It's raining!

Yeah it's raining outside!

I have no gut to go to the class this morning. I wish to be here in this small room and finish all my works and share all here in Dari Diri Dhiya.

There are a lot of issues in the class. I can't stand with them anymore. Yesterday's incident was too bad for me. It gave me a nightmare. I was very upset with that. No one understand me except my lecturer and the one here.

Ah. Stop telling it, Dhiya!

English, please!

It has been a long time for not writing in English. Yup, it's my bad. I know a lot of things around, unfortunately I don't have the motivations to step forward and start it. It's totally different compared to three or four months ago. I used to write everything in English. I know there were mistakes somewhere, but I always correct it later.

Dhiya, please wake up!

It's not an easy thing to restart it. I need the passion. I need the strength. I've been discussing this issue before. My confidence is still not here. That's all. The rest, I can survive and come out with a better English writing.

I'm still getting inspired by Mr. Sofian who was my trainer few months ago. He's the one who make me realize that English is important yet very fun. I still remember his quote: "Grammar is sexy!" (Huh!)

I wish Mr. Sofian would read this one fine day soon.

p/s: Go, Dhiya!


Selasa!


Banyak sungguh kejutan. Saya sendiri terkejut akan berita-berita sebegini.

Saya akan menghadapi dua majlis konvokesyen dalam masa terdekat. Dahulu saya pernah bercerita tentang konvokesyen yang satu itu. Hari ini saya menerima satu lagi berita konvokesyen!
Alhamdulillah! Terima kasih Allah! Saya sangat teruja untuk menghadirinya, apatah lagi untuk menghadapi apa yang terbentang di depannya kelak.

Banyak sangat cerita yang tertunggak. Saya benar-benar ingin menulis. Ada kalanya mahu saja saya tolak semua kerja itu ke tepi dan menghadap Dari Diri Dhiya lama-lama. Melepaskan rindu, meluahkan rasa. Saya benar-benar rindu akan momen itu.

Bersama rakan-rakan sekelas, saya sangat gembira. Bukan nilaian wang ringgit yang saya ukur, tapi manis bersahabat itu yang indah. Itulah hadiah paling berharga buat diri saya.
Di saat ini juga, saya amat merindui rakan-rakan pendamping saya yang setia: Nurul, Wani, Nabila, Olin, Dayah dan ramai lagi. Merekalah yang mengukir senyum saya.

Semalam dapat juga mencuri masa berjumpa dengan Wani, kawan yang banyak membantu di sini. Walaupun tak sempat untuk makan bersama, tapi dapat jugalah 'bergaduh' dengannya~

Kerja yang tergendala ini pula meronta-ronta mohon disiapkan. Ah! Banyaknya!

Untuk dia yang jauh, (Dhiya....?) Terima kasih atas semuanya. Semoga ada yang terbaik untuk kita. Amin.

p/s: Saya tak akan menulis panjang lebar tentang konvokesyen berganda saya itu buat masa sekarang. Kalau perlu menjadi rahsia...Ya, ia akan menjadi rahsia. Titik.

Hadiah


Allah

Banyaknya cerita tertunggak Dari Diri Dhiya. Sangat! Rasa mahu saja berkurung di bilik dan terus-terusan menulis. Tapi apakan daya, saya masih punya komitmen lain. Masa perlu diurus sebaik mungkin!

Buat masa sekarang, saya sangat sibuk dengan assignment dan assessment. Semua ini perlu saya penuhi atau saya akan gagal.
Benarlah...Untuk berjaya, banyak perkara yang perlu dikorbankan. Bukan sedikit air mata yang tumpah. Bukan secebis dua kecewa yang datang memanah. Saya pernah jatuh dan putus asa atas mehnah yang datang.
Bila rasa itu datang, Allah tidak pernah tidak akan hadir dan memujuk hati saya dengan 'hadiah' yang tak disangka-sangka.

Hadiah yang tak disangka-sangka?

