Travelog Dhiya: Pulau Tioman 2017 (Tips and tricks untuk dua orang)


Bismillah

Amaran: Ini adalah entri panjang sebab cerita ni merangkap itinerari, cerita dan tips perkongsian. Siapa yang sungguh-sungguh nak pergi Pulau Tioman je akan habiskan pembacaan ni. Hahhaha!

Sebelum bercuti

Dua bulan sebelum bercuti, saya dah tengok tarikh yang sesuai, nak duduk mana, nak buat aktiviti apa dan macam-macam lagi dah mula fikir. Dua bulan, ya. Bukan minggu depan nak pergi, minggu ni baru nak terhegeh-hegeh. No no no!

Pulau Tioman ni ada beberapa kawasan tumpuan. Masa kami pergi haritu, feri hanya berhenti di tiga tempat ni saja walaupun dari apa yang saya baca sebelum ni, feri berhenti di beberapa kampung lain.:

1. Tekek: Pekan. Ada ATM, boleh nampak kereta, van, lori dan agak sibuk. Tapi kalau dah nama pergi pulau, mestilah nak tempat yang sunyi dan tenang kan?
2. Air Batang: Perhentian tengah antara Tekek dengan Salang. Pantai kat jeti tak boleh berenang. Tapi di kawasan ABC (Air Batang Chalet) boleh berenang dan snorkeling di pantai. Marine Park juga terletak di Air Batang, siap boleh pergi jalan kaki je. Di situ boleh snorkeling dan bagi makan ikan besar besar!
3. Salang: Kampung paling hujung dan perhentian terakhir feri. Pantai Salang landai dan cantik. Boleh berenang depan Chalet je. Cuma sibuk sikit sebab banyak bot teksi di pantai sebab Salang ni memang pilihan utama pelancong. Hotel sentiasa penuh.

Macam biasa, kami menempah hotel melalui Booking.com. Asalnya memang nak menginap di Salang sebab banyak review cakap best. Tapi memandangkan kami pergi masa cuti umum (Awal Muharam), kami dapat bayangkan Salang akan jadi sangat sibuk dan ramai orang, sedangkan kami cuba nak cari tempat sunyi dan tenang. Akhirnya kami buat keputusan untuk menginap di Tioman Restu Chalet di Air Batang atas beberapa sebab, antaranya:

a. Air Batang sedikit terlindung dengan pokok-pokok. Suasananya teduh, banyak pokok rendang yang menghijau. Laluan dari jeti ke chalet pun macam lorong dalam taman je.
b. Kebanyakan chalet di Air Batang terletak di pinggir pantai dan tak akan masuk jauh ke dalam sangat. Jadi kebarangkalian untuk dapat chalet depan pantai dengan pemandangan pokok-pokok yang rendang, angin yang sepoi-sepoi bahasa sangatlah tinggi.
c. Kebanyakan chalet boleh sampai dengan jalan kaki sahaja dari jeti. Berjalan pun tak akan letih sebab laluan dia macam dalam taman sambil dijamu dengan pemandangan kampung yang sangat indah

Hari Pertama

Kami bergerak ke Jeti Tanjung Gemok Rompin jam 11 malam Khamis 21 September 2017. Kenapa Jeti Tanjung Gemok sedangkan boleh juga ke Pulau Tioman Melalui Jeti Mersing?

Begini ceritanya:

Walaupun kami dah buat tempahan chalet seawal dua bulan sebelum tarikh pergi, tapi kami tak tahu yang tiket feri juga perlu ditempah jika pergi dalam waktu puncak. Mujurlah saya tergerak hati untuk call Jeti Mersing untuk tanya availability tiket. Bukan main terkejut lagi sebab pekerja Bluewater Express (servis feri yang bawa pelancong ke Pulau Tioman) beritahu yang tiket pada tarikh kedatangan kami dah habis. Tapi pekerja tu beri saya nombor telefon Jeti Tanjung Gemok Rompin untuk tanya availability tiket dan buat tempahan.
Mujurlah tiket dari Tanjung Gemok masih ada. Jadi saya buat reservation melalui telefon.
(Lesson: Buat tempahan tiket feri juga. Jangan ingat tiket feri ke Pulau Tioman boleh beli macam tiket LRT ya!)

Cara tempahan:
1. Tempahan melalui telefon, Bluewater Jeti Mersing: 07-7994811
2. Tempahan melalui telefon, Bluewater Jeti Tanjung Gemok: 09-4131362
3. Tempahan secara online: klik sini
Ok berbalik kepada cerita perjalanan kami. Kami sempat tidur dan makan sekejap di R&R Gambang sebelum keluar Exit Gambang untuk menghala ke Rompin. Perjalanan selepas itu agak mencabar sebab kami melalui jalan kampung, dalam keadaan masing-masing penat dan mengantuk. Sobs!

Tapi Alhamdulillah kami sampai ke Jeti Tanjung Gemok pada jam 6 pagi. Selepas solat subuh, saya pun beratur dan suami saya mencari tempat letak kereta. Punyalah ramai orang. Yang dah buat booking ke, beli on the spot ke- Semua kena beratur. Panjang pula tu. Terasa macam tak efisyen juga. In the end, bila dah dapat tiket, tak ikut pun waktu berlepas yang kita tempah tu. Kita akan diberi boarding pass berwarna dan kemudian tunggulah pengumuman panggilan masuk ke dalam feri mengikut warna boarding pass tu. Tapi mujurlah waktu menunggu tak lama. Instead of feri pukul 7 pagi, kami bergerak pada jam 8 pagi. Tapi menurut pekerja di situ, pergerakan feri pun bergantung kepada pasang surut air dan cuaca. Mujur sangat cuaca selama perjalanan kami sangat baik tanpa setitik hujan pun.
Boarding pass warna biru, seat nombor 69. Feri waktu pergi memang ada nombor. Tak boleh main duduk je tau. Harga: RM70 seorang (dewasa, untuk pergi balik)
Pemandangan sewaktu sedang beratur untuk masuk ke dalam feri di Jeti Tanjung Gemok
Perjalanan dengan feri Bluewater dari Jeti Tanjung Gemuk ke Pulau Tioman memakan masa 1.5 ke 2 jam. Sempat jugalah tidur sebab feri bergerak smooth je tanpa rasa gelombang kuat, mungkin sebab cuaca yang baik.

Sewaktu sampai, pekerja feri akan buat pengumuman di setiap jeti. Jadi kena alert dan tahu kita nak berhenti di mana. Jarak dari satu jeti ke satu jeti yang lain tak lama pun, dalam 5-10 minit perjalanan saja. Jadi jangan tidur lah sebab dah nak sampai!
Jeti Kampung Air Batang, Pulau Tioman
Alhamdulillah kami sampai di Jeti Air Batang, Pulau Tioman lebih kurang jam 10 pagi. Cuaca baik, pemandangan Masya Allah cantik. Lama juga kami duduk di jeti tu untuk melihat-lihat sekeliling sambil memberi ikan makan di jeti. Campak je roti, bukan main kerumun lagi. Macam tu agaknya cara mereka welcome kami :)

Bila dah hilang penat, kami mula berjalan menuju ke chalet. Perjalanan kami melalui lorong kecil yang diturap dengan simen. Di kiri kami adalah pantai dan di kanan kami adalah deretan chalet yang berbeza-beza pemilik. Ada juga gerai-gerai makan dan juga pusat latihan menyelam. Banyak pokok mangga yang rendang dan sedang berputik lebat. Ada yang boleh dicapai dengan tangan.

