Selasa, 27 Januari 2015


Bismillah

Alhamdulillah.
Pagi tadi, saya dah hantar draf tesis saya kepada SV dan juga pemeriksa. Bolehlah tarik nafas separuh lega. Sekurang-kurangnya, saya dah langsaikan hutang bahagian ini. Tanggungjawab yang masih menunggu di hadapan, kita buat perlahan-lahan, jangan berhenti.

Sebaik balik ke bilik, ada satu macam perasaan lain yang dah lama saya tak rasakan. Hari ini sungguh tenang, damai dan gembira. Masa ni lah baru saya dapat rasakan betapa cozy-nya bilik asrama ini! Iayah...selama 2 tahun ini, komitmen saya terhadap pengajian sangat tinggi. Kadang-kadang balik bilik- letak buku di tepi- tak makan tak apa- terus tumbang atas tilam sebab penat. Ini bukan penat kerja pergi ke sana ke sini. Tapi ini penat otak sebab banyak brainstorming dalam kelas, fikirkan tugasan dan pembentangan serta bimbangkan Projek 2 tesis saya.

Hari ini terasa lebih 'ringan' sebab saya dah tak perlu lagi fikirkan tesis dan semua subjek pun dah diambil. Hanya menunggu viva pada 5 Feb nanti. Itu bukan bermakna saya boleh ambil ringat. Cumanya biarlah saya tolak ke sisi dulu kerana 2-3 hari ke hadapan ni ada beberapa perkara lain yang perlu saya selesaikan.

Macam-macam teringin nak dibuat. Rasa nak kembali aktif berblog, baca semua buku yang dibeli tapi masih belum dibaca, buka balik art box saya, dan macam-macam lagilah!
Tapi untuk sebulan ke hadapan, saya nak balik ke kampung dan nak luangkan masa dengan mak dan abah. Dah lama saya tak duduk dan 'bekerja' di rumah. Saya tahu mak dan abah perlukan saya, cuma untuk 2 tahun pengajian ini, saya selalu cuba sibukkan diri supaya tidak terlalu emosi mengenangkan mereka. Dalam sebulan, adalah saya balik dalam 2 kali. Tapi kadang-kadang saya rasa tak puas. Asal nak balik ke Bangi je, saya mesti menangis dalam hati. Jadi selepas ini saya nak berada di kampung setiap hari di depan mata mereka- Memberi khidmat kepada mereka.

Alhamdulillah untuk hari ini. Saya dapat cross satu tugas yang tersenarai dalam to-do-list saya. Tak mahu susah hati dan rusuh jiwa lagi. Kita akan terus berjalan ke hadapan. :)

Salam sayang, 
Dhiya

Tarikh Viva


Alhamdulillah

Dah dapat tarikh viva
Setelah SV endorse draf tesis saya tengahari tadi.

Saya yang baru dapat tarikh viva ni pun dah bukan main gembira, inikan pula 5 orang classmates saya yang dah selamat membentangkan hasil kajian masing-masing tadi. Nampak la senyum sampai ke telinga~

Insya Allah
Saya punya slot memanglah lambat sikit dari orang lain. Tapi saya tetap bersemangat juga kerana boleh dikatakan ini adalah tugasan saya yang paling akhir sebelum dianugerahkan Ijazah Sarjana.

Doakan saya dapat melaluinya dengan baik.

Ahad (esok)- Bangi
Isnin- Jumpa SV

Selasa- Aim for submission
Rabu- Study for interview
Khamis- Interview SPA
Jumaat- Struggle for the event
Sabtu- The day
Khamis berikutnya- Viva

Saya mahu kembali kepada masyarakat sebagai seorang Dhiya yang baharu. Lebih berwawasan dan bermotivasi dalam segala lapangan yang diceburi :)

Salam sayang,
Dhiya

Struggle


Masih.

Belum selesai lagi. Minggu lepas datang 'free' je. SV tak galakkan saya hantar lagi sebab ada beberapa penambahbaikan lagi yang perlu dilakukan. Phew~ 
Jenuh juga la nak ulang alik Pahang-Bangi tambah-tambah dalam keadaan hidup yang sangat sibuk dan padat ni.

Tapi betullah. Kalau asyik merungut, perkara ini tak akan jadi pahala. Jadi kita follow the flow sahaja. Semoga Allah pelihara saya :)

Ahad (esok)- Bangi
Isnin- Jumpa SV
Selasa- Aim for submission
Rabu- Study for interview
Khamis- Interview SPA
Jumaat- Struggle for the event
Sabtu- The day

Minggu depan tak ada ruang relaks.
Semoga ada tenaga, kuat dan dipelihara Allah.

Amin

Dhiya Dahlia

Temuduga lagi- Pegawai Penyelidik Q41 (Fizik) Agensi Nuklear Malaysia Jan 2015


Bismillah

Long lists are awaiting.