:::Baby-K Bersiar-siar:::

Hari ini hadir seperti biasa. Kelas saya bermula seawal jam 9 pagi hingga 6 petang. Di hujung petang, saya mula berkira-kira untuk keluar ke pasaraya berhampiran untuk membeli sedikit barang keperluan.
Tapi satu isu yang ada dalam diri saya ialah apabila saya tidak yakin dan takut untuk memandu keluar dari laluan harian saya. Untuk pengetahuan, ketika di Kota Mega dulu pun, saya tak pernah bawa Baby-K keluar bersiar-siar keluar dari kampus. Laluan hariannya hanyalah ke fakulti tua seorang jurutera itu.
Hari ini saya tekad. Saya tanya arah jalan dari kawan-kawan yang arif. Saya perlu pergi atau saya akan lapar dan terus kepingin nak makan apa yang saya teringinkan tu!
Akhirnya
Syukurlah. Saya selamat pergi dan balik. (Macam jauh sangat aje~)

:::Panggilan Telefon Dari Sahabat:::

Saya menerima panggilan telefon dari pengantin baru Nurul! Yeay! Lamanya saya tak berjumpa dengan Nurul. Asyik mengikutinya dari Facebook sahaja. Kami saling bertanya khabar dan bergurau rindu. (Eh?) Termasuklah rancangan kami untuk ke dusun durian abah dalam masa terdekat. Durian ok...Duriannnn!

Tak lama tamat panggilan dari Nurul, saya menerima panggilan dari Nabila pula. Allah, kawan saya yang seorang ini telah bergelar doktor gigi. Rasa jauh benar kedudukan saya dengannya~
Kami berkongsi banyak cerita. Dari duduk sebenar saya sekarang hinggalah ke soal hati dan perancangan masa depan. Ya, saya menangis selepas tamat perbualan dengannya. Kenapa? Dua nama di atas pasti tahu.

:::Konvokesyen:::

Saya tak pernah bermimpi untuk berkonvokesyen sekali lagi selepas menerima ijazah satu masa dulu. (Macam lama sangat dah...~) Tapi berita dan e-mel rasmi yang saya terima hari ini benar-benar menjadikan apa yang ilusi itu suatu realiti.
Ya, saya akan berkonvokesyen sekali lagi atas tiket salah satu badan korporat yang telah mengambil saya sebagai pelajarnya sebelum ini. Saya tak mahu cerita panjang sangat di sini. Simpan ia sebagai kejutan dan hadiah terindah untuk dikongsi! Sabar ya!
Terima kasih, Allah!

Untuk rakan-rakan pembaca dan kawan-kawan baik saya, andalah teman saya berkongsi di sini. Terima kasih kerana sudi membaca satu demi satu rangkai kata yang membosankan ini. Huu!

p/s: (^^)

Isnin!


Jam menunjukkan pukul 12:10 minit malam. Isnin sudah menjengah!

Mengejar tarikh akhir kerja-kerja yang tertunggak, menghadap satu demi satu kerenah yang pelik lagi ajaib...Kadangkala saya jatuh tersungkur kepenatan juga.
Air mata ini tak boleh ditahan-tahan jauh lagi dipujuk rayu. Rintiknya kadang-kadang menjadi gerimis dan hujan yang lebat.

Optimis diri semakin menipis. Saya sangat perlukan semangat. Di saat saya sendiri di sini, saya benar-benar rasa kehilangan. Tapi mereka semua tidak bersalah. Tuntutan tugas yang menjadikan mereka di sana, dan saya di sini. Insya Allah, kita berjumpa nanti.

Esok minggu ketiga akan bermula. Sedar tak sedar, semuanya berbaki tiga minggu lagi. Semoga selepas itu ada yang terbaik buat saya. Amin...

p/s: Siapa rindu Dhiya, sila e-mail atau SMS. Panggilan telefon kadang-kadang tak terlayan. Telefon di mana-mana pun Dhiya lupa.

Si Awan Nano


Abah...

Air mata Dhiya akan sentiasa bersembunyi di balik diri. Tapi rasa kasih ini tak pernah berhenti terpamer dan terlihat biarpun Dhiya bukanlah yang terbaik.



