Seoul Korea: Gyeongbokgung Palace


Bismillah...

Maaf sebab terpaksa mengambil masa yang lama untuk menulis entri ini. Saya ada kerja di luar kawasan dan tidak boleh mengakses laptop.

Jom~...
Ini tiket masuk ke Gyeongbokgung Palace. Oleh kerana lawatan ini adalah ditaja, jadi saya dengan hati kering pada mulanya langsung tak tahu berapa harga tiket. Dah lama berjalan, baru saya tengok balik tiket ni dan harganya KWN2400. Lebih kurang RM6 ke RM7...
Gyeongbokgung Palace adalah antara tempat popular yang wajib dilawati jika anda ke Seoul. Baik pergi melalui pakej atau bersendirian, anda memang akan sampai ke sini sebab tempat ini terletak di tengah-tengah kota Seoul.
Dataran utama Gyeongbokgung Palace. Kawasan lapang ni digunakan untuk persembahan upacara pertukaran pengawal istana yang diadakan pada jam 1 petang. Waktu ni baru jam 10 pagi. Jadi tempat tu memang berdebu je.
Pintu utama Gyeongbokgung Palace. Rasanya Gyeongbokgung Palace macam Forbidden City di Beijing. (Ini pun saya tak cerita lagi. Walhal dah nak masuk setahun punya pengalaman). Gyeongbokgung Palace menjadi identiti dan kebanggaan rakyat Korea Selatan.
Pengunjung yang ramai dan berpusu-pusu memasuki kawasan Gyeongbokgung Palace.
Di sini, kebarangkalian untuk berjumpa dengan orang Malaysia adalah sangat tinggi. Macam saya cakap tadi, Gyeongbokgung Palace adalah salah satu tarikan utama pelancong. Jadi kita boleh jumpa hampir semua bangsa manusia di sini.
Termasuklah ini. Eh.. Saya sebenarnya nak ambil gambar pintu masuk Gyeongbokgung Palace dari dalam istana, tapi tiba-tiba abang ni lalu pulak~
Ini gambar yang sepatutnya saya ambil :p
Semasa saya di sini, saya memang mengaku yang Gyeongbokgung Palace adalah Forbidden City Korea. Kawasannya sangat luas dan mempunyai pintu gerbang yang tinggi, unik dengan rekaan tradisional dan berlapis-lapis. Setiap kali masuk ke pintu gerbang baru, kami akan dihidangkan dengan rekaan istana, rumah ibadat dan rumah-rumah pekerja yang sangat unik. 
Terasa macam sedang berada dalam dunia zaman dahulu.

