Terkini


Sabtu, 12 May 2012

Hari ini bukan SSB saya. Tapi dek tuntutan tugas , saya dengan paksa redha hadir ke pejabat. Gigih sungguh menapak keluar dari rumah seawal 7.30 pagi dengan beg yang banyak macam orang lari dari rumah. Apa boleh buat. Inilah namanya rencah hidup. Perlu banyak rasa, banyak warna.

Di pejabat, rasanya hampir semua orang tahu yang saya lemah benar dengan satu kelompok manusia yang fikir mereka super-profesional ini. Semua nak bagus, tapi mereka sendiri pun hanyalah tin kosong yang bergendang kuat tanpa isi apa-apa.
AGM mereka hari ini betul-betul buat saya sakit kepala. Tapi bagus juga- Semakin banyak kerenah manusia yang saya hadapi; semakin saya belajar untuk mengawal diri. Mereka fikir yang mereka cukup bijak, tetapi malangnya mereka hanya bijak dari segi ilmu, bukan dari segi emosi. Perasaan mereka dangkal dengan nilai tolak ansur dan sopan santun. Betul!

Tepat pukul 1, saya tidak berlengah lagi. Kereta dipandu ke stesen minyak untuk bekalan petrol jarak jauh. Ya, saya akan pulang ke kampung hari ini dengan memandu Baby K. Asalnya itu bukan pelan pertama. Saya fikir pulang dengan menaiki bas lebih relaks dan jimat.Tapi dek tuntutan tugas yang menggunung, saya selalu pulang lewat dan tidak sempat untuk ke perhentian bas untuk membeli tiket.Nah, pilihan terbaik setelah meminta nasihat emak abah- Saya nekad memandu kereta kecil yang baru dua minggu sihat dari ragamnya tempoh hari. 
Permulaan perjalanan saya diiringi hujan lebat. Tapi syukurlah cuaca selepas itu baik-baik saja hingga sampai ke laman rumah emak abah. Tiga jam bukan satu perjalanan yang singkat. Entah berapa kali saya menguap besar, entah berapa lama saya bercakap seorang diri untuk melawan mata dan badan yang kelesuan ini. 

Esok adalah hari penting untuk kami sekeluarga. Alhamdulillah.
Sebab itu saya sanggup pulang walaupun banyak ujiannya. :)
Insya Allah cerita esok yang istimewa akan saya nukilkan sebaik majlis selesai.Momen penting ini tidak boleh dibiar lama. Basi!

Jam sudah menunjukkan pukul dua belas malam. Masa untuk berehat barang empat ke lima jam. Esok aktiviti saya akan bermula awal pagi. Tunggu!

-Dhiya-

Dua Bulan Dari Sekarang


Bismillah...

Segala usaha dan keringat telah dikerah.

Kini masa untuk bertawakkal.

Hanya Allah yang tahu...

Doakan saya beroleh peluang ini. Keputusan akan diketahui dua bulan dari sekarang. Ya, saya amat memerlukannya.

-Dhiya-

Kena Tahu


Bismillah...

Berkongsi sepicing ilmu. Semoga berkat perjalanan hidup. :)


Secara peribadi, saya sendiri pun masih kabur tentang isu yang satu ini. Syukurlah teknologi hari ini menjadi medium terbaik untuk menambah ilmu.

Kongsikan!

Dhiya-

7 Mei 2012


Bismillah.

Baru pulang ke rumah.

Kerja menggunung tinggi.

Kalau difikirkan, memang takkan sudah.

Saya penat jadi begini.

Menangis bukan sekali.

Saya rindu untuk jadi saya yang dulu.

Punya masa untuk diri sendiri.

Punya masa untuk famili.

p/s: Maaf.  Saya memang sibuk! :(


Baby K Sudah Pulang


1 Mei 2012

"Jam 9 pagi tau! Jangan lambat!"

Saya mengingatkan Elis akan janji kami.

