Wedding Review: Kad Jemputan Kahwin


Bismillah
Kad kahwin ni- 
Benda yang paling saya lengah-lengahkan. Rasa macam 'lambat lagi nak kahwin- Jadi takpe je kalau lambat-lambat pun' tanpa menyedari yang untuk mendapatkan kad kahwin tu, kita kena pertimbangkan banyak perkara;

1. Tarikh dan tempatnya dah confirm?
2. Berapa bilangan jemputan?
3. Design yang macam mana? Kalau 1 kad untuk 2 belah kenduri, kena bincang (sambil bergaduh, merajuk bagai) dengan side yang satu lagi.
4. Kalau mak ayah yang jenis masuk campur waima hal yang kecil, kena persembahkan artwork tu sampai 4-5 kali revised. Ehhhh~?
5. Tuan yang nak kahwin pun tak tahu yang once dia masuk kedai kad kahwin tu, mata dia akan rambang sebab tengok design yang macam-macam sampai tak tahu nak pilih. Siap kena datang 2-3 kali.

Semua tu makan masa. Makan masa, beb!

Saya masih buat relax sampai bulan 5 pun (majlis hujung bulan 7) masih blur. End up, ada kawan yang 'ketuk' kasi sedar. Sejak dari situlah, saya terus work on tentang kad jemputan ni.

Tanpa berfikir sangat, (which sebenarnya saya dah study dan dah aim which supplier yang saya nak guna untuk kad jemputan ni) saya terus ke MyOne Card di Pudu untuk 1st visit. Masa ni, #5 dari senarai di atas tu memang terjadi pada saya. Saya terkejut dan rambang mata- Punyalah banyak rekaan yang saya suka dan berkenan. Dari yang dalam bajet, lepas-lepas bajet hinggalah yang kau rasa perghhhh ini orang kayah-kayap je mampu ni!

1st visit
Niat di hati memang nak survey sahaja and yes, I did. Sebaik saja masuk ke dalam kedai tu, ada staf kedai yang dah sambut lagi sangat peramah. Namanya Uncle King. Dia punggah semua album dan katalog-katalog kad jemputan untuk ditunjukkan pada saya.
Uncle yang saya maksudkan tu :)
Suasana dalam kedai. Kedainya kecil saja. Tapi ada penghawa dingin dan pekerjanya peramah
Contoh kad. Rasanya inlay kad semuanya hampir sama. Kad luar saja yang beza. Saya memang suka kad yang nampak ekslusif macam ni. Saya tak suka kad yang kartun-kartun tu sebab nampak tak matang tambahan lagi kad ni mewakili mak dan abah
2nd visit
Datang dengan aim. Uncle King + Kak Susan bagi borang untuk isikan maklumat seperti nama mak ayah, nama pengantin, alamat dan lain-lain. Peta? Peta boleh bagi kemudian. Saya pun tak isi borang tu di situ. Saya bawa balik dulu dan saya janji dengan mereka yang saya akan bagi borang tu sekali dengan lakaran peta.
Borang yang saya sudah isi dengan maklumat. Kad saya sebelah pihak saja. Kami buat asing-asing sebab pihak lelaki ada masalah sedikit tentang kad.
Ini design peta yang saya lakar sendiri...

Cetak, dan hantar sekali dengan borang maklumat tu. Senang cerita.
Peta tu- Kalau lakar free hand pun tak apa. Mereka boleh lukis balik guna Adobe (I guess). Tapi macam saya, saya dah lakar siap-siap versi computerized. Nanti boleh guna terus untuk diletak dalam FB Invitation.
Pakej yang saya pilih tu- Alhamdulillah menepati citarasa saya, dengan added values and free gifts yang ok :) 
* kad 1000pcs
Guest book
2 bunting
2 signage
RM3**
Bunting yang saya pilih
3rd visit
Saya datang dengan bawa borang yang dah siap diisi dengan semua maklumat. Kemudian saya pilih dan finalised kan design, jenis kertas dan hot-stamping. Akhir sekali, saya bayarkan deposit. Sampai tahap tu, tiba-tiba saya rasa cuak pula; 'Ehhhhhhhhh betul ke aku  nak kahwin ni???'
Contoh kad yang saya suka tu :)
Hot-stamping warna purple-pink. Sengaja saya ambil warna ni sebab nampak jelas di bawah lampu. Kalau ambil warna silver atau gold, silau sangat dan tak boleh dibaca bawah lampu.
Jenis kertas yang saya pilih. Sebenarnya, pakej saya ni guna kertas biasa je. Tapi tiba-tiba Uncle King cakap dia nak habiskan stok kertas ni sebab tinggal yang itu je lagi. Jadi dia tawarkan saya untuk upgrade kertas kad tanpa sebarang caj tambahan. Belek punya belek, kertas ni embossed dan lebih cantik dari kertas yang asal. Jadi saya terus terima tanpa banyak cakap :p
Alhamdulillah rasa proses tempahan kad ni sangat dipermudahkan. Flow dia gwiyomi je tanpa ada masalah sangat. Estimated collection date adalah sebulan dari tarikh saya sahkan draf. 
Sahkan draf maksudnya mereka akan hantar artwork memalui email untuk kita tengok maklumat dalam kad tu salah atau betul. Kalau ada yang salah, kita kena revert dan betulkan. Kemudian mereka akan hantar lagi revised artwork dan kita kena semak lagi so on sampai maksimum 3 kali.

