Cerita Backpacking Solo di Seoul: Hari #1


Bismillah

Saya kembali dengan review Korea. Ohooooi~ Saya bagi amaran awal-awal tau. Entri ni sangat panjang, sebab saya tak mahu tangguh-tangguh dan review sikit-sikit. Nanti tak tahu bila lagi nak tulis kan. Jadi saya compress entri solo traveling berdasarkan kepada hari sahaja, bukan berdasarkan tempat.

So here goes the first day!

Seperti yang dipersetujui dan disepakati, kami seramai 7 orang akan ke Seoul pada pagi 26 Oktober 2013 dengan menaiki tren Mugunghwa dari Daejeon Station terus ke Seoul Station.
Memandangkan kami ingin merasai nikmat backpacking, jadi kami akan berpecah dan mengikut rancangan masing-masing.

Mula-mula memang saya rasa tertekan dengan kawan-kawan yang saya rasa pentingkan diri. Iyalah...Saya ni jenis yang takut-takut sebab ini kan tempat orang. Kalau nak berjalan perlu barkawan. Tapi apabila saya fikir balik...Why not? Inilah peluang yang saya ada untuk mencabar diri sendiri. Tapi banyak juga saya buat research tentang Seoul- Bagaimana persekitarannya, keselamatannya, orangnya dan kemudahannya.

Mujurlah saya ada kenalan di Seoul. Sejak saya sampai di Korea, saya sudah beritahu dia awal-awal yang saya nak ke Seoul dan berjumpa dengannya. Jadi saya maklumkan kedatangan saya ke Seoul dan dia dengan gembira menerima saya. Insya Allah hari Sabtu akan berprogram penuh dengan dia. Siapa dia? Kena baca sampai habis!

Atas keputusan itu juga, saya telah membuat tempahan hotel untuk saya menginap satu malam. Ada di kalangan rakan saya yang mengambil keputusan untuk menjadi 24 hours traveller dan hanya berehat di stesen subway atau Lotteria. Saya tak setuju dengan idea itu. Jadi bermula dari tempahan hotel lagi, saya sudah tekad untuk bergerak sendiri!

Saya menggunakan khidmat Booking.com. Kebanyakan tempahan hotel di Seoul tidak memerlukan bayaran deposit. Tapi itu tidak bermakna kita boleh batalkan tempahan sesuka hati. Komitmen sangat penting. Booking.com juga sangat convenient dan saya telah memilih sharing female dorm for 4. Harga untuk satu malam adalah KWN10800, lebih kurang RM30. Murah la tu! Kawan saya dapat bilik pada kadar RM79 satu malam. Tak kisahlah sangat pun. Asalkan dapat tempat tidur, tempat mandi dan ruang solat, dah cukup bagus. Ok. Selesai bab penginapan!
Pagi 26 Oktober, kami keluar dari kolej dengan hati yang penuh teruja. Nampak macam tengah panas terik kan? Ini jam 7.30 pagi, 5 darjah Celsius. Kami akan ke Daejeon Station untuk menaiki tren ke Seoul Station!
Inilah Daejeon Station yang menyediakan pengangkutan keretapi kepada penduduk ke kawasan tertentu, terutamanya Seoul dan Busan. Erm....Kalau di Malaysia kita boleh kata macam KL Sentral. Kut~
Tempat ni sangat besar. Jadi kena tengok tiket dan pastikan platform,serta coach keretapi masing. Tersalah coach akan menyebabkan kita tersalah nombor tempat duduk. Memanglah boleh gerak dari satu coach ke satu coach yang lain...Tapi susah sebab ramai orang.
Perjalanan mengambil masa 2 jam. Mugunghwa ada juga menyediakan tiket lebih murah, tapi kena berdiri. Macam kelakar, kan? Pada kami, 2 jam nak berdiri dan lepas tu di Seoul nak berjalan lagi...Memang taklah! Sebab tu kami beli tiket dengan tempat duduk. Dapat menikmati pemandangan dengan asyiknya. 
Saya dapat duduk dengan seorang jejaka Korea yang kacak dan sangat baik hati dengan menolong saya menyimpan beg di tempat menyimpan barang di bahagian atas coach. Melting sekejap. Baru saya faham kenapa ramai kawan saya yang separuh gila tengok jejaka Korea. Aigooo~!

Sepanjang perjalanan tu, saya menikmati pemandangan yang cantik sambil sekali sekala jeling oppa tu. Dush!
Akibatnya telefon yang saya bawa (kononnya sebab saya penakut dan perlu kalau ada sebarang kecemasan, dan senang rakan saya tu nak menelefon) asyik berdering, tetapi saya tak sedar pun. Yang sebenarnya saya dengar, tapi tak sangka pun itu  bunyi telefon sebab saya tak pernah dengar telefon tu berbunyi. Selama ni saya guna telefon tu untuk buat panggilan je. My bad! Malu je dengan oppa sebelah!
Rupanya rakan saya tu dah telefon sejak dari sejam perjalanan lagi. Kesiannya! Saya terus call dia balik dan confirmkan tempat bertemu. Dalam hati ada getar. Empat tahun tak berjumpa....

Sebaik sampai di Seoul Station, rakan saya sudah sedia menunggu. Saya perkenalkan dia pada rakan-rakan sebelum kami semua berpisah untuk misi masing-masing, dan bertemu kembali esoknya di Seoul Station untuk balik ke Daejeon.....

Rakan saya ni memang baik dan sebagai 'tuan rumah', dia melayan saya sebagai tetamu dengan penuh hormat. Dialah yang bawakan beg saya (saya bawa luggage sebab nak shopping!), dan dia jugalah yang menjadi pemandu saya. Masa tu memang saya berazam nak tengok drama Korea!
Cari parking, agak susah sebab hari Sabtu, memang ramai orang. Matlamat utama kami adalah nak makan tengahari terlebih dahulu. Katanya pelancong kena selalu kenyang untuk berjalan di sekitar Seoul.
Sebaik mendapat tempat, kami berjalan-jalan di sini dulu sambil berbincang makanan apa yang saya mahu. Memandangkan saya ni jenis tak reti sangat nak makan apa, saya beritahu dia apa saja asalkan tiada daging. Saya cadangkan dia menu vegetarian sahaja sebab itu paling selamat. Sambil berjalan tu, kami ternampak la pemandangan ni. Normal katanya~
Kedai-kedai di kawasan tumpuan pelancong (saya lupa nama kawasan ni) memang biasa menggunakan manusia sebagai maskot dalam mempromosikan kedai dan produk mereka. Mereka ni tak buat apa-apa kecuali berdiri tegak dan memperagakan costume atau identiti kedai mereka.
Mula-mula saya ingat patung dan dah pergi dekat. Nasib baik rakan saya tu beritahu awal. Berdiri tak buat apa-apa, jadi bahan tontonan, lepastu dapat gaji. Boleh?
Ni pun sama. Tapi rasanya ni kurang merana sikit sebab boleh main handphone. Saya boleh nampak maskot ni senyum-senyum. Mungkin dia sedang update status di FB atau Tweeter.
Ni la baru namanya marketing power!
Destinasi makan tengahari saya di Seoul
Sampai tempat ni, saya lihat ramai sangat orang beratur. Tiba-tiba saya rasa saya pun dah berada dalam barisan tu. Kata rakan saya ni, tempat makan ni sangat popular di Seoul. Ramai artis pernah datang. Erk~! Ekslusif betul!
Sedang kami beratur, ada seorang pekerja yang bertanya sesuatu kepada rakan saya ni dan kami terus dibawa ke tempat makan khas. Di situ memang ramai pelancong. Rakan saya ni hanya senyum dan berkata, inilah untungnya kalau mereka membawa pelancong. Semuanya fast lane.