Tempat bersemayam raja dan juga tempat untuk urusan rasmi pemerintahan. Cerita ini disampaikan oleh Dr. Jung yang mengiringi kami. Untunglah ada penterjemah percuma ni. Tak perlu baca papan kenyataan. (Pemalas!)
Kehalusan seni bina pada bahagian dalam tempat bersemayam tadi. Saya sampai sakit kepala fikir macamana mereka boleh buat sehalus dan secantik ini. Mana nak ukir lagi...Mana nak mewarna lagi.
Hiasan seni halus di bahagian luar.
Laluan antara tempat bersemayam raja menuju ke tempat bersemayam permaisuri. Dr. Jung cakap, permaisuri selalunya tidak akan masuk campur kerja raja. Sebab tu tempat mereka diasingkan.
Kanak-kanak sekolah yang datang melawat. Seputar pemerhatian saya, kanak-kanak yang menyertai lawatan ini selalunya memang lawatan sambil belajar tak macam versi Malaysia. Tak ada pun mak ayah ikut. Semuanya cikgu yang uruskan. Semasa lawatan, penerangan diberikan dan kanak-kanak ini akan mendengar dan yang paling mengagumkan, mereka membawa buku catatan dan menulis sesuatu dari penerangan yang diberikan!
:)
Tengok. Hanbok, pakaian tradisi Korea telah melalui satu revolusi yang pelbagai. Hanbok ini telah menjadi pakaian rasmi pelajar sekolah ketika aktiviti luar seperti lawatan, tetapi telah disingkatkan dan mirip menjadi skirt. Mungkin labuh-labuh tak sesuai. Takut ada yang tersembam masa melawat Gyeongbokgung Palace. Hahah~!
Hiasan bahagian atas istana, di tempat bersemayam permaisuri.
Istana bersemayam permaisuri. Alah, tak jauh pun...Betul-betul di belakang istana raja sahaja. :p
Nampak macam panas terik kan? Yep, memang sunny. Tapi suhu masa ni hanyalah 6 darjah Celsius.
Musim luruh sedang rancak ketika ini. Di Daejeon, daun-daun sudah banyak yang mula bertukar warna. Tapi di Seoul, nampaknya daun-daun masih hijau. Dr. Jung cakap pertukaran warna ni mengikut kawasan, bermula dari bahagian Utara Korea membawa ke Selatan. Jadi siapa duduk selatan, lambat la sikit.
Untuk kesekalian kalinya, inilah Dr. Jung. Orang yang menjaga kami dan memenuhi keperluan kami selama berada di Daejeon.
Jam menghampiri satu petang. Dari jauh sudah kedengaran bunyi gong tanda upacara pertukaran pengawal istana akan bermula. Kami pun segera berpatah balik ke dataran utama untuk menonton upacara tersebut.
Upacara ini adalah antara yang terpenting. Ramai orang tak melepaskan peluang untuk melihat sendiri upacara tersebut.
Apa yang menarik perhatian saya adalah pada pakaian yang berwarna-warni, alatan dan kehalusan seni mereka :)
Hai abang, boleh berkenalan? Mereka sangat fokus dengan perkara yang sedang dilakukan sehingga saya 'ganggu' mereka pun, mereka tak kisah. Padahal dalam hati mereka, : "Budak ni memang nak kena!"
Upacara ini mengambil masa lebih kurang satu jam juga. Kami tak boleh menunggu lama sebab ada dua lagi destinasi yang perlu dilawati bagi memenuhi rancangan dalam itinerary. Jadi cerita Gyeongbokgung Palace berakhir di sini :)
Okay I am done! Gyeongbokgung Palace sudah habis ditawan!

Destinasi Seoul berikutnya adalah makan tengahari dan Insadong sambil bawa wang KWN500,000 tunai. Gila!

Salam sayang,
Dhiya

Seoul Korea: Lawatan Sambil Belajar


Bismillah...

Jom...
Saya kembali bawa cerita hidup di Korea. Kali ini siri Seoul yang boleh tahan menariknya :)
Rasanya saya pernah beritahu sebelum ini, yang program kami memang ada diselitkan dengan cultural visit selari dengan objektif program ini bagi membolehkan kami memperolehi ilmu dan kemahiran di samping menghalusi kehidupan tradisi dan kebudayaan setempat. Selalunya slot Jumaat ni ditaja penuh oleh pihak institut dan memang sudah dirancang dengan baik dalam itinerary.

Jadi 18 Oktober (Jumaat) kami tidak ada kelas. Visit to Seoul tu kira macam learning session jugalah, cuma lagi best kut sebab bukan duduk bertapa di dalam kelas sambil tersengguk mengantuk~ Haha!

Dalam siri ini, kami hanya berpeluang melawat tiga tempat sahaja iaitu Gyeongbokgung Palace, Insadong dan Namsan Tower.
Sebab?
Jarak perjalanan dari Daejeon ke Seoul memakan masa 3 jam, tetapi lawatan ini hanya sehari. Jadi pihak institut tiada pilihan lain kecuali memilih beberapa tempat yang terbaik untuk dilawati.
Kami pun dah sedia maklum akan hal ini dan memang dah rancang untuk kembali ke Seoul sekali lagi dua minggu dari tarikh ini dan bermalam di sana atas kos sendiri untuk menikmati Seoul sebagai seorang pelancong backpackers. <--------------Ni cerita lain ye :)

Dah nama pun trip yang ditaja, kami menaiki bas persiaran ke Seoul seawal jam 8 pagi, dengan suhu 9 darjah Celsius. Cuaca baik...cerah dengan sinaran matahari. Tapi suhu ni sama macam duduk dalam peti ais. Baru peti ais ya. Dah hujung-hujung program, suhu mencecah -1. Lagi laaa menggigil. Mandi pun malas. Jadi mengenakan trench coat, bersarung tangan dan berstokin tebal itu bukan drama. Nak pergi tandas dan ambil wudhu' pun bukan main berkira lagi!