Pagi itu, tepat jam 9 pagi, kami ke rumah Kak Safi untuk mengambil kereta saya yang sudah siap dibaiki setelah hampir dua hari tersadai di sana.
Kuala Lumpur-Klang bukanlah jauh sangat. Lain kali boleh datang lagi (kut).

Sampai sahaja, kami dijamu dengan roti canai kuah dal. Kak Safi dan Abang Bakar melayan kami dengan baik. Sangat baik.
Saya selalu terfikir. Anak saudara mak yang seorang ini terlalu humble. Dia berada di puncak hidup, tetapi tidak pernah rasa besar dan megah.Hidupnya sangat sederhana. Melihat gayanya, siapa sangka dia punya nama.

Setelah bersarapan dan bersembang lebih kurang, kami berhajat untuk pulang. Tak habis di situ, kami dibekalkan dengan dua sikat pisang berangan dan teh bunga yang dibawa khas dari China.
Terima kasih!

Baby K kembali sihat. Apabila ditanya apa sakitnya, Abang Bakar bercerita dengan penuh teknikalnya. Hanya dua perkataan yang saya ingat: Belting dan Alternator.Tapi itu pun saya tak tahu di mana letaknya mereka di dalam kereta saya. Nantilah. Google pasti menjawab soalan saya.(-.-)

Pulang ke KL dengan dua buah kereta. Elis memang suka membuli saya. Memandu tak pernah kurang 100km/j. Mentang-mentanglah kereta dia bagus~

Ops. Saya sempat menyinggah di gudang Sayangku yang menjual alat kelengkapan perkahwinan pukal di sana. Dapatlah mencukupkan goodie bag sebanyak 100 lagi. Lengkap bahagian saya, barang-barang tu semua akan saya kurier dalam minggu ini juga.

Sampai di rumah, saya keletihan. Jangan tanya apa yang saya buat. Cuti hari pekerja mesti dimanfaatkan sebaik mungkin. Rehat sepuas-puasnya. Minggu depan entah apa ujian yang tiba.

2 Mei 2012

Bersemangat sungguh ke tempat kerja hari ini sebab Baby K ada menemani. (^^)

Alhamdulillah, semuanya sudah kembali ok. Baby, jangan buat Dhiya susah hati lagi ok~

Cuma...Erm...Dhiya rasa kamu perlu mandi hujung minggu ini. Itu sahaja.

p/s: Hujan lebat hari ni. Berehat di rumah. Tak ada keperluan untuk keluar.

Mei 2012


Bismillah...

Mei sudah menjengah.Selamat tinggal April yang sangat memenatkan. Uh, siapa kata Mei merehatkan? Masih seperti biasa- Banyak isu-isu yang perlu diselesaikan. 

Jadual hujung minggu untuk Mei sudah penuh malah bertindih-tindih acaranya. Apa boleh buat. Saya cuma ada satu. Tak boleh dikerat-kerat~

Tengok...Sabtu saya sudah penuh terisi!
Kesimpulannya: Jangan buat majlis nikah dalam cuti sekolah. Ingat tu Dhiya~ (Eh....~?)

p/s: Hujan rintik di luar. Enaknya kalau terus berhibernasi. :)

Seputar Majlis Resepsi Ijoi


Bismillah...

Malas sungguh menulis panjang. Nah, gambar dulu.

Muka kepenatan. Baru sampai rumah nenek.
Budak merah
Budak merah lagi
Lagi
Lagi-lagi budak merah ni. Er...sebab dia comel
Kesian. Kepenatan~
Sesi 'Masihkah kau Ingat?'
Merah lagi
Huh. Senyum pengantin.
Oh lupa. Pengantin lelaki tu memang suka senyum
Merah, Kakak dan Angah
Kak Safiyah (tudung kuning). Baby K sedang dirawat di rumah beliau.
Pink. Awak sangat comel!
Saya tak boleh tengok gambar ni. Macam nak menangis. Ada pautan emosi yang mendalam. :(
Angah Hamid
Sebelum pulang
Mana Dhiya? Yang dok ambil gambar ni Dhiya lah~


p/s: Ijoi adalah salah seorang sepupu yang rapat dengan saya sejak kecil lagi. Emo juga bila lihat dia sudah 'separuh jalan' melengkapkan hidup. Selamat Pengantin Baru, Ijoi. Semoga bahagia hingga ke syurga. Lepas ni jemput ke Pahang pula :)