Rasanya 3 kali saja tu lah saya ke sana. Sebaik saya serahkan maklumat kad, semua komunikasi saya dengan mereka adalah melalui email sahaja. Itu pun untuk semakan artwork sahaja. Dua kali komen, saya sudah berpuas hati dan buat bayaran akhir. Layanan yang diberikan melalui email pun baik sangat. Sebaik bayaran akhir dibuat, saya sahkan artwork dan mereka proceed untuk printing.
 
Kak Susan, sewaktu bayaran deposit
 Sebaik siap, saya sendiri yang ambil tapi di cawangan mereka di Bangi. Masa tu saya masih di UKM jadi saya yang minta untuk ambil di Bangi sebab lebih mudah. 
Oh ya, kad tu saya ambil tanpa pakej siap gam sebab kalau siap gam, mereka caj upah gam pula. Dalam hati; 'Alahai gam je pun, bak aku gam sendiri je lah!'
Proses melekatkan inlay ni saya buat di kolej di UKM. Mujurlah duduk single. Kalau ada roomate, mesti dia stress dengan saya
Selepas itu bermulalah kerja melekatkan inlay pada kad. Jenuh oi! Tapi apa boleh buat, itu yang saya pilih :)

Siap
Kad saya siap dan sedia diedarkan dan selamat diedarkan cun-cun je dalam bulan Ramadhan dan sewaktu hari raya. Alhamdulillah. 
Perancangan Allah cantik sangat. Dalam setiap satu persiapan perkahwinan saya, saya dapat rasa yang Allah sangat kasih pada saya. :)

Tips:
a) Tentukan bajet anda untuk kad jemputan
b) Survey harga dan vendor. Pastikan vendor tu yang boleh dipercayai. Jangan main tangkap muat saja terutamanya yang buat tawaran istimewa di FB 
c) Paling kritikal, pastikan maklumat yang diberikan betul dan tepat
d) Semasa semakan artwork, semak betul-betul. Jangan kisahkan sangat font yang besar, border tak cantik atau bunga kerawang yang tak menawan. Itu nombor dua. Yang utamanya nama mak ayah, nama pengantin, alamat, tarikh semua betul. Kalau itu salah, majlis anda lingkup.
e) Beri masa 1-2 bulan untuk proses kad. Jangan goyang kaki sangat macam saya. Kalau kad tu ada masalah haritu, saya pun mesti kelam kabut!
 
Cerita kad jemputan kahwin dah siap!

Terima kasih kerana membaca. Semoga memberi manfaat kepada B2B yang lain.

Dhiya

Nak menulis, tapi....


Ya Allah semangat nak menulis entri membuak-buak sangat. Tapi...

...Nak kemaskan rumah ni dulu. Tak banyak pun, sedikit jadilah. 

...Anak pokok cabai yang saya semai di tingkap tu tak bersiram lagi. Matahari dah naik. Kesian kau, pokok~

...Kena clearkan dapur sebelum petang. Sampah dan sisa makanan kena buang. Esok kami nak sweet escape (kononnya) ke TRAP Sungkai. Sukahati aku lah nak honeymoon ke nak shopping ke~ 

...Beg tak kemas lagi. Baju mana yang nak dibawa pun tak tahu.

...Mak dah tanya, "bunga telur tisu yang makcik jiran tempah untuk kenduri anak dia dah siap?"
Halahai...Salah satu faktor saya tak sempat menulis adalah kerana menyiapkan bunga-bunga tulah. Jangan bimbang, hujung bulan ni siap!
...Yang sebenarnya mood saya tengah tak bagus. Jadi memang semua benda pun rasa tak menjadi. :(

*Sorry hubb, my bad!

Dhiya

Wedding Review: Tribute Perkahwinan Dhiya

Bunyi kompang masih berdengung di telinga
Bau bunga rampai pun masih harum

Saya masih pengantin baru!