Terima kasih...Kerana abah menjadi abah Dhiya

p/s: Lalu abah membalas dalam diam...
ABAH miskin perasaan. Banyak jiwanya terisi oleh fikiran dan usaha untuk memberikan yang terbaik kepada keluarganya. Maafkan ABAH jika tidak pandai meluah rasa. Sebanyak kerut dahi dan kedut wajah, sebanyak itulah kasih ABAH kepadamu

Tiang Seri

Entri ini khas buat abah sempena hari bapa yang disambut Ahad ketiga bulan Jun setiap tahun. Bukan hari ini sahaja hari untuk abah…Setiap hari pun merupakan hari menyayangi dan mengasihi abah kerana abah sendiri pun tidak pernah bercuti malah jauh sekali meletak jawatan sebagai seorang bapa.

Kasih sayang abah tidak pernah terhakis walau secebis. Abah tidak pernah tidak memenuhi permintaan saya sedangkan saya ini selalu saja hadir padanya dengan seribu satu kerenah yang kadangkala sangat menyesakkan dada. Tapi abah tidak pernah merungut melayan kemahuan saya dari saya kecil sehingga sekarang yang sepatutnya sudah boleh berdikari.

Segala permintaan saya, abah pasti penuhi. Paling saya terkesan abah sanggup membelikan saya sebuah baby K demi saya mudah bergerak di dalam kampus di tahun tiga dan empat pengajian di universiti. Allahuakbar…Hingga begitu sekali kesanggupan seorang ayah pada anaknya! Terinspirasi dengan pemberian membakar semangat ini, pencapaian saya di setiap semester Alhamdulillah tidak pernah mengecewakan.

Untuk abah

Terima kasih
Atas kasih dan sayang
Atas didikan dan asuhan
Atas segala yang ditanam dan dituai
Demi membesarkan anakmu ini

Maafkan
Kasar bahasa
Tempang perilaku
Sayang tak terpamer
Kasih tak terzahir
Tapi doa sentiasa di sini
Di hati kecil seorang anak
Yang terlalu menyayangi ayahnya…

Tuhan
Ampuni dosanya
Berkati usianya
Terima amalannya
Kasihi dirinya

Menangislah...Tak semua isi hati boleh terluah dengan kata-kata. Moga ada yang mengerti akan rintik air mata yang gugur kali ini.
Abah...Setahun berlalu, tapi Dhiya masih belum menjadi yang terbaik di mata abah dan emak. Maafkan Dhiya!

p/s: Allah, peliharakan mereka!

(^^)

I miss this apple pie!


Nyummy!

p/s: Stop it, Dhiya!

Bertahanlah!

Lewat detik ini, terlalu banyak berita yang menggodak rasa jiwa. Semuanya saya lalui dengan diam, senyap dan tenang di luar. Tapi tak seorang pun tahu betapa ributnya isi di dalam. Puas sungguh menahan benteng air mata ini dari runtuh menitis laju. Namun kadangkala saya tewas juga di saat sebelum tidur...Di kala fikiran melayang jauh entah ke mana.

Jauh ini sangat menyakitkan. Kesukaran dan sepi sendiri di sini benar-benar menggamit kerinduan. Dalam payah saya merangkak. Dalam sukar saya terus mencari. Sedar akan inilah sunah orang orang berjuang, saya diamkan semua itu.

Terima kasih kawan-kawan dan semua yang ambil tahu dan kisah akan diri saya. Saya sangat mmerlukan doa dan semangat dari kalian semua. Banyak yang tertangguh, banyak yang terabai. Saya perlukan momentum dan semangat baru untuk bertindak.

Untuk keluarga yang jauh...Moga kalian dapat rasa apa yang saya rasakan kini. Biarlah berapa jarak yang menghalang sekali pun, cinta kasih dan sayang saya tak akan pernah surut dan berkurang.

p/s: Menangislah...