Rakan saya cadangkan mee ni sebab katanya sangat popular di kalangan orang Korea. Yang saya faham, dia bersungguh-sungguh meminta mee tanpa daging untuk saya dan berkata saya dari Malaysia, beragama Islam dan tidak boleh makan sebarang daging di negara ini. Perfect! Mee ni macam kuey tiaw sup je. Sedap juga sebab ada rasa rempah macam Malaysian cuisine sikit. Siap ada jeruk cili dan kimchi lagi~ Jadi Alhamdulillah makan tengahari saya sangat terbaik :)
Selepas makan tengahari, destinasi pertama kami adalah Bukchon Hanok Village! Tangga naik ke Bukchon ni betul-betul di depan restoran tadi. Jadi memang mudahlah.
Bukchon Hanok Village!
Bukchon Hanok Village ni adalah antara destinasi yang wajib dilawati kalau anda ke Seoul. Ia menyediakan anda real life of traditional Korean people di tengah-tengah bandar mewah Seoul. Apa maksud real life? Penghuni Bukchon adalah penghuni asal perkampungan itu dan rumah-rumah tradisional tersebut adalah milik mereka yang dijaga dengan baik sekali.
Untuk ke kawasan tersebut, kita perlu mendaki anak tanggi sikit (boleh tahan juga mengahnya, tambah-tambah pula lepas makan!) Bukchon Hanok Village ni terletak di atas bukit. Pelancong suka pergi sebab pemandangannya sangat cantik. Boleh nampak bandar Seoul.
Dalam perjalanan naik, kami bersembang banyak benda. Tapi rakan saya ni bijak dan pandai menghiburkan saya. Dia banyak cerita pasal tempat ni termasuklah sejarah dan sebagainya. Kemudian dia buat lawak sikit-sikit dan diselitkan dengan kenangan kami semasa di Malaysia.

Kami berselisih dengan dua orang gadis Malaysia lebih lurang sebaya saya. Kami bersapa dan bersalaman selepas saya terdengar salah seorang dari mereka berkata:
"Eh kau tengok tu!" Sambil menunjukkan ke arah saya. Mungkin dia pelik saya berjalan dengan orang tempatan sambil boleh cakap Korea.
Selepas beberapa ketika, saya pun beritahu mereka yang rakan saya ni pernah belajar di Malaysia dan saya datang berjumpa balik dengan dia di sini.
Yang rakan saya ni pula seronok jumpa orang Malaysia dan terus cakap:
"Awak sangat cantik!"
Oh no! Memang itulah yang saya ajar dia masa dia di Malaysia 4 tahun dulu dan dia masih ingat. Hahaha!

Dan inilah orangnya. Mr. Lee. Tolong jangan cair kat sini~
Semasa di Malaysia, dia lebih suka kami panggil nama Torres sebab nama mereka kadang-kadang agak mengelirukan.
Macam mana saya rapat dengan dia? Ini semua anugerah Tuhan. Dia ditempatkan di makmal Biomechanics bersama dengan saya dan seorang lagi rakan semasa dalam projek tahun akhir. Di situlah kami mula rapat walaupun saya pada mulanya tak ambil endah sangat dia ni. Kawan-kawan lain- Bila dengar je Korea, semua dah macam nak tarik-tarik rambut sendiri. Yang lelaki mereka kata kacak, yang perempuan pula mereka kata cantik!
Masa mula-mula kenal, saya tak rasa dia kacak pun. Iyalah...Saya bukan fanatik sangat pun pasal mereka ni. Tapi lama-lama saya sedar, mereka ni ada nilai lain seperti baik, peramah dah rajin menolong. Kami memang mengalami masalah komunikasi sebab masa tu dia tidak boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik sangat. (Tapi sekarang jangan main-main, he improved a lot!) Saya pun bukanlah perfect sangat juga masa tu. Bermula dari kelemahan masing-masing itulah kami mulai rapat. Dia berkawan dengan saya dan rakan Melayu Muslim lain sebab nak tahu budaya dan agama Islam. Masa tu dia tanya banyak termasuklah pasal tudung, kenapa lelaki dan perempuan tak boleh pegang tangan sembarangan sehinggalah ke soal makan. Saya sendiri pun terpaksa membuat research untuk memberi jawapan terbaik kepadanya!
Kalau masa yang dia nak have fun siap hang out ada minum-minum tu, selalunya rakan-rakan berbangsa Cina kami yang akan take over untuk meraikan Torres dan rakan-rakannya. Begitulah cerita persahabatan kami yang terjalin selama lebih kurang 6 bulan di Malaysia :)
Pemandangan di Bukchon Hanok Village. Hari Sabtu memang sangat ramai pelancong yang datang. Tambah-tambah di tempat 'panas'.
Macam yang saya cakap tadi, Bukchon ni adalah private property dan bukan muzium. Jadi mereka masih ada hak privasi atas aset mereka. Pengunjung hanya boleh melalui lorong-lorong di sekitar Bukchon Hanok Village ini, tetapi bukan sampai masuk ke dalam rumah mereka, kecuali ada tempat-tempat tertentu yang dibuka untuk pameran dan pertunjukan kebudayaan.

Di sini terdapat sukarelawan yang terdiri daripada kanak-kanak sekolah akan berjalan di sekitar Bukchon Hanok Village sambil memegang tanda 'senyap' sebagai peringatan kepada pengunjung agar merendahkan suara dan menghormati penghuni.
Please be quiet!
Dan selalunya usaha mereka ini berjaya. Adik-adik ni hanya akan mengangkat tanda senyap tu, dan pelancong akan beri perhatian. Betullah...Manusia ni perlu selalu diberi peringatan~
Saya sempat tanya salah seorang daripada mereka tentang umur dan kerja yang mereka lakukan ini. Tapi nampaknya mereka kurang faham Bahasa Inggeris, jadi Torreslah yang menjadi jurubahasa saya.
Katanya mereka ni terdiri daripada pelajar sekolah menengah yang menjalankan kerja sukarela dan diberi sedikit saguhati :) Mereka tak malu buat kerja-kerja begini sebab katanya dapat jumpa ramai orang dari serata dunia.
Adik sukarela yang pemalu
Jurubahasa saya yang sangat setia. Melting lagi~
Berada di dalam satu kawasan rumah yang dibuka untuk pameran. Torres sedang melayan seorang pelancong yang memintanya mengambilkan gambar.
Torres beritahu, ini antara perabot yang biasa ada dalam rumah tradisi orang Korea. Katanya rumah nenek dia ada perabot macamni, di Busan. Tapi sekarang nenek dia pun dah pindah rumah, dan perabot ni bukan lagi parabot utama di rumah. Dia ni memang best sebab sangat rajin bercerita.
Selesai Bukchon, kami terus ke Myeondong. Hajatnya memang nak pergi banyak tempat, tapi kami berkereta dan jalan sesak. Jadi masa terbuang sikit. Tapi saya happy sebab dapat jumpa kawan lama. Walaupun tersangkut dalam kesesakan lalulintas, kami tak bosan sebab masing-masing bercerita terutamanya kenangan dulu-dulu. 
Dah alang-alang ada orang nak bawa, saya ambil kesempatan untuk shopping siap-siap. Dia pun hanya available Sabtu je. Ahad dah ada hal lain pula, jadi saya ambil keputusan Ahad esoknya tu lah nanti saya akan gerak sendiri menggunakan subway.

