadang tidak boleh dipercayai sangat. Tapi dalam konteks ini, saya bersetuju seterusnya membawa kepada ulasan peribadi saya sendiri.

Undur masa.
Itu yang saya minta.
Jikalaulah boleh. Kan?

Gajet dan perkembangan teknologinya di masa kini sangat pantas. Saya bukanlah anti-pemodenan. Bukan sedikit faedah yang kita dapat dari perkembangan teknologi ini. Tapi dari sudut yang lebih kecil, saya melihat gajet sebagai 'pembunuh' kepada nilai sebuah kehidupan.

Anak-anak saudara saya sendiri pun tidak terkecuali. Minat mereka lebih kepada telefon pintar, laptop dan tab. Memang. Boleh. Tapi perlu berpada-pada dan dipantau. Tapi jauh di sudut hati saya, mampukah saya untuk menangani isu ini jika kelak giliran saya menjadi ibu?
Saya termenung jauh.
Mati kata.

Dalam perbualan saya dengan Elis tidak lama dulu, dia ada kongsikan pembacaannya bagaimana seorang anak dalam lingkungan setahun yang diberi tab bagi 'melalaikannya' supaya tidak mengganggu ibu bapa atau tidak menangis. Pada satu masa, anak itu cuba diberikan buku dan perkara paling malang yang berlaku adalah anak itu tidak pandai menyelak helaian kertas melainkan terus menggerakkan jarinya seperti yang dibuatnya pada tab pada buku tersebut.

Sedih.

Banyak sangat artikel yang ditulis berkaitan dengan isu ini. Bacalah. Saya sendiri pun mencuri baca kalau ada masa terluang. Kalau berat badan saja bertambah, ilmu dan pengetahuan tidak, malulah kita~ Saya bukanlah pakar dalam bidang ini. sEBAb itu saya pun menggali ilmu.

Masih teringat, permainan-permainan yang ada pada zaman saya ketika awal tahun 90-an sangat klasik. Tetapi saya dan rakan-rakan seangkatan masih boleh cemerlang mengaji Al Quran dan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Kami boleh menjadi manusia walau tanpa teknologi jauh sekali gajet yang macam-macam hari ini.
Main nyorok-nyorok~ Main guli~ Main jengket-jengket~ Main cuit duduk halahaiii banyak lagi!
Dalam banyak-banyak permainan tradisi di zaman saya membesar, permainan inilah yang paling saya boleh main. Saya ini bukanlah orang yang lasak. Kalau main kejar-kejar tu memang tak minat (mungkin sebab saya dulu gemuk kut~). Jadi permainan yang ada giliran macam inilah yang boleh saya layan :p
Tuju Selipar- Punnn saya tak minat sebab kalau kena baling selipar dan kena di badan, sangat-sangat sakit sampai boleh jadi berbirat dibuatnya. Ini permainan budak lelaki. Saya selalu tengok di tepi padang sahaja.
Main guli- Ini pun 'game orang lelaki' sahaja. Tapi dulu-dulu, ada juga kawan-kawan saya yang perempuan bermain guli. Tapi sungguh nampak tak jelita.
Ha tak dilupakan, ini satu lagi permainan saya dulu-dulu yang paling saya rindu. Congkak tanah. Rumah abah dan kebanyakan kejiranan kami dulu bertangga. Jadi di bawahnya ada ruang yang kadang-kadang boleh baring, sidai baju malah boleh berkelah kat situ. Mana yang tak mampu untuk ada congkak kayu tu, congkak tanahlah pilihan terbaik dari hanya telan air liur. Saya dan kawan-kawan akan gali tanah sebesar tapak tangan mengikut susunan dan bentuk congkak kayu. Maka bermainlah kami congkak tanah itu yang mana buahnya adalah biji getah. Balik ke rumah, selalu mak akan rotan hujung jari saya sebab kuku dah jadi hitam sebab mencedok tanah semasa bermain congkak tu.

Budak kampung
Dulu-dulu
Tapi saya bangga
Bangga sangat
Sampai terbayangkan
Kalaulah boleh diundur masa

Go out. Get a life!

Dhiya


24 Mei 2015 Ahad


Bismillah
Wallahi

Aku tak akan melupakan perangkap di Restoran Thoyyib Nilai tu.