Orang Air Batang juga sangat peramah. Kadang kadang ada motorsikal tayar tiga lalu membawa tangki oksigen ke jeti untuk pelancong yang ingin menyelam dan kita kena beri laluan. Mereka akan senyum dan ucap terima kasih. Mereka juga rajin menegur dan bertanya nak ke chalet mana dan siap tunjuk lagi arah awalaupun jalan sepanjang chalet tu lurus je. Nampak tak baiknya mereka?
Pemandangan sepanjang perjalanan kami untuk ke chalet. Bumbung yang anda nampak tu adalah bumbung jeti.
Sebaik sampai di chalet yang ditempah, sudah ada host menunggu. Dia yang memperkenalkan dirinya sebagai Nisa yang uruskan daftar masuk kami. Jam 11 pagi, kami dah dapat masuk ke chalet. Chalet kami terletak di atas bukit, jadi pemandangan kami lebih indah sebab nampak laut yang luas dan angin yang kuat. Since saya sudah tidak tidur lebih 24 jam sejak semalamnya (sebab aktiviti tempat kerja yang ke Gua Tempurung tu), terus tersadai atas katil tertidur tak sedar apa dah!
Bilik kami. Katil selesa. Kelengkapan basic, tapi lengkap siap ada tuala. Tu yang paling penting sebab nama kata nak bawa dari KL letak dalam beg, memang beratlah feri!
Ups sorry gambar tandas. Saja nak bagitau yang chalet kami ni lengkap, bersih dan sangat strategik. Nak cari makan pun tak susah.
Beranda chalet kami. Siap ada dua kerusi dan menghadap laut. Angin kuat tak kira waktu. Masya Allah indahnya!
Pemandangan dari beranda chalet kami. Macam yang saya cakap tadi, chalet kami terletak di atas bukit, tapi masih walking distance dari jalan utama. Bumbung merah yang anda nampak tu adalah chalet jenis lain. Ada yang ada pendingin hawa. Tapi kalau dekat sangat dengan jalan, bising sikit sebab motor lalu lalang. Huhuhu~
Hari pertama kami di Pulau Tioman sebenarnya baru bermula. Dalam pukul 3 petang macam tu, kami mula untuk berjalan dan merayap. Bayangkanlah. Tengahari rembang macam tu pun kami redah je sebab memikirkan peluang dan masa yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Dari hotel kami tu, kami berjalan balik ke arah jeti untuk bergambar sebab masa tu jeti tengah kosong. Kemudian dari jeti tu pula kami ke arah kanan menuju Marine Park (walaupun tak sampai ke sana) saja-saja untuk ambil gambar.
Petang tu memang kami bergambar sesaja. No one bother us. Pulau Tioman tu kami yang punya. Oh ya. Lupa nak kongsikan: Selama kami di Air Batang, tak ramai orang Melayu di sini. Kalau ada pun merpati sepasang macam kami juga. Sebab orang berkeluarga kebanyakannya ramai di Salang atau Tekek sebab lebih banyak kemudahan mungkin. Mesej nya, kalau nak berbulan madu, Air Batang adalah tempat terbaik sebab tak ramai orang!
Jeti Kampung Air Batang. Ini pemandangan dari jeti. Dari jeti ini, kalau ke kiri anda akan menghala ke ABC iaitu chalet paling hujung di kawasan tu, dan juga chalet kami, Tioman Restu. Kalau ke kanan, anda menghala ke Marine Park Pulau Tioman sambil terdapat deretan chalet di sepanjang pantai.
Gambar waktu air tengah surut. Kalau air pasang, batu batan tu tak akan kelihatan.
Berani? Kelapa atas pokok RM10 sebiji. Entah ada air entah tidak~
Selepas puas, kami berpatah balik dan menuju ke ABC chalet. ABC chalet ni sebenarnya chalet yang paling hujung di bahagian kiri Kampung Air Batang (dari jeti, belok kiri). Depan ABC tu ada pantai yang landai dan boleh mandi manda dan juga snorkelling. Memandangkan air masih surut, sekali lagi kami hanya bergambar sajalah. Lagipun baru hari pertama. Esoknya kita akan main air sampai jenuh~
Pemandangan dari pantai landai depan ABC chalet. Bumbung biru yang anda boleh lihat tu adalah kawasan chalet ABC.
Ehem
Siang hari pertama kami sudah berakhir. Alhamdulillah. Malamnya kami makan malam di gerai makan milik Johan's Place (chalet dekat dengan chalet kami je). Makan ala kadar je sebab nak rehat. Oh ya, harga makanan di Pulau Tioman ni agak mahal. Anda perlu tahu kenapa :P. Walaupun kami dah tahu dan ada bawa makanan sendiri, tapi suami saya ni jenis pemakan dan suka mencuba. Jadi dia tak berkira sangatlah makan di Pulau Tioman walaupun harganya agak mahal.

Selamat malam Pulau Tioman. Jumpa esok, dengan cabaran baharu!
Hari Kedua

Lepas solat subuh, kami dah duduk di beranda chalet. Masya Allah indahnya pemandangan pagi. Bunyi ombak dah memanggil-manggil kami untuk turun ke pantai pagi tu walaupun aktiviti kami hanya akan bermula pada jam 10 pagi.
Kami akhirnya keluar juga untuk mencari sarapan (walaupun ada je bawa roti dan tuna sendiri). Beberapa meter dari chalet kami, ada orang kampung yang menjual nasi lemak dan nasi dagang untuk juadah sarapan. Rasa nasi lemak dan nasi dagang Tioman sedap lah juga (atau kita sebenarnya yang craving makanan rutin ni~)
Nasi lemak lauk ayam: RM5. Ok je kan? Sedap pun sedap sebab rasa sangat santan dia tu. Nasi lemak KL kan nasi putih biasa je~
Kami makan di tepi pantai berdekatan dengan Restoran Hijau. Masa tu orang pun tak bangun lagi dan banyak kedai pun masih belum beroperasi. Jadi kami bolehlah tumpang tempat duduk mereka untuk bersarapan sambal menikmati pemandangan pagi.