Dalam perjalanan untuk ke tempat letak kereta, kami singgah di Tourist Information Center. Di situ, pekerja yang melayan saya sangat seronok sebab saya datang dengan orang Korea. Torres pun dengan bangga memperkenalkan saya sebagai rakannya. Onni pekerja di situ bertanya tentang tudung saya, dan paling mencabar apabila saya ditanya apa beza antara hijab dan burqa.
Tapi Alhamdulillah, jawapan terbaik Insya Allah saya telah berikan kepada mereka. Semoga mereka faham :)
 Volkswagen Jetta kau! umur 27, dapat Jetta. Kat Malaysia, nak bayar MyVi pun senak!
Saya memang jakun habis dapat naik kereta ni. Apabila saya cakap kereta ni hanya untuk orang kaya je kalau di Malaysia, dia kata ia sebaliknya di Korea. This is very common here. Kereta mewah- Pada mereka masih seperti Mercedez, BMW, dan Audi. Oooo. Baru saya tahuuuu.
Pemandangan kesesakan jalan di Seoul. Sama je macam di Kuala Lumpur. Sebab tu rasanya Daejeon lagi best lah!
Kesesakan lalulintas menghala ke Myeondong.
Terpaksa parking dalam hotel dan minum kopi dalam hotel tu untuk dapatkan diskaun. Hoih tak pernah mimpi nak minum kopi kat hotel yang berharga RM30 secawan. Mujur abang handsome belanja!

Ok, dah sampai Myeondong- yang sangat popular dengan barang kosmetik!
Skinfood? Tak payah cakap. Harga memang gila punya murah kalau nak dibandingkan dengan Malaysia. Tapi produk ni pada saya sama je kalau beli di Daejeon atau di Seoul sebab harga dia standard. Yang membezakannya hanya berapa guni kita akan dapat free sample dan gift.
Kami perlu berjalan sedikit dari hotel ke Myeondong. Torres pun pelik kenapa Myendong ni popular sangat di kalangan pelancong, termasuklah saya. Ces... Kemudian saya tanya dia...
"Apa yang seronok sangat Bukit Bintang di Malaysia tu sampai semua orang nak pergi sana?"
Terus dia balas
"Oh ye...Memang saya nak ke sana bulan Julai 2014 nanti"
Kan? Sama je situasinya.

Oh ya. Torres akan ke Kuala Lumpur Julai ini. Haha~

Jom, layan gambar Myeondong!
Payung. Tak beli pun sebab rasa tak berbaloi nak bawa balik Malaysia. Lepastu, sekarang menyesal tak sudah!
Ajuma ni boleh tahan juga kekwatnya. Jual cookies je pun, tapi NO PHOTO PLEASE~! Awww!
Makanan

Torres ni memang super sabarlah. Dia bukan ikut ke mana saya pergi. Tapi dia yang bawa saya masuk ke setiap satu kedai dan tungguuuuuuu je kalau saya tengah membelek-belek barang. Ya Allah... Rasa nak suruh dia mengucap Syahadah je!
Saya pula yang rasa bersalah sebab tengok dia menunggu sambil bersembang dengan pekedai. Sembang pula mestilah sembang pasal saya. Sebab setiap kali keluar je dari kedai tu, pelayan kedai tu akan senyum sambil pegang-pegang tudung saya dan mereka beri free gift juga. Ha itu saya suka!
Kosmetik memang melimpah-limpah di sini. Tapi saya nasihatkan kepada yang berhajat untuk membeli, buatlah sedikit pembacaan dan fokus kepada produk yang well establish dan boleh didapati di Malaysia. Macam saya, produk Skinfood memang menjadi pilihan dan saya dah rancang elok-elok sebab harganya di Malaysia agak mahal.
Antara produk lain yang saya suka adalah Nature Repblic. Cerita Skinfood ni kena ada entri lain lah~
Lebih kurang 2 jam berjalan, hari pun dah malam. Tapi rasanya masa tu baru 5.30 petang. Jadi saya dibawa makan malam di sekitar Myendong tu juga. Banyak makanan halal di situ. Jangan bimbang. Kari pun ada. saya ada ajak Torres, tapi dia cakap tak bersedia. Muahaha!

Jadi saya raikan dia dengan ikut cadangan dia. Makan seafood pun tak salah. Saya pun suka. Jadi dia bawa saya ke satu restoran yang agak ekslusif. Bila pelayan tu nampak Torres sebagai warga tempatan bawa pelancong, kami terus dihantar ke tingkat atas sedangkan orang lain kena beratur panjang. Dia cakap memang budayanya macamtu! Mereka sangat menghormati pelancong :)

Jom layan gambar makan malam pula. Sekali lagi, saya tak ingat apa nama menu ni, tapi sedap! Mula-mula memang ngeri je tengok raw squid dalam hot plate tu, tapi rupanya kita kena goreng sendiri.
Daun hijau ni macam daun sirih, tapi rasa mint sikit. Di tengahnya diletakkan telur ikan.
Menu ni rupanya pedas. Kesian Torres. Tapi katanya menu ni popular di kalangan wanita Korea dan dia tak faham kenapa orang perempuan Korea suka pedas. Dia suruh saya tengok sekeliling restoran ni...Memang penuh dengan orang perempuan!
Raw squid yang saya paksa Torres untuk masak sampai saya boleh makan.
Siap makan....perjalanan pulang. Dia offer lagi kalau saya nak ke mana-mana. Tapi saya rasa tak selamat juga walaupun Seoul memang happening sampai malam. Saya pilih untuk ke hotel. Dia macam pelik. Saya tahu dia baik dan nak hiburkan saya yang datang dari jauh. Tapi saya yang takut. Lagipun esok saya memang nak gerak sendiri.

Akhirnya dia bawa saya jalan sikit lagi, teman shopping, dan pusing-pusing bandar Seoul dan terus ke hotel.
Tapi saya puas hati. Saya lama di Myeondong dan beli banyak kosmetik dan Torres pun layankan aje. Wuhu!