Allah tambah lagi satu.
Mudah-mudahan adalah rezeki kali ini.

Siapa yang dapat temuduga Pegawai Penyelidik Q41 (Fizik) Agensi Nuklear Malaysia Jan 2015 ni?

Angkat tangan~

Pi baca buku.
Maaf sebab tak sempat nak kongsikan persediaan saya sebab saya sendiri pun tengah kelam kabut.

Hukum Newton 1,2,3
Lynas
Radioaktif
Separuh hayat

Memang separuh hayat pun ni
Dhiya

DIY Bunga Tisu lagi (0.o)


Bismillah

Misi DIY bunga tisu ni disambung semula selepas berjaya siapkan tesis. Huehuehue! Kali ni kena serius lebih sikit sebab memang betul-betul nak diguna. Jadi kenalah fokus sama macam masa siapkan tesis tu kan?
Bunga-bunga tisu saya, untuk marketing pada hujung bulan ni~
Kepada semua kawan-kawan terutamanya B2B yang DIY, kerja ni memang bukan kerja mudah. Kalau nak mudah, hampa boleh pi bridal atau kedai-kedai kelengkapan persiapan kahwin dan upah depa buat. Sediakan duit ja. Tapi tapi tapi...kalau kata nak jimat, inilah jalannya (asalkan tidak membeli persiapan berlebih-lebihan la kan)~
Saya secara peribadi memang menyokong DIY ni. Di samping menjimatkan, ianya juga memberi kepuasan kepada saya. Kalau bercakap tentang masa, saya pun kelam kabut. Kehidupan sebagai seorang pelajar adalah sangat mencabar dari segi pengurusan masa. (Yang bekerja pun sama, kan?). Tapi kalau kita dah memang tekad dan mahu, kita akan buat apa saja. Betul kan? :)

Berbalik kepada DIY bunga tisu saya ni, yep ini adalah special version dan tak banyak- Dalam 50 pcs sahaja. Nanti saya akan buat perkongsian penuh khas untuk B2B. Niat nak kongsikan tutorial pun ada, cumanya akan ambil masa sikit sebab tutorial ni kan kena ada gambar dan penerangan. Tapi rasanya boleh tengok entri-entri lama saya dulu, ada je cerita dan idea lain DIY ni. For now, saya letak gambar, kasi 'cucuh api, sakit hati". Hahaahah!

Dhiya

Tesis yang Bernilai RM10,000


Bismillah

Alhamdulillah

Saya kini berada di kampus sejak Jumaat malam. Hajatnya untuk membuat submission tesis saya, pada hari Isnin depan. Sesampai semalam pun, masih banyak bahagian yang perlu penambahbaikan. Saya tak boleh buat banyak di rumah sebab sambungan internet di rumah masih tiada kesan dari banjir dulu. Jadi sejak semalamlah saya bersengkang mata untuk siapkan semua kerana saya mahu print pada hari Sabtunya, di Serdang. Di situ memang semua orang (terutamanya pelajar) tahu yang kerja-kerja printing dibuat secara 'pukal' dan sangat murah. Kebetulan, kali ini saya datang hanya dengan bas, jadi saya minta paksalah pemandu saya untuk bawa saya ke sana. Muehehehe!

Tesis Projek 2 saya ni memang penuh dengan emosi. Tak mahulah saya ceritakan panjang lebar di sini sebab Insya Allah saya bercadang untuk menulis dengan detail perjalanan pengajian Master saya ini nanti. 
Tapi Alhamdulillah sebab at least pada tahap ini, saya dah berjaya nampak dan pegang tesis saya (walaupun baru untuk submission pertama dan masih tertakluk kepada perubahan dan pembetulan sebelum dibuat hardbound)- Pada saya, itu sudah cukup menjadi pencapaian terbaik peribadi saya yang pernah ada niat untuk tangguh pengajian hanya kerana progress saya yang perlahan!
The baby
Tapi kenapa Bernilai RM10,000?

Ini sebenarnya gurauan abah kepada saya. Nilainya mungkin lebih kalau nak dikenangkan pengorbanan saya berhenti kerja (di saat gaji saya di-counter offer oleh majikan pada peningkatan yang sangat wow), bayaran yuran pengajian dan penginapan yang sebahagiannya ditanggung oleh saya dengan wang sendiri, dan makan minum serta kos pengajian yang lain. Memang tiada nilai wang yang boleh menjadi ganti kepada perjalanan saya ini. Saya meraih kepercayaan mak dan abah dengan air mata. Saya hilang beberapa orang rakan yang memilih untuk 'mengundur diri' di saat saya susah dan kesempitan. Tapi itu semua cukuplah sebanyak RM10,000 sahaja walaupun ia sebenarnya bernilai INFINITI!