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012


Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya tidak pernah ketinggalan untuk ke PWTC.
Alhamdulillah, saya berpeluang ke sana pagi ini. Jangan tanya bagaimana saya boleh menyusup pergi. Ini baru pusingan pertama. Ada beberapa pusingan lagi untuk saya datang. Huhu!

Boleh jadi tak terkawal hidup bila tengok buku-buku yang bermacam genre dan judul. Rasa seperti hendak diangkut pulang kesemuanya.
Bagus. Duit gaji bulan ini sudah diperuntukkan sedikit untuk buku-buku yang dihajati. Cukuplah untuk stok setahun sementara menunggu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013.

Eh. Bukan Kopi Pecah tau. Buku ini dicadangkan oleh Nabil, rakan baik saya. Kita tunggu- betul ke prediction tu~
Paling saya puas hati, saya berjaya mendapatkan beberapa naskah SOLUSI backdated series pada harga yang sangat-sangat awesome. Alhamdulillah. Cepat-cepat ke booth Telaga Biru Sdn Bhd. Anda pasti teruja!

Akan datang lagi untuk pusingan kedua dan pusingan ketiga. Sekali datang? Heh. Itu bukan Dhiya~

p/s: Senang pergi bersendirian. Empat jam di booth yang sama pun tak ada orang ambil tahu. Oh ya...Jangan lupa bawa beg galas besar atau troli untuk angkut buku-buku hasil belian anda. :)

Baby K, Jangan Buat Dhiya Menangis


Baby K,

Jangan buat Dhiya menangis...

Dhiya bimbangkan kamu.
Dhiya sakit kepala memikirkan masalah kamu.
Semua orang sedang bersusah payah demi kamu.

Baby K,

Cepat sihat ya, Sayang.
Dhiya tak betah kamu jauh nun di Klang sana.
Itu bukan tempat asal kamu.
Dhiya tak betah sendirian ke tempat kerja.
Itu bukan rutin kita.

Baby K,

Baik-baik ya, Sayang.
Semua orang sedang memikirkan kamu.
Kerana kamu milik Dhiya
Seorang gadis lemah yang menagih bahu untuk bersandar.

p/s: Emosi sungguh mengenangkan kereta kecil saya yang kini sedang sakit. Ingatkan lepas tukar bateri, kebahlah sakitnya. Tapi isu lain pula yang datang. Ini ujian Allah. Dia mahu saya belajar selok belok ilmu automotif juga supaya boleh menjadi seorang yang berdikari. :)

Salam sayang,
Dhiya

Hanya Allah yang Tahu


Bismillah...

Terima kasih Allah yang masih meminjamkan saya nyawa untuk terus berjuang.

Benar, hanya Allah yang tahu betapa perjuangan yang saya lalui ini sungguh mencabar. Bukan sedikit mehnah dan tribulasi yang datang. Saya cukup penat dan hampir putus asa dengan semua yang menyesakkan dada ini.

