Krabi : Tips & Tricks 4 hari 3 malam (2018)

Bismillah!
Dah dekat sebulan balik dari Krabi, baru terhegeh-hegeh nak cerita. Ni kalau tangguh-tangguh lagi ni, memang basilah jawabnya kenangan Krabi ni. 

*Amaran: Entri ini adalah entri yang agak panjang. Hanya yang betul-betul nak ke Krabi dalam tahun 2018 ni je yang sanggup baca. Tapi aku (kata ganti yang paling santai untuk entri ni) janji, entri ni akan memuatkan info yang berguna dan tak akan merepek meraban~


Pertama sekali bak aku nak cerita tentang tiket kapal terbang. Tiket ke Krabi ni kami dapat sewaktu Matta Fair bulan 9 2017. Nampak tak berapa lama kami dah rancang perjalanan ni semata-mata nak dapatkan best price. Nak tunggu online offer by AirAsia sampai hang website- Memang taklah! Aku ok je bayar caj pada service provider kat Matta Fair tu takat RM10 janji dapat tarikh yang aku nak, yet harga pun masih reliable~

Untuk pergi, kami hanya guna allocation 7kg beg setiap seorang. Waktu balik je kami beli extra 20kg atas nama suami. Konon-konon takut banyak membeli~

Jadi pada hari yang ditetapkan, kami pun bergerak ke KLIA2 dengan dihantar oleh adik ipar. Sebolehnya nak jimat. Sebab tu kami letak kereta di rumah mertua di Nilai dan minta tolong dia hantar. Kalau tak, jenuh juga nak membayar caj tempat letak kereta. 
Perjalanan sempena ulangtahun pertunangan ketiga. Bertunang pun kat celebrate ke, D? Haih ni la perempuan~
Hari Pertama

Penerbangan ke Krabi jam 5 petang. Perjalanan mengambil masa lebih kurang sejam setengah. Thailand ni pula sejam lambat dari waktu kita. Jadi waktu kami sampai tu sepatutnya 6.30 petang, tapi sebab undur 1 jam ke belakang, waktu sampai Krabi dalam 5.30 petang. Setengah jam je naik kapal terbang~ Hahahha!

Sampai je, terus ke kaunter untuk beli tiket shuttle van dari lapangan terbang ke Aonang pada harga 150 Bath terus ke hotel.
Shuttle provider ni sangat expert dan professional. Sebut je nama hotel, mereka akan pastikan kau sampai depan lobi. Lagi satu, van yang mereka guna untuk bawa pelancong ni bersih, kemas dan sangat VVIP. Bukan pakai Nissan Vennette cabuk tu eh~
Tiket. Tempoh menunggu tak lama pun. Konsepnya kalau dah penuh van tu dalam 10 orang, dia akan terus gerak. Perjalanan dari lapangan terbang ke Aonang mengambil masa lebih kurang 45 minit. Sampai je Aonang, pemandu akan hantar penumpang ikut hotel yang dah kita beritahu. Best kan?
Oh ya, dulu duit kita dengan duit mereka adalah setara. Maksudnya 100 Bath=RM10. Senang nak convert kan? Tapi sejak-sejak duit Malaysia dah jatuh ni, 100 Bath=RM12 lebih kurang. Jadi susah sikit dah nak convert. Tapi untuk menyenangkan cerita aku sepanjang penulisan ni, aku anggap kadar duit setara je la eh~

Sampai je hotel, dah dekat 6.30 petang, tapi hari dah agak gelap. Proses daftar masuk pun cepat dan mudah. Macam biasa, aku guna Booking.com. Kami menginap di Aonang Guest Home, landed homestay yang sangat tenang, tapi masih dekat dengan kawasan yang happening kat Aonang tu. Harga memang puas hati dengan apa yang kami dapat. 1000 Bath lebih kurang, dapat landed (tak payah daki tangga), suasana aman, takde bunyi bising motor dan kereta, luar dalam cantik, dan masih walking distance untuk ke pantai Aonang atau untuk membeli belah.
Aonang Guest Home, tempat penginapan kami
Bilik 102 kami. Bilik sebelah kiri kami tu orang Malaysia juga yang duduk, team TV AlHijrah yang datang satu van mungkin untuk buat penggambaran. Sebelah kanan tu pula pasangan dari German yang sangat peramah sampai aku nak sidai kain pun dia ajak menyembang~
ID bilik ni pula ala-ala rustic gitu. Nampak macam rumah tak siap sebab nampak simen tak rata dengan warna kelabu asap bercapuk-capuk. Tapi aku akuilah memang tema rustic tu ada cuma aku ni yang tak menghargai seni. Hhahaha! Bilik ni super lengkap dengan tuala dan mandian (yang ditukar setiap hari), minibar, pendingin hawa dan tilam yang selesa.

Masuk je bilik, letak beg,solat jamak dan terus keluar pergi cari makan malam. Aim makan malam tu adalah asal kenyang je sebab selebihnya teruja nak berjalan sambil mencari pakej pulau yang menarik. Kami makan dekat restoran depan Pantai Aonang tu je. Nama restoran tak ingat, tapi halal pastinya. Memandangkan dah ada di bumi Thailand, tak sah la kan kalau tak makan makanan Thai! Suami aku makan green curry dan aku makan nasi goreng seafood dengan sepinggan somtam. Somtam dia Ya Allah sedapnyaaaaaaa! Terbayang-bayang ni ha waktu aku menulis ni oi~Ha. Ambik kau!
Nah aku bagi close up biar tengok sampai mengences!
Nasi goreng seafood ni nampak biasa je kan? Seafood dia ada nun tertanam dalam nasi tu. Sedaplah la juga sebab kena dengan tekak aku.
Restoran ni dua tingkat. Kami minta nak duduk di bahagian atas sebab nak privacy. Sebab tu nampak macam kosong je. Dah nak habis makan tu baru ada satu kumpulan Mat Saleh datang mintak makan chicken chop (tak mencabar betul~)
Untuk restoran ni, harga aku boleh cakap agak mahal sikit, mungkin sebab kedai ni berada di tengah-tengah Aonang yang happening. Nasi goreng yang aku makan tu jatuh dalam anggaran RM belas-belas juga. Tapi aku tak kisah dah sebab malam tu kami penat dan lapar tapi tempat dia bersih siap view cantik. Win-win situation lah kan.