Selepas sarapan, kami duduk sambal bergambar di kawasan yang dalam gambar ni. Tiba-tiba macam perasan ada orang 'menyibuk' bawa Go-Pro dia juga di kawasan kami tengah berdating tu. Tengok-tengok, 'ehhhh macam kenal~' Subhanallah rupanya dia adalah kawan universiti kami, satu fakulti dengan kami dan satu course dengan saya!
Katanya: "Keciknya dunia. We are all coming from KL but we met here. Punyalah banyak tempat kat Pulau Tioman ni, kenapalah Air Batang. Oh D, you married to a guy whom I know him very very well! Tak sangka korang kawin! Hhahahahahah" 
After a long chit-chat, we dismissed sebab dah nak bersiap sedia untuk aktiviti seterusnya: Splash the water and get tanned!

Sebenarnya di Pulau Tioman ni banyak sangat servis yang boleh bawa anda menikmati keindahan alam. Harga selalunya standard sebab mereka tak perlukan persaingan. Macam kami, kami terus berhubung dengan Nisa, pilih pakej mana yang kita nak dan dia akan uruskan semua. Senang hidup!

Kami ambil pakej RM85 di mana kami dibawa ke beberapa tempat sekitar Pulau Tioman dengan menggunakan bot laju dan kami boleh menjalankan aktiviti snorkelling. RM85 tu dah termasuk semua peralatan snorkelling, tapi tak termasuk perbelanjaan makan.
Antara destinasi kami adalah Pasir Panjang, Teluk Genting, Batu Malang (kemudian rehat dan makan tengahari selama 1.5 jam di Salang) sebelum ke Pulau Soyak dan Monkey Bay sebelum pulang.
Bunting tentang pakej yang ditawarkan. Destinasi tu tak tetap. Bergantung kepada host. Kena tanya dengan mereka ok
Menunggu bot laju yang akan membawa kami. Kami bernasib baik sebab bot kami hanya ada 6 orang saja. Dua orang dari German dan lagi dua orang dari Johor. Mudah kerja abang bot, mereka pun semuanya mesra.
Pemandangan di Coral Beach atau Pasir Panjang. Ya Allah cantik betul tempat ni, rasa macam dalam lukisan je!
Kalau tak silap, ini adalah Teluk Genting. Saya tak turun sebab masih takut. Ya, saya memang penakut air macam yang saya cerita dalam entri Gua Tempurung tempoh hari.
Tapi saya kuatkan semangat terjun juga di Batu Malang sebab tak tahan kena cabar dengan suami saya. Dalam pada takut-takut ni, beranikan juga diri tengok ke dalam air. Ada bahagian jurang dalam dan batu karang yang sangat besar. Saya jadi takut. Tapi ada tempat yang batu karang dia cantik-cantik dan tidaklah dalam sangat, sambil ikan-ikan datang mengelilingi sebab ada bawa roti sebagai umpan. Ha masa tu dah seronok dah!
Pemandangan di dalam laut. Masya Allah, Subhanallah!
Kami makan tengahari di Salang dan berehat di situ selama sejam setengah. Betullah tekaan saya. Salang kelihatan sangat sibuk dan padat dengan orang. Kata abang bot, ada kenduri kahwin juga pada hari yang sama. Jadi dapat bayangkan tak betapa sibuknya jeti salang dengan pelancong pada hujung minggu ditambah dengan tetamu kenduri kahwin? Kami rasa bersyukur sangat sebab tak menginap di Salang . Huhu!

Tapi dalam tempoh 1.5 jam tu kami enjoy jugaklah Salang sambil bergambar sakan. Tak dinafikan pantai Salang memang cantik cuma kami nak avoid crowd.
Inilah chalet yang terbiar tu. Katanya dah dekat 20 tahun tak dihuni. Buat dan bina, tapi tak dapat kelulusan untuk beroperasi. Sayangkan? Kata abang bot, kalau rasa nak bajet, taknak keluar duit untuk hotel, bolehlah tidur hotel ni sebab percuma je. Tapi rasanya satu malam je tahan kut. Hhahahahaha!
Pantai Salang
Menu makan tengahari kami. Harga jangan tanya. Tapi goreng-goreng begini, di waktu tengahari boleh cecah belas-belas ringgit.
Selepas makan tengahari, kami berjalan-jalan di sekitar Kampung Salang sambil tengok keadaan sekeliling. Pada pendapat peribadi saya, Salang memang cantik, tapi padat. Sebaik sampai dekat dengan kawasan kenduri kahwin tu, kami berpatah balik ke pantai. Nanti kena iring masuk ke majlis, payah pula~
Tamat 1.5 jam, kami ke Pulau Soyak. Di sana saya bersnorkelling boleh tahan sakan juga. Mungkin sebab dah seronok dan dah kenyang sampai tak ada gambar. Hahahah! Tapi tak apalah. Destinasi terakhir kami adalah Monkey Bay tapi Monkey Bay tak boleh snorkelling sebab airnya tak jernih dan banyak monyet.  
Hampir jam 4 petang, kami akhirnya tiba di tempat di mana kami bermula pagi tadi. Penat, tapi seronok. Hajat di hati nak ke Marine Park terus, jalan kaki je. Tapi memandangkan kami belum solat jamak qasar, kami balik ke bilik dulu solat dan turun balik untuk ke Marine Park dalam pukul 5 petang.

Marine Park

Kami berjalan kaki saja ke Marine Park ni. Patutlah dalam pakej RM85 tadi tak ada itinerari ke Marine Park sebab sesiapa yang menginap di Tekek dan Air Batang, Marine Park boleh diakses dengan berjalan kaki atau berbasikal sahaja.

Perjalanan mengambil masa 20 minit berjalan kaki. Tak penat manalah sebab leka melayan pemandangan yang sangat indah. Memandangkan kami masih ada semua kelengkapan snorkelling tadi, jadi kami tak perlu sewa apa-apa di Marine Park. Jimat duit sebab satu jaket je dah RM8. Itu belum mask dan fin lagi.


Marine Park, pemandangan dari jambatan biru dari Air Batang
Hari dah petang. Jadi jangan buang masa. Terjunlah! Di Marine Park ni anda boleh tengok ikan yang besar-besar belaka. Ikan-ikan ni juga sangat gelojoh kalau dijamu dengan roti. Kalau lambat, boleh jadi kita dihurungnya pula.
Ikan-ikan gemuk di Marine Park :)
Sebenarnya Marine Park ni masih dalam proses pembinaan jeti dan pelantar yang lebih sempurna. Apa yang anda lihat di atas adalah jeti sementara untuk snorkelling. Jeti sementara ni agak bergoyang kalau ombak kuat atau ada bot besar lalu. Jadi anda mungkin akan berasa pening sikit.
Dah nak dekat azan Maghrib, kami pun balik. Nampaknya hari kedua kami sudah berakhir dengan pengalaman yang sangat menyeronokkan!
 Hari Ketiga