Tekanan di tempat kerja agak teruk sepanjang April ini. Setiap Sabtu adalah Sabtu Saya Bekerja (SSB). 
  1. 7 April: Bekerja atas arahan. Sibuk mengira kertas-kertas undi yang pelbagai ragam tu.
  2. 14 April: Sepatutnya minggu saya bercuti, tetapi saya ke Miri atas urusan kerja.Collapse!
  3. 21 April: Sekali lagi hadir bekerja atas arahan sempena Mesyuarat Agung Tahunan dan Majlis Makan Malam Tahunan. Masya Allah, ini memang paling penat. Sepanjang minggu tersebut, kami tidak boleh pulang selagi tidak mendapat 'lampu hijau'. Di hari kejadian pula, semuanya menjadi kelam kabut. Baby K saya buat hal di saat saya perlu berada di pejabat seawal 7 pagi. Memang sanat menekan.Tetapi saya mengambil iktibar dan telah mempelajari sesuatu- Rancang kerja dan bersedia. Benarlah! Malamnya pula, terpaksalah saya menumpang rakan sepejabat untuk pulang. Apa boleh buat, hidup ini bukan hanya ada satu penyelesaian. Perlu bijak demi survival.
  4. 28 April: Giliran SSB saya kembali lagi. Ya Allah. Rasa hendak menangis dibuatnya.Saya hampir tersungkur tadi. Mesyuarat hari ini hanya tamat sekitar jam 8.30 malam. Esok perlu bekerja pula. :( Kasihan diri saya sendiri...Terabai teruk demi memastikan hak orang lain dipenuhi. Sungguh kejamnya saya!
Hanya Allah yang Tahu: Esok

Saya tidak bercadang untuk hadir bekerja esok. 

Pertamanya, Baby K saya memerlukan perhatian saya agar dia dibawa ke bengkel untuk sesi 'rawatan'.

Keduanya, BERSIH yang KOTOR ini hanya menyusahkan saya dan seluruh warga kota lain yang perlu bekerja pada hari Sabtu. Seperti tahun lepas, saya benci mendengar semua laluan keluar masuk ke Kuala Lumpur menjadi sesak dek penangan sekatan polis yang merata-rata. Kasihan orang awam yang tak terlibat. Kalian BERSIH yang KOTOR lagi meyusahkan. Saya tidak akan mengambil risiko untuk semua itu di waktu puncak mereka sedang menggila.(Maaf, ini luahan peribadi yang tidak ada kena mengena dengan mana-mana pendirian politik negara.)

Ketiganya, saya perlu bersedia untuk ke Kuala Kubu Bharu untuk majlis resepsi Ijoi si sepupu saya. Emak dan abah serta akak akan bertolak dari Pahang sekitar jam 2 petang. Harapnya Kuala Lumpur tenang-tenang sahaja kerana saya akan menunggu mereka dan menyusur pinggir kota untuk masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan. Semoga Allah permudahkan. Amin...

Hanya Allah yang Tahu: Dalam Hati

Banyak isu yang sedang dalam pertimbangan peribadi saya sekarang ini.

Dr. Azuan sudah menyatakan kesanggupannya untuk menyokong permohonan saya. Begitu juga dengan salah seorang bos di tempat kerja saya. Alhamdulillah. Apa yang ditunggu lagi, Dhiya. Teruskan melangkah tanpa ragu!
(Bolehkah saya?)
Allah takkan menguji kamu selain ianya dalam kemampuan kamu.

Kak Aziah juga demikian baik hatinya untuk menyokong beberapa dokumen penting saya. Peluang sudah di depan mata, Dhiya. Teruskan merebut ruang yang ada!
(Saya takut!)
Simpanlah ketakutanmu. Semoga faedah mencabar diri sendiri akan membuahkan hasil mahsul yang mendamaikan hati.

Soal meletak cincin di jari bukan lagi soalan sembunyi-sembunyi di kalangan keluarga terhadap saya. Dalam usia 'sedang elok' ini, saya tertekan apabila hampir setiap orang yang mengenali saya bertanya soal jodoh.
Cukuplah menyoal, kerana saya tidak pernah mempersoalkan ketentuan Tuhan yang satu itu dengan rasa terpaksa dan mendesak. Hanya Allah yang Tahu.

***************************

Dan malam pun makin larut. Di luar sana masih kedengaran suara muda-mudi yang bermain gitar sambil menyanyi-nyanyi lagu terkini. Saya kurang minat mendengar. Ada misi yang lebih penting untuk saya hadapi esok khusunya.
Tolak ke tepi sebentar soal kerja yang menysakkan dada. Saya perlu bersama keluarga. Mereka adalah aset berharga saya.

