Travelog Dhiya: Bercuti ke Cameron Highland (September 2016)


Bismillah

Ini adalah cerita percutian 3 hari 2 malam kami di Cameron Highland bersempena cuti Aidiladha yang lepas.
"Teruk gila korang ni tak balik raya~!"
"Tak pernah dibuat orang, raya pergi melancong!"
"Takpe ke tak balik raya?"

Ada je yang bertanya macam tu. Ah mulut manusia mana boleh tutup macam mulut belanga. Biarkan saja mereka. Yang pasti mereka semua ok. Cuti Aidiladha pun kan cuma sehari. Ke Selatan mahupun ke Timur, pasti trafik sesak. Jadi kami ke Utara sajalah. Adil dan saksama. Tak balik kampong mana-mana. Semua ok :)

Hari pertama

Kami bergerak dari Kuala Lumpur seawal jam 8 pagi, Sabtu 10 September 2016. Sampai saja di Sungai Buloh, kami baru sedar yang semua orang sedang berebut untuk pulang ke kampong arah Utara. Jadi suami saya pun off trail dan guna jalan tikus yang entah ke mana-mana juga arahnya. Sedar-sedar kami sudah melepasi Bukit Tagar, lepas sikit je dari kesesakan tu.

Perjalanan kami lancar, cuma banyak kereta sebab semua orang nak balik kampung dan kau sorang je tak balik kampung. Asalnya kami nak naik ke Cameron Highland ikut Simpang Pulai, tapi disebabkan pergerakan kereta yang agak perlahan, kami masuk je ikut Exit Tapah dan bersedia dengan jalannya yang bengkang bengkok itu.
Saya secara peribadi lebih suka naik ke Cameron Highland ikut jalan Tapah ni sebab laluan dia macam teduh dan sejuk sikit. Lagipun banyak jualan hasil hutan oleh orang asli di tepi-tepi jalan untuk saya menjamu mata. Tapi itu pendapat saya sebagai seorang penumpang lah. Saya tak rasa pemandu kereta suka ikut jalan ni sebab jalannya macam ular kena palu~
Ewah-ewah..Kau duduk sebelah seronoklah. Cuba drive dari bawah naik ke puncak Cameronnnnn~!
Exit Tapah ke Cameron Highland
Rasanya pemanduan kami mengambil masa hampir 2 jam juga dari Tapah ke Cameron sebab banyak kereta. Kadang-kadang terberhenti, kadang-kadang merangkak perlahan. Rancangan asal kami untuk cuba-cuba daftar masuk awal tak kesampaian apabila kami sampai tepat jam 3 petang, sedang elok untuk daftar masuk.
Hotel kami, Copthorne dari jalan depan Kea Farm.
Saya book hotel melalui Booking.com. Saya sudah selesa dengan Booking.com sejak saya di Korea lagi. Dah banyak hotel yang saya tempah melalui website ini dan setakat ini Alhamdulillah sangat ok. Saya tak pasti dengan website lain. Kadang-kadang tengok keselesaan individu juga. Bagi saya, Booking.com adalah paling best!
Saya tempah sebulan awal dari tarikh daftar masuk sebab saya dah tahu waktu itu akan jadi waktu puncak musim perayaan berserta dengan cuti sekolah. Itu pun saya dah tak dapat katil queen, terpaksalah pilih saja single bed sebab later on boleh minta mereka gabungkan katil tu.

Saya bayar deposit 50% dan call reservation almost 4-5 kali untuk follow up memandangkan saya ini agak cerewet. Lagipun saya nak yang terbaik untuk percutian saya. Syukurlah front desk mereka sangat membantu dan sabar dengan saya.

Sebaik sampai, saya bayar lagi 50% baki bayaran dengan deposit RM100. Saya cakap pada receptionist tu:
"Boleh tak saya nak request top level dan view bukit? I saw there's a construction outside your area so I don't want the construction view"
Berdebar juga sebenarnya. Dahla call mereka banyak-banyak kali, kemudian dah sampai banyak demand pulaaaaaak.
Sebaik masuk 1103, kami bersyukur sangat sebab bilik kami antara yang paling atas dan hujung serta  menghadap pemandangan bukit bukau yang indah dengan angin yang segar.
Aras 11. Hotel ini ada 13 aras kesemuanya.
Single bed. Call room service banyak kali, tunggu punyalah lama tapi tak sampai-sampai juga. Kalau katil ni tak berat, memang dah lama kami buat sendiri. Akhirnya datanglah seorang pekerja dan tolak ke tepi katil tu untuk dirapatkan. Katanya waktu tu banyak request sebab tu mereka tak menang tangan sikit.
Pemandangan dari bilik kami
Bilik kami terletak di sayap sebelah kanan. Pemandangan pula boleh dikatakan dapat wide view yang nampak luas dan puas. Terasa sangat berbaloi dengan harga yang dibayar! 
Oh ya, bilik di Copthorne tidak mempunyai penghawa dingin. Hanya kipas saja sebab angin di luar pun sudah cukup untuk beri anda suhu macam penghawa dingin bagi.
Bumbung putih sebelah kanan tu adalah ladang unjuran dari Kea Farm
Mimpi ngeri saya adalah tandas mereka. Walaupun cantik, bersih dan selesa, tapi mangkuk tandas Copthorne tiada paip hos! Grrr!
Satu lagi kelemahan Copthorne adalah seterika dan papan menggosok tidak disediakan dalam bilik. Kita perlu ke ironing bay di luar bilik hotel, berhampiran dengan lif untuk menggosok tudung. Saya memang tak setuju lah bab ini. Sangat tak convenient. Saya call room service dan minta mereka hantarkan ironing set untuk saya. Kata mereka ironing set tak available dan minta saya iron di luar. Saya insist minta mereka hantarkan satu set dan mereka kata akan ambil balik selepas 30 minit. Last-last...dah nak daftar keluar pun mereka tak ambil balik ironing set tu. Hahahahha~!

Review kemudahan bilik sudah selesai. Sebaik katil kami digabungkan, kami pun keluarlah ke destinasi pertama. Memandangkan masa tu dah pukul 5 lebih, kami sempat tengok kaktus sahaja. Banyak kedai dan ladang ditutup pada pukul 6 petang.
My favorite angle. Saya suka betul dengan kaktus ni. Bunga dia cantik warna warni.
Jadi kami terus saja ke Pasar Malam Brinchang untuk membeli makan malam ala kadar. 
Pemandangan sekitar pasar malam. Macam biasa, jalan sesak sebab orang ramai meletak kereta di tepi jalan.
Kami jumpa nasi lemak sambal strawberi yang sangat rare saya kira. Sebungkus RM3, mahal juga sebenarnya. Tapi bila balik ke bilik- Rasa- Sedaplah pulakkkkk~! Sudahnya berebutlah kami berdua!
Nasi lemak sambal strawberi. Kat Cameron ni sambal strawberi yang terkenal adalah Abang Sambal Strawberi. 1 botol jem kecil tu RM 17 ke 18. Agak mahal sebenarnya. Tapi kalau takat nak rasa, beli jelah nasi lemak sambal strawberi macam ni.
Kami juga beli sayur-sayuran yang dipaket kecil pada harga RM10 untuk 10 bungkus. Saya ambil sayur yang boleh dibuat salad sebab kami memang sudah bawa Kewpie Sesame untuk dibuat seasoning. Nampak tak persediaan nak ke Cameron tu macam manaaaa~? Semua kami bawa :)
Tak ada seasoning untuk salad? Tak ada roti? Tak ada baked bean? Datanglah ke Pasaraya Jimat dekat Brinchang ni. Dah mana Giant rupanya. Semua barang ada. Harga pun macam harga Aeon Big je.
Duit pulak habis dalam dompet? Kat Brinchang ni susah sikit nak cari bank sebab kebanyakan bank terletak di Tanah Rata. Ada Public Bank dekat dengan Rosa Passadena Hotel ni kalau dah terdesak sangat. Pasrahkan sajalah caj RM1.06.
Salad untuk makan malam
Setelah dicampurkan dengan Kewpie Sesame dan bersedia untuk dimakan!
Pencuci mulut: Strawberi 2 paket besar RM15 saja. Makanlah sampai kau sendiri jadi strawberi.
Malam itu selepas makan malam, kami hanya di bilik saja. Tiba-tiba seronok pula menonton Astro. Nak keluar waima ke bawah pun jadi malas sebab sejuk.