Balik Kampung (2)

Ini entri tertunda
2 Jun 2011, 10:00 pagi

Siri dua

Ini tidak termasuk langsung dalam rancangan kami. Pulang saja dari majlis Nurul, kami melencong dan menghala ke Jambatan Pulau Pinang. Surprise!

Tol Jambatan Pulau Pinang

Star Cruise

Makan-makan di Padang Kota

Terima kasih atas kejutan ini. Saya sangat menghargainya. Ini suatu pengalaman yang menarik!

Sampai di rumah nenek ketika azan Maghrib berkumandang. Kami bersiap-siap dan berangkat kembali ke Kota Mega tepat jam 8:30 malam. Trafik padat, almaklumlah. Cuti sekolah yang panjang. Ramai memilih untuk pulang ke kampung seperti kami juga.

Alhamdulillah, akhirnya kami sampai juga jam 2:30 pagi 30 Jun 2011. Penat.

p/s: Terima kasih nenek, Along sekeluarga, Nurul sekeluarga, dan yang memandu. Semoga Allah merahmati kalian!

Balik Kampung (1)

Ini entri tertunda
2 Jun 2011, 10:00 pagi

Siri Satu

Ini kisah seputar kepulangan saya ke kampung di Perak sempena pernikahan kawan baik saya, Nurul. Kami singgah bermalam di rumah nenek memandangkan rumah Nurul terletak berhampiran.

Kami tiba di rumah nenek jam 9:30 malam 28 Mei 2011. Penat. Sakit pinggang~ Terima kasih encik Google Map yang menjadi pembantu kami. Kalau tak, mungkin dah terlajak sampai Kuala Kedah. Ops~
Lebuhraya Utara Selatan- Arah Utara

Nenek jamu kami dengan makan malam yang sangat sedap. Huu! Bersembang-sembang dengan nenek, saya hanye terpejam lebih kurang pukul 2 pagi. Aduhai!

Bangun pagi-pagi, saya dah tak senang duduk. Pantai di belakang rumah perlu dilawati. Cinta dan rindu saya selalu terluah di situ.
Pemandangan sebelah kanan: Sawah padi yang menghijau

Pemandangan sebelah kiri: Lautan yang luas terbentang

Balik dari pantai, baru kami teringat yang kami belum membeli apa-apa hadiah untuk Nurul. Tanpa dirancang, kami terus ke Seberang Jaya, Pulau Pinang. Ekspress, kan? Inilah harga yang perlu dibayar jika hidup dengan orang ekspress juga. He (^^). Bertindak mesti mau pantas!

Sebaik pulang, kami terus bersiap-siap untuk ke rumah Nurul pula. Ini la tujuan utuma sebenarnya!
Nurul dan suami

Malangnya hanya 2 gambar ini yang saya ada. Nikon saya masih rosak. Ini pun ihsan dari BlackBerry. Nanti kita tunggu official photos dari Nurul ok?

Seperti biasa, saya masih gagal untuk tampil di blog ini.

Nantikan: Balik Kampung (2)

p/s: Saya suka!

Puan Dhiya?

"Bakal Puan Dhiya yg disayangi...aku balik dr KB ke Kuantan ari ni. Then Sabtu or Ahad grak balik KL..."

Itu antara isi SMS yang saya terima ketika dalam kelas tadi. Hu!
Puan Dhiya? Betul ke apa yang saya baca ni?!
Saya mengelamun sekejap. Entah apa yang pensyarah bebelkan di depan. Saya tak peduli.

Puan Dhiya?

Er...Bakal Puan Dhiya.

p/s: Kenapa kamu, Cik Dhiya?

Tempat Baru

Alhamdulillah. Tempat baru ini sangat indah lagi selesa. Saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan segala kemudahan dan suasana ini. Insya Allah dalam minggu ini, saya akan kembali sebagai Dhiya yang biasa. Yang gemar berkongsi ceritanya, yang sangat menyayangi blognya.