Saya tak akan menoleh ke belakang lagi. Semuanya telah selesai. Tinggal lagi pembentangan Projek 2 (viva) yang mungkin akan diadakan pada awal bulan Februari. Insya Allah :)
Banyak lagi yang akan berlaku di depan sana kerana 2015 baru berada pada muka surat 18. Saya akan terus optimis atas keupayaan diri dan percaya Allah sedang memberi yang terbaik untuk saya.

Tesis dan siap print.
Isnin ni submit
Alhamdulillah
Perjalanan baru akan bermula
Nanti
:)

Dhiya

Tuhan, Tolong...

Pembentangan = Peperiksaan


Bismillah

Semalam
Jam 2 petang
Telah berlangsung satu lagi slot peperiksaan yang dijalankan dalam bentuk pembentangan topik. Ha yang ni saya suka. Bukan yang macam Pak Arab tu~
Sebenarnya dua-dua pun sama sahaja. Cumanya peperiksaan agak memberi tekanan sebab terikat dengan masa dan kalau dah nama peperiksaan tu, memang semuanya stress lah!
HTS Materials in Energy Transmission
Dato' MMY ni memang best. Selama dua tahun pengajian, saya sempat belajar dengan beliau sebanyak dua kali. Beliau memang tak macam-macam seperti Pak Arab dan sangat boleh bertolak ansur dengan pelajar. Mengajar pun bagus. Banyak input tambahan yang boleh didapati.

Apabila beliau minta kami buat pembentangan, kami dengan senang hati menerimanya. Konsepnya sangat mudah. Huraikan tajuk yang diberi dengan menjawab persoalan WHAT, WHY and HOW. Tapi tentulah kena kemas, padat dan tepat. Pembentangan kena mencapai objektif dan dapat menjawab soalan Q&A yang diajukan dengan baik. BINGO!
Laporan? Tentunya dari jurnal dan tiada http://-sourced dan paling penting mengikut gaya penulisan kampus yang standard. Nampak macam susah, tapi Alahmdulillah pada saya- Ianya dapat dilakukan dengan baik :)

Sebaik tamat pembentangan, rakan-rakan sekelas ada yang bersalaman dan memeluk saya. Saya hairan kerana mereka mengucapkan tahniah. Allahu. 
Baru saya teringat yang saya secara rasminya telah tamat semua subjek, cuma tinggal Projek 2 sahaja yang akan dinilai pada hujung bulan ini. Sebak.

Tapi Alhamdulillah untuk semuanya.
Tak terkata.
Syukurnya infiniti
Hanya bersorak di dalam hati

Insya Allah
Satu lagi yang terakhir
Akan saya kerah
Hingga keringat terakhir
Berhenti mengalir

Salam sayang,
Dhiya

Toyol


Amboi
Tajuk nak pendek, lepas tu penuh kontroversi.

Alhamdulillah secara rasminya saya dah tamat semua peperiksaan bertulis dalam pengajian Master. Syukur sangat walaupun terlampau banyak ujian dan dugaan dalam perjalanan ni. 

Terbaharu, saya baru selesai menjawab peperiksaan subjek Pak Arab. Ala...watak Pak Arab kerap la juga saya tulis dalam DDD kerana perangai dia yang sangat macam-macam. Sungguh. Macam-macam! Saya memang 'tak suka' dia ni sejak dari semester satu lagi. Tapi itulah...Lagi hang tak suka, lagi hang kena jumpa dia. Padan muka diri sendiri. Semester lepas, tak ada pula dia buat peperiksaan. Hanya pembentangan saja- yang mana pada kami, ok lah sebab tak payah baca buku untuk peperiksaan. Tapi kali ni bersemangat pula nak buat peperiksaan siap closed book macam budak SPM. Tengok...nampak tak macam-macam dia tu?

Saya pun tiada pilihan lain melainkan membuat ulangkaji sambil tidur . Seriously saya dah tak boleh belajar macam SPM atau macam masa di UM dulu. Saya juga sangat percaya yang closed book exam sudah tidak lagi relevan untuk pelajar Master macam kami!
Geram punya pasal (konon laa), saya beritahu kak RJ yang saya nak bawa toyol sebab sangat tak mungkin untuk saya dan semua orang untuk hafal rumus dan peringkat-peringkat pengiraan yang panjang berjela-jela tu. Tapi dalam masa yang sama, saya buat jugalah ulangkaji yang sambil tidur tu...