Feri pulang kami adalah pada jam 9 pagi. Kata Nisa, kena ada di jeti sejam sebelum pukul 9. Nak dijadikan cerita, dalam keseronokan kami bercuti, di sinilah kami diuji. Feri yang dijanjikan tak kunjung tiba. Katanya kerana tak boleh keluar dari jeti Tanjung Gemok sebab air di sana sedang cetek.
Kami menunggu hingga pukul 3 petang, barulah ada feri datang. Itu pun dengan orang yang ramai, kecoh jugalah orang ramai siap berebut-rebut nak masuk ke dalam feri. Memang kenangan pahit jugalah sebenarnya. Dahla penat, panas, lapar segala. Feri pulak tak ada. Kalau tak sabar, memang boleh buat gaduh tau~ Nampaknya lepas ni kena cuba Cataferry lah~ Ehhhhh! (Cataferry ni feri mewah dan besar. Harga lebih kurang RM160 seorang)
Selepas dua jam perjalanan, kami akhirnya sampai ke Jeti Tanjung Gemok dengan selamat pada jam 5 petang. Selepas solat, kami terus ke kereta yang diparking di kawasan parking jeti dan membayar parking fee sebanyak RM36 untuk 3 hari 2 malam. Kira ok lah kan. Orang yang jaga parking tu siap verify kereta kita dengan kad pengenalan pemandu.
Terima kasih, Jeti Tanjung Gemok!
Since tak sempat nak ambil gambar jeti masa datang hari tu sebab subuh gelap dan kelam kabut, kita snap je lah masa nak balik. Dalam terminal tu ada juga kedai cenderamata Tioman (kalau tak sempat ke Tekek untuk membeli apa-apa untuk dibuat buah tangan).

All in all, Tioman adalah pengalaman yang paling indah untuk saya. Masa suami saya sebut Tioman, saya hampir cakap 'impossible' sebab macam tak mampu nak uruskan booking (booking memang selalu saya yang buat. Suami saya selalu in charge bab makan), risau nanti dapat hotel yang entah apa-apa, jauh dan banyak lagi alasan.

Sedikit tips untuk ke Pulau Tioman

1. Buat tempahan hotel dan feri lebih awal. Rancang percutian anda.
2. Minimumkan barang yang dibawa. Kalau setakat 3 hari 2 malam, tak payah bawa luggage yang besar tu. Susah nak bawa masuk feri.
3. Kalau bawa anak, cukupkan keperluan dia. Mak apak cuba minimumkan barang. Ini tak, saya tengok teddy bear pun bawak. Adoilaaaa~
4. Makan mudah kat sana. Tapi kalau di kedai-kedai runcit atau gerai, harganya agak mahal. Jadi dinasihatkan bawalah makanan sendiri.
5. Bawa keperluan ubat yang cukup. Ubat mabuk laut, ubat pening, minyak kapak, minyak angin, Panadol, minyak gamat dan apa-apa yang dirasakan perlu
6. Kalau duduk selain dari Tekek, pastikan ada ada wang tunai yang cukup. Kalau tak, sepasal pulak nak ke Tekek semata-mata nak cari mesin ATM. Urusniaga di sana guna tunai. Tak boleh guna kad debit untuk bayar RM85 tambang coral trip atau check in hotel~

Betullah, luas perjalanan banyak pengalaman. Kami memandu balik meninggalkan Jeti Tanjung Gemok dengan seribu kepuasan menghala ke rumah emak sebab tak larat nak memandu terus ke KL. Mujurlah ada rumah mak untuk transit satu dalam dan mujurlah memang kami dah ambil cuti tahun pada keesokan harinya (25 September) sebab memang dah tahu akan penat punya.

Terima kasih cinta, terima kasih kenangan. Moga kembara kita membawa berkah dan mengajar kita erti hidup.

Salam sayang,
Dhiya Dahlia

Travelog Dhiya: Company Outdoor Activity @ Gua Tempurung Exploration 2017


Bismillah

Minggu lepas, 21 September 2017, HR kami anjurkan program luar untuk semua staf operation, finance dan marketing. Kalau dulu kami main bowling, tapi kali ni kami ke Gua Tempurung untuk aktiviti yang lebih mencabar.
Kami bergerak dari Kuala Lumpur pada jam 7 pagi dan sampai di Gua Tempurung lebih kurang jam 10 pagi. Sebelum tu HR kami dah pesan supaya sediakan sendiri lampu suluh/ lampu kepala, kasut getah (kasut sukan pun boleh, tapi kasut lama lah) dan pakaian ganti.

Sebenarnya Gua Tempurung ni ada beberapa trail package. Ada yang jalan-jalan saja, ada yang jalan sambal meranduk air dan ada yang berjalan, merangkak dalam air lepastu mendaki batu batan pula. Tapi untuk kami, HR ambil yang medium sahaja- Jalan sambil kena randuk air sikit-sikit. Bolehlaa kan. Taklah lasak sangat.
Pintu masuk ke Gua Tempurung.
Jom masuk Gua Tempurung!

Sebaik melangkah melepasi pintu masuk ni, kami diberi topi keselamatan. Topi keselamatn ni penting sebab sedikit sebanyak dapat melindungi kepala dari terhantuk dengan batu. Batu batan dalam gua ni keras tu dah memanglah, stalaktait tajam meruncing ke bawah pun ya juga. Jadi sangat lah bahaya.
Lawa? Tak ada maknanya. Masuk sini tudung terkelepet- Don't care!

Perjalanan awal kami banyak menaiki tangga. Saya ni manusia penggayat. Mendaki tangga yang tinggi, berlubang di bawah pula memang boleh buat putus asa. Tapi mujurlah colleague banyak bagi semangat dan sokongan.
Pemandangan di dalam gua. Masa ni tak main kotor lagi. Cuma berjalan-jalan sambal berhenti di beberapa tempat untuk layan penat.
Kami tamatkan perjalanan bertangga dengan menuruni anak tangga yang sangat curam dan anak tangganya yang kecil. Masa ni, telefon dah mula disimpan sebab dah mula kena turun jurang dan masuk lubang kecil untuk mula meranduk dan merangkak dalam air.

Good things about this activity is we practice teamwork. Ada satu bahagian tu, kami kena menggelungsur dari atas batu untuk sampai ke bahagian bawah. Kalau tak ada orang tunggu (kaum-kaum Adam nilah jadi mangsa menahan dan menyambut kaki kami), mungkin boleh jatuh terhentak. Alhamdulillah dalam pada gayat-gayat, takut, tak yakin pun saya boleh lalui semua ni sebab kawan-kawan banyak membantu.

Selepas Berjaya menggelungsur ke bawah, kami kena masuk seorang demi seorang melalui satu lubang kecil untuk masuk ke bahagian sungai dalam gua. Air pun bukan dalam. Cuma takat buku lali saja. Tapi ada satu tempat tu, kami terpaksa merangkak sebab bahagian atas gua sangat rendah. Nak taknak kena buat. Masa merangkak tu memang basah la. Cuma kepala je yang tak kena air dan satu benda je yang saya fikir adalah beg sandang belakang tak boleh kena air sebab ada telefon. Tu je!