Ramai yang bertanya, samada melalui Facebook atau mesej peribadi bertanyakan lokasi dan aktiviti saya sekarang. Terima kasih atas rasa prihatin dan ambil berat itu. Saya amat menghargainya. Namun semua itu tidak sepenting doa dan doa serta doa yang tanpa henti untuk perjuangan saya. Itu amat saya dambakan.

Minggu baru ini, semuanya nampak baru, semuanya rasa penat. Banyak perkara yang perlu dikejarkan ke sana ke sini. Saya kepenatan bertarung dengan masa yang setajam pedang memotong orang lalai. Cuai sedetik, entah berapa banyak ilmu saya ketinggalan. Allah!

Insya Allah hujung minggu ini saya akan menulis lagi, atau bila-bila yang saya fikirkan lapang dan tenang. Janji.

p/s: 7:51 am. Dhiya, cepat bersiap!

Terkini

Satu
Sibuk mengemas. Perjalanan akan bermula petang atau malam ini. Antara teruja, seronok dan semangat, semuanya bercampur baur. Moga ini langkah terbaik untuk diri saya.

Dua
Cerita dan pengalaman saya di majlis besar Nurul masih tertunggak. Saya masih belum nampak ruang untuk bercerita. Kesibukan ini benar-benar menghimpit ruang santai saya. Mungkin...Mungkin dalam minggu ini atau minggu hadapan, apabila semuanya kembali tenang.

Tiga
Berita gembira ini mungkin sudah dikongsi dengan ramai rakan baik saya, malah mereka telah banyak membantu. Terima kasih yang utamanya untuk Izyan dan Aliff yang banyak membantu saya semasa berada di sana minggu lepas. Semuanya tak terbayar dengan nilaian wang ringgit. Hanya doa ikhlas semoga rezeki kalian terus dilimpahi berkat.

p/s: Tunggu nanti!

Baru Balik

Ini entri tertunda
1 Jun 2011, 9 pagi

Alhamdulillah. Tiba dengan selamatnya dari kota mega tepat jam 12 tengahari tadi, sempena meraikan hari bahagia Nurul.

Banyak yang mahu dikongsikan, banyak yang ingin diperkatakan. Sementara semuanya masih jelas dalam ingatan, baik menulis cepat-cepat! (Go Dhiya, Go!)

Bukan sekarang, tapi dalam masa terdekat. Saya masih mengaduh sakit pinggang penangan sebuah perjalanan yang panjang yang semestinya tidak mengecewakan.

Tunggu nanti!

p/s: Aduh!

...

Penat mengemas.

Tak tahu yang mana satu harus dibawa, yang mana perlu ditinggalkan.

"Kamu tak nak balik dah ke Dhiya?" Tanya yang di sana mengusik.

"Huh, ikutkan hati...Memang tak mahu balik." Nak berlama-lama di sana!

Esok saya akan memulakan perjalanan saya menjejak Nurul. Mungkin ini akan jadi entri terakhir sebelum saya akan kembali semula minggu hadapan.

Mohon doa semua agar perjalanan saya yang jauh ini mendapat perlindungan Allah, atas niat untuk meraikan walimah teman baik. Insya Allah.

Semoga ada gambar terbaik yang saya boleh kongsikan di sini kelak. Ok, bye!

Naik Pangkat

Lebat bersembang dengan Cik Nurul di Facebook. Esok lusa dia dah jadi Puan Nurul, saya dah tak berani ganggu~

Ini kisah orang nak naik pangkat la. Antara seronok, teruja, gemuruh dan macam-macam lagi. Oh, ingatkan senang nak naik pangkat. Rupanya susah juga, ya! Hikhikhik!
Nurul!

Saya sangat gembira untuk kamu! Tunggu kami tau!

p/s: Puan Dhiya? Er...bunyi sedap gak kan? Eh, ups!

Menghitung Hari

(^^)

Lewat beberapa hari ini, saya sangat teruja menanti tarikh itu. Iyalah...Semakin hampir, rasa semakin berdebar pula. Majlis mesti mau sempurna, pakaian mesti mau cantik...Lauk pauk cukup tak? Er...goody bag cukup tak? Em...Hantaran dah siap?