Banyak tempat yang dia bawa, tapi kami hanya lalu je dan tak singgah. Bagus juga sebab nak singkatkan masa. Saya rasa saya dah perlukan hotel untuk berehat. Hahah!
Suasana malam ni Myeondong
Menghala ke tempat letak kereta
Hotel saya agak susah nak cari, sebab dia memandu. GPS tak membantu sebab banyak terlindung dengan bangunan-bangunan tinggi. Tapi dia ni kan memang happening...Kalau agak-agak sesat tu, dia boleh melencong sekejap di mana-mana kawasan menarik.

Bila sampai, sebenarnya dekat je. Sangat dekat dengan subway juga. Memang tak takutlah jalan seorang nak ke subway. A 3-minute walk from Gwanghwamun Subway Station (Line 5, Exit 1).

Sekali lagi Torres yang uruskan daftar masuk saya. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan sebab pihak hotel sudah ada rekod tempahan saya dan cuma perlu buat bayaran KWN10800 dan terus dapat kunci.
Paling buat saya teruja, bilik saya dinaiktaraf menjadi twin sharing iaitu hanya dua orang sebilik berbanding sebelum ini empat orang sebilik! Ohhhhhh!
Bilik dia comel je. Tapi kemas, bersih dan selesa :) Dapat tuala kecil, sabun mandi dan set ubat dan berus gigi. Ok la kan~Cuci muka pun pakai gift pack dari Skinfood yang dibeli tadi je.
Ini katil yang satu lagi. Saya tak ambil katil ni sebab tinggi dan berada di ruang yang sedikit terbuka. Pekerja tu cakap rakan sebilik saya ni orang Korea dan dia akan sampai dalam pukul 8 malam.
Siap ada meja kopi yang sangat comel. Bilik ni memang elok-elok untuk kami berdua sahaja. Ada ruang sikit untuk saya solat.
Lebih kurang jam 8 malam, masuklah pekerja tadi dengan seorang gadis sebaya saya. Oh, dia ni lah yang akan menginap dengan saya dan dia memperkenalkan dirinya sebagai Lisa dan bekerja di Busan. Dia pun datang ke Seoul untuk melancong. Dia belajar bahasa Inggeris di Canada jadi perbualan kami menjadi hebat. Dia juga sangat peramah dan kami tidak mengambil masa yang panjang untuk menjalinkan persahabatan. Dia juga tidak ada masalah malah gembira dapat mengenali Muslim dari Malaysia. Katanya, semasa di Canada dulu, dia ada ramai kawan Muslim dari Indonesia, Thailand dan Arab Saudi. Kami bersembang tentang banyak perkara sehingga saya yang terpaksa minta izin untuk tidur sebab terlalu penat.
Hostel WOW. Highly recommended for solo traveler macam saya :)
Hari pertama baik-baik saja. Bagi saya, paling penting kalau jadi solo traveler ni kenalah buat persiapan lebih sikit.
Antara tips bagi rakan-rakan Muslimah yang ingin mencabar diri sendiri dengan meredah Seoul bersendirian:
[1] Gunakan teknologi seoptimum mungkin. Install aplikasi subway route dan kamus Korea. Insya Allah sangat membantu, sebab saya pun buat benda yang sama.
[2] Kebanyakan tempat di Korea ni ada wifi percuma. Jadi senang nak kemaskini update FB atau nak cari apa-apa info di internet.
[3] Untuk menikmati internet dengan lebih selesa, carilah Lotteria- pesan squid burger- duduk dan makanlah sambil melayari internet.
[4] Untuk rakan Muslimah, anda boleh solat di nursing room yang banyak terdapat di tempat-tempat awam seperti stesen subway. Selalunya ada tanda botol susu. Solatlah di situ. Ibu-ibu di Seoul tak akan pukul anda dengan botol susu bayi mereka.
[5] Orang Seoul sangat peramah. Layan mereka dengan bersopan santun kerana mereka akan melayan kita dengan baik juga. Kalau di stesen subway, bagi ruang kepada warganya yang lebih berusia. Mereka akan sangat menghargai anda.
[6] Kalau jumpa Malaysian, senyumlah. Kita di negara orang. Mesti seronok dapat jumpa 'adik-beradik' sekampung kan? Lagipun Seoul ni 'kecil' je. Hari ni jumpa dekat Insadong, esok jumpa dekat Itaewon pula. 
Bergerak sendiri, saya menggunakan bantuan macam-macam aplikasi. Biar nampak bodoh, asalkan jangan memang bodoh. Kalau dah tak tahu sangat, bertanyalah atau pergilah ke tourist info center.
Yeay cerita hari pertama di Seoul sudah selesai. Ya ampun punyaaaaa lah panjang entri ni. Jangan bosan, ya!

Hari kedua akan bersambung selepas ini, sebaik saya buka mata pada pagi 27 Oktober 2013 di Hostel WOW.

Tunggu!

Salam Rindu Seoul, 
Dhiya

Wordless Wednesday: DIY Bunga Tisu. Tunjuk Sikit Je :p


Bunga telur tisu saya.

Tak boleh tengok banyak-banyak~

Dah siap seal dan masuk kotak. Next batch is coming!

Salam sayang,
Dhiya

Dhiya Jual: Al-Quran Al-Karim Mushaf


Bismillah

Saya menerima banyak pertanyaan tentang produk terutamanya Al Quran Al Karim Amazing.
Terima kasih kerana berminat dan terima kasih juga kerana membeli!

Saya sebenarnya rasa bersalah kerana belum berkesempatan untuk mengemaskini produk Al Quran terbaharu, iaitu Al-Quran Al-Karim Mushaf.
Al-Quran Al-Karim Mushaf ini sangat istimewa, dihadirkan dalam 3 saiz yang berbeza: A4, A5 dan A6.
Maklumat lanjut adalah seperti berikut:

Harga Pasaran : RM 20 (Saiz A6), RM 30 (Saiz A5), RM 42.50 (Saiz A4)
(Tidak termasuk kos pengeposan)
Penerbit : Karya Bestari, Kumpulan Media Karangkraf
(Disemak dan diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri)
Ciri-ciri Fizikal : Kulit keras dan cetakan warna penuh dan banyak lagi ciri menarik!

Ini dia! Tapi maaf, buat masa ni, semua saiz hanya terdapat dalam warna biru SAHAJA. Warna hijau dan merah akan dikemaskini segera :)
Ini antara isi dalamnya. Jelas. Mudah dibaca. Puas hati, kan? Insya Allah.
Al-Quran Al-Karim Mushaf ni hanya mushaf sahaja- Tiada tafsir. Tapi sangat mudah sebab kita boleh pilih nak saiz yang mana, dan sudah pastinya mudah dibawa ke mana-mana :)
Ini penanda Al-Quran Al-Karim Mushaf. Ada dua. Pada penanda tu disertakan dengan makna-makna setiap tanda yang terdapat dalam Al-Quran Al-Karim Mushaf. Bagus untuk membantu kita memperbaiki mutu bacaan. Bahasa yang digunakan pula adalah Bahasa Melayu, bukan Bahasa Indonesia. Mudah difahami.
[1] Paling murah di pasaran
[2] Cantik, berwarna, tajwid berwarna
[3] Dilengkapi panduan waqaf dan tajwid
[4] Baru sahaja keluar di pasaran
Real product close up adalah seperti di atas. Macam saya cakap tadi, hanya warna biru SAHAJA yang ada buat masa ni.

