Dua Hari @ One Utama


Bismillah.

EINIX 2012 Hari pertama-15 September 2012

Sampai seawal jam 7.30 pagi di depan pintu masuk One World Hotel. Orang pun tak bangun tidur lagi, Dhiya!
Ini semua gara-gara SMS tergempar mengatakan lori yang membawa barang untuk setup tapak pameran yang sepatutnya dilakukan malam sebelumnya dikatan hilang.
Sampai sahaja, saya lihat tapak masih kosong sedangkan peserta sudah ramai yang datang! Saya pula yang susah hati. Setup perlu siap sebelum mall dibuka. Itulah polisi yang dikenakan. Iyalah, kalau tidak, malulah mereka. Orang sudah sibuk datang untuk membeli belah, tapi ruang masih bersepah dan segala kerja-kerja belakang tabir masih berjalan.

Saya membantu di bahagian pendaftaran. Tak kuasa saya hendak mengangkat karpet, meja dan kerusi yang baru datang. Hew~!
Alhamdulillah dan dipendekkan cerita, plan B berjaya dan semuanya ok sebaik sahaja mall dibuka. Rancangan yang hampir punah tapi akhirnya kembali seperti yang dirangka. Dalam hati saya berbisik, susah juga mahu buat program besar-besar ni. Kalau tak ada pengorbanan, memang ke laut semuanya.
Saya kagum dengan mereka yang bekerja keras untuk ini. Saya juga gembira kerana saya adalah sebahagian kecil dari mereka. Saya bangga kerana saya belajar banyak perkara.

Hari pertama memang meletihkan. Saya hanya pulang ke rumah jam 7 malam. Mamandu pun dalam keadaan yang sangat penat dan mata yang berat.
Tiada gambar hari pertama kerana Nikon saya tertinggal di rumah, kerana kelam kabut dek SMS lori hilang :p

EINIX 2012 Hari Kedua- 16 September 2012

Selamat hari Malaysia!
Saya bekerja di hari cuti umum :)
Tak kisahlah...Asalkan janji bos untuk bayar triple bukan hanya pada anggukan kepala. Huu!
Ini Yati. Maaflah. Saya tak mahu letak gambar saya, jadi saya gantikan dengan gambar dia. Kami sempat melarikan diri ke MPH yang hanya di belakang tapak pameran. Bagus juga dapat membaca dan menghilangkan tekanan.
Lepas tu berangan sampai ke tengah laut. Cantik juga bunga tangan pengantin tu. Hurm~
Minat baru saya sekarang. Tapi rasanya tak mampu lagi nak beli buku ni. Mahal. Siapa- siapa yang nak sponsor, silakan!
Mereka-mereka yang gigih bekerja (?)
Makan tengahari saya bersama Yati.
Orang kuat majlis
Peserta dari UCSI, memberikan penerangan kepada salah seorang juri
Vermi Battery dari UTP. Saya secara peribadi sangat mengkagumi hasil mereka!
Dan mereka telah dinobatkan sebagai johan. Dengan menggunakan bahan buangan yang di-dicompose, mereka berjaya menghasilkan bateri yang boleh menghidupkan jam dan menggerakkan kereta mainan.
Mereka memang berhak bergelar juara :) Tahniah!

Sekali lagi saya pulang ke rumah pada jam 7 malam. :( Bayaran tempat letak kereta sahaja mencecah 10 ringgit. Uwa!

Malamnya saya kepenatan dan hanya tidur dan tidur tanpa mengendahkan orang lain. Apa saya kisah~?

Salam sayang,
Dhiya

22 September 2012


Bismillah.

Saya bersiaran dari kampung halaman! :)

Walaupun hanya pulang ke kampung pagi tadi (Sabtu) dan akan kembali ke KL esok (Ahad) petang, tetapi saya tetap bersyukur. Emak dan abah serta seluruh isi rumah itu sangat dirindui.Selalunya saya tidak ada masalah untuk pulang pada hari Jumaat petang, tetapi memandangkan Jumaat lepas saya perlu berada di dalam mesyuarat hingga ke malam, maka saya pasrah untuk pulang pagi Sabtu walaupun saya tahu waktu yang ada ketika saya di kampung sangat singkat (TT)

Sabtu saya habiskan masa bersama keluarga. Lama benar rasanya tak menjejakkan kaki ke pasar malam yang biasa saya pergi tu. Alhamdulillah lepas juga hajat walaupun hanya sekejap. :)
Tapi yang 'tak best' nya ke sini, kita banyak bertembung dengan orang yang kita kenal dan banyak berhenti bersembang daripada berjalan sambil membeli barang. ~ Bukan nak menyombong, cuma kalau boleh seronok juga fokus pada satu perkara sahaja.

Tadi ada satu insiden yang berlaku di depan mata saya: Ketika saya dan akak berada di sebuah gerai makanan, (gerai ini agak familiar di situ. Mereka anak beranak akan mengenakan pakaian seragam dan menjual makanan-makanan tempatan seperti lepat pisang, donat, dan banyak lagi) datang seorang makcik dan bertanya:
"Bila awak buat lepat ni?"
Si anak peniaga menjawab jujur sambil tersenyum: "Kami buat tengahari tadi"
Tanpa disangka-sangka, makcik tadi membaling bungkusan lepat ke atas meja jualan (yang saya rasa dibeli sebelumnya dari gerai itu)
"Lepat basi! Apa la jual lepat basi!" dan makcik tu terus berlalu.
Saya yang melihat kejadian itu pula yang rasa marah.
Bungkusan yang dikatakan lepat basi itu diserahkan kepada si ayah. Saya melihat si peniaga itu merasa lepat yang dipulangkan kembali itu.
Saya cuma melihat dari jauh sambil akak memilih makanan untuk anak-anaknya.
" Ini bukan basi...Ini kan gula. Memanglah nampak likat sikit..." tiba-tiba terdengar peniaga itu bersuara. Haih... Macam-macamlah manusia. Kalau makcik tu ada lagi di situ, mesti dia malu, dan teringin juga saya untuk 'sekolahkan' dia- Supaya menjadi manusia yang lebih bersopan supaya tuanya tidak sia-sia~

Ahad yang indah. Sebentar lagi saya akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Memang tak seronok! Kalau boleh saya tak mahu pun keluar dari rumah emak dan abah ini memandangkan saya sudah belajar jauh dari keluarga sejak berusia 13 tahun lagi. Tapi apa boleh buat, rezeki saya (buat masa ini) masih di sana. Insya Allah akan ada sesuatu yang lebih baik menanti kelak :)

Saya telah mencongak kerja-kerja saya minggu hadapan. Rasanya macam tak berapa sibuk sangat, kecuali ada yang menyibuk. Semuanya adalah kerja-kerja saya sendiri- menyiapkan minit mesyuarat, mengemaskini fail dan mengemas tempat saya yang macam tongkang pecah tu. Semoga seminggu akan datang baik-baik sahaja untuk saya. 

