29-02-2012


Hari terakhir dalam bulan Februari 2012. Tambah istimewa, 29 Februari ini hanya menyapa empat tahun sekali sebagai tahun lompat.

Setelah empat hari bercuti, hari ini adalah hari pertama saya kembali ke pejabat. Sungguh momentum bekerja saya hilang entah ke mana. Malas itu seperti dijampi-jampi dalam diri saya!
Sudahlah tiada semangat, ada pula mesyuarat menanti di hujung waktu bekerja. Argh!

Saya tekad. Tepat waktu pulang, saya terus bersiap untuk angkat kaki. Kalau saya memilih untuk berada dalam mesyuarat tu, sekarang pun belum tentu saya boleh berada di rumah.
Mereka semuanya masih muda seperti saya dan terlalu energetic. Idea mereka melimpah ruah hingga dua jam yang diperuntukkan boleh jadi melarat hingga tiga-empat jam ke masa tambahan. Itulah mereka. Itulah saya yang bekerja dengan mereka!
Malangnya gaya hidup saya tidak selari dengan mereka. Saya seorang gadis yang terlalu mementingkan masa sendiri, sedang mereka profesional yang tidak kisah berkorban diri. Sebab itu saya selalu 'bergaduh' dengan mereka. (Lantaklah!)

Malamnya, saya sangat gembira untuk berehat di rumah. Saya 'terpaksa' memilih untuk mengunci diri di bilik sahaja sambil melayan hobi membaca yang sudah lama ditinggalkan ini. Saya betul-betul tak mahu diganggu oleh hingar-bingar rakan serumah. Mereka semuanya baik-baik belaka, cuma saya perlukan sedikit ruang privasi untuk diri sendiri. Maaf ya, Ahlilbeit!

Tapi sempat juga bersembang dengan rakan karib saya, Nurul yang jauh di Kuantan sana. Saya senang bercerita dengannya soal yang satu itu. Saya tahu dia tahu, kerana dia terlebih dahulu sudah melaluinya. :)
Terima kasih atas nasihat. Saya akan cuba menjadi kuat!

Mata saya sudah penat untuk menangis. Sudah banyak rintik air mata yang tumpah menjadi bah yang deras. Hanya saya yang tahu apa yang sedang bergolak di dalam hati. Hanya Allah yang mampu membelai dan memujuk hati saya, kerana hanya Dia yang tahu sejauh mana kekuatan saya melalui semua ini.

Atas ruang dan peluang yang diberikan, saya akan berusaha sedaya upaya menjadi seorang yang lebih baik dari hari semalam, dan lebih baik dari hari ini... Insya Allah...

p/s: Selamat tinggal Februari!

Cuti dan Emosi


Bismillah...

Saya masih bercuti. Selalunya petang Ahad saya sudah ribut-ribut bersiap untuk kembali ke Kota Mega. Sebaliknya hari ini sedikit berbeza. Saya masih berehat-rehat dengan amannya. Huu!

Petang tadi saya berpeluang ke bandar dengan memandu kereta abah.
Seperti biasa, mulut saya mengomel panjang dengan keadaan jalanraya di sini. Bukan sedikit jalan yang berlubang, bukan tiada suara yang mengadu. Tapi semua itu dipandang sepi oleh pihak berwajib tanpa apa-apa tindakan.
Hati-hati, ya Pak ADUN. Saya ulang sekali lagi: HATI-HATI!

Cuti kali ini masih seperti biasa. Tiada apa yang istimewa melainkan keluarga tercinta. Semangat saya bagai dicaj semula saat berada di desa permai ini. Melihat wajah emak dan abah sangat memberi ketenangan hingga tak ingin rasanya untuk saya kembali pulang ke kota penggoda itu. Kalau di sana bukan sebuah perjuangan, tidak ingin rasanya saya bersesak-sesak dan berebut-rebut meneruskan survival yang sukar.

Huh. Terlalu emosi melayah perasaan, matlamat utama saya ke bandar tadi telah jauh tersasar. Sebelum keluar dari rumah, saya paling ingat untuk membeli tiket untuk pulang ke KL. Alih-alih, itulah yang paling saya lupa. Sudah separuh jalan barulah teringat. Malas benar untuk berpatah balik. Tak mengapalah. Akak boleh tolong belikan untuk saya esok.

Sampai di depan rumah, tiba-tiba rasa sebak. Entahlah...
Saya mendongak dan memandang segenap inci rumah abah ini. Rasa baru semalam bentuknya begitu. Seperti tiba-tiba sahaja sudah jadi begini, seperti apa yang tegak berdiri kini.
Rumah ini sudah jauuuh berbeza. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam yang memberikan ruang dan peluang untuk abah meningkatkan kualiti hidup kami sekeluarga. Memanglah harta ini semuanya sementara, tapi Insya Allah inilah ganjaran untuk abah dan emak yang sabar dan bersusah payah demi keluarga. Allah sedang mengganjari pengorbanan abah dan emak!