Hari pertama berakhir. 80% je itinerari perjalanan kami terlaksana. Ada beberapa tempat yang kami tak sempat pergi dan terpaksa dibawa ke hari berikutnya sebab kelewatan kami sampai ke Cameron Highland.

Hari kedua

Rise and shine!


Hari kedua kami bangun seawal 6 pagi semata-mata sebab nak buka tingkap dan tengok suasana dan rasa angin pagi Cameron Highland. Gigih kan? Kami berdua sangat teruja sebab ini kali pertama kami ke sini berdua. Tempat pula strategik lagi romantik. Haruslah gigih bersemangat nak teroka tempat orang!

Silakan enjoy gambar-gambar matahari terbit dari tingkap bilik hotel kami:

Tengoklah. Gambar pemandangan matahari terbit saja sudah banyak. Itu belum matahari terbenam hari pertama, kedua dan seterusnya. Berattttt~!

Masa untuk sarapan!

Masa dekat Pasaraya Jimat semalam tu, suami saya beli daging burger ni. Roti dah ada, sayur dah ada. Jadi inilah kejadiannya:
Sarapan kami. Lupa nak beritahu yang kami memang ada multi cooker yang memang kami bawa kalau daftar masuk ke mana-mana hotel. Sekurang-kurangnya kalau tak ada sarapan, kami boleh buat roti telur sendiri.
Destinasi pertama di hari kedua kami adalah Ladang Teh Bharat! Terkejut saya apabila sudah ada palang dan seorang penjaga menunggu di tepi palang tersebut. Katanya sekarang Ladang The Bharat sudah kenakan caj RM2 untuk setiap dewasa. Tapi sebab pemandangan cantik, tempat letak kereta pun sempurna, tandas pun ok, kami bayar sajalah dan bergambarlah kami dengan sakannya. Mungkin sebab berbayar, jadi tak ramai orang. Bila tak ramai orang, gambar kami jadi cantik~! Ada satu lagi ladang teh.
Perjalanan kami ke ladang teh Bharat
Pintu masuk Cameron Valley Bharat
Sebenarnya ada satu lagi stesen ladang teh yang sama di tepi jalan tapi di situ lebih kepada untuk minum teh. Nak turun ke ladang teh tu boleh, tapi macam bahaya sikit sebab ramai orang meletakkan kenderaan di tepi jalan dan tangga untuk turun ke bawah tu pula agak curam sedikit.
Pemandangan lading teh. Kami orang pertama yang masuk ke sini, sekitar jam 8 pagi :)
Daun teh pun segar dengan embun lagi :)
Di bawah sana tu ada taman cantik siap ada air terjun lagi. Kami tak turun ke sana pun sebab mengenangkan nak naik balik ke atas tu nanti mesti penuh drama.
Sebaik naik ke atas semula, kami masuk ke kedai cenderamata di situ. Kebanyakannya jual teh produk merekalah. Ada juga cawan teh. teko teh dan apa-apa sajalah yang berkaitan dengan teh. Harga tak banyak beza sangat dengan jualan di luar. Tapi selepas dibandingkan, sebenarnya beli di sini lebih murah kalau nak dibandingkan dengan harga di pasar malam.
Teh produk Cameron Vallye sendiri. Sekotak dalam RM10 macam tu. Kat Pasar Malam Brinchang banyak jual pakej 3 kotak RM27. Tapi perlu ke beli banyak-banyak? Tepuk dada Tanya keperluan atau kehendak.
Kami sempat bersantai sekejap di beranda kedai teh di situ. Ambil gambar je. Nak minum teh, mahal la pula~
Pemandangan dari beranda kedai teh Cameron Valley
Destinasi seterusnya adalah MARDI Cameron Highland

Bayaran masuk: RM3 seorang.
Orang kata MARDI ni macam tak ada apa-apa sangat. Tapi sesiapa yang appreciate photography, di sinilah tempat yang paling baik untuk test power.
Jalan dari pintu masuk. Kebetulan kami dating tu, ada gerai-gerai jualan produk MARDI.
Jalan kat MARDI ni boleh relaks dan tak berkejar apa sangat. Kawasannya luas. Ada taman bunga, ada kebun herba dan macam-macam lagi. Yang paling saya suka, ais krim strawberry di MARDI ini paling murah kalau nak dibandingkan dengan jualan di luar. Saya sudah survey~
Putik anggur
Edible garden yang penuh dengan sayur-sayur sihat. Bukan kejadian sayur ni je yang sihat, yang makan pun boleh sihat. Teruslah berangan nanti bila dah ada rumah sendiri, nak berkebun macam nilah. Suami di sebelah pandang sinis je. Heh~!
Dalam pukul 11 macamtu, kami dah mula lapar. Jadi kami beli ayam goreng yang dijual di gerai MARDI tu. Saya keluar ke kereta sekejap untuk ambil Maggi goreng yang sempat saya sediakan pagi tadi di bilik hotel. Jimat belanja makan tengahari :)
Destinasi seterusnya:

Big Red Strawberry dan Cactus Valley

Masuk percuma.
Kedua-dua tempat ini terletak saling berdekatan antara satu sama lain. Sebab itulah saya cadangkan pergilah kedua duanya :)
Di Big Red Strawberry ini kita boleh lihat sayur-sayuran ditanam dan dituai serta dijual terus dan segar.
Di atas Big Red Strawberry tu ada café dan bolehlah jamu perut sambil  jamu mata. Sebelah café tu juga ada satu lorong menaik sedikit menghala ke taman bunga yang sangat cantik. Kebetulan tak ramai orang di situ mungkin kerana ramai yang tak sedar kewujudan lorong tu, jadi dapatlah kami ambil gambar cantik-cantik di situ!
Di sini juga boleh petik sendiri strawberi tapi maaf kami tak minat. Bak  kata suami saya:
"Buat apa kita susah-susah nak petik? Biarlah pekerja dia yang petik."
Cactus Valley. Tak berapa banyak gambar sebab tempatnya as expected; ada kaktus saja dan adalah bunga-bunga.
Selesai satu destinasi. Rancangan kami asalnya nak balik ke hotel dan berehat sekejap. Dalam perjalanan balik tu, boleh pula teringin durian dan makanlah kami sebiji durian batu berharga RM55 sebiji. Tapi mujur puas hati. Nikmat sungguh dapat makan durian dalam suasana sejuk angina bertiup segar tu.
Nampak je tak kuning.Tapi isi padat dan sedap!
Gerai durian yang kami singgah tu terletak betul-betul di depan Pasar Malam Brinchang
Dalam perjalanan balik, kami terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Toleh ke kanan, kami nampak Muzium Time Tunnel. Sepatutnya muzium ni kami akan singgah esok selepas daftar keluar, tapi memandangkan dalam keadaan begitu, kami batalkan saja niat kami untuk balik ke hotel dan kami terus menuju ke muzium tu. 