Bismillah

Alhamdulillah
Sudah lebih dua bulan sebenarnya. Tak layak lagi digelar pengantin baru. Kami sudah berada dalam realiti kehidupan sebenar suami isteri yang penuh dengan komitmen, tugas dan tanggunjawab. Saya sudah tolak ke tepi semua angan-angan dan fantasi.

Namum semua kenangan dalam tempoh bertunang dan membuat persiapan perkahwinan tak akan saya lupakan sampai bila-bila. Percayalah, walaupun impian anda nak buat wedding sweet-sweet atau everything is perfect; pasti ada hiccup di sana sini.

Lebih hiccup dan mencabar apabila anda adalah seorang cheapskate seperti saya- Banyak persiapan perkahwinan saya adalah hasil tangan saya sendiri, DIY!
Tapi tidaklah semua perkara saya DIY. Mana-mana yang mudah dan rasa berbaloi, saya DIY lah. Tapi perkara-perkara kritikal macam pelamin tu, saya memang ambil pakej lengkap sebab mahukan yang terbaik. Alang-alang berpelamin, biarlah yang betul-betul pelamin. Tapi masih- Yang mampu-bayar dan tidaklah pula yang berlebih-lebihan atau yang tak rupa pelamin langsung pulak~

Sebagai tribute (penghargaan), berikut saya senaraikan vendor yang telah menjadi sebahagian dari pelengkap majlis saya. Insya Allah saya akan nukilkan satu entri khas untuk setiap vendor di bawah sebagai review dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga.
Alhamdulillah sekali lagi, kerana saya ditemukan dengan vendor dengan mudah, memudahkan lagi dipermudahkan. Saya tidak ada masalah langsung dengan mereka malah sangat berpuas hati dengan khidmat yang diberikan. Kerana itulah, saya berbesar hati akan berkongsi cerita tentang mereka dalam DDD ini.

**********************

Kad Jemputan: MyOne Card (Pudu)
Andaman Nikah: Iqa & Nabil sesuka hati deorang, tapi saya sukaaaa!
Pakej Pelamin + Busana + Andaman + Aksesori: Galeri Fitrah, Pahang
Busana bertandang: Galeri Fitrah, Pahang
Andaman bertandang: Juliana Rahman (IG)
Pakej Fotografi: Akashadin Photography (FB)
Jamuan Tetamu: Gotong royong (Koperasi kerja kahwin)
Meja makan beradab: Gotong royong (Koperasi kerja kahwin)
Menu makan beradab: Gotong royong
Kek: Ditaja istimewa oleh Iqa
Inai: Qaisara Henna (IG)
Yasin designed: Cuties Paper Bag & Goodies (FB)

DIY
Kasut bersanding
Hiasan hantaran
Bilik Pengantin
Bunga telur tisu tetamu 500 pokok
Bunga tisu pahar 100 pokok
Bottle jar sticker
Thank you tag
Paper bag
Peta majlis


Saya juga akan sedaya upaya menulis review tentang kisah DIY saya yang bukan main banyak tu. Iqa cakap saya gila. Ye, memang aku gila. Hahahaha!
Khas untuk bride-to-be, pastikan anda ikuti penulisan saya sebab saya pasti tips nanti akan berguna untuk anda :) Insya Allah

Salam sayang
Dhiya Dahlia

Insiden Pesta Vincci: Bye Bye to Warehouse Sale yang...


Jumaat lepas kecoh sekejap satu Malaya sebab ada satu warehouse sale yang telah bikin wanita gila. Ironinya, rakyat Malaysia ni (tanpa mengira gender sebenarnya) memang agak sensitif kalau terdengar atau terbaca tentang SALE, DISKAUN, PESTA, JUALAN MURAH, YEAR END SALE, JUALAN GUDANG atau apa-apa yang memberi makna yang hampir dengannya. Yang sakit boleh jadi sihat, yang pokai pun boleh tiba-tiba jumpa duit bawah tikar.

Ok berbalik kepada cerita Pesta Vincci tu.
Saya memang ada la juga keinginan untuk ke sana. Kalau boleh nak pergi pada hari Jumaat sebab suami saya ada mesyuarat di sana. Tapi dia bilang pergi saja hari Sabtu. Dia boleh temankan. Saya pun tak ada isu sangat jadi OK kan saja.

Tengahari Jumaat tu, saya dapat satu info mengatakan ada kekecohan di warehouse sale tu sebab terlalu ramai orang sampai wanita-wanita ayu yang pada mulanya ke situ untuk membeli kasut; telah bertukar menjadi musang apabila ada yang memanjat-manjat tembok dan menggoncang-goncang pagar.
Uish.
Ini lagi ganas dari Perhimpunan Kuning atau Merah.