Lepas makan, kami jalan-jalan dengan misi mencari pakej pulau untuk aktiviti keesokan harinya.
Pemandangan biasa sepanjang jalan di Aonang.
Kaki lima kedai yang sangat meriah. Ni adalah contoh booth yang jual pakej island hopping. Mereka ni tak memaksa. Jadi kita boleh tengok pakej dan tanya apa-apa soalan tanpa rasa tertekan,
Akhirnya setelah survey 3-4 tempat, kami beli pakej 4 Island pada harga 800 Bath termasuk cukai taman negara dengan seorang ejen perempuan Muslim yang boleh bercakap Bahasa Melayu siap ada ijazah sarjana muda dari UPSI. Untuk pengetahuan, kat Aonang ni banyak je jual pakej-pakej island hopping di tepi-tepi jalan. Tinggal lagi survey dan carilah pakej yang bagi harga terbaik ok~ Kebanyakan mereka di sini juga boleh bercakap Bahasa Melayu jadi kau tak payah nak speaking berhabuk sangat. Mana-mana pakej pun, mereka akan ambil depan hotel pada waktu yang ditetapkan. Jadi kalau orang tu kata 8 pagi, silalah tepati waktu sebab apa yang aku tengok, mereka sangat sangat punctual. Jangan bawa sangat budaya Melayu tu ke negara orang ya~
Selain tu, kami dah mula beli souvenir sikit sikit dah. Saja la rembat apa yang dirasakan berkenan macam pouch comel-comel tu untuk bagi kat officemate. Baju T-shirt jangan beli kat sini. Ada tempat lain yang jauh lebih murah. Teruskan pembacaan kalau nak tau di mana.

Hari kedua

Macam aku cakap tadi, island hopping package yang kami bayar malam tadi tu termasuk hotel pick-up. Tunggu je depan hotel nanti ada orang berhenti depan foyer dan cari kita. Kita pun patutnya dah boleh agak. Selalunya dia akan minta resit untuk pengesahan dan seterusnya kita akan dibawa ke jeti untuk menaiki bot.
Pakej 4 Islands yang kami ambil ni menggunakan long tail boat, dalam 24 orang satu bot. Sebelum naik bot, tekong akan susun penumpang ikut hotel. Dia juga akan kenalkan diri dia sebab sepanjang trip tu, kita memang akan dengan dia je, ala-ala tourist guide. Paling penting, dia akan suruh kita ingat nombor bot demi keselamatan penumpang. Tekong kami nama Mahn. Osman katanya. Muslim, boleh cakap Melayu.
Lokasi: Pranang Cave/Island, Chicken Island, Tup Island.
Lawaaaaaa!
Chicken Island. Nah kepala ayam.
Makan tengahari di Poda Island. Nasi putih pakapau dengan air sejuk. Nikmatnya Ya Allah!
Basically Krabi ni selling point dia adalah island hopping. Kalau sampai-sampai dari lapangan terbang, kemudian duduk je kat pekan Aonang tu- Memang bosan dan rugi. Aku yang dalam pada takut-takut ni masih juga gagahkan diri sahut cabaran naik bot dan melompat dari satu pulau ke pulau untuk menikmati pemandangan indah ciptaan Allah di Krabi.

Aktiviti tamat jam 3 petang. Kami dihantar dekat simpang menuju ke hotel. Dalam perjalanan balik ke hotel tu, lalu Seven Eleven (yang memang jadi favourite aku dan suami) dan sempatlah beli aiskrim. Huhuhu!
Sampai je hotel- Rehat-rehat sekejap, solat jamak dan keluar berjalan lagi. Kemain, kan? Sebelum tu kami singgah lagi Seven Eleven dekat dengan hotel kami tu untuk minum petang istimewa: Pancake!
Kali ni kami pergi jauh sikit. Kami naik tuk-tuk terus ke kawasan masjid Aonang pada harga 120 Bath. Mahal la jugak sebenarnya. Tapi sebab nak cepat, pejam mata jelah. Lagi pun, harga barang untuk beli belah di kawasan masjid ni jauh lebih murah berbanding di pekan Aonang di mana kami menginap tu.

Sekitar masjid Aonang tu ada banyak juga gerai-gerai yang kebanyakannya orang Islam yang menyewa tapak masjid. Di sinilah korang boleh dapat barang-barang cenderamata pada harga yang lebih murah. T-shirt Krabi boleh dapat 100 Bath di kawasan masjid Aonang ni, compared to Pekan Aonang +- 200 Bath. Jauh beza kan? Kat sini juga, kalau beli banyak, boleh tawar menawar lagi. Huhuhu. Sourvenir pun boleh dapat 70 Bath (5 ketul pouch yang comel-comel tu atau keychain) compared to 100 Bath di pekan Aonang. Padahal benda yang sama je~ Mujurlah kami tak memborong sakan masa malam mula-mula sampai tu. Kalau tak, mesti terkilan teruk.
Makan malam: restoran Sarefah. Sedap, harga pun berbaloi. Pekerja mereka boleh cakap Melayu. Kedai makan ni tak jauh pun dari masjid Aonang. Dari masjid tu, jalan ke depan sikit sehingga ada selekoh. Restoran Sarefah berada betul-betul dekat selekoh tu.