Esok masih ada sehari untuk saya bercuti. Emosi yang macam-macam ini perlu 'dilayan'. Selepas ini mungkin saya tak berpeluang lagi bercuti panjang hingga Mei (Insya Allah). Cuti-cuti saya perlu dikumpul untuk beberapa tarikh penting.
Saya sudah mula perlu menyusun jadual nikah kahwin sahabat handai yang mengundang. Apabila saya ditanya soalan ini, saya pasti menangis sendiri. Ah, emosi lagi!

p/s: Allah!

Syukur: Suatu Peringatan


Ini adalah entri republished. Saya sayangkan entri ini kerana nilai pengajarannya. Pengajaran yang mendidik dan menginsafkan diri saya sendiri. Saya kongsikannya sekali lagi di saat saya rasa terlalu lemah dan lelah untuk kembali bekerja.

***************
Sekitar dua minggu lepas, ketika itu hujan rintik-rintik dan rentaknya semakin lebat. Sejak pulang dari kerja, saya masih belum makan. Begitulah selalunya.
Malam itu saya berpeluang ke Domino's Pizza di TTDI. Dalam hujan renyai yang berpanjangan itu, saya gagahkan juga untuk menapak keluar demi perut yang minta diisi.

Selepas membuat pesanan, saya duduk di tempat duduk yang disediakan. Mata saya asyik memerhatikan pekerja-pekerja Domino's Pizza yang keluar dan masuk membuat delivery yang dipesan melalui telefon. Mereka menggalas beg sandang khas yang menyimpan pizza tersebut sebelum sampai ke tangan si pemesan di rumah mereka.

Ketika itu hujan agak lebat di luar. Saya lihat makin ramai pekerja-pekerja Domino's Pizza yang keluar dan menunggang motosikal untuk membuat penghantaran ke destinasi yang ditetapkan.
Allah. Di saat hujan dan semua orang selesa untuk hanya berada di rumah, ada orang yang bekerja dan mencari rezeki dengan memenuhi permintaan orang lain. Ketika orang lain bermalas-malasan untuk keluar dan meranduk hujan, ada insan yang memilih untuk melakukannya demi sebuah tugas dan tanggungjawab!

Tiba-tiba saya menginsafi diri sendiri.
Saya punya cuti Sabtu dan Ahad (walaupun ada kalanya saya perlu hadir bekerja pada hari Sabtu tetapi itupun hanya separuh hari).
Saya hanya bekerja bermula jam 9 pagi dan pulang pada jam 5.30 petang setiap hari (walaupun ada sekali sekala perlu stay back untuk mesyuarat tetapi itupun dibayar!)
Sebaliknya, mereka ada yang perlu bekerja tanpa mengira hari dan waktu demi memenuhi keperluan orang lain. Tidak cukup bernasib baikkah saya ini?

Saya pernah merungut kepada emak dan abah serta Elis dan Nurul yang saya sedih kerana perlu bekerja pada hari Sabtu. Kini saya sangat kesal. Rungutan saya benar-benar menafikan rasa bersyukur saya kepada Allah atas apa yang Dia berikan ini.

Bermula detik itu apabila saya rasa penat dan tertekan dengan kerja, saya pasti akan teringatkan pekerja-pekerja Domino's yang meredah hujan untuk menghantar pesanan dari pelanggan tempoh hari.
Sungguh, dalam diam mereka telah mengajarkan saya erti syukur. Dalam senyum ramah, mereka telah membawa saya menyantuni nilai sebuah kehidupan. Bekerja untuk hidup dan bukan sebaliknya. Allah Maha Mengetahui bahawa rezeki yang dikurniakannNya itu adalah cukup (malah mungkin lebih) untuk kehidupan hambaNya. Kalau kurang pun, itulah bentuk ujian terhadap kita. Tetapi kita perlu yakin yang Dia takkan menguji apa yang kita tak mampu lalui.

Firman Allah bermaksud:

"Kami tidak membebani seseorang melainkan munurut kesanggupannya, dan pada sisi Kami ada suatu Kitab yang membicarakan kebenaran, dan mereka tidak dianiaya."
(Surah Al Mukminun, ayat 62)

Si penghantar pizza telah memberi pengajaran penting dalam hidup saya:
Syukur apa adanya.
Kerana janji Allah sentiasa benar.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya. Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."
(Surah Ibrahim, ayat 7)

Sungguh orang yang bersyukur adalah golongan yang sedikit. Semoga kita dimasukkan ke dalam golongan yang sedikit itu!

p/s: Saya bercuti hingga hari Selasa. Cukuplah minggu-minggu lepas yang menyesakkan dada!