Oh ya, Selamat Ulangtahun Kelahiran yang ke 2* untuk sahabat baik saya, Dr. Nabila Md. Yusof. Maaf sebab tak ada hadiah untuk kamu, dan memang tak nak kasi hadiah pun! Huhuhu

Salam sayang,
Dhiya

Entri Pantas


Bismillah

Saya baru pulang dari EINIX2012 di Pusat Membeli Belah One Utama.
Ini bukan datang melawat. Tapi saya di sana atas tuntutan tugas.
Ia bukan sehari sekejap. Tapi memakan masa dua hari!

Di saat semua orang gembira dengan cuti Hari Malaysia yang akan berterusan hingga Isnin, saya terpaksa melupakan hasrat untuk berehat apatah lagi untuk pulang ke kampung! (TT)

Benar.

Inilah antara pengorbanan yang dilakukan atas nama tugas.

Memandu pulang pun hampir-hampir saja terlelap dan melelong-lelong. Allah.

Sungguh saya terlalu ghairah dengan dunia! :(

Banyak lagi yang ingin saya ceritakan, tapi bukan malam ini dek kerana keletihan yang amat. Saya perlu menghargai diri sendiri dengan sedikit rehat dan privasi.

Nanti, ya!

Dhiya

Untuk Peminat Setem: Jom!

Setem Jubli Intan Ratu Elizabeth II

11/09/2012 5:21pm

KUALA LUMPUR - Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan siri setem dan filateli khas sempena Jubli Intan Ratu Elizabeth II dan lawatan Diraja Duke dan Duchess of Cambridge ke Malaysia yang akan mula dijual kepada umum Khamis ini di semua cawangan pejabat pos seluruh Malaysia.

Ketua Bahagian Setem dan Filateli Pos Malaysia, Yasmin Ramli berkata, siri setem khas itu dikeluarkan dalam dua reka bentuk, mempamerkan gambar Ratu Elizabeth II dan gambar Putera William dan Kate Middleton dijual pada denominasi RM1.50 setiap satu.

"Setem kenangan ini begitu istimewa kerana menampilkan cetakan setem di dalam setem (gambar Ratu Elizabeth II) iaitu kami mencetak semula setem ketika awal pertabalannya yang dikeluarkan Pos Malaysia pada 1953 di atas setem yang baharu," katanya kepada pemberita di sini.

Tahun ini merupakan Jubli Intan Pemerintahan Ratu Elizabeth II yang merupakan ratu paling lama memerintah dalam Monarki British iaitu selama 60 tahun.

Yasmin berkata, Pos Malaysia juga akan mengeluarkan siri Setemku dengan reka bentuk animasi Upin dan Ipin pada minggu hadapan.

"Siri ini mempunyai lima tema yang dikeluarkan secara berperingkat-peringkat di mana pelanggan berpeluang mencetak gambar sendiri di atas setem yang berlatarbelakangkan Upin dan Ipin," katanya. - BERNAMA

p/s: Sukaaa!

September


Bismillah

11 September 2012

Agak lama DDD terbiar sepi. Sejak pulang dari cuti raya tempoh hari, saya masih belum berpeluang menulis sangat. Hampir keseluruhan masa saya digunakan untuk bekerja. :(

Malam ini saya hanya berada di rumah. Sungguh, inilah satu nikmat yang paling berharga buat saya. Saya tidak sedih dan kecewa kalau tidak ke mana-mana selepas waktu bekerja. Apa yang saya mahu hanyalah berehat di rumah!Saya gembira mendobi, memasak dan mengemas walaupun hanya untuk diri saya sendiri.

Hari ini ada satu seminar yang perlu dikendalikan. Jadi pagi-pagi lagi saya sudah berada di pejabat. Berkejar ke sana ke mari bukan satu perkara yang mudah bagi saya yang selesa berbaju kurung ketika waktu bekerja. Penat tu memang sudah tentu. Belum lagi dikira kerenah manusia manusia di tempat seminar dan di pejabat yang 'bukan-bukan' ragamnya.
Kalau diikutkan emosi sahaja, sudah tentu kepala-kepala mereka hilang masuk ke dalam cengkerang seperti kura-kura. Jangan tak tahu, saya juga ada sisi tegas dan garang dalam membela hak peribadi.

Tepat jam 5.30 petang, seperti biasa- Masa pulang saya tak boleh ditangguh-tangguh. Kalau orang nak berkira sangat, nah... Saya pun boleh buat~ Lalalala
Kalau ada yang berani menahan saya pulang awal, tak mengapa. Saya sudah ada skrip untuk mereka.

-Mari lupakan hal kerja-

Oh ya...

Tempoh hari Nabila merajuk dengan saya dek namanya tidak di'tag' dalam status FB saya.
Untuk Nabila dan rakan-rakan yang lain (tak tersebut semuanya), kamu juga amat dirindui. Lidah tak menyebut, tapi hati selalu terdetik.

Benarlah, kawan bak awan...Redup memberi teduh, hujan memberi tenang.

Berapa jauh pun kita terpisah, tapi kita tetap berada pada garis masa yang sama. :)

Salam Rindu, 
Dhiya

Cheese Tart


Penangan puasa, semua yang dilihat sedap dan menyelerakan.

Tiba-tiba saya teringat akan cheese tart yang ditempah akak untuk Aidilfitri yang lalu. Haih!

Tidak berlengah, saya terus mencari-cari resepi di internet. Dan.....Dan ini adalah yang paling membantu- mudah difahami malah lengkap dengan penerangan dan gambar yang jelas dan menarik. Memberi inspirasi gitu~

Terima kasih, Kak Azlita Aziz
 

BLUBERRY CHEESE TART dan step by step

Assalamualaikum....

Bertemu sekali lagi kita di hujung minggu...  Sekali lagi kita bertemu dalam ruangan step by step. Kali ni ita nak tunjukkan cara2 tuk buat cheese tart. Atas permintaan adik2 kita kat luar sana akak ambil kesempatan tuk tunjukkan step by step membuat cheese tart. Sebenarnya bukan mudah nak buat step by step ni sebab ita sesorang kan mana nak buat adunan dan mana pula tangan yg nak pegang camera.. hihi tapi kerana adik akak kat luar sana minta tunjukkan cara2nya  akak buatkan juga lah cara2 macam mana akak buat cheese tart ni.. semoga apa yg akak tunjukkan ini sedikit sebanyak dapat membantu adik2 kita yg gemarkan cheese tart ni... sama macam akak juga.. >^<


Kali ni ita gunakan resepi dari Azita. Nama hampir sama tapi orang tak sama... hehe.. :) Resepi dari Azita ni sangat sedap dan cukup simple cara buatnya.. ok tampa buang masa kita kedapur dan lihat bahan2 yg diperlukan.