Hampa ingat boleh ka nak hapai semua ni? Ni baru rumus. Step lagi? Baik aku pi hapai Quran
Syarat-syarat dan conditions segala...
Hew...Muntah hijau, tahu?
Tapi tu lah...Dalam pada benci apa semua...Saya buat juga skrip pengiraan tu untuk saya hafal (walaupun memang agak mustahil) dan bawa masuk ke dalam bilik seminar sebagai toyol yang dilantik.
Tapi kan...
Pernah tak rasa perasaan ni:
 Korang ada ruang dan peluang untuk tengok toyol tu, tapi rasa takut nak tengok sebab takut kantoi dan rasa macam bersalah pada diri sendiri.
Pernah tak?









Saya pernah.
Memang selalu macamtu pun.
Baik la tu konon.
Eh, tak juga...

Pulun jugalah saya menjawab sebab khidmat toyol tidak berapa menjadi. Sedang khusyuk menjawab, saya sedar yang semua orang sudah keluar dan menghantar jawapan walaupun masa menjawab masih berbaki satu jam. Gile power toyol korang!

Saya jadi pelajar akhir sekali yang menghantar skrip jawapan. Pak Arab senyum senyum simpul depan saya. Apa senyum senyum? Nak kena? Saya masih 'marah' dengan dia. Iyalah...Dari semester satu lagi dia dah mula 'cari pasal' dengan saya. Pembentangan bukan main lagi banyak. Peperiksaan amboi susah. Lepas tu senang-senang dan sesuka hati dia je nak tukar-tukar tarikh dan masa kelas tanpa ikut jadual. Dia ni memang nak kena tindakan tatatertib ni!

Tapi all in all, saya dah selesaikan semua peperiksaan saya. SEMUA. Tinggal lagi 2 pembentangan termasuk satu yang paling kritikal iaitu pembentangan Projek 2 saya yang sangat menakutkan itu :(. Doakan. Doakan. Doakan saya.
Tamat Master ini, saya berazam untuk menulis pengalaman saya sebagai pelajar postgraduate- Bagaimana saya memulakannya, cabaran di dalamnya dan kemanisan mengharunginya. Insya Allah :)

Untuk semua yang sedang berada dalam fatrah imtihan,selamat maju jaya.
To Pak Arab: Bye. Tolong bagi A. Aku takmau jumpa hang dah~
To adik-adik: Tak payah la toyol-toyol ni~

Salam sayang, 
Dhiya

Port Makan Baru: PORT Cafe @ Bangi!


Bismillah

Entri pertama dalam tahun 2015 saya mulakan dengan topik makannnn!

Semalam kan cuti umum, jadi saya agak relaks walaupun ulangkaji subjek Pak Arab masih belum mencapai tahap keyakinan yang tinggi. (Sigh~). Untuk makan malam semalam, saya memilih restoran PORT Cafe ni. Sehari sebelumnya saya pandang dari jauh saja. Tapi hari ini saya jejak sebab restorannya sangat attractive. Dari jauh dah boleh nampak perkataan PORT tu. Jadi kenalah cuba sebelum nak tahu ini port baik atau tidak :p

Restoran ni nampak macam baru sebab selama lebih kurang 2 tahun saya menjadi warga Bangi, rasa macam tak pernah lihat pun tempat ni. Tapi apa salahnya kita cuba kan?
Oh, ya. PORT Cafe ni berada satu deret dengan Bangi Kopitiam, dan bersebelahan dengan kedai makan char kuey tiaw (yang sedap juga).  
To be exact, alamatnya adalah seperti berikut: 
No. 76, Jalan Medan PB1A, Seksyen 9, 43650, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Land mark paling mudah, Hospital Pakar An-Nur dan Az-Zahrah. Ha...PORT Cafe berada di bahagian belakang bangunan tersebut. Kalau sesat juga, tak tahulah~
Inilah hiasan nama restoran PORT yang saya katakan tu. Dari luar dah boleh nampak. Tak salah kalau saya kata saya masuk ke kedai ini sebab benda alah ni!
Semasa kami datang, jam belum pun menunjukkan 8 malam. Saya memang biasa solat Maghrib siap-siap dan terus ke tempat makan yang sudah diaim.Sebab tu restoran ni nampak kosong lagi dan sempatlah saya ambil gambar ruang kedainya.Selalunya begitulah. Bila dah datang awal ni, memang haruslah dapat port baik kan.
Makanan Barat ada...
Indonesia ada...
Pasta ada...
Minuman pun tak kurang hebatnya
Dan burger bakar jumbo pun ada. Sesuai sangat untuk orang yang lepas sebat bihun goreng-lepas tu lapar lagi. Haih...Ada jin ke sampai macam tu sekali kuat makannya? :P
Menu memang banyak. Berpinar jugalah mata nak memilih. Tambah-tambah semuanya pun nampak menyelerakan. Tapi saya akhirnya hanya memilih untuk mencuba bihun bakso dan teh o suam kurang manis. Hahahah!