Saya hantar info tu kepada suami
"D tak maulah pergi Pesta Vincci tu esok"
"Eh...kenapa? Nak pergi hari ni juga ke? Abang dah balik ofis. Esok kan senang~"
"Tak mau. Esok ke, lusa ke...Tak mau pergi sebab......blablabla (mulalah aku membebel panjang jadi wartawan melaporkan kejadian)
"Tak menyesal?"
"Tak"


















 Deep inside, saya rasa saya dah buat keputusan yang tepat dengan akur pada rancangan suami. Kalau ikutkan keras kepala saya tu, memang saya akan ikut bersiap dan bergerak ke Shah Alam bersama suami pagi Jumaat tu.
Sudahlah saya ni agak susah mencari kasut. Jadi jualan murah sebegitu memanglah sangat saya suka; bukan sebab design sangat, tetapi saya suka sebab ada banyak pilihan dan saya boleh pilih mana yang sesuai dan selesa.

Esoknya (Ahad), kami ke KLIA2 menghantar adik ipar saya ke Sabah. Kami lalu kedai Vincci KLIA2. Suami pandang saya sambil senyum-senyum.
"D, tu...Tengok tu. Kasut Vincci dua pasang RM69. Pergilah. Tak payah berebut-rebut~"

Saja la tu.

Jadi selepas ni katakan tidak kepada warehouse sale yang huru-hara macam tu. Memanglah pihak pengurusan pun tak sangka nak jadi macam tu kan. Tapi kita sebagai pelanggan pun dah boleh agak kalau jualan brand besar, tapi harga macam kedai terbalik. Mesti sesak, kan...
Lepas ni kita pergi warehouse sale untuk mak-mak dan baby-baby pulak. Hahahahahaha!

Dhiya

Vincci Sale: Semua RM15?


Entah.
Tak tahulah betul ke tak.
Gambar diambil dari FB
Tapi ini yang saya jumpa banyak di feed FB.

Hm....Ada bau best ni!

Kebetulan rasanya si dia ada mesyuarat di kawasan yang sama esok. Oyeah!
Naaaaaaakkkk!















Jangan seronok sangat, D.

Kalau dapat pergi, saya update lain~ Sekarang kita on mode pujuk suami.

Niat Solat Jamak dan Qasar


Bismillah

Perkongsian untuk active traveller macam saya- Suami cakap jom; terus masuk gear satu dan pergilah melancong ke mana-mana. Dia memang sejak bujang lagi kaki gamble bab travel. Jadi since dah berkahwin, saya pun terjebaklah sekali.
Travelog DDD tak tulis-tulis juga. Hadoilaaa :0

Salah satu perkara yang tidak boleh diambil mudah dalam bermusafir semestinyalah solat. Dulu saya paling malas untuk berhenti di mana-mana surau atau masjid semasa dalam permusafiran. Malas buka tudung, malas nak kecah-kecah dan tak suka berkongsi telekung.
Tapi lama-lama saya dah boleh adapt solat di surau Petronas atau RnR apatah lagi sejak dua bulan kebelakangan ni. Telekung pun memang wajib ada sepasang dalam kereta.

Selesai bab tu

Di satu sisi yang lain, kena tahu la juga niat solat jamak dan qasar ni kan. Takut nanti dah pakai telekung, dah tegak berdiri...

'Eh nak solat apa ni eh~?'

Jamak dan qasar ni hadiah dari Allah kepada kita yang bermusafir (dengan tujuan yang baik). Jadi gunakanlah peluang yang diberikan :)

Harapnya perkongsian ni menambahkan tabung pahala saya dan sesiapa yang membacanya.
Entri cerita kahwin masih dalam deraf. Dhiya oooohhhh Dhiya!

Dhiya

Hey, Dhiya


Bismillah

September sudah sampai ke hujungnya. Namun DDD masih berdebu tanpa cerita seperti yang dijanjikan. 
Ini semua salah data internet yang saya langgan (salah sendiri tak nak mengaku). Data bulan September habis hanya dalam beberapa hari dek kerana daya guna yang agak tinggi dan masih belum pandai bajet sebab baru saja dilanggan :P

Rutin harian seorang domestic manager amatlah padat. Laptop ini jarang sekali saya buka sejak menikah. Tapi Insya Allah semuanya baik dan saya dapat menyesuaikan diri dengan baik sekali. Banyak aktiviti berfaedah yang dapat saya lakukan hingga sampai satu tahap, saya sudah jatuh cinta dengan bidang ID dan masakan. Hahahaha!

Sebut pasal ID, hobi terbaru saya sekarang ni adalah membelek katalog IKEA. Ya, IKEA!!! Sejak menikah, saya dah ke IKEA sebanyak tiga kali. Mungkin bimbang akan 'keselamatan' poketnya, suami saya dengan penuh bijaksana telah mengambilkan katalog untuk saya belek-belek di rumah.