Aku di situ sebagai loser
Tak ada pembelaan
Tak siapa kasihan

Cukuplah dua kali kita bermesyuarat (kononnya)
Semua tu jerat
JERAT
Aku serik
SANGAT

Enam orang yang berada di situ
Selamat tinggal hormat dan percaya
Jauh sekali kasih dan sayang
TIADA
Aku tahu aku tak diundang
Jauh sekali untuk diraikan
TAK APA

Aku sedih
Kalian gembira
Allah murka
Tunggulah pengajaran dari DIA

Dahlia

Rabu 20 Mei 2015


Bismillah

Rabu
Terima kasih sebab masih boleh bernafas
Terima kasih sebab masih boleh senyum

Esok abah akan berada di KL untuk temujanjinya di IJN. Memang kami adik beradik yang sepakat untuk membawa abah ke IJN, rentetan dari sikap tunggu dan lihat HTAA. Lagipun, IJN dengan tempat kerja saya masih boleh digagahi juga untuk sampai walaupun semua orang tahu sesaknya sungguh teruk. Kalau di HTAA, saya bukan setakat tidak dapat hadir bekerja, malah mungkin terpaksa berhenti begitu sahaja.

Itu baru secebis kisah yang lama saya pendam dan tidak kongsikan sejak beberapa bulan lepas. Banyak lagi yang memberat, tapi saya cuba untuk tabah menghadapi semua ini. Untuk masa sekarang, abah adalah keutamaan saya. Saya mahu lihat dia tenang dan senang dengan ikhtiar kami untuk menyihatkan dia.
Emosi saya sangat rapuh kalau bercakap tentang masalah kesihatan abah. Kurang lebih 2 bulan, saya mahu abah berada bersama saya dalam satu upacara maha penting dalam hidup saya. Perlu. Amat. Maka dengan itu saya juga amat beremosi (berang) kalau ada orang luar yang cuba tunjuk pandai dalam upacara itu. Ianya milik emak dan abah. Orang luar tak ada hak untuk mengarahkan itu ini, atau saya selamanya akan hilang hormat kepada manusia jenis ini. Itu satu janji. Maruah emak dan abah akan saya jaga sampai mati.

Persiapan dah jadi ala kadar. Tak apalah. Saya tak kisah. Saya sudah lama redha dengan aturan Allah sejak abah disahkan sakit ni. Yang penting emak dan abah gembira. Tak perlu bermewah sangat.

Kawan-kawan- Mereka masih setia dengan saya. Tiada penambahan rakan baru, atau penarikan diri rakan sedia ada hanya kerana saya tidak punya apa-apa sekarang. Mereka adalah anugerah Allah yang sangat  baik. Yang sudi mendengar, yang sudi menawarkan bantuan, malah ada yang sudi berkongsi rezeki- Hanya Allah yang akan membalas segalanya nanti.

Insya Allah.

Salam sayang,
Dahlia

Apa Khabar


Bismillah

Apa khabar DDD?
Sunyi dan berhabuk.
Sepi

Apa khabar tuan DDD?
Apa khabar iman?
Apa khabar semuanya?

Terlalu banyak yang terjadi dalam tempoh sekejap ini.
Hingga saya menjadi amat rapuh.
Air mata menjadi amat murah.
Saya hampir putus asa.
Atas ujian yang satu demi satu datang.

Tapi emak berpesan
Seteruk mana kita diuji
Ada lagi yang lebih teruk
Selalulah kenang mereka
Supaya kita lebih faham erti untung

Semoga Allah mengubat kedukaan saya ini
Amin

Dahlia

Ibu Terbaik


Bismillah

Dengan nama Allah, semoga penulisan kali ini menjadi peringatan dan pengajaran pertamanya kepada diri saya sendiri- Sebelum sampai kepada orang lain. Biarlah kering air mata saya menangis untuk menulis mesej ini, asalkan kebenarannya ternukil.

Saya bukan seorang ibu. Maksud saya- Belum lagi menjadi seorang ibu. Namun siapa tahu setahun dua dari sekarang, kehidupan saya meriah dengan anak-anak. Saya amat sedar, tajuk ini tidaklah layak untuk saya huraikan dengan panjang lebar seperti sudah punya pengalaman. Tetapi ada beberapa isi penting yang boleh saya titipkan sedikit pandangan dan komentar dari sisi pandangan seorang anak. Ya, ini adalah persepsi ibu terbaik dari kaca mata seorang anak. (Sengaja saya akan lenyapkan istilah bapa bukanlah kerana bapa tidak punya fungsi, tetapi penekanan saya dalam penulisan ini adalah lebih kepada ibu.)