Sebelum kita buat Cheese tart kita sediakan dulu bahan2 tu buat Shell atau crust dia dulu

170gm marjerin atau butter
50gm gula aising
1 biji telur Gred C
290gm tepung gandum
1 sudu kecil esen vanilla
acuan tart


Pukul marjerin dan gula dengan menggunakan senduk kayu atau spatula. Jangan putar lama sangat.
Masukkan telur dan esen vanilla. Putar lagi dengan senduk kayu.
Masukkan tepung sedikit demi sedikit.
Uli hingga menjadi doh yang lembut. Kuantiti tepung bergantung kepada kelembutan doh.
Untuk mendapatkan doh yang baik masukkan doh dalam plastik bag dan simpan dalam peti ais semalaman.


Ambil sedikit adunan dan tekan ke dalam acuan tat. Cucuk dengan garfu sebelum dibakar.Bakar pada suhu 170C selama 20 - 25 minit atau sehingga masak.
Crust atau shell ni kita boleh sediakan awal. Simpan dalam bekas kedap udara dan ia tahan lama. Tunggu Crust atau shell benar2 sejuk sebelum kita letakkan filling dan cheese.

 Nota : Jika guna telur Gred B, buang sedikit putih telurnya untuk mengelakkan crust menjadi keras sangat.


Sediakan filling yg kita suka. Biasa kita boleh gunakan blueberry, strawberry, coklat, kiwi, oren atau jam nenas tuk buat filling cheese tart ni. Bahan2an untuk filing ni boleh kita dapatkan dari kedai2 menjual bahan2an tuk buat kuih dan kek. Kalau rajin boleh juga di buat sendiri.
Masukkan filling tu dalam piping bag utk memudahkan proses kita meletakkan ia dalam shell tadi.


Lebih banyak filling kita letak bertambah sedap lah Cheese tat kita. Bila dah siap, ketepikan dan kita sediakan  pula bahan2 tuk membuat cheese dia pula.


250gm cream cheese
50gm gula kastor / gula halus
1 biji telur Saiz B
½ sudu teh esen vanilla / esen lemon

Keluarkan cream cheese 20 ~ 30 minit sebelum digunakan. JANGAN biarkan cream cheese mencapai ke suhu bilik.
Putar cream cheese dan gula hingga berkrim.
Masukkan telur dan esen vanilla. Putar lagi.


Masukkan filling ke dalam kulit tat. Untuk memudahkan kita gunakan kaedah yg sama untuk letakkan filing tadi. Dimana kita masukkan dalam piping bag dan picitkan di atas filing dalam shell tadi. Letak penuh supaya ia cantik membuncit.

Kemudian boleh lah kita mulakan proses tuk melorek atas cheese tat tadi.


Ambil sedikit cream cheese tadi dan titikkan sedikit pewarna yg kita suka. Kacau rata sehingga warna bergaul sempurna. Proses untuk melorek dilakukan ketika cheese tadi masih lembut. jangan biarkan cheese terlalu lama nanti dia dah mula mengering dan proses melorek tidah secantik yg kita inginkan.


  1. Dengan menggunakan pencungkil gigi, buat garis kecil2 di bahagian tepi.
  2. Bilangan garis2 kecil tersebut mengikut citarasa sendiri lebih banyak lebih cantik!
  3. Kemudian dengan menggunakan bahagian yang tajam, tarik daripada atas ke bawah  dalam bentuk bulatan untuk mendapatkan bentuk tersebut.

Bakar selama 5 minit pada suhu 170C. Sentuh cream dengan hujung jari. Jika tidak melekat, maknanya telah masak. Jika tidak, bakar dalam seminit lagi.
tambahan : ita bakar api atas bawah tapi ita letak dekat rak bawah.

Untuk resepi ni, 1 adunan shell ita dapat buat dalam  40 biji shell itu pon bergantung kepada besar acuan dan ketebalan shell.
Bagi adunan cheese pula dapat dalam 70 - 80 shell.
Untuk stabilkan adunan buat 2 adunan crust atau shell dan 1 adunan cheese

Cheese tart yang telah siap di simpan dalam bekas kedap udara dan letakkan dalam peti ais untuk ketahanan yg lebih lama... Selamat Mencuba! dan selamat berpuasa! :)

Lagi resepi menarik dari blog Masam Manis

P/s: Dan dan bersemangat nak beli oven sagala. Macam best je kan~?

Salam sayang,
Dhiya

Alahai...


Pak Menteri sekalian,

Tidakkah kalian terfikir, di mana anak buah kalian di luar sana menginap?

Sumber: Facebook


Tak perlu susah-susah untuk buat kaji selidik tentang gaji kami. Cukuplah kaji dan selidik keperluan tempat berlindung kami. :)

Salam sayang,
Dhiya

Das Auto 2012


Saya sudah daftar semalam.

 
 
Anda bila lagi?

Untuk pengetahuan, saya pernah ke Das Auto 2011 di Bukit Jalil dan ia sangat awesome! 

Jumpa Minggu Depan,
Dhiya :)



Cuti Merdeka


Bismillah...

Cuti bersempena Hari Merdeka, bukannya bercuti dan merdeka. Tanggungjawab dan ikatan tugas yang menggunung masih ada, cuma ditinggalkan di pejabat. Tidak dibawa pulang ke rumah.
Kebetulan minggu ini saya sedikit sibuk dengan E-Week yang akan diadakan minggu depan. Jadi banyak jugalah kerja yang perlu diselesaikan. 
Malangnya, semalam komputer saya buat hal. Dalam tempoh 15 minit, 3 kali auto shut down.Segala apa yang saya buat, yang saya taip semuanya hilang. Berang berurusan dengan teknologi yang kadangkalanya sangat bodoh dan menyusahkan, saya panggil IT person supaya turun dan tengok sendiri apa masalanya. Katanya komputer saya mengalami power loss yang banyak mungkin disebabkan wiring. Itu nak salahkan saya lagi ke? Tak kan? 
IT person tu pesan 'jangan buat apa-apa' dan ya, saya terus kemas beg dan bersiap untuk pulang sedang waktu itu jam baru menunjukkan pukul 4.30 petang.Lantak!

Tepat jam 5.30 petang, saya angkat kaki. Tiada apa yang boleh saya buat pun kalau saya menunggu lebih lama. Huu.
Lebuhraya Persekutuan agak sesak. Selalunya begitulah. Esok kan cuti umum. Mungkin ramai yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung sambil-sambil menghadiri rumah terbuka makan percuma Aidilfitri yang masih ligat dianjurkan sana sini. Baguskan~ Lepas-lepas raya ni kena bijak sedikit... :p

Selepas Maghrib, kami ke Serdang untuk bertemu Wani, rakan baik saya. Walaupun baru bertemu pada Hari Raya Kedua tempoh hari, tapi ada misi lain yang saya perlu selesaikan dengan mereka. Kami makan malam di sebuah restoran makanan Barat yang saya sendiri pun tak ingat nama dan lokasinya. (Maaf yah! Nanti saya akan tanya Mr. GPS saya~) 
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dan berkongsi banyak perkara. Mood honeymoon Wani dan suami nampaknya macam belum habis. Saya macam cemburu! 