"D tak payah susah-susah pergi IKEA tu. Buat penat je. Nah abang bawa balik katalog"

Dia tak tahu dengan katalog tu, saya akan aim dengan lebih banyak lagi. Muahahaha!
Jangan beritahu dia. Nanti katalog itu disorok pula~

Oh ya.
Sejak kebelakangan ini juga saya mengalami sakit yang sangat serius.
---Sakit Kepala Tak Tahu Nak Masak Apa---
Sekarang baru saya faham kenapa emak dan abah akan selalu 'bergaduh' di dapur hampir setiap pagi sebab tak tahu nak beli ikan apa- nak masak apa- nak buat lauk apa.
Sekarang dah jadi pada diri sendiri. Padan muka~

Tapi di sisi baiknya, saya telah dapat memperbaiki kemahiran memasak saya dengan cemerlang sekali. Paling seronok kalau resepi yang dicuba tu diambil dari internet (atau FB), dimasak dan menjadi malah dimakan dengan penuh semangat oleh si dia. Mungkin tak perlu tanya kenapa kami suami isteri berlumba-lumba membesar bagai juara nanti! 

Fesyen juga menjadi perhatian utama sejak kebelakangan ini. topik ini perlu saya tulis dalam satu entri khusus lain. Bukan mudah membawa diri yang padanya ada nama dan bayang-bayang pasangan. Jadi kami bersetuju yang imej adalah sangat penting samada di dalam atau di luar rumah. Insya Allah Iqa akan gembira kalau Laneige dan eye shadow yang dia pernah beri pada saya dulu saya gunakan dengan baik. At least luak la kan~ Huhuhu!

Saya sangat rindu untuk menulis dalam DDD. Rindu sangat. Tapi kenapa entah~ Malasnya macam disihir-sihir. Bila dah petang atau malam, barulah menyesal sebab banyak benda tak boleh buat. Pengurusan masa masih teruk ni, Dhiya.

Mari kita lihat, entri seterusnya mungkin ada cerita lain yang lebih menarik.

Tunggu, ya :)

Dhiya

Jangan Banding-Banding. Tak baik!


Cerita Jumaat

Senario:

"Kat KL duduk di mana?.....Oooo di situ. Rumah teres ke, apartment? Ke rumah flat?...Berapa sewa sebulan?....Oooo, anak makcik di Kuantan, sewa banyak tulah juga tapi dapat duduk rumah Semi-D"

" D duduk mana sekarang? Hm...Kami pun baru dapat rumah sewa kat Kuantan sebab suami baru dapat kerja kat sana. Sewa rumah D berapa?......Ye? Kami sewa lebih kurang macam D lah, tapi dapat rumah Semi-D. Serba salah dibuatnya sebab besar sangat. Bilik pun banyak. Kami duduk bertiga je"

Nampak tak?
Nampak?

Dulu, masa saya belajar di UM- Saya dibanding-bandingkan juga dengan anak orang lain yang juga belajar. Saat saya bekerja, saya ditanya samada bekerja di sektor swasta atau kerajaan. Gaji saya pun pernah diteka-teka. Kalau dijawab swasta, ditanya pula kenapa tak mahu masuk sektor kerajaan. (Susah cakap dengan orang tak ada ilmu ni)
Saat saya berhenti kerja dan menyambung pengajian ke peringkat sarjana, ada juga suara-suara yang bertanya itu dan ini.
Malah ketika saya hampir menikah pun- Ada yang bertanya siapa bakal suami saya, kerja apa, malah berapa gajinya!

Ya, saya tinggal di kawasan kejiraan desa. Jiran-jiran emak dan abah memang sudah jadi macam saudara mara. Malangnya (maaf cakap), ada sedikit-sebanyak adat hidup berjiran itu tidak selari dengan adab budaya kita yang berteraskan agama.
Antara sebab saya malas sangat nak keluar rumah kalau sekali sekala balik ke kampung, inilah...

Mula-mula tanya ringan-ringan
Bila balik?
Sampai bila?
Hijan tak di sana?

Lama-lama...
Duduk kawasan mana?.....O dekatlah dengan rumah anak makcik~
Tempat kerja kat mana?....O situ pejabat besar-besar tu. Anak makcik kerja kat sebelah kawasan tu~ (Apehallll)
Naik motor ke kereta?....Kereta? Uish...Jalan jem. Anak makcik naik motor je. Jimat minyak..... Naik motor? Jenuhlaaa kalau hujan, kan?

Apa pun tak boleh?
Nampak tak?

Kadang-kadang lucu.
Kadang-kadang boleh bikin panas.