Lepas makan, kami berjalan balik. Ya, kami jalan kaki saja sambil menikmati pemandangan yang happening. Mula-mula macam tak confident juga. 'Boleh ke aku ni balik jalan kaki ni~' Tapi percayalah. Dengan pemandangan yang menarik di malam hari, banyak kedai-kedai menarik untuk disinggah, memang kita tak sedar pun yang ehhhhh tiba-tiba dah sampai hotel!
Malam tu, kami lalu kaki lima sekitar Aonang lagi sambil mencari pakej Phi-Phi Island pula. Ini memang tak masuk dalam perancangan kami. Asalnya dah dapat naik bot sekali yang 4 Island tu, dah la kan. Rupanya suami aku ni tak puas lagi. Dia baca review orang kat blog katanya kalau dah sampai Krabi- Tapi kalau tak pergi Phi Phi Island, kerugian besar katanya. Aku pun anggukkan saja sebab sikit pun tak merugikan aku (malah menguntungkan sebab pakej ni dia yang belanja!) Hahahhahaha!

Best price yang kami dapat: 750 Bath, tak termasuk cukai taman negara. Phi Phi Island trip akan merangkumi lawatan ke 7 pulau. Fuhh. Bunyi macam menarik! Tapi takpe. Kita tunggu esok dan tengok macam mana~

Hari ketiga


Tunggu depan hotel untuk pickup ke jeti untuk pakej Phi Phi Island. Sampai ke jeti (kawasan pantai yang ada banyak bot dan kat situ memang tempat mula untuk semua island trip, tapi aku lupa apa nama pantai dan jeti tu~), kami akan dibahagikan mengikut hotel ke bot-bot tertentu. Kali ni naik speed boat 3 enjin sebab perjalanan agak lama dan perlu ke banyak tempat. Tapi fret not, bot yang disediakan oleh Photo Travel Agency (agensi yang kami guna ni) memang baru dan sangat bersih. Life jacket pun masih bau kedai. Blade kat enjin pun berkilat lagi, siap kena tutup dengan kain setiap kali penumpang nak turun naik. Takut kena orang agaknya~ Tekong (Tour guide kami seorang wanita tempatan bernama Om)
Destinasi: 7 pulau / tempat:
Maya Bay. Tempat penggambaran filem The Beach. Try Google ya~
Makan tengahari disediakan, makan macam raja! Lupa pulak nak ambil gambar kat tempat makan tu sebab lapar sangat. Tapi jangan bimbang, makanan memang halal, untuk market orang Islam. Kalau tak halal, bisnes deorang pun tak maju. Antara menu yang ada adalah nasi, ayam pakapao, fish fillet, spageti (untuk bukan Asian), buah-buahan yang infiniti, air sejuk, tea and coffee. Kat tempat makan ni kita akan diberi masa sejam sebelum menyambung perjalanan ke beberapa destinasi lagi yang belum selesai.

Dipendekkan cerita, ktiviti tamat jam 4 petang. Kami dihantar betul betul depan hotel dalam keadaan penat tapi seronok. Sampai je hotel, rehat-rehat sekejap, solat jamak dan bersiap untuk keluar berjalan lagi. Ya Allah memang tak sedar diri sungguh aku kat Krabi ni. Memandangkan malam ni adalah malam terakhir di sini, jadi penat letih sakit pinggang sakit kaki semua aku tolak tepi. 

Tapi sebelum keluar tu, kami sempat booking shuttle van untuk balik ke airport untuk keesokan harinya. Bayar 100 Bath je sebab dia bagi promotion sebab masa datang haritu dah guna servis deorang. Kira untunglah kan. Ok, bab nak balik ke airport esok dah selesai. Boleh keluar berjalan dengan senang hati.

Sekali lagi kami naik tuk-tuk ke kawasan masjid Aonang pada caj 100 Bath. Murah sikit dari semalam. Cesss~. Untuk makan malam, kami makan di  Bangboo halal restaurant. Since dinner malam terakhir sebelum balik, kami makan besar sikit lah. Nasi putih, tomyam putih, somtam, telur dadar, pulut mangga dan air. Harga standard macam makan menu Thai kat Malaysia je, aku boleh cakap. Cuma bezanya kat sini kau dapat makan ori citarasa orang Thailand. Rasanya setiap makan malam kat sini aku dengan suami ambik tomyam dan somtam. Hahahahah. Tak dinafikan, memang sedap~
Balik jalan kaki lagi sebab semalam dah berjaya buat. Jadi malam ni aku dengan yakinnya buat lagi. Penat apa semua habis lupa sebab kawasan jalan kaki tu sangat happening. Alah senang cakap, macam kau jalan-jalan cari baju raya kat Jalan TAR tu ha. Kan tak sedar. Tau-tau dah sampai hujung~
Antara gerai yang ada di sekitar masjid Aonang. Kat sini banyak peniaga Muslim dan boleh bercakap Bahasa Melayu. Ada satu kedai cenderamata tu, pekedai dia boleh cakap Kelantan sebab asal dari Pattani. Aku pun apa lagi, goreng teruk sampai hangit la untuk dapat diskaun lebih. Dia pun kagum aku boleh cakap Kelantan (padahal aku orang Selangor campur Pahang campur KL) Hahaahah!
Ini aiskrim gulung 80 Bath. Suami aku teringin. 
Pemandangan Masjid Aonang di waktu malam.
Dalam perjalanan balik tu, suami aku cakap teringin nak buat Thai massage. Kami pun sambil berjalan tu tengok-tengok la harga. Range pakej urutan Thai (ada banyak jenis urutan lagi sebenarnya) adalah pada harga 200 Bath / jam hingga 250 Bath / jam (lebih kurang RM 20 ke RM 25 sejam). Pada aku murah la, sebab di Malaysia urut macam ni boleh jatuh RM60  jam.  Kami singgah di Ally Massage ni sebab ni paling murah, paling dekat dengan hotel kami dan paling cerah (sebab ada je rupa macam rumah urut yang yang gelap lagi menyeramkan tu). Aku tanya pekerja di situ, Thai massage ni macam mana? Dia cakap Thai massage ni basically full body massage. Aku dengan dominannya, mewakili suami aku, aku cakap tolong bagi tukang urut lelaki untuk suami aku. Hahahahahha! (Sayang laki wehhh) Lepas tu pekerja tu anggukkan saja. Katanya memang selalunya tukang urut sama jantina. Dia bawa suami aku ke tingkat atas (oh susah hatinya aku) sedangkan aku tunggu kat bawah je. Itu pun sebab aku nak tumpang duduk sebab tak larat. Aku memang tak urut walaupun teringin sangat.  Lepas sejam, suami aku turun. Muka tak ada perasaan. Tapi sedap katanya~ Dia cakap Thai massage tu takde pun guna minyak atau  kena buka-buka baju segala. Pakai baju yang kat badan tu je. Tapi memang dia lipat kau habis stretch gila la. Meletup-letup habis sendi. Aku dengar pun macam sedap. Duduk kat pejabat hari-hari je, alangkah indahnya kalau dapat stretch macam tu~