Selepas makan, kami bergegas pulang. Malam menanti detik 12 malam special occasion seperti 31 Ogos ni selalunya lebih banyak benda 'buruk' dari perkara baik.Kalau teringin sangat nak tengok bunga api segala, kita tengok di rumah sahaja. Tak perlu berebut-rebut di Dataran Merdeka tu. Dan memang, saya menonton percikan bunga api detik 12 malam secara langsung dari balkoni rumah. Lebih cantik, lebih selesa dan lebih selamat. Betul, tak tipu.

Terima Kasih, Malaysia!
 Hari ini, cuti umum yang kebetulan jatuh pada hari Jumaat. Saya terasa sedikit rehat walaupun hakikatnya esok adalah SSB saya. Tapi setidak-tidaknya saya dapat berada di rumah. Itu lebih berharga. Saya gembia dapat mengemas rumah dan meraikan diri dengan apa yang saya suka. Saya boleh menyelak satu demi satu helaian akhbar tanpa gangguan, boleh menulis blog dengan fokus dan lebih masa untuk berangan. Uuuu!

Petang ini akan ke rumah terbuka seorang sahabat. Sekarang sudah siap semua, tinggal belum mengenakan stokin. Yuk!

Salam Sayang, 
Dhiya Dahlia

Cuti Dah Berakhir


Bismillah.

Hari ini hari pertama saya kembali bekerja setelah bercuti lama. 

Saya pulang ke Kuala Lumpur jam 11 pagi semalam. Biasalah, adegan meronta-ronta tak nak balik tu memang ada~ Siapa tak sayang mak abah dan kampung halaman :p 
Tepat jam 1.30 petang, saya sudah pun selamat sampai di tempat letak kereta rumah sewa. Phew! Alhamdulillah, jalan tidak sesak walaupun kenderaan banyak. Dengar katanya Tol Karak, Tol Bentong dan Tol Gombak sudah mula sesak bermula waktu tengahari.

Alhamdulillah, sebelum bercuti minggu lepas, banyak kerja-kerja yang saya sudah siapkan awal-awal supaya tak banyak kerja yang menunggu hari ini. Perkiraan saya boleh dikira tepat jugalah. Hari ini saya bekerja dengan gembira tanpa tekanan dari sesiapa KECUALI adalah beberapa isu yang kalau dilayan hanya akan menyakitkan hati. Secara peribadinya, saya dah menang kerana berjaya menguruskan semua kerja saya walaupun kerja-kerja orang lain yang dihenyak kepada saya tu memang ada.

Seperti yang dijangka, saya pulang tepat jam 5.30 petang. Saya tak kisah apa mulut orang nak kata. Saya melihat ada orang yang jauh lebih teruk malah sangat berkira daripada saya. Waktu rehat dia, memang dia punya. Tak cukup lagi, ambil waktu rehat orang lain. Sudahlah tu, sedap pula berehat di surau. Betul-betul mencantas kepercayaan dan penghormatan yang diberikan oleh pihak atasan. Bila orang bercakap hal dia, hebat sangat sampai nak tampar-tampar muka orang. Chait! Perkara dah betul, mengaku salah sajalah. Betulkan kesilapan diri. Bukan salahkan orang lain.
Ok balik kepada cerita asal. Jalan pulang pun tak sesak. Selepas 10 minit memandu, saya sudah sampai di rumah.

Malamnya saya hanya berada di rumah. Banyak sudut dan ruang bilik ini perlu dikemas dan diatur elok. Menjadi wanita bekerjaya bukanlah suatu yang mudah. Hidup single pun dah haru biru berperang dengan masa, inikan pula nak hidup berdua, bertiga dan seterusnya! Hehehe~

Esok saya ada seminar yang perlu dihadiri. Perlu rehat yang cukup atau saya akan makan kepala-kepala yang minta macam-macam yang tidak rasional dan melampau dari saya. Awas, ya! 
Siapa kata raya saya hanya seminggu? Walaupun sudah kembali bekerja, saya masih dalam mood raya dan bersedia untuk mana-mana rumah terbuka yang diundang!

Akan menulis lagi esok.

Salam sayang,
Dhiya

Syawal 1433H


Assalamualaikum...

Tak kiralah. Walaupun 1 Syawal telah berlalu, saya tetap mahu menulis tentang raya. It's better late than never. 

Pertama dan terutamanya, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, 

تقبل الله منا ومنكم

Semoga Aidilfitri kali ini adalah yang bernilai di sisi Illahi dan berharga bersama famili.

Hari-hari mendatang saya pasti sunyi malamnya tanpa terawih yang istimewa. Setiap kali meninggalkan Ramadhan dan menyambut Syawal, saya hanya terkenangkan terawih. Sempatkah saya untuk berjumpanya dalam Ramadhan yang akan datang?

Balik Kampung

Saya hanya pulang ke kampung pada hari Sabtu. Itu pun sepatutnya saya masih perlu datang bekerja. Kalau nak diikutkan 'kepala' mereka sahaja, alamatnya saya akan tiba di kampung pada malam rayalah~ Saya tekad meninggalkan Kuala Lumpur sebaik usai solat Subuh Sabtu. Balik Kampung Oh Balik Kampung untuk beraya!
Ini tahun kedua saya betul-betul pulang ke kampung lantaran bekerja di Kota Mega. Sebelum ini saya berada di bawah kapasiti pelajar dan tidak kisah dan tidak berkira dengan cuti. Semuanya sudah tertulis dalam takwim semester pengajian. Tetapi kali ini memang berbezalah... Terpaksa bertungkus lumus mengisi borang itu ini untuk memohon cuti. Birokrasi! :p
Saya berada di Tol Gombak seawal jam 6.30 pagi. Kononnya sayalah manusia yang paling awal dan paling bijak untuk mengelak kesesakan lalu lintas. Ya, ia betul dan tepat pada awalnya. Tetapi semuanya berubah apabila saya mula mendaki bukit untuk memasuki Terowong Karak. Tolonglah bayangkan: Sepanjang-panjang jalan menaiki bukit sebelum terowong tu sesak. Baby K saya hanyalah sebuah kenderaan manual yang menggunakan kuasa kaki kiri saya untuk mengawal clutch. Memang rasa nak tercabut saja kaki kiri saya. Sakit! Kesesakan itu hanya berakhir di Tol Bentong. Tolonglah cakap kesian! Tolonglah!