24 Haribulan


Bismillah...

Cepatnya masa berlalu. Bulan Februari sudah habis mengambang penuh. Minggu depan sudah masuk bulan Mac!
Memang. Memang DDD terabai teruk sepanjang bulan ini. Saya hanya berpeluang menulis di awal bulan yang lalu dan hari ini hujung bulan sudah menjengah. Nampak sangatlah saya sibuk.
Dua minggu SSB saya terisi dengan tugas dan tanggungjawab di pejabat. Bulan ini paling memenatkan!

Atas alasan itu, saya menghadiahi diri sendiri dengan mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Apa pun keadaan saya- gembira, sedih atau apa saja- pulang ke tanah keramat emak dan abah ini adalah keputusan yang paling tepat. Rindu ini bukan rahsia lagi.

Tepat jam 5 petang tadi, saya sudah bersiap-siap untuk pulang. Semua terkejut kerana cuti saya yang agak panjang dan diluluskan oleh pihak atasan. Ehem.
Ada yang menduga dengan soalan-soalan lucu:
"Siapa yang luluskan cuti Dhiya?"
"Dhiya, ada masalah ke?"
"Dhiya balik bertunang ye?"
Apa-apalah. Semua telahan mereka salah. Saya cuma menggunakan hak cuti saya untuk merehatkan diri sementara tiada hal penting di pejabat. Itu sahaja.

Sekali lagi saya memilih untuk pulang menaiki bas. Baby K terlalu banyak berkorban tenaga untuk saya bulan ini. Biarlah dia berehat.
Bersendirian di dalam bas memberi saya banyak ruang masa untuk berfikir. Dari seindah angan-angan untuk menjadi permaisuri putera raja hinggalah sesebak hiba memikirkan kedudukan saya di sisi Allah. Benarlah bersendirian itu indah. Apa yang difikirkan waktu itu hampir semuanya rasional dan menginsafkan diri. Saya perlukan lebih masa untuk bersendirian kerana itu yang terbaik untuk saya menilai hal-hal kehidupan saya.

Menjejak kaki ke rumah adalah satu momen yang penuh nikmat dalam hidup saya. Di rumah ini saya dilahirkan, di rumah ini saya dibesarkan. Emak dan abah adalah orang yang bertanggungjawab membina baiti jannati dalam rumah ini. Biarpun tidak semewah mahligai diraja, tetapi ia kaya dengan nilai sentimental yang menjadikan siapa saya hari ini.
Nilai keluarga kecil saya tidak boleh diterjemah dengan tukaran matawang yang berlipat kali ganda. Cukuplah sekadar rasa syukur menjadi perhiasan budi, kerana kelak akan ditambah nikmat dimurahkan rezeki.

Malam makin lewat. Desa ini semakin sunyi. Bunyi cengkerik bagaikan ada rentak dan melodinya yang tersendiri. Inilah yang saya dambakan, yang tidak pernah ada di Kota Mega sana. Maka pasti sudah terjawab soalah mengapa saya rindu untuk pulang ke desa- Saya menemui ketenangan di sini. Titik.

p/s: Jumpa esok! Selamat malam~

Pujuklah hati

Di saat terasa sedih dan sukar, carilah sesuatu. Semoga hati terpujuk.
Carilah Dia sebagai pembelai hati. Jangan merajuk!

kredit: Facebook

Lama sungguh tak menulis...

Tunggu nanti,
Dhiya

Dalam Hujan


baru keluar dari pejabat. oh...
hujan lebat di luar. saya sedang bersiaran dari dalam kereta, di masjid bulat kesukaan saya. baru usai solat fardhu maghrib.

hujan-hujan begini, mulalah rindu kampung halaman. rindu masakan emak dan rindu semuanya!

baby-k terpaksa saya tinggalkan di pusat jagaannya di pejabat. saya tak betah memandu malam. hujan lebat pula tu.

masa untuk makan malam. sementara bujang ni bolehlah makan ikut dan (kut).nanti dah ada suami, saya akan naik pangkat jadi domestic engineer. bukan lagi medical engineer. waktu makan pasti lebih teratur.hu!

ok, masa untuk memburu makanan dalam hujan!

Kerja dan Kerja


Bismillah...