Alif Baa Taa
Masih terngiang-ngiang lagu mengenal huruf Hija'iyyah yang ibu nyanyikan semasa di dapur, semasa baring bersama malah semasa mandi. Setiap kali usai solat Maghrib bersama, si anak tanpa dipaksa akan terus mengambil rehal dan Muqaddam untuk tasmi'. Kadang-kadang pelat, kadang-kadang ibu garang. Rotan di sebelah tak pernah ditinggal, tapi tidak pernah menghinggap. Surah-surah lazim pula dialunkan setiap kali sebelum tidur. Semuanya berlaku di rumah. Penuh Rela. Tanpa paksa.
Dalam kehidupan seorang anak yang lain, nasibnya sungguh berbeza. Tiada nyanyian bersama ibu, tiada solat bersama, malah tiada sesi tasmi' bersama. Anak ini diupah orang setiap selepas Maghrib supaya mengenal Alif Baa Taa hingga boleh mengaji dengan bayaran RM30 sebulan. Mungkin. Suasana seperti sekolah. Sedangkan seharian sudah berada di sekolah. Di mana sosok tubuh seorang ibu- Saya pun tidak pasti.

Di Rumah
Sedari celik mata pagi, ibu yang menyanyi lagu Aliff Baa Taa itu sudah sibuk di dapur. Rasanya, mungkin hingga ke hari ini pun rutinnya masih begitu. Walau hanya nasi goreng yang nasinya adalah lebihan malam tadi, dia tetap memasak. Orang susah, membazir jangan. Si anak tetap makan. Tiada istilah tidak sedap, bosan atau apa-apa rungutan. Malah bertambah dua kali. Air tangan bonda benarlah sungguh sakti. Ajaibnya hingga tiada sebarang penerangan lanjut. Ibu terbaik.
Anak yang mengaji dengan upahan orang tadi, bangun tidurnya sendiri. Tiada geletek manja dari ibu. Ada seorang bibik Indon ditinggalkan untuk si anak itu. Si bibiklah yang memandikannya, si bibiklah yang menyediakan makan pakainya, si bibiklah yang melayan zaman kanak-kanaknya menggantikan ibu yang sibuk bekerja supaya tidak berlohong sunyi dan kosong. Rasanya sehingga hari ini pun, si bibik itu masih setia dengan si anak itu walau anak itu sudah dewasa. Tidak salah menjadi ibu bekerja. Saya sedang bercerita. Jangan tuduh saya berat sebelah.

Yeay Ibu Pulang!
Pada hari-hari tertentu, si ibu yang sibuk di dapur tadi akan ke kebun juga. Sepanjang bepergian, anaknya kadang-kadang ditinggalkan sendiri. Tak ada bibiklah katakan. Pesan ibu itu panjang berjela. Jangan buka pintu, jangan main api, jangan main pisau, jangan merayap. Makanan sudah ada semua di atas meja. Makan dan tonton saja TV. Sebaik mendengar ibu pulang, anak ini gembira. Ibu disambut dengan jerit gembira. Ibu tidak pernah lupa membeli jajan dua puluh sen barang satu atau dua. Hari-hari jajan yang sama, tapi anak itu tidak pernah merungut. Apa adanya, dia terima.
Anak yang dijaga bibik tadi, dikurung di rumah tanpa izin keluar yang keras. Duduklah dia di rumah dengan bibik yang menjadi ganti ibunya. Makanlah dia air tangan bibik. Belajarlah dia bahasa bibik. Dengarlah dia cerita bibik. Sebaik ibunya pulang, hati melonjak teruja. Ditunjukkan kuih pau yang dibuat bersama bibik.
"Yeay ibu pulang!"
"Jangan bising. Ibu penat. Pergi main jauh!"
"Ibu saya buat kuih pau. Rasalah"
"Jangan kacau ibu. Ibu penat bekerja!" Sambil berlalu pergi tanpa memandang pau hasil si anak.
Setelah lebih 20 tahun, saya yakin si anak masih terluka dengan cerita pau ini. 