**************

Itu baru kawan baik sendiri punya majlis. Kalau saya punya sendiri...Ah, tak terbayang!

Benar, Nurul akan melangsungkan pernikahannya Ahad ini. Rasa sungguh tak percaya. Dia yang menjadi teman serumah saya di kota mega, dia yang selalu pinjamkan telinga mendengar cerita saya, dan dia jugalah yang selalu menolong saya ketika saya dalam kesusahan. Dalam tempoh kurang dari 3 hari lagi, dia akan dimiliki!

Apabila sendirian, saya cuba mengingat-ingat kembali memori manis kami bersama:

Siput Bab*
Nurul antara orang yang membuat pakatan hadiah harijadi siput bab* untuk ulangtahun kelahiran saya di asasi dulu.
Saya tak akan sekali-sekali melupakan momen itu. Ia yang menyebabkan kami berkawan hingga ke hari ini!

Spageti Urm...
Oh sedapnya saya makan spageti tu. Saya tak nak tahu resepi dan idea siapa. Tapi ia sangat sedap. Spageti tu dimasak sempena ulangtahun kelahiran salah seorang kawan kami: Wawa.
Itulah seronoknya persahabatan kami ketika itu. Kalau ada ulangtahun kelahiran sesiapa, kami takkan lupa. Dan pasti ada saja ideanya.
Nurul, berkat spageti tu, Wawa dah jadi doktor sekarang. Uh!

Memori Daun Pisang
Pernah kami berdua pulang dari kelas dalam keadaan hujan yang sangat lebat. Apalah kudrat payung yang kami ada tu untuk menghalang kami dari basah kuyup.
Ia hanya cukup untuk melindungi buku-buku dan kalkulator kami dari basah dan rosak. Tak apalah kami basah, asalkan buku dan alatan belajar kami yang lain selamat.
Tiba di kolej, kami memang basah kuyup. Seronok juga sekali-sekala bermain hujan. Entah kenapa saya sangat gembira ketika itu. Kami ambil keputusan untuk berdiri lama di depan bilik sambil membiarkan kami ditimpa hujan lebat di situ. Memang tak ada kerja!
Nurul, ingat tak lagi kenangan tu?

*******************

Itulan antara pengalaman saya dengan Nurul. Persahabatan yang sederhana, tapi kami sama-sama rasa akan kemanisannya. Kerana itu saya bersungguh-sungguh akan berusaha menjejakinya hingga ke utara.

Sepanjang berkawan, kami menemui banyak titik persamaan. Kerana itu saya serasi dengannya. Ada rahsia saya yang orang lain tak pernah tahu, tapi Nurul satu-satunya insan yang tahu dan mengerti. Itu yang membuatkan saya senang dengannya.

Kami pernah menangis berkongsi kisah bersama. Kisah keluarga, cinta, cita dan impian. Perjalanan hidup kami mungkin berbeza, tapi kami punya ikatan persahabat yang sama serasinya. Dia sangat berharga pada saya.
Anak bongsu seperti saya pernah mengimpikan Nurul sebagai kembar saya agar mudah untuk saya berkongsi apa saja.
Pernah saya terdetik:
"Kan seronok kalau aku dilahirkan kembar dengan Nurul?"

Majlisnya adalah kegembiraan saya. Maka saya tidak akan menulis sepanjang hujung minggu ini kerana berada di utara tanah air, menjejaki majlis pernikahan Nurul.

Nurul, tunggu kami!

p/s: Menangis.

Jauhkan Menipu!

Kisah benar ini terjadi malam semalam. Dan saya belajar sesuatu: JANGAN MENIPU

**********
Emak saya seorang guru mengaji. Kami adik beradik pun mengenal alif ba ta dari hujung lidah emak dan abah, Alhamdulillah. Kini Kakak dan Angah pun belajar dengan mak, di samping ada empat orang lagi cucu jiran emak. Seorang lelaki, dan tiga lagi perempuan bersepupu yang tinggal betul-betul bersebelahan rumah kami.