Lama benar saya tak menjengah DDD. Rindu memanglah rindu, tapi apa apa boleh buat- Tuntutan kerja ini sentiasa menghambat.
Sudah agak jarang saya membina optimis dan motivasi dalam blog ini lantaran kesibukan hal dunia. Secara peribadi, saya kecewa dan benci dengan gaya hidup yang sedang saya lalui kini. Saya suka dengan kerjaya saya, cuma saya tak betah dengan tatacara hidup di kota.

Walaupun minggu ini hanya bekerja tiga hari, tapi tekanan yang saya terima amatlah hebat. Rabu, sudah ada yang request supaya saya bekerja Sabtu ini sedangkan minggu ini bukan SSB saya. Dengan sedikit 'paksa rela', saya iyakan sahaja.
Saya tersepit di tengah kondisi-
Kalau saya katakan tidak, pasti mereka bertanya serba serbi sebab mengapa saya menolak. Tugas saya sendiri pun melambak di atas meja. Minggu depan sahaja saya ada tiga program penting yang memerlukan persediaan awal minggu ini. Tetapi mereka request bantuan saya dengan soalan tertutup- Antara memilih 'ya' atau 'tidak'!
Akhirnya saya berlembut dengan diri sendiri- Ikhlaskan sahaja hati. Allah sedang menilai sejauh mana 'permata' itu bersinar dalam diri.

Kak Ru berpesan agar saya menjadi lebih berani untuk mengatakan 'tidak' dalam beberapa hal. Hm...Bunyi macam senang, tetapi saya yang melaluinya yang akan terasa payah untuk menyimpulkan kesimpulan.
Memang tidak dinafikan, saya selalu gagal bertegas beberapa bab. Itu mungkin kelemahan yang saya perlu segera perbaiki, bukan untuk dielak dan dihindari. Semoga Allah mudahkan urusan membina kekuatan diri ini. Allah...

Bayaran yang dibayar

Hari ini saya pulang dengan seribu satu rencana untuk esok. Di saat semua orang meraikan Jumaat selepas bekerja teruk, saya masih menyusun prioriti tugas yang perlu diselesaikan. Inilah harga sebuah perjuangan. Saya dibayar gaji kerana menyudahkan tugas ini. Tetapi saya tidak boleh lupa yang saya juga dibayar pahala jika keikhlasan dan kejujuran menjadi paksi dalam melunaskan tanggungjawab ini.
Apabila terlalu tertekan, kita selalu lupa bayaran yang dibayar ini. Bayaran yang tidak terlihat, tapi selalu ada sebagai pengubat kesedihan dan keringat yang tumpah dalam ikhlas mencari rezeki.

***********************

Sudah 12 malam, 11 Febuari 2012. Cepatnya masa berlalu. Saya masih gagal mengurus masa (baca= nyawa) dengan baik sedangkan saya tahu mati sedang menanti di hadapan.

Ya Allah, lemahnya hambaMu ini. Bantulah...Bantulah!

Selamat Malam,
Dhiya

Balada Selawat

Dengarkan...



Semoga masuk ke dalam hati, menjadi inspirasi perjuangan kita hari ini, esok dan selamanya.

Rindu Baginda,
Dhiya

Baby K


Sebelum saya pulang bercuti Sabtu lepas, saya telah serahkan kunci kereta Baby K kepada Elis.

Saya: Buatlah apa yang patut dengan kereta tu. Jangan dijual ke kedai besi buruk sudahlah~
Elis: Saya servis lah.
Saya: Ok, tapi jangan mahal-mahal sangat. Takut lari bajet. (Kedekut sungguh!)

Semalam saya menerima panggilan dari Elis.

Elis: Dhiya, saya dah servis kereta awak.
Saya: Ha! Awak betul-betul pergi servis ke?
Elis: Iyalah. Awak ingat saya main-main ke? Daripada awak membebel itu ini tentang kereta awak, baik saya tolong servis.
Saya: Mahal tak? Berapa ratus kena bayar? (berkiranya!)
Elis: RM1** je.
Saya: Aaaaa!(baca: Mahalnya!) Baiklah. Nanti saya bayar~
Elis: Meter digital tu pun saya dah betulkan. Semua dah ok sekarang ni.
Saya: Apa? Itu saya tak suruh pun! Berapa puluh pula kena bayar tu? (dalam hati marah menggila. Pandia-pandai je buat. Nanti saya yang kena bayar!)
Elis: Saya buat sendiri je. Baca forum pasal kereta dan cedok idea mereka. Free of charge je.
Saya: Err...Ok terima kasih. Nanti saya belanja awak spageti lah. (-.-)

***********************

Tak sabarnya nak balik ke KL esok untuk melihat brand-new Baby K. Apa yang istimewa sangat selepas diservis. Hahaha!
Kasihan juga Baby K saya tu. Sejak saya mula memandu ke tempat kerja, dia memang bekerja setiap hari kecuali hari cuti. Itu belum dikira lagi pulang ke desa dengannya. Minyak, kos serba serbi dan macam-macam lagi. Pendek kata: Sakit dia, sakitlah saya!

