Ke Bandar


Selasa, 11 Oktober 2011

Sudah dua hari saya berjanji dengan Ani, kawan baik saya yang seorang ini untuk dia temankan saya ke bandar. Usai solat Zuhur, saya bersama Biha Babana anak saudara yang comel itu memandu Baby-K ke rumahnya dan kami terus ke bandar.
Bersembang dengan Ani buat saya tak sedar jalan-jalan kampung yang saya lewati untuk ke bandar. Tahu-tahu saja sudah sampai ke destinasi. (Kamu ingat ini cerita magika ke, Dhiya?)

Ani ini tinggal sekampung dengan saya. Walaupun rumah kami agak jauh, tapi kami bersekolah di sekolah rendah yang sama. Kami rapat sejak di Tahun 1 persekolahan. Dia sangat baik dan lemah lembut, seperti ibunya. Biarpun kami terpisah apabila menginjak ke sekolah menengah, tapi kami tetap rapat seperti sebelumnya. Kalau musim cuti persekolahan, Anilah yang saya hubungi untuk kami berjumpa dan bertukar cerita. Inilah namanya sahabat, bukan sekadar kawan. Ajaib, sukar diterjemahkan!

Di bandar, saya uruskan segala urusan yang perlu. Kalau boleh tak mahu buat kerja dua kali. Iyalah, bandar itu memang dekat. Tapi untuk ulang-alik atas perkara-perkara kecil, itu bukan saya.
Siap urusan di kedai gambar, Biha sudah merengek-rengek mahukan sate. Uh. Tahu-tahu saja hari Selasa ada pasar tani. Hampir 3-4 bulan juga saya tak ke sana. Tanpa lengah, kami ke sana. Sate punya hal~

Pasar Tani

" Akak, saya nak sate sepuluh ringgit ya. " Saya bersuara sambil mengusap kepala Biha.
" Adik, sepuluh ringgit dah tak dapat 20 cucuk sate ye. Sekarang dah jatuh enam puluh sen secucuk. " Kakak itu menerangkan.
" Oh ye ke? Sejak bila naik harga ni? "
" Baru minggu ni, dik. Ayam mahal. "
" Hm, tak pe lah akak. Saya nak sepuluh ringgit. "

Tangkas saja tangan kakak itu menyiapkannya untuk saya.

" Mintak maaf ye dik, akak terpaksa jual enam puluh sen. Tak boleh elak. " Katanya seperti kecewa.
" Eh tak apa kak. Adat berniaga begitulah. Tak apa. Akak jangan bimbang, sate akak tetap sedap~ "

Wang dan sate bertukar tangan. Dapatlah saya sate idaman Biha dengan harga yang lebih tinggi daripada biasa. Tak apalah. Sekurang-kurangnya kakak itu bersikap jujur. Saya kagum dengannya~

Kami teruskan berjalan. Biha berhenti di satu gerai air. Saya arif benar perangainya. Dengan saya, dia tak berani meminta apa-apa melainkan jika ditanya. Tapi tindakannya itu saya faham apa ertinya.

" Biha nak air? "

Biha mengangguk comel. Saya tak boleh menolak hasratnya. Sebab dia memang comel!
Biha menalakan telunjuknya ke arah air yang dia mahu. Saya pun meminta air itu dan menghulurkan wang kertas RM1.

" Er, akak. Air ni seringgit setengah. " Adik yang menjual tu bersuara. Masam mencuka.

Ewah. Sombong ya? Saya terkejut. Sangat terkejut. Air biasa dalam bekas cawan plastik saiz biasa harganya RM1.50. Ini betul-betul buat saya baran. Tapi nak buat macam mana. Saya berikan dia lagi sehelai wang kertas RM1.

" Eh, baru 3-4 bulan saya tak ke sini, air minuman dah naik harga ye? " Lantang pun lantanglah. Janji saya berterus terang.

Tiba-tiba adik tu di'siku' oleh kakaknya (mungkin) di sebelah. Katanya membetulkan air itu harganya cuma seringgit, bukan seringgit setengah. Dia memulangkan kembali baki wang saya dan meminta maaf sambil tersenyum. Okey selesai. Saya gembira.

" Lain kali hati-hati, dik. Kalau awak tak betulkan tadi, fikirlah berapa ramai pelanggan yang teraniaya. "

Saya terus ke belakang. Tinggallah dua beradik penjual air itu merenung dan menginsafi khilaf itu. Small matter, girls. You are not doing wrong but you are learning!

Ani? Ani menghilang. Dari jauh kelihatan dia menjinjit banyak beg plastik. Cis. Dia membeli belah lebih daripada saya~

KFC

Lepas ni dah tak tahu bila akan jumpa Ani lagi. Masing-masing akan terikat dengan haluan sendiri. Jadi saya bawa Ani ke KFC dan saya raikan dia di sana. Saya gembira melihat kami semua gembira. Walaupun bukanlah makan menu yang mahal-mahal pun, tapi saya gembira kerana dapat menggembirakan Ani dan Biha juga.

************
Sudah pukul 5 petang. Abah sudah dua kali menelefon dek anak daranya tak balik-balik 'merayap' ke bandar. Uhu! Maaf abah. Inilah namanya girls' day out meraikan kembalinya saya kelak ke Kota Mega sebagai seorang wanita berkerjaya. Heh!

Untuk Ani (dan Biha), terima kasih kerana sudi menemani saya. Ada rezeki, kita jumpa lagi. Maaf salah dan silap di mana-mana isi percakapan dan perbuatan.

p/s: Oh! Banyak lagi cerita!

No comments