Selamat malam.

Dhiya.

Kampung Tercinta


Bismillah...

Bersiaran dari kampung tercinta. Terlalu penat dek penangan AGM dan Annual Dinner yang memaksa kami semua bekerja hingga lebih dari 12 jam.

Baby K saya tinggalkan di kota dengan keadaan enjin tak boleh dihidupkan. Bertabahlah, sayang.

Pulang ke desa menaiki bas. Akibat terlalu letih, saya tertidur dan terlajak. Kasihan abah yang menunggu di tempat biasa. Terpaksa mengejar saya hingga beberapa kilometer. (TT)

Semua itu tanda-tanda yang saya perlukan rehat.

Berkuat kuasa serta merta- Telefon bimbit, Facebook dan email saya akan di-deactivate-kan sehingga saya kembali bekerja nanti. Saya betul-betul mahukan rehat.

Salam sayang,

Dhiya :)

Wajah Baru


Blogger telah memperkenalkan features baru di antara mukanya. Masih perlahan untuk menulis entri baru.

Agak-agak compatible dan user friendly tak?

Haih. Jangan banyak bunyi, Dhiya. Belajar untuk menerima perubahan.  Jangan selamanya berada di takuk lama.

Esok kerja. Hm....

Ok, Sedikit Lagi.


Asyik sangat melengkapkan borang dalam talian ni hingga terlupa yang masih banyak dokumen belum discan.


Adoi. Tergendala untuk malam ni. :( Apa pun, langkah perlu diteruskan. :)

p/s: Dapatlah menulis dua tiga ayat dalam minggu sibuk ni. Esok dan Sabtu perlu dihadapi dengan tabah!

Nanti

Tunggu!

Laksa Sarawak

Nasi Lelapan

Ceritanya nanti, ya! Doakan saya boleh menulis dalam minggu sibuk ini. :)

Esok kerja...Argh!

Ahad 15 April 2012


Bismillah...

Ahad di Kota Mega. Saya selamat sampai ke rumah sekitar jam 12 malam tadi. Tak fikir apa-apa, saya terus merebahkan badan dan tidur tak ingat dunia! :p

Pagi ini saya mulakan dengan sesi mengemas. Bukan main seronok berjalan dan membeli belah, ha...rasakan seronoknya mengemas dan menyimpan pula. Mujurlah hari ini hari Ahad. Kalaulah hari ini hari bekerja, mungkin malah pasti saya akan MC!

Tengah harinya saya berpeluang makan tengahari di Cheras. Sedap. Baru beberapa hari tak jumpa lauk Melayu, dah rindu-rindu pula. Haish!
Selepas makan, saya terus ke pejabat untuk mengambil kereta yang diparkir di sana sebelum ke Miri tempoh hari. Kalau tak dibawa pulang hari ini, alamatnya esok saya akan ke tempat kerja dengan menaiki tren dan berjalan kaki pula untuk sampai ke pintu pejabat. huhu!

Sepanjang hari saya mengemas dan tidur dengan gembiranya. Esok dan sepanjang minggu depan akan menjadi minggu yang memenatkan sempena majlis makan malam tempat kerja saya.
Azam saya selepas majlis itu: Saya mahu mohon cuti untuk beberapa hari. Semangat saya perlu dicas semula dengan pulang ke desa. Saya terlalu rindukan keluarga terutamanya emak dan abah. Rindu!

Kalendar saya sudah penuh kini. Jemputan kahwin sahabat handai dan saudara mara sudah bersusun-susun menanti. Sebut pasal kahwin, saya ada cerita tentangnya. Tunggu nanti, saya akan kongsikannya.
Sekarang waktu untuk makan malam. Tunggu, ya! :p

Langah ke Hadapan

Jangan berpaling ke belakang lagi.