Al-Quran Al-Karim Mushaf
A4: RM 42.50
A5: RM 30
A6: RM 20
*Sila semak kos pengeposan dengan manyatakan kawasan anda. 

Hanya untuk anda!

Untuk tempahan:
Email: diahalida@gmail.com

Salam sayang,
Dhiya

Minyak Zaitun dan Kebaikannya


Bismillah

Mari.
Sekarang saya nak kongsikan kisah sendiri yang rasanya jarang-jarang saya tulis di DDD. Tapi saya fikir ini bukan mudarat. Insya Allah manfaat.

Saya kini merupakan pengguna minyak Zaitun atau dalam bahasa Inggerisnya olive oil. Terasa sangat rugi sebab terlewat untuk mendekati sunnah ini. :(
Setelah menelaah, baru saya tahu betapa kita mengambil enteng tentang perkara ini yang mudahnya mendatangkan pahala.

Tapi betullah
Better late than never.
Alhamdulillah sekarang- sejak tiga bulan lepas, saya sedang mengamalkan dan menikmati kebaikan minyak Zaitun.

Pendapat peribadi saya- Kalau rasa minyak Zaitun dari line kosmetik agak mahal, pergilah ke  kitchen line yang jual minyak masak. (vice versa). Sebab saya buat macamtu.

------------------------------------------------------

Firman Allah SWT: “Allah cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang yang bercahaya seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkah, yakni pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah baratnya, yang minyaknya hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya berlapis-lapis, Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.” (QS An-Nur: 35) 

Surah Annur ini juga- semasa zaman sekolah dulu, Ustazah Jamiah pesan supaya amalkan sebagai ayat penerang hati. Insya Allah, dibantu :)
Diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a., Rasulullah SAW pernah bersabda: "Minumlah minyak zaitun dan berminyak dengannya kerana sesungguhnya ia adalah dari pohon yang diberkati." (HR Al-Baihaqi & Ibnu Majah).

Bertolli Extra Virgin Olive Oil ni saya beli di The Store dengan harga RM26.90 untuk 500ml. Nanges! Tapi demi kesihatan dan kecantikan dari sumber alami, saya tekad juga membeli. Insya Allah hasilnya positif :)
Klasifikasi minyak zaitun:

Extra virgin olive oil
hasil perahan pertama (tanpa haba) buah zaitun itu.

Virgin olive oil
perahan kedua buah zaitun dan dicampur sedikit minyak dari perahan pertama.

Pure olive oil / Olive oil
melalui beberapa pemprosesan seperti menapis dan memperelokkannya.

Extra Light olive oil
hasil banyak pemprosesan dan mengandungi hanya sedikit sahaja kuantiti minyak zaitun di dalamnya kerana dicampur dengan pelbagai minyak lain.

Petua yang saya aplikasikan:

Minyak Zaitun yang Baik
Semasa saya di Korea dulu, kulit kaki saya kering dan kelihatan bersisik. Sampai satu tahap, boleh jadi gatal-gatal macam terkena alahan. Iyalah...Cuaca sejuk dan kering. Sedih sangat tengok. Itupun berbotol-botol juga losyen saya beli untuk memberi kesan pelembapan.
Sebaik pulang ke Malaysia, saya amalkan penggunaan minyak Zaitun seperti berikut. Tips ni pun saya baca dari banyak sumber, di samping nasihat dari emak juga. Tapi saya gabungkan semua untuk hasil maksima. Tamak kan?

Skrub Kulit Kaki
1. Beras ditumbuk halus/ garam dicampur bedak sejuk
2. Minyak Zaitun
Cara: Campurkan dua bahan di atas dan kemudian lumur dan urut pada bahagian kaki.

Beras/ garam tu bertindak sebagai agen skrub dan bedak sejuk tu sebagai penyejuk. Jadi di samping menghilangkan alahan, saya juga melakukan skrub pada kaki.
Urutan ringan juga boleh mendatangkan relaks kepada kaki.

Minyak Zaitun untuk Rambut
1. Lumurkan minyak Zaitun pada rambut dan urutkan kulit kepala 10-15 minit. 
2. Bungkus rambut dengan tuala untuk 10-15 minit lagi
3. Basuh dengan syampu seperti biasa
4. Amalkan 2 kali seminggu

Setakat ni Alhamdulillah hasilnya bagus :) Rambut lebih lembut dan beralun. Paling penting, masalah kelemumur dan rambut gugur boleh dikatakan hampir tiada lagi.

Buat masa ni, saya hanya amalkan dua petua di atas sahaja.

Orang kata boleh buat lulur muka, lulur badan, minum segala. Tapi saya tak sampai tahap tu lagi sebab belum mampu untuk beli minyak Zaitun setiap bulan. Hahaha!

Jadi kawan-kawan...
Apa lagi? 
Jom dekati sumber kecantikan dan kesihatan alami ini.
Implicitly juga kita sedang menegakkan sunnah. Pastikan jangan lupa akan niat :)

Wassalam,
Dhiya

Renew Lesen di Harijadi


Bismillah...

Maaflah.

Entri ni dah menapai dalam draf. Hari jadi pun dah seminggu berlalu. Bukan main sibik lagi kononnya :p

Saya teruja nak tukar lesen baru ni sejak mula nampak lesen abah. Waaah. Nampak smart  gituuu...Tak adalah laminated macam kad pelajar zaman sekolah menengah je :P

Memandangkan JPJ sekarang ni dah memperkenalkan sistem pembaharuan lesen yang mengikut tarikh lahir, jadi saya hanya berpeluang menukar lesen pada ulangtahun kelahiran saya baru-baru ini. Bagus juga JPJ buat macamtu. Rasanya tak ada lagi masalah terlupa sebab orang zaman sekarang tak akan lupa hari jadi siap ghairah dengan sambutan segala. Kalau lupa juga yang lesen expire on birthday dan lupa nak renew lesen tu, memaaaaaaaang lah~

Datang JPJ, ambil nombor dan buat bayaran. RM30 untuk setahun. Mudah sangat. Resit pun ready printed. Cepat! Lesen lama mereka tak ambil pun. Mereka akan gunting sedikit di bahagian bucu dan akan pulang balik. Boleh masuk album untuk kenangan 40 tahun akan datang.
Tak perlu bawa gambar ukuran pasport. Gambar lesen akan di extract dari kad pengenalan. Tapi saya tak pastilah kalau boleh request untuk tak guna gambar kad pengenalan (kotla gambar kad pengenalan tak gwiyomi kan). Di JPJ yang saya buat lesen ni, ada ruang untuk ambil gambar. Mungkin boleh kut~
Kakak-kakak dan abang-abang yang masih belum memperbaharui lesen anda, walaupun harijadi anda sudah sebulan berlalu- Cepat-cepatlah ke JPJ berhampiran.