Perjalanan tiga jam tidak pernah mengecewakan. Kami disajikan dengan pemandangan yang sangat cantik. Ini pemandangan yang saya lihat sebaik kami memasuki bandar Seoul.
Melihat gaya hidup warga Seoul, saya rasa ianya sedikit berbeza dengan rutin warga Daejeon. Iyalah, mungkin Daejeon tu bandar kecil macam Melaka, sedangkan Seoul ni macam Kuala Lumpur. Jadi arus mereka berbeza. Gambar ini diambil ketika bas berhenti, saya melihat ramai sedang menunggu bas. Masih, pengangkutan awam di Korea sangat cemerlang :)
Macam saya katakan tadi, Seoul ni macam Kuala Lumpur. Banyak bangunan tinggi-tinggi dan kenderaan yang bersesak-sesak. Pelancong sangat ramai.
Satu yang istimewa, bandar ini selamat dan mesra pelancong. Sebab tu awal-awal lagi kami dah rancang untuk gamble sekali lagi ke Seoul sebagai backpackers dan berjalan sendiri
Korea sangat memberi perhatian kepada pejalan kaki. Laluan mereka sangat dihormati dah macam karpet merah. Lampu isyarat untuk melintas jalan sentiasa berfungsi tanpa gagal. Bagaimana di Malaysia???
Antara tempat menarik untuk dilawati di Seoul. Masa ni saya masih berada di dalam bas.
Sebaik turun dari bas, kami terus ke Gyeongbokgung Palace. Polis ada di mana-mana. Situasi macamni hanya ada di Malaysia kalau ada perhimpunan Bersih. Tapi di sini, ianya sangat tipikal demi menjaga keselamatan sekitar. Thums up!
Gyeongbokgung Palace adalah kota lama yang 'terasing' dan dikelilingi sebuah bandar metropolitan. Saya kagum dengan kerajaan mereka yang bersungguh-sungguh mengekalkan identiti negara ini dan dalam masa yang sama negara mereka sedang maju ke hadapan.

Menghala ke Gyeongbokgung Palace. Jom baca entri saya yang seterusnya!

Salam sayang,
Dhiya

Tembok Runtuh!


Bismillah...

Ini cerita semalam. Sebaik sampai ke rumah, saya nampak bahagian hujung tembok simen rumah abah ni runtuh. Bukan setakat runtuh jatuh, tapi pecah berderai dan tercampak ke dalam longkang.

Saya secara automatik boleh agak apa puncanya. Sekarang ni di kawasan perumahan saya memang ada jengkaut keluar masuk untuk menggali tanah bagi tujuan menggantikan paip. Tapi ganti paip is ganti paip lah. Bukan meruntuhkan pagar rumah orang~
Emak pun minta abah yang selesaikan...Sebab masa kejadian, memang emak ada di rumah. Tapi katanya hal macamtu elok abah yang ke depan.

Petang tu juga, saya ajak abah cari bos budak-budak yang buat kerja ni. (Dalam hati sudah bersusun ayat macamana mahu settle). Tapi abah kata nanti dulu. Sabar. 
Sigh~
Saya memang tak faham macamana abah boleh cool macamtu. Kerosakan macamni bukan kecil. Kalau nak dikirakan kos, ganti ruginya nanti sepatutnya bukan sedikit, walaupun kawasan ini dikira kampung.

Sehingga hari ini, abah masih gagal menjejak bos yang mengepalai kerja-kerja mengorek tanah ni. Yang ada hanyalah pekerja-pekerjanya- warganegara Bangladesh. Hari ini sahaja saya tengok abah keluar 3-4 kali mencari orang yang harus dipertanggungjawabkan. Nampaknya masih kecewa.