Setiap hari selepas Maghrib, televisyen memang 'diharamkan' untuk ditonton. Kakak dan Angah akan siap menunggu lagi empat orang kawannya untuk mengaji bersama.

Tidak seperti biasa, semalam hanya Kakak, Haziq dan anak murid emak yang lelaki itu yang datang. Tiga bersepupu itu tidak ada. Selesai mereka bertiga mengaji pun, yang bertiga itu masih tidak datang.

Tiba-tiba ibu kepada salah seorang yang tak hadir itu datang ke rumah:

"Mak Long (panggilan untuk emak), mengaji tak malam ni?" Bertanya si ibu.

"Eh, mengaji la. Macam biasa... kenapa ?" Jawab emak.

"Ipah (anak saudaranya) kata Tok Long (emak) suruh cuti malam ni" Dia berkata lagi

"Astaghfirullahal'azim... Tak ada pun Mak Long cakap kat deorang macamtu! Ni tak buka pun lagi tudung, baru lepas mengajar Kakak dan Haziq dan Uda" Emak membalas.

Dalam pada kalut-kalut itu, sepupu bertiga itu akhirnya 'ditolak' oleh ibu itu untuk mengaji juga, biarpun telah lambat. Hampir azan Isyak kalau tak silap saya. Selalunya, azan Isyak tandanya mereka sudah hampir siap atau sudah siap.

Selepas mengaji, saya lihat situasi itu. Emak memandang seorang demi seorang wajah kanak-kanak di depannya. Tak pernah rasanya emak berbuat begitu. Yang ditenung pula memang tak berani angkat kepala. Tahu diri bersalah agaknya.

"Siapa yang cakap Tok Long suruh cuti?" Baik mengaku

Diam. Tiada seorang pun antara mereka bertiga mengaku.
'Hu. Keras hati juga, ya!'
Saya yang memerhatikan dari jauh hanya berbisik dari dalam hati. Tak mahu masuk campur kerana kami dulu tak pernah berani berbuat begitu. Maka kami tidak tahu dan tidak boleh mengagak apa yang emak akan lakukan.

"Cakaplah. Siapa yang cakap Tok Long suruh cuti?" Emak mengulang soalannya.

"Ipah..." Kelihatan anak bernama Ipah itu sendiri mengaku akan silapnya.

"Kenapa buat macamtu?" Emak terus bertanya.

Dia tunduk dan terus berdiam diri.

"Kalau buat lagi, Tok Long bagitau kat ibu dan ummi kamu! Jangan menipu. Allah marah!"

Semua terus membeku dalam lipatan sila masing-masing. Terkejut agaknya.

Usai sesi itu, mereka bersiap-siap untuk pulang. Ngeri juga melihat emak marah. Iya lah, kami dulu malas macamana pun takut sangat nak bagitau yang malas nak ke sekolah agama petang atau mengaji. Takut!

Apabila mereka pulang, emak kuat-kuat berkata:
"Jauhkan menipu. Jangan sekali-sekali menipu di depan anak. Perkara itu boleh 'berjangkit'!"

Kami faham...

p/s: Tipu olok-olok

Mencari Momentum

Lama benar blog ini dibiar tak dijenguk.

Minggu ini terasa sangat kosong. Seminggu yang penuh tekanan dan emosi. Macam-macam yang bermain di dalam kepala. Antara kerjaya yang mendesak dan cita yang belum tercapai. Saya tertekan. Amat!

Orang sekeliling tanpa belas terus menghukum sedangkan ini juga bukan kehendak saya. Mereka tak faham apa yang terjadi. Penerimaan mereka sepatutnya bukan begini. Saya terkilan.

Tekanan ini tak terkongsi dengan sesiapa. Saya hanya 'syok sendiri' bermain dengan perasaan. Saya betul-betul kehilangan momentun.

Allah...

p/s: Apapun yang terjadi, berjalanlah tanpa henti...