Destinasi seterusnya: Muzium Time Tunnel
Caj masuk: RM6 seorang

Siapa yang lahir dalam range 1970-an ke 80-an, silalah masuk ke muzium ni. Sangat menggamit memori!
Saya teringat balik momen zaman kanak-kanak saya sewaktu di kampong Perak dengan arwah Tok dan zaman kanak-kanak saya dengan mak dan abah.
Mak dan Tok ada cermin bulat tu. Sampai sekarang pun masih ada.
Tin Milo!
ABM matematik. Tapi zaman saya sekolah rendah dulu, tak ada pula papan ni. Mesti zaman kakak saya dulu ada ni. Nanti saya tanya dia.
Ini memang sangat lagenda! Kartun kertas tang kita boleh tukar-tukar baju tu.
Dulu-dulu mana ada telefon pintar. Mak saya buat saya pintar dengan mainan macam ni saja. Mudah, tapi otak kau jalan. Alhamdulillah jadi manusia sekarang~
Saya ada piano ni. Sama sangat! Abah yang belikan dan abah pandai buat lagu guna piano mini ini. Ya Allah rindunya!
Kuda kayu ni ada di rumah Tok. Saya selalu berebut dengan sepupu.
Malaysia pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998. Masa itu saya masih di sekolah rendah tapi sangat bangga tengok keupayaan Malaysia. Tiap-tiap hari akan duduk depan tv tengok acara sukan.
Koleksi mug korporat
Saya pernah hidup dalam zaman TV ini.
Air botol kedai simpang.
Hezeline Snow ni masih ada kat pasaran tak? Saya ingat dulu masa mak dan abah nak berangkat menunaikan haji, saya darjah 2. Saya Nampak mak letak krim ni dalam beg dia.
Memori sungguh semua ni!
Saya tanya suami saya:"Abang minum ke semua susu ni? D dulu mak abah susah. Tak minum susu mahal. D minum susu pekat je". Dia pandang saya sambil kerut dahi. "Abang pun dulu susah, minum susu murah. Anak D esok lainla..Hidup senang~" Ehhhhhhhhh
Dulu kedai Cik Nor ada jual susu ni. Saya pernah minta mak belikan susu ni. Kesian mak. Sobsss
Saya baru tahu yang DARLIE sekarang, dulunya adalah DARKIE
Saya ada tabung ayam tu!
Saya ada tabung Bank Rakyat tu juga!
Lesung batu pelbagai saiz
Kerusi gunting rambut. Dulu selalu ikut abah gunting rambut tapi saya takut tengok kerusi ni sebab macam kerusi elektrik yang bunuh orang tu.
Memori dapur tok
Susu cap junjung, anyone?
Rumah asal kami di Pahang guna suis macam ni. Saya selalu buat-buat lupa tutup suis lampu sebab takut nak tolak punat hitam tu sebab kadang-kadang macam keluar api. Hahahahh! 
Memori sangat. Dulu pernah merasa tidur dengan lampu ni.
Tengok harga teh dulu-dulu. Tengok pula harga kopi sekarang. Harga Starbuck tu sama dengan bercawan-cawan teh 20 tahun dulu.
Ini paling paling paling menggamit memori. Say ada anak patung tu dan mak pernah jahitkan baju untuk anak patung tu. I love you mak!
Balik hotel. Berehat tak sampai sejam dan kami bersiap-siap untuk makan malam ulangtahun perkahwinan kami kononnya. Hahahah!
Kami memilih untuk menikmati steambot di Restoran Glory 78. Kami keluar sebaik selepas Maghrib dan sempatlah bermain-main sekejap di lobi dan halaman hotel.
Restoran steamboat ini tak perlu buat tempahan awal. Boleh pergi terus saja melainkan datang satu bas, kenalah buat tempahan ya. Saya sudah tanya pekerjanya.
Harga sudah naik. RM26 seorang, minimum 2 orang. Jadi kena bayar RM52 untuk satu set stembot tersebut. Tak boleh ambil satu orang saja sebab minimum dua orang tu maknanya 1 pinggan diisi dengan sayur dan 1 pinggan lagi diisi dengan ayam ikan udang segala. Kalau minta satu je, kemungkinan besar kau makan steambot sayur saja tu ada~
Pandangan luar restoran steamboat. Kalau dari Copthorne menghala ke Tanah Rata, restoran ini terletak di sebelah kiri jalan.
Suasana di dalam restoran. Kami sampai seawal jam 8 malam. Memang belum ramai orang lagi. Tak lama lepas tu memang terasa restoran agak penuh walaupun malam itua dalah malam raya!
Steambot kami! Dengar macam tak cukup. Saya siap cakap pada pelayan tu, "Takpelah. kita minta steamboat dulu. Kalau tak cukup nanti saya minta menu lain pula" Sekali yang sampai macam ni. Makan berdua. Jenuh merangkak naik bilik hotel!
Pinggan 1: Lauk pauk
Pinggan 2: Sayur-sayuran. Sebab tu mereka syaratkan minimum 2 order sebab ada dua hidangan yang berlainan.
Kuah tomyam. Ya Allah sedapnya
Sebenarnya lama juga kami makan di restoran tu sebab bukan mudah nak habiskan steambot yang banyak tu. Tak mengalah, lepas kami makan kami ke Pasar Malam Brinchang sekali lagi untuk beli strawberi. RM15 untuk 2 paket. Sorga!
Suasana pasar malam
Balik dari pasar malam, kami ambil angina malam di sekitar lobi hotel. Masya Allah sejuk sangat!
Hari ketiga

Selamat hari raya Aidiladha! Jangan Tanya kami raya macam mana. Anggap saja kami beraya di perantauan :)
Kami bersiap-siap untuk daftar keluar agak awal sebab ada beberapa tempat yang kami kena pergi sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur.
Sesi bergambar di depan lobi hotel lagi :)
Kami daftar keluar dan RM100 saya dipulangkan semula :) Selamat tinggal Copthorne. Semoga ada rezeki lagi untuk saya ke sini.
Daftar keluar
Kami terus ke destinasi seterusnya iaitu Cameron Lavender . Patutnya kami sudah ke sini semalamnya, tapi disebabkan kesesakan lalulintas yang melampau, kami tangguhkan ke hari terakhir.

Bayaran masuk: RM8 seorang tapi berbaloi rasanya. Percayalah.
Pintu masuk Cameron Lavendar
Jalan di dalam Cameron Lavender ini adalah jalan sehala dan sedikit mendaki. Tapi taklah terasa penat sebab mata tu asyik melihat kecantikan bunga-bunga di sini.
Cuma kami agak kecewa sebab orang sangatlah ramai. Dari nak letak kereta lagi dah susah. Masuk ke dalam sesak pula. Tak apalah, sekurang-kurangnya kami dah berjaya sampai ke sini :)
Naik ke atas, ada taman bunga yang sangat cantik. Bunga tu boleh dipetik untuk simpanan sendiri pada harga RM2 sekuntum.
Cameron Lavender selesai dijajah! Masa untuk balik sebab kena terima hakikat yang cuti kami sudah berakhir. Esoknya sudah kena kembali bekerja!