Kesan-kesan mengorek tanah yang dilakukan masih jelas kelihatan. Tembok simen abah masuk longkang!
Nampak macam hal kecil. Tapi bagi saya, ini serius ni bang~ Baik bertanggungjawab sebelum saya jadi macam-macam~
Lama saya termenung, cuba membayangkan macamana pemandu jentolak tu buat kerja sampai elok je dia jatuhkan bahagian hujung tembok ni. Sakit kepala buat penyiasatan.
Kesian abah. Abah bermodal sungguh-sungguh nak melihat rumah dia ni cantik. Nak membinanya pula bukan sekejap. Tapi runtuhnya tak sampai pun sejam.
Rumah kampung. Banyak kenangan saya di sini. Sebab tu saya sangat emosi apabila ada orang hebat yang mempersoalkan kenapa saya kena balik kampung waktu cuti sem. (Ok, kalau tak ada kena mengena, tak perlu terasa :p)
My home sweet home :)
Eh...You all ni memang macam-macamlah~

Dhiya

Doily Paper di 2Ply Kuala Selangor


Bismillah...

Lama menyepi, tiba-tiba terus update cerita pasal doily paper kan~
Konon stunning sangat lah tu!

Saya pernah buat research on this lama dulu sehinggalah terjumpa banyak review yang mengatakan 2Ply menyediakan variasi doily paper.

Mungkin ramai yang dah maklum, doily paper ni sangat popular di kalangan B2B yang DIY- (Bakal pengantin yang buat persediaan dengan menggunakan kreativiti sendiri)- Dan saya adalah sebahagian kecil dari mereka :) <--------- Wah dah mengaku sekarang~

Kebetulan 5 Disember lepas, saya berada di bandar Kuala Selangor. Bandar tu kecil je. Kalau pusing-pusing tu memang tak sesatlah. Tujuan utama adalah untuk mencari alat kelengkapan umrah, tapi masa memandu perlahan di situ, saya ternampak 2Ply ni. Masa tu seronok lah sebab selama ni rasa mustahil sebab semua cawangan 2Ply jauh dari saya. Sekarang ni memang kebetulan sangat.

Selepas urusan utama, saya singgah juga ke 2Ply ni tapi bukanlah sebab doily paper sangat. Saja nak tengok-tengok sambil survey barang.
2Ply menyediakan kelengkapan membuat kek dengan cemerlang sekali. Banyak sangat pilihan. Masa ni saya mulalah bercita-cita nak buka bisnes buat kek pula. Melihatkan keperluan yang super-complete di situ, memang rasa nak belajar buat kek!

Doily paper?
Adaaaaa....
Tapi tak banyak pilihan. Apabila saya tanya pekerja di situ, mereka cakap mereka kehabisan stok sebab lately ramai pula yang beli dalam kuantiti yang banyak. Lain kali, mungkin ada.
Tu mesti B2B DIY lah yang beli tu. Hahaha~

Akhirnya saya keluar dengan jenayah belian ovalet dan sepaket doily paper (akhirnya). Cis...ada damage juga rupanya!

Ok nak cerita tu je. Dapat beli doily paper (bukan borong) di 2Ply Kuala Selangor. B2B DIY sila terjah ya. Tapi kena cepat dan bergantung kepada nasib juga sebab stok mereka macam ombak laut. Ada pasang surut :p

Senyum sebab dapat doily paper,
Dhiya

Tolonglah senyum di pagi Isnin ni~


Assalamualaikum :)

Selamat hari Isnin semua!

Tolonglah senyum sikit. Saya faham yang semua pun sedang 'lemau' untuk menghadapi kerja yang bertimbun di pejabat selepas enak bercuti di hujung minggu.
Saya pun pernah ada pengalaman tu :p

Insya Allah semoga ikhlas kita semua akan memberikan ibadah yang sempurna dan rezeki yang berganda-ganda :)
Sumber

Senyum sikit,
Dhiya :)