Tapi semua tu best dan enjoyable! We support each other!
Bila dah nak sampai ke hujung dan nampak cahaya luar, rasa seronok sebab tahu yang kita Berjaya lakukannya. Alhamdulillah!
Kami sempat bergambar beramai ramai sebelum keluar untuk kenangan. Yalah...Esok dah ada anak, mampu ke nak buat 'kerja gila' ni semuaaaaa!
Ni pintu keluar kami. Yang Nampak macam jambatan kat atas tu adalah pintu masuk kami awal-awal tadi.
Secara keseluruhannya saya suka Gua Tempurung exploration ni. New experience, tapi tak lasak sangat dan sesuai dengan orang macam saya. Cuma kat mendaki tangga tulah boleh tahan penat sebab tinggi dan gayat. Yang lain, saya enjoy!

Eksplorasi kami ambil masa lebih kurang 2 jam. Keluar je- Tengok jam, dah pukul 12 lebih. Ingatkan dah boleh balik sebab malamnya tu saya dan suami nak sambung perjalanan ke Pulau Tioman pula. Rupanya ada aktiviti kedua iaitu water tubing. Ha, cerita water tubing tu kita sambung kat bawah ok!
Water tubing activity

Selesai aktiviti meneroka Gua Tempurung, kami tunggu lori (naik lori macam lembu korban okehhh!) untuk bawa kami ke tapak aktiviti water tubing tu. Tempat tu macam campsite. Kami makan tengahari di situ. Sebab dah lapar, lauk gulai ayam dengan sayur kobis pun terasa sedap.
Gambar diambil dari atas lori. Kami melalui jalan sempit yang ada rumah-rumah kampong. Seronok juga hidup kat sini. Tenang je~

Pemandangan sepanjang perjalanan

Perjalanan ke campsite melalui denai kecil ni dan ada tasik

Aktiviti water tubing bermula lebih kurang jam 3 petang.
Saya secara peribadi kesal sikit dengan HR sebab mereka tak  maklumkan pun yang ada dua aktiviti. Mereka hanya beritahu masuk ke Gua Tempurung sahaja.
I was not mentally prepared. Manusia aquaphobia macam saya bukan senang nak tukar mind set dan tenangkan minda. Apatah lagi kalau ada wanita mengandung. For me HR was not really transparent in revealing the itinerary. Pukul 3 petang, tau-tau dah kena pegang tube dan terus belajar floating itupun sekejap dan kemudian terus dilepaskan seorang demi seorang.

Gambar water tubing tak ada sebab semua gajet ditinggalkan di darat. Cuma ada satu video di YouTube hasil GoPro staf IT. Jadilah~
Aktiviti ni memang penuh risiko terbalik dan tergolek dalam air. Macam saya, dua kali terbalik dalam jeram yang agak dalam dan sekali tu terlanggar buluh di tepi sungai hingga memang tenggelam dan dalam keadaan panic tu, saya tertelan banyak air dan rasa dah mati waktu tu.
I was really sad sebab ia berbahaya dan boleh jadi memudaratkan saya.

Saya beritahu pada trainer yang saya nak give up, bukan sebab putus asa sangat. Tapi saya tahu limit saya bagaimana. Setelah dua kali terbalik, saya rasa aktiviti ni dah tak selamat untuk saya. Sudahlah waktu tu saya demam. Malamnya pula kami nak berkejar ke Jeti Tanjung Gemuk untuk kejar feri ke Tioman. Saya betul-betul penat dan tak mampu nak teruskan. Tapi trainer ni pujuk juga saya. Dia bilang, tak apalah saya akan pegang tube awak sampai habis. Bila dia janji macam tu, saya tenang sikit. Tapi tiap kali lalu jeram, saya traumatized dan teringat macam mana saya lemas awal-awal tadi.

Takut air (aquaphobia) is real. Saya memang tak suka aktiviti air. Dulu nak terjun kolam renang pun takut. Kalau masuk pun, ke tempat cetek saja. Saya akan panik teruk kalau kaki dah tak jejak dasar. Sebab tu saya tertelan banyak air masa lemas di jeram masa water tubing tu agaknya. Sekarang ni, sejak berkahwin dengan aqua man, ketakutan saya tu dah berkurangan sikit. Suami saya sangat sabar dalam mendidik saya dalam aktiviti air. Nanti saya cerita macam mana saya di Tioman buat snorkelling dan sebagainya dalam keadaan masih takut pada air. Kadang-kadang orang boleh gelak sambal cakap: "Hek eleh, sungai cetek je. Laut tenang pun. Yang nak gelabah sangat kenapa?" Kau tak rasa 'penyakit' tu, memanglah kau boleh kata...

Habis water tubing, kami mandi dan makan malam di campsite tu dan bersedia untuk balik sebab bas dah menunggu. Saya dapat naik kereta dengan driver sebab saya cakap dengan dia saya nak cepat sebab malam ni kami nak pecut ke tempat lain pula. Dia pun kesian tengok saya sebab saya dah mula demam teruk dan saya hampir putus asa nak sambung percutian ni dengan suami pula.
Sampai di KL agak awal, saya balik rumah dulu. Dapatlah berehat sekejap sambil suami saya melayan demam saya dengan segala jenis ubat dengan ucapannya: "D, tolonglah jangan demam D, kita nak pergi bercuti ni"

Aktiviti eksplorasi Gua Tempurung berakhir apabila kami memulakan perjalanan ke arah Timur menuju ke Kuala Rompin.
Alhamdulillah. Apa-apa pun, terima kasih HR atas usaha penganjuran tu. Harapnya lepas ni jangan sorok-sorok itinerari sebab menyusahkan ramai, bukan saya seorang, Your effort counts anyway... :) I really mean that.

Dhiya

Dhiya ke Kelas Menjahit Artcraft!


Bismillah

Hujung minggu lepas, saya berpeluang menghadiri kelas jahitan di USJ. Dah lamaaaaaa sangat berhajat nak belajar menjahit ni. Asalnya teringin nak buat baju kurung sendiri je, tapi lama-lama saya terfikir; banyak benda lain aku boleh jahit selain dari baju kurung sendiri.

Akhirnya selepas beberapa ketika follow IG Kelly ni, saya tekad untuk hadir ke kelas yang dianjurkan. Kelas yang ditawarkan banyak; dari basic hinggalah ke advance. Tapi saya ambil kelas yang paling asas sebab nak tahu basic knowledge dulu. Yang bestnya, bayar yuran pendaftaran dan semua disediakan oleh penganjur dari sekecil-kecil bahan hinggalah sebesar-besar fabrik dan mesin jahit! Dan yang bagusnya juga, kelas ni satu hari saja. Jadi tak drag plan kita yang lain-lain tu. Tapi kalau kata tak siap dalam tempoh sehari kelas tu, kita boleh datang lagi bila cikgu ada dan sambung belajar tanpa bayaran tambahan. Huhu!
Kelas bermula 11 pagi. Sebaik tiba, Kelly dah tahu yang saya akan buat projek asas. Jadi dia suruh saya pilih 1 projek besar (macam pouch atau kotak make-up) dan dua projek kecil (macam bekas pensel dan uncang).
Saya pilih button pouch, kotak pensil berzip dan passport holder.