Elis: Dhiya, lupa nak bagitau.
Saya: Apa?
Elis: Awak selalu kutuk kereta saya bersawang la...berdebu la...bersepah la...Tapi hari ni rahsia awak dah terbongkar. Saya jumpa sarang labah-labah dalam kereta awak. (-.-)
Bila saya calit jari saya pada badan kereta, Masya Allah...Hitam berdebu!
Saya buka boot kereta, bersepah macam gudang tinggal.
Bla bla bla...
Saya: Sudah! Sudah! Saya tak dengar dan tak faham apa yang awak cakapkan tadi.
Elis: Ok, saya menang. Awak kalah.
Saya: ...(suka hati awaklah!)

Heh...Ini bukan kereta mainan!
Gambar diambil dari koridor asrama sewaktu zaman pengajian di UM dulu. Tapak bernombor 130 tu memang Baby K yang punya. RM 50 per semester. Siapa berani masuk, memang cari nahas! :p

********************

Tiba-tiba rasa malas sangat nak balik KL esok.
Malas nak bergaduh dengan mereka-mereka yang memang kuat cari gaduh. Hari-hari pun bergadung dengan Elis. Di pejabat pun ada seorang 'mamat' yang suka sangat cari fasal dengan saya. Grrr!

Untuk Baby K, Dhiya tak akan benarkan awak diselongkar oleh Elis lagi. Untuk hari ini, kalau dia buat apa-apa pada awak, bagitau Dhiya ye! Dhiya akan selongkar kereta dia balik!
Nampaknya Dhiya tak boleh shopping la bulan ni. (-.-) OoOoOoOo!

p/s: Bila boleh dapat Myvi ni?~ Eh, silap cakap. Nanti Baby K merajuk! Alamak! Alamak!

Berangan,
Dhiya


Bercuti Lagi!


Jumaat


Waktu pejabat berakhir jam 5 petang. Tapi saya ada berjanji dengan rakan sekerja untuk menghadiri majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baru Cina. Jadi saya mengambil keputusan untuk menunggu saja di pejabat sementara ada rakan yang datang menjemput.

Dipendekkan cerita, majlis berakhir agak lewat. Cuak juga saya hendak pulang ke rumah. Maklumlah, semua rakan serumah sudah pulang bercuti. Rumah pula ditinggalkan awal pagi dan saya hanya balik lewat malam. Gelaplah~ Memang rasa hendak menangis.

Selesai solat Isyak, saya terus kurung diri di dalam bilik. Cepatlah mata pejam. Semoga esok segera menjengah...

Sabtu

Penat sangat malam tadi, saya terlewat bangun. Tergesa-gesa jugalah saya dibuatnya. Beg belum dikemas, sampah belum dibuang. Uhu! Lain kali berlengah lagi, Dhiya!
Kali ini saya memilih untuk pulang menaiki bas. Tak sanggup lagi rasanya hendak memandu sendirian dan berperang dengan ketakutan, mengantuk mata dan bosan jiwa...Biarlah kali ini saya hanya berehat dan tidur di sepanjang perjalanan.

Saya keluar dari rumah seawal jam 7 pagi. Alhamdulillah sempat bersarapan. :)
Tiba di stesen bas, saya lihat ramai sangat orang beratur di kaunter untuk membeli tiket bas. Terdetik dalam hati: Syukurlah saya sudah membeli tiket lebih awal. Kalau tak, entah pukul berapa saya boleh naik bas~
Lima belas minit sebelum pukul 9 pagi, saya melangkah masuk ke dalam bas dengan penuh bangga. Orang lain yang masih beratur hanya melihat sambil gigit jari. :p (Nakalnya kamu, Dhiya!)

Kota Mega saya tinggalkan.
Selamat tinggal kota yang menggoda. Emak dan abah sedang menunggu di desa dengan doa. Saya perlu pulang ke desa kerana mereka adalah sumber kekuatan saya. Semangat yang hilang di sini perlu dicas semula di desa tercinta. Tiada siapa boleh menghalang saya untuk terus terikat hati dengan kehidupan saya yang begini. Moga kelak saya bersuami nanti, dia tidak akan menghalang saya untuk terus pulang dan mendakap batang tubuh emak dan abah yang tercinta. Mereka sangat penting dalam hidup saya. Sangat penting...