Berikut adalah rumusan kepada pengalaman saya di restoran ini:
Tempat- 9/10 Ekslusif dan tenang. Kemas dan bersih. Semua pelayannya kelihatan macam anak muda yang semuanya terdiri dari orang Melayu. Tak ada warga asing.
Layanan- 9/10 Cepat 
Menu- 9/10 Bakso sedap. Burger bazooka pun sedap! (Lepas tu menyesal sebab azam tahun baru, hari pertama untuk kurus telah musnah)
Harga- 9/10 Affordable dan sangat reasonable.
Bakso bihun. Sambal kicap dan bebola daging dia sedap. Ouhh!
Dah..
Pergi bersiap-siap dan makan di sana. Insya Allah puas hati sebab saya dah mengalaminya :)

Salam sayang
Dhiya

31 Disember 2014


Bismillah...

2-3 bulan terakhir tahun ini, DDD terbiar sepi. Saya akui, itu memang kelemahan saya. Insya Allah tahun baharu yang akan tiba akan dimanfaatkan dengan lebih baik dari segi penulisan dan pengisian.

Sebenarnya saya tak rasa pun hari ini adalah hari terakhir dalam tahun 2014. Dalam ayat lain yang maksudnya sama: Saya tak rasa pun esok dah nak masuk tahun 2015! Apa tidaknya. Seawal jam 9 pagi hari ini, saya sudah bertungkus lumus untuk peperiksaan pertama semester akhir saya. Hari- hari semalam hanyalah dipenuhi dengan ulangkaji dan beberapa tugasan akademik yang lain tanpa sempat memikirkan hari dan tarikh!

Saya mengambil keputusan untuk mengehadkan aktiviti DDD sejurus peristiwa abah diserang sakit jantung pada bulan Oktober yang lalu. Waktu itu, bukan setakat internet dan laptop yang saya tolak ke tepi, malah pengajian dan kelas serta projek pengijazahan juga saya lupakan demi memberi fokus kepada abah dan emak sedangkan saya kini berada dalam semester akhir pengajian.
Sekembalinya ke kampus sebulan selepas itu, emosi dan motivasi saya robek. Tak tahu di mana dan bagaimana untuk mencari momentum. Tapi syukurlah Allah berikan emak dan abah yang doa mereka sangat ajaib. Dalam pada hilang punca, saya masih boleh mengejar rakan-rakan yang telah jauh ke hadapan. Cumanya projek pengijazahan saya sehingga kini agak perlahan hingga terpaksa memohon untuk dipanjangkan tempoh. Itupun, penulisan saya sudah menjangkau 80% dan hanya perlu fokus terhadap keputusan kajian dan perbincangan.

Banyak yang berlaku tahun ini. Banyak juga yang saya capai dan kecapi dan makin banyak pula azam dan matlamat di masa hadapan yang saya sudah rencanakan. Tapi yang paling penting, saya ingin memulakan tahun hadapan dengan kerjaya yang baik. Pengajian sarjana ini akan tamat sedekatnya bulan hadapan, dan Insya Allah selepas itu saya ingin kembali dan menyumbang kepada masyarakat :)
Selebihnya adalah azam peribadi. Banyak. Tapi cukuplah saya nukilkan dalam diari peribadi supaya saya benar-benar gembira dan fokus untuk mencapainya.

2015 juga bakal menyajikan berita baik kepada keluarga. Diharapkan semuanya kekal baik dan dipelihara Allah. Semoga juga berita ini akan menjadi titik perubahan kepada semua yang terlibat khusunya diri saya sendiri. 

Tidak dilupakan, salam takziah kepada semua mangsa banjir di seluruh Malaysia. Keluarga saya di Temerloh pun sebenarnya terkena kesan banjir ini. Saya sendiri pun tidak dapat balik ke kampung kerana kedua-dua jalan lebuhraya (LPT) dan juga jalan lama kampung dinaiki air dengan teruknya. Bandar Temerloh juga teruk terkesan hingga sebak juga saya melihat Esplanade hampir luput dari pandangan mata. Bencana ini membawa 'pesan' Tuhan. Berbuat baiklah sesama insan waima terhadap alam sekitar yang kita tumpangi.

Buat saudara-saudara kita di Indonesia. Takziah. Kemalangan besar ini benar-benar merobek jiwa saya sebagaimana pernah berlakunya terhadap MH370 dan MH17. Kita perlu terima bahawa ini adalah 'keputusan' Tuhan. Tetapi sebarang tangan-tangan jahat yang terlibat adalah sangat tidak boleh dimaafkan dan mesti dihukum. Teruskan berdoa agar keadilan dan kebenaran itu akan terserlah juga.