6.45 pagi. Beberapa kilometer lagi sebelum memasuki Terowong Karak. Sesak ok. Sesak!
Adegan yang jarang-jarang dapat dilihat
Tengok betul-betul. Lori apa tu...~
Tengok laaa
Di saat semua orang sesak untuk balik kampung berhari raya, saya tidak nampak di mana kepentingan lori minuman haram ini untuk turut berada di Lebuhraya Karak. Mujurlah saya tak dapat snap nombor pendaftarannya. Kalau saya dapat, mahu saja saya buat laporan! Grrr!
Er...Jangan tanya macam mana saya ambil gambar sambil memandu. Memang saya ambil gambar sambil memandu. :p
Keadaan hanya kembali normal selepas Tol Bentong. Siapa yang melaluinya sahaja yang tahu betapa jauhnya saya dan mereka terpaksa mengharungi kesesakan.
Selepas empat jam perjalanan, saya tiba di kampung halaman dengan selamat. Alhamdulillah. Puas berperang dengan kepenatan, mengantuk dan sikap pemandu lain yang macam-macam, akhirnya saya sampai juga. Oyeah!

Sampai di rumah, ada satu kad raya untuk saya!
Sekarang ni nak dapat satu kad raya pun susah, tau!
Terima kasih, An atas ingatan tulus ikhlas :)
Pagi itu, emak dan abah sudah sibuk merebus ketupat dan membasuh ayam dan daging. Balik sehari sebelum raya begitulah...Tak banyak yang boleh saya bantu melainkan menyusun kuih muih raya pada sebelah malamnya. Aidilfitri pada saya sangat epik. Sedari saya kecil hingga dewasa, atmosferanya tetap sama. Saya sayang famili saya. :)

1 Syawal 1433H

Alamak. Menu utama mak, laksa sudah habis. Jadi tak ada gambar untuk dijadikan bukti. Tapi saya suka dengan budaya kampung yang masih diamalkan di sini- Baraan atau rombongan dari rumah ke rumah jiran. Kawasan perumahan saya telah dibahagi-bahagikan mengikut blok. Jadi ahli blok akan membuat satu rotation ke rumah ahli blok yang lain sambil membawa anak-anak serta menantu dan cucu untuk mengutip duti raya. Lazimnya rombongan kaum lelaki akan diadakan selepas solat sunat hari raya manakala rombongan kaum wanita akan berjalan pada waktu petang.

Rombongan Lelaki. Rombongan raya okeh!
Beginilah setiap tahun. Inilah budaya yang paling berharga di kampung saya
Kira duit raya
Penat beraya
Saya memang mengikuti rombongan ini tanpa gagal setiap tahun, tetapi tahun ini saya terpaksa mengikat diri di rumah atas sebab-sebab tertentu. :p
Lagipun anak-anak murid emak dan abah ramai yang bertandang. Jadi kalau tiada orang di rumah, kasihan pula mereka. :)

Satu Syawal melabuhkan tirainya dengan seribu kegembiraan dalam kesederhanaan. Terima kasih Tuhan kerana masih meminjamkan kami sekeluarga usia untuk bersama.
Sejenak saya terfikir, sudah 3 tahun kesedihan itu berlalu. Banyak rutin kami yang berubah. Bukan sedikit perubahan yang kami hadapi. Tapi kami akur dan syukur kerana ini adalah sebahagian daripada peringatan untuk kami agar lebih tabah dan cekal serta tinggi iltizam untuk memperbaiki diri.

2 Syawal 1433H

Saya menerima tetamu pertama:

Free to save, yah! Hehe


p/s: Nyun, sangat sweet! Cepat-cepat timang baby sendiri yah!

 3 Syawal 1433H

Tetamu kedua saya :)


p/s: Terima kasih atas ziarah dan ingatan dari sahabat handai yang mengingati. Cumanya saya penat dan lelah apabila ditebak soal nikah kahwin. :( Berilah saya ruang untuk bernafas dulu. Saya juga punya emosi untuk dibelai agar tidak terluka. Yang pasti, doa semua orang amatlah saya dambakan. Semua orang berhak untuk memiliki cinta...

Salam Eid, 
Dhiya

Hutang dan Pinggang


Assalamualaikum.

Bukan. Ini bukan entri Hutan dan Pinggan. Saya menulis tajuk yang betul: Hutang dan Pinggang. Yep, Hutang keliling pinggang!

Sebelum saya menulis tentang raya, saya ingin kongsikan pendapat saya tentang isu dalam salah sebuah tabloid tempatan hari ini.

Hidup Hutang Keliling Pinggang

KUALA LUMPUR – Kegilaan masyarakat negara ini menjalani gaya hidup moden dengan berhutang keliling pinggang begitu menggerunkan apabila maklumat terkini menunjukkan lebih enam juta isi rumah di Malaysia mempunyai jumlah hutang terkumpul sebanyak RM653 bilion.


Secara purata, ini bermakna setiap isi rumah di negara ini tidak kira pangkat, status dan usia mempunyai hutang kira-kira RM108,000 seorang.

Pembiayaan sewa beli kenderaan yang tinggi, pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan adalah tiga punca utama golongan tersebut terpaksa menanggung hutang yang banyak.
Lebih memburukkan keadaan, ketiga-tiga hutang berkenaan memakan masa berpuluh tahun untuk diselesaikan.
Ia disebabkan sikap segelintir peminjam bertindak menambah lagi pinjaman ketika pinjaman asal masih belum selesai sekali gus menyebabkan hutang mereka terus bertambah.

Bagi golongan isi rumah dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan pula, hampir separuh daripada jumlah itu terpaksa digunakan untuk membayar hutang berkenaan.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata, jumlah hutang yang terlalu tinggi dalam kalangan isi rumah akan mengurangkan keupayaan mereka untuk berbelanja.
Beliau berkata, kebanyakan daripada jumlah gaji yang diterima oleh mereka terpaksa diperuntukkan untuk tujuan membayar semula hutang.
“Akibatnya, ia bukan sekadar memberi kesan kepada individu itu sendiri, malah ekonomi negara turut terjejas kerana penggunaan isi rumah merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

sumber

***********************
Satu: Mengapa Berhutang?
Kerana tidak mampu membeli sesuatu secara tunai. Jelas.

Dua: Mengapa Tidak Mampu?
Terlalu mahal. Titik.

Tiga: Kadar Hutang RM 108,000 Seorang. Wow!
Saya tidak terkejut dengan kadar hutang sebanyak RM 108,000 seorang kerana ia mungkin boleh jadi lebih tinggi daripada itu. Betul tak? Kalau tak percaya, sila ambil mesin kira sekarang.

Empat: Keperluan Vs Kehendak
Ini isu paling kritikal dalam menilai soal hutang. Saya melihat tiga jenis pembiayaan yang dinyatakan di atas adalah jenis keperluan dan vital seiring dengan masa.