Emak saya pun kadang-kadang kasihan dengan saya (dan suami). Expectation orang di sekeliling sangat tinggi. Mungkin sebab saya agak outstanding sejak dari kecil dulu kut.. Hahhaha! Kalau nak cakap lepas, lantakkan ajelah saya nak kerja apa, gaji saya berapa, nak duduk mana, rumah sendiri ke rumah sewa, nak pakai kereta apa, nak buat apa. Jangan suka ambil tahu dan lepas tu banding-bandingkan dengan anak dialah, anak sedara dia lah, anak sepupu dia lah...

Kalau hidup nak bergantung pada benchmark manusia je, penatlah. Anak si A pakai Honda City, jadi anak si B cepat-cepat dia cakap pakai Honda Civic. Raya tahun depan, jenuhlah si anak nak buat down payment Civic sebab mak di kampung dah pukul canang anak dia tukar kereta, Civic pula tu. Mujur makcik tu tak sebut Golf.

Nasihat saya, dekati emak ayah kita. Dengar apa mereka cerita sekali sekala ketika kita pulang ke kampung. Kadang-kadang memang terdengar mereka bercerita tentang anak orang begitu dan begini. Kalau yang baik, mungkin kita perlu cemburu sebab menjurus kepada kebaikan. Kalau yang tak elok, pandai-pandailah kita sebagai anak men-taichi dan menasihati mereka. Sesungguhnya tanggungjawab kita sebagai anak sangat berat jika mak ayah kita bercakap tentang anak orang lain sebagai tanda aras mereka.

Contoh:

"Anak pakcik hujung kampung tu dah beli rumah. Ayahnya cerita rumah tu rumah teres 2 tingkat, harganya RM400,000. Minggu lepas anaknya bawa pakcik tu dan isterinya ke bandar sebab mereka buat kenduri masuk rumah baru"

Apa perasaan kita?
-Yang mungkin masih menyewa
-Yang tabungan membeli rumah masih suku kurang dari nilai yang dikehendaki
-Yang mungkin sudah punya rumah sendiri, tapi bukanlah sebuah teres 2 tingkat?

Emak-emak,
Ayah-ayah,

Anak-anak kalian ini tidak hidup di zaman kalian seperti 30- 40 tahun dulu. Kesukaran zaman kami tidak adil kalau dibandingkan dengan kesusahan kalian dulu. 
Rayu kami, jangan suka tanya isu-isu sensitif pada anak-anak dan menantu (baik anak menantu sendiri apatah lagi anak menantu orang lain) lantas dibanding-bandingkan dengan si fulan sana dan sini. Kami terluka. Kami hilang motivasi.

Kami perlu semangat untuk hidup. Susah kami, senang kami- Allah yang beri. Bukan kami tidak cuba untuk perbaiki hidup. Semua orang punya cita-cita dan impian. Semua orang ada habuan pemberian Tuhan. Kami tahu, apa yang diberi setakat ini adalah cukup sekadar apa yang kami perlu, bukan apa yang kami mahu sangat. Bimbang nanti kalau terlebih beri, kami lupa pada Sang Pemberi.

Sekadar peringatan bersama.

Salam Jumaat,
Dhiya

Bunga Tisu Dibuka untuk Tempahan!


Assalamualaikum

Pengumuman!

Pengumuman!

DDD dengan rasminya mengumumkan tempahan bunga tisu dibuka semula bermula hari ini.

Mungkin ramai yang belum maklum, saya memang pengantin yang mendokong semangat DIY terutamanya bunga telur tisu ni :) Jadi bagi merealisasikan hajat bakal pengantin yang teringin akan bunga tisu ni, saya sedia membantu anda. Tapi dah tak jadi Do It Yourself la~ I Do It For You rasanya lebih sesuai. Hahahah!

Ni antara contoh terbaharu bunga tisu yang saya buat untuk majlis saya sendiri. Gebu sampai rasa macam nak tepuk! Tapi mengenangkan majlis sendiri punya, tak tergamak pula nak buat begitu. Tokey pun obses dengan bunga tisu yang dia sendiri buat untuk majlis diri sendiri.
Sedikit info tentang bunga tisu yang saya hasilkan:
- Saya guna tisu lembut yang macam IKEA punya tu. Saya tak guna crepe paper untuk tempahan
- Memang fragile, tapi saya simpan dalam kotak keras yang boleh melindungi bunga-bunga tisu ni dari terduduk
- Dibuat dengan penuh cermat

Saya beroperasi di Kuala Lumpur. Rakan-rakan yang berada di Petaling Jaya sekitar Hilton PJ, Amcorp Mall, Angkasapuri, Pantai Dalam, bolehlah buat tempahan dengan saya kerana Insya Allah produk boleh dihantar terus ke tangan anda. Yang di sekitar KL dan Shah Alam walau tak tersebut lokasi anda, kita boleh bincang :)

Tempahan hendaklah dibuat 2-3 bulan sebelum majlis. Saya hanya menerima 2 tempahan untuk majlis yang sama bulan. Contohnya kalau kenduri anda bulan 1, hanya 2 pelanggan saja saya akan ambil. Saya buat sendiri, tak ada pembantu. Jadi saya tak menang tangan kalau buat banyak.