Dalam perjalanan balik, kami buat final shopping session sambil lalu saja. Mana yang nampak, mana yang teringin, kami berhenti saja tepi jalan.

Bekal nasi goreng yang saya sediakan sebelum daftar keluar tadi maki makan di tepi jalan sambil menikmati pemandangan ladang teh. Sekali lagi, jimat belanja makan tengahari kami :)

Pemandangan ladang teh di stesen teh 2 (kalau tak silap). Tempat yang saya cakap kalau nak turun, tangganya agak curam tu.
Perjalanan balik ke KL diteruskan. Kami singgah di Lata Iskandar untuk makan durian sekali lagi dan solat jamak di wakaf yang disediakan di situ.
Kami sampai rumah dah malam. Badan penat. Esoknya dah kerja. Tapi itulah harga yang perlu dibayar untuk sebuah kembara. Emak saya pun tak kisah kami punya hobi begini. Katanya, buatlah apa saja yang korang teringin. Esok dah ada anak, caranya lain pula. Mungkin ke Korea atau Europe lepas ni, kita angkut stroller. See...Mak iolls sangat supportive!

All in all, Alhamdulillah percutian kami ke Cameron Highland sangat seronok. Total damage tak sampai RM1000 termasuk hotel dan belanja membeli segala. Rahsianya adalah kami banyak jimat dekat bab makan. Kami bawa multi-cooker dan banyak memasak sendiri di bilik hotel.

Terima kasih kepada pembaca yang sudi dan setia membaca entri super panjang ini. Maafkan saya sebab saya telah spam entri ini dengan gambar. Harapnya pengalaman saya ini dapat membantu anda untuk merancang percutian ke Cameron Highland dengan lebih kemas dan jimat.

Terima kasih
Dhiya

Travelog Dhiya: Pengalaman Bercuti di Grand Lexis Port Dickson


Bismillah

Assalamualaikum!

Inilah dia cerita awal bulan Ogos 2016, tapi baru sekarang nak dikongsikan. Kalaulah blogger tu adalah sejenis kerja sepenuh masa punch in jam 8 pagi dan punch out 5 petang, sesungguhnya sayalah penerima APC setiap tahun!
Tapi apakan daya, DDD ini adalah kerja sampingan dan tidak bergaji. Jadi disiplin dia tu ke laut sikit~

Sebenarnya pemergian kami ke Grand Lexis Port Dickson ini adalah bersempena hari keluarga company suami saya. Kadang-kadang saya pelik juga sampai pernah terfikir nak tanya:

"Kaya betul company laki aku ni. Selang 3-4 bulan ada je family day event. Apart from engineering consultation, korang ada business lain ke ha?

Tak ada rahsia apa pun sebenarnya. Cuma mereka ada duit tabungan dan setiap staf tu senang dibawa berbincang dan senang mencapai kata sepakat. HR mereka pula bijak dan tangkas bekerja. Kalau bab-bab vacation, laju sangat sebab dia tau duit ada. Selalunya mereka akan grab 3-4 promosi semasa MATTA Fair dan akan susun dan lock tarikh elok-elok bagi semua (dalam 15 keluarga je pun) dapat pergi.

Jadi ke sinilah kami baru-baru ini. Kebetulan kami baru seminggu meraikan wedding anniversary yang pertama. Memang cun sangatlah dapat pergi ke sini :)

Kami gerak 6 Ogos 2016 pagi. Barang dah siap packing malam. Malam tu juga, kami bertungkus lumus memasak kuah spageti dan masak rendang ayam untuk dibuat makan di sana sebab:

1. Bilik kami ada pantri
2. Bilik kami besar hampir lengkap semua. Jadi kalau keluar, terasa rugi sangat. Alang-alang dah boleh mandi dalam bilik (sebab swimming pool dalam bilik), apa kata makan pun dalam bilik.
3. Bilik tu kami je utilize dua orang. Nak berlari, nak berguling nak buat apa pun boleh!

Kami ambil Sky Pool Villa dan dapat di tingkat 6, bilik hujung sekali. Terasa sangat bertuah sebab unit kami sangat privasi! Parking tak susah hati sebab ada elevated parking.

Sebenarnya Grand Lexis ni ada tiga jenis penginapan yang boleh dipilih: Above Sea, Sky Living atau Garden Living. Tapi jangan rusuh hati sebab semua jenis bilik pun- Swimming pool dia memang dalam bilik.

Penginapan Above Sea terletak mengunjur ke dalam air laut. Jadi dari lobi kena berjalanlah sikit. It's good for you guys yang acah-acah nak honeymoon. Tapi malangnya swimming pool nya terbuka. Orang yang menginap di Sky Living mungkin boleh nampak kau mandi~

Sky Living adalah penginapan ala-ala apartment, dalam 8 tingkat (sorry lupa). Kami ambil bilik Sky Living ni sebab alang-alang dah kolam dalam bilik, biar closed and private. Kalau masih terbuka, tak ada beza pun kalau mandi dekat public pool.

Penginapan ketiga adalah Garden Living. Garden Living ni sesuailah dengan orang yang bawa ahli keluarga yang berkerusi roda atau stroller. Sebab apa? Sebab Garden Living ni macam rumah teres yang boleh park kereta dekat dengan pintu rumah. Keluar je kereta, boleh terus masuk rumah. Garden Living is for convenience.
Katil. Bayangkanlah- Duduk berdua je, tapi katil Queen sampai dua! Ada orang kata kenapa tak bawak keluarga lain? Ini anniversary kami. Lain kali boleh datang lagi bawa keluarga ok :)
Pintu yang hujung kanan tu adalah pintu ke swimming pool. Malam-malam tidur, tutuplah ye. Nanti ada yang sedar-sedar sudah berenang dalam air :p
Hall. Memang luas, boleh main bola!
Kalau bawa keluarga dan tak cukup katil, boleh sangat bawa toto dan bergelimpanganlah kalian sebab ruang bilik ni sangat luas. Anak-anak pasti suka sebab boleh bebas bergerak (kecuali dia terjun ke kolam tanpa kawalan mak ayah~)
Satu lagi sudut hall. Pintu tu adalah pintu ke ruang dapur
Lebih indah, bilik yang kami dapat ni menghadap laut dan boleh nampak sebahagian penginapan Above Sea yang macam saya cerita tadi. Jangan bimbang, saya tak intai orang mandi. Saya cuma menikmati pemandangan laut yang luas terbentang saja.
Dari dalam bilik, boleh  nampak kolam renang di luar. Di hujung kolam renang tu ada ruang balkoni yang tertutup dengan rumput buatan. Terasa macam dalam taman.
Pemandangan dalam bilik lagi. Jangan bosan. Pintu yang ada nampak luggage kami tu adalah pintu masuk.
Pintu menghala ke dapur dan bilik air.
Pantri comel kami. Di sinilah kami masak megi goreng, rebus spageti (kuah dah masak awal-awal di rumah, tinggal panaskan saja), rebus telur, rebus kentang dan banyak lagi. Lalalala~