Dan momen yang palinggggg seronok adalah memilih fabrik! Kedai Kelly ni kecil tapi syurga untuk fabrik yang pelbagai warna dan corak. Memang rambang mata dibuatnya! Beberapa kali saya tukar fabrik sebelum dipotong sebab tak boleh buat keputusan punya pasal.

Belajar menjahit bukan terus potong kain dan jahit. Mula-mula kena belajar trace pola dulu. Trace pola ni pula kena faham, samada kena tambah basi atau tidak. Material pun bukan kain semata-mata. Saya belajar banyak jenis interface yang buat kain jadi gebu, keras dan tidak lembik dan bagaimana nak guna seterika supaya interface melekat elok pada kain.

Pola untuk semua projek saya siap juga dalam masa 2 jam. Lepas tulah baru cikgu ajar cara nak guna mesin jahit dan kemudian barulah diajar macam mana nak gabungkan kain, top stitch untuk bagi kemas cantuman fabrik dan banyaaaaaaaaaaaak lagi.

Memandangkan saya ni seorang amatur, jadi perlahan la juga. Tiga projek, walaupun nampak kecil dan ringkas, boleh tahan juga terhegeh-hegehnya. Huu! Tapi bila dah nampak bentuk projek kita tu, rasa seronok dan teruja sangat sampai cikgu cakap: "Sabar, D..Sabar D..Awak ni dah advance pulak"
Passport holder dan button pouch saya
Dan inilah dia 3 projek yang saya buat sendiri dengan bantuan cikgu Rebecca! Yeay!
Projek ni dengan rasminya siap pada pukul 7.30 malam. Kemas-kemas barang terus hai-hai bye-bye, terus pecut ke surau untuk solat Maghrib dan cari suami saya sebab dia dah tunggu lama.

Insya Allah saya akan datang balik ke kelas ni untuk projek yang lain terutamanya projek sling bag dan doctors bag. Teruja sangat!

And to dearie husband, please buy me a sewing machine for my birthday present. Thank you. Ups~

Dhiya

Travelog Dhiya: Eastern and Oriental Hotel Pulau Pinang- 2017


Daftar masuk kali ini adalah atas urusan kerja. Sebenarnya program kami ni 2 hari. Satu hari di Hilton KL, dan keesokannya terus pecut ke Pulau Pinang untuk program hari kedua pula. Penat woooo!

Kereta kami hanya berempat dengan barang-barang program. Sesampai saja di Pulau Pinang, kami sempatkan dulu mencari makan sebelum daftar masuk dan petangnya pula ada program.
Kali ni dapatlah saya ikut colleague saya berbangsa Cina untuk makan di gerai cendol di Penang Road Teochew Cendol. Teochew Cendol ni punyalah banyak cawangan di KL, tapi baru kali ni saya dapat datang kedai asalnya di Pulau Pinang!
Kedai durian ni mengingatkan saya akan Korea. Gerainya comel dan menarik perhatian. Oh ya, kedai cendol yang kami makan tu terletak di depan kedai durian ni.
Cendol dan rojak memang pakej snek paling laris di Malaysia, tanpa mengira kaum!
Suasana dalam kedai
Sampai je hotel, daftar masuk bilik, duduk sekejap, solat dan terussss turun ke ballroom untuk persiapan program kami yang akan bermula dalam pukul 8 malam.
This is sooo 'wrong'. Hotel ni terlalu bagus untuk kami. Hotel ni hanya sesuai untuk pasangan honeymoon
Bilik cantik, besar, sea view pulak tu. Bilik air dia bukan main besar siap boleh main kejar-kejar! Hahahahahaha!
Pendek kata, hotel ni memang perfect di Pulau Pinang dan it's an honour to organize an event here and at the same time we can get a one night stay here. Iyalah, program kami habis dalam pukul 11 malam. Memang patutlah dapat tidur di bilik hotel yang sama sebab semua pun dah penat dan tak larat nak memandu kalau hotel untuk tidur di kawasan lain pulak.
Pemandangan dari bilik saya, 15-10. Antara tingkat paling atas.
Regret sebab tak sempat duduk pun kat kerusi ni
Empire bath room!
Boleh pandang je
 Kami dapat peluang sarapan keesokan paginya dan makanannya semua best-best!
Gambar program banyak. Tapi mestilah saya tak nak emphasize hal kerja. Hahahaha! Tapi as a tribute, terima kasih kepada bos yang sudi bawa saya, expose saya dengan banyak peluang komunikasi dan dapat berkongsi pengetahuan dalam bidang yang dipraktikkan.
Memandangkan ini adalah program kerja, 10 pagi keesokannya harinya, selepas sarapan, kami terus daftar keluar kerana kami membawa seorang speaker untuk program kami yang akan pulang ke Sweden di KLIA pada petangnya. Memang tak ada peluang pun berjalan.

Tapi Pulau Pinang tak pernah mengecewakan saya, baik datang bercuti, bekerja, sehari mahupun seminggu.

Secara peribadi, saya akan datang balik ke sini untuk melancong. Dah merasa hotel di Batu Feringgi, rupanya tak payah ke Batu Feringgi pun boleh dapat hotel sea view cantik macam ni! Jom simpan duit dan rancang!

Untuk bos, sekali lagi thanks dan bawaklah lagi~

Dhiya

Kisah dan Pengalaman Kulit Wajah Terbakar dek kerana Krim Jerawat- 2017


Fasa 1- Bagaimana ia bermula?

Mulanya jerawat je. All this while, kalau ada jerawat, saya memang akan guna Hiruscar Post Acne 10mg. Untuk pengetahuan, saya memang dah guna Hiruscar Post Acne ni sejak tahun 2015 lagi dan sangat berkesan. Saya bukan orang yang jenis berjerawat teruk sekarang. Cuma kadang-kadang adalah dua tiga ketul yang datang melawat, randomly. Sedikit review Hiruscar Post Acne, saya memang berpuas hati dengan penggunaannya selama ini. Walaupun harganya agak mahal, (anggaran dalam RM 40++) tapi apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan kesan positif yang saya dapat selepas menggunakan produk ni. Lagipun, kadang-kadang produk ni akan ada diskaun teruk yang boleh buat saya senyum riang. Kena selalu rajin singgah drugstore untuk tengok harga terutamanya setiap kali hujung minggu.
Masa mula-mula jadi
Saya memang pengguna setia Hiruscar! Yang kecil tu sebenarnya adalah tester yang saya dapat di booth mereka di Mid Valley dulu. Tunjuk je pek saya sendiri (yang memang selalu letak dalam beg dan bawa ke mana-mana), terus dapat banyak trial pack. Untung!
Tapi nak dijadikan cerita, Hiruscar saya habis. Pergi farmasi pun tak ada stok. Jadi saya 'pejam mata' je beli Maderma. Esoknya sapu Maderma, kulit saya terus melepuh dan menjadi kemerah-merahan! Tak cukup dengan tu, kawasan merah tu kadang-kadang gatal terutamanya kalau saya berada di luar rumah atau pejabat.  Sekejap je terus kena! Jadi saya terus berhenti sapu Maderma tu.