Kalau dulu orang melihat kereta sebagai kehendak, tetapi dewasa ini kereta sudah menjadi keperluan. Mampu atau tidak, kereta sudah menjadi seperti sesuatu yang mesti dimiliki walaupun sudah memiliki sebuah motosikal. Mengapa? Pertama, kadar kemalangan motosikal adalah lebih tinggi berbanding kenderaan empat roda. Jadi risiko tetap ada. Kedua, kereta lebih compatible dan efisyen untuk membawa keluarga. Tak kisahlah punya isteri dengan anak seorang atau anak tiga, takkan mereka nak diangkut dengan motosikal dalam hujan lebat,kan? Sebagai pengguna pula, kita mesti tahu akan tahap kemampuan kita. Kalau rasa kereta kecil dan ekonomi sudah cukup, mengapa perlu memilih yang mahal dan tidak berbaloi? Ingat, beli kereta bukan setakat bayar bulanan sahaja- Fikirkan juga jadual penyelenggaraan, insuran dan cukai jalannya.Ukur baju mesti di badan sendiri.

Kita tidak tahu apa tujuan pinjaman peribadi dibuat. Iyalah, nama pun peribadi. Jadi tak perlulah dicanang seisi dunia tentang tujuan dan matlamatnya. Saya pernah tahu yang pinjaman peribadi ini selalunya dibuat untuk tujuan (antaranya) berkahwin, house renovation, dan seumpamanya.
Sekali lagi kita perlu menimbang isu ini samada ia adalah keperluan atau kehendak. Perkahwinan yang bagaimanakah sehingga perlu membuat pinjaman peribadi? Perkahwinan adalah melihat masa hadapan. Kalau semua wang habis malah sampai terpaksa meminjam untuk kenduri hari ini, alamatnya kehidupan esok memang hanya tentang hutang dan pinggang!

Saya suka berkongsi pengalaman peribadi saya tentang isu rumah. Saya pernah melewati beberapa kawasan perumahan mewah dan elit sekitar Bangsar, Taman Tun Dr. Ismail, Damansara dan Hartamas. Malah masih saya ingat bagaimana besar dan mewahnya sebuah rumah yang terletak di atas bukit di belakang kampus UM. Tak cukup dengan itu, garaj mereka penuh dengan kereta-kereta mewah yang bukan sebuah dua. Di depan pagar rumah pula tercegat dua orang pengawal keselamatan yang disediakan pondok kecil lengkap dengan monitor CCTV.
Setiap kali melalui kawasan itu, saya selalu bertanya kepada diri sendiri:
Siapakah mereka yang mampu membeli dan membina rumah semewah ini?
Apakah pekerjaan mereka yang membolehkan mereka mempunyai kapasiti ini?
Berapakah gaji mereka hingga boleh membina rumah mewah seperti istana ini?
Saya pernah berbual dengan seorang jurutera yang terlibat dengan projek pembinaan rumah. Katanya harga rumah memang semakin meningkat berkadaran dengan masa. Kita semakin tidak mampu untuk memiliki rumah waima sebuah rumah teres setingkat! Kadar usia pemilikan rumah pula semakin meningkat di mana seseorang hanya mampu membeli rumah pada usia lewat 40-an, itupun kalau sejarah pekerjaannya membenarkan dia menabung dan berjimat. Bayaran balik pula boleh mencecah berpuluh-puluh tahun. (-.-)
Saya pelik di saat pak-pak menteri kita gigih memperjuangkan hak pemilikan rumah untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, projek-projek pembinaan rumah mewah masih gigih dibangunkan. Paling ajaib, rumah-rumah mewah ini sekalipun dijual pada harga 2 hingga 3 juta, ia masih punya pembeli! Siapakah mereka???
Saranan saya, banyakan pembinaan rumah mampu milik, tingkatkan kualiti, kurangkan kos, dan hentikan rasuah. Eh~ Mampukan Malaysia untuk melakukannya?
Kasihan jurutera-jurutera Malaysia. Mereka sanggup berpeluh-peluh dan mengotorkan kaki turun ke site dan memastikan pembinaan rumah-rumah mengikut piawaian keselamat (segala), tetapi mereka sendiri tidak mampu untuk memiliki rumah tersebut dan hanya memandang dari jauh hasil keringat mereka diduduki oleh mereka-mereka yang kaya dan terus kaya...

Ya, saya sangat beremosi tentang isu rumah kerana saya masih belum mampu untuk memiliki walau sebuah rumah untuk dijadikan aset. Semoga Allah memudahkan urusan saya, untuk masa depan saya. Amin.

Saya rasa tidak adil kalau hanya peminjam yang dipersalahkan. Kadangkala mereka memang terdesak. Kita tidak tahu apa dan bagaimana situasi mereka. Pemberi pinjaman juga rasanya perlu lebih tolerate. Tidak semua terms and conditions yang anda wartakan berstatus win-win situation. Kasihanilah mereka yang memerlukan.

...of my 1-cent idea :)

Salam, 
Dhiya

Ramadhan 1433H


Ya Allah,

Kalaulah setiap hari adalah Ramadhan...

***********************

Selamat tinggal, Ramadhan. Setiap tahun beginilah saya. Sayu benar rasa apabila Ramadhan berganti Syawal.
Ramadhan ini unik- Biarpun kita penat berpuasa di siang hari, tetapi kita tidak kisah malah berlumba-lumba ke masjid-masjid untuk mengejar pahala Terawih di sebelah malamnya.
Pun begitu, kehadiran Syawal tidak pernah mengecewakan. Kita orang Melayu masih kuat berpegang pada adat yang menjadi sendi nilai beragama. Budaya kunjung-mengunjung masih ada. Itu saya suka.

Untuk bulan-bulan seterusnya, saya pasti sunyi tanpa Terawih! (TT)

Ya Allah, panjangkan usia saya untuk Ramadhan yang akan datang.

Dan...Semoga ini Ramadhan terakhir saya beraya single. (*.~)

Salam Sayang, 
Dhiya

Sebak


Malam ini, sunyi sendiri. 

Tiba-tiba saya sebak.

Terasa ingin saja mengambil kata putus meninggalkan Kota Mega ini. Saya mahu pulang ke desa dan ingin kembali menjadi anak kampung.Saya mahu dewasa di sana.

Kenapa?

Terlalu berat mehnah dan tribulasi di sini. Survival saya bukan setakat untuk hidup sendiri, malah untuk kehidupan orang lain!

Saya selalu rindukan emak dan abah. Sejak usia 13 tahun, saya sudah dihantar ke sekolah asrama. Sekarang memang masa saya perlu bersama mereka, memenuhi keperluan mereka sebagaimana mereka memenuhi kehendak saya dahulu.

Dan banyak lagi alasan yang rasional. Emosi yang tidak stabil selalu gagal untuk berkata-kata sedang otaknya ligat mencongak fakta. Argh!

********************************
Selamat malam, Kuala Lumpur.

Dhiya

Grr...Penat!


Bismillah...