Salam sayang,
Dhiya

Saya Gen Y- Apabila Gen Y Berkahwin


Bismillah...

[Satu]
Untuk rakan-rakan Gen Y, baca sampai habis. Anda kelak akan faham tinggi rendah menjadi Gen Y.
Kadangkala kita tak nak sesuatu perkara tu berlaku, tapi kita sendiri- terpaksa mengikut natural flow yang tercipta atas nama world evolution.

[Dua]
Saya sedang mengenali seorang pemuda Gen Y yang lahir dari Gen X yang sempurna semuanya. Tapi atas kesempurnaan itu, pemuda ini selalu menerima tekanan dari ibu bapanya yang menginginkan si anak mengikut langkah mereka walaupun zaman sudah jauh beredar. Saya tahu dan saya lihat dia tertekan. 
Paling merobek hati, si ibu tak pernah prihatin hak si anak untuk memiliki pasangan hidup. Dia hanya mahu si pemuda ini cukup- Ada kerja hebat, gaji tinggi, kereta besar, beli rumah- sama sepertinya supaya dia bangga dan boleh berkata: Anak ini aku yang mendidiknya!
Akhirnya apa? Pemuda ini mengambil keputusan untuk keluar dari ulitan kemewahan Gen X nya dengan penuh kelukaan dan dia belajar hidup susah sendiri walaupun dia amat mengimpikan sebuah keluarga Gen X yang menyayangi lagi memahami dan keluarga Gen Y yang dikemudi sendiri.
Ini bukan apabila Gen Y berkahwin, nak kahwin pun tak boleh!

[Tiga]
Gadis Gen Y. Sayalah tu.
High expectation oleh orang sekeliling memang terasa. Pada mereka (orang sekeliling), gadis Gen Y yang dibesarkan dengan sempurna oleh ibu bapa Gen X perlu mewarisi 100% sikap dan cara ibu bapa yang membesarkan.
Perkahwinan?
Kalau dah pemuda Gen Y dilayan seperti dalam [Dua], bagaimana mereka ingin berkahwin?!
------------------------------------------------------
Apa Itu Gen Y?
Generation Y, Gen Y atau Milennials merujuk kepada selapisan dalam masyarakat yang lahir bermula tahu 1980-an hingga awal tahun 2000-an. Selalunya, lebih spesifik, ia merujuk kepada generasi yang lahir sekitar tahun 1982 hingga 2000 atau 2001. Gelaran Gen Y diberi kepada generasi ini kerana ia datang selepas Generation X yang lahir sekitar tahun 1960-an hingga lewat 1970-an. Ada juga yang memanggil kumpulan generasi ini sebagai Boomerang Generation atau Peter Pan Generation. Kenapa? Kerana rata-rata generasi Y ini mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk kembali tinggal atau bergantung dengan ibu-bapa atau keluarganya setelah dewasa (patah balik seperti boomerang) disebabkan oleh masalah kewangan, perkahwinan dan kerjaya.
Gen X yang melahirkan Gen Y, rata-ratanya dilahirkan oleh generasi Baby Boomers yang lahir sekitar 1940-an hingga lewat 1950-an. Gen X membesar dengan menyaksikan pelbagai kesukaran dihadapi oleh Baby Boomers dari sudut ekonomi dan politik. Kerana banyaknya kesukaran ketika zaman itu, Gen X lebih mementingkan faktor job security, kestabilan ekonomi, kestabilan kerjaya dan keluarga serta lebih berdikari.
Karakter-karakter hebat Gen X diatas menyebabkan Gen Y membesar dalam suasana yang amat baik, dilindungi dan dipenuhi pelbagai cita-cita yang tinggi. Ini menghasilkan Gen Y yang sangat percaya diri dan yakin bahawa tidak ada apa yang mustahil. Gen Y sangat optimis dan mempunyai expectation yang sangat tinggi terhadap diri sendiri dan orang sekeliling. Ciri-ciri yang terbina pada Gen Y ini boleh memberikan impak positif dan negatif.
Dan dalam artikel ini, kita akan melihat impak kepada perkahwinan  Gen Y.

Pemuda-pemuda Gen Y
Pemuda-pemuda Gen Y banyak melihat kejayaan perkahwinan ibu bapa dari kalangan Gen X. Tetapi dalam masa yang sama, Gen Y juga melihat kesungguhan ibu bapanya bekerja menyebabkan dirinya merasakan seolah-olah ada banyak kekurangan dari sudut perhatian dan kasih sayang. Ini menghasilkan 2 ciri penting pada Gen Y iaitu – (1) sukakan fleksibiliti dan kebebasan dalam pekerjaan (2) ingin meluangkan sebanyak mungkin masa bersama keluarga yang dibina.
Expectation Gen Y yang tinggi terhadap dunia pekerjaan kadangkala boleh menyebabkan mereka kecewa dan putus asa kerana tidak bertemu dengan kerjaya yang paling sesuai dengan diri dan minat mereka. Memandangkan Gen Y rata-ratanya sangat mementingkan minat dan keinginan dirinya dalam melakukan sesuatu kerja, ramai Gen Y mengalami masalah mendapatkan kerjaya yang ideal untuk dirinya dan ini memberi impak terhadap perkahwinannya.
Sama ada dia bekerja dalam bidang yang tidak dia sukai semata-mata untuk merasakan job security dan hidup dalam tekanan, ataupun lakukan kerja yang dia sukai tetapi belum tentu mendapat ganjaran atau imbuhan yang mencukupi dan akhirnya, juga, hidup dalam tekanan. Ini antara dilema besar yang dihadapi Gen Y.
Kebebasan dan fleksibiliti yang dicari oleh pemuda Gen Y juga sebenarnya adalah bertitik tolak daripada keinginan mereka untuk lebih banyak meluangkan masa dengan keluarga. Ini berlaku kerana mereka melihat kekurangan pada keluarga yang dibina Gen X dan ingin cuba memperbaiki keadaan. Tapi dalam masa yang sama, realiti kehidupan bekeluarga yang memerlukan banyak tuntutan lain seperti tuntutan ekonomi, masa dan tenaga menyebabkan pemuda Gen Y seringkali tertekan.