Jam 12 tengahari, saya tiba di desa. Alhamdulillah. Jangan tanya apa perasaan saya. :)
Berhenti membebel, Dhiya~

Salam sayang,
Dhiya

01.02.2012


Selamat datang hari pertama bulan baru!

Boleh dikatakan hampir semua rakan serumah saya bercuti sempena Hari Wilayah, sedang saya yang bekerja di dalam negeri Selangor gigih bangun di pagi hari untuk memulakan tugas. Tak mengapa. Hari ini hari kalian. Esok lusa hari saya pula.

Rabu seperti biasa. Kerja seperti biasa. Isu ini tak akan selesai selagi ada.

*************************

Banyak isu peribadi yang bergolak dalam jiwa. Sudah lama saya tak menangis atas semua ujian yang hadir ini. Entah dari mana datang kental jiwa itu, atau mungkin kesibukan yang menyebabkan saya lupa semua permasalahan yang memberat.

Ah. Sudahlah Dhiya. jangan dilayan sangat lara jiwa. Sehari usia meningkat, sehari mati mendekat. Dunia tak layak untuk ditangisi...

Dhiya

Terima Kasih


Terima kasih bos kerana sudi luluskan cuti SSB saya minggu ini. Maka sekali lagi saya akan bercuti agak panjang, iaitu bermula Sabtu ini hingga Selasa depan.

Kali ini saya memilih untuk pulang menaiki bas. Baru tadi ke hentian bas membeli tiket. Tak larat rasanya untuk memandu sendirian lagi. Biarlah kali ini saya tidur nyenyak saja di dalam bas. Lagipun Baby K perlukan rehat. Dia terlalu banyak berkorban untuk saya sejak kebelakangan ini.

Terima kasih sekali lagi. Untuk yang bekerja (SSB) minggu ini, selemat bekerja. Saya dah 'ganti' SSB saya minggu lepas. Jadi minggu ini saya berhak bercuti. Weehu!

Ok, dah malam. Masa untuk rehat. Esok ada tugas yang menuntut saya hadir seawal 7.30 pagi. Adoi!

Dhiya Dahlia

Ibu- Shila Amzah


Lagu ini sangat saya gemari sewaktu zaman sekolah rendah dahulu.
Masa tu suara Shila masih suara kanak-kanak. Semasa menggeledah Youtube tadi, terjumpa semula lagu ni, versi Shila dewasa.



Menggamit memori ok.

Untuk emak,

Betullah.

Kalau saya sedih dan kecewa, emak paling arif dan pandai memujuk saya.
Saat saya gembira, emaklah yang bahagia tersenyum gembira.

Emak saya memang wanita sempurna. Berbahagia kerana didampingi abah yang hebat dan anak-anak yang kuat semangat seperti kedua-duanya.

Versi rindu,
Dhiya

Sungai Tekala


Alhamdulillah.

Dapat rehat minda dekat dengan alam semulajadi.

Sungai Tekala, dekat Hulu Langat menjadi pilihan.
Pagi-pagi Ahad lagi, kami dah bersiap-siap. Tapi tiba tetap tengahari. Banyak tempat sudah penuh. Apa boleh buat, mereka lebih awal dari kami. :) ~

Selepas makan tengahari (bawa bekal, Dhiya masak ok~), kami terus berendam dalam sungai tak ingat dunia. Maaf. Dah lama saya impikan rehlah sebegini. Dekat dengan kehijauan hutan, jauh dari hiruk pikuk kota serta lupa pada komitmen kerja!

Terima kasih. Ini masih boleh dikira sebagai kejutan hari jadi. Januari masih berbaki dua hari sebelum tiba di garisan akhirnya. Jadi ini juga hadiah hari jadi saya.
Terima kasih atas masa yang diluangkan bersama. Mungkin banyak khilaf yang terjadi, tapi kita sedar dan sedang menuju ke arah yang lebih baik. Semoga Allah mendengar doa kita... :)

Tiba di rumah lebih kurang jam 6 petang. Penat. Jangan tanya apa saya buat sebaki masa yang ada. Lebih baik berehat dari buat perkara yang tak berfaedah. Huhu! :p

Gambar? Tak payahlah.

Penat,
Dhiya.

Ujian dan Pengajaran


Bismillah.

Sudah 29 Januari 2012.
Terasa seperti baru semalam Kota Mega meraikan malam tahun baru dengan gah dan meriahnya. Hari ini Januari sudah meniti hujung harinya. Sungguh...Pepatah Arab ini akan selalu saya ungkapkan ...:

اَلْوَقْتُ كَالسّيُوفْ فِي القَطْعِ

...Hingga saya pasti kalian sudah hafal akan maknanya.