**********************************************************
Dear Dhiya,
Ok. It is good. You can do online application using this proposal. The offer letter will take around 2 months.
Regards,
Ching
**********************************************************

Jauh di Miri, saya menerima jawapan ini dari Dr. Ching di Kuala Lumpur. Semuanya seperti mimpi. Tapi saya tahu inilah yang saya mahu sedari dulu lagi.
Antara tanggungjawab, cita-cita dan kepuasan, semuanya terangkum menjadi satu. Saya yakin ini adalah jalan untuk saya meningkatkan nilai diri dan keluarga.

Allah. Terima kasih. Semoga saya istiqamah dan kuat untuk kembali berjuang dalam medan ilmu ini.

Dan saya akan terbang pulang ke Kota Mega petang ini juga!

Lelapan, Miri Sarawak

Bukan imbuhan kepada perkataan LELAP ok~

Tunggu nanti. Saya akan sambung cerita. :)

Dhiya

Semangat, Dhiya!

Bismillah...

Dhiya...
Teruskan bermotivasi! Jangan menyerah sebelum berjuang!

:)

Dari Jauh


Bismillah...

Alhamdulillah, sempat mencuri sedikit ruang untuk menulis. Bayangkanlah...April sudah hampir separuh bulan, tapi hanya beberapa kali saya menulis dalam DDD. Bulan ini memang agak sibuk. Banyak perkara besar yang berlaku dalam hidup saya termasuklah hal kerja dan hal peribadi.

Saya kini berada di Miri, Sarawak. Tepatnya di Curtin University Malaysia, Miri Sarawak. Ini antara tugas besar yang membuatkan saya gagal memberi perhatian kepada DDD.
Kursus Project Management for Young Engineers ini agak istimewa secara peribadinya. Saya hanya mampu senyum tanpa kata. Ini peluang yang istimewa diberikan YES kepada saya. Terima kasih, YES!

Penat tak usah dipersoalkanlah...Melayan kerenah yang bermacam-macam, pernah membuatkan saya demam tak mampu bangun. :p
Apapun, saya gembira untuk berada di sini sebagai salah seorang 'orang penting' kepada semua. (Penting tau! Jangan main-main.)

Jauh di sudut hati, saya sangat rindukan kampung halaman. April ini saya masih belum berpeluang untuk pulang ke kampung. Ketagih sungguh saya dengan seluruh isi rumah kecil yang penuh dengan kasih sayang itu. Rindu!
Benarlah kata emak, anak-anaknya merantau beribu batu jauh sekali pun...Hatinya akan tetap terikat di desa keramat itu. Phew~!

Untuk Olin- Terima kasih atas nasihat yang tak henti-henti hingga telefon bimbit saya 'jammed'. Kelakar kan? Ok syut...Ini rahsia kita berdua sahaja.
Untuk Nurul- Jaga diri ok. Saya sangat teringatkan kamu. Tapi kekangan masa sungguh mengahalang saya untuk kita bersembang.
Untuk Yan- Maaf kerana tak mampu dekat dengan kamu untuk melihat persiapan hari istimewa kamu menjadi pengantin baru. Doa saya dekat dengan kamu!

Ok, perlu berhenti dulu.

Jumpa nanti!

Dari Jauh,
Dhiya Dahlia
Curtin University Malaysia Sarawak, Miri
2.15 pm.

Sibuk

Bismillah...

Alhamdulillah masih bernafas dan boleh bergerak.

Sekarang terlalu sibuk dengan persiapan satu kursus yang akan diadakan minggu depan.
Kasihan DDD. Terabai sangat...

Untuk yang menelefon dan sms yang tak berbalas, maafkan saya.
Terlalu banyak masa saya dihabiskan untuk 'mengejar' dunia yang kosong ini hingga mengabaikan hubungan saya sesama manusia. Maafkan saya sekali lagi.

Saya akan terbang ke Miri minggu depan atas urusan kerja. Semoga Allah pelihara dan mudahkan perjalanan saya di sana.

Sibuk. Aduh!