Gadis-gadis Gen Y
Kaum wanita dalam Generasi Y adalah golongan yang sangat menjulang kemampuan dirinya. Dalam sebuah kajian besar yang melibatkan gadis-gadis Gen Y di banyak Negara seperti US, France, German, China dan Britain, kajian mendapati bahawa gadis-gadis dalam generasi ini merasakan diri mereka sangat bijak dan lebih mampu menguasai atau mengawal keadaan. Kaum wanita dalam Gen Y ini juga selalu merasa dia mampu melakukan apa yang kaum lelaki lakukan dan dengan itu sangat memperjuangkan gender-equality, sehinggakan mereka kadangkala keliru antara tugas seorang wanita dan tugas seorang lelaki di dalam sebuah rumahtangga.
Seperti pemuda Gen Y, gadis-gadis Gen Y juga gemarkan fleksibiliti dalam kerjaya dan tidak suka dipaksa atau diberi arahan. Di samping itu, kaum wanita Gen Y ini juga sukakan kebebasan dan kelapangan dalam dunia rumahtangga. Disinilah biasanya tercetus pertembungan dan dilema antara wanita Gen Y dan lelaki Gen Y. Lelaki Gen Y melihat kehebatan para ibu Gen X dalam menguruskan keluarga dalam masa yang sama bekerja membantu suami. Ini menyebabkan lelaki Gen Y selalu bercita-citakan seorang isteri yang akan lebih banyak meluangkan masa untuk dirinya dan anak-anak serta selalu melakukan kerja-kerja rumah.
Wanita Gen Y melihat kehebatan para ibu Gen X sebagai satu impian dan normalisasi yang mana dia juga layak dan wajar diberi kebebasan untuk melaksanakan perkara yang sama. Wanita Gen Y banyak terdedah dan terinspirasi dengan apa yang dibacanya di media sosial dan menyebabkan seringkali dia terasa terkongkong dalam rumahtangga yang dibina. Wanita Gen Y merasa cemburu melihat suami Gen Y mereka yang asyik dalam mengejar kerjaya yang diminati dan penuh makna hidup itu dan merasakan diri mereka pula tidak mendapat kesempatan yang sama.

Gen Y bukan malas, cuma mahu benar-benar memaknai kehidupan
Ramai menyangka Gen Y adalah generasi ‘ayam daging’ yang sudah banyak hidup selesa, dibelai dan ditatang oleh Gen X, pemalas dan mementingkan diri. Hakikatnya tidak, dalam beberapa kajian di barat, hakikat sebenarnya adalah Gen Y adalah sangat rajin sekiranya mereka benar-benar merasai makna dan minat pada sesuatu pekerjaan. Generasi ini bukanlah ingin hidup senang dengan cara yang mudah, sebaliknya generasi ini sebenarnya mahukan suatu tugas yang membawa kepada gol atau misi yang penting kepada diri dan masyarakat. Sebab itu mereka mengalami kesukaran bekerja dengan majikan dari kalangan Baby Boomers dan Gen X yang terbiasa dengan ‘melakukan tugas seperti yang diarahkan’. Gen Y tidak begitu. Mereka mahu memahami apa yang sedang mereka lakukan dan mahukan ia memberi makna yang besar kepada kehidupan.

Menguruskan perbezaan
Ada beberapa perbezaan yang perlu kita uruskan dengan berhati-hati di sini. Perbezaan pertama adalah antara Gen Y dengan Gen X. Perbezaan kedua adalah antara lelaki Gen Y dengan wanita Gen Y. Namun, asas dalam mengurusnya sama sahaja – lihat, sokong, santuni dan raikan perbezaan itu dengan ikhlas dan penuh kasih sayang. Setiap generasi itu ada cabarannya dan bagi Generasi Y ini, kebebasan dan makna yang dicari itulah ujiannya. Rata-rata masyarakat merasakan perkahwinan Gen Y akan menemukan banyak masalah kerana personaliti mereka yang sangat mementingkan kepuasan hati dan kadangkala agak mementingkan diri sendiri, tapi hakikatnya bukan begitu. Kebanyakan Gen Y sebenarnya sangat mementingkan kehidupan yang bermakna, kefahaman hala tuju hidup dan sangat mengutamakan kebahagiaan orang-orang yang mereka sayang. Generasi ini hanya mahu keluar dari kepompong kebiasaan yang dilihat melingkari kehidupan Gen X dan cuba melihat kehidupan dari kaca mata yang berbeza.

Buat Gen Y sekalian,
rumahtangga adalah ladang untuk membenih dan membaja.
Hasilnya sedikit sahaja di dunia,  yang banyak di akhirat sana.
Jadi, mustahil ladang ini dikerjakan oleh seorang sahaja.
Baik lelaki ataupun wanita.
Ia perlu dikerjakan bersama-sama.

Rumahtangga itu unit asas sebuah tamadun.
Ia punya ketua, dan punya kerajaannya.
Jadi mustahil tidak boleh meminta ketaatan dan tidak boleh diberi arahan.

Dan rumahtangga itu sebuah madrasah.
Ada guru, ada muridnya.
Guru boleh bertukar, murid juga boleh bertukar.
Kita saling belajar.
Jadi, wahai generasiku, mustahillah untuk sebuah madrasah itu meriah dengan ilmu,
andai tiada rasa ingin belajar
dan tiada keberanian memberi tunjuk ajar.
Salam sayang, 
Dhiya Dahlia

Apa Salah Ariel Sharon?


Bismillah

Rasanya cerita Ariel Sharon ni saya baca sejak dari zaman sekolah rendah lagi. Setiap kali abah beli surat khabar, saya akan selak bahagian antarabangsa dan ada saja kenyataannya yang menyakitkan hati. Masa tu saya pun masih tak faham lagi tentang isu Palestin ni. Jadi sekadar membaca dan tahu sahaja. Lama-lama, baru saya faham betapa jahatnya manusia bernama Ariel Sharon ni.

11 Jan lepas, Ariel Sharon akhirnya mati setelah koma tujuh tahun. Bukankah itu azab yang Allah berikan kepadanya atas darah tidak berdosa yang menyaluti tangannya?

---------------------------------------------------------

"KESAKITAN ini tiada penghujungnya. Mustahil untuk disembuhkan."
Ungkapan di atas pernah terluah dari bibir bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon ketika menerima berita kematian anak lelaki sulungnya, Gur, 11, yang terbunuh secara tidak sengaja oleh rakannya akibat bermain selaras senapang patah.
Perkara ini dicatatkan di dalam buku bertajuk Warrior: Autobiography of Ariel Sharon yang ditulis Sharon bersama David Chanoff pada tahun 2001.
Insiden itu berlaku pada 4 Oktober 1967, lima tahun selepas isteri pertama Sharon, Margalit yang juga merupakan ibu kandung Gur meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya di lebuh raya Baitulmuqaddis-Tel Aviv.
Lebih dramatik, Gur menghembuskan nafas terakhir dan terkulai di pangkuan Sharon dalam perjalanan dibawa ke hospital.
Justeru, kata-kata tersebut jelas menggambarkan kesedihan yang dialami Sharon sebagai manusia biasa berdepan situasi kehilangan insan tersayang dalam hidupnya.
Namun, berbeza pula dengan kerakusan dan keghairahannya merenggut nyawa ribuan rakyat Palestin tanpa mengira usia mahupun jantina. Lelaki yang digelar Penyembelih Beirut itu ternyata langsung tidak mempunyai perasaan ketika melakukan dosa-dosa tersebut dalam usaha meluaskan kuasa Israel di bumi al-Quds.
ALHA BOURJE tidak dapat menahan kesedihan sambil menunjukkan gambar ahli keluarganya yang menjadi mangsa pembunuhan di Sabra dan Shatila.
Bangkai bernyawa