Aku tengah menonton tukang urut ni mengurut dua orang makcik German. Tengok pun dah sedap~
Hari keempat.

Hari terakhir. Bangun pagi pun be lazy je. Dalam pada malas-malas tu, kami keluar juga berjalan sambil cari sarapan. Kami ke kawasan balai polis pelancong dan sarapan baguette telur dan beli pancake bungkus saja untuk dimakan di bilik nanti sambil mengemas beg.
Sarapan kat gerai ni je
Makan tepi jalan like nobody cares!
Lepas makan, kami sempat la jalan-jalan sekejap dan balik semula ke bilik. Duduk di bilik saja layan air-cond sambil mengemas beg. Sumbat punya sumbat, boleh taham juga berat beg kami. Mujurlah hala balik ni kami dah beli check-in luggage 20KG. Kalau tak memang tak lepas masuk kabin!

Pukul 12: daftar keluar. Tapi memandangkan van kami hanya akan sampai pada pukul 2, kami letak beg di receptionist dan jalan-jalan dulu.
Selamat tinggal rumah comel. Kalau dataang Krabi lagi, aku memang akan duduk sini lagi. 
Lepak lepak tepi pantai Aonang sambil makan aiskrim sambil layan angin tengahari yang kuat. Sambil buat konklusi atas rehlah kami suami isteri kali ini. Heh kami ni memang gila-gila tapi kami tahu macam mana nak belajar dan ambil ibrah atas segala apa yang kami lihat di sekeliling kami.
Orang Krabi ni hidup dengan meniaga barang dan servis. Semuanya bergantung kepada kedatangan pelancong. Kalau tengok yang bawa bot dan bawa tuk-tuk, nampak urat mereka yang timbul dan kulit mereka yang terbakar- Semata-mata nak cari duit untuk meneruskan kehidupan. Kita yang senang lenang, Allah bagi rezeki boleh jalan tengok tempat orang ni- Bersyukurlah. Lagi banyak berjalan tengok tempat orang, semoga lebih matang dan banyak belajar.
Pukul 2 petang: tunggu di foyer hotel balik untuk shuttle van pickup kami balik ke Krabi airport. Perjalanan mengambil masa 45 minit - 1 jam. Tapi van kami ni terpaksa berpatah balik hantar seorang pelancong China yang salah naik van. Dah separuh jalan baru dia sedar yang van kami tu nak ke lapangan terbang, sedangkan dia nak ke Hatyai naik bot. Aku bengang jugalah sebab macam mana kau boleh salah naik van ni. Kenapa tak bertanya. Tak pasal-pasal kita yang kejar kapal terbang ni delay sebab kena hantar dia balik ke hotel. Mujur kami dengan ada sepasang Mat Saleh ni tak rushing sangat. Masing-masing flight pukul 6 ke atas.
Terima kasih Aonang Guest Home!
Penerbangan balik jam 6 petang, sampai 8.30 malam (waktu Malaysia). Pukul 9.30 malam juga baru dapat keluar sebab menunggu bag yang lambat.

Tips and Tricks:

1. Buat tempahan tiket kapal terbang awal. Kami tempat flight ni masa Matta Fair September 2017. Terbang bulan Jan 2018. Kau ghaserrr?
2. Tempat hotel awal juga. Untuk tempahan terbaik, boleh guna booking.com. Setakat ni aku memag puas hati dengan booking.com ni. Buka Trivago, mesti booking.com tawarkan harga termurah.
3. Sediakan itinerary. Jangan masin sondol je aktiviti yang nak dibuat kat sana.
4. Jangan bawa baju banyak. Perkhidmatan dobi bersepah kat sana. Paling murah aku jumpa 25 Bath/ KG. Paling mahal 40 Bath/ KG untuk basuh dan keringkan. Kalau nak siap iron, nak ekspress, harga lain.
5. Allocate duit tu elok-elok. Jangan syiok sangat Tarik duit dari dalam dompet, tapi in the end kau tak tau apa yang kau spend.
6. Makanan halal mudah didapati.
7. Tandas: Kat sini susah nak nampak tandas awam. Aku rasa takde pun. Hahahha! Tapi kau boleh je tumpang-tumpang kedai makan punya tandas. To my surprise, tandas kat sini semua bersih-bersih kalau nak dibandingkan tandas awam di Kuala Lumpur. Malu tak? Malu okehhh~
8. Tepati waktu kalau ambil pakej island hopping. Kalau ejen tu cakap pukul 8 pagi, tolonglah ada kat situ tepat pada waktunya. Van yang ambil korang tu bukan ambil kau je. Deorang perlu ke beberapa hotel lagi untuk ambil orang lain juga. Kalau berhenti kat pulau-pulau pulak, kalau dia kata 45 minit je, 45 je lah. Adalah memalukan bila kau jadi orang terakhir yang naik bot dan semua orang dah tunggu kau 10 minit. Jangan buat malu Malaysia, please~
9. Jaga barang peribadi baik-baik. Orang kat sini ramai. Walaupun aku tak de nampak satu pengemis atau kes ragut pun di sini, tapi kau tetap kena jaga barang elok-elok. Beg duit, passport dan kunci hotel simpan kat tempat selamat.
10. Aku tak reveal kos sebenar perbelanjaan kami sebab semua tu kau kena customize ikut cara dan bajet kau. Tapi kami suami isteri banyak spend kat island hopping. Makan dan cenderamata tu tak sangat sebab makan tengahari dah inclusive dalam pakej island hopping. Makan malam je la pun kalau nak spend. Huhu! Yang penting, tak habis nye RM1000. 

That's my stories. Harapnya cerita aku ni memberi info kepada pembaca yang nak ke Krabi untuk tahun 2018 dan tahun mendatang. Reward yourselves and have fun! Kerja teruk-teruk, kumpul duit tak guna rugilah~ Huhuhu!

Kalau ada apa-apa yang korang nak tanya, tinggalkan je komen ok. Maafkan aku kalau ada apa-apa info yang tertinggal. Semoga bermanfaat!

Dhiya

Balik Kampung- Perak


Bismillah

Hujung Disember lepas, kami bawa mak dan abah balik ke kampong abah di Perak. Balik kali ni bukan balik saja-saja. Abah ada urusan berkenaan dengan tanah bendang peninggalan arwah tok. Tanah tu sekarang tak ada orang yang usahakan. Jadi rugilah. Orang lain dapat hasil padi, kita dok nganga je. Sebab tu abah balik untuk serahkan mandat kepada seseorang di situ untuk diusahakan.

Kami balik waktu Krismas. Jem memang tak payah cakap lah~ Sebab tu kami balik ikut jalan lama (jalan yang entah mana-mana suami saya bawa) dan akhirnya sampai juga di rumah kakak saya di Bukit Merah. Balik Perak ni macam ada auranya yang tersendiri tau. Suasana dia lain. Saya tak pernah bosan balik ke sini walaupun rumah kakak saya ni rumah taman. Dulu iyalah kami balik ke rumah tok. Tapi sejak tok meninggal, rumah tu didiami pakcik saya dan keluarganya dan kami hanya berziarah sekali sekala ke situ.
Saya tak ambil port sangat urusan abah dengan orang yang akan usahakan tanah bendang tu. Tapi kami enjoy berjalan merata dan tengok pemandangan sekeliling. Abang ipar saya ni suka sangat menjala ikan. Jadi sementara menunggu abah berbincang- Kami; mak, kakak, abang ipar, suami saya dan tiga anak saudara buat sesi menjala ikan sepat di depan tali air tu. 
Pertama kali tebar je dah dapat banyak ikan. Seronok jugalah tapi saya memang tak layan selut-selut ni. Saya biar mereka je yang buat. Hahahah (diva~)
Suami saya ni kan orang Johor. Dia macam tak pernah tengok sangat la budaya orang sini yang menjala ikan dalam tali air. Malah orang sana juga dikatakan tidak memakan ikan air tawar. Tapi bila mak saya tanya suami saya- Dia cakap dia makan je semua. Hah. Senang kerja nak bagi makan dia ni!
Sambil menunggu abah berbincang tu (punyalah lama~), kami sempat ke belakang rumah nenek saudara saya  ni (rumah nenek saudara saya dekat dengan rumah orang yang abah nak serah mandat tu) dan kami kait kelapa muda. Sempat jugalah melayan air kelapa muda berbiji-biji sampai puas secara percuma. Heyyyy kat KL mana nak dapat semua ni? Sebiji RM4, tahuuu?
Belakang rumah nenek saudara saya ni memang banyak pokok kelapa, ada hamparan sawah padi pula tu. Tanah arwah tok (yang sekarang jadi milik abah) yang nak diamanahkan kepada orang untuk diusahakan tu sebenarnya di belakang rumah nenek saudara saya ni lah.
Waktu kami pergi ni, memang tengah musim menuai. Jadi boleh la nampak mesin-mesin padi yang sedang bekerja menuai padi. Bendang yang telah dituai hasil padinya perlu dibakar (secara terkawal, bukan macam kat Negara lain) untuk kembalikan kesuburan tanah sebelum proses mengalirkan air semula untuk proses menanam musim berikutnya.
Membakar
Mesin padi yang sedang menuai padi. Apabila siap, padi-padi dari mesin ni akan dipindahkan ke lori untuk dibawa ke kilang.
Ha ni masing-masing seronok melayan sunset di belakang rumah nenek saudara saya tu lah. Rumah nenek saudara saya ni dekat dengan pantai yang dipanggil Ban Pecah dan sangat terkenal di kalangan penduduk tempatan dan orang luar. Tapi kami tak pergi pun sebab malas nak bersesak dengan mat-mat motor yang ramai di kawasan pantai tu.