Selamat tahun baru 2015.
Dhiya Dahlia

19 November 2014


Tarikh ini
Bulan lepas
Aku terima berita buruk abah sakit
Pulang ke kampung sehelai sepinggang
hati remuk
malam siang

Sekarang Alhamdulillah
Abah makin sihat
Cuma aku tak boleh lupa
Kenangan
Memori
Emosi

Abah
Dhiya sayang abah
Terima kasih emak
ajar aku
apa itu
cinta sejati

Dhiya Dahlia
Pullman Hotel Bangsar
Kuala Lumpur
Malaysia
11.53 malam
-Biomalaysia-

DDD Berehat


19 Oktober 2014.

Abah jatuh sakit.

Agak serius.

DDD akan berehat sehingga tarikh yang belum diketahui.

Doakan saya. Kedua ibu bapa saya. Pengajian Master saya.

Salam sayang,
Dahlia

Gr... Hey Campus, Please be Nice to Me!


Ya Allah...

Sekarang ni hampir keseluruhan kampus saya ketiadaan air. Pagi tadi masih ada, tapi sebaik saya pulang dari jumpa SV dalam tengahari tadi, saya dapati air dah tak ada. Saya hanya dapat solat Zohor pada jam 3 petang. Jenuh cari air sampai ke Pejabat Kedekanan. Masjid pun tak ada air masalahnya! Malam tadi terpaksa ke rumah seorang sahabat untuk menumpang mandi.

Tu satu hal.

Isu lain pula, saya dapati sekarang ni akses jurnal dalam database kampus amatlah terhad. kebanyakan jurnal yang paling hampir dengan carian- Perlu dibayar. Kita dah bayar yuran beribu-ribu ringgit, kenapa masih nak sekat akses jurnal pelajar? SV saya sendiri pun akui- Yang mana bukan sahaja pelajar, malah pensyarah juga tidak boleh akses kebanyakan jurnal. Bagaimana untuk kita terus menghasilkan kajian yang membawa Malaysia ke hadapan?

Mungkin.
Pensyarah ada hak tukar jadual kelas. Tapi saya perasan pensyarah Pak Arab ni sangat annoying. Kelas yang dia tak ajar- Dia nak ajar. Dan kelas yang memang ada peruntukan untuk dia mengajar- Dia selalu minta tukar ke hari dan masa lain yang mana sangat mengganggu jadual orang lain. Kami pelajar Master, bukan ijazah lagi dah. Classmates saya hampir separuh daripada mereka adalah pensyarah juga. Jadi boleh bayangkan tak betapa berserabutnya setiap hari dalam seminggu kami? Masalahnya dia seorang sahaja pensyarah yang macamni. Yang lain, Wallahi bagus!

Satu lagi adalah sikap.
Haish~
Typical attitude.
  1. Jangan buang sisa makanan dalam sinki
  2. Park kereta elok-elok dalam petak. Jangan 'makan' petak orang lain
  3. Kalau duduk bilik single, jangan bawa squatter dengan apa cara sekali pun. Lebih jelek kalau buat bising malam-malam dengan gelak mengekek macam pontianak. Tak layak dipanggil wanita. Kut!
Entahlah. Minggu ni rasa semuanya tak kena dan semuanya berpunca dari orang lain.

Ya Allah.
Tolong kuatkan saya :(

Dahlia

Tiada Istilah Monday Blues


Bismillah

Selamat datang, Isnin!

Sungguh, saya tak sempat nak rasa Monday Blues tu. Bangun pagi, dah perlu fikir persediaan kelas jam 8 pagi. Kemudian kena duduk berteleku sungguh-sungguh untuk sediakan bahan sebelum jumpa SV. Itu pun nasib perjumpaan hari ini ditunda esok. Masih ada masa untuk saya baca-baca lagi.

Kalau semester lepas, bukan main seronok lagi saya sebab kelas hanya 2 hari- Khamis dan Jumaat. Tapi sekarang, walaupun kelas hanya 3 hari, tapi rasanya saya ke jabatan setiap hari. Itu belum kira lagi kelas tambahan Pak Arab tu.

Berblog? Haih lagi la bercinta. Kena curi-curi masa sebab benda dah minat kan. Tapi kalau perasan, 2-3 entri kebelakangan ni memang tak ada gambar. Sebab tak sempat la nak belek satu persatu dan pilih-pilih macam dulu walhal bukan main banyak isu nak dikongsikan. Sedihnya!

Kawan-kawan DDD, doakan saya. Sokonglah saya supaya dapat terus menulis dan dalam masa yang sama dapat fokus kepada pengajian.

Salam sayang
Dhiya

Sabtu


Bismillah

Hai Sabtu, tolonglah baik-baik saja. Terima kasih sebab beri saya sedikit ruang untuk berehat sambil menyiapkan kerja-kerja sekolah yang dah mula membukit. 