Ratapan anak-anak kecil yang kehilangan ibu bapa atau tangisan para ibu yang melihat anak mereka syahid di depan mata tidak sedikit pun menggetarkan hati Sharon yang sudah diselaputi kegelapan dan hilang sinar kemanusiaan.
Matlamatnya hanya satu untuk terus meluaskan kuasa Zionis dan menghapuskan rakyat Palestin yang dianggap seperti haiwan dan boleh disembelih sesuka hati.
Namun, Sharon yang turut digelar 'musuh keamanan' oleh Pengarah Eksekutif The Jerusalem Fund dan The Palestine Center, Yousef Munayyer ternoktah jua pada 11 Januari lalu.
Selepas lebih setengah abad mempamerkan taringnya daripada peringkat bawahan sehingga menjadi antara pemimpin utama rejim Israel, Sharon akhirnya menemui ajal selepas bertarung nyawa dalam keadaan koma.
Selama lapan tahun, dia hidup sebagai 'bangkai bernyawa' yang bergantung pada mesin bantuan pernafasan.
Menurut Munayyer, budaya bertindak sewenang-wenangnya begitu berakar dalam kehidupan Sharon yang telah melibatkan diri dalam mesin perang Israel seawal tahun 1948.
Tambah beliau, Sharon yang dikenali dengan sikap biadap dan penyembelih di medan perang, langsung tidak menghiraukan nyawa rakyat yang tidak berdosa lantas sewenang-wenangnya membunuh mereka.
"Dari semasa ke semasa, Sharon telah meninggalkan parut berdarah yang terlalu besar dalam sejarah Palestin. Peristiwa di Qibya, sebuah perkampungan penduduk Palestin di Tebing Barat yang terletak berhampiran Garisan Hijau pada tahun 1953 adalah antara dosa terawal dilakukan Sharon.
"Serangan tentera Israel dari Unit 101 yang diketuai Sharon menyaksikan berpuluh-puluh rumah dimusnahkan ketika penghuninya masih berada di dalamnya.
SHARON (berdiri dua dari kiri) bergambar bersama komander militan Israel yang dirakam pada tahun 1955.
"Akibat serangan bertubi-tubi tanpa belas kasihan itu, seramai 69 rakyat Palestin terbunuh. Kebanyakan mereka terdiri daripada wanita dan kanak-kanak," terang Munayyer dalam artikelnya yang bertajuk Ariel Sharon: Enemy of Peace yang disiarkan oleh laman web www.aljazeera.com pada 11 Januari lalu.
Sebagai Menteri Pertahanan Israel ketika itu, Sharon telah mengarahkan tentera Zionis bersama Unit Militia Phalangist Lebanon membunuh orang awam dan pelarian Palestin di kem pelarian di Sabra dan Shatila.
Pencerobohan selama tiga hari bermula dari 16 hingga 18 September itu meninggalkan trauma yang amat mendalam bagi mereka yang terlibat.
Dianggarkan lebih 2,000 rakyat Palestin dan 100 penduduk Lebanon terbunuh dalam peristiwa menyayat hati itu. Mereka dibunuh dengan kapak, disembelih leher dan ditembak membabi buta oleh tentera Sharon. Malah, kaum wanita dan kanak-kanak perempuan dirogol bergilir-gilir terlebih dahulu sebelum dibunuh.
Bagi Abu Jamal, insiden berdarah itu masih segar dalam ingatannya dan tidak mungkin dilupakan hingga ke akhir hayat. Dia masih ingat saat militia Lebanon mengejutkan mereka sekeluarga daripada tidur pada awal pagi lebih tiga dekad lalu.
Mangsa pembunuhan
Kemudian, mereka semua diheret ke jalanan. Tentera bersenjata memaksa Abu Jamal dan ramai pelarian Palestin di kem Sabra dan Shatila untuk berbaris serta memisahkan antara lelaki dan wanita.
Para pemuda pula ditarik keluar dari barisan lantas dibunuh begitu sahaja. Anak lelaki Abu Jamal yang berusia 19 tahun ketika itu merupakan antara mangsa dalam tragedi berkenaan.
"Dia berada di tahun akhir pengajiannya. Dia tidak pernah berpeluang melihat diploma yang diusahakan selama ini," ujar Abu Jamal yang memakai lencana tertera gambar anaknya yang dipinkan di baju panas miliknya.
RAKYAT Palestin meraikan kematian Sharon sambil memberi manisan kepada rakan-rakan dan penduduk tempatan.
Dalam pada itu, Milany Boutrous Alha Bourje, 70, yang baru pulang dari melawat tugu peringatan menempatkan kubur besar mangsa pembunuhan di Sabra dan Shatila mengakui, masih terbayang-bayang saat suami dan anaknya ditembak mati pada hari tersebut.
Kata Bourje, Sharon sepatutnya mendapat balasan lebih teruk daripada apa yang dilalui sebelum kematiannya.
"Semoga Tuhan menghantarnya jauh ke dalam perut bumi. Saya berdoa dia merasai penderitaan seperti yang kami alami," tegas Bourje sambil menunjukkan gambar hitam putih ahli keluarganya yang terkorban.
Bourje merupakan individu yang terpapar dalam satu gambar ikonik pembunuhan besar-besaran tahun 1982 sambil menangis dan melambaikan tangannya berhampiran deretan jenazah yang terbunuh.
Ungkap wanita itu lagi, tidak ada apa yang optimis mengenai masa depan dengan kematian Sharon ini.
"Tidak ada yang berubah. Situasi dalam kehidupan yang kami lalui langsung tidak berubah," tuturnya.
Perdana Menteri ke-11 rejim Israel itu diserang angin ahmar pada Januari 2006 hingga menyebabkan beliau koma ketika karier politiknya memuncak.
Sharon dikebumikan bersebelahan kubur isterinya, Lily di kawasan ladang Sycamore miliknya yang terletak berhampiran bandar Sderot, Israel.

Salam muhasabah, 
Dhiya

13 Januari 2014


Bismillah

Alhamdulillah

Ulangtahun kelahirang yang entah ke berapa... Moga matang seiring usia.

Tiada hadiah istimewa. Tapi terima kasih kepada rakan-rakan terdekat yang mendoakan. Sungguh kalian sangat istimewa dalam hidup saya.

Terima kasih:
1. Kerana dah mula sudi bincang jauh tentang masa depan kita. Bajet tu boleh diubah lagi :)
2. Atas azam yang positif dan sangat mengejutkan.
3. Atas kesanggupan untuk tolong fikir tema.
4. Kerana sanggup buat panggilan dari jauh, sambil riba anak kecil hanya untuk cakap Happy Birthday.
5. Susah payah PM di FB, sebab saya tak buka ruang komen. Kejam? Tak.
6. Terima kasih juga atas robeknya hati sebentar tadi. Tak larat nak positif juga~

Terima kasih untuk semuanya.
Allah akan balas :)

Tak ada yang istimewa sangatlah harijadi kali ni.
Paling istimewa apabila Allah masih bagi peluang untuk hidup walau banyak sangat kesombongan dan keegoan dalam diri ini.

Allahu.
Kena banyak muhasabah.

Salam sayang, 
Dhiya Dahlia
13 Jan