Apa pun, kepulangan kami kali ni memang seronok. Doakan kami dapat terus berbakti kepada emak dan abah, bawa mereka ke mana saja mereka mahu pergi dan doakan juga kami direzekikan dengan kereta sedan sebab macam kesian je bawa mak abah naik kereta mini ni. Huhuhu!

Insya Allah. Nanti kita sambung cerita lagi, ya. Banyak ni~!

Dhiya
Dahlia

Holiday Homes At Samsuria Resort 2017


Bismillah

Alhamdulillah. Hajat kami untuk bawa mak dan abah dan dua orang anak saudara berjalan termakbul lagi tahun ini. Kami sekali lagi ke Samsuria Resort Cherating pertamanya sebab tempat ni dekat dengan rumah mak abah dan keduanya resort ini menyediakan rumah dan bukan bilik. Jadi sangat sesuai untuk angkut keluarga besar.

Kali ni unit kami di blok A. Secara spesifiknya A-2-10. Tanpa disangka-sangka, kami direzekikan dengan unit paling hujung dan paling dekat dengan pantai. Unit kami dapat ni memang 100% sea view. Alhamdulillah rezeki mak abah!

Sebaik masuk ke rumah tu, benda pertama yang saya buat mestilah ambil gambar. Kali ni rumah ni lebih besar sebab saya ambil yang dua bilik. Bilik utama untuk kami dan bilik satu lagi untuk mak abah~
Pemandangan dari rumah kami.
Kami sampai agak awal, tapi tak ada masalah. Boleh je daftar masuk walaupun awal. 
Apa yang saya suka dengan rumah ni adalah mereka menyediakan dapur dan kelengkapan yang sangat sempurna. Peti ais dua pintu (bukan minibar), sudip senduk, sudu, pisau, papan pemotong, teko, microwave, periuk, kuali dan pemanas air semuaaaaaa ada. Tinggal nak bawa ayam ikan sendiri je!
Ruang tamu yang sangat luas. Kalau ada keluarga tambahan, boleh bawa toto dan bergelimpanganlah kalian di sini. 
Bilik utama dia pun luas. Paling menarik, bilik ni menghadap laut dengan dinding kaca. Ya Rabbi memang romantik habis!

Bath tub pun menghadap laut. Hahahahahahha! Memang kalau dah masuk, lupa terus nak keluar. Bilik air dia pun luas dan siap letak sebotol besar bath cream dan syampu. Tapi pandai-pandai la berjimat ye. Sebotol besar 1 liter tu takkan la kita nak habiskan dalam masa 2 hari 1 malam.

Paling seronok mestilah kanak-kanak. Anak saudara saya yang berdua ni bukan main berkepak dalam kolam. Sampai biru terketar-ketar pun masih tak nak naik. Tapi rasanya saya lebih senang hati melihat mereka bermain di sini daripada di pantai sebab masa kami datang ni, musim hujan dan ombak sangat kuat. Jadi agak tak selamat kalau bermain di pantai.
Suka kau ehh~?
Sebelum Asar lagi kami semua dah naik sebab nakk bersiap-siap untuk makan malam di Ana Ikan Bakar Petai di Tanjung Lumpur. Ana Ikan Bakar Petai Tanjung Lumpur ni sama juga macam di Bangi. Kena datang awal dalam pukul 6 macam tu. Kalau lambat, pertamanya tak ada tempat letak kereta. Keduanya order kena menunggu lama. Silap-silap kau kenyang makan angin je~ Hhahahaha!
Makan malam di Ana Ikan Bakar Petai Tanjung Lumpur. Pari bakar seekor, ikan cencaru bakar seekor, sotong goreng tepung, tomyam semangkuk, kalian ikan masin, makan untuk +- 5 orang, lebih kurang RM150++. Pada saya ok lah. Tapi ada setengah orang cakap mahal. Mungkin mahal, tapi pada saya, saya ok sebab pilihan makanan banyak, servis cepat (kalau datang awal) dan tempat duduk pun selesa.

Balik dari makan malam, kami bersantai di resort saja. Buka tingkap sambil dengar bunyi ombak. Kebetulan malam tu hujan agak lebat, jadi sedap jugalah melayan hujan sambil tengok tv dan bermalas-malasan.
Malam tu masing-masing tidur lena. Maklumlah tidur hotel. Kami berdua pun dah lama sangat tak berjalan ke mana-mana.

Esoknya kami bersarapan di hotel saja. Mak ni memang forever mak. Pergi ke mana-mana, dia dah fikir nak makan apa selain makan di kedai. Jadi dia memang dah siap-siap bawa beras, periuk nasi, garam gula dan lain-lain bahan memasak. Kat dalam hotel tu pula memang dah disediakan set pinggan mangkuk yang lengkap. Jadinya sarapan kami pagi tu memang dah macam sarapan di rumah sendiri.  Almost perfect!
Nasi goring, roti telur, telur goreng, ikan masin, rendang ayam dan teh o panas!

Lepas sarapan, kami keluar berjalan-jalan di tepi pantai. Pantai ni terletak di belakang hotel saja. Jalan yang anda Nampak tu adalah jalan dari hotel ke pantai lah~ Pagi tu ramai yang buat aktiviti hari keluarga. Jadi agak bisinglah. Anak-anak saudara saya galak main ombak saja. Tu pun mak dah menjerit-jerit takut budak-budak tu ditelan ombak. Hahahhaha!
Pemandangan ke pantai dari bilik kami
Bila matahari dah naik, kami ke kolam renang pula. Lama juga kami di situ sebelum naik ke atas untuk mengemas dan daftar keluar. Budak-budak, kalau dah dapat kolam mandi, memang lupa diri walau dah biru dan terketar-ketar.