Baru sebulan berlalu, 2012 saya sudah banyak pelajaran dan pengajaran. Ada yang membina, malah tak kurang ada juga yang memunahkan semangat. Tapi saya kutip semuanya sebagai hikmah. Hidup ini bukan semuanya indah. Apa yang hadir, menyuruh kita berfikir.

Awal Januari lalu (tepatnya 4 Jan 2012), dompet duit saya telah hilang. Asalnya saya menyedari yang saya tidak membawanya ke tempat kerja. Apabila pulang, saya terus mencarinya kerana saya yakin dompet tersebut hanya tertinggal di rumah. Kebetulan malam sebelumnya saya ada mengeluarkan wang untuk membayar duit sewa rumah di dalam bilik. Jadi saya yakin dompet itu hanya berada di dalam bilik sahaja.
Malangnya, setelah beberapa ketika mencari, saya gagal menemukannya. Hati sudah mula gusar, tetapi instinct saya kuat menyatakan dompet itu hanya ada di dalam rumah, bukan tercicir di mana-mana!

Tiga hari tidak berhenti mencari, sampai satu tahap saya mula putus asa. Bayangkanlah, baru tiga hari saya menerima gaji bulan Disember, saya sibuk membayar hutang itu ini dan malam terakhir sebelum kehilangannya, saya telah membayar bil internet iaitu hutang terakhir saya. Baki di dalam dompet itu (peruntukan untuk belanja sebulan), kad-kad bank dan paling penting, kad pengenalan saya hilang dalam sekelip mata. Malah saya terpaksa redha apabila rantai emas pemberian emak yang saya pakai selama ini hilang sebelum sempat saya hantar ke kedai selepas putus beberapa minggu sebelumnya. Itu yang paling saya terkilan.
Apabila saya mengadu kepada emak, emak dengan tenang memujuk saya supaya bersabar. Katanya akan ada yang lebih baik dan berganda akan datang. Amin. Terima kasih, emak!

Seminggu lebih jugalah saya hidup tanpa kad pengenalan. Penat 'dibuli' rakan sekerja. Ada yang panggil saya PATI dan macam-macam lagi. Semuanya saya tak ambil hati sangat. Saya cuma sibuk untuk fokus terhadap kerja dan dalam masa yang sama mengimbangi emosi saya yang sangat tertekan pada waktu itu. Hilang wang itu sudah pasti sangat menekan. Bank-bank juga perlu dihubungi supaya akaun saya disekat atas faktor keselamatan. Apa-apa proses mesti perlu ada kad pengenalan. Kad pengenalan hilang itu yang menjadikan saya tertekan sebenarnya. (-.-)

8 Januari, saya dan seorang rakan telah ke JPN Putrajaya untuk memohon kad pengenalan baru. Alasan hilang tanpa laporan polis mendesak saya untuk membayar RM110 sebagai bayaran denda. Memang haru. Di saat semua akaun bank saya dibekukan, saya terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk memenuhi tuntutan yang paling penting demi tuntutan-tuntutan lain.
Tak mengapalah. Inilah dia pengajaran. Ada iktibar di sisinya.

Selepas seminggu memegang kad pengenalan sementara, saya sekali lagi ke Putrajaya untuk mengambil kad pengenalan baru. Sebenarnya kad tersebut sudah siap dan sedia diambil sehari selepas permohonan tempoh hari. Tapi atas tuntutan tugas di pejabat, saya hanya boleh ke sana hujung minggu. Mujurlah JPN Putrajaya dibuka hujung minggu, terhiburlah orang-orang sedih seperti saya ni.
Terima kasih seinfinitinya kepada yang membawakan saya ke sana. Nama kata untuk saya bersendirian memandu, oh memang tidak. Semoga Allah membalasnya dengan sebaik-baik balasan. Saya sangat menghargainya!

Alhamdulillah setakat minggu lepas, semua kad saya telah diperolehi semula. Terima kasih buat sahabat sejati yang sudi meminjamkan wang untuk dibuat belanja harian dan keperluan lain yang bukan sedikit jumlahnya. Hanya kejujuran dan kesetiaan mengikat kita. Semoga Allah terus memberi dan memberkati rezeki kamu.

الله يبارك عليكما

Apa yang berlaku ini memang agak menyakitkan. Tapi saya yakin ada hikmah mengapa saya diuji sebegini. Memetik kata seorang teman: Harta dunia boleh dicari ganti. Tapi harta akhirat bukan datang dengan nilaian wang ringgit. Ianya dibina dari dalam diri sendiri. Sabar dan redha itu harta akhirat. Nilaiannya lebih tinggi dari wang ringgit kerana kelak ia akan dibalas dengan Syurga.
Allah tidak akan menguji saya jika saya tidak mampu menghadapinya. Benar.

p/s: Semoga terus positif dalam hidup, Dhiya!