Sinki terletak di luar bilik mandi.
First concern saya adalah tandas yang MESTI ada paip hos. Saya cukup berang kalau hotel tu tak sediakan paip hos dekat dengan tandas. Helo ini Malaysia tau. Berapa bintang sekali pun hotel anda, tolong bagi ada paip hos sebab orang Malaysia ni sangat perlukan paip hos. Jadi terima kasihlah kepada Grand Lexis sebab faham akan keperluan umat satu Malaya~
Bila dah ada kolam renang dalam bilik sendiri, haruslah shower ni dipandang sepi je. Sejujurnya memang kami tak layan langsung benda alah ni. Maafkan kami.
Jadi inilah dia kolam renang dalam bilik kami. Duduk berdua, terasa semuanya sudah lebih dari cukup. Nak pergi guna simpanan sendiri, mungkin sedikit teragak-agak. Tapi inilah yang dikatakan rezeki. Terima kasihlah encik bos. Lain kali beri lagi.
Pemandangan kolam renang kami dari bahagian balkoni luar bilik. Yang bagusnya, balkoni ni pun tertutup di kiri dan kanannya, jadi sangat privasi dan tak adalah risiko untuk bertegur sapa dengan jiran sebelah yang mungkin entah siapa-siapa~

Di bawah ni pula adalah gambar pemandangan dari balkoni apartment kami. Sea view memang cantik. Dalam masa yang sama, boleh nampak pemandangan bilik Above Sea. Yang dapat bilik hujung hujung betul-betul dekat dengan laut, oklah. Kalau dapat bilik yang dekat-dekat bangunan apartment tu, memang boleh nampak jelas kalau ada orang mandi dalam kolam tu. Berhati-hatilah ya :~
Kami menginap hanya selama 2 hari 1 malam saja. Jadi tak banyak benda pun yang kami buat. Kami tak turun pun ke pantai jauh sekali ke kolam renang kecuali hanya di bilik sahaja. Sebab itulah kami sepakat bab makan. Semua kami bawa dari rumah termasuklah periuk serbaguna elektrik untuk kami memasak masakan yang mudah dan cepat.

Malam itu, kami rebus spageti dan panaskan kuahnya. Saya ada buat sedikit rendang ayam dan agar-agar. Jadi itulah makanan kami. Seadanya. Tapi kami gembira. Kami makan dekat koridor luar tu, berlantaikan rumput tiruan dan beratapkan langit malam yang cerah dengan bintang. Ini memang betul-betul wedding anniversary dinner yang paling rare. Lantak.
Tak cukup makan di luar, kami bawa pula makanan masuk ke dalam bilik. Makan sambal tengok tv dari atas katil. Wah-wah-wah. Hebat betul. Ini kalau masa kecil dulu, dah lama kena sebat dengan Mak aji sebab makan atas katil. Huuu!
Sebenarnya, perkara paling GILA yang kami berdua buat adalah post wedding photography. Kami bawa baju nikah dan saya solek diri saya sendiri. Pada asalnya kami memang nak upah jurugambar, tapi atas sebab-sebab tertentu kami terpaksa ubah rancangan supaya menjadi sama gila. Kami bawa tripod sendiri, beli Bluetooth shutter sendiri, guna Samsung Note3 sendiri dengan bantuan NIKON sendiri dan kamilah jurugambar kepada post wedding kami sendiri.
And who cares?
Semua kami buat dalam bilik tu. Kami utilize setiap inci angle cantik dalam bilik tu untuk kami ambil gambar. Bunyi macam pelik sebab kami buat post wedding photography session hanya selepas setahun berkahwin. Tapi tak ada yang mustahil sebab kami sudah berkahwin. Yang jelik tu bila kau buat pre wedding photography. Muahahah! Sila sentap!
Bukan tak ada post wedding photography session masa majlis kahwin dulu, tapi sajalah...Ini cara kami nak meraikan ulangtahun kami. Mungkin tahun depan kami nak celebrate pakai baju sekolah pula, siapa tahu kan?
Gambar? DDD masih berpegang pada prinsip untuk tidak meletak gambar sendiri di dalam penulisannya. Maaf ya~

Masa ni jugalah kami guna untuk brainstorm apa saja tentang hubungan kami. Iyalah, rumah dan tangga kami baru setahun jagung. Masih banyak lompong dan pincang di pihak masing-masing yang perlu diperbaiki. It's good and we both agreed that we can have a nice retreat just to realign and discuss ONLY our relationship matters.

Esoknya, tepat jam 12 tengahari kami daftar keluar. Terima kasih Grand Lexis sebab beri kami pengalaman yang sangat menarik di hotel anda.
Tips untuk anda yang akan ke Grand Lexis:

1. Kenalpasti jenis penginapan anda. Ada 3 jenis tadi. Sila rujuk perenggan atas.
2. Kalau datang dengan keluarga besar, bawalah toto. Tak jadi jenayah pun untuk kita bergelimpang secara berjemaah. Bukan orang lain pun, anak beranak kita juga kan.
3. Bawalah multipurpose cooker kalau ada. Dalam hotel ni dah ada microwave dan utensils semua dah lengkap seadanya. Kalau beramai, bawalah pinggan dan cawan kertas. Boleh juga bawa roti, telur atau apa-apa makanan yang mudah dimasak. Jangan bawa tulang daging lembu korban je. Mana kau nak cari periuk nak buat sup tulang kan~
4. Bagi yang memilih Sky Living, parking anda di elevated parking space. Tak payah berebut dengan orang yang letak kereta di grounded parking depan lobi tu. Itu ruang letak kereta untuk Garden Living.
5. Lantai bilik tidak berkarpet. Risiko jatuh sebab licin amatlah tinggi. Sila berhati hati.

Kami makan tengahari di private island kegemaran kami. Baki spageti dan kuah masih ada. Kami makan itu saja. Jimat duit~
Demikianlah kisah percutian pendek kami sempena hari keluarga company suami saya. All in all, saya boleh cakap Grand Lexis sangatlah terbaik! Semoga ada rezeki untuk datang lagi :)

Salam sayang
Dhiya

Life Event: Matta Fair 2-4 September 2016


Bismillah

Kisah kami ke Matta Fair memburu tiket dan pakej percutian murah.

Sebenarnya kami memang teringin nak ke Matta Fair sejak tahun lepas lagi. Tapi seingat saya, tahun lepas kami tak boleh nak ke mana-mana sebab sewaktu Matta Fair tu, abah di IJN untuk menjalani pembedahan pintasan jantung. Lagipun masa tu kami sangat baru berkahwin. Rumah pun masih belum ada TV jadi kami ketepikan dulu keinginan itu.

Tahun ini suami saya sudah ingatkan saya awal-awal lagi. Kebetulan, hujung minggu Matta Fair tu kami tidak ada apa-apa urusan di luar. Memang kenalah sangat! Cumanya kami hanya dapat ke sana pada hari terakhir atas sebab-sebab tertentu (terlajak tidur di rumah sebab di luar hujan lebat mendodoi-dodoi!)

Tapi memandangkan kami sudah ada fokus, kami tidak banyak buang masa wandering around tanpa haluan. Sebaik membuat bayaran masuk (RM4 seorang dewasa), kami terus masuk ke dewan pameran. Matta Fair ini kurang lebih macam PBAKL lah. Orang ramai dah macam jemaah haji, sangatlah tidak sesuai kalau bawa anak-anak kecil atau orang tua sebab tak ada tempat duduk yang sesuai.
Macam-macam flyers orang bagi. Kiri kanan. Memang boleh jadi gila. Tapi apa yang saya perasan, pakej yang mereka tawarkan sudah standardized. Maksudnya tidak ada orang yang boleh juah lebih mahal atau lebih murah dari orang lain. Memandangkan harga semua sudah lebih kurang sama, jadi tinggal lagi marketing strategies mereka sajalah yang membezakan peluang mereka memenangi hati pengunjung. 
Tapi masih, ada je pakej-pakej yang menarik dan worth it dengan bajet kami. Tapi sebelum beli apa-apa pakej, kami pergi tengok tiket kapal terbang dulu sebab kalau tak ada tiket murah, belilah pakej percutian apa pun, masih kau tak boleh terbang ke destinasi percutian tu. Hahhahaah!