Akhirnya, hari ini air mata saya tumpah juga. Sejak sekian lama saya bertahan, hari ini saya gagal dengan diri sendiri.

Banyak betul perkara yang berlaku hari ini. Saya tahu itu semua adalah ujian yang diberikan Tuhan. Tapi apakan daya, saya hanya manusia biasa. Tersungkur dan akur juga pada limitasi diri. Saya gagal.

Satu
Saya masih belum sepenuhnya ditempatkan di cubicle yang sempurna di tempat kerja. Sudah berkali-kali saya suarakan ini kepada pihak atasan, tetapi mereka asyik memujuk saya dengan perkataan sabar. Katanya masih dalam proses, masih menunggu itu dan ini.
Sampai satu tahap, saya sudah naik bosan. Mereka juga yang lantang bercakap soal hak dan keperluan produktiviti dalam bekerja yang perlu dipenuhi. Tetapi mereka juga yang mengabaikan hak dan keperluan saya yang minta dipenuhi.

Dua
Sabar saya memang nipis sungguh ketika pulang dari kerja hari ini. Entah apa sebabnya, jalan pulang saya sesak luar biasa. Hendak melintas kereta ke laluan seberang pun susah. Sudahlah dengan sikap pemandu yang memang tidak memberi laluan, ditambah pula dengan kesesakan yang entah apa-apa. 
Dalam hati saya tak putus-putus bertanya mengapa. Kalau sebelum ini saya sampai ke rumah selepas 10 minit memandu, hari ini saya sampai selepas 45 minit menekan pedal minyak. Kaki kiri saya kebas dek menahan dan bermain dengan clutch. Adoi!
Benarlah...Mungkin Allah sedang melorongkan saya untuk membeli kereta itu. (TT)

Tiga
Saya tidak tahu bila ini akan berubah. Sikap. Sikap. Sikap!
Saya membeli juadah berbuka seperti biasa. Bezanya, hari ini sedikit 'mewah'. Istimewa, mungkin~Saya membeli masing-masing sebungkus mee dan bihun goreng. Air pula saya pilih bungkusan yang besar.
Mesej tidak berbalas.
Apabila panggilan telefon dibuat, rancangan telah diubah. 
Sekali lagi, iman saya menipis dengan sikap manusia yang tidak tetap pendirian sebegini. Saya berang!
Akhirnya dua bungkus makanan dalam polystyrene itu hanya saya perhatikan dari sudut bilik. Ada rintik air mata. Saya kecewa. Rupanya apa yang saya lakukan tak pernah dihargai. Saya tekad untuk pulang ke kampung esok.

Cukuplah Sampai Tiga
Saya sedar yang hari ini saya banyak marah dan kecewa dengan orang sekeliling. Saya penat dengan sikap mereka. Ya, sikap saya pun tidaklah sesempurna mana. Tapi salahkan untuk memilih cara yang lebih baik daripada mengecewakan orang lain?
Tepuk dada, tanyalah diri.

Jangan menangis, 
Dhiya

Tahukah Kita?


Bahawasanya...

Klik gambar untuk paparan jelas.
Lalu di manakah kita? Apa sumbangan kita kepada agama?

Salam Muhasabah,
Dhiya

Bangau, Berhentilah Beralasan


Tapi
Tapi
Tapi

Berhentilah memberi alasan. Masalah bukan hanya untuk dihindari, tetapi untuk ditemukan solusi.

Kita boleh berlari, tetapi kita tak akan boleh bersembunyi.

Sebanyak mana pun masalah yang datang, semuanya perlu dihadapi. Orang yang lari dari masalah adalah orang yang gagal.

Takkanlah sebab sebatang pen pun boleh mati, kan~
Kredit: Facebook

Berhentilah menjadi bangau. Orang dahulu sudah menamakan bangau sebagai makhluk yang panjang dan berderet-deret alasannya. Kisah bangau ini adalah cermin kepada sikap manusia yang suka beralasan dan suka menunding jari kepada orang lain. Kitakah? :

Bangau oh bangau mengapa engkau kurus?
 Macamana aku tak kurus ikan tak mahu timbul
Ikan oh ikan kenapa tak mahu timbul? 
Macamana aku nak timbul rumput panjang sangat
Rumput oh rumput kenapa panjang sangat? 
Macamana aku tak panjang kerbau tak makan aku
Kerbau oh kerbau kenapa tak makan rumput? 
Macamana aku nak makan perut aku sakit
Perut oh perut mengapa engkau sakit? 
Macamana aku tak sakit makan nasi mentah
Nasi oh nasi mengapa engkau mentah? 
Macamana aku tak mentah kayu api basah
Kayu oh kayu mengapa engkau basah? 
Macamana aku tak basah hujan timpa aku
Hujan oh hujan kenapa kau timpa kayu? 
Macamana tak timpa kayu katak panggil aku
Katak oh katak mengapa panggil hujan? 
Macamana aku tak panggil ular nak makan aku
Ular oh ular kenapa nak makan katak? 
Macamana aku tak makan memang makanan aku, memang makanan aku

Stop Bangau-ing and Stop Blaming

Refleksi Diri, Nilai Budi, Koreksi Hati,
Dhiya

Empat Ogos


Bismillah...

4 Ogos 2012, 15 Ramadhan 1433H.

Ya Allah. Cepat sungguh masa berlalu.Wajarlah Allah bersumpah dengan masa- Kerana manusia selalu leka dan alpa akan nilainya!

Hari ini adalah SSB saya. Alhamdulillah Ramadhan ini saya tidak dibebani dengan kerja yang menggunung sangat. Terasa tenang dan banyak masa untuk saya selesaikan tugas-tugas tertunggak. Hari ini saya berpeluang menolong Kak Yan. Syukurlah Allah mudahkan urusan kami berdua. Tidak ada masalah dan tiada manusia yang membawa masalah. :)

Pulang dari kerja, Baby K sudah siap pulang dari kliniknya. Ah, macam-macamlah dia. Asal tahu saja saya sudah bergaji, ada saja manjanya. Tapi itu semua untuk kebaikan saya juga. Tak betah saya untuk pulang ke Pahang dengan keadaan kereta yang tidak diselenggara. Mencegah lebih baik dari mengubati.

Usai solat Zuhur, saya ke Jusco untuk membeli barang keperluan dapur. Hari ini cadangnya hendak memasak. Perut saya sudah penat dengan menu bazar yang boleh dikatakan hampir setiap hari sama. Sudahlah jauh dari emak, apa yang diingini tiada pula dijual. Akhirnya saya tekad- Tomyam!

Tekad dengan menu kegemaran itu, saya mengelilingi Jusco untuk mencari bahan-bahannya. Akibat terlalu asyik berjalan di situ sambil tak jumpa bahan, saya hanya pulang ke rumah pada jam 4 petang. Apa lagi, ributlah saya di dapur. Ini percubaan pertama saya untuk 'turun gelanggang'. Sejak berpuasa, saya selesa membeli dan berbuka dengan rakan serumah sambil bertukar-tukar hidangan, atau membawanya ke masjid dan berbuka di sana.