Masuk ke bilik, sempat lagi masing-masing mandi di bath tub pula. Ya Rabbi~
Akhirnya kami daftar keluar tepat jam 12 tengahari. Alhamdulillah A-2-10 adalah unit terbaik yang kami pernah dapat di sini. Sejurus keluar, kami pun singgah makan tengahari dan terussssss terlajak masuk Kemaman!
Untuk tempahan, anda boleh klik link ini dan terus buat tempahan pada harga istimewa. Sebenarnya saya tak ada rahsia apa sangat pun dalam mencari hotel terbaik untuk bercuti ni. Saya memang pengguna setia Booking.com. Kebanyakan hotel yang saya nak, ada dalam laman web ni. Kadang-kadang tertengok juga hotel atau tempat percutian yang viral dan teringin nak pergi, tapi tak ada dalam Booking.com. Takpe. Benda-benda viral ni kejap je. Saya selalu pujuk diri untuk pilih apa yang ada dalam Booking.com sebab dah tau servisnya macam mana.

Holiday Homes at Samsuria Resort Cherating ni ada banyak jenis rumah. Ada yang sebilik, ada yang dua dan tiga bilik. Ada juga studio- Semua ada dapur dan peti ais. Harga bermula dari RM220 untuk satu malam. Kawasan memang dekat dengan pantai yang tak ramai orang. Sesuai sangat untuk orang nak berbulan madu.

Alamat:
Jalan Sungai Ular Damai 1,Balok, Pahang, Malaysia Samsuria Beach Residence, 26080 Kampung Sungai Ular, Malaysia

Insya Allah ada banyak tempat lagi yang saya akan kongsikan nanti. Tunggu, ya!

Dhiya

Nasi Daun Pisang Devi's Corner, Bangsar (2017)


Bismillah

Dapartment kami baru bertukar struktur. Saya dapat bos baru. Insya Allah bos ini lebih friendly, lebih baik dan lebih bertimbang rasa. Menjelang Krismas haritu, dia ajak kami semua untuk makan-makan. Katanya kali ni kita keluar jauh sikit dari pejabat. Boring juga asyik makan di Nu Sentral je kan. Jadi dia kata; let's go to Bangsar South. (Hamboihhh kemain~)

Pada hari yang dijanjikan, kami pun bersiap-siap. Dari pejabat, kami tempah Grab 6 seats je. Senang. Perjalanan tak sampai 15 minit pun. Tapi tiba-tiba bos saya ni berubah fikiran dan ajak kami semua makan nasi daun pisang. Masing-masing pun kepala tintong (kami berlima, semua perempuan), dan ok kan je idea gila bos kami ni.
Kami terus minta abang Grab tu berhenti di kawasan nasi daun pisang, tak sampai pun ke Bangsar South Shopping Mall. Kahkahkah!

Sebenarnya di kawasan Bangsar ni ada beberapa tempat atau restoran nasi daun pisang. Saya pun baru tahu sebab mereka semua ni lah yang bagitahu. Maknanya mereka ni boleh tahan juga kuat makannya. 
Kami ke restoran Nasi Daun Pisang Devi's Corner. Masa tu orang dah mula ramai tapi memang dah nak jadi rezeki kami kut, kami dapat naik atas dan dapat meja yang sangat strategik. Sebaik duduk, pekerja dia terus bentangkan potongan daun pisang 5 helai. Besar wehhh. Ini nak makan ke nak buat kipas?
Untuk pengetahuan, di sini memang makan atas daun pisang, sepertimana namanya pun nasi daun pisang. Jangan minta-minta pinggan. Malu tahu!

Tak lama lepas tu, ada orang datang tanya nak minum apa. Ok minuman settled!
Lepas tu datang pula seorang kakak pekerja bawa bekas nasi. Dia akan tanya nak nasi putih atau nasi perang. Dan waktu ni jugalah korang kena alert and stop her kalau korang rasa nasi yang dia letak atas daun pisang tu terlampau banyak. Dia akan selalu ingat korang lapar punya bila datang sini. Saya memang minta nasi kurang dari separuh sebab pertamanya memang tak minat mamak sangat dan keduanya memang kurang kari lagi-lagi yang bergenang melimpah ruah ni. Tapi sebab nak meraikan colleague, saya ok je. Nasi beras perang will do :)
Kemudian, datang pula pekerja lain bawa satu bekas dengan 4 ruang yang mengandungi 4 jenis kuah yang berbeza. Antaranya ada kuah ikan, kambing dan dua lagi saya lupa. Masa ni korang bolehlah pilih nak kuah apa atau kalau nak semua, cakap je semua. Tapi dia punya siram atas nasi tu Ya Rabbiiiiii punyalah banyak. Jadi sekali lagi, bagitahu mereka kalau rasa dah cukup. Hahhaahhaha!
Nanti akan ada pekerja dia yang lain pula akan datang dan letakkan pelbagai jenis salad (timun). Untuk lauk-lauk lain, boleh minta dengan pelayan. Kami ambil ayam (dipotong kecil) dan sotong...Jadi lengkaplah sudah nasi daun pisang kami dengan kuah, lauk dan sayur.
Tengok tu daun pisang masing-masing. Saya punya memang saya minta jangan siram kuah atas nasi. Nanti tak boleh makan sebab saya tak suka banjir-banjir ni~
So it's time to makannnnnnnn!
Tiga menu sejemput yang kat sebelah atas nasi tu memang menu wajib. Dia akan letak tu dulu siap-siap. Saya tak pasti apa, tapi macam kuah dal, lobak putih dan nenas. Entahlah...tak makan sangat. Cuit-cuit macam tu je.
Pada saya menu dia biasa je. Macam makan kat mamak. Tapi yang buat ramai orang datang ni adalah sebab keunikan makan atas daun pisang tu. Bos saya cakap, dia pernah bawa kawannya dari Hong Kong makan di sini. Bukan main seronok lagi sebab tak pernah tengok dan rasa macam mana makan atas daun pisang tu. Hhahahahah!
And I personally agree that this place is good kalau nak makan ramai-ramai dengan kawan sepejabat. Memang akan meriah dan happening walaupun nak dapat tempat tu mungkin susah sikit.