Minggu depan:
Isnin: Pembentangan Control Instrumentation (Pagi), Demo Energy Audit (Petang)
Selasa: Kelas Pak Arab 
Rabu: Kelas Energy Audit (Pagi),  Bahan Pengubah Tenaga (Petang)
Khamis: Dating dengan SV
Jumaat: Kosong lagi. Tapi mesti ada hal punyaaaaa
Sabtu: Nilai
Ahad: Nak tidur!

Uwaaa! Jadual untuk minggu depan dah penuh rupanya. Sobs!

Tak apalah. Mari optimis. Ini adalah semester akhir saya. Allah dah banyak mudahkan urusan saya selama 2 tahun kebelakangan ini. Jadi mengapa saya harus merungut itu dan ini lagi.

Rakan-rakan, tolong doakan saya kuat semangat dan positif. Saya dah harungi 90% perjalanan pengajian ini. 10% lagi adalah untuk saya sudahkan demi agama dan keluarga. Tolong ingatkan saya akan jalan yang indah-indah, serta bagaimana saya bermula :)

Salam hujung minggu
Dhiya

Saudaraku, jangan jadi mangsa fesyen



Bismillah

Pagi ini saya tiada kelas. Tapi saya ambil keputusan untuk hanya berjalan kaki ke masjid atas urusan permohonan zakat dan kemudiannya ke fakulti untuk berjumpa dengan penyelia.
Ya, saya memilih untuk berjalan kaki. Kebetulan, cuaca pagi Jumaat ni sangat baik. Tak salah pun kalau saya berjalan sambil bersiar-siar ambil udara pagi. Lagipun, minyak kan dah naik. Baby K memang berehat saja sekarang ni :p

Sewaktu berjalan menuju ke fakulti, saya berselisih dengan ramai orang. Terasa kembali ke zaman pengajian ijazah saya dahulu. Rasa rindu pula untuk meniti laluan pejalan kaki sambil membawa beg sandang berisi nota kuliah :(

Dalam pada berjalan tu, saya sempat menyoroti fesyen warga kampus yang kebanyakannya pelajar. Adik-adik, saya fikir. Kalau ada yang sebaya dengan saya pun, mungkin tak ramai.
Jauhnya beza kalau hendak dibandingkan dengan 5 ke 6 tahun yang dulu. Penampilan mereka nampak ranggi, bergaya dan sangat moden.
Ada yang berseluar jeans ketat, blaus polos singkat dan bertudung selempang- Habis ternampakkan segala bengkak di sana sini
Ada juga yang berskrit labuh- Tetapi menampakkan bentuk batang kaki yang lampai, blaus dimasukkan ke dalam baju dengan tudung terjongket dek sanggul tinggi
Tidak kurang juga ada yang berjubah labuh- Tapi sayangnya ketat dan lebih malang ada yang ternampakkan alur pakaian dalam.
Itu belum saya sebut lagi tentang colour block- yang dulunya kelihatan pelik dan hodoh- serta aksesori yang menjolok mata.

Zaman pengajian ijazah saya dulu, saya dan kebanyakan mahasiswi lain memilih untuk mengenakan baju kurung. Malah yang tidak bertudung juga tidak kekok mengenakan baju tradisional itu. Kalau ada hari yang saya perlu masuk ke makmal barulah saya akan mengenakan seluar. Itu pun, kadang-kadang- Kalau amali tu messy, saya akan datang dengan seluar track sahaja!

Saudari-saudari saya sekalian, maafkan saya jika penulisan ini menyinggung perasaan ramai pihak. Tapi fokus saya lebih kepada adik-adik mahasiswi di universiti.
Saya sedar dan maklum bahawa keinginan untuk kelihatan cantik itu adalah fitrah. Saya juga begitu. Tetapi marilah kita saling mengingatkan- Supaya dalam keghairahan kita untuk kelihatan cantik, jangan kita membadutkan diri sendiri. Jangan. Jangan begitu.
Wang pinjaman atau biasiswa yang ada, jangan terlalu dibazirkan ke arah fesyen. Beringatlah supaya ada simpanan untuk 2-3 bulan ke hadapan.
Pastikan juga, prestasi pengajian berada di tahap yang membanggakan. Percayalah, tidak ada sangat nilainya jika penampilan ranggi, tetapi PNGK merudum dan prestasi lemah. Dalam keadaan negara yang super maju dan laju ini, PNGK kalian adalah lebih berharga.
Saya bercakap berdasarkan pengalaman. Betapa PNGK adalah kunci kepada kestabilan kerjaya (buat masa dan situasi sekarang).