Fasa 2- Kulit saya mula merah dan ada kesan terbakar!

Di pejabat, kawan-kawan mula tegur. Ada yang tanya muka kena tembak minyak panas ke. Ada juga yang tanya dalam nada jenaka kena dera dengan suami ke and what so ever which make me very stressful, down, and irritated. Saya sedar yang saya sebenarnya menjadi perhatian di pejabat. Ialah, kalau tak, masakan mereka sedar perubahan pada kulit saya. Maksudnya juga saya diperhatikan jika keluar rumah.  I was sooooo stress!
Duduk dalam pendingin hawa, kurang 'panas' dan kering elok. Tapi bila kena matahari, dia mula jadi 'panas' balik dan mulalah jadi lembap.
Teman sepejabat saya, seorang ahli farmasi nasihatkan saya supaya letak alovera di tempat tu sebab saya mengadu pada dia kulit saya terasa 'panas' dan bengkak sampai saya boleh rasa pipi saya besar sebelah.
Tips membeli alovera: Jenama apa pun boleh waima jenama Guardian. Itu lebih baik dari jenama lain yang ada alkohol dan tak 100% pure alovera. Ingat: Alovera mesti 100% content dan tidak dicampur dengan bahan lain!
Tapi malangnya alovera bukan penyelesaian terbaik untuk saya. Walaupun kulit terasa sejuk dan kurang mengelupas, tapi ada macam nanah mula naik di muka. Infection has begun! Sekali lagi saya berhenti letak apa-apa di muka dan tekad berjumpa doktor (seorang GP) di tingkat 13 pejabat saya. Dia bekalkan saya dengan ubat antibiotik dan krim sapu. Sepanjang seminggu saya guna (semasa cuti raya haji), kesannya on-off. Sekejap Nampak ok, sekejap naik balik. Follow up seminggu berikutnya (selepas raya haji), saya diberi ubat lain tapi nampaknya kesan tu tak nampak sangat. Kulit di bahagian yang terjejas tu masih kadang-kadang merah, kadang-kadang nampak pudar, kadang-kadang ok, kadang-kadang terasa gatal sangat. Saya berhabis hampir RM200 untuk dua kali rawatan di GP ni.
Waktu ni saya sedang guna ubat GP. Bengkak memang surut tapi merah tu tak hilang sangat. Kejap-kejap  nampak surut, tapi kejap-kejap nampak macam jadi balik
Ni yang nampak surut. Tapi kalau dia nak jadi balik, anytime je boleh tiba-tiba jadi merah balik.
Lepas balik dari raya haji, saya perasan yang it's getting worse.
Yang ni memang worst.
Immediately after that, saya terus ke pakar!

Fasa 3- Apa rawatan lain yang saya ikhtiarkan?


Saya akhirnya 'tewas'. Saya ke Klinik Pakar Kulit Md. Noh di Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur. Klinik ni dicadangkan oleh suami saya sendiri sebab katanya dia pernah ke situ untuk mendapat rawatan masa kecil dulu. (Nampak tak dah berapa lama klinik ni ada?). Kalau nak tahu, klinik ini terletak di tingkat 1 bangunan kedai berdekatan dengan Kamdar. Tiada tempat letak kereta sebab klinik ni terletak di depan jalan besar berdepan dengan pawagan Tamil Coloseium tu. Jadi kalau nak dating, datanglah naik tren.
Sampai je di klinik, daftar dan tunggu sekejap nama dipanggil. Untuk pengetahuan, klinik ni sangat 'tradisional'. Pendaftaran tak menggunakan kad pengenalan, hanya perlu isi borang dan nombor yang diberi pun atas kad saja. Pun begitu, katanya pengunjung klinik ni sangat ramai terutamanya pada hujung minggu dan proses menunggu agak mengambil masa. Tapi flow pesakit pada hari biasa agak kurang jadi tak lah lama sangat menunggu. Alhamdulillah saya menunggu tak sampai 15 minit pun.
Sebaik masuk, saya ceritalah semua masalah saya kepada doktor. Saya bawa dan tunjuk juga semua ubat yang saya guna dan yang pernah diberikan oleh GP sebelum ini.
Doktor cakap memang saya kena infection jadi doktor bekalkan ubat lain dan berhenti semua ubat GP sebelum ini.
Ubat saya: Antibiotik (tak sama dengan yang GP bagi), ubat gatal, ubat alergik, cleanser dan krim. Banyak oih!
Dikurniakan MC. Ya Allah, rasanya selama saya dalam dunia kerjaya, saya tak pernah minta MC. Inilah yang pertama dan betul-betul perlukan MC...

Waktu operasi:

Isnin , Selasa , Khamis:  9.00 pg - 5.00 ptg
(rehat: 1.00 - 2.00 ptg)
Rabu :10.30 pg- 1.00 ptg
Jumaat- tutup
Sabtu: 9.00 pg- 5.00 ptg
Ahad & Cuti Am - tutup
Tawakal Hospital - 2.30 ptg/pm - 5.00 ptg/pm

Fasa 4: Selepas lebih kurang seminggu, apa terjadi sekarang?

Alhamdulillah Klinik Pakar Kulit Md Noh menjadi asbab untuk saya sembuh hampir sepenuhnya. Merah di bahagian kulit pipi kiri saya sudah hampir hilang, tak lagi gatal dan nampak sudah kembali kepada asal. Saya bersyukur sangat.
Gambar terbaru, selepas lebih kurang seminggu ke Klinik Pakar Kulit Dr. Md. Noh
Ialah, saya ni bekerja banyak jumpa orang, sedikit sebanyak orang pandang penampilan saya- Jadi sangatlah perlu untuk saya sihat tubuh badan dan juga penampilan (walaupun tak cantik mana, hot meletop berbakar~)
Kalau muka merah bertompok, ada infection, nak jumpa orang pun jadi tak yakin. Nak bercakap pasal kesihatan pun rasa orang taknak percaya sebab kita sendiri pun nampak tak berapa sihat. Huhuhu!
Tapi setakat hari ini, Alhamdulillah sangat. I'm fully recovered, which costs me another RM255. Tak apalah. Zakat untuk diri sendiri~
Saya masih ada 3 hari lagi untk habiskan ubat alergik dan seminggu lagi untuk habiskan antibiotik. Untuk yang nak berikhtiar, cleanser yang Dr. Md Noh bekalkan kepada saya hampir sama dengan Cetaphil cleanser. Jadi kalau nak cuba sendiri, belilah Cetaphil dan cuci kulit anda guna Cetaphil tu. Mana tahu cheaper trials first work on you.

Untuk yang mempunyai masalah infection, alergik terhadap krim tertentu yang dibeli di farmasi dan menyebabkan kulit anda terbakar, cepat-cepatlah dapatkan rawatan. Kalau boleh terus jumpa pakar dan jangan 'buang duit dan masa' macam saya jumpa GP. Bukan nak cakap GP tak bagus, tapi biarlah kita pergi kepada ahlinya terus supaya dapat jimatkan kos dan cepatkan masa untuk sembuh.