Harga pun taklah mahal mana. Bila tengok balik bil yang bos saya bayar, satu orang punya makan boleh jatuh lebih kurang RM10, bergantung kepada lauk. Kalau kau dah mentekadarah kambing sampai lupa diri, jangan la nak cakap RM10 pulak kan~

Jadi all in all, tempat ni best. Ada pendingin hawa, tempat cozy dan tak formal pun. Tapi kalau bos formal, kena formal lah~ Saya? Pakai tangan je. Hewhewhew~!

Daun Pisang, 
Dhiya

Siakap Stim Limau Sedap


Bismillah

Dua hari lepas kami makan di sebuah kedai makanan Thai dekat dengan rumah. Kedai ni  terletak dalam AEON Big Subang Jaya. Menu wajib kalau  ke sini mestilah siakap stim limau dia yang meletop sedap tu. Cashier dia pun dah kenal muka kami berdua yang tak pernah order makanan lain.

Tapi dah namanya pun makan di kedai, banyak benda yang limited. Ikan kecil lah, kuah sikitlah (padahal boleh tambah kuah percuma), nasi sikit lah, takde telur dadar lah dan pelbagai lagi komen yang mengada-ngada.
In the end, suami saya kata- Jomlah buat sendiri~! Mungkin sebab dia pun rasa benda yang sama dan percaya buat sendiri lebih puas hati.
Macam biasa, kalau dah namanya suami yang memasak, saya akan serah 100% dapur kepada dia. Saya cuma masakkan nasi je.
Setelah beberapa ketika, siakap stim limau hasil tangan suami saya pun siap. Rasanya nak memasak ikan ni lagi lama dari tempoh makan. Sedar-sedar dah tinggal kepala dan tulang. Hahahhaha!. Bang, maafkan binimu ini yang kuat makan tapi malas nak memasak~

Resepi tak disertakan sebab saya tak masuk ke dapur menolong. Insya Allah nanti saya akan update resepi di sini kalau dah habis berguru dengan encik chef.

Babai!

Rendang Minang (Apabila suami ada lebih Vitamin R)


Bismillah

Lately saya memang kurang memasak. Janganlah tanya kenapa. Tapi yang pasti saya dianugerahkan suami yang walaupun sibuk, tapi dia rajin dan pandai memasak, lebih lebih lagi kalau terlebih vitamin R (R=rajin). 

Baru-baru ni dia tengok peti ais macam penuh dan sempurna je keperluan di dalamnya. Jadi idea dia pun bercambah-cambah macam taugeh. Dalam banyak-banyak makanan, dia sebut nak masak rendang minang. Jadinya kerja saya adalah masak nasi putih sajalah.

Suami saya ni sejenis yang kalau dia memasak, jangan kacau dia di dapur. Saya ni pulak kalau tengok dia memasak, asyik tak kena je cara dia. Jadi saya prefer mengemas rumah atau mendobi dan tak ganggu kerja masing-masing. Hahahha! Dia ni sebenarnya boleh je diharap buat dari awal sampai siap. Nanti saya akan masuk ke dapur untuk tolong menghidang saja. Cumalah biasalah, cara kita dengan dia berbeza, nanti bergaduh je kerjanya kat dapur~
Sejam dua berpung-pang di dapur, saya lantakkan je. Janji lauknya siap dan dapur saya dikemas balik. Maka jadilah lauk rendang minang hasil air tangan suami saya. Lauk lain tak ada pun. Makan je dengan nasi panas dan air lemon pudina. Alhamdulillah kenyang.

Resepi? Resepi ni bukan reka-reka. Kami pun rujuk kepada blog orang lain. Jadi kalau teringin nak masak rendang minang macam suami saya masak ni, anda boleh tengok resepi dan caranya di sini. Kami pun bukan chef hebat. Masih belajar-belajar.

*Sekarang tengah aktif buat projek susun stok dalam peti ais. Doakan kami ya. Nanti kalau menjadi, kami akan kongsikan bagaimana kami lakukannya dan apa tipsnya. Semoga istiqamah dan bersemangat untuk memasak dari dapur sendiri dan juga dari hati.

Selamat mencuba!
Dhiya

Tahun 2018


Bismillah

Alhamdulillah tahun baru sudah membuka tirai. Terasa bersemangat dan lebih bertenaga untuk semua perkara, termasuklah peribadi dan kerjaya.

Maaf juga sebab menuju ke hujung tahun, saya tidak menulis langsung atas banyak sebab yang pelbagai. Tak gwiyomi langsung sebab tak konsisten menulis padahal bercita-cita nak jadi blogger famous. (muntah~)

Insya Allah untuk tahun baru ni, saya berazam untuk menulis dengan lebih aktif, berkongsi dengan pembaca tentang banyak perkara dan yang paling penting konsisten dalam hobi yang satu ini.

2017 telah saya tinggalkan dengan banyak perkara yang mematangkan. All the ups and downs really make me a better person. Dan semua yang mendatang, saya ambil semuanya secara positif (walaupun pada mulanya sukar) kerana dah terbukti, positive vibes always give positive results.

Untuk tahun baru 2018 ini, ada saaaaaaaaaangat banyak cerita best yang saya nak kongsikan. Doakan saya ada masa je untuk semua ni. Selebihnya Insya Allah ok.

So welcome 2018. Bersemangatlah!

Dhiya