Zaman Belajar
Anak yang ibunya bawakan jajan tadi, dalam susah payah dihantar juga bersekolah. Citanya tinggi. Anak itu tak akan mewarisi kesusahan ibu itu. Pergilah terbang jauh, cuma jangan lupa sekali sekala menyinggah kembali ke sarang lama. Anak ini gembira. Jalannya mudah dengan berkat doa ibu. Terbang tinggi lagi jauh. Sekolahnya kini di bandar. Setiap awal tahun, si ibu akan bersusah payah menghantar anak itu ke asrama. Tingkat tiga pun dia sanggup daki dan jinjitkan beg si anak yang berat dengan baju dan buku.
Sama juga di zaman universiti. Sanggup menyewa orang untuk memandu ke kota menghantar anak ke universiti. Si ibu itulah yang bersusah payah berhabis wang ringgit dan tenaga. Terasa tiada apa yang lebih membanggakan, anak kampung yang dididiknya jauh merentas kota.
Si anak jauh dari mata. Tapi selalu dipeluk restu dan doa. Berjalan kaki ke kelas walau kadang berhujan, berpanas atau disimbah air bertakung dari gelecek tayar kenderaan di jalanan.Tapi semangatnya tidak pernah luntur demi maruah keluarga tercinta.
Anak yang dimarah ibunya kerana pau tadi, menjadi anak bandar yang bersekolah di sekolah elit kota. Masih, keperluannya dijaga oleh bibik hingga pada usia dewasa. Pengajian universitinya, dia datang sendiri mengangkut keperluan asrama tanpa ibu di sisi. Semuanya sendiri. Cuma sebuah kereta diberi buat 'bekal' agar mudah bergerak ke sana ke mari serta mudah dan segera kalau dipanggil balik ke rumah oleh ibunya.
 
Anakku Sazali
Perjalanan anak yang ibunya bergolok bergadai menghantar anak ke universiti tadi semakin mencabar. Zaman bekerja bukanlah mudah. Tuntutan tugas dan kekangan waktu selalu merenggut emosi. Dia kalau boleh ingin selalu ada di sisi ibu yang makin tua. Sakit demamnya, apalah kudrat orang kampung seperti ibu itu untuk berikhtiar kalau tanpa orang yang punya sedikit lebih upaya seperti anaknya. Tapi tidak boleh tidak, dia akan mencuri masa pulang ke desa. Sarang lama- Biar kecil, kotor, berdebu dan tidak mewah- Itulah tempat segalanya bermula. Mana mungkin senang dilupa. Jauh ke hujung dunia sekalipun, rumah desa itulah yang paling membawa bahagia. 
"Anakku bukan Sazali"
Bisik si ibu dalam doa malamnya
" Terima kasih ibu, kerana tidak menjadikan aku seorang 'Sazali' yang musnah"
Bisik si anak dalam doa pendeknya.
Ajaibnya kasih ibu. Tanpa harta yang melimpah ruah, ibu ini berjaya membuktikan kuasa kasih sayang adalah kunci kepada lunaknya hati si anak.
Anak yang mendaftar sendiri sewaktu di universiti itu, kini seorang profesional yang boleh dibanggakan. Tapi dia selalu sunyi. Jarang sekali pulang berhujung minggu di rumah ibu. Ibu pun masih sibuk seperti dulu. Kariernya meningkat seiring usia. Mereka berlumba profesionalisma tanpa menghargai nilai familisma. Hati si anak tawar dengan ibu. Sedang ibu mengharapkan anak yang dibesarkan selama ini 'pulang' memberi jasa kepadanya semula.
"Kamu sudah lupakan ibu!"
"Bagaimana mungkin?"
"Kamu tidak lagi mendengar arahan dan kata-kata ibu"
"Kerana saya telah dan sedang dewasa, ibu"
"Kamu derhaka dengan ibu!"
"Seteruk itu?"
"Inikah balasan yang ibu dapat, setelah ibu didik kamu dengan penuh kasih mesra?"
"Ibu, jikalau 10 tahun dahulu ibu melakukan sedemikian (memberi perhatian sebaik mungkin dan memenuhi hak saya mendapat kasih sayang dan perhatian ketika itu), barangkali saya boleh jadi baik sekarang..Tapi sekarang sudah terlambat, ibu. Terlambat..."
"Ibu yang bersalah dalam soal ini, ibu membesarkan saya dengan material, tetapi saya tandus perhatian, kasih sayang dan sokongan emosi. Ibu selalu mengugut saya dengan isu restu, redha dan neraka. Tapi pernahkah ibu terfikir apa ertinya seorang ibu yang tidak menunaikan hak kasih sayang kepada anaknya? Saya bukan minta dimanja dengan semua hajat yang mesti tertunai. Cukuplah sekadar perhatian yang diberikan walau dalam bentuk senyuman mesra dan pelukan kasih. Tapi saya tidak merasainya 10 tahun dulu, apatah lagi sekarang, ibu"
"Ya, saya mirip sikap Sazali. Tapi saya tidak sejahat Sazali, ibu. Fahamilah secebis isi hati saya. Ibu juga sebahagian dari punca mengapa saya menjadi saya yang hari ini."