Hampir sejam juga kami beratur panjang di booth TH Travel untuk semak tarikh dan harga tiket. Memandangkan Matta Fair sudah sampai ke hari terakhir, saya macam tak mengharap sangat sebenarnya. Tapi alangkah terkejutnya apabila kami berjaya dapat tiket KL-LGK-KL pada kadar +-RM100 seorang termasuk cukai siap. Tanpa berlengah, kami pun book dan bayar. Pada kami oklah kalau nak dibandingkan minyak tol tenaga nak memandu ke sana.
Seterusnya kami pun dengan keyakinan yang sedikit tinggi, mencari pakej terbaik untuk penginapan dan pengangkutan pula.
Alhamdulillah, pakej hotel (bumiputera) 3 hari 2 malam, kereta dan island hoping kami grab pada harga lebih kurang macam tiket kapal terbang juga. Kami sangat ok dengan semua yang ditawarkan. Hotel tak perlu mewah sangat sebab kami aim untuk bersiar-siar dan tawaf seluruh pulau tu. Kalau hotel sedap nanti asyik nak tersadai kat bilik pula. Rugi~!

Ok selesai bab percutian kami berdua. Suami saya mahu cari pakej hotel untuk kami bawa emak dan abah saya berjalan-jalan hujung minggu. Kami aim Cherating tapi malangnya pakej yang mereka tawarkan tidak menepati citarasa dan bajet kami. Bila difikirkan balik, lebih baik saya cari sendiri di Booking.com yang jenis tak perlu booking fee dan boleh bayar sewaktu check-in. Senang.
Insya Allah itu cerita lain, waktu cuti sekolah nanti. Kita angkut semua!

Grand Lexis (sky pool villa) Port Dickson pun ada tawaran menarik. Tapi memandangkan tawaran tu boleh juga dibeli secara dalam talian hingga 24 September ini, saya malaslah nak berebut di booth mereka. Buang tenaga saja. Insya Allah saya akan grab tawaran tu untuk mak dan abah, walaupun kami dah pernah pergi. Apa salahnya pay a second visit bawa mereka. Huuu~

Jadi kesimpulannya, kami sudah buat jenayah berat sempena Matta Fair 2016 ini, di saat kami sudah ada getaway lain hanya dalam beberapa hari lagi. Kami sama-sama insaf dan berazam tidak membeli tiket kapal terbang atau merancang sebarang percutian 'keras' hingga hujung tahun ini bagi memberi peluang kepada kerehatan kewangan. Tiap-tiap bulan nak berjalan..Apa kau ingat kami tauke bank~!?

Insya Allah cerita travelog saya akan dikongsikan sebaik saya pulang dari destinasi yang dimaksudkan. Doakan~!

Dhiya

September 2016


Bismillah

Assalamualaikum

Sekarang ni memang tulis blog sebulan sekali je. My bad my bad! Saya sangat rindu nak menulis, tapi komitmen kerja saya di pejabat ini lain macam sikit. Bukan boleh duduk goyang kerusi sangat. Kerja saya banyak membaca dari menaip. sangat akademik macam orang nak publish paper atau siapkan FYP (Oh rindunya life in UKM!)

Apa khabar keluarga jauh saya? Apa khabar kawan-kawan baik saya? Saya doakan anda semua baik-baik saja. Maaflah kalau WA selalu lambat berjawab. Sekarang baru saya tahu mencabarnya menjadi wanita berkahwin yang berkerjaya. Masya Allah lebih hebat kalau mereka ini juga adalah seorang ibu! Saya yang masih belum berstatus ibu ini pun sudah terasa lelahnya, inikan pula yang memegang beberapa komitmen tambahan yang lain. Syurgalah buat kalian hendaknya :)

Kehidupan saya lebih baik. Hari-hari adalah hari yang baik sebenarnya. Cuma kalau nak dibandingkan dengan apa yang saya hadapi beberapa bulan lepas, sekarang adalah lebih baik. Saya bekerja dengan orang yang baik-baik, rakan sekerja yang baik, dalam suasana yang baik. Walaupun top management di sini bukan orang Islam, tapi mereka faham agama dan sentiasa mengamalkan kehidupan yang sangat baik.
Work-life balance saya tercapai. Stress sikit-sikit tu biasalah. Adat bekerja. Tapi tak adalah sampai sakit hati menyebut-nyebut hingga bawa balik ke rumah. Alhamdulillah tak ada.

Married life kami juga Alhamdulillah baik-baik saja. Kami tak rasa kekurangan walaupun masih berdua. Saya masih ada keluarga yang sangat penyayang dan menyokong. Tipulah kalau tak ada perasaan. Kadang-kadang tengok baby merah-merah tu, rasa panas je tubir mata. Sebak ke apa tak tahulah. Yang pasti rasanya lain macam. Doakan kami, ya. Doakan atas semua dan banyaknya life goal yang kami nak capai yang diniatkan kerana Allah Taala :)

Untuk kawan-kawan saya yang berlima tu, maafkan saya kerana selalu tak ada masa untuk bertanya khabar walau sepatah di WA. Kalau anda terbaca ini, lima yang cantik itu adalah kalian, yang selalu ada bersama saya tanpa mengira jatuh bangun saya selama ini. Semoga Allah pelihara kalian dalam rahmatNya.
Tahniah Dayah atas kelahiran bayi kedua
Tahniah Rin atas tekad menyambung pengajian (I envy u~!)
Tahniah Wani untuk lantikan tetap pegawai kerajaan
Tahniah Nurul sudah ada bisnes berdaftar dengan SSM
Tahniah An lepas grad terus dapat kerja
Tahniah untuk diri sendiri sebab ada rakan yang baik macam mereka di atas.

Terlalu banyak yang saya nak ceritakan di sini. Tapi satu-satulah ya. Device saya sudah penuh dengan gambar-gambar yang saya perlu kongsikan. Semoga ada masa untuk hobi ini.

Insya Allah saya akan usahakan menulis sebanyak mungkin.

Salam sayang,
Dhiya

Kisah Letak Jawatan


Assalamualaikum

Aku rasa cerita ni macam dah basi. Tapi aku rasa ada keperluan untuk aku buka balik cerita lama ni- Bukan untuk mengungkit, berdendam atau nak musnahkan sesiapa. Aku tulis untuk adik-adik muda mudi yang baru grad, yang masih belum ada kerja, yang sangat perlukan duit dan terasa sangat desperate untuk kerja.

Di luar sana sangat banyak portal yang mengiklankan kerja kosong kerajaan. Adik- sebelum aku pergi  jauh, aku nak bagitahu satu perkara. Iklan-iklan kerja kerajaan yang diiklankan selain di laman web SPA adalah untuk jawatan kontrak atau PSH sahaja. Untuk kau masuk sektor kerajaan, kau kena melalui SPA. Jadi bila kau nampak banyak iklan-iklan kat portal internet, bukan maknanya aku halang kau dari mohon. Cubalah. Ikhtiarkan. Tapi kalau dapat, kau kena ingat kau bukanlah setaraf dengan orang kerajaan malah mungkin kau dibuli teruk oleh superior kau atau kerani yang mungkin sebaya atau lagi muda dari kau.