Sebut tentang berbuka di masjid, saya tidak malu malah gembira di sana. Pulang dari pejabat seawal 4.30 petang membolehkan saya bersiap apa yang patut. Makanan dan minuman yang ala kadar akan dibawa di dalam beg dan saya akan ke masjid kegemaran saya. Di sana- di tepi-tepi kolam berlatar belakangkan wajah kota, saya makan seadanya sebelum solat Maghrin berjemaah. Usai solat, saya berehat sebentar sambil menanti Isyak dan Solat Tarawih. Saya bahagia begitu. Saya gembira dengan simple habit itu dan menghasilkan situasi menang-menang :)

Ok kembali ke cerita utama-
Azan Maghrib tadi, saya berbuka dengan menu masakan sendiri. Alhamdulillah, percubaan kali ini menjadi. Cukup masin dan sempurna masamnya. Cukuplah untuk perut saya sendiri kerana memang saya bersendirian berbuka puasa di rumah. Alhamdulillah.
Kalau emak tahu, pasti emak sudah bersedia menerima menantu. Anak daranya sudah 'berani' berbangga dengan menu masakannya. Ewah!

Malamnya, saya hanya di rumah. Terawih hanya dilakukan sendiri kerana tiada teman untuk ke masjid kegemaran saya. Insya Allah, malam esok saya akan berada di sana. 
Saya gembira berada di rumah. Sudah lama saya tidak menatap laptop berusia lebih kurang enam tahun ini sambil menyelongkar info dunia tanpa sempadan. Terasa terlalu cetek pengetahuan am dan pengisian rohani saya sejak kebelakangan ini. 
Semuanya gara-gara tuntutan kerja yang menghimpit diri. DDD sendiri pun selalu terabai tanpa cerita baru. Semuanya cerita back dated yang sudah lapuk malah kadang-kadang tidak lagi relevan dengan masa. Aduh!

Malam ini saya berazam untuk memenuhi masa dengan sesuatu yang bermanfaat kepada diri. Saya ingin membina niche pahala untuk saya dan orang di sekeliling saya. Semoga perkongsian saya secara langsung atau tidak selepas ini akan memberi manfaat kepada sesiapa yang membaca.

Seboleh mungkin saya ingin menolak ke tepi soal emosi dan peribadi. Saya ingin menjadi seperti mereka yang sentiasa optimis dan positif dengan kehidupan. Masalah yang dihadapi dipesong menjadi cabaran dan motivasi untuk terus berjuang. Ya, saya juga boleh melakukannya.

Untuk malam minggu dalam Ramadhan yang hening ini, saya berazam dan berdoa semoga kita semua diberi kekuatan untuk berbuat baik dan berbakti kepada orang lain. Pahala bukan diberi percuma- Ada  nilai yang perlu dibida. :)

Salam Optimis,
Dhiya

Cerita Lagi


Bismillah
Isnin yang lunatik!
Indahnya berada di desa masih terasa. Walaupun hanya dua hari bercuti di kampung, tapi ia sudah cukup untuk mencorak rindu dendam dalam diri. Tapi apa boleh buat, dunia kerjaya saya bertapak di Kota Mega ini. Ada harga yang perlu dibayar demi sebuah matlamat!

Suasana di pejabat juga sejuk dan tenang. Tidak banyak perkara sampah yang menyesakkan jiwa. Kalau tidak, ada saja isu yang timbul. Kadang-kadang jadi kes naya- Orang lain punya hal, orang lain yang dipersalahkan. Memang terasa dunia tidak adil, tetapi saya belajar banyak cara bagaimana untuk menghadapi kerenah manusia. Apa yang jelek dibuat sempadan, apa yang baik dibuat tauladan.

Secara peribadi, saya sangat gembira bekerja di sini. Suasana kondusif dan independent. Saya masih ingat, baru tiga hari bekerja di sini, saya sudah mula penghadiri mesyuarat dan pulang pada jam 10 malam. Biarpun pada awalnya agak tertekan dan terkejut, tetapi saya tidak tahu bagaimana saya boleh melaluinya. Hingga hari ini, saya wajar berbangga dengan diri sendiri. Saya kini tahu dan mengerti untuk menangani hidup dengan lebih baik.

Akan tetapi, saya manusia biasa ini tidak dapat lari dari lumrah kehidupan yang biasa. Sikap manusia yang pelbagai ini selalu sahaja menimbulkan daya kontra antara insan dan tidak terkecuali di tempat kerja. Sekali lagi saya menganggap dunia ini tidak adil.

Saya tidak kisah dan tidak takut apabila dituduh kurang ajar tempoh hari. Walaupun agak menyentap perasaan, tapi saya teguh dengan pendirian saya- Sikapnya yang mendesak dan menekan itulah yang menjadikan saya kurang ajar dengannya. Ya, itu bukan nature saya- bersikap tidak sopan dan melawan bukan apa yang emak dan abah ajar. Tetapi fitrahnya saya berhak untuk mempertahankan diri apakala rasa dianiaya. Orang di luar sana bijak menilai. Saya tahu kemenangan berpihak kepada siapa. Terima kasih atas nasihat dari insan-insan yang prihatin. Diam itu emas, berkata-katalah dengan hikmah!

Kalau apa yang orang lain katakan itu memang benar, terimalah dengan hati terbuka walaupun sakit dan pedih. Tak perlu menampar wajah orang lain sedang wajah sendiri yang wajar dielus supaya sedar akan silap perlakuan. Memang sukar untuk menepis ego sendiri, tetapi belajarlah untuk menerima hakikat. Tak guna bercakap sambil menongkat langit kalau hasilnya hanyalah sebuah tin kosong yang berbunyi kuat tanpa isi. Paling penting, jangan melihat orang lain kecil sedang diri sendiri pun masih kerdil dan perlu banyak belajar.

Mengenangkan dua insiden itu, saya terasa serik. Semangat sedikit merudum. Tapi apabila dikenangkan balik, saya sedar di mana letak duduknya perkara sebenar dan timbang tara telah membuktikan siapa yang benar dan siapa yang salah. Saya tidak rugi sedikit pun dengan sikap segelintir manusia seperti ini. Cuma yang penting, saya perlu lebih bijak mengawal emosi agar saya tidak disamakan dengan sikap sampah mereka.

Berani perlu bertempat. Bukan dituju semberono sahaja. Mungkin itu sifat yang dididik oleh keluarga. Tapi bijaklah dalam mengaplikasikannya. Saya maafkan kamu. Semoga kamu juga memaafkan saya. Kita sudah dewasa untuk menilai buruk baik masing-masing. Kuncinya, matanglah dalam menjalani hidup. Titik.

Peace No War :)

Salam Optimis,
Dhiya