---------
Hari ini, saya melihat dan mengenali 'Sazali' yang teraniaya ini. Terasa bagai mimpi dan drama. Jasadnya tegak penuh karisma, tapi jiwanya mengalami kecederaan emosi yang teruk akibat 'penderaan' itu. Benarlah telahan saya, kisah kuih pau itu masih jelas dalam ingatannya dan diulang kepada saya berkali-kali. Dia cukup semua keperluan material, tetapi sangat tandus sokongan emosi. Dia 'mencari Tuhan' atas inisiatif bersama rakan-rakan di universiti, mujur. Saya ngeri. Kalau dia tersilap memilih teman, entah siapalah dia hari ini.

Saya terpukul. Saya sedang bekerja. Esok lusa kalau diizin Tuhan, saya akan menjadi ibu. Mampukah saya untuk tidak mewarisi atau mengulangi kepincangan ibu yang menuduh anaknya derhaka itu, sedangkan puncanya adalah dari kurangnya masa dia bersama dengan anaknya.

Senyap-senyap saya menulis. Cita-cita sebenar saya adalah untuk menjadi suri rumah sepenuh masa, biarpun saya punya sijil sarjana. Semua itu tiada makna apa-apa kalau keluarga saya kelak porak peranda hanya kerana kurangnya kasih dan sayang yang wajarnya datang dari saya.

Ibu terbaik-
Bukan yang mampu menyediakan semua keperluan material dan menutup mulut anak dengan wang ringgit.
Mereka itu adalah ibu yang mampu memeluk kasih anak, mendoakan hati mereka agar menjadi lunak, tidak 'liar' dan keras seperti batu.
Mereka itu adalah yang redha dan restu bukan pada salaman tangan, tapi pada hati yang lapang.
Kerana
Esok atau lusa
Anak inilah yang akan dengan rela hati terjun ke lahad menyambut jasad kita
Anak inilah aset yang membantu kehidupan di alam sana

Anak yang Sazali
Saya bimbang dia tidak sedikit pun sedih dan kosong
Saat kehilangan kita
Kerana dia sudah terbiasa dengan sebuah ketiadaan dan kesunyian.

Allahua'lam.
Dahlia

*Entri ini adalah persepsi ibu terbaik dari kaca mata saya yang mewakili seorang anak. Dinukilkan sebagai peringatan kepada diri saya sendiri yang esok lusa akan menjadi emak.

DAISO kenakan GST. Tapi Aku Beli Juga Sebab...


Bismillah

Tajuk penuh:
DAISO kenakan GST. Tapi Aku Beli Juga Sebab Aku Jumpa Barang Best untuk B2B!

Siapa yang masih gigih dengan DIY bunga tisu? Saya ada berita baik! Saya jumpa tisu warna warni yang sangat cantik di DAISO yang boleh anda gunakan sebagai bunga anda. Jadi tak perlu sedih lagi kalau tak mampu untuk ke IKEA. Harga di DAISO pun lebih murah walaupun dikenakan GST.
Jadi B2B, cepatlah ke DAISO berhampiran dan cari tisu ini. Saya ke IOI City Mall Putrajaya dan warna yang ada masa tu adalah merah, kuning dan hijau. Memandangkan saya dah ada warna kuning, jadi saya grab warna hijau dan warna merah.

Hailaaaa Dhiya. Bunga sendiri dah siap, tapi masih seronok membeli tisu warna ni. Tapi tak apa, tempahan untuk bunga tisu ini sentiasa dibuka. Jadi saya tak sedih sangat sebab saya tahu, ia tak akan terperam begitu sahaja!
Tisu-tisu di atas rak. Tapi dah luak sebab saya dah beli. Jangan sedih yaaaa!
Sebut tentang GST, saya sedih jugalah sebab DAISO ni macam kedai mampu milik. Semua orang suka ke sini kerana barang-barangnya convenient dan helpful. Setiap barang sekarang dah jadi RM 5.30 instead of RM 5. Cashier pun dah terkial-kial menyediakan baki wang terutamanya syiling sekarang ni sebab jumlah bayaran tidak lagi genap.