Itulah yang terjadi pada aku. Tapi bezanya, aku tak mohon kerja ni melalui portal-portal murahan. Aku diambil dengan cara elok oleh SS (bos aku yang ada pangkat gred 48 di sebuah badan kerajaan yang sangat berpengaruh di Malaysia) melalui sebuah universiti. Aku ditemuduga sebanyak dua kali- Sekali oleh universiti, dan sekali oleh SS dan soalan temuduga pun boleh tahan academic-based sebab skop kerja aku sangat berkait rapat dengan kajian dan kelulusan aku.

Bila aku mula bekerja di pejabat yang boleh dikatakan gah tu, aku kena act sama macam budaya orang kerajaanlah. Itu sudah tentu. Tapi aku tak terima sebarang privilege yang membolehkan aku menjalankan kerja aku dengan efisyen.

Satu
Aku tak ada akses kad untuk masuk ke pejabat. Kau boleh bayangkan tak macam mana susahnya aku? Kadang-kadang aku berkejar dari tempat letak kereta untuk ke pejabat mengejar punch card jam 7.30 pagi. Masa tu memang tak ramai orang sebab kebanyakannya masuk WP2. Tengah laju aku berlari, tiba-tiba aku stuck kat depan pintu utama sebab tak ada akses kad. Aku memang 100% bergantung kepada orang yang keluar masuk tu je untuk aku tumpang menyelit. Bila 2-3 kali lambat punch, SS bising macam murai. Aku beritahu dia aku tak ada kad akses, tapi dia cakap aku tak layak dapat kad akses. So? Agak-agak kalau kau jadi aku, apakah best word untuk keadaan ini?

Dua
Aku tak ada desktop. Aku ada mohon. SS cakap apa?
"Awak mana layak dapat komputer sebab awak bukan under pejabat ni. Awak under universiti. Komputer kat sini semua aset, jadi agak susah juga kalau nak minta untuk awak. Alah..nak senang, awak bawa jelah laptop sendiri. Itukan memang kerja awak"
Sumpah, aku tak redha dengan SS sebab sampai sekarang aku sakit belakang usung laptop aku sendiri dari rumah ke pejabat setiap hari plus laptop aku 'jahanam' dengan pelbagai bugs dia. Nak format tapi tak ada masa lagi!
Aku harap laptop buruk untuk PhD dia tu akan rasa juga penyakit laptop aku.

Tiga
Mulut bos aku, SS tu memang jenis tak ada filter. Mula-mula aku ingat mungkin dia tak sengaja. Tapi kalau dah selalu sangat aku terkena, ditambah pula aku dengar benda yang sama dari mulut staf dia yang lain, aku mula tahu dan faham SS tu macam mana.
Kalau takat suruh buat kerja last minute, kemudian nak segera itu sudah biasa. Hasil kerja aku juga pernah diperlekahkan dengan teruk hingga disamakan dengan 'level kerani'. Tapi aku cuba positif sebab aku rasa raw material yang aku dapat dari dia pun semua level kerani- Dengan typo teruk, alignment lari lintang pukang, grammar pun jahanam. Aku tak tahu dia ni graduate mana~! Bila aku tengok dia ada kelemahan bab tu, aku tak marah kalau dia cakap aku level kerani sebab dia bagi aku kerja pun dari level kerani juga. Jadi aku maafkan kerani professional gred 48 macam dia. Hahhahah~!

Aku keluar seawal pukul 6.30 setiap pagi untuk punch 8 pagi. Tapi kau bayangkanlah aku memandu dari PJ ke PJ . Jauh dengan pakej jem lagi, aku tak ada pilihan dan aku selalu sampai 8.03 pagi, 8.02 pagi. Memang sipi-sipi dan aku tahu aku salah. Tapi bila aku tunjuk punch card tu pada SS, dia punya bebel tu macam aku buat salah besar sangat sampai call CLI bagai. At last aku decide untuk keluar awal lagi dan boleh sampai 7.30 pagi. Sebab tu aku cakap pada dia aku tukar kepada WP1 sebab aku dah dapat rentak dan timing aku.

Masuk bulan kedua kerja, aku mula rasa tak gembira sebab gaji bulan pertama aku tak nampak bayang. Hal ini aku sudah cerita dalam entri yang dulu. Tambah pula dengan perangai SS yang langsung tak profesional, aku jadi tawar hati. Aku rasa, penyelia PhD dia pun tak layan aku macam sampah. Malah ada 2-3 kali aku jumpa penyelia dia di universiti, dia layan aku baik macam kawan. SS patut malu. Tapi aku tak beritahu dia aku dapat layanan baik dari penyelia dia sendiri sebab aku taknak dia malu dengan aku. Aku cuma nak dia malu pada diri sendiri.

Bila aku bagi surat berhenti, macam-macam dia bebelkan aku. Macam-macam dia sekolahkan aku macam aku ni bodoh sangat sebab tinggalkan sektor kerajaan ni. Katanya walaupun aku hanya kontrak, tapi sebelah kaki aku dah ada dalam sektor kerajaan dan dia boleh sokong aku dengan surat supaya aku diserap sebagai staf kekal.
Malangnya aku tak percaya semua tu sebab aku tahu hakikat sebenar.
Kemudian, dia 'ajar' aku lagi betapa buruknya reputasi aku kelak sebab dalam CV aku akan tulis pengalaman kerja dalam sektor kerajaan hanya untuk 2 bulan. Malang sekali lagi kerana bukan saja berhenti, tapi aku nak terus eliminate dan tak nak pun tulis pengalaman aku dengan dia dalan CV aku. Aku tak bangga langsung nak tulis pengalaman teruk aku dengan dia dan pejabat dia.
Banyak lagi la dia cakap termasuklah soal kerja taraf kerani yang aku buat sedangkan aku ada kelulusan sarjana dan dia tambah lagi dengan tazkirah keberkatan dan rezeki yang halal segala. Aku pun keliru halal dan berkat ni sebab selama 2 bulan aku kerja, gaji aku pun mereka tak bayar dan aku hanya terima gaji pertama aku sebaik aku berhenti~!

Kalau nak counter balik, boleh sangat. Tapi aku rasa membazir je layan spesis ayam dedak macam ni jadi aku gumpal semua simpan dalam hati dan akhirnya aku terpaksa luahkan di sini dengan mode 'aku' tanda aku sangat marah. Walaupun sudah 2 bulan aku berhenti dari dia, tapi aku masih terkenang cara dia layan aku. Aku kecewa sebab dia guna khidmat aku, dia kata dia bayar aku (walaupun tertunggak), tapi tak boleh ke dia jadi bos yang memahami sikit. Bos atas dia pun masalahnya tak macam  dia~! OoOoOoOOOO memalukan jantina, kau ni!

Nasihat aku kepada adik-adik di luar sana, aku tak halang kau cuba. Pergi. Tapi please have stand dan jangan jadi pak turut. Dan untuk kawan-kawan aku yang dah berjawatan tinggi dan ada subordinate, tolong jangan jadi macam pegawai gred 48 di pejabat kerajaan di sebuah pusat pentadbiran terkemuka di Malaysia yang aku maksudkan ni. Aku, dengan jawatan baru aku sekarang- Aku boleh pergi semula ke bilik dia dengan bawa seorang pemandu dan seorang kerani.
Orang macam dia ni, cara untuk ajar dia adalah kita kena perlu jadi lebih baik dari dia.

Padu.