* Terma dan syarat lain akan dibincang dalam email.

Hubungi:
diahalida@gmail.com

Beri salam
Kenalkan diri
Be friendly :)
Bunga tisu saya yang bersemayam di tepi pelamin. Ramai sangat yang menegur dan merayu barang sekuntum dua. Habis je kenduri, tinggal tempat cucuk je~
p/s: Sekarang saya ada tisu warna merah darah, hijau pucuk pisang, putih suci dan royal blue. Masih available. Kalau minat, email saya cepat-cepat!

Dhiya

Esok Jumaat! :)


Bismillah

Yes. Too mainstream to celebrate Friday because the next day is Saturday
Saya faham perasaannya. Hanya yang bekerja atau pernah bekerja sahaja tahu betapa seronoknya apabila Jumaat berkunjung tiba :p

Sabar
Habiskan Khamis dulu

* Saya tak sabar menunggu Jumaat sebab akan pulang ke kampung!

Dhiya

Hai, Khamis!


Assalamualaikum

Masya Allah.
Minggu ini sudah melewati Khamis. 

Abah sudah dibenarkan keluar dari IJN semalam. Saya sendiri pun terkejut sebab waktu dapat mesej dari abah tu, saya tengah terkial-kial membawa pakaian mak dan abah yang sudah siap dicuci untuk ke IJN kembali. Syukur sangat sebab kata jururawat, abah ni boleh dikatakan antara pesakit fast track. Cepat recover dan kuat semangat :)

Orang yang berkelana jauh pun akan pulang hari ini. Gembiranya saya bukan kepalang. Tapi saya masih kekok untuk bercerita tentangnya apatah lagi mahu menulis 'suami saya' dalam DDD. Hahaha! Macamana tu?
Saya sudah 'jumpa' tempat best untuk membeli ikan dan sayur yang segar. Masya Allah seronok sangat sebab tempatnya besar dan dekat sangat dengan rumah. Ikan-ikan yang dijual segar-segar sambil segera bercita-cinta untuk menjadi surirumah sepenuh masa!

Tempahan bunga tisu telah dibuka kembali secara tidak rasminya. Mode pengantin baru masih ada dan saya masih malas-malas untuk menyiapkan bunga-bunga tu. Tapi ada jiran mak yang berkenan sangat dengan bunga tisu pahar saya dulu dan dia minta saya buat untuk kenduri anaknya pada bulan November nanti.
Tempahan dibuka. Sekitar PJ, Shah Alam dan Kuala Lumpur. 

Cerita bisnes, entri lain lah!

Bai

Dhiya

Puan


Call me Puan Dhiya

Alhamdulillah

Kurang lebih satu purnama menjadi isteri. Banyak rutin harian saya (dan suami) bertukar. Setiap detik adalah momen baru bagi kami. Masih, semuanya terasa bagai mimpi. Kami berdua kadang-kadang macam tidak percaya yang ada satu permulaan baru dalam hidup masing-masing. Manakan tidak, majlis pertunangan dan pernikahan kami berlaku dalam tempoh kurang dari enam bulan dalam tahun yang sama.
Tiada apa yang saya boleh ekspresikan kecuali syukur. Seinfinitinya!
Pernikahan bukanlah pengakhiran sebuah cinta. Kerana itu saya tidak gemar menulis frasa yang membawa makna yang lebih kurang seperti berikut:

- Kami akhirnya melangsungkan pernikahan...
- Kisah percintaan kami diakhiri dengan perkahwinan...
- Bertahun menyulam cinta, akhirnya kami disatukan...

Pada saya, pernikahan inilah permulaan cinta. Begitulah juga buat kami. Semuanya bermula sejak hari akad nikah. Tidak kisahlah berapa lama pun kami sudah kenal sebelum ini. Kami berdua setuju bahawa pernikahan ini sedikit sebanyak telah menjadi turning point untuk kami berubah menjadi seorang yang lebih baik dalam banyak aspek.