Tapi apa boleh buat. Polisi kerajaan. Rela atau tidak, kita terpaksa telan tanpa pilihan. 
Dah alang-alang tu, saya terus sahaja beli bamboo basket berbentuk bulat ini sebagai tambahan hiasan h*nta**n saya. Kali ini h*nta**n saya saya akan buat sendiri. Serik benar rasanya mengenangkan kisah Januari lepas. Sub kan pada orang, kosnya bertambah dek mengikut citarasa si penggubah, tanpa mempertimbangkan bajet saya (padahal amatur je pun, jiran sekampung~)
Bamboo basket saya beli 5 sahaja setelah mencongak barang-barang yang memerlukan tapak
Nampak tu. GST RM 2.70. Tahniah Malaysia
Ini tisu berwarna dari DAISO yang saya dah beli. Saya tak pastilah masih ada berapa di rak. All the best kepada yang memburunya!
Rakan-rakan DIY, moga terus bersemangat! Sebarang perkongsian, bolehlah dimajukan kepada saya melalui email diahalida@gmail.com. Beri salam dan kenalkan diri. Anda pasti cantik :)

Dhiya

Entri Lama: Pesta Belon Putrajaya


Assalamualaikum :)

DDD sangat tidak aktif sejak kebelakangan ini. Sindrom nak kahwin mungkin~ Pulak tu, boleh dikatakan semua entri yang saya tulis adalah entri super backdated yang mana bukan berlaku semalam atau semalamnya. Tapi dua ke tiga bulan lepas punya cerita. Kalau dalam konteks kerja ni, dah lama KPI saya jatuh melingkup!

Ini adalah salah satu cerita yang dah boleh dikategorikan sebagai purba. Purbalah~ Bulan lepas punya cerita kut...

Saya tak berminatlah nak menulis dan bercerita panjang. Mari saya kongsikan gambar-gambar menarik.
Hari pertama
Picnic site. Di sini ramai yang bawa keluarga dan berkelah sambil main belon gergasi. Orang single macam saya boleh tengok je dulu.
Saya sebenarnya terlepas slot pertunjukan belon udara panas jam 7 pagi. Tak terdaya nak keluar seawal selepas solat subuh semata-mata untuk menembak gambar belon. Jadi sebaik sampai di sini pada jam 8 pagi, saya tengok banyak belon udara panas berada di site mereka sahaja dan tidak terbang ke udara.
Pagi pun orang ramai. Dengar katanya tiket untuk masuk ke dalam pagar belon udara panas tu sudah habis dijual seawal bulan Januari. Fuh. Boleh tahan sambutannya, ya.
Bukan setakat belon udara panas, pesta ini juga membuka peluang kepada peniaga-peniaga khususnya makanan. Banyak sangat food truck yang kita tak pernah tahu dan istimewa. Paling bagus, kebanyakan peniaga food truck yang berniaga di sini adalah dari kalangan orang Melayu. Makanan mereka penuh dengan inovasi yang dipersembahkan dengan cara yang sangat kreatif dan diberi nafas baru.
Agak-agak berani ke nak cuba?
Kenyang 2 bulan :)
Belon ini naik sekadar 30 kaki dengan membawa pelawat-pelawat yang mempunyai tiket dalam 10 minit. Saya memang tak minat slot ni sebab saya ada penyakit gayat. Jadi saya tak kisah untuk hanya berada di bawah dan menembak gambar. Hihihi
Boleh juga kalau nak rasa naik helikopter. Tapi sekali lagi, saya gayat jadi tak teringin sedikit pun nak naik benda alah ni :)
Hari kedua
Nampak muka orang yang mengintai tu? Jangan sakit jantung. Itu belon udara panas berwajah Ton Rentier dari Holland (kalau tak silap)
Hari kedua saya datang ala kadar sahaja. Hajat untuk tengok belon udara panas dilepaskan ke udara tercapai juga pada sebelah petang walaupun sungguh ramai orang pada hari terakhir tu.
Saya pujilah pelaksanaan program ni. Bagus untuk rakyat Malaysia. Saya sendiri pun tidak pernah miss pertunjukan ini sejak beberapa tahun lepas. Sibuk macamana pun, saya akan cari masa untuk pergi dan rebut peluang ini. Kalau yang dah ada keluarga dan anak-anak kecil, lagilah bagus sebab kita boleh luangkan masa dengan mereka di samping dedahkan dengan dunia luar, cuma kena take extra precaution sikit sebab berdepan dengan orang awam.

Tahun depan harapnya boleh datang lagi. Untung-untung datang dengan suami sambil tolak stroller anak. Ehhhhhh??? Hoi, Dhiya! Habis tu senapang NIKON nak galas macamana? Lawak kasar ni, okehh!

Dhiya