Dhiya Dahlia

Bunga Telur Stokin


Bismillah

Saya tahu ini bukan entri dan cerita yang sesuai. Diam berbulan-bulan, tiba-tiba kau keluar dengan cerita bunga telur. Apehal~?
Tapi apakan daya, life management saya sekarang memang belum cukup kemas untuk imbangkan antara kerjaya, keluarga dan peribadi. Kadang-kadang ikut mana yang sempat saja. 

Bibik ada di rumah. Jadi saya biarkan dia dengan menu nasi lemak sedang saya selesaikan kain baju yang minta dilipat, disusun dan digosok. Kemudian saya relax sikit sambil mengemas-ngemas laptop. Banyak sampah sarap milik bekas bos gred 48 dulu masih ada dalam laptop saya. Buat apa lagi nak disimpan, kan? Buang sajalah.
Sambil berjalan-jalan dari satu folder ke satu folder, saya terjumpa gambar step by step untuk buat bunga telur stokin sempena majlis perkahwinan saya dulu. Tiba-tiba rindu sangat suasana tu. Suasana bersiap, rewang, 'berdarah manis' dan menjadi usikan orang~

Saya pun banyak lagi hutang cerita kahwin yang hendak ditulis. Tapi rasanya cerita bunga stokin DIY ni tidaklah terlalu berat dan memerlukan saya fokus sangat. It's just like a tutorial entry. Jadi saya nak cerita lah tentang bunga tisu DIY saya ni.

Barang asas dan semua keperluan untuk saya buat bunga stoking ni saya beli di Semua House Jalan TAR. Kedainya bawah sekali. Masuk dari pintu utama Semua House tu, turun tangga dan akan jumpa Watson (ke Guardian) ha? Toleh kiri dan bersedialah untuk menggila dalam kedai bunga tu.

Proses-proses renyah ni memanglah tak dapat nak dielakkan. Pertamanya saya sediakan dawai bermanik macam dalam gambar ni. Bunga stoking punya cerita saya dah tulis lama dulu. Ini semua cerita aksesori.
Kemudian saya buat simpulan reben pula. Warna mestilah ikut tema. Bilangan tu bergantung kepada berapa rimbun bunga telur yang kita mahukan.

Seterusnya adalah lipatan reben. Ini semua aksesori tau.
Manik dawai ini saya beli sedia siap di Nilai. Kebetulan jumpa. Jadi saya beli sajalah buat tambahan aksesori.
Cantum punya cantum- Jadilah bunga stokin custom made untuk majlis saya sendiri. Istimewanya- Bunga telur ini tak ada dalam pasaran sebab saya buat ekslusif hanya untuk saya.
DIY ni bukan kerja senang. Perkara yang paling kena ada adalah kesungguhan. Kalau semangat takat permulaan je, jangan haraplah nak jadi pengantin DIY. Ingat tu~!
Saya buat tak banyak pun hari tu. Cukup sekadar untuk hantaran pihak lelaki dalam 50 pokok saja. Itu pun sudah sakit pinggang sakit jari segala~! Tapi oklah. Saya puas hati :)
Saya akan rindu momen ni. Saya buat bunga ini di bilik asrama. Masa itu saya struggle dengan FYP dan segala macam komitmen orang belajar di universiti. Bagi yang belum tahu, saya masa itu sedang buat Masters Degree. Jangan kecam pula~ 'Apa ni...Budak universiti baru first degree dah gatal nak kahwin~!' Hahahah!
Saya tak berniaga. Tapi kalau ada sesiapa yang ingin menempah, bolehlah berkomunikasi dengan saya: diahalida@gmail.com.

Masih dalam mood anniversary :)
21 Ogos 2016
Ahad
-Hari ni ada bibik kat rumah-

Ke KWSP


Semalam masa lunch break, saya sempat keluar dengan suami ke KWSP dengan niat nak menunaikan hak bertukar kepada KWSP patuh Syariah. 

Sebaik sampai, kami terus putus asa. Punyalah panjang barisan yang menunggu giliran untuk mengambil nombor. 
At last, kami hanya makan tengahari bersama. 

Saya pun tak tahulah bila nak uruskan hal ini kalau tiap-tiap hari pun begitu keadaanya di kaunter. Mungkin kena ambil cuti.

Kenapa KWSP tak auto convert je semua akaun ahli yang beragama Islam?

Haih~

Ogos 2016


Bismillah.

Assalamualaikum.

Ya Allah berhabuknya.

Dua bulan kebelakangan ini, terlalu banyak yang terjadi dalam hidup saya. Sejak raya, saya rasa saya tak ada masa sangat untuk kami berdua sementelah semuanya terisi dengan rumah terbuka, kenduri kahwin dan ada saja hal lain.

Tok saya di Perak meninggal pada hari Sabtu minggu kedua selepas raya. Asalnya memang kami rancang untuk rehat di rumah saja sebab minggu sebelumnya sudah sakan beraya dari Timur ke Selatan. Tapi hal kematian ini kita bukan boleh lantak-lantak. Tambahan pula itu adalah tok saya sendiri. Jadi kami pun pecutlah ke Perak pagi itu juga.

Setiap kali hujung minggu dalam bulan raya, saya dapat pelepasan untuk gantung kuali. Rumah terbuka Aidilfitri bukan main banyak. Kadang-kadang satu hari sampai ada 5-6 jemputan. Semua tu adalah kawan-kawan suami saya dan adalah beberapa jemputan dari rakan-rakan saya. Kami sendiri pun adalah buat sikit 'rumah terbuka', tapi hanya memasak di rumah- Kemudian kami hantar ke pejabat suami saya saja. Maaf ye kepada rakan-rakan saya. Insya Allah tahun depan kita berkumpul sekali harung dengan house warming and baby shower~

Dalam bulan Syawal juga, saya melalui fasa peningkatan kerjaya. Setelah 'dibuli' dengan teruk oleh seorang Penolong Pengarah Kanan Gred 48 di jabatan kerajaan sebelumnya hingga tahap tidak dibayar gaji, saya ambil keputusan untuk meletak jawatan dan dengan kuasa Allah, Dia gantikan cash dengan tawaran kerja baru yang jauh lebih baik dan menggembirakan saya. Gaji terakhir (Jun) saya yang tertunggak dulu, telah saya terima pada hujung Julai di saat saya sudah kerja di tempat baru. Teruk kan? Ok malas nak komen lebih dah. Biarlah Pegawai Pengarah Kanan Gred 48 tu kekal dengan pangkat dan sombongnya.

Life sebagai seorang isteri di rumah juga semakin hectic. Siang di tempat kerja, balik rumah menghadap pula urusan rumahtangga. Mujurlah suami saya ini hobinya memasak. Kadang-kadang saya biarkan saja dia memasak untuk makan malam kami supaya saya boleh uruskan kain baju mana yang perlu dibasuh, disidai, dilipat dan digosok. Kalau dah tak sempat sangat,kadang-kadang kami 'terbabas' juga makan malam di luar. Setahun bersama, banyak lagi yang perlu kami juggle dan belajar. Doakan!

Penulisan blog sekarang ni agak perlahan. Saya bekerja dengan orang yang momentumnya tinggi. Saya tak sempat sangat nak berjalan-jalan di blog dan FB. Lagipun saya suka dengan kerja saya sekarang. Orangnya baik-baik, suasananya elok dan paling penting saya bekerja dengan tenang :)

Insya Allah nanti ada masa, saya akan menulis kerana banyak sangat cerita yang saya ingin tulis di sini. 

Sehingga menulis lagi, 
Dhiya