Maaf kerana tiada gambar untuk post kali ini, Saya tidak mahu mengaibkan sesiapa atau menyamakan sesiapa dengan apa-apa. Cukuplah semoga penulisan saya diterima dengan hati yang terbuka. Saya juga bukanlah seorangg yang sempurna. Saya sekadar  menulis pada medium yang saya ada- Supaya kita sama-sama beringat.
Maafkan saya jika ada yang tidak bersetuju dengan idea ini. Teguran terbuka, tanpa melukakan hati sesiapa adalah dialu-alukan (jika perlu).

Terima kasih
Dhiya Dahlia

The Versatile Blogger Award by Sinuha


Bismillah...

Sinuha, terima kasih atas ingatan. Maaf lambat sebab komitmen terhadap pengajian yang hampir tiba ke garisan akhirnya.

Berikut adalah 7 fakta tentang blogger Dhiya Dahlia yang rasanya biasa je- Tak ada yang istimewa pun.

- Menulis dalam DDD sejak tahun 2011. Menulis untuk diri sendiri, sambil mengangkat isu cakna bahasa.
- Menghargai pengalaman melalui pengembaraan.
- Sangat menepati waktu dan tak suka tengok orang yang lambat ( ke kelas, hadir mesyuarat malah janji untuk lunch atau dinner)
- Kalau keluar hujung minggu atau on travel, pertimbangan utama saya adalah tandas dan surau. Kalau dua benda ni fail, saya akan sanggup cari tempat lain.
- Suka bersendiri semasa bekerja (atau belajar) sebab potensi untuk fokus adalah lebih tinggi. Kalau ada kawan, selalunya saya akan jadi talkative. Group assignment/ meeting is exceptional sebab ianya lebih formal dan beragenda.
- I don't like FB anymore
- Tidak pernah memuat naik gambar wajah sendiri dalam DDD. Saya percaya penulisan saya dinilai pada isinya, tidak pada wajah penulisnya.

Alhamdulillah.
Done.

Maaf sekali lagi sebab saya tak dapat tag sesiapa sebab saya dah tiada masa untuk blogwalking.

Insya Allah sebaik saya lapang nanti, saya akan menulis dan berkongsi.

Salam sayang,
Dhiya

Wordless Wednesday: Aurat


Resepi: Kek Minyak Versi Kampung (Bahan-bahan pun mudah)


Bismillah

Memandangkan kita masih dalam mode raya raya ni kan, saya nak kongsikan pengalaman memasak lah. Kali ni saya nak kongsikan cara pembuatan kek minyak. Kek ni sangat masyhur sewaktu zaman saya kecil dulu. Mak Anjang depan rumah saya ni rajin sangat buat dan jamu kami sewaktu hari raya. 

Kek minyak ni mungkin banyak nama atau ada nama samaran lain bergantung kepada tempat kita. Jadi terserah la pada kita nak bagi nama apa pun, asalkan masuk perut dan rasa bahagiaaaaa!

Bahan-bahan:
3/4 cawan gula
1 cawan mentega (Dulu guna Buttercup. Planta pun boleh)
1 1/2 cawan tepung Blue Key, + satu sudu soda bikarbonat (Kalau tak ada Blue Key, tepung gandum pun boleh)
3 biji telur
1/4 tin susu pekat
1/4 kotak susu full cream Dutch Lady (Tak ada pun tak apa, saya letak untuk bagi dia gebu sikit)
1/4 cawan seri kaya
1 sudu esen vanilla
Pewarna merah dan hijau (atau warna kegemaran)
 Cara-cara:
  • Pukul gula dan mentega sehingga kembang
  • Masukkan telur dan pukul hingga sebati
  • Masukkan susu cair, susu pekat, esen vanilla dan seri kaya- kacau sebati
  • Masukkan tepung- kacau sebati
  • Asingkan kepada 3 bekas dan warnakan
  • Tuang sedikit demi sedikit ke dalam loyang yang telah disapu dengan planta supaya tidak melekat
  • Bakar atas api selama 40 minit atau sehingga masak (Nak kukus pun boleh)
3 warna berbeza. Yang kiri sekali tu adalah warna asal. Tiada pewarna pun.
Bakar atas api. Yang seronoknya, mak keluarkan periuk lama ni sebagai tanda sokongannya kepada minat masak memasak saya ni. Periuk ni rasanya pernah saya tengok masa saya kecil dulu. Agak-agak sekarang ada lagi tak?
Ok siap!
Tapi maaflah tak ada gambar dah siap sebab habis terhidang masa raya haritu :(

Selamat mencuba dan maaf kalau terlebih terkurang dalam sukatan resepinya. Alhamdulillah dah 2 kali saya buat, menjadi je. Mak pesan, sukatan cawan tu lagi senang dari sukatan gram. Petuanya mudah. Kalau dah guna cawan A untuk sukat gula, cawan tu jugalah diguna untuk sukat tepung dan lain-lainnya. Jangan nak tukar cawan lain dah. ok?

Salam sayang,
Dhiya