Demikian sedikit sebanyak perkongsian pengalaman saya. Semoga dapat membantu merungkai persoalan orang yang pernah senasib dengan saya. I wish you get well soon and all the best!
Pengajaran: Jangan letak sebarang-sebarang bahan di muka. Saya yang beli ubat di farmasi pun boleh kena. Inikan pula yang beli krim pemutih yang ada merkuri dan macam-macam bahan kimia tu. Berhati-hatilah~

Klinik Pakar Kulit Dr. Md Noh
87, Tingkat 1, Wisma Mohd Ebrahim
Jalan Tuanku Abdul Rahman
50100 Kuala Lumpur
Sebelah Kamdar, (sekarang macam ada construction sikit) dan berdepan dengan panggung Tamil Coloseum tu.

Ikhtiar, ya!

Dhiya Dahlia

Selamat Hari Jadi Abah!


Bismillah

Abah,

Selamat hari jadi!

Semoga panjang umur, sihat walafiat, dan gembira terus.

Long and infinite wishes, remain only inside my heart. 

I love you, abah!

Dhiya
Puteri Bongsu
14 September 2017

We are very busy!


Bismillah

Betul. Kami berdua sedang sangat sibuk. Hujung minggu kami penuh terisi dengan pelbagai aktiviti.

Awal Oktober, raya haji.
Minggu kedua, saya ke Pulau Pinang atas urusan kerja.
Minggu ketiga (esok lusa), saya ada kelas jahitan.
Hanya minggu keempat nanti barulah kami dapat lari bercuti sekejap, itupun sebab ada cuti umum 3 hari.
Dan minggu terakhir September barulah ada peluang balik ke Pahang Insya Allah.

Suami saya pula, kadang-kadang hujung minggu pun terpaksa masuk ke pejabat. Kalau hari kerja, kadang-kadang memang terpaksa balik lewat. Tapi kami optimis. Kami gelarkan ini sebagai cabaran berdua kerana kami yakin di saat kami ada anak pertama nanti, semua ini akan berlalu. Kami juga positif yang Allah mahu kami bekerja keras dalam semua bab dan dunia ini bukan tempat untuk berehat sangat.

Sebenarnya, apa pun yang kita buat dalam hidup ni ada cabarannya. Nak makan pun kena suap makanan tu masuk ke dalam mulut, inikan pula nak hidup. Kadang-kadang saya rapuh juga- Atas banyak sebab: Kawan, makcik bawang, keluarga, suasana, kesihatan, kewangan, masa- Tapi faktor ini jugalah yang buat saya bangkit dan kuat.

What doesn't kill you simply makes you stronger.

Contohnya macam makcik-makcik bawang ni lah~ (You should familiar with this term. It refers to the person who always trying hard to find your faults, look down at you, underestimate your ability and what not!)
Kadang-kadang saya rasa demotivated dengan sikap orang-orang begini. Saya menangis dan kadang-kadang mengadu pada orang yang saya percaya. Tapi apalah sangat kudrat orang yang mendengar tu. Paling banyak pun, nampakkan simpati. Kadang-kadang tak membantu sangat juga pun ada. Nasihat mereka macam kita balik yang salahnya.
In the end, apa yang saya buat adalah saya biarkan bawang-bawang ini membusuk, saya jauhkan diri dari manusia, saya dekatkan diri dengan Dia- Dan kekuatan hadir. Saya tanpa sedar sedang bangkit dari kata-kata manusia yang negatif.

Kami pilih untuk bahagia dan biarkan orang gila melihat kami. Bukan suruh dengki. Kami tak ada apa untuk didengkikan. Tapi kalau dah memang ada penyakit hati, orang makan ikan masin dengan pulut tanak pun kita boleh cemburu, kan? Kami tak ada masa melayan negativiti sebab itu buat kami lemah, tak maju dan tak kaya~ Hahahha!

Dalam keadaan sibuk macam ni, lagilah~

Put aside all shit
Just focus on life
Don't forget Him

Done

Zikir
Insya Allah tak rasa sibuk

Dhiya

Selepas Cuti Panjang


Bismillah

Welcome back!

Selamat bangun pagi untuk pergi kerja.
Selamat kejutkan anak-anak untuk hantar ke pengasuh atau sekolah
Selamat hilang serkup kepala
Selamat suami hilang stokin

Dan semua tu berlaku di pagi hari dan kalutnya hanya kita yang lalui sahaja akan tahu!
Hahhahahaha!

Ok.
Alhamdulillah sebab cuti and all the hectic are over. Aidil Adha kali ni kami balik ke Johor, kampung suami saya sebab dia masuk korban di sana. Agak malang, saya diserang diarrhoea yang agak teruk dan tak enjoy sangat lah raya kalau asyik mengulang tandas je.

Selebihnya kami bawa bibik berjalan-jalan sambil membeli-belah sedikit sebab dia akan balik ke Indo hujung tahun ini. Berkumpul adik-beradik, memang seronok. Cuma biasalah kalau ada hiccup di mana-mana. Benda ramai-ramai, kadang-kadang ada yang tersilap langkah dan tersalah kata.

Dan hari ini adalah hari pertama selepas lebih kurang seminggu bercuti. Nak bangun pagi Masya Allah susahnyaaaaaaaaaa! Terasa berat sungguh selimut tu. Nak buka mata susah, nak jalan pergi bilik mandi susah, nak gosok gigi pun susah. (Alasan berbakul bakul!)

Sudahlah hari ni Isnin pertama selepas cuti sekolah. Keluar je dari rumah, jalan dah sesak. Sampai pejabat lewat 5 minit. Buka je laptop, email masuk macam peluru, bertalu-talu. Tersandar sekejap. Huuu!
Banyak juga perkara yang nak kena diselesaikan hari ini. Tapi Alhamdulillah setakat sebelum lunch break tadi, hampir semuanya sudah selesai dan saya sangat gembira. Petang nanti Insya Allah saya nak susun dokumen untuk stage yang paling stressful pada saya iaitu reading (membaca scientific paper, journal dan apa-apa sahaja berkaitan research)
Tapi takpe. Alah bias, tegal biasa. Setahun dah di sini. Walaupun membaca tu susah, tapi suasana di sini cukup membantu dalam menyediakan suasana kondusif untuk saya fokus.

Petang nanti, Insya Allah tak nak memasak. Tak larat. Belum ada mood. Lagipun suami saya mungkin balik lewat dengan komitmen kerjanya yang agak tinggi sekarang. Samalah juga dengan saya ni sebenarnya. Tapi kami optimis, kerja keras ni akan berbayar dengan cara yang paling indah nanti.

Selepas cuti panjang memang susah. Nak dapatkan balik momentum tu bukan senang. Saya sendiri pun lama di pantri tadi, minum sambil bawa planner dan susun balik to-do-list saya supaya kembali on track.

Insya Allah, mari kita bersemangat selepas cuti panjang!

Dhiya