Bohonglah-
Kalau semua cerita perkahwinan indah-indah belaka. Do expect something unhappy, in certain conditions. (Bukan suruh sangka buruk sama Tuhan. Buang jauh-jauh isi perut begitu. Jangan ada sekelumit pun dalam hati, tahu~)
Sebagai contoh:
Lepas menikah, jangan assume kau (baik yang suami atau yang isteri) cukup bernasib baik untuk boleh dapat rumah sewa. Beli rumah memang jauh sekali kalau kau datang dari rakyat mainstream. Kalau dapat rumah pula, jangan ingat rumah tu fully furnished siap ada katil dengan tilam 8 inci, set sofa dan set kitchen cabinet lengkap dengan utensils. No way!
Saya pernah jumpa jiran (yang juga baru menikah dan berpindah ke situ) yang ke kedai di kawasan rumah kami hanya untuk mencari besen supaya dia boleh merendam bihun untuk makan tengaharinya. 
Ingat, tak semua isi hidup suami isteri itu indah. Namun semua yang hadir- membawa pengalaman dan pengajaran yang sangat berguna. Percayalah.

Tapi sebagai seorang Muslim, kita kena percaya bahawa pernikahan ini adalah satu bentuk hadiah dari Allah. Dia telah manjanjikan sakinah, mawaddah dan rahmah dalam setiap ruang hidup berumahtangga. Setiap apa yang dilakukan adalah ibadah dan akan diganjari pahala. Cantik. Aturan Allah memang Maha Cantik :)

Sungguh saya tidak layak untuk menulis tentang ini. Usia perkahwinan masih muda. Saya sendiri pun baru memulakan hidup atas nasihat dan tunjuk ajar dari emak. Insya Allah entri yang akan datang saya akan kongsikan tips untuk bakal pengantin dan sedikit perkongsian tentang persiapan saya. Ini memang seronok. Percayalah!

Tunggu
Dhiya
Puan Dhiya


Ritual Tahunan (Entri Backdated)


Bismillah

Entri ini memang super backdated! 

Setelah hampir lima bulan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015, baru hari ini saya berpeluang menulis dan berkongsi tentang kisah ini. Itu pun kelam kabut sambil menengok-nengok abah yang sudah boleh bangun-duduk-berjalan ke sana ke mari.

All in all, Alhamdulillah. Abah is doing fine. Terima kasih atas doa yang dititipkan :)

PBAKL memang sudah menjadi rutin saya sejak di zaman universiti lagi. Hanya ulat buku sahaja yang akan faham betapa nikmatnya pergi ke PBAKL ini. Minat saya ini dikongsi akak sejak beberapa tahun lepas. Tiba saja PBAKL, akak akan segera set tarikh dan masa dengan saya untuk sama-sama menggila dalam lautan buku.

Nah, gambar-gambar sekitar PBAKL 2015.Tolong jangan boring~


 PBAKL 2016 tak tahu lagi bagaimana. Mungkin saya kena bawa luggage besar.

Malas tulis caption
Dhiya

September 2015


Bismillah Walhamdulillah

Tawa
Tangis
Suka
Duka

Banyak

2015 telah melangkau ke bulan September. Entri ini lambat seminggu, bukan bermakna saya ketinggalan masa. Sebenarnya hidup saya sangat penuh terisi dengan banyak agenda sejak sebelum majlis perkahwinan lagi.
Klise. sangat. 
Tapi itulah hakikatnya. Saya sudah tidak banyak peluang untuk membelek-belek blog ini (TT). Rindu tu tak payah cakaplah~ Sampai satu tahap, rasa nak freeze kan masa, tak nak buat apa-apa kecuali menulis dan menulis di blog DDD ini.

Saat entri ini ditulis, abah sudah dipindahkan ke wad biasa di IJN. (Ya, kisah abah ini memang memerlukan satu etri khas yang panjang) 
Maaf kepada saudara mara dan taulan yang banyak bertanya khabar- Tetapi banyak mesej-mesej yang saya hanya boleh baca. Saya sangat sibuk menguruskan kedua emak dan abah. Dalam kelam kabut ini juga, kebetulan suami saya pula diarahkan untuk bertugas di luar kawasan sepanjang minggu ini. Memang ketar juga lutut menjadi lone ranger setelah sekian lama tidak sebegitu.

Kehidupan baru saya baik-baik saja :) Masih banyak yang perlu kami pelajari- Baik urusan duniawi, apatah lagi tuntutan ukhrawi. Kami sama-sama optimis atas setiap apa yang datang; baik atau sebaliknya. Mengenangkan perjalanan sebelum ini pun ada banyak juga yang mencabar tetapi boleh dihadapi, jadi apalah alasan saya untuk takut menghadapi apa yang hadir di depan.

Selamat datang September. 
Saya tak akan 'tidur' sepanjang bulan ini. Jadi tak perlu wake me up when September ends.

Salam sayang
Dhiya