Hanya Diri Mu Satu, Cintaku!


Hanya Kamu!



Allah!
Kau selalu dekat denganku, tapi aku yang menjauh dariMu!

p/s: Mula-mula sakit telinga dengar lagu ni. Macam lagu rock yang membingitkan telinga. Tapi apabila dihalusi liriknya, saya terdiam. Hm...

Sabtu Saya Bekerja


SSB.

Saya baru saja menulis tentang ini semalam. Sepatutnya memang minggu ini bukan SSB saya. Tapi atas rasa tanggungjawab, saya jadikan Sabtu minggu ini sebagai SSB. Tak mengapalah. Kebetulan saya pun baru mula bekerja Khamis lepas, jadi masih fresh dan bertenaga (kut). Huu!

Seluruh waktu bekerja saya hari ini habis di seberang jalan. Syukurlah, sekurang-kurangnya saya tidak hanya terperuk dan tersorok tekun bekerja di tempat saya tu. Ada juga aktiviti senaman. :p

Tepat pukul 1, saya terus pulang. Tak kuasa saya menunggu lama lagi.

Petangnya, saya direward dengan window shopping yang tidak dirancang. Penat jugalah...Tapi masih boleh senyum dan ceria.Mengenangkan itu sahaja masa yang kami ada, saya gagahkan juga kaki melangkah. Momen ini tidak boleh disia-siakan.

Malam: Saya menyerah kalah. SSB ini sungguh memenatkan. Saya tidak ada rehat sejak bangun Subuh pagi tadi. Baru sekarang (saat entri ini ditulis), saya dapat merehatkan otak dan badan. Adui!

Esok Ahad akan menjelma. Baju kerja perlu digosok untuk seminggu. Kalau tidak, hidup saya akan jadi kucar kacir dan tidak tentu arah. Haha!

Semoga saya dapat menulis lagi esok. Sesungguhnya DDD sangat dekat dengan hati saya apabila saya menulis di atas kanvasnya. Perkongsian pengalaman dan pendapat yang tertulis di sini adalah apa yang lahir ikhlas dari hati tanpa helah dan dusta. DDD tidak akan menipu apa yang terlintas dalam hati dan fikiran saya.

p/s: Huh. Rajin sungguh tulis panjang-panjang!

Pening


Isu semalam membuatkan kesihatan saya sedikit terjejas.

Ujian ini tandanya Dia kasihkan saya. Jelas.

Kebetulan Jumaat ini agak kosong (setakat inilah~). Tak tahulah kalau sekejap-sekejap lagi kerja datang menghempas macam ombak, seperti semalam.

Al hasil, saya balik ke rumah sampai tak mampu nak melangkah. Lelah otak!

Mujur esok bukan SSB. Saya bercadang hendak berehat sahaja, atau jika ada yang sudi untuk membawa saya berkelah di mana-mana- Saya suka~

p/s: Kerja!

Solusi


Lama betul langganan saya dengan Majalah Solusi terhenti. Rasanya ada beberapa sirinya yang saya tidak sempat miliki.
Saya terlampau sibuk workaholic sangat hingga terabai tanggungjawab kepada diri sendiri untuk menambah ilmu pengetahuan agama.

Alhamdulillah. Hari ini memilih untuk menaiki tren untuk ke tempat kerja. Kasihan Baby K saya, teruk berjalan jauh semalam. Dia direhatkan.
Dalam perjalanan ke tempat kerja, dapatlah saya singgah di kedai berdekatan. Memang sudah berhajat untuk membeli Solusi.

Isu No. 40: Misteri Poligami

Nah. Perlu baca.
Pernah seorang rakan bertanya kepada saya,
"Bagaimana poligami cara Rasulullah?. Adakah Baginda mengumpulkan kesemua isteri Baginda yang lebih dari empat orang itu dalam satu masa atau bagaimana?"

Hm. Susah juga hendak menjawab. Kepada rakan-rakan yang arif, mohon kongsikan ilmu dan pengetahuan anda dengan saya, ya!
Dalam masa yang sama, biar saya khatamkan isu ini dengan Solusi dulu. Apa yang menarik, saya akan kongsikan nanti, Insya Allah.

p/s: Isu dewasa, kerana saya dihambat kedewasaan!

Kita Berbeza

Jauh berbeza.

Entahlah...Kita memang berbeza. Selalu berselisih idea.

Tapi saya menemukan sedikit persamaan. Mungkin kebetulan...

Paling jelas, kita tiada beza sebagai hambaNya.

Jalan juang ini akan kita lalui bersama.

Dhiya Dahlia